Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Sunday, August 29, 2010

Merdekakan pemikiran perkauman

5:52 AM Posted by RIDHUAN TEE 265 comments
Mingguan Malaysia, 29 Ogos 2010

Menjelang hari kemerdekaan negara, saya selalu teringat tiga orang pegawai British yang banyak berjasa kepada Tanah Melayu iaitu R.O. Winstedt, George Maxwell dan Frank Swettenham. Walaupun mereka tinggal tidak lama di sini, lebih kurang 30 tahun, namun mereka bertiga ini begitu gigih menentang Malayan Union yang cuba diperkenalkan oleh ketua mereka pada tahun 1946. Suara keras mereka kedengaran melalui akhbar-akhbar di London, tidak kurang di sini.

Mereka cukup memahami pemikiran, psikologi, toleransi dan cara hidup Melayu serta kedudukan bangsa Melayu di kepulauan Melayu. Pendek kata, walaupun mereka bukan Melayu, mereka tidak sanggup melihat hak-hak Melayu dan Islam dicabut di buminya sendiri. Mereka tidak kisah menerima kutukan bangsanya disebabkan oleh pendirian yang bertentangan. Atas dasar berani kerana benar, takut kerana salah, mereka sanggup menghadapi risiko yang begitu besar. Niat mereka ikhlas, mereka tidak mahu bangsa mereka dikutuk selepas ini disebabkan oleh terlalu agresif atau terlalu ultra kiasu.

Mereka bersama-sama pejuang-pejuang Melayu Islam yang lain berhempas pulas memastikan Malayan Union gagal. Tindakan mereka ternyata membuahkan hasil. Tanah Melayu kembali kepada orang Melayu. Bayangkanlah jika orang bukan Melayu bersama-sama menentang Malayan Union, saya akan turut berbangga hari ini, kerana bangsa telah melakukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Saya tidak mahu bangsa saya dituduh mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain. Biarlah kita mengambil kesempatan ketika orang lain kuat. Itu lebih bermaruah daripada menahan lukah di pergentingan. Inilah maksud kemerdekaan yang sebenar, berkorban jiwa raga demi agama, bangsa dan negara.

Kini sudah 53 tahun kita mencapai kemerdekaan. Sepatutnya, semakin lama kita merdeka, ia semakin mematangkan kita. Kita akan lebih memahami sejarah negara. Ini tidak, ada segelintir yang cuba memutar-belitkan sejarah dan menuntut sesuatu yang di luar dugaan. Mereka sudah lupa wajah-wajah tokoh kemerdekaan yang telah banyak berkorban.

Apa yang lebih ditonjolkan adalah tokoh-tokoh berasaskan bangsa yang sumbangannya tidaklah sehebat sumbangan mereka yang sanggup berkorban nyawa seperti Tok Janggut, Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Mat Salleh, Rentap dan sebagainya. Lebih menyedihkan lagi ada yang sanggup mengenengahkan ahli kumpulan Bintang Tiga (MPAJA) sebagai pejuang kemerdekaan, sedangkan sejarah membuktikan bahawa mereka ini memperjuangkan ideologi komunis.

Jika kita tinjau sejarah kemerdekaan, para pejuang kemerdekaan sebenar adalah pahlawan-pahlawan Islam. Sila baca sejarah kebangkitan nasionalisme Melayu (Islam) dan faktor-faktor kebangkitan seperti pengaruh Islam, akhbar, bahasa dan kesusasteraan dan sebagainya. Daripada semua faktor ini, saya boleh ringkaskan, faktor agama Islam amat kuat menpengaruhi kebangkitan Melayu ketika itu. Islam menyatukan mereka meskipun berbeza latar belakang. Mereka sanggup mengenepikan kepentingan peribadi dan parti, semata-mata untuk memastikan tanahair ini bebas dari cengkaman penjajah.

Justeru, hari ini tidak timbul soal kita tidak boleh bersatu atas semangat ini. Masalahnya kita saling tuduh menuduh dan kafir mengkafir antara satu sama lain. UMNO dikatakan sekular kerana mempertahankan perlembagaan kafir (Perlembagan Reid). PAS mendakwa mereka sahajalah parti yang memperjuangkan Islam. Persoalannya, tidakkah kita boleh manfaatkan ruang dan peluang yang sedia ada (perlembagaan) untuk meninggikan syiar Islam? Kenapa kita harus saling bercakaran?

Pada saya, syiar Islam berkembang hari ini disebabkan oleh ruang dan peluang yang ada dalam perlembagaan menyebabkan ia tumbuh subur. Untuk melaksanakan hudud, maka pindaan perlembagaan perlu dibuat. Persoalannya bolehkah perlembagaan dipinda jika umat Islam tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam parlimen? Jika bukan Islam termasuk ultra kiasu tidak menyokong hudud, bagaimana ia boleh dilaksanakan?

Saya hanya tersenyum simpul apabila membaca respon pemimpin nombor satu parti ultra kiasu terhadap pandangan Mursyidul Am PAS mengenai cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud. Spontan selepas itu, pemimpin parti ultra kiasu menjawab janganlah bermimpi untuk melaksanakan hudud. Seperti biasa jawapan Mursyidul Am PAS adalah, ultra kiasu masih tidak faham Islam, itu pendapat peribadi.

Persoalannya, takkanlah sudah sekian lama tidur sebantal masih tidak faham-faham lagi? Sebelum ini PAS mendakwa, sejak berkawan dengan mereka, ultra kiasu sudah semakin berubah, banyak membaca buku-buku Islam dan menjadi pro-Islam. Yang menjadi masalah hanya golongan tua ultra kiasu, generasi muda mereka didakwa begitu sayang dan memahami Islam serta setuju dengan perlaksanaan undang-undang Islam. Bagus juga sangka baik ini, sekurang-kurang dapat membuka mata dan minda kita. Ini mungkin juga disebabkan oleh doa khatib-khatib PAS dalam khutbah jumaat.

Persoalannya, adakah benar ultra kiasu sudah mendapat hidayah? Sejak dari dahulu lagi parti ultra kiasu menolak sebagai bentuk perlaksanaan cara hidup Islam di negara ini. Masihkan kita tidak mengenali antara musuh dan sahabat? Saya yakin, jika Mursyidul Am PAS mencadangkan kepada UMNO, paling kurangpun UMNO akan berkata, kita tangguh dahulu, menolak tidak mungkin sekali, kerana UMNO adalah parti orang Islam.

Ultra kiasu sentiasa merujuk tahun 1988 sebagai hujah untuk menolak undang-undang dan negara Islam. Pada ketika itu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hanya undang-undang sivil terpakai di sesebuah negara sekular. Jika inilah hujahnya, bermakna perlembagaan persekutuan perlu dipinda. Bagaimanakah perlembagaan persekutuan boleh dipinda jika tidak ada majoriti dua pertiga. Justeru, sudah sampai masanya PAS dan UMNO bersatu untuk melaksanakan undang-undang Islam.

Namun begitu, sanggupkah Mursyidul Am PAS menyahut cabaran ini? Prejudis PAS terhadap UMNO terlalu tinggi, berbanding sangka baik mereka terhadap ultra kiasu. Semakin kuat PAS bercakap pasal Islam, semakin kuat pula ultra kiasu menentang Islam. Sudah sampai masanya PAS membuat kajian kenapa ultra kiasu masih menentang Islam daripada memberikan jawapan simplistik, mereka masih belum faham Islam disebabkan UMNO.

Kadangkala saya cukup hairan, kenapa kita begitu ghairah dengan hudud, sedangkan ruang dan peluang untuk kita melaksanakan cara hidup Islam yang lain masih terbentang luas? Gunakanlah ruang dan peluang terlebih dahulu. Beritahu kepada mereka larangan Islam seperti zina, judi, seks bebas, dan sebagainya adalah isu bersama atau isu semua agama. Saya yakin, isu inipun tidak dapat dipersetujui oleh ultra kiasu, sebab mereka memperjuangkan hak-hak asasi manusia dan negara sekular.

Tidakkah lebih baik setelah bukan Islam faham nanti, barulah kita bersama-sama fikirkan cara untuk melaksanakan cara hidup Islam sepenuhnya? Ini tidak, masa dan tenaga banyak terbuang memikirkan sesuatu yang amat sukar untuk dilaksanakan.

Yakinlah, hari ini UMNO sudah banyak berubah berbanding dahulu. Ya, dahulu memang UMNO kuat buat endah tidak endah apabila bercakap tentang Islam. Namun, hari ini semakin ramai generasi muda yang cenderung kepada Islam. Cuma pendekatannya sahaja berbeza dengan pendekatan PAS. Saya tidak menafikan peranan PAS yang turut menyumbang kepada UMNO untuk memahami Islam dan melaksanakan cara hidup Islam walaupun belum sepenuhnya.

Cubalah buat sedikit perbandingan bagaimana ultra kiasu bersatu dan mendesak kita. Terbaru, mereka mendesak agar dua orang pengetua sekolah yang mengeluarkan kenyataan rasis meletak jawatan atau ditukarkan. Isu pengetua rasis dijadikan berita utama saban hari seolah-olah tidak ada lagi berita lain dalam media mereka. Tujuannya tidak lain, untuk menunjukkan suara mereka kuat dan boleh menggugat kedudukan kerajaan yang memerintah. Mereka bersatu hati dan tidak pernah berputus asa mendesak kerajaan mengenakan tindakan terhadap mereka yang kononnya didakwa sebagai rasis, sehinggalah kerajaan tunduk, barulah mereka berpuas hati.

Saya juga ingin melihat mereka melakukan tindakan yang sama terhadap insiden menyimbah cat merah dan botol arak di salah sebuah surau di Seremban baru-baru ini. Adakah mereka bertindak sedemikian? Adakah umat Islam bertindak seperti mereka memaksa pesalah-pesalah tersebut dibicarakan atau dipenjarakan? Yang saya lihat, kita cuba tutup isu ini. Malahan identitinyapun kalau boleh kita mahu rahsiakan. Kalau boleh, kita mahu cepat-cepat ‘cover’ isu ini dengan mengatakan ia tidak kaitan dengan isu rasis. Persoalannya, kenapa bila pada kita semuanya rasis? Siapakah sebenarnya rasis?

Remaja yang terlibat dalam insiden membakar gereja dikenakan hukuman penjara lima tahun. Itupun masih ada yang tidak berpuas hati dengan hukuman tersebut.

Bagaimanapun, insiden surau ini tidak banyak diperbesarkan seperti mana isu pengetua rasis, malah umat Islam menerimanya melalui permohonan maaf. Sifat terpuji ini amat saya kagumi. Bukannya seperti politik ultra kiasu, bila kena orang Islam, macam-macam tindakan mahu dikenakan. Namun, bila kena pada batang hidung sendiri, disenyapkan dan cukup sekadar permohonan maaf. Merdekakah kita? Kenapa tidak menghargai toleransi ini? Siapakah yang lebih bertoleransi?

Sama juga insiden kenyataan Ketua Wanita Gerakan, apabila beliau mengeluarkan kenyataan bahawa orang Melayu itu adalah juga pendatang sepertimana orang Cina dan India. Adakah itu kenyataan ini tidak rasis? Saya jarang pernah dengar ultra kiasu mendesak beliau meminta maaf, atau dipaksa letak jawatan atau ditukarkan ke mana-mana? Yang saya dengar mereka menyokong lagi kenyataan tersebut. Kena pada orang lain, buat-buat pejam mata, kena batang hidung sendiri, melompat seperti cacing kepanasan.

Satu kes lagi, Namewee pernah rapkan lagu kebangsaan Negaraku dan lagu-lagu lain yang kandungannya menghina orang Melayu, hak istimewa orang Melayu, agama Islam, Tenaga Nasional, polis dan sebagainya. Saya minta para pembaca membuat carian dalam internet. Pernahkah parti-parti ultra kiasu dan akhbar-akhbar yang sewaktu dengannya, menyuruh beliau minta maaf seperti mana yang didesak terhadap pengetua rasis? Jika orang lain semuanya rasis, orang sendiri tidak rasis. Malah, tindakan Namewee turut disanjung. Beliau dianggap sebagai hero.

Air mata saya mengalir bila membaca komen daripada salah seorang pengunjung blog berbangsa Cina yang menggunakan nama CinaMalaysia dengan kata-kata: “inilah masalah segelintir kami, apabila kami bercakap sedikit mengenai perkara yang kononnya kurang memihak kepada kami, ramai rakan-rakan sebangsa kami akan mengatakan bahawa kami ini sudah dihasut. Hinakah kami kerana kononnya gagal berfikir dengan baik”?

Pandangan CinaMalaysia dalam blog saya dikutuk habis-habisan. Hanya kerana Cina yang memahami sejarah berhujah, mahukan bukan Melayu menghormati perlembagaan, dan menghargai orang Melayu yang terlalu banyak bertoleransi kepada bukan Melayu.

Saya fikir jika ramai orang seperti ini dalam negara kita setelah 53 tahun merdeka, sudah tentu kita boleh tumpukan seluruh masa dan tenaga untuk membangun ummah dan negara. Malangnya, masih ramai di luar sana yang ultra kiasu. Asyik bercakap soal hak dan tidak pernah bersyukur. Inilah yang membantutkan pembangunan negara.

Saya fikir kerajaan yang diketuai oleh orang Islam semakin terbuka. Statistik terbaru menunjukkan bahawa peningkatan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam bertambah lebih dari seratus peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Kenapa kita masih belum berpuas hati? Malah, berbagai pasukan pemantau ditubuhkan untuk memastikan setiap bangsa mendapat lebih apa yang sepatutnya dia dapat? Apakah ini dinamakan kemerdekaan sebenar?

Kita sepatutnya berfikir dan merancang untuk membina bangsa Malaysia berasaskan perlembagaan. Bangsa Malaysia sepatutnya telah terbentuk sejak awal-awal lagi apabila kontrak sosial diterima. Malangnya, kita terus melayan tuntutan demi tuntutan sehingga akhirnya keadaan menjadi caca merba. Setiap bangsa mengikut cara masing-masing yang langsung tidak mencerminkan bangsa Malaysia. Itupun mereka tidak berpuas hati.

Justeru, saya pohon bacalah sejarah negara ini dengan hati yang terbuka. Janganlah terlalu melihat orang lain rasis, sebenarnya kitalah yang terlalu rasis. Tetapi sengaja ditutupkan supaya tidak nampak rasis. Kita sebenar masih belum merdeka. Pemikiran kita terhadap kaum sendiri amat menebal.

Kenapa kita yang telah begitu lama hidup bersama masih tidak memahami psikologi dan cara pemikiran serta budaya masing-masing, berbanding dengan Swettenham, Maxwel dan Winstedt. Tidakkah wajah-wajah ini dan semangat mereka sepatutnya muncul setelah 53 tahun kita merdeka? Selamat menyambut hari kebangsaan.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, August 22, 2010

Belajar dari bangsa berjaya

5:30 AM Posted by RIDHUAN TEE 602 comments
Mingguan Malaysia 22 Ogos 2010

Pantang ada bukan Melayu yang cuba memuji Melayu (Islam) dan dasar kerajaan, pasti akan dihentamkan oleh ultra kiasu. Terbaru, pemaju hartanah utama negara SP Setia Berhad, sebangsa dengan saya, dikutuk rapat golongan ultra kiasu melalui kenyataan yang agak pro kepada dasar kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB). Kenyataan beliau yang mahukan bukan Melayu bersyukur atas dasar hari ini yang turut menguntungkan mereka, amat tidak disenangi oleh laman web ultra kiasu. Itulah wajah mereka sebenarnya. Tidak pernah bersyukur, pada masa sama terus mengaut keuntungan dari apa yang ada dan dimanfaatkan.

Logik yang diberikan untuk mengatakan bahawa orang bukan Melayu sudah jauh meninggalkan orang Melayu amat jelas. Pertama, terdapat lebih syarikat milik bukan Melayu yang tersenarai dalam Bursa Malaysia berbanding bumiputera. Kedua, statistik majalah Forbes menunjukkan masyarakat Cina telah telah berjaya sejak 30 tahun lalu. Ketiga, syarikat-syarikat dikuasai Cina mewakili 37 peratus pasaran modal di antara 100 syarikat Malaysia yang disenaraikan, berbanding tujuh peratus kalangan orang Melayu. Keempat, individu kaum Cina menguasai 73 peratus kekayaan yang dimiliki 40 orang terkaya di Malaysia dan lapan dari setiap 10 orang kaya adalah Cina.

Persoalannya, adakah orang Cina dilayan dengan buruk? Kata pemaju itu lagi, bukan Melayu (Cina) mesti belajar untuk memberi. Kita mesti belajar untuk mengambil satu langkah ke belakang. Kita juga harus belajar untuk hidup bersama budaya dan pemikiran mereka. Orang Melayu masih bimbang bahawa rakan niaga Cina menggugat perniagaan mereka jika tiada dasar pro-Melayu yang melindunginya.

Jika yang memberi pandangan itu adalah kalangan bukan sebangsa, saya tidak fikir ia akan dihentam. Tetapi dek kerana beliau sebangsa dengan saya, maka komen buruk dan negatif ke atas dirinya tidak pernah habis. Peribadinya dicemuh dan dihentam. Inilah nasib yang menimpa diri kami, bercakap sedikit menyebelahi Melayu, Islam dan beberapa dasar kerajaan, seluruh keturunan dihina dan dikeji. Kenapa bukan hujah yang telusuri dan didiskusi?

Selama inipun saya telah banyak bercakap, dasar kerajaan yang menyebelahi Melayu (bumiputera) memang menguntung bukan Melayu, sebab Melayu adalah pelanggan, manakala bukan Melayu adalah pengeluar (pembekal). Seramai manapun pengusaha Melayu muncul, mereka masih bergantung kepada bukan Melayu. Itulah hakikat yang sebenarnya. Justeru, tidak timbul isu 30 peratus peruntukan ekuiti kepada bumiputera untuk dikongsikan. Peruntukan tersebut adalah kecil berbanding dengan populasinya melebihi 60 peratus.

Kajian demi kajian telah dibuat, termasuk sarjana bukan Melayu seperti Tan Teong Jin, Ho Wah Foon dan Tan Joo Lan (2005) akan keberuntungan bukan Melayu melalui polisi ini. Namun, ultra kiasu tetap ultra kiasu. Apa yang kerajaan cuba buat semua tidak betul. Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang sahaja yang betul kerana didakwa mengikut urus tadbir Umar Abdul Aziz sehingga mencairkan kita. Kerajaan Kedah dan Kelantan masih dalam perhatian, ditakuti terlalu keIslaman, kerana masih tidak mengikut rentak ultra kiasu sepenuhnya. Dengan sebab itu, mereka agak membisu apabila kerajaan Kelantan cuba memperkenalkan penggunaan Dinar. Logiknya, dinar mempunyai kaitan dengan Islam.

Jika ultra kiasu pro-Islam dan mahu mengikut urus tadbir Khalifah Umar Abdul Aziz, sudah tentu hasrat murni kerajaan Kelantan akan disokong awal-awal lagi. Tetapi nampaknya mereka begitu berhati-hati dalam hal ini. Dengan sebab itu, saya amat ragu-ragu dengan idea mencontohi urus tadbir Umar Abdul Aziz.

Apa yang berlaku di Sibu, Sarawak semakin mencurigakan saya. Misalnya, tindakan pertubuhan ultra kiasu di bahagian Sibu yang mahu menukar nama Sibu kepada nama asalnya, kononnya Shi Wu. Kenapa baru sekarang nama Sibu mahu ditukar? Lagipun makna Shi Wu tidak membawa makna yang baik, merujuk kepada ahli sihir wanita. Nama Sibu sudah lama terpahat dan mudah disebut, tanpa berbelit-belit lidah. Saya cadangkan golongan ini bacalah sejarah pribumi Sabah dan Sarawak. Jika terlalu sukakan nama-nama berasaskan bangsa, tampallah nama-nama warisan bangsa di sekeliling rumah, tidak siapa yang menghalang. Tetapi janganlah melakukan sesuatu yang ultra di hadapan khalayak. Baru mencapai sedikit kemenangan dalam pilihan raya baru-baru ini sudah begitu berani. Bayangkan jika mereka berjaya memerintah negara sepenuhnya. Saya mohon kita semua bukalah mata dan bukalah minda.

Golongan ini selalu mendakwa mereka memperjuangkan kepentingan semua kaum, hakikatnya mereka amat berbau perkauman. Janganlah kerana ada seorang dua orang Islam Melayu yang diambil bekerja dalam syarikat atau pertubuhannya, kitapun mendabik dada dengan mengatakan kita berjuang untuk semua. Kemudian, secara halus atau secara diam merampas hak orang lain.

Terbaru, saudara ipar saya telah pergi ke sebuah syarikat perumahan ultra kiasu untuk membeli rumah di bawah kuota bumiputera bagi melayakkan beliau mendapat diskaun tujuh peratus, keistimewaan yang didakwa oleh parti ultra kiasu yang mesti dihapuskan. Setelah pergi ke sana, maka ditunjukilah rumah diskaun tujuh peratus di bahagian simpang tiga, lokasi yang sudah tergolong dalam kategori tidak terjual kerana dianggap sebagai lokasi sial.

Inilah keistimewaan tujuh peratus yang kerap kali dibangkitkan. Lokasi sial yang ditinggalkan kepada bumiputera untuk mendapatkan diskaun. Ditanya lagi, tidak adakah lokasi yang lebih sesuai. Maka ditunjukkan oleh pekerja-pekerja ultra kiasu tersebut semua tempat telah penuh, walaupun rumah tersebut masih belum dibeli atau masih belum ada yang punya. Selepas itu, mereka akan membuat laporan bahawa kuota bumiputera tidak terjual.

Lihatlah betapa liciknya perancangan segelintir mereka. Kemudian perkara ini diperbesar-besarkan dengan harapan diskaun tersebut dihapuskan. Baru hati puas. Sebenarnya keistimewaan tujuh peratus tersebut hanya dalam kertas. Sudah tidak ada keistimewaan yang sebenarnya. Persoalannya kenapa mereka terus mendesak untuk dihapuskan?

Sama juga isu yang selalu dijadikan hujah iaitu kuota biasiswa belajar di dalam atau di luar negara dan peluang kerja dalam perkhidmatan awam. Kita sengaja tidak mahu melihat dari sudut sebaliknya, tetapi terus mendesak supaya semua ‘keistimewaan’ tersebut dihapuskan. Ramai rakan saya yang menghantar anak-anak mereka menyambung pelajaran keluar negeri dengan perbelanjaan sendiri. Alasannya, mereka tidak mahu anak-anaknya terikat kontrak perjanjian apabila mendapat biasiswa.

Itulah timbal balik mereka yang mendapat biasiswa dan seterusnya bekerja dalam perkhidmatan awam. Justeru, kajian perlu dibuat kenapa kadangkala ada yang tidak berminat memohon biasiswa, bukan hanya menyalahkan pihak kerajaan yang tidak dapat memenuhi permintaan yang begitu banyak.

Itupun masih ramai yang tidak balik apabila tamat pengajian dan terus bekerja di negara asing walaupun biasiswa ditaja oleh kerajaan. Mereka khianat dengan amanah yang telah diberikan. Pada mereka, gaji perkhidmatan awam tidak seberapa berbanding dengan sektor swasta.

Saya tidak pernah mendapat biasiswa ketika belajar bermula dari ijazah pertama hinggalah Phd. Semuanya menggunakan biaya sendiri. Saya tidak terikat dengan kontrak. Namun ultra kiasu menuduh semua pembelajaran saya ditaja oleh kerajaan sehingga menjadi tali barut UMNO. Tujuan serangan dan fitnah ini dibuat tidak lain, supaya menunjukkan bahawa apabila seseorang beragama Islam, maka dia akan mendapat pelbagai kemudahan, termasuk keistimewaan Melayu dan bumiputera. Fitnah yang tidak benar dijadikan hujah untuk terus mendesak kerajaan membuka dan menghapuskan dasar sedia ada.

Terbaru, menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam pertemuan dengannya NGO ultra kiasu mengatakan tidak salah untuk sesiapa pun membangkitkan hak mereka, termasuk sehingga menggugat hak dan kepentingan orang lain. Siapa kata salah? Persoalannya, pandangan yang dibangkitkan itu terlalu ultra kiasu. Itulah yang menjadi masalah. Tuntutan melampau sehingga menyentuh sensitiviti kaum dan agama yang telah termaktub dalam perlembagaan. Saya teringat kata-kata Dato Onn Jaafar, berbaik-baiklah dengan bangsa lain dalam pekerjaan mencari nafkah, tetapi kita mesti ingat bahawa sejarah asal-usul negara ini mesti diutamakan.

Kadangkala saya keliru, apakah tujuan perkara tersebut dibangkitkan? Saya cukup bimbang dengan sikap mahu menunjukkan diri supaya kita mahu diterima oleh semua orang. Maka kitapun mendapat tepukan gemuruh, sedangkan orang lain merancang sebaliknya. Saya cadangkan supaya kita sibukkan diri banyakkan berdialog dengan NGO-NGO ultra kiasu, baharulah kita akan dapat tahu betapa ultranya mereka. Sekali bertemu belum tentu dalam menyelami akal budinya.

Saya tidak mahu komen banyak soal tuntutan mendapatkan hak sama rata dan sama rasa dalam kek ekonomi. Saya sudah muak membahaskannya.

Nasihat saya, jika masih tidak pasti. Belajarlah. Kadangkala di kalangan masyarakat kita, ada yang faham, tetapi buat-buat tak faham. Bagi yang tidak faham pula, tidak mahu belajar, tetapi ego. Akhirnya, keluarlah kenyataan atau pandangan yang amat menyakitkan hati. Sama juga isu judi dan arak yang telah dibangkitkan sebelum ini. Janganlah kerana ada kalangan ahli keluarga kita yang mungkin terlibat dengan arak dan judi, menjadikan kita mahu menghalalkannya. Matlamat tidak menghalalkan cara. Agama Islam tidak boleh disamatarafkan dengan agama lain.

Kenapa kita tidak bersatu dalam senyap seperti orang lain. Lihatlah Kongres Ekonomi yang dianjurkan oleh MCA 14 Ogos lalu dan kaitan dengan apa yang telah saya bangkitkan. Suara ultra kiasu parti ini begitu lantang dari sebelumnya, walaupun moralnya tidak sehebat mana. Sudahkah kita lupa artikel saya bertajuk bersatu dalam senyap? Ultra kiasu lantang mengkritik dan bersuara, segelintir sahabat mereka dalam parti komponen Barisan Nasional bukan hanya memujuk tetapi begitu berani dan secara terbuka menyuarakan hasrat ultra kiasu itu.

Walaupun suara ultra kiasu mereka ini mendapat tentangan hebat daripada beberapa pertubuhan Melayu seperti Perkasa, termasuk laporan polis turut dibuat. Saya yakin, selepas ini kerajaan akan mempertimbangkannya. Ya, kita tidak akan memberi kesemuanya apa yang dituntut, tetapi kita akan beri sedikit. Sedikit itulah kemenangan besar kepada mereka.

Inilah strategi demi strategi yang ditunjukkan oleh bangsa yang berjaya. Masihkah kita tidak mengambil pengajaran. Sebenarnya, selama ini strategi tersebut sudah lama berjalan, kita sebenarnya tidak mahu belajar daripada bangsa berjaya ini.

Berdasarkan sejarah, jika sesebuah bangsa itu mahu berjaya, bangsa tersebut hendaklah mengambil iktibar dan cuba aplikasikan resepi kejayaan bangsa lain. Dalam Islam tidak salah mengadaptasikan ciri-ciri bangsa berjaya sekiranya tidak bertentangan dengan asas beragama.

Ketika zaman kegemilangan Islam di bawah pemerintahan Khalifah al-Makmum, sumber ilmu dari Tamadun Yunani diadaptasikan oleh para ulama seperti al-Kindi, al-Farabi dan Ibnu Sina. Mereka menggunakan ilmu daripada tamadun tersebut untuk memajukan tahap keilmuan mereka tanpa mendewa-dewakan secara melampau ilmu tersebut.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, August 15, 2010

Jangan terlalu berani mencabar

5:34 AM Posted by RIDHUAN TEE 491 comments
Mingguan Malaysia 15 Ogos 2010

Kolumnis ultra kiasu The Centre for Policy Initiative (CPI), dalam artikel terbarunya minggu lalu, berulang kali menyebut nama saya. Artikel kontroversinya turut mengundang laporan polis oleh Perkasa. Saya hanya ketawa kecil membaca artikel tersebut kerana ternyata kolumnisnya amat jahil dalam memahami sejarah dan kehidupan bernegara, apatah lagi untuk memahami perlembagaan.

Beliau yang tinggal di bumi bertuah ini langsung tidak bersyukur, malah mempersendakan dan menghinakan kedudukan istimewa agama Islam dan Melayu sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.

Saya cadangkan beliau berhijrah ke negara lain, jika negara ini sudah tidak ada lagi kebebasan baginya. Pergilah ke negara asal-usulnya atau ke barat, kerana di sana lebih banyak ‘kebebasan’ untuk membina gereja paling besar dan patung paling tinggi di dunia serta, sekolah vernakular, termasuk juga melakukan perbuatan sumbang seperti seks bebas.

Nak kata beliau bangga dengan keturunannya, tidak juga, sebab beliau lebih gemar menggunakan nama Mat Salleh walaupun matanya begitu sepet. Beliau membuat analogi sampahnya melalui permainan bolasepak semata-mata untuk menghina Islam dan Melayu. Nasihat saya, tidak payah berbelit-belit kerana ia menampakkan kedangkalan ilmu beliau. Beliau begitu anti Melayu dan Islam.

Ternyata beliau amat jahil (mungkin sengaja) dalam memahami perlembagaan dan asal-usul negara ini atas sikap ultra kiasu. Keadilan baginya adalah sama rata dan sama rasa bukan meletakkan sesuatu pada tempatnya. Apakah beliau tidak menyedari bahawa bilangan rumah ibadat bukan Islam melebihi berkali ganda daripada masjid dan surau. Pun begitu beliau masih tidak berpuas hati. Beliau mahukan patung Mazu dan patung-patung lain serta gereja menjadi mercu tanda, terbesar dan tertinggi, barulah iatu dinamakan adil, bertepatan dengan hak kebebasan dan hak asasi manusia.

Saya cadangkan beliau supaya membawa ideanya itu ke negara barat, mungkin negara asal usulnya di China. Cadangkan apa yang beliau mahu terhadap mereka. Saya amat yakin cadangan beliau akan ‘dibakul sampahkan’ sebab tidak masuk akal, kecuali di Malaysia, kerana toleransi ditunjukkan oleh pribumi tidak ada tolok bandingnya. Pergilah ke Kelantan, orang bukan Melayu boleh dikira dengan jari, tetapi mereka memiliki patung Buddha yang begitu besar sekali. Ini belum termasuk Pulau Pinang dan negeri-negeri lain. Masihkah tidak bersyukur?

Keistimewaan Islam termasuk mengembangkan syiar Islam seperti membina masjid dan surau sudah termaktub dalam perlembagaan. Namun, kebanyakan surau dan masjid kebanyakannya dibina menggunakan peruntukan wang zakat, walaupun tidak salah jika kerajaan mahu menggunakan wang negara. Tetapi untuk mengelakkan kontroversi, pemimpin negara hanya menggunakan harta orang Islam sahaja. Tidak kurang yang membinanya melalui kutipan derma dan sedekah hartawan. Apakah beliau masih buta mata hatinya? Jangan pulak kata kerajaan tidak memberikan peruntukan kepada rumah ibadat bukan Islam.

Seringkali saya timbulkan kenapa perlukan bilangan rumah ibadat yang banyak dan bersaiz tinggi dan besar, sedangkan keperluan penganutnya tidak seberapa ramai? Justeru, tidak perlulah gatal tangan membeli dan buka gereja di rumah kedai. Lepas itu salahkan kerajaan kerana tidak membantu membiayainya. Janganlah jadi kafir harbi.

Ketika Perlembagaan digubal, Kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil Kerajaan British sendiri, penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti. Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Suruhanjaya ini begitu memahami kedudukan Tanah Melayu ketika itu.

Kedudukan pribumi dan pandangan mereka diperhalusi. Maka tidak hairanlah lima perkara utama berkaitan Islam dan pribumi difokuskan seperti kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata. Walaupun PAS menuduh Perlembagaan Reid ini perlembagaan kafir kerana kerjanya suka mengkafir, ruang untuk Islam dan pribumi berkembang begitu besar, dengan tidak menafikan hak bukan Islam. Kelebihan yang dinikmati oleh Islam dan pribumi inilah yang menimbulkan kedengkian dan rasa tidak puas beliau dan ultra kiasu yang lain.

Mereka sengaja tidak mahu sedar bahawa dengan kelebihan ini juga, mereka beroleh keuntungan. Aktiviti keagamaan mereka tidak pernah disekat, malahan mereka bebas untuk mengamalkannya tanpa diganggu-gugat. Sedih juga kadangkala melihat umat Islam sembahyang jumaat berjemur sehingga ke jalan raya disebabkan saiz masjid yang tidak dapat menampung keperluan jamaah. Itupun masih dipertikaikan.

Pertikaian mengenai status agama Islam seolah-olah tiada penghujung walaupun ia amat sensitif. Beliau tidak setuju dengan mata pelajaran agama Islam yang diajar di sekolah dan budaya berdoa ketika perhimpunan seminggu sekali yang tidak sampai tiga minit pun. Terlalu bersifat Islam dan Melayu katanya. Sekiranya inipun dicabut, apakah yang masih tinggal? Apa guna perlembagaan? Sebagai ganti pelajar bukan Islam boleh mempelajari mata pelajaran bahasa ibunda dan pendidikan moral yang sudah diselitkan serba sedikit ajaran agama lain. Tidak cukupkah lagi? Beri betis nak peha. Satu sahaja yang saya pinta agar beliau dan sekutunya, beramal dengan ajaran agama mereka dengan menjauhi judi, arak, zina, seks bebas dan lain-lain. Barulah aman negara ini.

Cuba siasat silibus mata pelajaran di negeri China dan di India, adakah matapelajaran agama Islam diberikan hak kepada minoriti umat Islam Cina di sana? Sudah tentu tidak. Malah mereka ditindas. Begitu juga di negara barat, berdoa mengikut ajaran Kristian adalah perkara biasa. Umat Islam di sana diam sahaja kerana mereka tahu itu bukan negara asal mereka. Kenapa mahu mempertikaikan bacaan doa dalam sebuah negara Islam?

Adakah dengan amalan doa tersebut, hati orang bukan Islam akan cair lantas memeluk Islam? Benci sungguh beliau terhadap Islam. Doa adalah salah satu amalan budaya orang Melayu Islam. Takkan kita mahu hapus semua identiti pribumi semata-mata mahu meraikan orang lain. Jika begitulah keadaannya, tukar sahaja nama Malaysia kepada Cinasia atau Indiasia. Pelik sungguh species sebegini, tak habis-habis cuba mencabar kedudukan Islam dan pribumi.

Begitu juga dengan Sekolah Missionari yang telah diambilalih oleh kerajaan. Bukanlah menjadi isu besar jika identiti penjajah seperti lambang salib ditukar kepada identiti tempatan. Tidakkah ia perlu diMalaysiakan sifatnya sesuai dengan keadaan masyarakat di sini? Kenapa masih mahu mengekalkan identiti penjajah? Apakah mengekalkan identiti Melayu atau tempatan bermakna memelayukan bukan Melayu? Apakah kita langsung menolak asimilasi walaupun sedikit? Apakah majoriti langsung tidak ada hak dalam masyarakat minoriti?

Beliau tidak perlu menghantar ‘anak’nya (jika ada anak sah taraf) ke sekolah kebangsaan, jika dia tidak yakin dengan sekolah kebangsaan atau pun mungkin dimelayukan. Kehadiran ‘anak’ beliau tidak diperlukan di sini. Hantar sahaja ‘anak’nya itu ke sekolah di negara asal-usulnya atau ke seberang laut. Cubalah buat kajian berapa ramai produk pelajar bukan Melayu yang telah berjaya hasil didikan di sekolah kebangsaan peringkat menengah setelah mereka tamat pembelajaran di sekolah vernakular? Tidak juga mereka memeluk Islam melalui amalan doa pagi ketika perhimpunan.

Persoalan juga ditimbulkan mengenai pertubuhan bukan Islam di sekolah seperti yang telah saya tulis dalam Mingguan Malaysia 1 Ogos 2010. Tidak perlu saya ulang. Bacalah. Persoalan kenapa bukan Islam tidak boleh berdakwah kepada orang Islam, bacalah perlembagaan, jangan jadi jahil.

Beliau juga membangkitkan mereka yang memeluk Islam yang dibantu dari segi kewangan. Tidakkah beliau tahu bahawa bantuan tersebut dibuat melalui asnaf zakat, bukan wang sekutu ultra kiasu beliau yang selalu cuba mengelakkan diri daripada membayar cukai? Janganlah terlalu berani mencabar.

Sebenarnya semua perkara yang dibangkitkan itu adalah tuntutan pertubuhan haram Inter- Faith Council (IFC) dan Majlis Peguam satu ketika dahulu. Agama Islam dilabelkan sebagai zalim kerana tidak membenarkan mereka yang memeluk Islam untuk murtad kembali.

Beliau tidak perlu mengambil kes Susie Teoh, Banggarma dan Azlina Jailani (Lina Joey) untuk dijadikan isu. Kes mereka ini agak rumit disebabkan oleh perancangan jahat tangan di belakang dan orang seperti beliau. Islam tidak benarkan seseorang itu setelah memeluk Islam, keluar sewenang-wenang ibarat kedai kopi. Inilah yang membezakan antara Islam dengan agama beliau. Lagipun kita tidak pernah memaksa bukan Islam memeluk Islam. Tetapi setelah memeluk Islam, mereka tidak boleh boleh keluar sesuka hati. Kehormatan Islam mesti dipelihara baru ada beza dengan beliau. Jika tidak Islam sama sahaja dengan agama lain. Beliau sebut sahaja tiga isu murtad ini, saya sudah dapat tangkap niat jahat di sebalik perkara ini dibangkitkan.

Umat Islam menghalang Azlina Jailani murtad kerana bercanggah dengan perlembagaan persekutuan perkara 160 (2) mengenai definisi Melayu dan Islam. Azlina bukan lagi Melayu setelah keluar Islam sebab Melayu mesti beragama Islam mengikut perlembagaan. Maknanya, Lina sudah tidak ada bangsa. Maka dia sudah tidak layak bermukim di bumi tercinta ini sebab bangsanya telah tiada.

Beliau juga mengambil berat tentang adik saya yang turut memeluk Islam. Terima kasih. Adik saya memeluk Islam kerana beliau banyak mengkaji Islam selain daripada melihat contoh abangnya seperti saya. Oleh kerana adik saya tidak anti Islam, beliau sanggup duduk dalam kelas untuk belajar agama Islam kerana minat yang amat mendalam terhadap Islam. Pada saya elok juga beliau dan sekutunya belajar sedikit tentang agama majoriti ini untuk mengelakkan salah faham, daripada terus menyakitkan hati orang Islam dan menghina Islam.

Cuba kita bandingkan bagaimana keadaan orang Islam yang tinggal di kawasan majoriti bukan Islam. Toleransinya amat tinggi. Umat Islam tidak menimbulkan masalah kepada bukan Islam, kecuali haknya diambil dan mereka ditindas, seperti yang berlaku di Selatan Thai, Filipina dan Palestin. Melayu Islam di Singapurapun tidak bising-bising walaupun tanahair mereka dirampas. Mereka duduk diam-diam sahaja, walaupun hak Islam dan Melayu mereka semakin hari semakin dicabut dan terhakis serta dicairkan oleh orang sekutu beliau.

Lihatlah toleransi kita di sini. Pada saya kerana Melayu memeluk Islam 600 tahun lalulah yang menyebabkan orang bukan Islam boleh hidup senang-lenang di bumi bertuah ini. Nilai-nilai Islam mengajar orang Melayu supaya menjaga hak bukan Islam dan jangan menganiayai mereka. Andainya orang Melayu tidak memeluk Islam, apakah nasib bukan Melayu akan menjadi seperti umat Islam di negeri China atau di India, yang begitu tertindas dan teraniaya? Sebenarnya Islamlah yang melembutkan hati orang Melayu untuk menerima orang bukan Melayu di negara ini. Justeru, janganlah kedudukan Islam itu diungkitkan dan disalahkan kerana ia amat menghiriskan hati kami.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, August 08, 2010

Belajar dari kejayaan lalu

9:09 AM Posted by RIDHUAN TEE 167 comments
Mingguan Malaysia 8 Ogos 2010

Sebagai anak Perak saya semakin meluat dan menyampah dengan apa yang berlaku ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bersidang baru-baru ini. Masa banyak dihabis dengan bergaduh dan bertegang urat leher di dalam dewan. Sedangkan kerja-kerja kita banyak menanti di hadapan. Jika ia terus berlarutan sehingga pilihan raya akan datang, siapakah yang akan menjadi mangsa sebenarnya. Saya tidak nampak orang lain, melainkan rakyat.

Fikirkanlah kepentingan rakyat buat sementara waktu. Buanglah ego jauh-jauh. Tidakkah kita boleh berbahas dan berbincang dengan baik demi untuk rakyat negeri Perak? Biarlah pilihan raya akan datang menentukan sama ada BN atau PR menjadi pilihan. Tidakkah hidup perlu diteruskan? Jika BN bersalah sehingga menyebabkan PR tumbang, rakyat tidak buta. Namun, jika sebaliknya berlaku, rakyat sudah bijak membuat pilihan. Justeru, jangan terlalu ultra kiasu hanya kerana mendapat sokongan mereka. Sokongan ini tidak akan bertahan lama kerana matlamat berbeza.

Apakah kita masih tidak dapat melihat kenapa Nizar Jamaluddin masih boleh menjadi ketua pembangkang, sedangkan kerusi PAS amat kecil bilangannya di DUN Perak? Begitu juga dengan di parlimen, kenapa Anwar Ibrahim masih boleh menjadi ketua pembangkang sedangkan kerusi ultra kiasu lebih banyak berbanding dengan parti pembangkang yang lain?

Jawapannya mudah, kerana kita sudah cair dan tidak melaung Melayu dan Islam secara berani. Saya tidak yakin Nizar dan Anwar akan dipilih sebagai ketua pembangkang jika mereka saban hari bercakap dan berjuang untuk menegakkan negara Islam atau melaksanakan undang-undang hudud. Hari ini mereka begitu lunak disebabkan oleh kita mula lupa perjuangan yang sebenar. Saya sudah jarang mendengar perkataan hudud dan negara Islam. Yang selalu kedengaran adalah usaha bersama untuk memerangi rasuah dan ketidakadilan yang dikatakan begitu parah berlaku dalam BN, seolah-olah pakatan terlalu bersih. Maknanya, persepakatan yang wujud selama ini adalah berasaskan kepada nilai dan isu, bukannya mencapai matlamat dasar?

Justeru, tidak hairanlah kedua-dua parti majoriti Melayu ini menjadi semakin lama semakin liberal. Jika mereka tetap dengan pendiriannya, yakni terlalu kemelayuan dan keIslaman, saya tidak nampak mereka berdua akan dipilih sebagai ketua pembangkang. Ultra kiasu sanggup ‘menikus’ hari ini, sebab keuntungan terbentang di depan mata. Janganlah kita pura-pura memejam mata dengan apa yang berlaku? Ultra kiasu bukanlah orang yang bodoh untuk dipergunakan atau diperkotak-katikkan. Mereka sudah cukup matang dalam berpolitik.

Terus terang, politik ultra kiasu lebih bijak daripada politik orang Melayu Islam. Saya pohon maaf kepada Melayu Islam atas kenyataan ini. Saya tidak suka berselindung. Kita berpolitik tidak habis-habis bergaduh. Bergaduh seolah-olah tidak ada penghujung. Sedangkan orang lain sentiasa melihat peluang dan kesempatan.

Antara budaya ultra kiasu adalah mereka sentiasa mengambil iktibar kejadian lalu, alam dan persekitaran sebagai asas dalam menyusun strategi. Pemikiran strategik ketenteraan Tsun Tzu, sentiasa menjadi panduan untuk diterjemahkan dalam perjuangan dan persaingan politik. Kata-kata kenali diri, sebelum mengenali musuh, sentiasa tersemat di hati, kerana dengan mengenali diri sahaja mereka akan memenangi ribuan pertarungan. Saya yakin ultra kiasu amat mengenali diri mereka lebih dari orang lain. Lanjutan itu, mereka dapat mengenali orang lain dengan lebih mudah dan mencairkannya.

Berbanding dengan kita hari ini, bukan sahaja tidak kenal diri sendiri, tetapi mengalami krisis identiti. Hasilnya kita tidak dapat mengenali siapakah musuh sebenarnya? Kita bermusuh sesama sendiri. Kawan atau saudara dianggap sebagai musuh. Akibatnya, kita jarang menang dalam persaingan atau pertarungan.

Ultra kiasu begitu pandai menyusun strategi berasaskan pemikiran strategik ini sehingga kita sukar untuk meramalkan kekuatan mereka. Hari ini mereka sanggup merendah diri dengan melantik orang lain sebagai pemimpin. Itu bukan bermakna mereka beralah atau tidak kuat. Mereka kuat, pada masa sama mereka sedang menyusun strategi. Kita yang terlalu bodoh tidak dapat melihat pemikiran strategik itu. Benar, mereka seolah-olah bersama-sama kita menentang ketidakadilan dan korupsi dalam BN. Persoalannya, kenapa mereka senyap dalam soal keruntuhan moral lain seperti seks bebas, judi dan maksiat yang lain?

Jawapannya, jika mereka cenderung ke arah ‘kebaikan’ tersebut, mereka akan dilihat seolah-olah sudah cenderung ke arah Islam. Strategi ini sudah pasti membahayakan. Mereka memilih untuk menjadi sekular. Maka tidak hairan sebarang percubaan menegakkan ‘Negara Islam ala UMNO atau ala PAS’ ditentang habis-habisan.

Mereka juga mengamalkan blue ocean strategi atau strategi laut biru. Dengan kata lain, mereka kelihatan seolah-olah kecil, tetapi stabil. Mengubah persaingan kepada kerjasama, lencongan strategik dan mengelirukan pesaing. Dahulu mereka bersaing dengan parti Islam walaupun mereka adalah pembangkang. Hari ini, keadaan seolah-olah terbalik. Parti pembangkang tidak lagi bersaing, tetapi kelihatan seperti adik-beradik. Sama-sama protes dan boikot keluar daripada parlimen dan DUN. Mereka melangkah megah dan bangga seolah-olah ada ‘kesatuan’ tindakan.

Ingatlah wahai umat Islam, kematangan ultra kiasu menjadikan mereka berpandangan jauh. Mereka amat mahir mengintai peluang dan memanfaatkan ruang untuk mencapai kejayaan. Mereka akan menggembelingkan tenaga, jiwa raga dan fokus dalam menuju matlamat. Istiqamah dalam perjuangan. Tidak ada istilah jemu atau putus asa. Berjuang sehingga akhir hayat.

Pada mereka kekayaan adalah kunci kepada kekuatan. Kekayaan hanya akan diperolehi melalui perniagaan. Sama seperti apa yang disebut Nabi kita, sembilan per sepuluh punca rezeki adalah hasil dari perniagaan. Ini bertepatan dengan pegangan konsep Guanxi. Nilai kejayaan dan kekayaan seseorang boleh ditambah dengan membina hubungan yang utuh sama seperti tahap berjaya mengumpul kekayaan.

Mereka sanggup bekerja siang malam tanpa mengenal erti letih. Walaupun segelintir mereka mungkin suka berzina, tetapi selepas berzina mereka bekerja. Bukan macam kita, selepas berzina, terus tidur dan memikirkan cara untuk berzina lagi. Perlu diingat, zina tetap haram walaupun selepas itu kita bekerja mahupun tidur. Sudah tentu bekerja lebih baik dari tidur.

Mereka berpegang kepada pemikiran positif. Gagal kali pertama bukan bermakna terus gagal tetapi dijadikan pengajaran untuk percubaan kali kedua. Jika gagal lagi, itu adalah ujian kebijaksanaan, untuk memastikan mereka tidak gagal lagi selepas itu.

Semua sifat-sifat ini amat dituntut oleh Islam. Bayangkan jika ramai kalangan mereka memeluk Islam dan mereka mengamalkan nilai-nilai Islam yang telah disebutkan tadi, di manakah kedudukan kita? Yang amat memelikkan, kenapa nilai-nilai baik yang menjadi asas agama kita sendiri, kita tidak amalkan. Kita terus leka dan hanya mampu melihat.

Justeru, sudah sampai masanya umat Islam untuk bangkit. Ultra kiasu tidaklah sekuat mana. Cuma umat Islam sudah tidak ada pilihan sehingga sanggup mengundi ultra kiasu. Kini tembelang mereka semakin terserlah. Inilah kesempatan yang perlu kita ambil dengan menunjukkan kita lebih baik daripada mereka.

Mereka menafikan apabila saya menuduh mereka juga mementingkan kroni dalam mengagihkan projek di kawasan jajahan takluk mereka. Mereka kata saya bercakap kosong tanpa bukti. Persoalannya, apakah surat sokongan untuk mendapatkan projek itu bukan kroni? Rakan saya yang bekerja di sebuah Majlis Perbandaran tempat tinggal saya di Ampang, selalu membisikkan kepada saya dengan berkata: “dahulu saya ingatkah BN yang teruk, rupa-rupa Pakatan Rakyat pun sama sahaja. Semua projek mereka sapu. Kami dijadikan kambing hitam untuk meluluskan projek. Jika timbul masalah, kami disuruh tutup mata”.

Rakan saya memberikan satu contoh, projek menebang dan mencantas pokok. Kontrak yang diberikan tidak dibuat bersungguh-sungguh. Bila mana pemeriksaan dibuat, didapati kerja tidak sempurna. Maka yang tidak sempurna itu disuruh ‘cover’ dengan membuat pembayaran penuh. Saya menggeleng kepala bila mendengarnya. Selama ini kita berkokok berdegang-degang, rupa-rupanya ekor bergelumang tahi. Mengata dulang, paku yang serpih, mengata orang, kita tidak kurang, malah lebih.

Saya bertanya lagi; “kalau dibandingkan dengan BN, mana lebih teruk dalam memberikan projek kepada kroni dan projek cover ini”. Dia respon; “BN teruk lagi. Masalahnya bila Pakatan ambil alih tunjukkanlah yang mereka ini baik. Ini tidak, merekapun dua kali lima sahaja”.

Justeru, hari ini apa yang berlaku di Selangor tidak memeranjatkan saya, berkaitan dengan surat sokongan bagi mendapatkan tender dan projek. Bila tiba bab duit dan perempuan, saya jarang mahu percaya. Setebal mana pun serban, gugur juga apabila dilonggokkan di depan mata, kecuali mereka yang benar-benar beriman dan mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Akhirnya, saya menyeru kepada seluruh umat Islam untuk bermuhasabah diri sempena kehadiran bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Inilah bulan kemuncak untuk kita kembali dan meningkatkan jati diri kita. Bulan yang mahukan kita menjadi manusia bersih seperti bayi yang baru lahir dan mengekalkannya untuk menghadapi 11 bulan yang mendatang. Bulan yang menuntut kita membuang segala yang buruk dan memikirkan apakah jalan terbaik untuk memberikan sumbangan terhadap agama, bangsa dan negara.

Inilah sebenarnya tarbiyyah Ramadhan. Kita mahu elakkan hanya Ramadhan bulan ibadat dan 11 bulan yang lain bulan berjahat. Ramadhan bulan mujahid, 11 bulan lain bulan mujahat. Sebagai umat Islam, kita sepatutnya baik hingga ke akhir hayat. Tidak timbul soal kita cukup berhati-hati di bulan Ramadhan, sedangkan bulan lain kita tidak kisah.

Jika itulah cara kita berfikir sebenarnya, kita sudah salah dari awal. Maka tidak hairan, jika kita terus dilingkungi masalah kerana cara kita melihat Islam tidak syumul. Natijahnya, masa banyak terbuang dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah termasuk bergaduh dan bertegang leher di dalam DUN dan parlimen.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, August 01, 2010

Minoriti dalam majoriti

8:22 AM Posted by RIDHUAN TEE 184 comments
Mingguan Malaysia 1 Ogos 2010

Umat Islam tanpa mengira bangsa di Malaysia berjumlah lebih kurang 60 peratus. Manakala, selebihnya 40 peratus adalah orang bukan Islam yang menganuti berbagai agama dan ajaran seperti Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Toaism, Confucianisme dan sebagainya. Secara nisbahnya adalah 1:6 atau lebih.

Sama juga parti Melayu, UMNO adalah satu-satunya, berhadapan dengan 12 parti komponen bukan Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak dengan nisbah 1:12 atau lebih.

Sementelahan, parti yang dikatakan ‘memperjuangkan Islam’ juga hanya ada satu iaitu PAS, berhadapan dengan sekutu sekularnya parti ultra kiasu dan PKR dengan nisbah 1:2 atau lebih. Begitu juga dengan persatuan-persatuan (NGO) berasaskan kaum yang lain. NGO Cina (huatuan) sahaja mempunyai hampir 9000 buah. Ini belum termasuk NGO bangsa lain.

Pendek kata, dalam kedudukan apa sekalipun agama Islam, parti Melayu dan parti Islam, tetap menjadi minoriti dalam majoriti, apabila mereka berada dalam gabungan atau pakatan, kerana mereka hanya ada satu. Jika undian dijalankan dalam barisan atau pakatan, sudah tentu kumpulan ini tidak akan mendapat majoriti. Bukan kerana umat Islam tidak boleh menubuhkan pertubuhan, tetapi disebabkan oleh konsep ‘kesatuan’ yang menyebabkan kemunculan tidak sebanyak yang lain.

Begitu jugalah penubuhan persatuan agama-agama bukan Islam di sekolah-sekolah yang hangat diperkatakan baru-baru ini terutama dalam media cetak dan elektronik ultra kiasu seperti Malaysianinsider dan sekutunya. Mereka begitu beriya-iya benar menuntut persatuan-persatuan bukan Islam di sekolah-sekolah dikekalkan dan dihidupkan. Bahan berita ini disensasikan, walaupun terpaksa meredah onak duri dan lautan api. Cuba kita fikir sejenak kenapa mereka bersikap sedemikian?

Alangkah baiknya jika kita mempunyai semangat yang kuat seperti mereka. Malangnya, kita hanya hangat-hangat tahi ayam, bila isu telah sejuk, mudah dilupakan. Sedangkan mereka begitu kuat ingatan dan agresif. Malang sungguh jika ada orang Islam yang bersubahat dengan mereka.

Sudah menjadi budaya politik kita, apa yang kurang mahu ditambah. Yang sudah bertambah disenyapkan dan kalau boleh ditambah lebih banyak lagi. Lebih kiasu lagi, mereka mahukan pekeliling tahun 2000 Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Kementerian Pelajaran dimansuhkan. Pada mereka, penubuhan persatuan agama-agama tidak perlu melalui Kementerian Pelajaran, cukup sekadar pihak sekolah yang meluluskan. Ultra kiasu sungguh mereka, bersatu hati dalam mempertahankan hak dengan mengambil Rukun Negara sebagai sandaran hujah. Apakah umat Islam tidak dapat melihat muslihat ini?

Selaku Yang DiPertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), penubuhan PIBG pun perlu mengikut prosedur dan kelulusan daripada Kementerian Pelajaran. Sekolah tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kelulusan. Apa jua aktiviti perlu dimaklumkan dan dilaporkan kepada PPD. PIBG tidak boleh bertindak sesuka hati. Apatah lagi pertubuhan seperti yang dibangkitkan ini. Apakah penubuhan persatuan agama-agama perlu dibiarkan begitu sahaja? Apakah justifikasi penubuhan persatuan ini jika bukan ada udang sebalik batu?

Dalam konteks yang lebih besar, keputusan umat Islam untuk tidak menyertai Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Toaism serta membatalkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) adalah satu langkah bijak bagi mengelakkan perangkap. Itupun mereka masih tidak berputus asa, terus-menerus mendesak.

Kita amat bertuah kerana kedudukan agama Islam dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan agama Islam dan umat Islam di tempat yang istimewa. Jika tidak, apakah nasib agama dan bangsa majoriti ini jika hanya bergantung kepada undian.

Cuba senaraikan apa yang bukan Islam belum dapat lagi atau belum puas lagi dari aspek kebebasan keagamaan dan berpersatuan di negara ini? Bilangan rumah ibadat? Hak untuk beribadat? Saiz rumah ibadat? Persatuan bangsa dan agama? Ekonomi? serta apa lagi? Boleh dikatakan tidak wujudkan lagi nisbah 1 = 1. Yang saya pasti, hak Islam dan Melayu semakin sedikit dan semakin terhakis, sebab agama Islam hanya ada satu. Begitu umatnya tanpa mengira bangsa, hanya ada satu. Inilah ajaran tauhid, menyembah hanya pada yang satu, Allah Yang Maha Esa. Maka tidak hairan umat Islam tidak banyak kelihatan dalam soal berpersatuan dan berorganisasi sebab matlamatnya sama yakni mencari keredhaan Ilahi.

Setiap kali kumpulan ultra kiasu akan membuat perbandingan dengan segala ruang dan peluang dengan mengambil perlembagaan dan Rukun Negara negara sebagai hujah. Kenapa tidak banding dengan minoriti di negara lain seperti China, India, Singapura, Thailand, Filipina hatta negara maju seperti Amerika dan lain-lain? Saya yakin jika dibuat perbandingan, kita akan pasti bertemu dengan jawapannya. Hak dan kebebasan melindungi kaum minoriti di negara ini jauh lebih baik daripada negara lain.

Bila kita tanya terhadap segelintir dari mereka, setelah perbandingan dibuat, ternyata mereka lebih bernasib baik, kenapa perlu meminta lebih lagi? Maka mereka akan menjawab atau mematahkan hujah kita dengan berkata “inilah keunikan Malaysia yang perlu ditunjukkan kepada dunia yang tidak terdapat pada negara lain”. Jawapan ultra kiasu sebegini yang selalu saya dengar bila berhadapan dengan persatuan dan individu ultra kiasu. Mereka mahukan Malaysian menjadi unik, lain dari yang lain negara yang ada dalam dunia ini. Namun, bila ada sedikit hak mereka yang terhakis, maka mereka akan berhujah ia bertentangan dengan deklarasi hak-hak asasi manusia sedunia.

Amat nyata sekali, kita berhujah macam mana sekalipun, mereka akan carilah apa jua alasan untuk menghalalkan cara. Islam tidak bersifat sedemikian, matlamat tidak menghalalkan. Islam boleh memberi dan menjamin keadilan kepada menoriti, tetapi bukan sama rata dan sama rasa serta perlulah berpada-pada.

Justeru, membanding dengan Islam, untuk mendapat sama rata dan sama rasa adalah tidak wajar sama sekali sebab Islam adalah agama Tauhid. Jika perkiraan seorang sebiji itulah formula keadilan, maka Islam akan terus menjadi minoriti, kalah dan tidak akan mendapat hak yang sepatutnya.
Formula sepatutnya adalah nilai 1 = 6. Satu untuk orang Islam, enam lagi dikongsikan di kalangan bukan Islam mengikut pembahagian agama dan bangsa mana yang lebih ramai, seperti susuan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Taoism dan Confucianime. Inilah yang dinamakan meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Saya ingin cadangkan kepada Kementerian Pelajaran, jika mereka beriya-iya benar mahu menubuh persatuan agama, jadikan formula 6 dalam 1. Bukannya memberi mereka satu per satu.

Perlu diingat, pelajar-pelajar hanya berada di sekolah 6-7 jam sehari. Selebihnya 18 jam mereka berada di rumah. Maknanya, hak beribadat lebih lama di rumah daripada di sekolah. Kenapa begitu bersungguh-sungguh hendak diadakan di sekolah? Fikirkanlah. Tak payahlah nak tunjukkan kononnya sayang kepada agama. Buktikan sahaja dengan mengamalkan nilai-nilai moral agama untuk dipraktikkan seperti jangan berzina dan seks bebas.

Kadang-kadang saya terasa pelik, ultra kiasu ini beriaya-iya mahukan hak bertuhan diberikan, sedangkan ajaran tuhan tidak dipatuhi, segelintir pemimpin mereka mempunyai moral yang amat rendah. Saya tidak nafikan orang yang tidak beramal dengan Islam ada juga terlibat.

Mereka akan berhujah lagi, jika begitu keadaannya, kenapa persatuan agama Islam dibenarkan? Jawapannya mudah, pertama, Islam adalah agama persekutuan. Agama Islam perlu diketahui serba sedikit orang bukan Islam sebab mereka tinggal dalam majoriti Islam dalam sebuah negara Islam.

Kedua, umat Islam adalah indigenous canopy yang menjadi majoriti penduduk di negara ini. Kita sepatutnya lebih memahami mereka, dengan tidak menafikan bahawa umat Islam juga perlu memahami bangsa lain? Tetapi adakah semua ini berlaku? Kita lebih memahami barat dan bangsa sendiri daripada indigenous canopy?

Ketiga, dalam Islam kita ada konsep sembahyang lima kali sehari dan konsep solat jamaah, sedangkan agama mungkin tidak. Bagi bangsa lain, agama mungkin bersifat individu, tetapi Islam lebih dari individu. Kita ada fardu ain dan fardu kifayah.

Saya teramat sedih membaca berita mengenai tanah perkuburan di Sungai Tengkorak, Plentong, Johor, seperti yang didedahkan baru-baru ini. Alangkah hibanya rasa di hati melihat tanah perkuburan umat Islam sudah sampai ke bahu jalan. Jika tidak dihebohkan oleh media, mungkinkah satu hari nanti kuburnya menjadi laluan kenderaan? Apakah ini dinamakan sebagai keadilan dalam memahami indigenous canopy?

Kerajaan mesti tampil menjelaskan kepada rakyat di negara kita akan formula keadilan ini, jika tidak masalah tidak akan selesai. Puak-puak ultra kiasu akan terus mencanangkan sesuatu yang memberikan manfaat kepada mereka tanpa mengira sensitiviti orang lain. Mereka akan meminta sebanyak-banyaknya sehingga sukar diterima akal, sehingga akhirnya nanti negara ini sudah tidak ada identiti indigenous canopy.

Jangan terlalu melampau dalam mendapatkan sesuatu. Saya harap Kementerian Pelajaran tidak akan tunduk kepada tekanan mereka. Jika mereka berkeras juga, itulah formulanya jadikan enam dalam satu atas nama persatuan bukan Islam sahaja.

Kita telah terlalu berlembut dalam soal pelajaran. Seperti yang saya pernah tulis, Akta Pelajaran 1961 Seksyen 21 (1B) yang memberikan kuasa kepada menteri pelajaran menutup sekolah vernakular telah dimansuhkan. Ianya digantikan dengan akta pelajaran 1996 yang begitu bertoleransi, di mana Menteri Pelajaran tidak ada kuasa lagi untuk memansuhkan sekolah vernakular, tetapi hanya boleh menguatkuasakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Itupun didesak untuk dimansuhkan.

Saya fikir toleransi kita sudah sampai ke tahap sukar untuk digambarkan sehingga mereka memijak kepala. Sepatutnya mereka menghargai toleransi itu, bukan dengan mengambil kesempatan. Adakah wajar patung yang tertinggi di dunia didirikan dalam sebuah negara Islam? Di negara asal agama itu datangpun, tidak ada sehebat apa yang apa kita berikan kepada mereka. Tetapi ia berlaku juga, tidakkah ini yang dinamakan toleransi yang tidak ada tolok bandingnya di dunia? Hargailah toleransi itu. Janganlah sampai hak majoriti menjadi minoriti, masalah tidak akan selesai, akan muncul berpuluh-puluh Perkasa lagi.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, July 25, 2010

Jangan membuang masa

6:22 AM Posted by RIDHUAN TEE 334 comments
Mingguan Malaysia, 25 Julai 2010

Ayat berbunyi “saya bangga menjadi orang Cina” dalam artikel minggu lepas sengaja disalahfahamkan oleh sekutu ultra kiasu dengan mengatakan saya seorang yang bongkak dan tidak bersyukur. Saya tidak mahu terlibat dalam kancah memperbahaskan istilah kerana ia membuang masa. Masih banyak isu besar yang perlu diberikan perhatian terutama masa depan agama dan umat Islam. Mesej saya jelas, selama ini saya dituduh lebih Melayu dari Melayu. Kata-kata ini mungkin betul jika dilihat dari sudut perlembagaan. Penegasan sedemikian jelas supaya pembaca faham apa yang ingin saya sampaikan.

Nampaknya sekarang, setiap bait perkataan yang ditulis akan dijadikan senjata untuk menjatuhkan seseorang. Inilah budaya politik kampong yang perlu dihindari, hanya kerana kita tidak sekapal, kita akan cari dan korek kelemahannya sehingga kita tidak dapat bernafas. Buat betulpun salah, buat salah lagilah salah. Pokoknya, mereka mahu kita mengalah atau duduk diam tanpa berbuat apa-apa.

Nasihat saya, kalaupun kita tidak suka batang tubuh seseorang itu, jangan ditolak kesemuanya. Ini bukan cara hidup Islam. Islam tidak sama sekali menolak kebaikan, hatta jika ianya datang daripada Yahudi sekalipun. Hari ini, kebanyakan ilmu dan alat sains teknologi dikuasai oleh Yahudi, adakah kita perlu menolak rekaan dan ciptaan Yahudi, hanya kerana kita benci kepada Yahudi? Jika begitu keadaannya, kita terpaksa tolak teknologi perkomputeran yang telah pelopori oleh Yahudi. Hari ini, suka atau tidak, kita terpaksa menggunakan teknologi tersebut sebab kita tidak ada pilihan. Masa kita banyak terbuang bercakaran sesama sendiri, sedangkan orang lain sibuk berfikir dan mencipta sesuatu bagi tujuan menggapai bintang.

Inilah sikap yang membelenggu umat Islam. Justeru, saya sememangnya tidak ada masa untuk membalas kecaman picisan yang dilakukan. Lagipun membahaskan isu remeh-temeh tidak membangunkan minda. Sama juga isu pertemuan antara mufti Perak dengan pemimpin PAS yang dikatakan pernah berlaku sebelum ini. Kenapa kita perlu membuang masa memperbahaskan isu ini? Tidakkah kita boleh menarik nafas lega dan berkata Alhamdulillah, sekurang-kurangnya masih ada insan yang berhati mulia, mengambil inisiatif untuk menyatupadukan umat Islam. Kenapa pula ada golongan yang mahukan orang ini seperti ini dipecat sebagaimana yang disarankan oleh sesetengah pemimpin fanatik PAS?

Apakah mereka yang berhati mulia ini telah melakukan dosa atau maksiat kerana bertemu dengan mufti Perak? Tidakkah ia merupakan kerja-kerja para anbiya yang perlu diteruskan? Inilah dilema yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Mereka lebih rela bekerjasama dan berkawan dengan orang yang jelas menentang Islam daripada mereka yang masih ada hati kepada Islam. Janganlah terlalu bersangka buruk dengan umat Islam. Mereka tetap saudara kita. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyelamatkan mereka.

Apakah MCA, DAP dan Gerakan tidak pernah bertemu untuk membincangkan masa depan mereka? Jawapannya, mereka kerap kali berjumpa melalui platform Pertubuhan Bukan Kerajaan atau NGO. NGO-NGO mereka boleh dikatakan saban hari dan saban minggu bertemu dan bermesyuarat untuk menuntut hak dan memperkasakan jati diri mereka. Kenapa kita tidak boleh bertindak seperti mereka? Adakah wajar kita mengheret mufti terlibat sama dalam perpecahan dan pertikaian ini sehingga keluar bahasa-bahasa yang tidak bersopan terhadap mufti tersebut? Ingatlah, perpecahan kita sudah sampai ke tahap yang amat parah. Umat Islam berpecah dalam semua bidang dan kategori.

Jika terbawa-bawa sehingga ke peringkat agamawan, apakah lagi faktor yang akan menyatukan kita nanti. Kita selalu bercakap dan berhujah dengan membawa ayat-ayat Al-Quran yang berbunyi, hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali Allah, jangan kamu berpecah-belah. Hari ini kita begitu tergamak mengecam mufti terbabit hanya kerana niat sucinya untuk melihat umat Islam bersatu.

Saya tidak pernah melihat dan mendengar orang bukan Islam mengecam ketua agama mereka seperti sami dan paderi, kecuali jika mereka melakukan perkara yang tidak baik. Mereka juga tidak pernah bergaduh atau berkelahi di dalam rumah ibadat mereka seperti mana kita berantakan dalam masjid dan surau hanya kerana mahu merebut kuasa dan jawatan. Jika kuasa dan jawatan tersebut, boleh menjadikan kita kaya raya tidak mengapa juga. Ini tidak, keadaan masjid surau sama sahaja, ibarat hidup segan mati tak mahu. Akhirnya, masjid surau tidak bergerak, tidak diimarahkan. Kita rela melihat masjid surau ‘mati’ begitu sahaja daripada dikuasai oleh ‘orang lain’.

Cuba kita bandingkan dengan institusi keagamaan orang lain, begitu meriah sepanjang masa. Setiap tahun wajah bangunan mereka berubah. Semakin besar, tinggi dan cantik. Terus bertambah, tidak langsung berkurang. Apa yang saya lihat mereka amat menghormati institusi agama. Apa kata agamawan mereka, itulah yang diikuti tanpa dikecam atau dihina. Hari ini, kita sudah sampai ke tahap, bukan hanya mengecam, tetapi menghina dan sanggup merendah-rendahkan mereka. Apa yang kita dapat?

Jika adapun perbezaan pendapat sesama agamawan, tidakkah kita boleh meraikan? Misalnya, jika Mufti Wilayah Persekutuan berkeras dengan keputusannya mengenai program ESQ yang sedang hangat diperkatakan hari ini, hormatilah hak mufti. Jangan dipaksa mereka untuk mengubah warta tersebut melalui pengaruh kuasa politik dan sebagainya. Ia hanya akan menghancurkan tahap kebebasan sesebuah badan berkuasa agama di dalam negara kita. Cukuplah kita berpecah dalam segala bidang, jangan ditambah pula dengan soal bidang kuasa setiap negeri. Negara kita cukup unik, berbanding negara lain, kita mempunyai 14 mufti setiap negeri. Jika muftipun berpecah, bersorak gembiralah lagi ultra kiasu, kerana umat Islam berpecah bukan hanya ke akar umbi, malah terbawa-bawa kepada agamawan yang amat dihormati oleh masyarakat.

Sekadar memetik pandangan beberapa sahabat yang mengatakan, pihak ESQ pula tidak boleh mendabik dada dengan mengemukakan bukti sokongan ulama Indonesia dan senarai panjang mereka. Jika mereka ingin terus bertapak kukuh, mereka perlu memberi respon yang baik dan ilmiah kepada kontroversi itu, bukan hanya sekadar menyatakan “kami ada penasihat Syariah”, “kami ada senarai ulama Indonesia yang menyokong”, “ulama Singapura” dan sebagainya.

Bagi menyelamatkan keadaan, saya yakin Penasihat Syariah ESQ sedang bekerja kuat untuk menulis bahan ilmiah ini dengan bijak. Buatlah kajian dan siasatan secara rapi. Janganlah membuang masa membincangkan perkara yang agak ‘remeh’. Saya yakin kita masih boleh membezakan mana dia yang betul, mana dia yang salah. Jangan sampai yang salah dikatakan betul, yang betul dikatakan salah. Jika ini yang berlaku, perpecahan kita sudah ibarat barah, menunggu masa untuk hancur dan saat kematiannya.

Pada masa sama, penggunaan ESQ perlu dibuat dengan berhati-hati dan dibahaskan secara akademik. Kita tidak boleh bertindak membabi-buta dan terlalu taksub dengan ESQ. Kerana dalam Islam kita ada Q (Quotient) lain yang lebih mantap seperti Quranic Quotient (QQ) atau Tawhidic Quotient (TQ). Sudah tentu QQ dan TQ lebih jelas maknanya daripada ESQ.

Emotional Spiritual Quotient (ESQ) dipelopori oleh pasangan Yahudi yang bernama Danah Zohar (2000), berlatarbelakangkan pendidikan fizik, falsafah, teologi dan psikologi, dan suaminya, Ian Marshal, seorang psikitrik. Pasangan yang telah memeluk agama Buddha ketika mereka berada di Nepal, membincangkan panjang lebar mengenai ESQ yang dikaitkan secara langsung dengan agama Buddha.

Mereka cuba menjawab persoalan yang berkait rapat berhubung nilai dan makna dalam kehidupan. Pada mereka, Spiritual Quotient (SQ) mampu membawa manusia pada tahap yang lebih baik berbanding kecerdasan Intelligence Quotient (IQ) dan Emotional Quotient (EQ). SQ juga mampu memecahkan kebuntuan makna dan nilai perlakuan manusia kepada suatu penjelasan yang lebih luas dan holistik.

Persoalan yang ingin dijawab melalui SQ adalah bagaimana dan apa? kepada kenapa? Zohar turut mengkritik cara hidup orang barat yang keterlaluan sehingga menjadikan hidup tidak ada hala tujuan. Zohar mahukan penghayatan ESQ agar kehidupan menjadi lebih bermakna. Ini berdasarkan kepada cara hidup barat yang sering berada dalam dilema ‘tidak pernah puas’. Malah ada yang keliru dan bingung dengan kehidupan sehingga sanggup memilih kematian sebagai penyelesaian, sedangkan mereka mempunyai IQ yang tinggi, mempunyai aset yang melimpah ruah. Justeru, menurut Zohar lagi, IQ yang hebat tidak cukup, tanpa disertai dengan EQ dan SQ.

Zohar juga berpendapat bahawa SQ tidak semestinya mempunyai hubungkait dengan agama. Seorang Atheis juga boleh mempunyai kekuatan spiritual. Mereka lebih mempercayai naluri dan jiwa mereka sendiri. Keyakinan pada nilai-nilai spiritual bergantung kepada apa sahaja kita dipercayai. Bagi mereka, agama merupakan suatu aturan atau sistem yang dibebankan secara luaran. SQ tidak ada hubungan dengan budaya mahupun nilai. SQ mampu mencipta agama tetapi agama itu tidak bergantung kepada SQ.

Di sinilah silapnya ESQ yang dibawa oleh Danah Zohar dan bahayanya ke atas umat Islam. Jika kita perhatikan di dalam penulisan tersebut, mengapa golongan Athies dan Humanis ini mempunyai nilai spiritual yang tinggi, sedangkan mereka langsung tidak mempercayai konsep ketuhanan? Jika benar mereka mempunyai nilai spiritual yang tinggi, apakah perspektif mereka terhadap agama? Inilah persoalan yang masih belum terjawab.

Terus terang, saya pernah dijemput secara percuma untuk menghadiri wacana program ini. Ada kekuatan dan ada kelemahan. Malahan saya pernah mencadangkan beberapa perkara agar perlu diberikan perhatian. Malangnya ia tidak diendahkan. Sikap inilah saya fikir yang mungkin mencetuskan kontroversi. Pada saya, apa-apa perkarapun, bawalah berbincang. Jangan terlalu dipublisitikan. Ia hanya membuka pekung di dada. Imej agama kita semakin tercalar. Begitu juga dalam konteks UMNO dan PAS. Banyak tenaga dan masa dihabiskan untuk membincangkan perkara yang tidak sepatutnya dibincangkan. Sedangkan orang lain sibuk memperkasakan anak bangsa dengan mendesak dan menuntut hak mereka. Kita pula lain ceritanya. Masalah akar banyak lagi yang tidak selesai, yang ranting pula datang bertimpa-timpa.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, July 18, 2010

Habis manis sepah dibuang

6:45 AM Posted by RIDHUAN TEE 211 comments
Mingguan Malaysia 18 Julai 2010)

Sejak akhir-akhir ini laman blog saya terus mendapat hits yang tinggi dari dalam dan luar negara. Setiap minggu, komen-komen yang diberikan sehingga melebihi 200. Ada yang tidak faham bahasa Melayupun, cuba untuk memahaminya, supaya mereka turut dapat memberikan komen dan maklum balas. Saya ucapkan terima kasih. Seperti biasa, kumpulan ultra kiasu terus menerus menyerang untuk melemahkan semangat saya agar berhenti menulis.

Paling menarik perhatian adalah pandangan yang mahukan saya menjadi jambatan, penghubung antara orang Cina dengan Islam. Bukannya merosakkan hubungan tersebut, dengan tulisan-tulisan saya didakwa merosakkan imej Islam dan dakwah, sehingga Islam dipandang rendah oleh rakan sebangsa.

Agak malang juga mereka yang memberi komen. Hanya melihat saya sebagainya seorang ‘muallaf’ semata-mata, bukan kepakaran bidang yang saya miliki iaitu politik dan kerajaan. Saya sarankan mereka yang ingin membaca pandangan saya sebagai ‘muallaf’ dan dakwah, supaya membeli dan membaca majalah al-Islam setiap bulan. Di situ pembaca akan melihat bagaimana saya bertindak sebagai jambatan (bridge) antara Islam-bukan Islam.

Tetapi tidak dalam kolum Mingguan Malaysia. Kolum ini lebih menonjolkan kepakaran silang budaya politik dan peradaban yang saya miliki dan kaji selama ini. Justeru, kita perlu bezakan antara individu ‘muallaf’ dengan bidang kepakaran, adalah dua perkara yang berbeza. Bidang kepakaran adalah tempat untuk mengasah bakat dan ilmu yang telah ditimba sebelum ini, seperti mana kita menulis jurnal akademik, perlu berasaskan kajian dan fakta.

Bila saya menyentuh dan menyindir serba sedikit bangsa saya, itu bukan bermakna saya menghina dan merendah-rendah mereka, seolah-olah lupa asal-usul. Saya sedar siapa saya dan saya bangga dengan kurniaan itu. Sememangnya saya tidak boleh menjadi Melayu. Malah, saya berbangga peradaban bangsa saya, kerana bangsa saya tidak pernah menjajah bangsa lain, walaupun mereka boleh berbuat demikian dengan kekuatan yang ada. Buktinya hubungan China – ‘kerajaan’ Melayu Melaka ribuan tahun dahulu.

Inilah perkara yang saya selalu hujahkan. Berbeza dengan penjajah Inggeris, di mana ada kesempatan, di situlah mereka menjajah dan mencari peluang, berpegang kepada prinsip 3G, Gospel, Gold and Glory.

Bangsa saya tidak sedemikian sifatnya. Saya tidak mahu bangsa saya meniru kebongkakan penjajah. Biarlah kita mengikut resmi padi, makin berisi, makin merunduk. Hubungan harmonis zaman dahulu kala mesti kekalkan tanpa mengguris hati dan perasaan orang lain. Tidak ada pergaduhan dan penjajahan, yang ada hanya interaksi perdagangan sehingga berlaku asimilasi, akulturasi, akomodasi dan integrasi. Melalui proses ini, hubungan dan kefahaman mereka menjadi semakin mantap antara satu sama lain. Lihatlah perwatakan Baba Nyonya, berbeza sekali dengan ultra kiasu.

Inilah perkara yang mesti diwujudkan kembali, bukan menghidupkan kembali prinsip 3G penjajah yang bongkak itu. Saya tidak kata, 3G itu salah, tetapi biarlah berpada-pada. Apa yang kita mahu di bumi bertuah ini. Agama (gospel) telahpun kita dapat dan bebas diamalkan tanpa gangguan, hatta bilangan rumah penyembahannya melebihi berkali ganda daripada rumah ibadat Islam. Pun begitu masih tidak bersyukur lagi sehingga ada yang cuba berdakwah dan memurtadkan umat Islam yang ternyata bercanggah dengan perlembagaan. Perkara inilah yang menimbulkan sensitiviti umat Islam.

Begitu juga dengan kekayaan (gold). Walaupun, tidak semua yang kaya, hakikatnya bukan Islam menguasai lebih banyak melebihi dari umat Islam. Maka, sudah sampai masanya kita membantu mereka yang masih belum berjaya, bukannya membawa kekayaan itu ke seberang laut. Ketika susah dahulu, orang menolong kita, sudah sampai masanya kini kita membalas balik jasanya itu.

Kekayaan yang dimiliki ini bukan hanya dapat dilihat pada wang ringgit, tetapi kekayaan warisan pusaka nenek moyang terus dikekalkan seadanya tanpa diganggu-gugat. Masihkah kita tidak berpuas hati? Apakah belum mencukupi? Tidakkah kita perlu berpada-pada? Supaya ada umat Islam tidak terasa didominasi kerana mereka mengambil pendekatan tidak mendominasi.

Hal yang sama juga kita dapat lihat kepada kemegahan (glory). Hari ini, ke manapun bangsa saya pergi, mereka terus berjaya kerana mereka begitu kuat berusaha. Saya amat memuji sifat ini. Inilah sifat Islam yang sepatutnya ada pada umat Islam. Tetapi jangan sampai kelihatan seperti Belanda minta tanah? Tidak pernah merasa cukup. Itu yang menjadikan orang lain terasa hati, seolah-olah dipinggirkan di bumi sendiri.

Perkara inilah yang selalu saya bangkitkan untuk diperhatikan dan dipertimbangkan bersama. Keadaan yang ada di negara kita tidak pernah berlaku di tempat lain. Bukankah ini syurga kepada kita? Buatlah kajian dan perbandingan untung nasib kita dengan negara lain. Kenapa setiap kali perlu dipertikaikan? Kita tidak pernah puas. Jangan bertindak seperti Yahudi di Palestin. Disebabkan hak-hak umat Islam yang telah tergadai dan dinodai di bumi sendiri, kita lihat pertikaian Palestin-Yahudi tidak ada penghujungnya sehinggalah hak umat Islam dipulangkan di bumi sendiri. Keadaan ini sudah hampir sama di sini.

Inilah peringatan demi peringatan yang selalu saya titipkan supaya kita sedar diri. Saya menjadi sebegini, sebab saya amat memahami mereka. Sejak dari kecil saya membesar bersama mereka. Kerana kesempitan hidup mereka terpaksa menggadaikan harta kesayangan mereka. Akhirnya kita juga yang menjadi kaya. Mereka juga yang miskin.

Saya yakin saya lebih memahami mereka daripada ultra kiasu, sehingga saya dituduh tidak memahami bangsa sendiri. Tidak mengapalah kalau begitu. Saya tidak kisah sama ada saya diterima atau tidak, oleh bangsa saya, kerana saya masih boleh hidup tanpa bangsa. Tetapi saya tidak boleh hidup tanpa Islam.

Dahulu umat Islam diam, hari ini mereka kembali bangkit. Mereka tidak mahu kekayaan negara ini terus dikaut orang lain. Mereka mahu ianya dikongsi secara bersama kerana inilah bumi yang mereka ada, warisan nenek moyang.

Perkongsian ini mesti dilakukan sekiranya kita ingin melihat masa depan yang lebih gemilang tanpa prasangka. Jika tidak, masalah tidak akan selesai dan kita tidak akan menang. Hari ini kelihatan kita tidak mahu berkongsi, tetapi terus menentang. Kita mahu menjadi ekslusif bukan inklusif. Tidakkah inklusif lebih baik daripada ekslusif?

Artikel saya minggu lepas dicabar dengan mendedahkan perbuatan seks kalangan orang Islam dan umat Islam yang menjadi hamba seks di Bangladesh. Saya diminta oleh puak ultra kiasu ini supaya pergi ke Bangladesh membebaskan hamba seks kalangan umat Islam. Berulang kali saya telah sebut, saya tidak mahu membuka pekung di dada, sebab saya kenal dan tahu cara hidup rakan sebangsa.

Ultra kiasu tidak perlu membawa statistik hamba seks kalangan umat Islam di Bangladesh. Hamba seks di negara kita sendiri yang begitu banyak berleluasa termasuk pemerdagangan manusia bagi tujuan seks dan mengautkan kekayaan, perlu dijaga dahulu. Siapakah yang melakukannya? Kita tidak kisah perbuatan tersebut haram atau tidak, yang penting boleh buat duit dan menjadi kaya raya.

Kita mengambil sikap tidak kisah isu ini. Berapa ramai wanita bukan Islam yang menjadi korban hasil nafsu buas lelaki. Hidup bersekedudukan tanpa kahwin. Saya berani mengatakan bahawa dari kalangan anak muda dan anak gadis mereka, hampir 100 peratus daripada mereka telah melakukan seks bebas sebelum berkahwin secara sah. Itupun bernasib baik jika mereka berkahwin. Jika tidak, orang lain turut menjadi mangsa kerana mendapat teman yang telah ditebuk tupai. Saya masih percaya mereka yang memberi komen dalam blog saya turut melakukan perkara yang sama. Mereka tidak kisah mendapat teman hidup yang telah ditebuk tupai, kerana selepas itu, mereka boleh menyimpan berpuluh-puluh mistress kerana bagi mereka tidak berdosa, asalkan niat baik.

Dengan sebab itu, jangan kita keterlaluan menghina orang Melayu yang terlibat dalam gejala sosial dan seks bebas. Berpada-padalah. Kita paparkan seks bebas yang berlaku di kalangan orang Melayu. Pada saya, itu bukanlah perkara pelik sebab ramai lagi umat Islam yang tidak melakukan seks bebas berbanding kita. Semua bukti ini dalam genggaman saya. Statistik umat Islam yang terlibat dan didedahkan dalam media bagi saya ada baiknya, sebab umat Islam amat sensitif dengan perbuatan haram ini dan mahu mencari jalan penyelesaian.

Sedangkan bukan Islam merasakan ia tidak penting. Tetapi, bila anak luar nikah tidak dapat dibinkan bapanya, kita menyalah kerajaan dan Jabatan Pendaftaran Negara. Namun, bila kerajaan bertolak ansur dengan memenuhi tuntutan dan desakan itu, kita gigit dan kutuk kerajaan habis-habis, bukannya mahu berterima kasih. Adakah tindakan ini wajar?

Jika bilangan anak luar nikah yang menjadi tanda aras, saya fikir bilangannya anak luar nikah umat Islam tidaklah membimbangkan sangat. Berbanding dengan ‘anak luar nikah’ bukan Islam yang digugurkan sejak awal atau menggunakan alat pencegah hamil. Jika dibiarkah seperti mana yang dilakukan oleh anak gadis Islam, paling ramai anak luar nikah adalah orang bukan Islam.

Itupun nasib baik jika mereka bertangungjawab. Ada yang terus ditinggalkan, habis manis sepah dibuang. Justeru, jangan lah menuding jari seolah-olah orang Islam sahaja yang ketagih dan suka seks. Puak ultra kiasu boleh ambil gambar remaja melakukan perbuatan sumbang tersebut dan dilinkkan ke blog saya. Saya hanya tersenyum dan ketawa kecil. Pada saya, sekurang-kurang remaja-remaja ini berterus-terang, daripada melakukan secara diam-diam untuk tujuan ‘cover’. Tidakkah perbuatan tersebut lebih hipokrit?

Kita tidak boleh menutup bangkai, baunya pasti keluar. Ketika itu, terbongkarlah segala skandal demi skandal seks lucah. Tidak mustahil yang memberi komen itupun berzina dahulu sebelum berkahwin. Maklumlah, mereka berpegang kepada janji hati baik, niat berkahwin ada.

Kita jangan terlalu menyerang untuk melindungi sesuatu. Saya berterus terang sebab saya tahu apa yang berlaku. Saya tidak hipokrit. Saya mengenal bangsa saya dahulu sebelum orang lain. Janganlah anggap saya jahil tentang bangsa saya. Lagipun saya kajian PhD berkaitan persepsi bangsa saya terhadap bangsa lain. Dapatan yang saya paparkan bertujuan untuk menyelamatkan bangsa saya bukan untuk memusnahkannya. Masihkah saya jahil soal bangsa saya? Yang berkokok berderai-derai, ekor bergemulang tahi itu ada membuat kajiankah? Jangan asyik pandai bercakap dan mengambil kesempatan?

Mungkin hari ini, kita melihat umat Islam tidak bersatu. Tetapi saya yakin satu hari nanti mereka pasti akan bersatu. Ketika mereka bersatu nanti, bayangkan jika mereka mengambil pendekatan membalas dendam, apakah yang akan tinggal pada kita? Ingatlah bangsaku, kasihku terhadapmu amat tinggi sebab kita adalah dari satu generasi yang sama. Bangsa berdarjat dan terhormat, tetapi jangan sampai kita menjadi bongkak kerana sikap bongkak akan menghancurkan kita dan anak cucu cicit kita.

Namun, saya yakin jika ditakdirkan umat Islam kembali bangkit dan menjadi kuat, mereka tidak akan melakukan sedemikian terhadap kita sebagaimana yang kita lakukan terhadap mereka. Agama Islam yang suci dan mulia, tidak sama sekali mengajar umatnya menganiayai atau menghina orang lain.

Malah Islam amat menjaga darjat orang lain. Sejarah Islam membuktikan, Islam tidak akan menyerang jika tidak diserang. Malah Islam sentiasa melindungi kepentingan bukan Islam sehingga sampai pada tahap yang sukar untuk dibayangkan.

Saya masih teringat, bagaimana hebatnya orang Islam merawat tentera Kristian (bukan Islam) ketika mereka tewas dalam Perang Salib pimpinan Sallahuddin Al-Ayubi. Umat Islam tidak pernah mahu membalas dendam meskipun sebelum itu, umat Islam pernah dibunuh, disiksa dan disembelih sehingga darahnya sampai ke paras lutut ketika itu.

Kenapa umat Islam tidak memperlakukan sedemikian rupa? Jawapannya mudah, inilah indah Islam. Islam sama sekali tidak membenarkan umatnya berlaku zalim kepada bukan Islam, kecuali bukan Islam sengaja mencari pasal dengan orang Islam.

Saya teramat yakin, apabila Islam tertekan dan ditekan, satu hari nanti, Islam pasti akan bangkit. PAS dan UMNO pasti akan bersatu. Mungkin hari ini kita masih belum melihat hasilnya, tetapi masa akan menentukannya.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, July 11, 2010

Menahan lukah di pergentingan

7:59 AM Posted by RIDHUAN TEE 182 comments
Mingguan Malaysia 11 Julai 2010

Kedatangan bulan Julai sentiasa terpahat dalam memori. Bermulanya penulisan saya secara tetap dalam akhbar Mingguan Malaysia. Kini telah genap setahun. Minggu hadapan, buku saya akan akan berada di pasaran, hasil kompilasi artikel-artikel sebelum ini, bertajuk Nasib Melayu di Bumi Melayu. Saya amat mengharapkan para pembaca dapat menerima buku ini yang diterbitkan oleh Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd, dengan hati terbuka. Sebenarnya banyak lagi buku dan artikel di pasaran yang lebih kontroversi tetapi kita terima atas prinsip menghormati kebebasan bersuara.

Kebenaran kadang kala amat pahit untuk ditelan. Saya tidak menafikan cetusan minda dan karya saya telah menimbulkan kontroversi. Ada yang suka, tidak kurang pula yang mencerca. Malangnya, yang mencerca jarang berhujah secara profesional, melainkan kutukan dan penghinaan yang amat menyakitkan. Saya menerimanya, biarlah orang mahu kata apapun, saya tidak kisah. Saya lebih mengutamakan pandangan Allah berbanding pandangan manusia.

Penulisan saya dikatakan tidak akademik, tidak mencerminkan ‘kedoktoran’ dan ‘keintelektualan’ saya dan macam-macam kutukan lagi. Ratusan ribu maki hamun dan cacian dalam internet sudah tidak larat untuk dibaca. Hatta komen dalam blog saya sendiri, saya tidak kuasa memadamkannya. Biarlah kita memahami mentaliti ultra kiasu ini. Lagipun dosa pahala cacatan tersebut, biarlah Allah sahaja yang menentukannya.

Saya tidak pernah memaki hamun sesiapa. Tidak juga saya membalas balik cacian dan makian mereka kerana saya tidak mahu dilihat sama seperti mereka.

Matlamat saya jelas, saya hanya mahu umat Islam bersatu. Saya tidak mahu melihat umat Islam terus berkelahi, sedangkan orang lain bertepuk tangan. Saya mahukan kita mempercayai saudara sendiri berbanding orang lain. Saya yakin orang lainpun sebegitu. Mereka lebih percaya orang sendiri, berbanding orang lain. Lumrah manusia, mereka mula mempercayai orang lain hanya apabila berada dalam keadaan tersepit. Inilah realiti politik Malaysia. Tidak perlulah saya membuat perbandingan lagi kerana akan mengeruhkan suasana.

Teringat pesanan guru saya agar mengurangkan konflik ketika menulis, tetapi perbanyakkan kerjasama, penyatuan dan persamaan atau cohesion. Adalah satu kerugian jika banyak menimbulkan konflik. Lagipun ia selaras dengan gagasan 1Malaysia. Inilah panduan setiap kali saya menulis. Malangnya, ia sengaja diputarbelitkan. Contoh-contoh konflik yang kecil, diperbesarkan untuk mendapat perhatian dan simpati. Apa boleh buat, spesis ini memang sentiasa ada untuk melemahkan semangat.

Mereka seolah-olah tidak boleh disentuh lagi. Mereka sahaja yang dilihat sebagai pejuang rakyat, orang lain tidak. Mereka juga adalah ‘jaguh’ menentang ‘korupsi dan penyelewengan’ yang dilakukan Umno dan Barisan Nasional sahaja. ‘Korupsi dan penyelewengan’ mereka seolah-olah tiada.

Perjuangan inilah yang didakwa sangat mendapat sokongan rakyat yang telah diterjemahkan melalui Pilihan Raya Umum 2008. Mereka dikatakan sudah berbeza, lebih terbuka, telah banyak berubah dan semakin dekat dengan Islam. Baguslah kalau begitu. Maka segeralah laksanakan ‘perubahan’ itu. Sama-sama kita membina negara ke arah sejahtera. Saya teramat ingin untuk melihat dan merasai percikan ‘perubahan’ yang cuba diketengahkan itu agar saya boleh membuat pilihan.

Namun, sehingga ke hari ini, dalam menganalisis senario politik negara, saya masih tidak ada pilihan ketiga. Saya hanya ada dua pilihan antara Umat Islam (Umno dan Pas) dan bangsa saya (bukan Islam). Yang mana satu perlu dipilih? Tanpa berselindung, sudah tentu saya perlu menyelamat umat Islam, tidak kira di mana mereka berada, dalam parti apa sekalipun, walaupun terpaksa berhadapan dengan kutukan, cacian dan maki hamun masyarakat sebangsa. Biar saya hina di sisi bangsa, tetapi jangan saya hina dan menerima kutukan Yang Maha Esa.

Inilah pertembungan yang kadang kala terlalu sukar untuk saya membuat keputusan. Kepentingan agama lebih besar daripada kepentingan bangsa. Kepentingan umat mengatasi daripada kepentingan diri. Saya tidak rela agama dan umat Islam berdagang di bumi sendiri. Mereka yang tidak setuju ada hak untuk bersuara balik. Tidak menjadi masalah. Saya tidak rugi satu sen pun, walaupun emosi saya kadangkala tercuit dengan tindakan ultra ini. Dalam tempoh setahun ini, saya telah menjadi lali. Pedulikan apa orang nak kata, itu hak mereka.

Saya tidak pernah kata semua tindak tanduk Umno betul? Saya mengakui masalah yang juga berserabut dalam Umno seperti korupsi, politik wang dan politik saling jatuh-menjatuhi. Saya selalu tegur, bacalah buku yang akan diterbitkan itu.

Persoalannya, wajarkah dengan masalah dalam Umno menyebabkan kita tolak semuanya apa yang ada di dalam Umno? Adakah nikmat yang kita kecapi ini, langsung bukan hasil kerja Umno? Adakah semua harta dan kekayaan negara hanya jatuh kepada kroni Umno? Jika ia jatuh ke tangan kroni sekalipun, apakah ia tidak menguntungkan orang lain yang menjadi pengeluar utama? Tidakkah ultra kiasu yang turut menjadi kaya, adalah juga hasil daripada sistem kroni yang berjalan selama ini?

Ramai rakan saya dalam Umno sanggup belot, menggadaikan prinsip dan maruah dengan berpaling tadah kepada ultra kiasu, semata-mata untuk mendapatkan tender dan projek. Mereka sanggup menjadi sikitol semata-mata untuk cari makan. Adakah memberikan tender dan projek kepada mereka tidak kroni namanya? Bentangkanlah tender dan projek yang diterima mereka di setiap majlis perbandaran negeri-negeri yang dikuasai pakatan? Saya amat yakin semuanya adalah kroni. Paling tidakpun tender dan projek diberikan kepada mereka yang telah belot kepada Umno. Apakah ia satu tindakan yang wajar? Janganlah mengatakan dulang paku serpih.

Perdana Menteri hari ini cuba sedaya melakukan perubahan selaras dengan gagasan 1Malaysia, tetapi semuanya ditolak. Pada masa sama, mereka tidak malu-malu menuntut. Saya yakin tuntutan peruntukan sebanyak satu billion untuk sekolah vernakular dalam RMK-10 suara bersama. Betapa malangnya nasib sekolah agama, berapa billion yang diperolehi dalam RMK-10. Kita tunggu dan lihat nasib umat Islam yang termaktub dalam perlembagaan ini.

Sebelum kerajaan mempertimbangkan permohonan mereka, pihak kerajaan perlu membuat audit ke atas akaun persatuan-persatuan berkaitan sekolah vernakular ini yang memperolehi dana dan bantuan daripada luar bernilai jutaan ringgit dalam simpanannya. Banyak cara yang digunakan oleh syarikat-syarikat besar memberikan sumbangan bagi mengelakkan diri dari membayar cukai dengan menyalurkan wang ke sekolah ini. Secara tidak langsung, kerajaan telahpun membantu mereka apabila cukai syarikat disalurkan kepada pertubuhan yang dikecualikan cukai dan seterusnya cukai itu disalurkan ke sana.

Atas semangat cohesion, saya bersetuju dengan peruntukan satu billion, malah lebih dari itupun boleh, dengan syarat kerajaan mengambilalih semua sekolah ini dan diserapkan ke dalam pendidikan nasional yang lebih sejajar dengan gagasan 1Malaysia agar terbina sebuah negara bangsa yang utuh, tanpa menafikan hak mempelajari bahasa ibunda. Termasuk juga memberi pengikhtirafan ke atas Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), dengan syarat mengikut silibus yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Malangnya, ia terus ditentang kerana kita lebih takut silibus yang ditetapkan itu tidak diterima oleh negara China dan Taiwan.

Namun demikian, walaupun kerajaan tidak mengikhtirafnya, mereka masih lagi tidak rugi apa-apa, kerana syarikat-syarikat swasta yang rata-rata dikuasainya terus menerima mereka. Pendek kata, persoalan sama ada diikhtiraf atau tidak, langsung tidak timbul. Makna tersurat dan tersirat cukup mudah, tidak diterima pun dapat, diterima, lagi banyak dapat.

Saban hari mereka asyik menyalahkan kerajaan walaupun ‘kesalahan’ itu mungkin datang dari orang lain. Semua tidak betul. Misalnya, wajarkah kita menyalahkan kerajaan hanya kerana anak bekas pejuang kemerdekaan tidak mahu menyerahkan dokumen sejarah hampir 150 kotak kepada muzium negara atau arkib negara, sebaliknya memberikannya kepada Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS) di Singapura?

Kita boleh bawa kuda ke tepi kolam, tetapi kita tidak boleh paksa kuda minum air. Kita terlalu banyak bersangka buruk. Kerana sangkaan buruk inilah sehingga kita terpaksa dan sanggup mencadangkan supaya muzium atau arkib bangsa sendiri lebih banyak diwujudkan daripada yang sedia ada? Adakah tindakan ini membawa kepada cohesion? Inilah hasil yang kita tuai setelah 53 tahun mencapai kemerdekaan.

Jika kita benar-benar sayang kepada negara, sekurang-kurangnya buatlah salinan dan serahkan kepada Arkib Negara. Sayang sekali, kita lebih mempercayai negara lain daripada negara sendiri.

Hari ini, tanpa disedari ataupun kita menyedari, kita sebenarnya memelihara duri dalam daging. Kita ibarat menahan lukah di pergentingan, mengambil kesempatan di saat-saat sukar.

Terbaru, parti nyamuk yang terasa dirinya kuat menggugut mahu keluar daripada BN jika terbukti Umno terlibat menentang ketuanya. Pada saya, silakanlah, adapun menyusahkan, pergi, lagi menyenangkan. Budi baik orang lain langsung tidak dikenang, seolah-olah melepaskan anjing tersepit.

Sama juga adik-beradik parti nyamuk baru-baru ini dalam Mesyuarat Agong mereka menuntut jawatan menteri penuh diberikan walaupun ahlinya hanya sekelumit. Siapakah yang patut berkorban untuk memberi kerusi tersebut? Saya tidak yakin parti-parti komponen BN akan memberi laluan. Bukti menunjukkan bahawa sikap ultra kiasu amat kuat, bila kosong sahaja kerusi senator, sepantas kilat mereka sudah ada calon untuk menggantikannya. Akhirnya, nanti kerusi Umno juga yang akan terlepas. Kawasan Parlimen Gerik sudah menyaksikan segalanya.

Apapun, saya dapat simpulkan, setiap sudut yang rugi adalah umat Islam. Semakin banyak parti-parti politik ditubuhkan untuk menyertai BN, kerusi orang Islam hanya satu iaitu Umno. Sedangkan bukan Islam yang menyertai BN mengimpikan jawatan menteri atau kuasa mesti dikongsi bersama mereka. BN adalah alat untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan. Atas semangat cohesion kita terus memberi, tetapi jarang menerima.

Tidak cukup dengan itu, mereka terus mengasak untuk mendapatkan jawatan-jawatan penting dalam kabinet seperti Menteri Kewangan, Menteri Kerja Raya, Menteri Dalam Menteri dan sebagainya. Mereka sentiasa merancang mahukan lebih dan lebih. Malangnya, umat Islam merancang saling jatuh-menjatuhi antara satu sama lain, sama ada di dalam parti atau di luar parti.

Inilah politik ultra kiasu yang mesti ditangani oleh Umno yang memimpin BN hari ini. Jika Umno sanggup beralah, kenapa orang lain tidak? Saya teringat komen rakan blog, kenyataan yang dikeluarkan tidak menyembuhkan luka yang ada, tetapi semakin menyakitkan luka yang sedia ada. Akhirnya luka semakin mendalam.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agung DPIM. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, July 04, 2010

Beza antara kawan dan sahabat

8:18 AM Posted by RIDHUAN TEE 207 comments
Mingguan Malaysia 4 Julai 2010

Sebelum ini Pas amat yakin bahawa rakan sekutunya parti ultra kiasu sudah faham akan Islam dan menerima konsep negara Islam serta mungkin tidak mustahil untuk memeluk Islam. Itulah harapan Pas yang menggunung tinggi. Sayangnya Pas agak kurang memahami psiki ultra kiasu telah diceraikan sebelum ini dan kini merujuk kembali kononnya untuk menguasai Putrajaya.

Untuk memahami parti ultra kiasu ini, mungkin Pas boleh meminta pendapat daripada beberapa kalangan Cina Muslim yang menjadi ahlinya. Dengan syarat, Cina Muslim itu mesti jujur dengan ilmu dan tidak ultra kiasu. Sebab ramai juga Cina Muslim yang turut terikut-ikut dengan rentak ultra kiasu disebabkan latar belakang pendidikan perkauman yang mereka terima.

Hakikatnya, pendirian ultra kiasu tidak pernah berubah dari dahulu sampai sekarang meskipun mereka berada dalam satu pakatan. Minggu lalu, pemimpin veteran parti ultra kiasu yang tidak berserban, secara terang menentang sebarang usaha dan percubaan Pas untuk menjadi Malaysia sebuah negara Islam apatah menjalankan undang-undang Islam. Pada beliau, walaupun berada dalam satu pakatan, ia bukanlah bermakna mereka menerima dasar Pas. Jawapan ini sudah jelas kepada Pas agar membuka mata dan minda. Siapakah kawan, siapakah lawan dan siapakah sahabat?

Saya yakin jika Pas berbincang dan bersahabat dengan Umno tentang hal ini, tidak mungkin Umno akan menolak bulat-bulat, sebab Umno juga adalah parti orang Islam. Ramai kenalan saya dalam Umno yang mahukan Islam. Yang kurang berminat dengan Islam pula, amat pantang jika kita kata mereka kafir, sebab dalam hati mereka masih ada iman. Paling tidak pun, Umno akan jawab, negara Islam telahpun diisytiharkan, cuma perlaksanaannya memerlukan sedikit masa.

Sebahagian undang-undang Islam sebenarnya telah dan sedang berjalan, walau tidak sepenuhnya. Yang penting pada saya, bawalah berbincang. Jangan terlalu bersangka buruk sesama bangsa dan seagama. Sedangkan Nabi ampunkan umat, inilah pula perbalahan antara sahabat semacam adik-beradik. Janganlah menolak persahabatan kerana terlalu ingin berkawan. Berkawan hanya sekadar di pinggiran, atau mungkin sampai di tangga rumah. Jika terpancar keikhlasannya mungkin boleh dipelawa masuk ke dalam rumah. Tetapi bersahabat bukan sahaja boleh di pimpin ke dalam rumah, malah boleh dibawa sampai ke bilik. Begitulah rapatnya hubungan sahabat berbanding kawan. Tetapi jangan melakukan perbuatan di luar tabie bila bersahabat.

Berkawan dengan memang perlu berhati-hati, apatah lagi dengan musang berbulu ayam. Kegilaan mereka kepada pentadbiran Umar Abdul Aziz bukanlah tiket untuk mengatakan bahawa kawan kita sudah insaf atau sudah dekat dan mahu kepada Islam. Sejarah menunjukkan ia tidak sedemikian. Janganlah mudah cair sehingga musuh tidak dapat dibezakan sama ada sekadar untuk berkawan atau bersahabat.

Saya yakin kepimpinan Pas selepas ini akan berkata, lebih baik berkawan dengan musuh, daripada bersahabat dengan sahabat seagama yang menolak Islam. Persoalannya, mana lebih baik? Berkawan dengan musuh yang jelas menentang Islam atau menghulurkan tangan dengan sahabat yan masih ada ruang untuk menerima Islam? Saya tidak berkawan dengan ultra kiasu, tetapi ramai juga bukan ultra kiasu yang memeluk Islam di tangan saya. Ingin saya bertanya kepada Pas, sekian lama berkawan dengan ultra kiasu, berapa ramaikah yang telah memeluk Islam kerana terpikat dengan keislaman yang telah ditunjukkan oleh Pas? Sejauh mana dakwah Pas berkembang kepada mereka? Adakah mereka semakin dekat dengan Islam atau semakin memusuhi Islam? Cuba tanya soalan ini kepada pemimpin veteran ultra kiasu itu?

Pas selalu berhujah, Umno adalah punca segala kejahatan di muka bumi ini, seolah-olah tidak ada langsung kebaikannya. Dengan makna, Umno itu syaitan = neraka dan Pas itu malaikat = syurga. Apakah Pas terlalu yakin bahawa mereka terlalu baik? Pemerintahan mereka sahaja yang betul, orang lain salah?

Saya tidak nafikan ada berlaku pengurangan jenayah dan maksiat sepanjang Pas memerintah Kelantan, tetapi ia masih berlaku, termasuk yang pelik-pelik. Mungkin alasan Pas sebab kerajaan pusat tidak membenarkan undang-undang hudud dilaksanakan. Realitinya, negara-negara Islam yang cuba melaksanakan Islam pun masih lagi tidak dapat membendung gejala ini sepenuhnya, walaupun itulah pilihan terbaik. Bermakna, fenomena ini tidak mungkin dapat dihapuskan sepenuhnya, selagi manusia bernama manusia, tidak lari daripada kesilapan. Mereka bukan malaikat, mereka ada nafsu. Undang-undang hanya mampu mencegah dan mengurangkannya. Agak mustahil untuk menghapuskannya ke tahap sifar, apatah lagi dalam era dunia tanpa sempadan.

Justeru, adakah wajar kita mengatakan bahawa semua kejahatan dan kemaksiatan yang berlaku hari ini disebabkan oleh Umno? Pihak lain tidak langsung bersalah? Buatlah kajian. Negeri Selangor dan Pulau Pinang tidak kurang tinggi kadar jenayah dan masalah sosial, selain Wilayah Persekutuan dan Johor. Bermakna, ini adalah fenomena globalisasi yang mesti ditangani bersama bukan saling salah menyalah.

Saya selalu dengar Pas amat yakin ultra kiasu mula menyokong dan memahami Islam serta perjuangan Pas setelah lama berkawan. Pada anggapan Pas, yang tidak bersetuju dengan dasar Islam hanyalah pemimpin-pemimpin veteran ultra kiasu. Golongan muda ultra kiasu tidak seperti golongan veteran ultra kiasu. Mereka dikatakan lebih lunak, terbuka dan mahu kepada Islam. Benarkah anggapan itu? Janganlah kerana mereka sudah berani mengibarkan bendera Pas ketika pilihan raya, itu menjadi petanda bahawa mereka menerima dasar Islam Pas. Ya, saya tidak menafikan perubahan parti ultra kiasu berbanding dahulu. Tetapi janganlah terlalu terpedaya dengan berhujah berasaskan bendera sahaja. Masih banyak perkara yang perlu dilihat, terutama sejarah parti ultra kiasu yang tidak pernah mahu menerima Islam.

Jika itulah tanggapan Pas, saya pun akan mengatakan, generasi veteran Umno semakin hampir kepada penghujungnya. Generasi muda akan mengambil alih. Saya yakin generasi muda Umno mahukan Islam. Apakah kita akan terus mengatakan bahawa selagi namanya Umno selagi itulah Umno tidak akan berubah dan menolak Islam? Adakah Pas begitu tega menolak anak orang Pas yang turut menjadi ahli dan pemimpin Umno, dan memuji anak orang Umno yang menyertai Pas?

Saya bimbang kita terlalu perasan dan syok sendiri. Hakikat yang sebenar masih belum tentu. Saya amat yakin bahawa pandangan ultra kiasu terhadap Pas, negara Islam dan hudud tidak pernah berubah. Sesiapa yang mengkaji sejarah dan ilmu sosialisasi politik, akan tahu kebiasaannya pandangan sebegini telah diturunkan dari generasi kepada generasi. Sama juga isu bangsa dan bahasa yang telah saya bahaskan sebelum ini.

Apakah Pas sudah lupa isu perlantikan Menteri Besar Perak selepas Pakatan Rakyat mendapat majoriti kerusi dalam Pilihan Raya Umum 2008? Masihkah kita anggap itu adalah pandangan peribadi veteran ultra kiasu dan bukannya pandangan parti ultra kiasu?

Apabila parti ultra kiasu mendapat majoriti kerusi dalam pakatan ketika itu, mereka sudah ada calon MB mereka sendiri. Nasib baik ada Sultan Perak yang berkuasa memilih siapakah yang layak menjadi MB Perak. Lantas, Nizar Jamaluddin diperkenan oleh Baginda Sultan walaupun kerusi Pas adalah yang sedikit dalam pakatan. Jika tidak, sudah tentu rakyat Perak bermenteribesarkan parti ultra kiasu kerana itulah cita-cita mereka selama ini selain berjaya menguasai Pulau Pinang. Kes yang sama berlaku selepas ultra kiasu mendapat majoriti kerusi dalam pilihan raya tahun 1969. Parti ini begitu ghairah telah menuju ke istana untuk mendapat perkenan Tuanku Sultan supaya dilantik menjadi MB. Namun, ditolak oleh Tuanku Sultan.

Perlantikan Nizar Jamaluddin sebagai MB Perak sebenarnya tidak dapat diterima oleh parti ultra kiasu ketika itu, hanya kerana Nizar itu adalah Pas. Jika Nizar masih meneruskan cita-cita Pas untuk menegakkan pemerintahan Islam di Perak, saya amat yakin parti ultra kiasu akan menjatuhkan Nizar. Jika cara itu tidak berjaya, mereka pasti bertindak keluar daripada pakatan tersebut.

Persoalannya, kenapa ultra kiasu dapat menerima Nizar dan mempertahankannya habis-habisan selepas Nizar dipecat setelah tidak lagi mendapat majoriti kerusi di Dewan Undangan Negeri Perak? Saya yakin para pembaca sudah ada jawapannya.

Justeru, kenyataan pemimpin veteran ultra kiasu baru-baru ini tidaklah mengejutkan. Adalah amat mustahil bagi ultra kiasu untuk berkompromi dalam hal ini. Jika ultra kiasu berkompromi, ia bermakna ia menerima Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan jika Pas berkompromi, bermakna ia menerima negara sekular dan ini akan bertentangan dengan prinsip mereka sendiri. Inilah dilema pakatan tidur sebantal, mimpi lain-lain. Pakatan ini ibarat kosmetik, cantik di luar, berserabut di dalam.

Ultra kiasu tetap berpendirian Malaysia adalah sebuah negara sekular. Mereka akan terus mengumpulkan bukti dan hujah. Antaranya adalah petikan kata-kata Tunku Abdul Rahman dan keputusan Mahkamah Agung 1988 yang telah memutuskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular. Apakah Pas tidak sedar bahawa Barisan Alternatif yang diwujudkan pada pilihan raya umum 1999 gagal disebabkan oleh isu negara Islam dan hudud?

Matlamat ultra kiasu yang paling utama ialah mengambil alih Putrajaya daripada BN. Bukannya menghormati dasar Pas. Pas hanya alat untuk memenuhi nafsu serakah mereka. Nik Aziz tidak perlu meminta pendapat veteran ultra kiasu untuk menilai pemerintahan di negerinya. Walaupun tidak dinafikan ada kebaikan, mereka tidak akan pernah mengakui, kerana di hati mereka tidak pernah ada bulan seperti yang didakwa Nik Aziz sebelum ini. Ditakdirkan BN tumbang nanti, pasti Pas akan terpinggir kerana ultra kiasu lebih yakin dengan sekutu bulan sabit yang mirip kepada sosialis.

Justeru, tidak perlulah Pas menjaja dalam ceramahnya bahawa generasi ultra kiasu telah menerima dasar-dasar Islam.

Seringkali saya ulang, Umno tidaklah sejahat yang disangka. Yang jahat, jahil dan korup hanya segelintir. Mereka sudah menjadi semakin tidak popular. Masih ramai yang baik. Mereka tidak ada pilihan untuk memperjuangkan nasib Melayu dan Islam melainkan di dalam Umno. Maka, tidak hairan jika mereka terus berada di dalam Umno sebagai platform untuk berjuang dan memainkan peranannya. Saya amat faham aspirasi dan inspirasi mereka walaupun ada yang gagal separuh jalan. Namun, perjuangan perlu diteruskan. Kita tidak seharusnya membiarkan kapal terus karam. Tidakkah bekerjasama itu lebih baik bagi menyelamatkan Islam?

Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sikap ekstrim atau ultra amat ditentang oleh Islam. Pas perlu jelas dalam kerjasama ini agar tidak menyesal di kemudian hari. Ingatlah, meruntuh memang mudah, tetapi membina mengambil masa yang lama. Apatah lagi jika yang hendaklah dibina itu tidak mempunyai landasan yang kukuh. Ibarat membina sebuah rumah, jika bahan binaan itu palsu, kosmetik sahaja, luar nampak cantik, di dalam berserabut. Akhirnya, bila roboh pasti sukar untuk dibaiki semula, melainkan dengan membina semula. Ketika itu sudah terlambat, kerana kita telah dikelilingi oleh rumah-rumah besar dan kukuh. Lihatlah Kampung Baru, ibarat melukut di tepi gantang. Justeru, bezakanlah antara kawan dan sahabat. Pilihan di tangan kita.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis