Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Saturday, August 17, 2013

Majunya Singapura kerana Malaysia

9:39 PM Posted by RIDHUAN TEE 23 comments


Utusan Malaysia 16.8.13. Tulisan ini tidak disenangi oleh beberapa pemimpin UMNO. Saya tidak kisah. Saya ada hak untuk bersuara

Saya begitu teruja untuk mengulas pendapat Lee Kuan Yew ketika melancarkan buku terbaharunya bertajuk, One Man’s View of the World pada 6 Ogos 2013. 

Sebelum itu, nasihat saya bekas Perdana Menteri ini, beritahu anak, jagalah orang Melayu Singapura baik-baik ketika usia emas ini. Pastikan mereka boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan Cina di sana. Tidak perlulah banyak komen sangat tentang keadaan politik di Malaysia sehingga sanggup menuduh kerajaan Malaysia sanggup korban talent semata-mata untuk menaikkan orang Melayu. Ketuanan Melayulah yang menyebabkan Malaysia mundur, kehilangan talent dan sebagainya.

Asyik-asyik salahkan Melayu. Saya pun ada hak untuk menyalahkan ultra kiasu Cina Singapura, yang menyebabkan Melayu di sana dan Malaysia dikhianati. Tanpa Malaysia, Singapura tidak ke mana-mana jua. Justeru, berterima kasihlah kepada Malaysia.

Sejak dahulu, Kuan Yew tidak pernah berubah, sering menjadi isu hak istimewa orang Melayu atau ketuanan Melayu untuk menghentam Malaysia. Pada beliau, inilah yang menjadi Malaysia tidak maju seperti Singapura. Alah, sekadar menguruskan negara sekangkang kera, sesiapa pun boleh buat. Jika Singapura tidak maju-maju juga seperti hari ini, peliklah jawabnya. Justeru, janganlah terlalu bongkak. Apa yang berlaku di Singapura, mempunyai kaitan yang rapat dengan kita Malaysia.

Apa yang menjadi masalah dengan hak istimewa Melayu atau ketuanan Melayu? Adakah dengan hak dan ketuanan ini, bukan Melayu merempat dan menjadi hamba? Tidak juga. Malah, siapa yang lebih hebat hari ini? Melayu yang bergelar ‘tuan’? Atau Cina yang bergelar ‘hamba’. Sedarlah isu ini tidak ada apa-apa, melainkan soal kedengkian dan soal hati untuk memadamkan sejarah negara. Sebab, setiap negara ada asal-usulnya.  Setiap bangsa ada tanahnya. Jika tidak, tidak adalah nama-nama seperti Tanah Melayu, Tanah China, Tanah India dan tanah-tanah yang lain mengikut bangsa.

Lagi soalan saya kepada Kuan, jika Kuan Yew benar-benar mahu mengangkat Melayu, sudah tentu institusi Islam seperti madrasah (sekolah agama) dan masjid diberikan perhatian. Ini tidak, jika umat Islam Singapura tidak mengambil inisiatif sendiri, sudah lama kedua-dua institusi ini terkubur.

Itupun kedudukan institusi Islam semakin menghimpit. Pihak berkuasa Singapura memaksa institusi ini mengikut kehendak mereka. Jika tidak, ia akan ditutup. Tanah akan dirampas. Berapa banyak tanah Melayu telah dirampas (beli) dan dijadikan tanah Cina Singapura?
Akhirnya, untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk, mahu tidak mahu, institusi Islam terpaksa mengikut pihak berkuasa Singapura. Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) tidak dapat berbuat apa-apa. Orang agama yang bekerja di situ sudah mati kemelayuan dan keislaman. Cari makanlah katakan. Jika tidak percaya pergilah membuat kajian di Madrasah Wak Tanjung. Dengar rintihan mereka.  

Talent-talent Melayu yang menjadi pak turut disimpan dalam kerajaan. Manakala talent Melayu yang cuba membela Melayu dan Islam Singapura, dibuang jauh-jauh. Ke manakah talent seperti Dr Lily Zubaidah?. Kenapa beliau tidak diberikan tempat? Kenapa banyak sangat orang Islam yang bukan berwajah Melayu (India Muslim) yang mendapat tempat di Singapura? Hanya Kuan Yew dan anaknya sahaja yang boleh menjawab. Janganlah terlalu menonjolkan diri sendiri hebat. Tanpa Malaysia, Singapura tidak akan ke mana-mana.

Itupun nasib baik saya bukan menjadi PM dalam menyelesaikan isu perebutan Pulau Batu Putih. Jika tidak, pasti saya tidak akan membawa perkara ini ke Mahkamah Antarabangsa (ICJ). Penyelesaian pertikaian pulau ini adalah perang. Malangnya, kita sudah terlepas. Dunia telah menyaksikan hilangnya sebuah pulau milik Melayu terlepas kepada ultra kiasu. Di manakah maruah Melayu? Hari ini Melayu dihina lagi, kita terus diam.  

Tersangat jauh bezanya antara layanan kerajaan Malaysia terhadap SJKC dengan kerajaan Singapura terhadap madrasah dan masjid. Jika umat Islam di sana tidak mengambil inisiatif sudah lama institusi ini ditutup. Lihat di Malaysia, SJKC bukan sahaja diberikan keutamaan setanding dengan Sekolah Kebangsaan (Agama). Hatta, kita pula terpaksa tunduk kepada SJKC. Niat kerajaan untuk menambah masa Bahasa Melayu bagi memadaikan anak Cina terus ditentang. Termasuk Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP). Dong Jiao Zong sedang aktif untuk mendapatkan tandatangan orang Cina seluruh negara bagi menentang PIPP.  

Di Singapura, sesiapa yang tidak mengikut arus kebangsaan, bukan sahaja tidak relevan, malah akan dihumban ke penjara. Kita pula asyik melayan kerana mahukan undi dan mengekalkan kuasa kononnya. Apa hasil yang kita dapat? Dapatkah undi dan kuasa itu?

Jika Kuan Yew sangat menginginkan talent dari Malaysia, ambillah orang seperti Namewee, Alvivi dan sebagainya. Malaysia tidak perlukan orang yang kononnya mempunyai talent tersebut.

Kita mahukan talent yang membina bukan talent yang menghancurkan negara. Talent yang mempunyai semangat partriotisme yang tinggi. Bukan talent yang merosakkan negara dan membocorkan rahsia negara. Saya amat bimbang dengan trend pegawai kerajaan yang bekerja di bahagian keselamatan, termasuk Universiti Pertahanan, kerana ramai juga orang seperti sikitol dan mandaliar. Mereka ini ultra kiasu.

Sikitol dan mandaliar inilah yang telah melakukan khianat dan membentuk negara Singapore. Mereka tipu pemimpin kita dengan membuat perjanjian air yang tidak langsung munasabah. Atas sangka baik, kita bersetuju. Sehingga kini, air yang dijual kepada Singapura adalah wang Malaysia 0.03 sen setiap 1000 gelens (4500 Liter) sehingga tahun 2061. Perjanjian yang amat tidak masuk akal. Bayangkan ketika pemisahan tahun 1965, kita putuskan air, apakah Singapura wujud hari ini?

Berbanding kerajaan China menjual air kepada air kepada negara bangsanya sendiri Hong Kong, suatu ketika dahulu pada harga US$5.8 setiap 1000 gelen. Saya ringkaskan, Melayu jual kepada Cina air pada kadar 0.03 sen setiap 1000 gelen. Manakala China menjual air kepada Cina pada kadar US$5.8 setiap 1000 gelen. Siapa sebenar yang baik? Siapa sebenar yang tertipu? Apakah bangunan mereka boleh berdiri megah dengan menggunakan air masin? Sudahlah Kuan Yew, bertaubatlah kamu di akhir usia ini.

Kenapa Malaysia (Melayu) begitu bermurah hati? Inilah soal hati Melayu. Hati mulia Melayu yang saya amat kenali setelah lama berdamping dengan mereka. Hatinya terlalu baik sehingga orang lain mengambil kesempatan. Yang paling saya bimbang, kebaikan hatinya nanti akan menyebabkan negara ini tergadai.

Baharu ini, di bulan Ramadhan, saya terserempak dengan bekas pegawai tinggi kerajaan sedang berjumpa dengan sekumpulan peniaga Cina pada jam 1.00 pagi di sebuah restoran di ibu kota. Dalam hati sudah dapat mengagak, apa lagi agendanya kalau bukan mahu menjadi menjadi ‘pak pacak’. Maka akan dilantik menjadi pengerusi syarikat itu dan ini, dengan elaun puluhan ribu ringgit sebulan, bagi tujuan mendapatkan tender atau kontrak kerajaan.

Inilah dilemma orang Melayu. Apabila sudah pencen, kerja tiada. Maka mereka akan mencari jalan pintas. Mereka tidak fikir bagaimana membangunkan Melayu. Mereka hanya fikirkan perut. Ultra kiasu akan menggunakan segala ruang dan peluang untuk memanipulasikan keadaan. Kita hanya boleh berbangga menjadi pengerusi syarikat ini dan itu di bawah telunjuk syarikat Cina. Bila dapat projek kerajaan bernilai jutaan itu, siap kaya? Melayu menjadi sekaya mana? Apakah kita akan dihargai selepas itu? Inilah pemikiran Kuan Yew.

Lihatlah Perjanjian air antara Malaysia-Singapura, langsung tidak boleh diubah. Jika Malaysia bercadangkan untuk menaikkannyaa mungkin keadaan lebih buruk akan terjadi. Apakah Singapura atau Lee Kuan Yew pernah berterima kasih kepada kita? Masih ingatkah lagi amanat isteri Kuan Yew sebelum meninggal beberapa tahun lalu? Saya harap umat Islam baca artikel saya itu. Saya selaku orang Cina tidak pernah lupa, kerana saya tahu hati budi Cina.

Apa sebenarnya yang Kuan Yew mahu? Beliau tidak pernah berhenti bersuara supaya Malaysia menghapuskan hak istimewa orang Melayu dalam keadaan usia emas beliau? Jawapannya, apabila hak ini dihapuskan dalam perlembagaan, ketika itulah tidak mustahil, Singapura akan menawarkan diri untuk masuk semula ke dalam Persekutuan Malaysia.

Apakah kita sudah lupa sejarah kemasukan Singapura ke dalam Persekutuan Malaysia 1963 dan penyingkirannya pada tahun 1965? Ketika itu saya baharu lahir. Mungkin saya tidak dapat melihat apa yang berlaku pada masa itu. Tetapi saya tidak buta sejarah. Saya kaji dan korek sejarah untuk memahami maksud tersurat dan tersirat. Jawapannya, kerana kemasukan dan pemisahan Singapura ada kepentingan. Nasib baik niat jahat mereka tidak kesampaian. Jika tidak, Malaysia mungkin tidak seperti seadanya hari ini. Inilah sejarah yang cuba dipadamkan. Subjek sejarah ini jugalah yang ditentang oleh ultra kiasu agar tidak perlu diajar di peringkat sekolah. Pada mereka, sejarah Malaysia telah diselewengkan.

Nasihat saya, Malaysia tidak bodoh lagi. Kepada Kuan Yew, mulakanlah kerja-kerja untuk menawarkan air laut bagi kegunaan penduduk di sana dan membersihkan air longkang untuk diminum. Talent-talent di Malaysia sudah tidak boleh lagi dipermainkan dan diperbodohkan oleh pengkhianat.

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Wednesday, August 14, 2013

Sampai bila mahu dihina?

7:04 AM Posted by RIDHUAN TEE 13 comments


(Sinar Harian 12 Julai 2013)

Tidak kira siapa menghina Islam, salah tetap salah. Tindakan mesti diambil. Walupun mungkin orang Islam (Melayu) sendiri melakukannya. Tidak ada pilih kasih dalam Islam dalam menentukan keadilan. 

Terbaharu, Timbalan Perdana Menteri (TPM) dimangsakan oleh ultra kiasu ekoran kontroversi klip video menghina Islam dalam internet. Memaparkan seorang individu Islam menyambut Aidilfitri bersama tiga anjing dengan latar bunyi takbir raya.

Mula-mula agak suspen, sama ada yang melakukannya orang Islam atau bukan Islam. Setelah disiasat, rupa-rupanya orang Islam. Ultra kiasu bersorak gembira.

Lanjutan itu, ultra kiasu mendesak TPM memohon maaf kerana telah memberikan respon awal sebelum dikenali siapakah yang melakukannya. 

Sedangkan, kenyataan TPM adalah rentetan daripada penghinaan demi penghinaan yang dilakukan oleh bukan Islam sebelum ini.

Kenyataan TPM yang didakwa berbunyi, “bukan Islam telah memperlekehkan dan mempersendakan agama Islam, sedangkan tiada orang Islam yang mempersendakan agama-agama bukan Islam seperti Kristian, Hindu dan sebagainya” diperbesar-besarkan.

Pada saya, jika benarlah kenyataan TPM tersebut, permohonan maaf tidak perlu dilakukan. Umat Islam tidak boleh lagi bersabar dengan penghinaan demi penghinaan yang semakin berleluasa dan sengaja dilakukan.

Itupun nasib baiklah umat Islam tidak bertindak balas seperti yang berlaku di negara lain. Jika tidak, saya pun tidak boleh menjangkakan apa akan terjadi.

Lagipun, menyamakan video anjing tersebut dengan kes Alvivi adalah dua perkara yang berbeza. Video anjing itu adalah kejahilan. Manakala video Alvivi adalah kesengajaan, Adakah kita sudah lupa video hubungan seks rambang pasangan ini yang sengaja dipaparkan? Tidakkah ia mengganggu ketenteraman awam?

Isu ini mengingatkan saya kes ketuk ketampi perempuan berkulit putih di penjara pada tahun 2008. Heboh satu Malaysia. Ultra kiasu mendakwa polis melakukan penderaaan di penjara dan berlaku tidak adil ke atas orang Cina.

Tanpa soal periksa, Perdana Menteri ketika itu telah menghantar seorang menteri ke negara China untuk meminta maaf.

Namun, setelah disiasat, rupa-rupanya bukan warga Cina yang ketuk ketampi di penjara, tetapi orang Melayu. Tiba-tiba satu Malaysia senyap. Kenapa ultra kiasu tidak bela Melayu tersebut? Kena pada Cina (bukan Islam) tidak boleh. Kenapa pada Melayu OK? Bukankah parti dan NGO ultra kiasu selalu mendakwa bahawa mereka berjuang untuk semua kaum?

Kenapa dalam isu ini, TPM dipaksa untuk meminta maaf? Siapa ultra kiasu ini? Ingat, penghinaan ke atas Islam oleh bukan Islam bukan dibuat sekali dua, tetapi berkali-kali.

Saya setuju dengan pendapat TPM, orang Islam jarang sekali kedengaran  kenyataan atau tindakan mereka menyakiti bukan Islam. Jika adapun, boleh dibilang dengan jari berbanding dengan bukan Islam. Itupun hasil provokasi bukan Islam. Bila orang Islam bertindak balas, 'dibuktikan bersalah', hukuman yang diterima oleh orang Islam tersebut begitu berat. Tidak siapapun membela mereka.

Namun, bila ada bukti menunjukkan bukan Islam bersalah, seperti kes Alvivi, yang mana jaminan tidak diberikan, heboh satu Malaysia. Mereka mendakwa mahkamah tidak adil. Hukuman tidak setimpal dengan kesalahan.

Ultra kiasu masih berpandangan, kesalahan Alvivi  amat kecil berbanding orang lain, seperti isu kenyataan bakar bible (Ibrahim Ali) dan ceramah Zulkifli Nordin. Mereka sengaja memejamkan mata bahawa kenyataan tersebut tersebut disebabkan provokasi dan tindakan ultra kiasu yang selalu mencabar kesabaran umat Islam.

Nasib baik PRU 13 telah berlalu. Jika ditakdirkan PRU 13 masih belum selesai, saya amat yakin kesalahan orang seperti Alvivi sudah lama dimaafkan atau dibebaskan serta tidak akan didakwa atau dibicarakan langsung.

Inilah politik kita. Undi lebih penting daripada maruah agama, bangsa dan negara. Manusia berada di atas undang-undang. Saya harap kali ini tidak. Kita mesti bertegas, jika mahu melahirkan negara idaman, seperti negara lain.

Jika di negara lain, orang seperti Alvivi, jawabnya, tiada maaf bagimu. Negara lain amat tegas dalam melaksana dan menguatkuasakan undang-undang. Tidak kira sama ada melibatkan rakyat tempatan atau warga luar. Jika tidak percaya? Pergilah ke Thailand, cuba hina Buddha dan Raja mereka. Merengkok dalam penjaralah jawabnya. Juga di Singapura.

Apakah kita lupa penghinaan ke atas al-Quran, penghinaan terhadap nabi penghinaan azan dan perbuatan mencampak kepala babi ke dalam masjid dan surau? Ini tidak termasuk penghinaan terhadap perkara fundamental Islam seperti larangan pergaulan bebas lelaki dan perempuan (saloon), arak, judi,  dan sebagainya. Belum lagi saya paparkan penghinaan terhadap raja-raja Melayu dan kedudukan Melayu dan bahasa Melayu. Begitu juga isu perebutan anak kalangan pasangan memeluk Islam, yang selalu memihak kepada bukan Islam. Bertegaskah kita?

Justeru, pada kali ini, saya amat mengharapkan pihak berkuasa bertindak dengan tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja mencemarkan kesucian Islam, dan begitu juga jika ada umat Islam yang melakukannya ke atas bukan Islam.

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Monday, August 12, 2013

Bahaya bina negara dalam negara

7:04 AM Posted by RIDHUAN TEE 13 comments

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin

(Mingguan Malaysia 11.8.13)

Penentangan terhadap agenda membina negara semakin menjadi-jadi, seolah wujud agenda membina negara dalam negara. Inilah akibatnya apabila kita terlalu berlembut dengan ultra kiasu atau kumpulan yang tidak pernah bersyukur ini.

Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan juga Menteri Pendidikan, melahirkan kebimbangannya terhadap trend mutakhir pertubuhan Cina seperti Dong Zong dan sewaktu dengannya, yang semakin berani menyentuh isu-isu hubungan antara kaum sehingga menimbulkan polarisasi. Masyarakat Cina dilihat terlalu sensitif sehingga menjadikan usaha baik yang dirancang kerajaan seperti Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP) dimanifestasi sebagai syak wasangka yang menyentuh isu perkauman.

Perhimpunan Dong Zong sebelum ini yang didakwa dihadiri oleh lebih 1000 pertubuhan Cina membuat resolusi menghalang apa yang kita buat dalam PIPP 2013-2025. PIPP dilihat sebagai usaha untuk menghapuskan bahasa ibunda mereka dan berbaur perkauman. Sedangkan hampir dua tahun telah kerajaan telah mengumpul input supaya selari dengan Akta Pendidikan dan Falsafah Pendidikan Negara. Malangnya, NGO Cina ini langsung tidak mahu terlibat dalam perbincangan pelan tersebut.

Menurut TPM, trend yang berlaku itu tidak langsung membantu memupuk semangat perpaduan. Justeru, umat Islam mesti sedar dan tiada pilihan lain, selain memperkukuhkan jemaah.

Perkara itu tidak akan berlaku jika umat kuat dan bersatu. Kelemahan dan perpecahan yang berlaku, digunakan kesempatan sepenuhnya untuk menentang apa jua agenda membina negara, termasuk dengan lantang mencabar agama Islam, bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan raja-raja Melayu.

Peliknya, umat Islam dengan sengaja buat-buat tidak faham akan kemerbahayaan ini. Kita masih menganggap perkara ini remeh atau ini masalah Umno, bukan masalah negara.

Kita sesama sendiri asyik bergaduh. Sedangkan orang lain terus merancang dan mengatur strategi. Contohnya, bagi mengaburi mata rakyat dan umat Islam, sekutu Dong Zong, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) telah membuat kenyataan akan menganjurkan Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang bagi menghargai sumbangan individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap usaha-usaha perpaduan dan integrasi nasional.

Menurut Hua Zong, penganjuran itu bertujuan menggalakkan lebih ramai individu atau NGO menyumbang ke arah perpaduan selain memupuk semangat integrasi dalam kalangan rakyat. Sasterawan Negara, Usman Awang diangkat bagi mengisi nama anugerah itu kerana beliau antara tokoh yang mempunyai semangat dan pandangan positif yang jelas mengenai integrasi. Pemenang tunggal Anugerah Perpaduan cemerlang akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 dan sijil sementara lima pemenang yang terpilih Anugerah Perpaduan Gemilang masing-masing akan menerima wang tunai RM10,000 beserta sijil. Saya memuji usaha-usaha sebegini.

Peliknya, kenapa nama Usman Awang, bukan tokoh yang lain? Kenalkah mereka dengan aspirasi dan jati diri Melayu Usman Awang? Setelah membelek-belek latar belakang Usman Awang, rupa-rupa Usman Awang terlibat dalam Persatuan Persahabatan Malaysia-China. Usman Awang juga pernah menjadi Ahli Jemaah Kolej Selatan, sebuah kolej swasta aliran Cina. Adakah kerana penglibatan Usman Awang dengan beberapa pertubuhan Cina ini, maka Usman Awang dipilih?

Persoalan saya, jika Allahyarham tidak terlibat dengan hubungan dengan Cina ini, apakah beliau akan dipilih? Secara peribadi, saya amat kagum dengan pencapaian dan kehebatan Allahyarham secara pakej.

Saya bimbang nanti apabila terbaca puisi Usman Awang bertajuk “Melayu”, mereka akan menarik balik anugerah ini pada tahun seterusnya.  Saya pohon, ketika anugerah ini disampaikan nanti, bacalah puisi hebat Usman Awang ini.

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah muallaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh di cari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa disambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran

Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.

Selain puisi ini, baca juga biodata Usman Awang dan perjuangan Melayunya. Sejak tahun 50-an beliau merupakan salah seorang pengasas Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Setiausaha ASAS 50 di Singapura dan Ketua PENA yang pertama (1962-65).  Beliau juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Hari Puisi, Cempaka Berbunga, Malam Gema Puisi dan Genta Rasa. Bacalah juga Kumpulan Puisi Keranda 152. 152 merujuk kepada kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan dalam perlembagaan.

Usman Awang juga adalah pejuang kuat akhbar berbahasa Melayu. Usman Awang pernah mogok dan sanggup menganggur mempertahankan BM. Usman Awang juga adalah orang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).  Usman Awang telah mengangkat dan mengharumkan nama  institusi bahasa dan sastera tersebut hingga ke tahap antarabangsa selama beliau berkhidmat di DBP.
  
Ketokohan dan kehebatan Usman Awang mesti diserlah secara pakej, bukan hanya merujuk sumbangan beliau kepada China dan Cina. Orang Cina mesti difahamkan siapakah yang dimaksudkan dengan Melayu oleh Usman Awang? Bagaimana mengenali Melayu? Dan dimanakah kekuatan dan sensitiviti Melayu? Seperti nukilan puisi tersebut.

Perpaduan dan integrasi tidak dapat dicapai kerana kita meletakkan agenda bangsa di hadapan dengan mengenepikan sama sekali agenda membina negara. Misalnya, terbaharu, sekutu Dong Zong iaitu MCA, berbeza pendapat dengan MIC dalam soal menyeragamkan subjek Bahasa Melayu (M) di semua sekolah, termasuk SJK (Cina/Tamil). MIC bersetuju diseragamkan. MCA menentang sekeras-kerasnya. Pandangan MCA sama Dong Zong, dan semua Zong yang lain, termasuk DAP dan Gerakan.

Alasan MIC jelas. Rakyat Malaysia mesti menjunjung BM dan mendapat kredit dalam peperiksaan. Jika tidak, sampai bila-bila pun pelajar bukan Melayu tidak akan dapat menguasai agenda kebangsaan ini. Sudah tentu tidak baik untuk pembinaan negara bangsa.

NGO Cina menolak pandangan MIC. Jika BM diseragamkan, subjek ini akan menyukarkan pelajar Cina untuk menguasai bahasa Cina, kerana terpaksa memberikan tumpuan yang lebih kepada BM. Puak ultra kiasu langsung tidak mahu bersusah sedikit menyahut agenda negara. Mereka mahu menjadi secina-cinanya - membina negara dalam negara.

Letih memperkatakan isu yang tidak pernah habis ini. Nasihat saya kepada kerajaan, jangan dengar lagi apa jua kata-kata Dong Zong atau Jiao Zong atau mana-mana NGO Cina lagi. Laksanakanlah apa yang telah diputuskan secara tegas. Jika tidak, PIPP 2013-2025 tidak akan ke mana-mana. Kita akan terus berhadapan dengan masalah demi masalah, bukan mengatasi masalah.

Jika masih berdegil, buat referendum kepada rakyat negara ini, seperti mana kita membuat referendum kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia. Tidak ada gunanya kita terus berlembut dengan ultra kiasu ini. Mereka hanya pentingkan bangsa, bukan negara, kerana mereka ingin membina bangsa dalam negara.

Benarlah kata cendekiawan etnik, Mansor Mohd Nor, parti-parti politik Cina tidak bebas dalam agenda politik mereka kerana sering dicatur oleh persatuan-persatuan Cina yang mahu membina negara idaman berdasar penerimaan kerakyatan samarata, penerimaan bahasa mandarin sebagai bahasa rasmi dan pelaksanaan pengajian dalam bahasa Mandarin dari sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi. Persatuan-persatuan Cina ini meletakkan teras negara idaman ini sebagai keutamaan dan menggunakan strategi dua barisan untuk bekerja dengan sesiapa sahaja yang mahu jadi ‘kuda tunggangan’ mereka demi mencapai matlamat itu.

Monday, August 05, 2013

Lantik akademia terajui SPR

7:17 AM Posted by RIDHUAN TEE 23 comments


(SH 5 Ogos 2013)

Pilihan Raya Kecil (PKR) Kuala Besut telahpun berlalu 24 Julai 2013 lalu. Seperti biasa, rumah siap pahat berbunyi, ada sahaja yang tidak berpuas hati. SPR, terus menjadi sasaran. Jika pembangkang menang, SPR betul, jika kalah, SPR tidak betul. Sampai bilakah budaya seperti ini hendak berakhir. Apapun, sebagai institusi demokratik, apa jua kritikan dan cadangan hendaklah diberi perhatian.

Saya begitu teruja dengan pandangan seorang academia, Syed Arabi Idid, sudah tiba masanya ahli akademia dilantik menganggotai Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). Menurutnya, negara mempunyai ahli akademik yang pakar dalam bidang pendidikan pilihan raya yang boleh menjadi ahli dan panel SPR, bagi tujuan penambahbaikan. Jika terus dilantik kalangan mereka tidak mempunyai pengetahuan, sudah tentu SPR akan terus dipersalahkan  dan tidak mustahil persepsi menjadi semakin buruk.

Semua sedia maklum, syarat-syarat perlantikan ahli SPR bersifat umum. Sesiapapun boleh dilantik menjadi ahli SPR jika layak dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Mereka mesti dari kalangan, seorang yang tidak muflis, berumur kurang daripada 66 tahun, tidak memegang sebarang jawatan yang bergaji dan bukan ahli mana-mana parti politik atau wakil dewan parlimen atau wakil dewan undangan negeri. Bermakna, ahli akademik boleh menerajui SPR, tidak semestinya Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

Amalan sehingga ke hari ini, PTD pencen sentiasa dilantik mengetuai SPR dan beberapa profesion lain. Belum ada pensyarah IPTA dilantik setakat ini menjadi pengerusi SPR, termasuk menjadi pengurus pilihan raya kawasan. Mungkin pegawai daerah sudah cukup bagi SPR sebab mereka lebih memahami keadaan setempat.

Selepas PRU 13, SPR dikecam teruk oleh pembangkang dan tidak kurang akademia. Sehingga kini, masih banyak petisyen pilihan raya PRU13 yang telah dibawa ke mahkamah dan masih menunggu keputusannya.

Menurut Mohamad Agus Yusuff, pensyarah sains politik UKM, SPR dikatakan gagal mengurus PRU 13 dengan baik. Jika SPR berjaya, sudah tentu Perdana Menteri tidak mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas terdiri daripada Ahli Parlimen kalangan semua parti politik bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti SPR pada 1 Jun 2013.

Padanya, isu dakwat kekal pun gagal dilaksanakan dengan baik dengan baik. Begitu juga dengan daftar pemilih. Sudah sampai masanya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan. PR pula perlu menghentikan perhimpunan 505 bagi memberi peluang kepada proses petisyen pilihan raya diadili di mahkamah undang-undang.

Pada beliau, tidak perlu jawatankuasa untuk memantau SPR kerana SPR adalah sebuah badan bebas. Apa yang diperlukan ialah anggota SPR yang boleh bertindak cekap untuk mengurus pilihan raya yang adil dan bebas. Itu yang kita belum ada!

Saya tidaklah bersetuju sepenuhnya dengan pendapat ini. Tetapi cadangan supaya akademia dilantik menganggotai SPR perlu diberikan perhatian. Mungkin sudah sampai masanya mereka yang terlibat secara langsung dalam kajian mengenai pilihan raya dilibatkan sama.

Kenapa akademia perlu menganggotai SPR? Justifikasinya adalah, mengikut rekod Kementerian Pendidikan sehingga November 2010, negara mempunyai seramai 28,571 orang tenaga akademik tempatan di seluruh 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), yang bergelar profesor (madya), mempunyai PhD dan minimum sarjana. Ini tidak termasuk IPTS. Takkan daripada bilangan tersebut tidak ada seorangpun yang mengkhusus dalam bidang pilihan raya.

Perlu diingat, negara memerlukan orang-orang yang berkaliber dan faham tentang perubahan yang berlaku seperti yang dinukilkan oleh Charles Darwin, It is not the strongest of the species that survives, nor the most intelligent that survives. It is the one that is most adaptable to change.

Siapakah yang peka dengan perubahan? Kita fikirkan bersama. Antara perkara yang perlu dikaji dan dibuat penambahan baik terhadap SPR adalah, pertama: ahli panelnya tidak kelihatan terlalu berpolitik atau partisan. Mereka hendaklah bebas dan berkecuali. Elakkan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh dipertikaikan kredibilitinya. Misalnya, kenyataan yang boleh dilihat sebagai bias.

Kedua, mewujudkan kerajaan sementara selain kerajaan yang memerintah sebaik selepas Parlimen dibubarkan bertujuan bagi memastikan negara ditadbir sementara kerajaan yang baru dibentuk. Ketiga, undang-undang SPR hendaklah dikuatkuasakan tanpa bias kepada mana-mana pihak. Misalnya, penggunaan jentera-jentera awam dalam pilihan raya.

Keempat, mendaftarkan warga Malaysia yang berusia 21 tahun secara automatik sebagai pengundi. Kelima, memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara sama ada mengundi di Perwakilan Malaysia atau secara pos. Keenam, penguatkuasaan peraturan sedia ada berhubung kesalahan memberi maklumat palsu dalam urusan pendaftaran. Ketujuh, akses media yang bebas dan saksama ketika tempoh berkempen. Kelapan, pembersihan daftar pemilih secara berterusan.

Kesembilan, penggunaan alamat selain alamat mastautin pada kad pengenalan sebagai alamat pendaftaran untuk menentukan bahagian pilihan raya. Kesepuluh, perkasa dan perluaskan peranan Akademi Pilihan Raya. Kesebelas, persempadanan kawasan hendaklah dibuat secara professional dan mengelakkan gerrymandering atau ketidakseimbangan dalam persempadanan.

Semua perkara ini banyak dibincangkan oleh akademia. Saya tidak fikir mereka tidak layak menerajui SPR.