Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, January 07, 2013

Jangan berlagak pandai

7:05 AM Posted by RIDHUAN TEE 39 comments


(Sinar Harian 7 Jan 2013)



Saya merasakan amat hairan dengan kenyataan seorang ahli  akademik daripada UIA yang selalu menjadi moderator Wacana Sinar Harian. Saya tidak pasti posisi beliau dalam masyarakat sehingga membolehkan beliau mengeluarkan kenyataan akhbar, sama ada mewakili individu atau pertubuhan. Jika individu, siapalah beliau? Saya sendiri masih ragu-ragu berbuat demikian walaupun telah lama dalam dunia penulisan dan dakwah.



Pandangannya mengenai polemik penggunaan kalimah Allah dan desakannya agar subjek agama-agama dijadikan subjek teras di peringkat sekolah, IPTA dan IPTS, seolah-olah memperlihatkan kejahilan dalam memahami realiti yang berlaku. Apakah tujuan kenyataan tersebut dikeluarkan?



Selalu tenaga pengajar subjek teras universiti, izinkan saya memberikan sedikit penjelasan untuk merungkai kejahilan ini. Sebenarnya, subjek agama-agama Malaysia telahpun diajar dalam subjek Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS). Walaupun tidak begitu terperinci, subjek tersebut sudah cukup untuk memahami sensitiviti beragama. Begitu juga subjek yang diajar di peringkat sekolah.



Subjek ini diperkuatkan lagi dengan satu lagi subjek teras universiti, iaitu Hubungan Etnik yang diketuai oleh Prof Ulung Dr Shamsul Amri Baharuddin, yang mana saya sendiri adalah salah seorang team penulisan modul tersebut. Agama-agama Malaysia diceritakan agak jelas. Buku ini telah dijadikan rujukan asas setiap universiti. Saranan saya kepada beliau, bacalah. Jangan hanya pandai bercakap.



Mengenai polimik kalimah Allah, seperti yang telah dijelaskan oleh ramai cendekiawan, kalimah Allah tidak pernah digunakan oleh penganut Kristian sebelum ini, di barat apatah lagi. Mereka hanya menggunakan istilah God (Tuhan) atau Lord. Jika tidak, sudah tentu sekali sekala kita akan terdengar penggunaan dalam filem-filem barat.



Saya tidak nampak isu yang dibangkitkan dipolitikkan. Jika benarlah kalimah Allah telah digunakan oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak sekian lama, kenapa baharu hari ini hendak dirasmikan pengunaannya. Guna sahaja seperti biasa. Persoalannya, kenapa pihak paderi mereka mensensasikan perkara ini? Apa tujuan di sebalik? Mohon, beliau fahami makna tersurat tersirat. Jika tidak faham, tanyalah kami yang terlibat dalam NGO ini.



Kita sebenarnya telah meraikan agama lain lebih dari agama sendiri. Bilangan rumah ibadat bukan Islam melebihi berkali-kali ganda daripada bilangan masjid surau. Rumah ibadat tidak seimbang dengan penganutnya, seperti yang saya jelaskan dahulu. Kerajaan Selangor memperuntukkan lebih sekali ganda bantuan kepada rumah ibadat bukan Islam tahun ini.



Lihat sahaja sambutan tahun baharu 2013 seminggu yang lalu. Secara tidak langsung kita sudah meraikan perayaan orang Kristian, malah menenggelami perayaan tahun baharu dan hari kebesaran kita sendiri. Sedangkan kita tahu bilangan penganut Kristian tidak sampai 10 peratus. Kebetulan, saya berada di KLCC malam tahun baharu Masehi. Melihat gelagat anak muda Melayu yang sudah rosak amat menjengkelkan.



Kita perlu memahami strategi dan pendakyahan agama Kristian yang telah tersebar sekian lama, sebelum bercakap. Saya mempunyai ramai rakan beragama Kristian. Ramai kalangan yang bersimpati dengan Islam berterus terang mengenai perancangan jahat Kristianisasi. Saya tidak kata semua.



Untuk menjadikan subjek setiap agama dan menceritakan secara detail pada saya adalah tidak wajar kerana bercanggah dengan perlembagaan persekutuan. Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyebut bahawa agama Islam adalah agama persekutuan, walaupun tidak terpakai sepenuhnya di Sabah dan Sarawak.



Namun, dek kerana umat Islam adalah majoriti, sudah sewajarnya agama Islam perlu difahami lebih daripada agama lain. Kita cukup beruntung, kerana hanya negara kita yang membuka peluang untuk semua warganya belajar dan menimba ilmu tentang agama dan budaya hidup bangsa lain.



Di negara lain, subjek sebegini tidak diajar sebagai matapelajaran wajib. Subjek perbandingan agama hanya ditawarkan untuk mereka yang mengkhusus dalam bidang sahaja. Pendek kata, pelajar minoriti tidak mempunyai hak ke atas agama mereka sendiri, walaupun mungkin agama tersebut mempunyai sejarah tersendiri dan dominan suatu ketika dahulu.



Misalnya, kedudukan agama Islam di negara China, India dan Eropah. Bolehkah sarjana tersebut jelaskan kepada saya, adakah agama Islam diajar sebagai subjek wajib di sana, hatta di tempat beliau belajar mendapat ijazah doktor falsafah? Bila bercakap biarlah berpijak di bumi nyata. Tidak perlulah berlagak pandai.



Saya bimbang, yang terserlah nanti bukan kepandaian kita, tetapi kebodohan dan kejahilan kita. Isu kalimah Allah dan subjek wajib agama telah lama disensasikan oleh kumpulan Inter Faith Commission (IFC), Majlis Peguam  dan Persatuan agama-agama bukan Islam. Mereka amat cemburu dengan kedudukan istimewa Islam dalam perlembagaan.



Mereka sedaya upaya sepenuh hati mahukan kedudukan Islam itu tercabut daripada perlembagaan. Maka, berbagai usaha dilakukan untuk mempastikan perkara itu berlaku. Apakah kita mahu bersuara mewakili menjadi juru cakap mereka? Apa matlamat kita sebenarnya?



Tidakkah beliau sedar bahawa kenyataan akhbar yang dikeluarkan itu digunakan peluang oleh kumpulan ultra kiasu untuk melengkap misi jahat mereka? Kadangkala saya musykil dengan cendekiawan Malaysia yang cuba mendapat publisiti murahan bagi kepentingan peribadi atau melangsung agenda kumpulan tersebut. 


Saya tidak nampak isu kalimah Allah ini bertujuan mendapatkan miledge politik, kecuali beliau. Memang akan wujud pertikaman lidah antara parti politik. Tetapi, itu adalah politik. Isu sebenarnya perlu diketahui dan didalami. 



Di penghujung kenyataan, beliau menyatakan adalah menjadi tanggungjawab setiap warga di Malaysia untuk bersama-sama menghargai kemajmukan masyarakat Malaysia dan ianya wajib disikapi sebagai kekuatan dan bukannya sebagai faktor perbalahan. Persoalan saya, siapakah yang mengganggu gugat kedudukan agama Islam.

Untuk makluman, selama ini kita tidak pernah langsung mencampuri urusan agama orang bukan Islam, walaupun mereka telah menggugat kedudukan agama Islam sendiri dalam segala hal. Apakah mewajibkan pembinaan rumah ibadat di setiap taman perumahan itu wajar, yang diluluskan oleh kerajaan negeri Selangor? Tidakkah adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya?

Jika dalam sesebuah taman itu ada begitu sedikit sekali bukan Islam, adakah wajar setiap rumah ibadat disediakan? Berapa banyak rumah ibadat mereka yang berselerakan berdekatan? Berapa banyak yang diperlukan? Sehinggakan jalan terpaksa dibengkokkan semata-mata memberi laluan kepada rumah ibadat tersebut. Bayangkan jika yang terletak di tengah jalan tersebut adalah masjid? Sudah tentu telah lama dirobohkan untuk memberi laluan pembangunan tanpa perlu membengkokkan jalan. Sebenarnya, banyak lagi isu lain yang kebanyakannya kita mengalah hanya kerana terlalu meraikan agama-agama lain. Adakah ia dihargai? Fikir-fikirkan.

Monday, December 31, 2012

Membina jati diri dan identiti negara

7:00 AM Posted by RIDHUAN TEE 32 comments

(Sinar Harian 31 Jan 2014)

Ketika artikel ini ditulis, saya berada di Prince of Songkla University (PSU), Hadyai, Thailand, atas urusan kerja. Seperti yang saya pernah nyatakan dalam tulisan yang lalu, negara yang kaya dengan cerita gajah ini, amat kuat mempertahankan jati diri dan identitinya. Ironinya, negara ini tidak pula mundur, malah terus membangun meninggalkan rakan negara-negara jirannya.

Pemimpin mereka ternyata amat berjaya mengsiamkan rakyatnya tidak kira apa jua bangsa mereka. Segala aspek cara hidup diasimilasikan menjadi Siam. Ringkasnya, kehidupan mereka berteraskan kepada Buddha, Siam dan Raja (BSR). Justeru, apakah salah jika ada kumpulan yang ingin mempertahan Islam, Melayu dan Raja (IMR) di negara ini? Bukankah itu jati diri dan identiti sebenar tanah air ini? Saya tidak membantah, kerana saya mengkaji dan faham sejarah.

Cara orang Siam memberi ucapan dan menghormati tetamu begitu terpancar sekali. Bahasa dan tulisan Siam yang didaulatkan, di sana sini. Apa jua yang berkaitan dengan cara hidup Siam itu, diamalkan oleh warga Siam. Walaupun penguasaan bahasa Inggeris mereka tidaklah seberapa, berbanding kita.

Dalam soal pembangunan, saya percaya Thailand masih berada di hadapan kita, terutama bidang pertanian dan perindustrian. Meskipun negara ini tidak mengeluarkan kereta sendiri, tetapi negara ini tidak pernah rugi dalam mengeluarkan alat ganti kenderaan. Mereka terus meraihkan keuntungan demi keuntungan.

Sebelum datang ke Thailand, saya berada di Johor Premium Outlets (JPO). Berada di sana, seolah-olah berada di Hollywood. Bahasa Melayu langsung tidak daulatkan, menyebabkan saya tidak berminat untuk duduk lama di sana, apatah lagi membeli belah. Usahlah dibahaskan lagi pusat membeli belah lain. Jangan mimpi mencari sepatah dua tulisan jawi. Kenapa kita begitu buta dalam soal menjaga jati diri dan identiti? Bukankah kita yang meluluskan semuanya ini?

Thailand membangun bukan kerana mendaulatkan bahasa Inggeris, tetapi disebabkan sikap rakyat mereka yang begitu menyanjung BSR sebagai lambang jati diri dan identiti negara. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi BSR. Pendek kata, BSR berjaya melonjak dan merubah sikap rakyat negara ini, meskipun tidak dinafikan ada kegiatan pelacuran di sana sini.

Ketika bermesyuarat dengan pihak pentadbiran PSU, rata-rata menggunakan bahasa Siam ketika berinteraksi. Cuma sekali sekala menggunakan bahasa Inggeris ketika berurusan dengan kami. Beberapa profesor PSU yang berbangsa Cina begitu fasih berbahasa Siam. Majoriti mereka tidak boleh lagi berbahasa Cina. Mereka tetap nampak hebat.

Negara ini mempunyai hampir 10 saluran televisyen percuma. Boleh dikatakan kesemua saluran tersebut mendaulat bahasa Siam dalam apa jua perkara. Tidak ada langsung bahasa lain digunakan dalam media ini, kecuali sedikit bahasa Inggeris. Akarnya semua Siam, Siam, Siam. Termasuk semua produk luar yang masuk, akan disiamkan terlebih dahulu sebelum dipasarkan.

Ketika melawat bandar, terdapat patung Buddha dan raja mereka di sana sini. Raja dianggap sebagai bayangan Tuhan. Raja mereka disembah dan dipuja. Nasib baik, umat Islam dikecualikan dalam penyembahan sebegini, sebab kita hanya menyembah Allah. Itupun kita masih gagal mempertahankannya kalimah suci yang menjadi identiti kita, terutama apabila ultra kiasu membangkitkan isu ini kembali. Mereka mahukan kerajaan tunduk dan membenarkan kalimah Allah digunakan oleh Kristian. Malangnya, tidak ramai umat Islam yang membantah.

Keadaan kita hari ini begitu cacamerba. Apakah identiti Malaysia sebenarnya? Kuasa lebih dipentingkan daripada IMR. Ternyata bagi orang Siam BSR adalah segala-gala, tidak kira siapa yang memimpin. Kita amat mengharapkan kerajaan tidak akan tunduk dalam mempertahankan kalimah suci ini. Rakan sepakatan ultra kiasu nampaknya menikus. Mereka lebih suka saling mendoakan sesama saudara seagama, agar ditimpa musibah dan mudarat.

Kadang kala saya naik malu, melihat telatah paramugari syarikat penerbangan tambang murah, yang tidak habis-habis dengan ucapan good morning, afternoon, evening dan thank you, serta pengumuman dalam bahasa asing yang menjengkelkan. Naik muak dengan pakaian berwarna merah menyala yang begitu singkat dan terbelah dada. Saya amat hairan kenapa pegawai-pegawai senior syarikat penerbangan yang berbangsa Melayu Islam tidak mampu merubah keadaan ini? Paling kurang, pakailah baju batik dan kebaya.

Perlu diingatkan, jati diri dan identiti sesebuah negara amat penting sebagai cerminan kepada siapakah yang menjadi penduduk asal. Sudah menjadi lumrah, ia akan didaulatkan sama ada melalui kuat kuasa undang-undang, mahupun dimaktubkan dalam perlembagaan. Justeru, bukanlah sesuatu yang ganjil jika kita ingin mempertahankannya.

Terbaharu, presiden Gerakan terus mendesak kerajaan bersama ultra kiasu yang lain, supaya mengiktiraf UEC yang dikeluarkan oleh Sekolah Persendirian Cina. Sedangkan mereka tahu pendirian kerajaan amat jelas. UEC tidak mendaulatkan jati diri dan identiti negara.

UEC dikendalikan oleh Dong Jiao Zong. Kumpulan langsung tidak pernah risau apakah anak bangsa mereka boleh menguasai bertutur, menulis bahasa Melayu dengan baik atau lulus. Yang penting pada mereka sijil ini telah diikhtiraf diperingkat antarabangsa.

Berbanding di PSU, dahulunya, bahasa Melayu menjadi subjek elektif. Kini tidak lagi, martabat bahasa Melayu telah diangkat menjadi subjek minor. Mungkin satu hari nanti menjadi subjek wajib. Menurut pensyarah di sana, sebahagian besar pelajar Siam begitu berminat untuk belajar bahasa Melayu.

Peliknya di sini, apabila bahasa kebangsaan ini diwajibkan dan lulus, masih ada yang menentang kerana mereka menganggap bahasa Melayu tidak penting kerana ia bukan bahasa dunia. Kadangkala, saya sedih apabila kita beriya-iya dalam perkara-perkara yang kurang penting. Sedangkan banyak perkara penting yang perlu difikirkan seperti pembinaan jati diri ini. Misalnya majlis perkahwinan artis baru-baru ini.

Malang sungguh  apabila Pegawai Kementerian Pertahanan turut campurtangan memberikan komen dalam media, satu persatu terhadap pakaian tentera dan polis yang kononnya dipakaikan oleh pengantin tersebut tidak mengikut prosedur tentera. Pada saya, tidak perlulah kita begitu teliti dalam soal remeh ini. Apakah kita sudah tidak ada kerja lain? Kecualilah pasangan ini seorang anggota beruniform atau menyamar menggunakan pakaian tersebut.

Kesimpulan, masa begitu pantas berlaku, tahun 2012 telahpun melabuhkan tirai. Apakah IMR disanjung dan dijunjung sebagai lambang jati diri dan identiti. Sama-sama kita fikirkan sebelum terlambat. Menyambut Tahun Baharu 2013.

Monday, December 24, 2012

Antara kucing dan anjing

9:33 PM Posted by RIDHUAN TEE 30 comments
(Sinar Harian 24 Dis 2012)

Sebagai seorang Muslim, saya amat bersetuju dengan tindakan kerajaan PAS Kelantan berhubung polisi mengasingkan lelaki dan perempuan dalam isu salon rambut. Molek benar, lelaki menggunting atau mencuci rambut lelaki, begitulah sebaliknya, atas alasan mereka sejenis. Tidak batal air sembahyang. Jika inginkan lebih kelembutan, carilah lelaki lembut, tetapi bukan wanita. Biarlah wanita berurusan dengan wanita. Saya fikir ajaran agama lain pun mahukan sebegitu. Tanyalah kaum wanita. Dalam hati mereka sudah tentu ada sedikit perasaan cemburu jika yang memegang atau mencuci rambut atau badan suami mereka adalah wanita. Jika wanita perlu mereka yang sedikit ganas untuk mencuci rambut, maka carilah ‘tomboy’. Dalam maksud, dalam dunia ini kita sentiasa ada pilihan yang terbaik, sebelum mencari yang kurang baik atau bersubahat. Begitu juga lelaki, sanggupkah melihat isteri kita dipegang oleh lelaki.

Bukti-bukti telah menunjukkan apabila lelaki dibiarkan bergaul atau bercampur bebas,, tendensi untuk berlakunya maksiat adalah besar. Misalnya, rumah urut, Spa dan sebagainya. Mula-mula mengurut kaki. Selepas itu, lain pulak yang diurutnya. Maka berlaku perbuatan yang tidak diingini. Sebab itulah, Islam mengingatkan kita supaya menjauhi zina. Ini juga ajaran semua agama. Cuma Islam lebih menonjolkan kerana Islam mahu menyelamatkan maruah manusia sebelum hancur.

Justeru, saya agak teruja membaca berita pada 24 November lalu, apabila kira-kira 80,000 penganut Buddha yang dipimpin Pengasas Kuil Fo Guang Shan di Taiwan, Master Hsing Yun berkumpul di Stadium Shah Alam, bagi menggalakkan gaya hidup harmoni. Hsing Yun,  mengingatkan penganutnya agar mengamalkan nilai-nilai murni, menerapkan kasih sayang dan melakukan kebaikan. Penganut ajaran Buddha harus mematuhi peraturan yakni tidak melakukan kejahatan seperti berbohong, mencuri, pembunuhan dan kesalahan seksual. Jika mereka mengikut ajaran Buddha, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang berdisiplin dan kukuh perpaduannya. Pendek kata, semua ajaran mahu menjaga martabat dan maruah penganutnya.

Di sinilah PAS perlu melakukan penegasan dalam setiap polisi yang ingin dilaksanakan. Jangan gentar atau goyah apabila diserang oleh ultra kiasu. Jangan jadi seperti kucing dan anjing apabila berhadapan dengan ultra kiasu. Lumrahnya, anjing sentiasa menang, yang kucing sentiasa kalah dan mengalah.

Rakan laman muka buku saya, bernama Haji Mansuh mengatakan ungkapan persahabatan PAS dan ultra kiasu ibarat persahabatan antara anjing dengan kucing. Juga disebut dalam pepatah Melayu. Siapa mereka, lu fikirlah sendiri. Hari ini, anjing garang itu berjaya menjinakkan kucing. Jika dahulu, kucing begitu berani mencakar apabila anjing melakukan kesilapan, walaupun saiz badannya kecil. Kini, tidak lagi. Kucing ini tidak lagi mempunyai kuku, walau pun penampilannya masih bermisai, berjanggut dan bermata garang, seperti dahulu kala, sewaktu kucing itu belum berkawan dengan anjing.

Haji Mansuh turut menimbulkan persoalan, antara anjing dengan kucing, siapa yang lebih bijak? Analoginya sebegini. Sebagai pemandu kenderaan berenjin, kita tentu biasa terserempak dengan keadaan dilema anjing dan kucing ketika hendak melintas jalan. Amat nyata perbedaan tahap IQ diantara dua spesis haiwan ini. Anjing, bila dia tersedar ada kenderaan mendatang, dia akan berpatah balik ke bahu jalan sambil menoleh ke kiri dan ke kanan, untuk mengawasi keadaan yang selamat sebelum melintas. Bila keadaan dah selamat barulah anjing itu berlari melintas  jalan.

Berbeza dengan senario kucing, bila tersedar ada kenderaan mendatang, ia akan memecut semahu-mahunya untuk melintas jalan, dengan ‘doa’ moga terselamat. Atau, oleh kerana  terkejut beruk, kucing akan merendahkan diri, dalam keadaan seolah-olah bersedia untuk menerkam musuh yang sedang meluru ke arahnya. Bayangkan…apakah akan terjadi kepada nasib kucing. Jawapannya: Kadang-kadang kucing itu terselamat. Namun, kebiasaannya kucing menggelupur menemui ajal di atas jalan raya.

Saya tidak nafikan kadangkala anjing ada yang mati juga di jalan raya, tetapi, rata-ratanya adalah kucing. Sebenarnya, kedua-dua binatang ada kekuatan masing-masing. Kucing adalah kesayangan Nabi dan kita semua. Manakala, anjing amat berguna untuk menjaga keselamatan, walaupun bernajis.

Kata Haji Mansuh lagi, pelik tapi benar: Saya tak rasa nak marah bila orang panggil saya anjing, tetapi saya rasa lekeh sangat bila orang panggil saya kucing. Saya tak tahu kenapa, tapi mungkin para pengikut-pengikut kucing boleh membantu saya. Dahulu PAS dan ultra kiasu ibarat kucing dengan anjing, tidak boleh bersama dalam satu sangkar. Namun, kita segalanya berubah. PAS dan ultra kiasu boleh duduk, tidur, makan dan minum dalam satu sangkar. Dahulu mereka ini tidak boleh tinggal sekandang. Tetapi kini, bukan sahaja sekandang, mereka boleh berpeluk-peluk lebih erat daripada saudara sebangsa dan seagamanya. Apakah saudara sebangsa dan seagamanya itu, begitu hina berbanding dengan yang tidak seagama.

Cuma saya nak ingatkan, Anjing tetap anjing sampai bila-bilapun. Anjing tidak akan pernah cuba menjadi kucing, tapi kucing tidak pernah serik walaupun kerap kali anjing telah menggigit dan mencakarnya. Malangnya, kucing tetap mencuba sehabis daya untuk bermanja dengan anjing.  Kucing masih mahu menumpang tuah anjing.

Kita tidak perlu menjadi anjing untuk menjadi kuat. Lagipun anjing termasuk dalam najis berat. Biarlah kekal menjadi kucing asalkan berpendirian. Lagipun kucing banyak kelebihan, ia manja, cantik, menarik dan tidak seganas anjing. Sebab itu dakwah kucing mudah berjalan atas sifat-sifatnya itu. Maka tidak hairan Nabi amat sayangkan kucing.

Itu bukan bermakna kita perlu memusuhi atau membunuh anjing. Kerana pernah berlaku dalam satu kisah, seorang pelacur masuk syurga, hanya kerana pertolongannya kepada anjing yang begitu kehausan.

Tidak mengapalah mahu menjadi anjing atau kucing kerana kedua-duanya adalah makhluk Allah. Apa yang penting kita mesti tahu siapa diri kita sebenar. Untuk apa kita ciptakan. Apakah matlamat akhirnya kehidupan? Jika kucing dan anjing sedar diri dan tahu fungsi masing-masing, InsyaAllah kita selamat. Apa yang penting tetapkan pendirian. Jangan mudah goyang atau goyah apabila diserang. Kecilnya saiz kucing bukan bermakna kita lemah. Pendirian kita, kita tidak akan menyerang jika tidak serang, tetapi kita tidak akan menyerang tanpa tentangan.

Monday, December 17, 2012

Politik angka yang menjijikkan

7:57 AM Posted by RIDHUAN TEE 33 comments


(Sinar Harian 17 Disember 2012)

Pemimpin India dari PKR mendakwa lebih 300,000 kaum India yang tinggal di negara ini tiada dokumen pengenalan diri atau tiada status warganegara. Melihat kepada angka tersebut, jelas bermotif politik atau politik desperado, kecuali dibuktikan satu-persatu. Jikapun ada kebenaran, apakah kumpulan perlu benar-benar hidup sebagai warganegara yang menjunjung perlembagaan.

Hujah ini dinafikan oleh Menteri Dalam Negeri. Hanya 308 permohonan diterima. 280 permohonan untuk kad pengenalan merah dan bukan untuk kewarganegaraan.

Angka ini lebih kurang sama dengan sekumpulan kecil yang berdemonstrasi di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya pada 12 Disember 2012, walaupun mereka menjangkakan ribuan yang akan menyertainya.

Sebelum itu, satu lagi politik angka yang menjijikkan, bila mana Dong Zong berdemonstrasi pada 25 Disember 2012 di Petaling Jaya sebagai bantahan kepada Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015. Dalam laporan laman web ultra kiasu, malaysiakini versi bahasa Melayu lebih 6000 hadir dalam protes tersebut. Dalam versi bahasa Inggeris pula 10,000. Manakala akhbar the Sun melaporkan sekitar 3000. Angka mana yang betul? Marginnya begitu besar, hampir separuh. Melihat pada gambar, tidak sampai 3000. Lihatlah bagaimana liciknya mereka memanipulasikan angka bagi menonjolkan mereka hebat.

Dalam tradisi Cina dan India, angka membawa makna dan signifikan. Maka, hairanlah jika ramai yang berkahwin pada tahun ini (tahun naga) dan tanggal 12.12.12. Ada yang sanggup melakukan kelahiran secara paksaan, hubungan seks dan sebagainya, hanya kerana angka. Lebih malang lagi ada kalangan umat Islam pun mempercayainya.

Kenapa angka ini penting ditonjolkan? Percayakah kita kepada angka? Jawapannya, angka mempunyai kaitan dengan ultra kiasu. Istilah yang sekian lama saya gunakan merujuk kepada golongan yang sentiasa mahu menang, tanpa mahu mengalah sedikitpun, untuk mencapai matlamat, walaupun terpaksa menghalalkan cara. Mendesak dan menuntut menggunakan angka.

Apatah lagi mereka tahu Umno BN dalam keadaan tersepit. Politik angka digunakan, bagi memastikan matlamat mereka tercapai, walaupun tanpa bukti. Inilah yang berlaku dalam dua demonstrasi ultra kiasu tersebut, walaupun mereka tahu, tuntutan dan desakan telah dipenuhi.  

Misalnya, sebelum PPPM ini dibentang, pelbagai pandangan telah diambil kira, termasuk jemputan kepada Dong Zong. Tetapi badan ini menolak pintu perbincangan tersebut. Sejurus sahaja apabila dibentangkan, apa yang terkandung dalam PPPM semuanya menjadi tidak betul dan mereka mengambil keputusan berdemonstrasi walaupun ditentang oleh NGO Cina yang lain, termasuk rakan sekutunya Jiao Zong.

Sesiapapun yang membaca PPPM, nampak begitu telus dan terbuka, begitu meraikan bangsa lain, walaupun bangsa sendiri identitinya entah ke mana. Ia tidak langsung meminggirkan pendidikan bahasa Cina dan Tamil. Kerajaan bertindak adil terhadap semua jenis sekolah dan mahu meningkat kualiti pendidikan di semua aliran, kecuali sekolah menengah persendirian Cina yang mengelolakan Sijil Peperiksaan Bersepadu  (UEC).

Ultra kiasu menolak PPPM hanya kerana ada sedikit agenda untuk memandaikan anak-anak mereka dalam bahasa Melayu setelah sekian lama tinggal di sini. Ultra kiasu menolak atas alasan ia menjejaskan kepentingan bahasa Cina.

Pendek kata, jika ada tindakan mendaulatkan agenda negara, maka dikatakan gugatan kepada agenda bangsa dan bahasa mereka. Sedangkan SJKC/T terus bertambah dari tahun ke tahun, bersekali dengan peruntukannya.

Untuk makluman, kewujudan SJKC/T dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28) dan ini dikukuhkan dengan penyataan di dalam PPPM, Bab 7 muka surat 7 hingga 16. Apa lagi sebenarnya yang dikehendaki oleh ultra kiasu jika bukan untuk menonjolkan bangsa dan bahasa mereka? Malah kepimpinan negara telah menyatakan, Malaysia  adalah satu-satunya negara di luar negeri China mempunyai pendidikan sebegini. Operasinya ternyata menenggelamkan agenda kebangsaan. Kita terus bertolak ansur demi kuasa politik.  

PPPM 2013-2015 juga mahu memastikan setiap murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan mendapat akses, ekuiti dan kualiti pendidikan yang sama. Pernahkah ultra kiasu melihat berapa daifnya sekolah agama dan kedudukan maahad tahfiz? Kenapa langsung tidak pernah bersyukur?  

Menurut Kementerian Pelajaran (KPM), pertambahan masa pembelajaran Bahasa Malaysia ke 570 minit seminggu yang dikatakan boleh menjejaskan bahasa ibunda, hanya untuk murid kelas pemulihan di tahap 2, SJKC yang lemah dalam penguasaan Bahasa Melayu (30 peratus sahaja). Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2011 bermula dengan Tahun 1, pada tahun 2014 kohort murid Tahun 1 2011 akan berada di tahun 4 (Tahap 2 KSSR). Pertambahan masa Bahasa Malaysia di SJKC bagi Tahap 1 ialah daripada 270 minit kepada 300 minit manakala bagi Tahap 2 pula ialah daripada 180 minit kepada 270 minit. Perbezaan ini harus dilihat dalam konteks dua sistem yang berbeza iaitu peruntukan masa bagi tahap 2, 180 minit bagi KBSR dan 270 minit bagi KSSR.

Jelas KPM lagi, pertambahan kelas pemulihan sehingga lima jam seminggu atau 300 minit adalah tidak diwajibkan kepada semua murid SJKC kecuali yang memerlukan sokongan kelas pemulihan sahaja. Pertambahan waktu Bahasa Melayu bagi Tahun 4 hingga 6 sebenarnya ialah daripada 180 minit kepada 270 minit. Pertambahan masa satu jam sehari adalah untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Melayu bagi murid yang dikenal pasti tidak menguasai tahap minimum penguasaan bahasa Melayu di Tahun 4 hingga 6 di SJKC/T.

KPM berpandangan adalah lebih baik murid-murid yang belum menguasai bahasa ini dikenal pasti lebih awal di tahun 4, 5 dan 6. Dengan adanya sesi pemulihan selama satu jam setiap hari kepada mereka yang tidak menguasai tahap minimum, dapat membantu mereka menguasai bahasa Melayu sebelum tamat pengajian di peringkat sekolah rendah.

Pertanyaan saya, untuk siapakah sebenarnya yang beruntung daripada PPPM ini? Saya amat mengharapkan kerajaan tidak akan tunduk dengan politik angka yang menjijikkan. Ia sengaja ditonjolkan untuk memenuhi nafsu serakah ultra kiasu yang mahu menenggelamkan identiti negara bangsa ini.