(Utusan Malaysia, 28 Okt 2012)
BIDANG
saya bukanlah undang-undang, tetapi politik dan kerajaan. Namun, saya naik muak
apabila pakar undang-undang bercakap, tetapi tidak mencerminkan keintelektualan
mereka. Mereka hanya mahu menonjolkan diri seolah-olah pakar segalanya. Sejauh
mana kepakarannya, masih menjadi tanda tanya.
Saya
bersetuju dengan kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa Malaysia
bukanlah negara sekular kerana tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan
perkataan itu. Yang ada hanya ucapan pemimpin dan interpretasi mereka. Ultra
kiasu mengatakan Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan Malaysia sebuah
negara sekular. Kata-kata pemimpin tidak mengikat (binding), berbanding
undang-undang dalam Perlembagaan.
Saya
boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dengan pendapat dan kata-kata sesiapa
pun. Sama seperti ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Kita boleh menerima dan
tidak menerima pengisytiharan itu kerana ia tidak mengikat. Maka, kenapa kita
perlu terlibat dengan polemik ultra kiasu yang menangguk di air keruh?
Saya ada
hak untuk akur atau ingkar kepada pendapat seseorang pemimpin. Ultra kiasu
boleh memetik daripada pelbagai sumber untuk menunjukkan negara ini negara
sekular, tetapi saya tetap beranggapan negara ini negara Islam, berasaskan
sejarah, majoriti umat Islam dan Perlembagaan yang jelas meletakkan
keistimewaan agama Islam, Melayu dan Raja-raja Melayu, berbanding perkara lain
dalam banyak hal. Rujuk perkara 3, 11, 12, 32-42, 152, 153, 160 dan lain-lain.
Ini termasuk
menggunakan peruntukan negara untuk mendirikan institusi Islam dan menyebarkan
syiar Islam. Di sinilah terletaknya makna keadilan, memberikan hak kepada yang
berhak, meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jika umat Islam membina masjid di
tanah kerajaan, ia dibenarkan, mengambil kira kedudukan Islam dalam
Perlembagaan manakala jika orang bukan Islam sewenang-wenangnya memacakkan
rumah ibadat mereka, maka boleh diambil tindakan, sebab ia tidak ada dalam
peruntukan Perlembagaan. Itupun kita begitu takut melakukannya. Yang selalu
menjadi korban adalah masjid dan surau.
Saya
begitu teruja dengan pendapat dua orang pakar perundangan Melayu, mengenai
kebimbangan Perlembagaan diganti dengan undang-undang Islam. Saya tidak tahu
sejauh mana pakarnya mereka ini. Tetapi perlu diingat, kepakaran mesti disertai
dengan asas hidup beragama. Menjadi pakar adalah satu hal, memahami kepakaran
daripada perspektif sejarah dan Islam, satu hal lain yang perlu diketahui,
supaya kepakaran kita selari dengan cara hidup Islam.
Keputusan
Mahkamah Tinggi mengenai kes transeksual Muslim di Negeri Sembilan baru-baru
ini, menimbulkan kebimbangan dua orang 'pakar' undang-undang yang ditemubual
oleh laman web Malaysian Insider. Katanya, undang-undang Islam bakal
menggantikan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di negara
ini. Jika pun benar, apa masalahnya? Hakim menjatuhkan keputusan berasaskan
kepakarannya.
Secara
peribadi, saya suka keputusan itu. Hakim Mahkamah Tinggi, menolak cabaran oleh
sekumpulan Muslim transeksual terhadap peruntukan undang-undang Islam yang
menyekat lelaki daripada memakai pakaian wanita atau berpakaian seperti wanita
dengan hujah, seorang Muslim tidak dikecualikan daripada undang-undang Syariah.
Dua pakar
tersebut melahirkan kebimbangan mereka, dengan memberi contoh kes itu sebagai
bukti Perlembagaan Persekutuan bukan lagi menjadi rujukan. Hal ini akan
menyebabkan penghakiman mengutamakan undang-undang Islam daripada undang-undang
lain, dalam sistem dua mahkamah di negara ini. Penghakiman tersebut katanya,
meletakkan enakmen Islam lebih tinggi daripada Perlembagaan.
Persoalan
saya, bukankah perkara ini melibatkan hal ehwal Islam, di manakah salahnya?
Hakim menjatuhkan keputusan berasaskan budi bicara setelah mendengar semua
hujah daripada peguam cara dan peguam bela.
Mereka
mendakwa bahawa keputusan Mahkamah Tinggi tersebut adalah sama dengan keputusan
Mahkamah Persekutuan sebelum ini, yang mana ia menetapkan bahawa Islam mesti
dilindungi dengan "apa cara sekalipun". Pada saya, ini adalah keputusan
tepat dalam melindungi umat Islam, yang berhak ke atas sistemnya sendiri.
Wartawan
ultra kiasu turut menemu bual peguam veteran bukan Islam, bekas Setiausaha
Agung Majlis Peguam, bagi menjustifikasikan Malaysia adalah negara sekular,
agar undang-undang syariah tidak terpakai. Maka peguam ultra kiasu pun menjawab
bahawa Malaysia adalah negara sekular dengan merujuk kepada pendapat Hakim
Abdul Hamid, seorang Hakim Mahkamah Persekutuan Pakistan yang menjadi salah
seorang panel yang menganggotai Suruhanjaya Reid (1956), dalam membantu
merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, mengatakan negara ini sekular.
Kedangkalannya
semakin terserlah apabila beliau mengkritik Dr. Mahathir secara unilateral
mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dalam ucapan politik di
Persidangan Kebangsaan Perwakilan Parti Gerakan pada 2001. Dr. Mahathir,
katanya, menidakkan pengumuman sekular yang dibuat oleh Perdana Menteri sebelum
itu, seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn.
Hujah
beliau turut dipersetujui oleh dua peguam Melayu itu. Kata mereka, hanya kerana
Perlembagaan Persekutuan tidak mempunyai perkataan 'sekular', tidak bermakna
bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular. Sama juga seperti perkataan
'demokrasi' tidak disebut dalam Perlembagaan, tetapi negara kita mengamalkan
demokrasi berparlimen.
Sebuah
negara Islam akan meletakkan al-Quran sebagai pihak berkuasa tertinggi, tetapi
Perlembagaan kita menyatakan dalam Perkara 4 menetapkan Perlembagaan merupakan
undang-undang tertinggi negara ini. Ternyata, mereka tidak faham sejarah negara
dan konsep separation of power yang dibawa British.
Ultra
kiasu selalu berhujah, Tun Salleh Abas semasa menjadi Ketua Hakim Negara,
pernah berkata undang-undang negara ini sekular dengan merujuk kepada kes Che
Omar Che Soh (1988). Hukuman mati ke atasnya adalah tidak sah kerana ia
mengikut hudud, atau undang-undang Islam.
"Bagaimanapun,
kita perlu mengetepikan perasaan peribadi kita kerana undang-undang di negara
ini adalah masih apa yang ia ada hari ini, undang-undang sekular, di mana moral
tidak diterima oleh undang-undang dan tidak menikmati status
undang-undang". Sama ada dakwaan ultra kiasu ini benar atau tidak, hanya
Tun Salleh boleh memberikan jawapannya, kerana hanya ultra kiasu sahaja yang
berminat dengan kata-kata ini.
Dakwanya
mereka lagi, Malaysia adalah sebuah negara sekular kerana semua undang-undang
mesti selaras dengan Perlembagaan dan Perlembagaan adalah satu dokumen sekular.
Undang-undang syariah wujud kerana Perlembagaan membenarkannya.
Agensi-agensi
Islam tertakluk kepada undang-undang Perlembagaan sekular itu. Lebih ekstrem
lagi kata mereka, satu-satunya cara untuk menghilang status sekular Malaysia
adalah melalui pindaan Perlembagaan, yang memerlukan persetujuan majoriti dua
pertiga Parlimen dan persetujuan Majlis Raja-Raja serta Sabah dan Sarawak, yang
mana perkara ini tidak mungkin berlaku.
Persoalannya,
kenapa kita terlalu obses dengan label sekular, sedangkan perkataan ini
langsung tidak disebut dalam Perlembagaan? Apa agenda dan tujuan di sebalik
membangkitkan perkataan sekular itu? Tanpa melabel perkataan sekular itu,
perlembagaan tetap Perlembagaan, satu set dokumen undang-undang tertinggi
negara dan berdaulat.
Sekular
atau tidak, kita yang menginterpretasinya. Ia tetap akan menjadi sumber rujukan
pengamal undang-undang. Bagi umat Islam, mereka ada keistimewaannya, kerana
kedudukan Islam begitu jelas terpelihara. Apa yang sekularnya?
Saya
tertarik dengan pendapat Uthman El-Muhammady, sekularisme dalam mengikut pengertian
Barat tidak wujud sama sekali di Malaysia. Umat Islam mesti segera menghentikan
pertikaian berkenaan dan kembali kepada fahaman konsep sayang kepada bangsa dan
agama mengikut Islam. Inilah yang Islam ajar.
Jangan
sesekali melanggar kerangka asal ini dan sewajarnya perlu diperkemaskan lagi
untuk dijadikan contoh kepada kaum minoriti lain. Mereka yang melanggar
kerangka asal ini dipanggil "Intellectual And Spiritual Barbarian"
(kebiadapan intelektual rohani) yang tidak boleh dimaafkan, termasuk peguam
Melayu tersebut. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku atas dasar kebebasan
mengeluarkan pendapat.
Kata
beliau lagi, pendapat yang menyebut sekular mula wujud di negara ini sejak
kedatangan penjajah adalah tidak benar sama sekali. Pemisahan agama, adat dan raja
pada waktu itu adalah pengasingan pentadbiran bukannya pengasingan agama secara
total dalam pentadbiran. Pokok pangkal sekular ialah pengecualian agama
daripada semua ruang awam.
Agama
dipisahkan dalam pendidikan, pentadbiran, sektor keselamatan, bank dan
lain-lain. Kita tengok dalam pentadbiran negara hari ini, agama tidak
dipisahkan sama sekali. Malah dalam apa jua aspek, agama ditekankan. Cuma
mungkin secara tidak menyeluruh kerana kita sedang mengalami perubahan.
Kesimpulan,
meneliti kepada semua hujah, saya dapat katakan, negara kita (perlembagaan),
sekular pun tidak, terlalu Islamik pun tidak. Tetapi kedudukan Islam tetap
terjamin dan ada keistimewaannya dan tidak boleh diganggu-gugat oleh sesiapa
pun. Maka, janganlah terperangkap permainan ultra kiasu licik ini.
PROF. MADYA DR. MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH
Ketua Program, Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
PROF. MADYA DR. MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH
Ketua Program, Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121029/re_01/Ucapan-sekular-tidak-mengikat#ixzz2AewNMmfF
© Utusan Melayu (M) Bhd