Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, August 04, 2014

Bersatu pertahankan kedaulatan Negara

8:08 AM Posted by RIDHUAN TEE 12 comments


(Sinar Harian 4.8.14)

Belum pun reda isu MH 370, sekali lagi kita dikejutkan dengan peristiwa MH17 yang ditembak jatuh, secara kebetulan berlaku pada 17.7.14. Kenapa mutakhir ini kita menjadi sasaran, bukan pesawat lain, seolah-olah kita menjadi kambing hitam?

Memang kita akui, semua ketentuan, ajal maut di tangan Tuhan. Tetapi jika kita mempunyai sistem pertahanan dan keselamatan yang kuat, musuh berfikir dua kali untuk melakukan provokasi.

Terlebih dahulu, takziah kepada keluarga mangsa. Sabar dan tabah menghadapi ujian Allah SWT. Ada hikmah di sebalik untuk kita mencari jawapannya.

Semua pihak mahukan siasatan rapi disegerakan, keadilan mesti ditegakkan. Malangnya, proses tersebut berjalan dengan agak perlahan. Misalnya, ketika artikel ini ditulis (22.7.14), pasukan Malaysia, lebih dari 100 orang,  daripada pelbagai jabatan kerajaan dan agensi, yang kini berada di Ukraine, masih belum dapat memasuki kawasan tapak pesawat MH17 yang terhempas berdekatan Rozsypne, meskipun kerajaan Ukraine telah memberi jaminan.

Apakah mungkin wujud tangan-tangan jahat lain di belakang? Saya tidak boleh bayangkan jika insiden ini menimpa kuasa-kuasa besar  barat. Adakah mereka akan meminta kebenaran untuk masuk atau terus masuk tanpa kebenaran?

Andai kata pesawat yang ditembak jatuh itu pesawat Amerika atau negara-negara lain yang rapat dengan Yahudi, saya amat yakin, tidak ada sesiapa yang berani untuk menghalang mereka untuk akses ke kawasan tersebut. Ribuan tentera mereka sudah berkampung di sana. Kita hanya menghantar pasukan bantuan dan paramedik sahaja.

Saya masih teringat ketika lawatan Obama di negara kita, seolah-olah negara ini Amerika yang punya. Amerika langsung tidak membenarkan kita memantau pergerakan mereka.  

Amerika seolah-olah menjadi raja di negara kita. Tidak ada seorangpun yang berani menyentuh pesawat dan kenderaan Obama. Seluruh kawasan lapangan terbang dapat diaksesnya. Pertahanan dan keselamatan Negara kita seolah-olah dikawal Amerika

Apa pengajaran yang boleh kita ambil daripada semua peristiwa ini?

Pertama, kedaulatan negara mesti dipertahankan dalam apa jua keadaan sekalipun. Jangan biarkan kedaulatan negara kita diceroboh. Ketika MH370 hilang, ruang udara negara-negara yang terlibat seperti Vietnam, langsung tidak membenarkan Amerika untuk mengakses atau melakukan penyiasatan di kawasan berdaulat mereka. Saya tidak Nampak kita begitu bertegas seperti Vietnam. Mungkin kerana kita terlalu bersangka baik. Persoalannya, adakah negara lain bersangka baik seperti kita?

Kedua, mempertahankan kedaulatan negara adalah tuntutan Islam. Allah mengingatkan, dalam ayat 60, surah al-Anfal yang bermaksud: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dari diri pasukan berkuda yang lengkap sedia untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah, dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya.

Ayat ini mengingatkan kita supaya bersedia dengan segala kelengkapan dan kekuatan termasuk peralatan senjata dan kekuatan peperangan untuk menghadapi musuh yang menceroboh dan bertindak zalim. Tidak rugi kita berbelanja untuk pertahanan bagi menggerunkan musuh.

Malangnya, kebanyakan negara-negara Islam mengabaikan aspek pertahanan dan keselamatan ini walaupun kebanyakan kaya raya. Mereka sibuk dengan perkara lain. Hidup nafsi-nafsi. Akhirnya, semua menjadi telunjuk barat.

Boleh dikatakan semua negara maju amat mengutamakan sektor keselamatan dan pertahanan. Siapa yang berani mengganggu-gugat negara haram Israel, walaupun negara ini dikelilingi oleh seluruh Negara Arab dengan nisbah 1 Israel, 100 Arab.

Ketiga, perbelanjaan keselamatan dan pertahanan negara mesti dipertingkatkan. Tidak cukup sekadar RM10 bilion setahun. Beri kepercayaan kepada polis untuk melakukan tugas kepolisan.

Kadangkala saya lihat tugas professional kepolisan mereka diambil alih oleh tentera, sehingga mereka dilihat tidak berjaya melakukan sesuatu kerja. Wal hal mereka sangat professional dalam kerja-kerja kepolisan mereka.

Misalnya, Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), pemimpin negara mengingatkan semua anggota keselamatan yang  berkawal di pulau-pulau di sana supaya tidak leka, sebaliknya terus mempertingkat tahap kesiapsiagaan bagi mengelak ancaman terhadap kedaulatan dan keselamatan negara.

Persoalannya, adakah kita mampu untuk berhadapan dengan semua ini jika keselamatan dan pertahanan negara kita boleh dibolosi dengan begitu mudah? Negara jiran manakah yang membekalkan senjata kepada pengganas-pengganas ini?

Saya amat bimbang, jika ada negara-negara tertentu yang menaja pengganas-pengganas ini untuk mencabar kedaulatan kita. Justeru, marilah kita bersatu mempertahankan kedaulatan negara kita. Jangan biarkan kita terus menjadi kambing hitam lagi. 

Kerap kali ruang udara kita dicerobohi oleh tentera udara negara jiran. Kenapa kita masih tidak mempertahankan kedaulatan negara kita. Mempertahankan kedaulatan perlu dimulai dengan mempertahankan sempadan berdaulat negara.

Keempat, sumbangan juruterbang (pilot) perlu dihargai. Jangan melihat mereka yang berjasa hanya pemimpin BN, tentera, polis, peniaga dan PTD yang rapat dengan UMNO sahaja. Gelaran Tan Sri dan Datuk, mereka sahaja yang sapu. Artis-artis pun tidak kurangnya. Apakah sumbangan pilot tidak sebesar mereka?

Akhirnya, marilah kita bersama mempertahankan kedaulatan negara dan menghargai mereka yang berjasa.

Monday, July 21, 2014

Bila Kuala Lumpur mahu berubah?

9:54 AM Posted by RIDHUAN TEE 13 comments


(Sinar Harian 21.7.14)

Ketika kerajaan negeri Terengganu sedang sibuk dengan program transformasi, tertanya-tanya saya, bilakah lagi Kuala Lumpur? Adakah cukup dengan bangunan yang melata dan melakar langit? Bagaimana dengan aktiviti-aktiviti mendidik jiwa manusia?

Jika sebelum ini kita mahukan bersihkan Kuala Lumpur daripada pengemis, bagaimanakah dengan pembersihan maksiat?

Bandaraya Kuala Lumpur hidup 24 jam, tanpa mati. Berbanding di barat, negara bukan Islam, kebanyakan bandaraya mereka mati pada waktu malam. Tidak banyak aktiviti. Jika adapun, hanya pada hari minggu. Ketika itulah, mereka melepaskan ‘nafsu dan geram’.

Tetapi Kuala Lumpur tidak sedemikian, setiap hari kita melepaskan nafsu dan geram. Kenapa jadi sebegini? Tidakkah sepatutnya bandaraya kita perlu menjadi lebih Islamik selaras dengan konsep negara Islamik yang kita canangkan selama ini?

Apakah identiti Kuala Lumpur sebenarnya? Lebih barat daripada barat? Saya masih tercari-cari.

Jika di terengganu, terpampang sebesar-besarnya kata-kata “Allah Peliharakanlah Terengganu”. Bagaimana dengan Kuala Lumpur? Bilakah kita mahu gantung atau pampangkan kata-kata “Allah Peliharakanlah atau Selamatkanlah Kuala Lumpur”.

Saya fikir ramai yang akan bersetuju. Apatah lagi, orang bukan Islam yang mahu kita benarkan penggunaan kalimah Allah, terutama penganut Kristian. Jika mereka benar-benar ikhlas, saya tidak fikir bukan Islam akan menentang.

Ayuh! kita pampangkan nama Allah sebesar-besarnya di tempat-tempat tinggi bandaraya Kuala Lumpur. Paling baik dan cantik di menara KLCC, Menara Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan bukit yang strategi seperti Bukit Bintang.

Biarkan Kuala Lumpur di kelilingi kalimah Allah. Saya amat yakin, ia dapat sedikit sebanyak mendidik dan menakutkan jiwa manusia. Ini amat penting, sebagai salah satu cara, mengingatkan manusia kepada Tuhan.

Jadikan Kuala Lumpur bandaraya berindentiti jawi. Jika tidak, kita tidak banyak bezanya dengan barat. Malah lebih barat dari barat. Saya tidak nampak ada sepatahpun huruf jawi di Kuala Lumpur seperti Kelantan dan Terengganu. Kebanyakannya semua huruf roman. Inikah identiti kita? Belajarlah dari Siam (Thailand), bagaimana mereka ‘menyiamkan’ rakyatnya.

Kerja kita hanya menyerbu pelaku maksiat. Kenapa kita tidak berusaha untuk didik mereka daripada melakukan maksiat? Justeru, sudah sampai masanya, beberapa berikut diambil perhatian.

Pertama, matikan Kuala Lumpur pada waktu malam, jika kita mahu ikut cara barat, jangan jadi lebih barat dari barat. Kita akan menjadi keparat.

Kedua, hiasi Kuala Lumpur dengan identiti negara ini yang bertunjangkan agama Islam Kita tidak perlu takut, kerana Islam adalah agama persekutuan.

Ketiga, hidupkan Kuala Lumpur dengan program ilmu, bukan hiburan yang melampau. Lambakan pusat-pusat hiburan mesti dihentikan. Aktiviti maksiat inilah yang menghidupkan Kuala Lumpur. Siapakah yang menjadi mangsa kalau bukan orang Melayu? Ultra kiasu hanya memperalatkan kita untuk mendapatkan keuntungan lumayan.

Keempat, cantikkan sungai-sungai dan longkang-longkang Kuala Lumpur yang kotor dan tersumbat. Jika di barat, sungai dan longkang yang merentasi bandaraya, airnya begitu jernih, spesis air seperti ikan dapat dilihat dengan jelas, berenang-renang ‘kegembiraan’. Tetapi tidak di Kuala Lumpur, juga bandaraya seperti Pulau Pinang. Spesis air pening kepala, malahan kadangkala, lebih menyedihkan bayi atau mayat tersangkut.

Keenam, perbanyakkan pusat-pusat ilmu di Kuala Lumpur, seperti perpustakan mini di tengah-tengah bandaraya. Biarkan pejalan kaki, merehatkan badan dan minda mereka dengan membaca. Cuba tiru apa yang dilakukan oleh Darul Arqam di Singapura. Pusat ini menjadi singgahan pejalan kaki untuk berehat. Kesannya, ramai yang memeluk Islam.

Ketujuh, adakan program untuk mendidik golongan LGBT dan anak muda. Jika tidak, Kuala Lumpur akan dipenuhi dengan golongan ini pada waktu malam yang meriah itu.

Kelapan, kembalilah kepada agama. Negara-negara barat hari ini mula sedar, mereka harus kembali kepada agama. Agama sahaja yang boleh menyelamatkan manusia daripada kehancuran. Kuala Lumpur tunggu apa lagi!

Kesembilan, pembangunan Kuala Lumpur mesti seiring dengan pembangunan insan. Jika tidak, Kuala Lumpur akan hancur dan pasti tenggelam suatu hari nanti. Jangan fikir Genting Highland yang terletak di puncak bukit tidak akan tenggelam. Kuasa Allah mengatasi segala-galanya.

Kesepuluh,  pembangunan perumahan kos rendah di bandaraya, biarlah untuk didiami manusia, bukan binatang. Jika dahulu, satu bilik, sekarang tiga bilik. Tetapi bilik-biliknya langsung tidak mesra pengguna. Keadaan yang sempit, menjadikan warganya tidak mahu duduk lama di rumah. Tidak wujud konsep rumahku syurgaku. Melaburlah untuk manusia, pastinya manusia ini akan mengimarahkan Kuala Lumpur. Di Singapura, kawasan terhad, rumah flatnya besar. Di sini, tanahnya luas, rumahnya sempit.

Saya amat yakin, jika semua ini dapat dipraktikkan, bandaraya kita akan mendapat keberkatan dan peliharaan Allah SWT. Ingatlah! Jangan sampai Allah murka sehingga turun bencana yang akan menenggelamkan Kuala Lumpur. Maklumkan Kuala Lumpur kini telah menjadi pusat tumpuan LBGT. Allah Selamatkanlah Kuala Lumpur.


Monday, July 14, 2014

Allah Peliharakanlah Terengganu

5:59 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments


(Sinar Harian 14.7.14)

Saya begitu teruja dengan pendekatan urus tadbir Menteri Besar (MB) Terengganu yang baharu, bertemakan Transformasi Terengganu Baharu (TTB), Terengganu TerBersih (TTB).

Tujuannya tidak lain, demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri.

Beberapa pendekatan yang menjadi asas panduan adalah, urus tadbir yang baik (good governance), bersifat terbuka dan menerima pandangan orang lain (inklusif), dan agama sebagai wadah penyatuan

Melihat kepada semangat dan kesungguhan MB, tidak mustahil transformasi ini dapat direalisasikan. Sebagai rakyat marhaen yang mengikut perkembangan ini, izinkan saya memberikan sedikit buah fikiran, bukan membodek.

Pertama, transformasi harus seiring dengan ajaran Islam bagi mendapat redha Allah. Baharulah semua kerja menjadi ibadah. Pemimpin dari segenap lapisan hendaklah disedarkan hakikat ini.

Tanamkan dalam diri mereka rasa takut kepada Allah. Itulah makna integriti yang sebenar. Tugas itu adalah amanah Allah. Hari ini mesti lebih dari semalam. Esok mesti lebih baik dari hari ini.

Proses pentarbiyyahan hendaklah dimulakan kepada ahli-ahli UMNO supaya lebih mengutamakan rakyat daripada diri sendiri. Itu sahaja cara jika UMNO mahu kekal berkuasa. Rakyat melihat apa yang kita buat bukan apa yang kita cakap.

Contohi dan ramaikan orang UMNO seperti arwah Dato’ Razali Ismail, bekas ahli Parlimen Kuala Terengganu yang selalu disebut-sebut oleh MB. Arwah adalah seorang wakil rakyat yang sukar dicari ganti di negara kita.  

Arwah sebenarnya tidak disenangi oleh golongan UMNO yang mahukan ganjaran. Arwah merupakan seorang wakil rakyat yang sukar memberi 'upah' berupa wang kepada pengampunya. Sukar kita jumpa wakil rakyat UMNO yang bersikap begitu, sehingga arwah tidak disukai segelintir orang UMNO sendiri.

Ketika menjadi ahli Parlimen, arwah kalah dalam pertandingan merebut jawatan ketua UMNO bahagian. Jarang berlaku, tetapi itulah realitinya. Kenapa? Kerana arwah mempertahankan integritinya. Tidak menggunakan wang bagi mendapat jawatan. Sifat terpuji arwah menjadi sebutan sana sini. Malangnya, arwah dijemput Allah terlebih dahulu. Al-Fatihah.

Kedua, berusaha meminimumkan pergeseran dalam parti dan mengajak pembangkang agar tidak menjadi seteru berpanjangan tetapi bersama berperanan ke arah kebaikan.

Masalah dalaman UMNO sudah menjadi perbualan hangat. Saya teringat kata-kata Tun Mahathir, orang cerdik dalam UMNO sukar untuk naik, berbanding yang tidak cerdik. Maka tidak hairan, berlaku perkara seperti marahkan nyamuk kelambut dibakar. Hanya kerana rasa tidak puas hati terhadap tindakan parti, mereka sanggup bakar jambatan.

Begitu juga, hanya kerana terlalu marahkan PAS, kita mengambil pendekatan bermusuh. Kita kubur segala kekuatan dan bakatnya. Akhirnya, semua tidak dapat dimanfaatkan. PAS pula terus lihat UMNO sebagai seteru. Musuh tidak dapat dijinakkan. Maka, tidak hairan jika perseteruan antara UMNO-PAS tidak pernah berakhir.

Pada hemat saya, lebih baik kita ramai profesional dalam kerajaan daripada kita ramaikan pandir yang tidak boleh buat kerja dan menjadi beban kepada parti dan kerajaan.

Transformasi ini perlu disegerakan. Layani saudara seagama kita dengan baik tanpa mengira apa latar belakang dan ideologinya. Seburuk manapun kita, kita tetap seagama dan bersaudara. Jadikan musuh kawan, barulah boleh memenangi hati lawan.

Manfaatkan segala kekuatan yang pada musuh, selagi musuh tidak menghancurkan kita semua seperti  TTB seterusnya, Telus Team Berkhidmat. Jadikan Islam sebagai wadah penyatuan.

Pastikan masjid dan surau berfungsi sebagai agen penyatuan. Kalau boleh biarlah orang UMNO dahulu sampai dan yang mengimarahkannya. Barulah cakap serupa bikin. Kita tidak mahu mendengar solat dua imam seperti yang pernah berlaku.

Ketiga, Terengganu TerBersih. Kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Bersih luar dan dalam. Antara fokus utama adalah kebersihan tandas, tandas awam dan tandas masjid. Nampak kecil, tapi impak besar, termasuk menjana pendapatan si miskin. Sedih, melihat masih banyak tandas masjid yang tidak terurus sehingga merosak imej Islam.

Empat terbersih perlu diutamakan.  Pertama, bersih diri. Seperti dalam solat, berada dalam suci bersih. Bersih diri, pakaian dan tempat. Kedua, bersih hati dengan sifat ikhlas. Sentiasa meletakkan Allah di hadapan setiap perkara yang dilakukan. Zikir,  istighfar dan taubat jika melakukan kesilapan. Ketiga, bersih harta. Bersihkan harta dengan menunaikan kewajipan zakat dan infaq. Keempat, bersih persekitaran. Bagi menjamin kehidupan yang normal dan sihat, kita haruslah sentiasa menjaga alam dari sebarang kekotoran terutamanya sampah.

Semua perkara ini mesti disampai kepada MB. Ingatlah pesanan Sultan Perak, Raja Nazrin Shah, ketika Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159, ditujukan khas kepada penasihat-penasihat pemimpin.

“Setiap kebenaran wajib disembahkan dan jangan sama sekali dirahsiakan daripada pengetahuan beta. Jauhkan beta daripada cerita-cerita penglipur lara hingga mendorong beta untuk berkhayalan, lena dengan mimpi indah; sedangkan realiti yang berlaku di kalangan rakyat dan di dalam negeri sangat berlainan dengan apa yang diceritakan”.

Sekiranya semua transformasi dipraktikkan maka “Allah Peliharakanlah Terengganu”




Monday, July 07, 2014

Tidak semua Cina ultra kiasu

8:56 AM Posted by RIDHUAN TEE 61 comments


(Sinar Harian 7.7.14 )

Bulan lalu, satu pertemuan tertutup secara harmoni, telah diatur oleh badan tertentu, antara saya dengan 10 orang pemuda parti Gerakan

Pemuda Gerakan bertanyakan soalan bertubi-tubi dan mahukan jawapan, kenapa saya selalu dilihat melakukan ‘attack’ kepada orang Cina dan melabelkan mereka sebagai ultra kiasu? Tidakkah lebih baik menulis menyeru kepada perpaduan nasional?

Saya jawab, tulisan saya tidak melakukan ‘attack’ kepada semua orang Cina. Tidak semua Cina itu ultra kiasu. Masih ramai orang Cina yang baik.  

Ultra kiasu yang setiap kali saya maksudkan adalah merujuk kepada mereka yang menentang agenda nasional seperti termaktub dalam perlembagaan negara. Tidak kira, sama ada mereka Melayu, Cina, India atau sesiapapun.

Agenda nasional adalah agenda yang telah dipersetujui bersama, seperti kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera, dan lain-lain berkaitan. Kesemua ini mesti dihormati dan diutamakan dalam apa jua keadaan.

Saya tidak menanamkan kebencian. Tidak ada ertinya saya menganut agama Islam, jika saya mengajak umat Islam membenci mereka yang tidak ultra kiasu.  Tanggungjawab asas saya kepada mereka adalah; sampaikan walaupun satu ayat (berdakwah).

Semua bangsa (makhluk) adalah ciptaan Allah SWT. Mesti dihormati. Tidak kira sama ada manusia atau binatang (termasuk babi). Tidak sewajarnya kita saling menghina atau bermusuh. Kecuali dalam ‘keadaan tertentu’.

Kemuliaan seseorang terletak pada iman dan takwa, bukan pada yang lain. Apa guna berbangga dengan bangsa, jika kita tidak dapat menjaga maruah bangsa sendiri.

Masih ramai manusia yang berbangsa hari ini, sengaja merosak bangsa sendiri dengan melakukan perbuatan negatif seperi berjudi, berzina, minum arak, hasad dengki, fitnah-menfitnah dan dosa besar yang lain.

Dalam menyeru kepada perpaduan nasional, kita sepatutnya dapat  melahirkan lebih ramai orang-orang seperti Prof Khoo Kay Kim, Prof Teo Kok Seong, Mustapha Ma, Juhaidy Yean dan ramai lagi.

Mereka ini adalah kalangan Cina yang mementingkan agenda negara, berbanding bangsa. Mereka selalu berhujah dengan mengambil kira fakta sejarah negara tercinta ini. Saya harap, lebih ramai lagi Cina, terutama ahli-ahli parti Gerakan, akan mengikuti jejak-jejak mereka. Malangnya, golongan inilah yang paling tidak disukai ultra kiasu.
Menelusuri sejenak pengalaman sejak dari kecil, saya dididik membenci Melayu. Melayu dilabelkan sebagai kaki hutang, kaki pukul, pengotor dan sebagainya. Apabila saya mula mendalami Islam, ternyata persepsi itu tidak betul.

Melayu dan Islam ada dua perkara berbeza. Melayu adalah bangsa, Islam adalah agama. Jika mahu lihat keindahan dan kehebatan Melayu, tengoklah amalan Islam yang menjadi anutan Melayu. Melayu tidak seburuk yang disangka.  

Justeru, menjadi tanggungjawab saya untuk memperbetulkan salah faham ini. Alhamdulillah, Pemuda Gerakan mula memahami dan mengenali saya.

Pertama, artikel saya sentiasa menyeru kepada perpaduan nasional, bukan sebaliknya. Kita perlu membendung sifat ultra kiasu. Jika mahu kenal saya, baca artikel saya secara penuh. Jangan baca laman web ultra kiasu yang selalu memanipulasikan dan mensensasikan baris-baris kecil artikel saya dalam akhbar Sinar Harian.

Kedua, jangan campuri hal ehwal agama Islam, jika kamu semua tidak tahu tentangnya. Tindakan ini akan membawa padah yang lebih buruk. Agama adalah isu yang amat sensitif bagi orang Islam. Jika tidak tahu, lebihkan bertanya bagi mendapatkan jawapan. Agama Islam, adalah agama yang menyeru kepada perdamaian dan perpaduan.

Maka tidak hairan, dalam sekitar 1400 tahun, Islam begitu cepat berkembang. Populasi kedua terbesar di dunia. Malah telah mengatasi  agama-agama besar yang lebih awal kewujudannya. Adakah Islam boleh tersebar jika tidak menggalakkan semua ini?

Ketiga, belajarlah memahami cara hidup Melayu dan sensitivitinya. Sekali sekala, saya teramat ingin melihat bukan Melayu memakai baju Melayu ketika pembukaan parlimen atau mengambil pingat kebesaran, daripada berlagak memakai blazer atau pakaian orang putih.

Keempat, perpaduan nasional tidak akan melalui perjuangan Malaysian Malaysia. Jika adil itu 1=1, maka MCA dan Gerakan tidak layak untuk mendapatkan kerusi kebinet dalam keadaan persembahan mereka dalam PRU 13 amat buruk.

Kelima, pemuda Gerakan dari awal mengatakan bahawa mereka bukan parti parkaumen tetapi untuk semua kaum. Gerakan menjadi ‘rosak’ disebabkan oleh beberapa orang MCA yang telah mendominasi parti itu, seterusnya pemimpin utama, sehingga menampakkan seolah-olah ia parti perkauman. Gerakan mahu kembali kepada landasan asal untuk semua kaum.

Jika begitulah keadaannya, Gerakan mesti dapat membuktikan bahawa ia berbeza dan lebih relevan berbanding MCA. Suara Gerakan mesti suara Malaysia, bukan suara perkauman. 

Kesimpulannya, saya akan terus menulis untuk masa depan Malaysia, dengan mengambil kira nasihat pemuda Gerakan.  Kepada yang tidak bersetuju, mereka ada hak untuk tidak membaca, mahupun untuk membalas, kerana kita mengamalkan demokrasi.