(Sinar Harian 7 Jan 2013)
Saya merasakan amat hairan dengan kenyataan seorang
ahli akademik daripada UIA yang selalu
menjadi moderator Wacana Sinar Harian. Saya tidak pasti posisi beliau dalam masyarakat
sehingga membolehkan beliau mengeluarkan kenyataan akhbar, sama ada mewakili
individu atau pertubuhan. Jika individu, siapalah beliau? Saya sendiri masih
ragu-ragu berbuat demikian walaupun telah lama dalam dunia penulisan dan
dakwah.
Pandangannya mengenai polemik penggunaan kalimah
Allah dan desakannya agar subjek agama-agama dijadikan subjek teras di peringkat
sekolah, IPTA dan IPTS, seolah-olah memperlihatkan kejahilan dalam memahami
realiti yang berlaku. Apakah tujuan kenyataan tersebut dikeluarkan?
Selalu tenaga pengajar subjek teras universiti,
izinkan saya memberikan sedikit penjelasan untuk merungkai kejahilan ini. Sebenarnya,
subjek agama-agama Malaysia telahpun diajar dalam subjek Tamadun Islam Tamadun
Asia (TITAS). Walaupun tidak begitu terperinci, subjek tersebut sudah cukup
untuk memahami sensitiviti beragama. Begitu juga subjek yang diajar di
peringkat sekolah.
Subjek ini diperkuatkan lagi dengan satu lagi subjek
teras universiti, iaitu Hubungan Etnik yang diketuai oleh Prof Ulung Dr Shamsul
Amri Baharuddin, yang mana saya sendiri adalah salah seorang team penulisan
modul tersebut. Agama-agama Malaysia diceritakan agak jelas. Buku ini telah
dijadikan rujukan asas setiap universiti. Saranan saya kepada beliau, bacalah.
Jangan hanya pandai bercakap.
Mengenai polimik kalimah Allah, seperti yang telah
dijelaskan oleh ramai cendekiawan, kalimah Allah tidak pernah digunakan oleh
penganut Kristian sebelum ini, di barat apatah lagi. Mereka hanya menggunakan
istilah God (Tuhan) atau Lord. Jika tidak, sudah tentu sekali sekala kita akan
terdengar penggunaan dalam filem-filem barat.
Saya tidak nampak isu yang dibangkitkan
dipolitikkan. Jika benarlah kalimah Allah telah digunakan oleh penganut
Kristian di Sabah dan Sarawak sekian lama, kenapa baharu hari ini hendak
dirasmikan pengunaannya. Guna sahaja seperti biasa. Persoalannya, kenapa pihak
paderi mereka mensensasikan perkara ini? Apa tujuan di sebalik? Mohon, beliau
fahami makna tersurat tersirat. Jika tidak faham, tanyalah kami yang terlibat
dalam NGO ini.
Kita sebenarnya telah meraikan agama lain lebih
dari agama sendiri. Bilangan rumah ibadat bukan Islam melebihi berkali-kali
ganda daripada bilangan masjid surau. Rumah ibadat tidak seimbang dengan
penganutnya, seperti yang saya jelaskan dahulu. Kerajaan Selangor memperuntukkan
lebih sekali ganda bantuan kepada rumah ibadat bukan Islam tahun ini.
Lihat sahaja sambutan tahun baharu 2013 seminggu
yang lalu. Secara tidak langsung kita sudah meraikan perayaan orang Kristian, malah menenggelami perayaan tahun baharu dan hari
kebesaran kita sendiri. Sedangkan kita tahu bilangan penganut Kristian tidak
sampai 10 peratus. Kebetulan, saya berada di KLCC malam tahun baharu Masehi.
Melihat gelagat anak muda Melayu yang sudah rosak amat menjengkelkan.
Kita perlu memahami strategi dan pendakyahan agama
Kristian yang telah tersebar sekian lama, sebelum bercakap. Saya mempunyai
ramai rakan beragama Kristian. Ramai kalangan yang bersimpati dengan Islam
berterus terang mengenai perancangan jahat Kristianisasi. Saya tidak kata semua.
Untuk menjadikan subjek setiap agama dan
menceritakan secara detail pada saya adalah tidak wajar kerana bercanggah
dengan perlembagaan persekutuan. Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyebut
bahawa agama Islam adalah agama persekutuan, walaupun tidak terpakai sepenuhnya
di Sabah dan Sarawak.
Namun, dek kerana umat Islam adalah majoriti, sudah
sewajarnya agama Islam perlu difahami lebih daripada agama lain. Kita cukup
beruntung, kerana hanya negara kita yang membuka peluang untuk semua warganya
belajar dan menimba ilmu tentang agama dan budaya hidup bangsa lain.
Di negara lain, subjek sebegini tidak diajar
sebagai matapelajaran wajib. Subjek perbandingan agama hanya ditawarkan untuk
mereka yang mengkhusus dalam bidang sahaja. Pendek kata, pelajar minoriti tidak
mempunyai hak ke atas agama mereka sendiri, walaupun mungkin agama tersebut
mempunyai sejarah tersendiri dan dominan suatu ketika dahulu.
Misalnya, kedudukan agama Islam di negara China,
India dan Eropah. Bolehkah sarjana tersebut jelaskan kepada saya, adakah agama
Islam diajar sebagai subjek wajib di sana, hatta di tempat beliau belajar mendapat ijazah doktor falsafah? Bila
bercakap biarlah berpijak di bumi nyata. Tidak perlulah berlagak pandai.
Saya bimbang, yang terserlah nanti bukan kepandaian
kita, tetapi kebodohan dan kejahilan kita. Isu kalimah Allah dan subjek wajib
agama telah lama disensasikan oleh kumpulan Inter
Faith Commission (IFC), Majlis Peguam
dan Persatuan agama-agama bukan Islam. Mereka amat cemburu dengan
kedudukan istimewa Islam dalam perlembagaan.
Mereka sedaya upaya sepenuh hati mahukan kedudukan
Islam itu tercabut daripada perlembagaan. Maka, berbagai usaha dilakukan untuk
mempastikan perkara itu berlaku. Apakah kita mahu bersuara mewakili menjadi
juru cakap mereka? Apa matlamat kita sebenarnya?
Tidakkah beliau sedar bahawa kenyataan akhbar yang
dikeluarkan itu digunakan peluang oleh kumpulan ultra kiasu untuk melengkap
misi jahat mereka? Kadangkala saya musykil dengan cendekiawan Malaysia yang
cuba mendapat publisiti murahan bagi kepentingan peribadi atau melangsung
agenda kumpulan tersebut.
Saya tidak nampak isu kalimah Allah ini bertujuan mendapatkan miledge politik, kecuali beliau. Memang akan wujud pertikaman lidah antara parti politik. Tetapi, itu adalah politik. Isu sebenarnya perlu diketahui dan didalami.
Di penghujung kenyataan, beliau menyatakan adalah
menjadi tanggungjawab setiap warga di Malaysia untuk bersama-sama menghargai
kemajmukan masyarakat Malaysia dan ianya wajib disikapi sebagai kekuatan dan
bukannya sebagai faktor perbalahan. Persoalan saya, siapakah yang mengganggu
gugat kedudukan agama Islam.
Untuk makluman, selama ini kita tidak pernah
langsung mencampuri urusan agama orang bukan Islam, walaupun mereka telah
menggugat kedudukan agama Islam sendiri dalam segala hal. Apakah mewajibkan
pembinaan rumah ibadat di setiap taman perumahan itu wajar, yang diluluskan oleh
kerajaan negeri Selangor? Tidakkah adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya?
Jika dalam sesebuah taman itu ada begitu sedikit sekali bukan Islam, adakah
wajar setiap rumah ibadat disediakan? Berapa banyak rumah ibadat mereka yang
berselerakan berdekatan? Berapa banyak yang diperlukan? Sehinggakan jalan
terpaksa dibengkokkan semata-mata memberi laluan kepada rumah ibadat tersebut.
Bayangkan jika yang terletak di tengah jalan tersebut adalah masjid? Sudah
tentu telah lama dirobohkan untuk memberi laluan pembangunan tanpa perlu
membengkokkan jalan. Sebenarnya, banyak lagi isu lain yang kebanyakannya kita
mengalah hanya kerana terlalu meraikan agama-agama lain. Adakah ia dihargai?
Fikir-fikirkan.