Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, December 03, 2012

Jangan tunduk kepada tekanan

7:04 AM Posted by RIDHUAN TEE 27 comments


(Sinar Harian 3 Dis 2012)

Membaca hasil kajian bersama badan antarabangsa, berpusat di United Kingdom, Equal Rights Trust (ERT) bersama Tenaganita, yang mengatakan kewujudan Perkara  89 (Tanah Simpanan Melayu) dan 153 (Hak Istimewa Melayu dan Bumiputera) Perlembagaan Persekutuan, adalah punca utama diskriminasi kaum dan masalah utama negara ini, atas “Washing the Tigers: Addressing Discrimination and Inequality in Malaysia” amatlah menjelekkan.

Selain perkara 89 dan 153, kajian ini juga turut mempersoalkan beberapa Perkara lain seperti 5(4), 8(2), 9, 10, 11, 12(1), 14, 15, 24, 26 dan 161. Semua perkara ini berkaitan dengan kebebasan, kesamaan dan keadilan. Mereka mahu negara kita mengikut cara hidup mereka yang kononnya mempraktikkan perkara tersebut, tanpa mengambil kira sejarah perlembagaan dan makna keadilan yang sebenar.

Lebih berani lagi, mereka mencadangkan supaya kerajaan Malaysia menghapuskan atau memansuhkan Perkara tersebut, bagi mengelakkan diskriminasi berasaskan etnik. Peruntukan itu juga katanya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Pelik sungguh, kenapa mereka begitu risau dengan perlindungan ini sedangkan ia langsung tidak menghalang hak bukan Melayu dan bukan Islam? Apa tujuan mereka sebenar? Kenapa fokusnya Melayu dan Islam di Malaysia? Bukannya negara-negara lain yang tidak kurang diskriminasinya. Jangan pergi jauh, lihat sahaja negara yang mana umat Islam menjadi  minoriti seperti di China, Filipina, Thailand, Singapura, Perancis, malah di Britian sendiri. Adakah tidak wujud diskriminasi terhadap minoriti?

Pendek kata, diskriminasi di kalangan minoriti adalah sesuatu perkara biasa di mana-mana negara yang bangsa majoriti yang memerintah. Tidak perlu ditonjolkan seolah-olah apa yang berlaku di negara ini terlalu tenat. Pada saya, jika perkataan ‘diskriminasi’ yang ingin digunakan, saya boleh katakan diskriminasi di Malaysia masih lagi ‘positif’, berbanding negara lain yang amat jelas mendiskriminasikan Islam dan umat Islam. Umat Islam yang menjadi minoriti tidak diberikan hak untuk mengamalkan cara hidup sendiri, seperti memakai jilbab atau tudung. Kenapa kajian tidak dibuat di negara-negara ini?

Jika kerana tanah rezab Melayu dan hak istimewa Melayu, menjadikan bukan Melayu miskin atau papa kedana, mungkin saya selaku bukan Melayu, tidak dapat menerima diskriminasi ini. Hakikatnya, dengan wujudnya ‘diskriminasi’ ini, bukan Melayu terus menjadi kaya raya dan kedudukan mereka tidak terancampun. Dengan kemudahan lesen yang diberikan kepada Melayu, akhirnya menjadi hak bukan Melayu kerana Melayu menjualkannya kepada bukan Melayu. Berapa banyak tanah rezab Melayu tergadai ke tangan orang bukan Melayu. Lihatlah betapa banyak produk menggunakan label Melayu dan Islam diperalatkan demi untuk melariskan perniagaannya.

Boleh dikatakan hampir semua milik Melayu telah dinikmati oleh bukan Melayu dalam pelbagai aspek seperti lesen, biasiswa, tanah rezab dan sebagainya. Sehingga sampai ke peringkat tanah kepunyaan kerajaan telah banyak menjadi hak kuil, tokong dan gereja.

Diskriminasi apa lagi jika hari ini terdapat sebesar-besar patung dan gereja di merata tempat untuk memenuhi kehendak minoriti yang berpegang kepada agama, yang rata-ratanya kurang daripada 10 peratus tetapi identiti mereka telah menenggelamkan identiti Melayu dan Islam itu sendiri?

Peliknya, bila ada kajian membuktikan institusi kaum mereka dan ketidakupayaan menguasai bahasa kebangsaan punca masalah punca masalah, semua kalangan ultra kiasu menolak. Bila ultra kiasu melakukan kajian sebegini, mereka mahu memaksa kita menerimanya.

Siapakah mereka mahu campurtangan dalam hal berkaitan dalam negara? Apakah mereka tidak sedar bahawa perlembagaan adalam undang-undang tertinggi dalam sesebuah negara dan ianya berdaulat. Mempertikaikan undang-undang sesebuah bermakna sudah mencabar kedaulatan sesebuah negara itu.

Semua ini adalah agenda Inter Faith Council (IFC) dan 14 perkara tuntutannya yang mahu merosakkan umat Islam dan orang Melayu. Mereka mahukan negara ini tidak ada lagi identiti Melayu dan Islam. Kepentingan bangsa dan agama majoriti tidak lagi dilindungi. Hak asasi manusia mengatasi segalanya. Jika mereka berjaya lakukan di sini, atau memecahkan tembok ini, maka tercapai hasrat mereka menundukkan Islam dan Melayu.

Mereka mahu menjadikan Islam dan perlembagaan kita tunduk kepada norma-norma antarabangsa ciptaan manusia yang boleh menjejaskan akidah kita sebagai umat Islam. Antara norma-norma tersebut adalah; Pertama, Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948. Kedua, Konvensyen untuk menghapuskan semua jenis diskriminasi terhadap wanita (disahkan Malaysia pada 5 Julai 1995). Ketiga, Konvensyen mengenai hak kanak-kanak. Keempat, Deklarasi untuk menghapuskan semua bentuk ketidaktolernasi dan diskriminasi berasaskan agama. Kelima, Deklarasi mengenai hak-hak orang untuk mempunyai kewarganegaraan, suku kaum, agama dan bahasa minoriti. Keenam, Deklarasi Vienna dan pelan tindakan.

Kesemua norma antarabangsa tersebut masih belum disahkan di Malaysia kecuali yang telah disebut. IFC mahukan semua agama mesti mengikut norma antarabangsa tersebut. Norma antarabangsa itu tidak membezakan antara penganut Islam dan bukan Islam. Untuk orang Islam, cara hidup mereka bukan lagi cara hidup Islam tetapi norma-normat antarabangsa tersebut.

Apa jua ajaran Islam yang bertentangan dengan norma tersebut mesti dihapuskan. Pendek kata, agama Islam mesti tunduk norma mereka. Manusia bebas melakukan apa sahaja, termasuk menukar agama. Walaupun namanya orang Islam atau masih mengakui Islam, mereka boleh beramal dengan ajaran agama lain. 

Deklarasi sejagat mengenai hak asasi manusia turut mengatakan setiap orang mempunyai hak untuk bebas berfikir, bersuara, beragama dan sebagainya. Bermakna, status kita sebagai umat Islam bukan lagi tertakluk kepada perintah Allah SWT tetapi kepada perintah manusia yakni norma tersebut. Kita tidak berhak lagi ke atas urusan sesama Islam. Selepas ini, Jabatan Perdaftaran negara tidak ada hak lagi untuk menolak permohonan seseorang untuk menukar agama daripada Islam kepada bukan Islam atas alasan jika permohonan ini tidak diluluskan ia akan merosakkan keharmonian dan kebebasan beragama.

Umat Islam harus berwaspada dan jangan terpedaya dengan semua diayah dan perancangan licik mereka. Mereka akan menggunakan pelbagai cara jika gagal dengan satu cara yang lain. Jangan sampai terperangkap. Pastikan kesucian Islam (Melayu) tidak tunduk kepada norma antarabangsa dan kajian picisan ini.

Monday, November 26, 2012

Jauhnya jurang antara artis dan ilmuan

7:34 AM Posted by RIDHUAN TEE 38 comments


(Sinar Harian 26 Jan 2012)

Saya begitu teruja membaca berita peruntukan sebanyak RM5 juta oleh kerajaan kepada Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M). YA1M merupakan satu badan untuk memajukan kebajikan warga artis tanah air, khasnya anggota yayasan, melalui bantuan meliputi kesihatan, khairat/derma kematian, bencana dan sebagainya.

Tertanya-tanya saya tidak adakah peruntukan atau yayasan kepada ilmuan atau apa jua istilah yang diberikan kepada mereka yang menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar atau penceramah? Akan adakah nanti Yayasan Penceramah 1Malaysia (YP1M)? Ceramah mereka juga diulang dan dipetik berkali-kali. Apa yang mereka dapat? Sedangkan tanggungjawab mereka sudah tentu lebih besar berbanding artis yang majoritinya tidak ada sebarang kelulusan (ijazah).

Penceramah menyampaikan ilmu, membawa manusia ke jalan yang benar. Tanpa ilmu atau ijazah, mereka tidak boleh berceramah sewenang-wenangnya. Sebab itulah tauliah diperlukan.

Berbeza dengan artis, hanya bersandar kepada rupa dan suara serta bakat, sekalipun tidak ada kelulusan. Kehidupan kami tidaklah seglamour artis, yang kadangkala penuh kontroversi. Tugas kami, melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah, menyahut seruan Rasulullah, sampaikan walaupun satu ayat.

Jika dengan menyanyi kita boleh membetulkan masyarakat dan membentuk tamadun, sudah lama saya akan menggalakkan anak buah saya menyanyi. Tetapi menyanyi hanyalah alat untuk berhibur. Tidak banyak unsur-unsur pengajaran yang boleh dipetik, kecuali lagu-lagu berlirikkan ketuhanan, kenabian, nasihat, motivasi dan patriotisme. Realitinya kebanyakan lagu melalaikan dengan muzik menggila. Bayarannya bukan murah, menyanyi satu dua lagu atau satu show, menelan puluhan dan ratusan ribu. Begitu juga dalam mendapat gelaran dan darjah kebesaran. Saya tidak kata semua artis sebegitu.

Kehidupan artis tidak ramai yang boleh dibanggakan. Mereka hanya mula bertaubat apabila usia telah lanjut. Ketika masih ‘bergetah’, mereka memanfaatkan sepenuh kelebihan bakat, rupa dan suara. Apabila sudah tidak ‘bergetah’ lagi, barulah hendak bertaubat atau menjejak tikar sejadah. Lebih malang lagi, tidak ada simpanan di hari tua, kerana terlalu mengejar glamour dan membazir ketika glamour.

Kenapa tidak manfaatkan kelebihan yang Allah berikan dengan jalan yang betul? Jika menyanyi dan berlakon adalah sumber rezeki apa nak buat. Tetapi biarlah kena pada caranya. Bukannya matlamat menghalalkan, dengan mengada-ngada dan sengaja mendedahkan batang tubuh,  terlalu bebas bergaul antara lelaki dan perempuan.  Ada yang menggunakan peluang untuk mengorat orang kaya dan orang bergelar, agar dapat hidup mewah, tidak kira yang bujang mahupun janda.

Sebab itu saya memuji artis-artis yang sejak dari awal, ketika ‘bergetah’, mula menutup aurat dan berusaha untuk menjadi baik. Malangnya, ada juga artis yang pada mulanya berazam untuk menjadi baik, dengan cara dengan pergi menunaikan haji, tetapi tidak bertahan lama. Tudung yang dipakai semakin lama, semakin terungkai. Akhirnya tinggal sejemput, dan selepas ini tidak tahu hilang ke mana…

Saya amat menghargai dan bersyukur apabila ada artis yang mula berubah sejak usia muda. Namun, hati kembali merasa sedih apabila artis membaca berita ada artis mencium tangan kekasihnya apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Industri Muzik baru-baru ini. Ini baru permulaan. Selepas ini, kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Apabila ditanya, kenapa boleh berlaku sedemikian, jawapannya, tidak sengaja kerana terlalu gembira. Inilah akibatnya apabila terlalu gembira sehingga lupakan Tuhan. Saya mohon kepada artis tersebut, supaya berhati-hati pada masa akan datang. Cabaran mengharungi kehidupan artis di luar sana amat getir. 

YA1M tidak diperlukan, jika sejak awal-awal lagi artis kita beringat dan berwaspada. Sudah tentu masa depan mereka lebih cerah. Artis sepatutnya beringat, tanpa ilmu, kecantikan dan bakat mereka hanya sementara. Berjimatlah dan jangan terlalu mengejar glamour.

Kadang kala naik muak melihat upacara karpet merah, pakaiannya mengalahkan artis barat, pelik memelikkan. Terdedah sana sini sehingga nampak yang tersurat dan tersirat. Apabila ditanya kenapa terjadi sedemikian. Jawapannya, ada apa dengan pakaian, janji, hati baik. Lebih malang lagi, tuan punya badan tidak menjawab, kita yang menjawab bagi pihaknya. Jika pakaian itu tidak mencerminkan keperibadian dan hati, tidakkah lebih baik tidak perlu berpakaian langsung?

Saya tidak membantah apa jua aktiviti kebajikan kepada sesiapapun, termasuk dana untuk artis dan seniman khususnya yang berstatus warga emas. Ini tidak termasuk cadangan agar satu skim insurans perlindungan khusus diwujudkan, supaya mereka tidak perlu lagi bergantung simpati orang ramai sekiranya jatuh sakit atau telah berusia. Idea ini satu cadangan yang bagus. Tetapi biarlah menyeluruh, tidak terhad kepada artis sahaja.

Selaku seorang professional, pemikir, pendakwah dan apa juga yang boleh diberikan nama, sudah sampai masanya kerajaan turut memberikan insentif atau menubuhkan Yayasan Penceramah/Ilmuan 1Malaysia (YP1M). Jika diizinkan dibuat perbandingan, saya fikir, jasa penceramah atau penulis lebih banyak daripada artis.

Tulisan ini tidaklah menyalahkan artis. Kita kadangkala terlalu melebihkan artis. Sehinggakan ilmuan diketepikan. Semua iklan atau duta produk, menggunakan artis. Sehingga pemikiran ahli bisnes sama seperti artis. Sampai ke peringkat membunuh nyamuk aedespun masih menggunakan artis. Kenapa tidak ditonjolkan ilmuan atau professional. Paling tidak, mereka lebih mahir dan lebih kenal nyamuk tersebut daripada artis. Ini tidak, mereka yang langsung tidak berkaitan dengan nyamuk menjadi duta nyamuk.  

Ingatan saya kepada semua, apa jua yang ingin kita lakukan, letakkanlah ilmu itu di tempat yang tinggi. Ikutilah jejak Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang tidak mampu meninggalkan harta menimbun setelah kembali ke rahmatullah walaupun beliau seorang seniman yang agung. Jika artis hendak dibantu, pastikan artis itu berilmu. Mudah-mudahan ilmu yang ada dapat digunakan sebagai bekalan menjelang tua. Jika sehingga ke tua pun kita masih jahil, agak sukar juga untuk kita bersimpati. Harta apabila digunakan akan habis. Tetapi ilmu, semakin digunakan semakin bertambah dan semakin menstimulasikan minda kita. Kepada artis, kecantikan dan bakat tidak bertahan lama tanpa ilmu. Justeru, jangan kesamping ilmu, termasuk mendapatkan ijazah, kerana ia amat berguna dalam mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Beza artis kita dengan artis barat adalah, kebanyakan artis barat mempunyai ilmu (ijazah). Sebab itulah mereka tidak memerlukan yayasan itu dan yayasan ini. Mereka juga tidak sengsara di hari tuanya, kerana mereka telah bersedia. Walaupun artis barat tidak cantik, tetapi masyarakat mereka lebih mengiktiraf bakat.

Teringat saya dengan artis Susan Boyle dalam pertandingan British’s Got Talent 2009. Dengan bentuk badan yang besar, rupa kurang, usia agak lanjut, ketika memasuk pertandingan (audition), bakat beliau telah berjaya memukau juri dan penonton. Hingga hari ini, beliau berjaya dan dinobatkan menjadi artis yang hebat. Kenapa? Para artis harus mengkaji dan belajar daripada Boyle. Jangan terlalu bergantung kepada rupa, kerana ia tidak bertahan lama apabila menjelang tua. Namun, jika bakat diadunkan dengan ilmu, alangkah hebatnya kita.

Dalam Islam, adunan bakat dan ilmu tidak berakhir setakat ilmu dunia sahaja. Konsep ilmu dalam Islam berbeza dengan barat. Kita ada ilmu duniawi dan ilmu akhirat. Kedua-duanya mesti diseimbangkan, barulah akhlak artis akan terpancar. Inilah yang dinamakan wasatiyyah (kesederhanaan atai berimbang) yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri.

Di barat walaupun artis mereka mempunyai ilmu, tetapi tidak diseimbangkan dengan ilmu akhirat. Maka tidak hairanlah, jika artis mereka agak pincang sedikit dan penuh kontroversi. Tetapi sekurang-kurang, mereka masih lebih baik berbanding dengan kita yang tidak berilmu, tetapi pada masa sama akhlak buruk dan hidup penuh kontroversi. 

Akhirnya, saya menyeru kepada artis, carilah ilmu, seimbangkan ilmu dunia dan akhirat, jagalah akhlak, moga-moga kehidupan kita diberkati Allah SWT. Nasihat saya juga kepada kerajaan, jangan terlalu fokus kepada artis sahaja, kerana masih ramai lagi khalayak yang memerlukan perhatian dan bantuan. Kita memuji segala bentuk bantuan atas nama 1Malaysia. Namun, pandanglah sama golongan ilmuan. Sejarah membuktikan, tamadun tidak tertegak dengan lambakan hiburan, tetapi tamadun ditegakkan dengan ilmu dan ilmuan  

Sunday, November 18, 2012

Bila orang Islam sokong murtad

10:44 PM Posted by RIDHUAN TEE 52 comments
(Sinar Harian 19 Nov 2012)

Kenyataan ahli parlimen Melayu ultra kiasu mengenai orang Melayu bebas memilih agama, terus mendapat sokongan. Selain daripada sokongan rakan politik sepakatan, seperti yang dijangka, pertubuhan yang dianggotai sekumpulan wanita Islam tetapi anti-Islam, turut memberikan sokongan. Mereka mempertikaikan kenapa ‘masuk Islam boleh, keluar tidak boleh’? ‘Islam mesti ada jalan keluar, bukan satu hala sahaja’. Jarangkan sekali pertubuhan ini bersuara, jika sesuatu isu tidak berpihak kepadanya. Tiba-tiba mereka begitu lantang bersuara menyokong ahli parlimen tersebut.

Apakah makna semuanya ini? Masihkah kita masih buta? Terutama, pimpinan tertinggi PAS yang pada awalnya, bertindak berdiam diri, kini tampil menyokong dan mempertahankan ahli parlimen tersebut. Ramai pakar dalam PAS yang fasih berbahasa Inggeris, terjemahkanlah apa yang diucapkan dengan ikhlas kepada pimpinan mereka.

Saya mendengar satu persatu apa yang diperkatakan dalam you tube. Kenyataan beliau tidak diputar belitkan. Apa yang dilaporkan oleh akhbar tempatan dan laman web ultra kiasu, malaysiakini, memang benar. Kenapa kita masih berdolak-dalik? Kita sepatutnya bertindak mempertahankan kebenaran dan menolak kebatilan. Ini tidak, kita bertindak melihat dia geng kita atau tidak. Ini beginilah cara kita bertindak, kepada siapakah kita harapkan untuk menjaga agama, bangsa dan negara ini.

Pertubuhan wanita jahil Islam ini berkata kebebasan beragama termasuk kebebasan menukar agama jika sudah tidak dipercayai adalah dibenarkan dalam Islam. Memaksa seseorang berpegang kepada agama adalah hipokrasi. Ingin saya bertanya, apakah sandaran yang digunakan untuk berhujah? Paling tidakpun, perincikan apa yang diperkatakan. Ya, tidak dinafikan ada jalan keluar untuk mereka yang mahu murtad atau tidak lagi percaya kepada Islam. Namun, mereka tidak bolehlah boleh murtad sewenang-wenangnya kerana agama Islam bukan agama kedai kopi, suka masuk, tak suka keluar.

Kita semua tertakluk kepada undang-undang, proses dan prosedur. Misalnya, mesti ada proses seperti kaunseling, bertaubat, pujuk, rayu dan sebagainya. Setelah pelbagai usaha dilakukan, tetapi masih berdegil, ketika itu, tanggungjawab kita mungkin telah selesai. Tetapi melepaskan seseorang untuk terus murtad, tidak boleh diterima sama sekali.

PAS sepatutnya tampil ke hadapan memperincikan lagi ‘prosedur murtad’ kepada orang Islam. Bukannya terus menyokong dengan menuding jari, “ini adalah permainan politik kotor UMNO”. Sikit-sikit UMNO. Bezakanlah identiti PAS dengan PKR. Pendek kata, jika ada berita yang disensasikan, mesti kerja UMNO. Letih melihat politik sebegini. Tidakkah sebenarnya peranan kita sebagai pertubuhan Islam menjernihkan yang keruh. Kenapa asyik menuding jari?

Terlalu banyak terbuang kerana menuding jari daripada membincangkan idea dan masa depan agama. Teringat kepada kata-kata barat, great mind discuss idea, average mind discuss event, small mind discuss people. Kita terlalu banyak memperkatakan ‘orang’ daripada perkara asas (idea) itu sendiri sehingga minda menjadi kerdil. Tidak hairan, kita tidak banyak berubah. Masa banyak terbuang memperkatakan orang daripada memberi dan membincangkan idea. Sejarah membuktikan bahawa, kebanyakan negara-negara yang telah mencapai tahap maju, adalah disebabkan mereka banyak menfokuskan idea daripada menuding jari kepada orang.

Idea daripada kawan dan lawan digunakan untuk membangunkan negara. Belajarlah daripada kekalahan Romney kepada Obama. Romney menerima kekalahannya dan akan menyokong membantu pentadbiran Obama dengan menyumbang idea-idea bernas meskipun melalui kritikan. Sikap inilah yang perlu ada pada kita hari ini.

Banyakkan membincangkan idea daripada orang. Misalnya, kenyataan ahli Lembah Pantai itu. Apa yang saya faham, ayat tidak ada paksaan dalam beragama, dalam surah al-Baqarah: 256, adalah ditujukan kepada orang bukan Islam, walaupun semua ayat dalam al-Quran ditujukan kepada manusia. Kita tidak boleh paksa bukan Islam memeluk Islam, kecuali atas kerelaan mereka.

Misalnya, dahulu saya tidak Islam, walaupun saya cenderung terhadap Islam, orang Islam masih tidak boleh paksa saya memeluk Islam, kecuali atas kerelaan saya sendiri. Bila ada kerelaan dan keikhlasan, ketika itu, orang Islam boleh membantu untuk proses pengIslaman seterusnya. Pendek kata, tidak ada unsur paksaan, kecuali dalam kes-kes tertentu dalam zaman dahulu.

Perlu diingat, setelah saya memeluk Islam atas kerelaan sendiri, maka saya tidak boleh keluar daripada Islam atau murtad sewenang-wenang kerana saya telah memilih Islam. Islam terlalu suci dan mulia, sebab itu kita tidak boleh menyalahkan Islam dan keluar Islam, setelah memeluk Islam. Islam bukan agama kedai kopi, keluar masuk sesuka hati, bila ‘dirasakan’ sukar untuk diamalkan.

Soalan sebeginilah yang selalu dipertanyakan, kenapa agama Islam begitu rigid dan tidak adil? Boleh masuk Islam tetapi tidak boleh keluar?  Kenapa tidak ikut seperti Indonesia atau India, tidak perlu memeluk Islam untuk mengahwini bukan Islam?

Perlu saya jelaskan, selain daripada tidak boleh mempermainkan agama Islam seperti kedai kopi, orang (agama) Islam turut dilindungi oleh perlembagaan. Baca Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3, 11 dan Perkara 160 (2), makna Melayu, yang membawa erti, beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan berbudaya Melayu. Bermakna, orang Melayu mesti beragama Islam. Jika keluar Islam, maka, sudah tidak Melayu lagi namanya. Kebebasan menukar agama tidak terpakai kepada orang Melayu (Islam).

Kita mungkin mendengar ada Arab Kristian atau Arab Yahudi dan sebagainya. Tetapi di Malaysia, bila disebut Melayu, mereka mesti menerima Islam sebagai cara hidup, kecuali mereka murtad tanpa pengetahuan seperti yang berlaku dalam beberapa kes.  Inilah perlindungan dalam perlembagaan yang tidak dalam negara lain hatta dalam negara majoriti Islam. Sebab itulah, saya agak sukar untuk menerima pendapat jahil yang mengatakan Malaysia sebuah negara sekular.

Ternyata ultra kiasu Melayu tersebut tidak sensitif atau tidak faham budaya politik negara ini. Mungkin dia baru setahun jagung menceburi bidang politik sehingga menyebabkan beliau mudah atau sengaja tersasul. Kadang-kadang terlalu berlagak pandaipun tidak boleh juga. Tidak mengapa, kita nampak bodoh seketika, asalkan tidak merugikan Islam. Saya amat bimbang dengan umat Islam hari ini, masing-masing hendak menunjukkan pandai. Mereka tidak sedar bahawa ‘kepandaian’ mereka itu sebenarnya boleh menjahanamkan Islam sehingga Islam dianggap sama dengan agama lain atau pluralisme. Kita boleh berkongsi nilai-nilai agama yang mulia, tetapi kita tidak berkongsi agama, kerana akidah berbeza.

Oleh kerana ahli parlimen ini bukan kelulusan agama atau undang-undang, lebih baik jangan terlalu obsess dalam membincang isu-isu ini, kerana boleh membahayakan diri sendiri. Inilah akibatnya apabila kita terlalu ghairah untuk berkuasa. Bila bercakap, tidak fikir implikasinya terhadap agama suci murni ini.

Tuesday, November 13, 2012

Jangan gadai Islam untuk dapat kuasa

12:10 PM Posted by RIDHUAN TEE 106 comments

Jangan gadai Islam untuk dapat kuasa (Utusan Malaysia 13 Nov 2012)

Saya tidak nampak Utusan Malaysia tersalah lapor mengenai berita utamanya, Melayu bebas pilih agama? berhubung pendirian ahli parlimen Lembah Pantai, dalam satu forum anjuran gereja bertajuk, “Islamic State: Which version? Whose responsibility?”. Saya juga membaca berita yang sama dalam laman web ultra kiasu, malaysiakini.

Untuk menerangkan tajuk yang sebegini besar, biarkanlah para sarjana dan agamawan dalam  bidang, yang menunjukkan pandai, bukannya ahli politik yang cetek ilmunya, yang tidak ada latar belakang agama. Akhirnya, siapa yang terperangkap! Tidak perlulah bersikap defensif apabila berita ini disensasikan. Kita yang gatal mulut. 

Jika kita berilmu dan memahami sensitiviti budaya politik Melayu, serta mahir dalam menafsirkan ayat al-Quran, sudah tentu perkara ini tidak berlaku. Saranan saya, jika tidak faham, bertanya. Tetapi jangan mengeluarkan kenyataan seolah-olah mahu menunjukkan kita Muslim yang moderat. Kita adalah Muslim fundamental, yakni berpegang kepada ajaran Islam sebenar. Inilah akibatnya apabila berpolitik bukan kerana mahu menegakkan kesucian agama, tetapi berpolitik untuk mendapatkan undi atau matlamat menghalalkan cara. Teguran ini buat semua parti politik yang majoritinya orang Islam.

Kita terlalu mahu menjaga hati orang lain, sedangkan hati sesama sendiri dihiris, terhiris dan menghiris dilakukan dengan sengaja.  Maka bersoraklah orang bukan Islam mendengar kenyataan demi kenyataan kita, untuk menjaga dan melindungi hati mereka.

Apa yang saya faham, ayat tidak ada paksaan dalam beragama, dalam surah al-Baqarah: 256, adalah ditujukan kepada orang bukan Islam, walaupun semua ayat dalam al-Quran ditujukan kepada semua manusia. Kita tidak boleh paksa bukan Islam memeluk Islam, kecuali atas kerelaan mereka.

Misalnya, dahulu saya tidak Islam, walaupun saya cenderung terhadap Islam, orang Islam masih tidak boleh paksa saya memeluk Islam, kecuali atas kerelaan saya sendiri. Bila ada kerelaan dan keikhlasan, ketika itu, orang Islam boleh membantu untuk proses pengIslaman seterusnya. Pendek kata, tidak ada unsur paksaan, kecuali dalam kes-kes tertentu dalam zaman dahulu.

Perlu diingat, setelah saya memeluk Islam atas kerelaan sendiri, maka saya tidak boleh keluar daripada Islam atau murtad sewenang-wenang kerana saya telah memilih Islam. Islam terlalu suci dan mulia, sebab itu kita tidak boleh menyalahkan Islam dan keluar Islam, setelah memeluk Islam. Islam bukan agama kedai kopi, keluar masuk sesuka hati, bila ‘dirasakan’ sukar untuk diamalkan.

Soalan sebeginilah yang selalu dipertanyakan, kenapa agama Islam begitu rigid dan tidak adil? Boleh masuk Islam tetapi tidak boleh keluar?  Kenapa tidak ikut seperti Indonesia atau India, tidak perlu memeluk Islam untuk mengahwini bukan Islam?

Perlu saya jelaskan, selain daripada tidak boleh mempermainkan agama Islam seperti kedai kopi, orang (agama) Islam turut dilindungi oleh perlembagaan. Baca Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3, 11 dan Perkara 160 (2), makna Melayu, yang membawa erti, beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan berbudaya Melayu. Bermakna, orang Melayu mesti beragama Islam. Jika keluar Islam, maka, sudah tidak Melayu lagi namanya. Kebebasan menukar agama tidak terpakai kepada orang Melayu (Islam).

Di negara Arab, mungkin ada Arab Kristian atau Arab Yahudi dan sebagainya. Tetapi di Malaysia, bila disebut Melayu, mereka mesti menerima Islam sebagai cara hidup, kecuali mereka murtad tanpa pengetahuan seperti yang berlaku dalam beberapa kes.  Inilah perlindungan dalam perlembagaan yang tidak dalam negara lain hatta dalam negara majoriti Islam, kecuali negara kita. Sebab itulah saya agak sukar untuk menerima pendapat jahil yang mengatakan Malaysia sebuah negara sekular.

Justeru, kedudukan Islam mesti dipertahankan bermati-matian daripada dicerobohi oleh orang lain, kerana ada perlindungan. Dalam hal ini, saya boleh berterima kasih kepada kepada Suruhanjaya Reid dan jawatan kuasanya atas perlindungan ini.

Perlindungan ini bukanlah bermakna, hak bukan Islam diketepikan. Ia juga bukan bermakna, agama Islam dan umatnya tidak boleh disentuh atau ditegur. Hakikatnya, kedudukan Islam begitu istimewa dalam perlembagaan, sehinggakan, orang bukan Islam tidak boleh berdakyah agama mereka kepada orang Islam, perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan. Maka, tidak hairanlah kita begitu sensitif perkara berhubung penggunaan kalimah Allah, Injil versi Melayu dan sebagainya. Kenapa baharu sekarang dibangkitkan?

Menurut pemahaman saya, ternyata ultra kiasu Melayu tersebut tidak sensitif atau tidak faham budaya politik negara ini. Mungkin dia baru setahun jagung menceburi bidang politik sehingga menyebabkan beliau mudah atau sengaja tersasul.

Kadang-kadang terlalu berlagak pandaipun tidak boleh juga. Tidak mengapa, kita nampak bodoh seketika, asalkan tidak merugikan Islam. Saya amat bimbang dengan umat Islam hari ini, masing-masing hendak menunjukkan pandai. Mereka tidak sedar bahawa ‘kepandaian’ mereka itu sebenarnya boleh menjahanamkan Islam sehingga Islam dianggap sama dengan agama lain atau pluralisme. Kita boleh berkongsi nilai-nilai agama yang mulia, tetapi kita tidak berkongsi agama, kerana akidah berbeza.

Oleh kerana ahli parlimen ini bukan kelulusan agama atau undang-undang, lebih baik jangan terlalu obsess dalam membincang isu-isu ini, kerana boleh membahayakan diri sendiri. Inilah akibatnya apabila kita terlalu ghairah untuk berkuasa. Bila bercakap, tidak fikir implikasinya terhadap agama suci murni ini.

Kenyataan akhbar beliau yang disiarkan sehari kemudian, agar sukar untuk juga diterima. Jika Utusan tersalah siar, saman sajalah, habis cerita. Saya lihat ahli parlimen yang baru sepenggal ini terlebih semangat, mula menggelabah daripada ‘diserang’ bertubi-tubi. Saya ingatkan bapanya, akan membahaskan apa yang benar, apa yang salah, tetapi nampaknya tidak, beliau terus mempertahankan anaknya.

Dalam kenyataan akhbarnya, ahli parlimen tersebut menegaskan, rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu. “Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata.”

Apakah maksud kata-kata ini? Tidakkah ia membawa maksud seperti yang dilaporkan. Orang Melayu juga bebas memilih agamanya. Lebih menyedihkan, ahli parlimen Shah Alam pun menyokong hujah beliau. Saya harap tidak berlaku taksub kepartian. Bincanglah mana yang benar, mana yang salah. Bukan cuba untuk menutup kesalahan orang lain. Jika salah, ditegur dan dilentur. Ini tidak, asyik menyalahkan Utusan Malaysia sebagai tali barut Umno. Apa sahaja yang Utusan laporkan, mesti Umno. Politik jenis apakah ini?

Kata ahli parlimen itu lagi, "seperti saya yang bersekolah di Assunta (sekolah menengah) dengan salib yang besar di dalam dewan dan nyanyian penganut Katholik tidak mempengaruhi saya,". Bagaimanapun beliau tidak menyatakan orang Melayu sepatutnya diberikan hak dari segi undang-undang berkaitan kebebasan beragama sambil berkata : "Saya, sudah tentu, terikat kepada pandangan semasa." Kepada soalan berhubung hak komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), beliau mengakui, sebagai seorang Islam dan mereka yang menganut Katholik, terdapat batasannya.

Kenyataan ini juga sukar untuk diterima, apa pandangan semasa yang dimaksudkan? Agama Islam tertakluk kepada al-Quran, Hadis dan ijmak para ulamak. Dalam kes ayat 256 Surah Al-baqarah, tafsirannya begitu jelas. Begitu juga soal mengharamkan LBGT? Kalau ada yang tidak mengharamkannya pun, paling kurang, semua agama tidak setuju dengan perlakuan ini. Saya tidak nafikan hak LGBT, tetapi apa yang tersirat di sebalik perjuangan mereka jika bukan untuk mempropagandakan dan menghalalkan aktiviti ini agar diterima sebagai umum.

Ulamak manakah yang dirujuk kepada ahli parlimen tersebut dalam memberikan tafsiran mengenai Islam? Setelah membaca akhbar Sinar Harian, beliau hanya merujuk kepada bekas mufti Perlis, setelah isu ini disensasikan. Kenapa bekas mufti tersebut tidak rujuk sebelum kenyataan dikeluarkan? Nasihat saya, kalau tidak faham, rujuklah ‘ulamak’ dalam PKR yang menghadiri majlis al-Arqam itu. Menteri Besar Kelantanpun tidak berani memberikan komen ke atas kenyataan tersebut.  

Saya cadangkan ahli parlimen tersebut, mengamalkan budaya merujuk pakar jika ingin mendukung program pendidikan dan dakwah untuk memperkukuh aqidah dan meningkat kefahaman terhadap Islam. Bukan menunjuk pandai terlebih dahulu. Kemudian apabila sudah terjebak baharulah ulamak dirujuk.

Orang Islam tidak boleh murtad (atau pura-pura) dalam apa jua keadaan sekalipun, kecuali antara hidup dengan mati, seperti peristiwa Mashitah dan Firaun, sama ada terjun atau tidak, ke dalam kawah air panas yang sedang menggelegak. Namun, Mashitah memilih untuk tidak menyamar dan terjun ke dalam kawah panas. Apakah kita boleh sewenang-wenang mengatakan umat Islam bebas untuk memilih agamanya atas dasar sama hak dengan bukan Islam?

Akhirnya, saya nasihatkan, ahli parlimen tersebut tidak perlu kesal jika ada usaha kalangan yang cuba memutarbelitkan kenyataan beliau seolah-olah beliau meremehkan soal aqidah atau mudah menerima orang Islam yang memilih untuk murtad. Persoalan saya, kenapa kita memberikan ruang untuk kenyataan kita salahertikan. Ini bermakna, kenyataan tersebut tidak jelas, membawa makna tersurat dan tersirat. Perlu diingatkan juga, berita daripada akhbar dan portal pembangkangpun tidak kurang juga memutar belitkan berita-berita lawannya.