Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, November 03, 2014

Contohi dan ikutilah Brunei

9:03 AM Posted by RIDHUAN TEE 30 comments
Sinar Harian, 3 November 2014



Minggu lalu saya berada di Brunei, mengisi Majlis Ilmu 2014, undangan Jabatan Perdana Menteri Brunei, membentangkan kertas kerja bertajuk manfaatkan sains martabatkan Islam. Majlis tersebut dirasmikan oleh Sultan Brunei, bertemakan sains dan teknologi pemangkin pembangunan dan meningkatkan kualiti hidup ummah.

Ucapan Baginda Sultan penuh dengan penegasan dalam melaksanakan Islam tanpa menolak kepentingan sains dan teknologi. Sains dan teknologi akan terus diperkasakan menjadikan Brunei negara maju 2035.  

Selepas perasmian, Mufti Brunei memberi ucaputama dan Sultan turut berada sama dan begitu khusyuk mendengar. Saya tersangat ingin perkara itu berlaku di Malaysia.

Ucapan Mufti begitu bernas dan tegas di hadapan pemimpin tertinggi negara itu. Sains dan teknologi mesti berpandukan iman dan taqwa. Secara tegas dan berani ucapan itu dituju oleh pemimpin negara. Soal syurga, neraka dan balasan akhirat dibangkitkan jika pemimpin tidak melaksanakan tanggungjawabnya. 

Walaupun fokus utama mengenai kepentingan institusi sedekah, tetapi isinya tidak lari daripada mengingatkan pemimpin negara, secara terang dan berani. Saya lihat Baginda Sultan begitu kusyuk mendengar, kerana saya yakin Baginda menganggap Mufti adalah penasihat terbaik baginda. Adakah kita juga sedemikian? Mufti pula tiada kepentingan, melainkan keredhaan Allah.

Apakah kita di sini ada keberanian seperti itu? Setakat yang saya lihat, tidak ramai kalangan kita yang berani menegur pemerihtah, meskipun secara berhikmah. Yang banyak adalah ucapan memuji dan membodek pemimpin untuk kekal kuasa, dapat kuasa dan habuan yang lain.

Bilakah negara kita ingin mencontohi Brunei? Semua pemimpinnya mahukan Islam, dan yakin dengan hukum Allah yang mesti ditegakkan.  

Saya akur, negara kita bukan Brunei. Bukan Islam hampir separuh. Tetapi, sekurang-kurangnya mulakanlah dengan melaksanakan cara hidup beragama, kalaupun tidak mahu nama Islam itu ditonjolkan.

Misalnya, budaya dan tatacara berada dalam pesawat. Berada dalam Royal Brunei Airlines (RBA), seolah-olah begitu yakin berada di udara, Allah bersama kita. Dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan salam yang begitu indah.

Anak-anak kapal begitu bersopan dan manis sekali. Pakaiannya menutup aurat. Makanannya semua halal. Tidak ada arak dan benda haram yang lain. RBA tetap penuh dengan penumpang tempatan dan asing. Brunei terus menjadi tumpuan pelancong. Tidak timbul soal laksanakan Islam, pelancong lari dari Brunei. Semakin ramai ada.

Inilah rahmat Allah yang mesti kita yakini. Apakah benar kata-kata jika arak tidak dihidangkan dalam pesawat pelancongkan akan lari. Bukankah pelancong sudah bermandikan arak di negara mereka sendiri? Paling saya bimbang, yang suka arak bukan pelancong, tetapi kita.

Lagi pula, arak kita tidaklah sebaik arak mereka. Arak yang dihidangkan itupun jenama negara mereka juga.

Pernah suatu ketika berlaku, oleh kerana terlalu obses menghidangkan arak yang diminta, ada pelancong yang mabuk dalam pesawat sehingga menjadikan keadaan kelam kabut dan membahayakan.

Apakah kita tidak pernah terfikir akan perkara ini atau kita sengaja membiarkan perkara ini, kerana takut pelancong lari.  

Apakah kita lebih takutkan pelancong daripada Allah? Saya tidak nampak paramugarinya tersungkur memakai kain labuh yang tidak berlelah. Berbanding pakaian kita yang terbelah sampai ke .....

Kenapa kita takut untuk melaksanakan nilai-nilai murni dan adab sopan beragama dalam sebuah negara yang kita isytihar sebagai negara Islam?

Benar, negara Brunei adalah hampir seratus peratus Islam. Maka mudahlah bagi mereka melaksanakan hukum Islam.

Paling tidakpun mulakanlah dengan melaksanakan nilai-nilai agama. Saya amat yakin, semua nilai baik Islam, sesuai dan akan diterima oleh agama lain. Pokoknya kita mesti ada keberanian.

Malangnya dalam perkara sekecil adab-adab dalam pesawatpun kita tidak pernah merasa untuk melaksanakannya. Apakah pengajaran MH17 dan MH 370 masih belum cukup lagi?

Ini belum termasuk isu-isu besar lain seperti zina, judi, hubungan sejenis, seks bebas, rasuah, dan sebagainya. Saya tidak nafikan, hukuman itu telah ada. Tetapi perlaksanaan masih tidak mencukupi. Kita terlalu takut kepada gerakan hak asasi manusia. Kenapa hak Allah tidak mahu dijaga? Bukankah orang bukan Islam juga mahu berkongsi Allah? Jadi, apa masalah melaksanakan hak Allah?

Contoh kecil lain, adab berpakaian sopan. Pergilah ke jabatan kerajaan yang selalu menjadi tumpuan, seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Imigresen, Polis dan sebagainya. Mesti ada notis ditampal mengatakan adab berpakaian bila berurusan. Peliknya, kita masih melayan pelanggan yang memakai seluar sejengkal panjangnya, sehingga sudah nampak....

Justeru, nasihat saya, sebelum bala Allah menimpa, mulakanlah dengan melaksanakan nilai-nilai murni agama. Usah pedulikan mereka yang tidak mahu masuk syurga. Mereka ini tajaan barat untuk menghancurkan umat Islam di negara kita.

Lakukanlah seperti apa yang Brunei lakukan. Baginda Sultan tidak pernah ambil kisah apa masyarakat antarabangsa atau hak asasi manusia akan kata. Paling penting bagi Baginda adalah mencari redha Allah dan mengelakkan azabNya yang amat pedih. Berhijrahlah sebelum terlambat.

Monday, October 27, 2014

Antara Mendatang dan Pendatang

10:09 AM Posted by RIDHUAN TEE 23 comments


Antara mendatang dan pendatang (SH 27.10.14)

Allah Maha Besar dan Maha Mengetahui menjadikan manusia berbangsa-bangsa. Berbilang bangsa dalam sesebuah negara, seperti Malaysia  tidak berlaku secara semula jadi. Sejarah membuktikan, ianya disebabkan oleh interaksi dan penghijrahan.

Asal usul manusia adalah sesuatu bangsa mendiami sesuatu tempat atau kepulauan. Sebab itulah, majoriti nama bangsa adalah refleksi kepada nama negara. Misalnya, bangsa Melayu, menjadi Tanah Melayu, dan berada dalam kepulauan Melayu atau Malay Archipelago. Bangsa inilah yang mula-mula membentuk keRAJAan, sebelum mendatangnya bangsa lain.

Begitu juga bangsa Cina dan India. Majoriti bangsa ini membentuk nama negaranya, iaitu China dan India, serta kepulauan berkaitan. Adakah kita boleh mengatakan orang Cina di Taiwan dan Hong Kong adalah pendatang kerana kawasan ini ‘terpisah’ dari kepulauan Tanah Besar China.

Sebelum wujudnya negara bangsa (Nation State) ciptaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), orang Melayu mendiami di Kepulauan Melayu. Ke mana pun mereka pergi, masih dalam kepulauan atau rumpun Melayu. Tidak timbul soal mereka mendatang atau pendatang. 

Sebab itu, bila bercakap pandang-pandang. Jangan menampakkan kebodohan sendiri. Belajarlah sejarah, jika jahil. Subjek sejarah mesti diwajibkan bermula darjah 1, menggunakan pengantar BM, bukan ibunda, terutama di sekolah vernacular.

Orang asli pula bagaimana? Semua negara ada orang aslinya, semenjak Allah menciptakan Adam dan Hawa. Jika Melayu itu pendatang, bangsa lain yang tinggal di dalam negaranya, juga pendatang, bila mereka berhijrah, menjadi dua kali pendatang. ‘Hijrah Melayu’ hanya berlaku ‘sekali’, antara kepulauan mereka.

Idea pendatang sebenarnya datang dari ketua ultra kiasu PAP (DAP) sejak a ditubuhkan lagi. Tidak mustahil orang yang membangkitkan isu ini dalam kalangan mereka. Ultra kiasu pernah berkata, mengikut sejarah  orang Melayu telah mula berhijrah ke Malaysia dalam bilangan yang kecil, kira-kira 700 tahun yang lalu.

Sejumlah orang Melayu hari ini, satu pertiga daripada mereka adalah pendatang baru seperti bekas Setiausaha Agung Umno, Syed Jaafar Albar, yang telah datang ke Tanah Melayu dari Indonesia sebelum perang, ketika berusia 30 tahun (Comber, 1985, Lee Kuan Yew, 1965; Flether, 1969).

Comber, Kuan Yew dan Flether menulis dalam konteks setelah wujudnya Negara bangsa. Sebelum itu, semua orang Melayu duduk tinggal dalam rumpun Melayu yang sama. Tidak timbul mereka Indonesia atau Melayu, kerana mereka adalah rumpun Melayu.

Justeru, saya minta semua rakyat Malaysia mengambil ingatan bekas Perdana Menteri Australia John Howard, jika mahu hidup aman damai dan bersatu padu di Negara tercinta ini. 

Howard mengingatkan mereka yang datang ke Australia dan memohon menjadi warganegara supaya menjadi orang Australia. Jangan cuba membentuk Negara dalam Negara. Jangan melampaui batas mahu membawa bahasa dan budaya pendatang. Jika tidak, mereka boleh berkemas dan balik ke tanah tempat asal-usulnya.

Amaran John Howard sangat jelas dan tegas. Inilah sifat negarawan sebenar. Tidak berpolitik, sama ada ketika berkuasa atau tidak. Yang penting adalah pembangunan Negara bangsa. Penegasan seperti ini yang sepatutnya dilakukan setiap pemimpin.

Masa depan Negara mesti diberi keutamaan. Mana-mana pihak yang cuba menimbulkan masalah dan tidak mahu mengikut perlembagaan perlu diambil tindakan.

Sama juga dalam isu kempen minum arak (Octoberfest) dan kempen sentuh anjing. Ini soal sensitiviti dan cara hidup Melayu (pribumi) yang begitu elergi dengan anjing. Ketepikan dahulu sama ada perlu disamak atau tidak. Hormatilah perasaan Melayu Islam, walaupun ia mungkin hak orang bukan Islam untuk minum dan bela.

Jika ada orang Melayu atau Arab (Islam) yang suka dengan arak dan anjing, buat diam-diam sahaja. Kenapa perlu membuat publisiti atau diberikan publisiti. Apa tujuan disebalik semua, jika tidak untuk mencabar sensitiviti Melayu Islam?

Lebih berani lagi, pemimpin ultra kiasu senjaga menyertai kempen tersebut, untuk show off. Atas nama demokrasi, mereka mahukan hak asasi ini dijaga. Ingin saya bertanya, agama apakah yang membenarkan arak ini, walaupun tidak anjing? Hina sungguh mereka yang mengaku berpegang kepada agama tetapi dengan mudah engkar kepada ajarannya.

Nyata sekali ultra kiasu tidak pentingkan agama. Apa yang penting adalah nafsu serakah politik mereka tercapai. Sebab itu, mereka berani matlamat menghalalkan cara.

Saya ingin ulangi penegasan John Howard, jika sudah tidak mahu menjaga sensitiviti orang Melayu Islam dan terus-menerus mahu membawa budaya dan cara hidup asing, carilah tempat yang sesuai untuk menunaikan hasrat kita itu. Malaysia bukanlah tempat yang sesuai untuk melakukan itu semua, kerana Malaysia masih adalah perkataan ‘Malay’ di situ, sebelum ditambah menjadi MALAYsia.

Hujahnya jelas, orang Melayu adalah pribumi asal Negara bertuah ini. Mereka bukan pendatang yang sebenar. Cara hidup dan sensitiviti mereka perlu dijaga jika mahu hidup aman damai dan mencari makan di sini. Jika tidak mahu menjadi pendatang, mendatanglah dengan betul dan sopan.

Monday, October 20, 2014

Menambahbaik sekolah vernakular

10:07 AM Posted by RIDHUAN TEE 22 comments
(Sinar Harian 20.10.14)

Saya sudah dapat menjangkakan apa jawapan ultra kiasu apabila isu sekolah vernakular dibangkitkan. Belum apa-apa lagi mereka sudah melompat dengan mengatakan tidak boleh sama sekali sekolah ini dihapuskan. Lebih serius lagi, mereka samakan kedudukan sekolah vernakular dengan kedudukan raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu.

Peliknya, boleh dikatakan tidak ada kenyataan balas selepas itu. Maklumlah takut hilang kuasa.

Ketika AGM ultra kiasu, banyak kali saya dengar berbagai perkara dibincangkan menyentuh hak istimewa Islam dan Melayu dan perkara sensitif. Adakah ketika itu UMNO memberi amaran jangan bincangkan perkara ini. Siapa yang lebih bersifat terbuka?

Kenyataan ini dikeluarkan sebab ada masalah. Sebab itu UMNO mahu membincangkan. Adakah kita tidak nampak langsung masalah yang ditimbulkan oleh sekolah vernakular?

Saya tidak nampak UMNO begitu berani untuk memansuhkan sekolah vernakular kerana ada implikasi politiknya. Sekolah vernakular akan terus kekal.

Apa yang perlu dilakukan adalah penambaikan, sebab kerajaan telah membelanjakan wang yang begitu banyak untuk sekolah vernakular sehinggakan statusnya hampir sama seperti sekolah kebangsaan. Adakah kedudukan sekolah ini tidak boleh dibahaskan langsung.

Beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian adalah

Pertama, masa pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu (BM) mesti ditambah. Wajibkan P&P BM setiap hari. Paling kurang 2 jam satu hari.

Tidak kira ditentang macam mana sekalipun, anak-anak bukan Melayu mesti dipandaikan dengan bahasa negara demi masa depan.  Sekiranya mereka gagal, syarat-syarat mesti dikenakan. Misalnya, tidak boleh naik darjah, jika gagal dalam komunikasi dan tulisan.

Begitu juga mata pelajaran sejarah, wajibkan diajar dalam BM, bukannya bahasa ibunda sebagaimana yang berlaku pada masa kini.  

Perpaduan nasional tidak akan tertegak jika generasi akan datang tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa negara.

Kedua, saya ingin memetik pendapat Nordin Kcd (6.1014), yang memberi respon kepada MCA. Nampaknya MCA masih dibuai mimpi dengan kejayaan lampau mereka kerana mendapat hak keistimewaan dalam pendidikan vernakular bagi kaum mereka. Hasilnya hari ini MCA sendiri melahirkan generasi baru kaum Cina yang tidak fasih menguasai bahasa kebangsaan negara sendiri. MCA masih lagi mengagong-agongkan bahasa kebangsaan dari negara luar hanya kerana kaum mereka berasal dari negara tersebut.

Ada dua sebab utama kenapa pemimpin MCA terdahulu menuntut hak pendidikan vernakular Cina ini dikekalkan. Pertama, kaum Cina ketika itu anggap Malaya hanya tempat untuk mereka cari makan. Setelah mereka jadi kaya mereka akan pilih untuk kembali dan mati di negara Cina, negara tempat asal usul mereka. Sebab itu mereka perlu tahu bahasa dari negara asal usul mereka.

Kedua, kaum Cina takut diperlakukan sama seperti di Thailand, Indonesia dan Filipina, yang mana kaum mereka dipaksa untuk diasimilasikan mengikut budaya dan bahasa tempatan sehingga identiti bangsa mereka sebagai kaum Cina terus hilang.

Sebagai timbal-balas keatas pengiktirafan yang mereka berikan terhadap hak keistimewaan orang Melayu terutama dalam bidang ekonomi, mereka turut menuntut hak keistimewaan yang setara terutama dalam bidang pendidikan diberikan kepada kaum mereka.

Sebab itu MCA hingga kini begitu sensitif mempertahankan hak keistimewaan kaum Cina ini walau pun ia meninggalkan kesan negatif kepada kaum mereka untuk beridentitikan "orang tempatan".

Menurut Nordin lagi, bagi MCA menghapuskan sekolah Cina samalah seperti menghapuskan sejarah kejayaan lampau parti mereka yang mereka guna untuk meraih sokongan kaum mereka kepada MCA.

Akibatnya hari ini generasi baru kaum Cina masih gagal menguasai bahasa kebangsaan negara sendiri seperti mana kaum mereka di Thailand, Indonesia dan Filipina. Malah pendatang asing dari Bangladesh dan Myanmar lebih fasih menguasai bahasa kebangsaan Malaysia berbanding warganegara Malaysia yang berbangsa Cina ini.

Pada satu sudut, MCA berjaya mengekalkan sekolah vernakular Cina tetapi di sudut yang lain MCA gagal meletakkan anak bangsa mereka setara dengan bangsa lain yakni beridentitikan “anak jati tempatan” atau “Anak bangsa Malaysia”.

Hari ini kaum India nampaknya lebih berjaya menguasai bahasa kebangsaan berbanding kaum Cina. Itu yang patut MCA fikirkan kerana orang Melayu sendiri lebih senang berkawan dengan kaum India kerana mereka boleh berkongsi satu bahasa dan memahami antara satu dengan yang lain.

Ketiga, kerajaan mesti memantau sekolah vernakular setiap masa, setiap ketika. Garis panduan dan indeks penunjuk prestasi (KPI) mesti diwujudkan. Pastikan operasinya tidak lebih Cina dari negara China.

Rakan saya dari negara China, menggeleng-geleng kepala melihat betapa beruntungnya Cina di Malaysia mendapat hak pendidikan di sini, seolah-olah membenarkan wujudnya negara dalam negara. Di negara merekapun tidak secina di sini. Saya semakin menjadi tidak faham, kenapa dalam sebuah negara yang mendaulatka BM, ada segelintir yang mahu menjadi secina-cinanya. Pernahkan mereka terfikir soal pembangunan negara bangsa?


Akhirnya, saya amat mengharapkan masyarakat Cina di Malaysia tidak terlalu mendesak atau menekan kerajaan. Jika tidak pasti akan wujud banyak lagi Perkasa dan Isma.

Monday, October 06, 2014

Antara rasis, hero dan zero

11:07 AM Posted by RIDHUAN TEE 18 comments


(Sinar Harian 5.10.14)

Laman Web ultra kiasu membuat ulasan besar-besaran, kenapa saya tidak mendapat sokongan ketika disiasat mengikut Akta Hasutan. Sokongan banyak, cuma saya nak uji. Saya nak tengok siapa lebih berstrategi.

Inilah pemikiran ultra kiasu sebenar, tanpa usul periksa mereka terus menghentam. Ada aku kisah! Ingatan saya, hati-hati. Suatu hari nanti pasti kita jumpa di mahkamah.

Saya tidak pernah takut kepada akta hasutan selagi saya fikir tidak bersalah. Berkata benar walaupun pahit. Saya bukan belot, broker, barua,  atau apa-apa lagi konotasi B seperti yang berlaku kepada ADUN tertentu, yang begitu megah dan berlagak ketika diraikan oleh ultra kiasu dengan panggilan hero.

Siapakah hero dalam erti kata sebenar? Hero adalah apabila kita tidak disukai oleh musuh. Jika musuh suka hero, itu bukan hero namanya, itu zero.

Ultra kiasu tidak akan sokong mereka yang suka kepada Islam atau penegak Islam. Ultra kiasu mahukan mereka yang sekular, liberal dan pro-sosialis. Sebab itu, mereka akan panggil orang seperti ini hero. Jika hero-hero ini mengkritik mereka suatu hari ini, pasti akan jadi zero.

Saya amat pelik bagaimana, orang yang memperjuangkan Islam, begitu percaya kepada sistem demokrasi. Saya selaku pengkaji politik dan sistem politik termasuk demokrasi, masih menjaga adab apabila bercakap soal demokrasi.

Sistem demokrasi tidak boleh disokong sepenuhnya kerana terlalu menekankan hak asasi manusia sehingga melanggari hak Tuhan. Inilah yang sedang dituntut oleh ultra kiasu, sama rata dan rasa. Mereka mahu berebut Allah, tetapi tidak pernah percaya kepada Allah.

Mereka tidak mahu langsung melihat ada kelebihan kepada Islam dan Melayu sertai yang berkaitan dengannya seperti dalam perlembagaan. Perjuangan mereka Malaysia Malaysian.

Bila tiba kepada kelebihan mereka, ultra kiasu diamkan. Misalnya isu penternakan babi. Ternyata, bilangan babi melebihi bilangan lembu dan kambing. Kenapa perkara ini didiamkan? Tak percaya? Cuba kira! Mahukan fakta supaya artikel saya tidak rasis!

Saya mahu lihat apakah MB Selangor baru akan meluluskan projek penternakan babi sebanyak RM100 juta seperti yang ditangguhkan oleh Khalid.  

Terus terang, saya tidak menghina babi kerana babi tetap makhluk Allah. Tetapi saya tidak boleh menerima jika dalam sebuah negara Islam, bilangan babi lebih banyak dari lembu, kambing, ayam dan itik.

Negara kita kekurangan binatang ternakan ini sehingga terpaksa diimport. Tetapi babi kita berlebihan, sehingga banyak yang dieksport. Apa erti semuanya ini? Kolumnis ultra kiasu Melayu yang selalu menyerang saya mungkin boleh jawab soalan darjah 1 ini.

Sedarlah wahai umatku! Bila aku menulis, nilaian aku adalah apa benar, apa salah, ia sentiasa datang dari hatiku. Aku lebih tahu siapa ultra kiasu. Sebab itu, aku sahaja labelkan mereka dengan ultra kiasu, walaupun tidak semua.

Jika mereka baik, patuh kepada perlembagaan dan mengiktiraf hak Islam, bangsa dan bahasa Melayu, bumiputera dan raja Melayu, aku akan diam. Namun, selagi mana mereka menentang, sekali itulah aku tidak akan diam, kerana mereka ini musuh. Mereka ingin membina negara dalam negara.

Sebenarnya, pembinaan ini sedang berlaku. Mereka sedang menikmatinya. Mana ada dalam dunia ini, ada percubaan sebegini, kecuali di Malaysia? Ultra kiasu mahu pastikan adat budaya dan identiti mereka lebih superior dari yang lain.

Ketika berada di New Zealand baru-baru ini, saya lihat pendatang (orang putih) yang memerintah sangat menghormati kaum Maori, selaku pribumi New Zealand. Walapun Maori tidak memerintah, di sana sini, adat budaya, identiti dan bahasa Maori dijaga dengan baik, termasuk di Muzium.

Pendatang ini seolah-olah tahu dan perlu tahu bahawa jika Maori tidak dijaga, pasti akan timbul masalah. Sebab itu, Maori tidak banyak menimbulkan masalah, walaupun mereka diperintah orang luar.

Keadaan kita berlaku sebaliknya. Ultra kiasu tidak faham budaya politik ini. Ultra kiasu mahukan sama rata dan sama rasa. Tidak timbul soal mahu menjaga sensitiviti kaum pribumi. Sesiapa yang mempertahankan hak ini dituduh rasis. Mangsanya adalah Perkasa dan Isma.

Bila NGO ini buka mulut sahaja, semuanya rasis dan ditentang habis-habisan. Namun, apabila ultra kiasu mempertahankan bermatian-matian adat budaya, bahasa dan identiti mereka, itu adalah hak asasi manusia. Termasuk LGBT.

Malangnya, kita terus buta. Malah, terikut-ikut pula, sehingga ada ADUN PAS yang bernada seloroh berkata, jika PAS pecat mereka yang dilabelkan sebagai banyak B itu, maka mereka boleh bertanding atas tiket ultra kiasu.

Malangya sungguh PAS mendapat orang-orang seperti ini. Jika PAS tidak mahu bekerjasama dengan UMNO, janganlah pula ada pemimpinnya yang mahu menghalalkan matlamat ultra kiasu. Apakah PAS masih lagi tidak sedar betapa kurang ajar ultra kiasu memecat pimpinannya dari ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang?