Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, July 08, 2013

Ambil iktibar, bukan bergurukan Cina

7:24 AM Posted by RIDHUAN TEE 31 comments


(Sinar Harian 8.7.13)

Rakan blogger Hj Ariffin mencadangkan supaya Melayu berguru dengan Cina jika mahu berjaya dalam politik. Katanya, banyak yang Umno dan Pas boleh pelajari daripada cara, ketegasan dan kesepakatan orang Cina dalam politik. Misalnya;

1. Menolak jawatan dalam kerajaan. Lihat bagaimana MCA dan Gerakan sepakat tidak mahu terima jawatan dalam kabinet jika parti mereka kalah teruk. Malah MCA sampai sanggup memecat ahlinya hanya kerana terima jawatan exco dalam DUN Johor.
2. Mempertahankan kepentingan bangsa, bahasa dan kebudayaan Cina. Lihat bagaimana MCA, Gerakan dan DAP walau pun tidak dalam kem yang sama, sepakat bangun mempertahankan sekolah vernakular SJKC.
3. Membantah Hudud. Lihat bagaimana DAP walau pun sama kem dengan Pas, menyokong bantahan MCA dan Gerakan terhadap cadangan mengHUDUDkan negara jika Pas berjaya menerajui Putrajaya.
4. Membantah penutupan Jonker’s Walk. MCA sungguh pun dalam satu kelambu dengan Umno senada dengan DAP, mengecam tindakan yang diambil oleh Ketua Menteri Melaka.

Nasihat saya sebelum mengulas lanjut, jangan pandang rendah pada kekuatan dan kebaikan bangsa sendiri. Terlalu banyak untuk dibicarakan. Cuba buat muhasabah dan rujuk sejarah, tentu ada jawapannya. Melekehkan bangsa diri sendiri bermakna memandang rendah diri sendiri.

Pada pendapat saya, isu yang dibangkitkan Hj Arifin, tidak berhenti setakat itu. Masih ingat lagi kita kempen-kempen PRU13? Bagaimana bukan Islam begitu berani menghina cuti umum pada hari jumaat, salon berasaskan jantina, larangan arak, zina dan judi dan sebagainya. Saya tidak pernah lupa penghinaan sebegini, hanya kerana mahu menyindir PAS.

Ini belum termasuk betapa beraninya peguam mereka menghina Islam di mahkamah. Lihatlah betapa bersatunya mereka menghalang Majlis Agama Islam dalam isu penentuan agama anak-anak jika ibu bapa memeluk Islam. Mereka tidak mahu sama sekali anak-anak tersebut diIslamkan.  

Boleh dikatakan semua Mufti bersependapat, Seksyen 107(b) dalam Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 2013 yang memperuntuk persetujuan salah seorang ibu bapa memadai untuk tukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam tidak boleh dipertikaikan.

Keputusan Kabinet 2009 bahawa agama kanak-kanak tidak boleh ditukar oleh ibu atau bapa secara sepihak tidak boleh diguna pakai kepada penganut Islam.  Menurut Mufti Selangor, dari segi hukum hadanah (penjagaan anak), anak bawah umur asalnya adalah di bawah penjagaan ibu. Namun, dalam isu berlainan agama, anak itu perlu mengikut agama ibu atau bapanya yang Islam. Misalnya, jika si bapa memeluk Islam, tetapi si ibu tidak, maka agama anak mereka yang di bawah umur akan mengikut si bapa. Perkara ini telah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan dan dipersetujui Majlis Raja-Raja.

Mufti Perak menyatakan, Islam merupakan agama rasmi dan negara ini terikat dengan undang-undang Islam. Peruntukan menukar agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam yang memerlukan persetujuan salah seorang ibu bapa sudah dipakai sejak sekian lama. Mengapa perkara ini dibangkit sekarang? Undang-undang itu dibuat berdasarkan undang-undang Islam dan tidak boleh dipertikai!

Amat malang lagi, bila ada pemimpin Umno yang berjawatan menteri tidak bersetuju dengan peruntukan yang memihak kepada Islam. Menteri ini jugalah yang turut memberi amaran kepada ketua pemimpin negeri Melaka (Umno) supaya mengkaji balik keputusan mahu menutup Jonker’s Walk.

Memetik kata-kata blogger itu lagi, kewujudan Jonker’s Walk itu tidak sedikit pun membawa kebaikan kepada orang Melayu Umno sendiri. Kebelakangan ini ramai pemimpin Umno (Menteri) sudah menjadikan orang Melayu sendiri naik meluat. Mereka kononnya mahu menjadi jaguh kepada kaum bukan Melayu tanpa menyelidiki fakta yang sebenar.

Faktanya bukan Jonker’s Walk yang ditutup, tetapi membuka laluan Jonker’s Walk kepada kenderaan, supaya tidak berlaku kesesakan bandar Melaka berpanjangan. Alasan ini amat kukuh. Bayangkan jika Jonker’s Walk itu milik Melayu. Apakah menteri itu akan tampil membela?

Ini tidak, pantang hak ultra kiasu disentuh. Heboh satu dunia bagi menunjukkan betapa mereka teraniaya dan kejamnya Umno.

Nasihat saya kepada orang Melayu Islam dan Umno, dalam memahami semua isu ini, perlu mengaji dan belajar dahulu, beberapa asas dan aspek agama Islam. Paling kurang, bacalah kitab fiqh awlawiyyat atau buku memahami keutamaan oleh Yusuf al-Qaradawi supaya tidak jadi jahil murakab.

Bukan apa, saya cukup bimbang dengan trend politik hari ini, kerana mahu sangat menjaga hati orang lain, hati sendiri terluka. Tidak ada siapa mahu mengubatnya. Akhirnya, luka tersebut menjadi semakin mendalam. Kebimbangan saya, luka mendalam itu tidak dapat disembuh dengan apa jua ubat selepas itu. 

Kesimpulan, tidak payah berguru dengan Cina untuk bersatu, bergurulah pada bangsa sendiri  berteraskan Islam. Saya pasti ada jawapannya. Nabi Muhammad SAW, tidak pula berguru kepada orang lain, walaupun buta huruf. Baginda hanya berpandukan kepada wahyu Allah. Hasilnya, Rasulullah dan umatnya menjadi orang hebat.

Hari ini, Nabi telah tinggalkan kepada kita wahyu Allah (al-Quran) dan sunnahnya. Rujuklah sepenuhnya. Saya yakin kita akan menjadi hebat. Ini tidak, hak sendiri yang begitu bermakna tidak dirujuk, tetapi terlalu obsess dengan orang lain.

Wednesday, July 03, 2013

Bertindaklah sebelum terlambat!

4:12 PM Posted by RIDHUAN TEE 18 comments


(Sinar Harian 1 Jul 2013)

Kenyataan bekas hakim mahkamah rayuan, Datuk Mohd Noor mengenai SJK perlu diserapkan dalam pendidikan kebangsaan, sekali lagi menjadi sensasi dan kontroversi. Salah seorang pemimpin MCA nampak berang dalam memberikan respon terhadap kenyataan tersebut.

MCA mengatakan BM sebagai bahasa rasmi negara memang disanjung dan dijunjung SJK. Ironinya, apakah beliau sedar atau tidak, kedudukan BM di SJK, SMJK, Sekolah Persendirian Cina (SPC) dan Universiti? Jika belum, pergi belajar dan buat kajian. Jangan membuat kenyataan sembarangan, memalukan.

Jika MCA menerima BM sebagai bahasa negara atau bahasa kebangsaan. Lakukan kempen untuk memandaikan orang Cina bertutur dalam BM. Jangan cakap sahaja. Buatlah kajian di SJKC berapa ramai yang gagal BM dalam peperiksaan dan berapa ramai yang langsung tidak tahu bertutur dalam BM. Dalam MCA sendiri, cuba lihat berapa ramai yang boleh menulis dan bertutur dalam BM dengan baik, seperti mana Cina yang berada di Indonesia dan Thailand.

Saya tidak nafikan BM di ajar di SJK dan SMJK, tetapi berapa kali atau berapa jam dalam seminggu? Pernah atau tidak pergi ke SJK? Jika tidak pergilah buat lawatan dan lihat jadual waktunya.

Bila kerajaan mahu menambahkan masa BM di SJK ditentang dengan hebat oleh Dong Zong dan sekutunya.

Mana ada BM diajar kepada pelajar Cina apabila mereka masuk IPTA atau IPTS (universiti). BM sudah tidak diwajibkan apabila memasuk institusi pengajian tinggi. Ternyata beliau tidak pernah masuk ke universiti. Syarat masuk ke IPTA adalah mereka mesti mendapt kredit dalam BM. Bermakna, pelajar CIna yang masuk IPTA adalah kalangan mereka yang mendapat kredit BM dalam SPM. Tidak ada lagi BM di ajar IPTA kecuali mereka yang mengkhusus dalam BM.

Kedudukan BM di IPTS amat menyedihkan. Tanpa kredit dalam BM dalam SPM pun, mereka akan diterima masuk.

Kredit dalam BM bukan bermakna, mereka pandai bertutur dalam BM. Kadangkala mereka hafal sahaja. Kajian yang dilakukan Banci 2010  menunjukkan ramai orang Cina tidak boleh membaca, menulis dan bertutur dalam BM. Terpaksa mencari penterjemah untuk mengisi borang banci.

Saya menerima sepucuk surat daripada guru Melayu yang mengajar di SMJKC di Bukit Mertajam yang mendapat anugerah Sekolah Kluster oleh Kementerian Pendidikan. Sekolah jenis ini  yang mendapat bantuan mencurah-curah dari kerajaan. Malangnya, sekolah Cina ini telah menjadi sarang ultra kiasu.

Antara aduan tersebut adalah:

Latihan dalam Perkhidmatan (LDP) tidak dikendalikan mengikut kehendak pekeliling kerajaan. Menonton persembahan Tahun Baru Cina dan menghadiri mesyuarat Agung PIBG dikira sebagai LDP

Sambutan Merdeka dibuat sambil lewa sahaja. Ucapan pemimpin negara dan KPM tidak dibaca sebagaimana amalan SK yang lain.

Sambutan Hari guru amat menyedihkan, sekadar upacara memotong kek. Ucapan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pendidikan tidak dibaca

Sambutan Tahun Cina berbeza sekali dengan sambutan hari guru. Sambutan tahun baru Cina disambut dengan amat meriah sehingga sebulan berbanding hari guru

Pakaian guru-guru SJK seperti pakaian penari dan penyanyi. Tidak mencerminkan etika keguruan dan pekeliling kerjaaan. Tidak berlengan, belah sana sini, ketat, singkat sehingga nampak bahagian yang tersirat dan tersurat.

Penggunaan dewan sekolah oleh pihak kerajaan seperti BB1M dan BR1M, tidak disukai oleh pihak pentadbir sekolah.

Sama ada dakwaan ini benar atau tidak, berdasarkan pengalaman, saya fikir banyak betulnya. Ini dibuktikan oleh seorang pelajar Melayu yang sedang melanjutkan ijazah sarjana di salah sebuah universiti di Taiwan mengeposkan pandangannya dalam blog saya, ridhuantee.blogspot.com, mengatakan: 

“Sedih saya melihat kebanyakan warga Malaysia berbangsa Cina apabila bertemu mereka, sukar sekali mereka untuk berinteraksi dalam BM, tergagap-gagap akhirnya cakap dalam bahasa Inggeris. Kenapa orang Malaysia tetapi bertahun-tahun tinggal di Malaysia, cakap pun tak reti. Sedih melihat fenomena ini di Malaysia. Sampai bila masalah ini akan berterusan.  Kesemua kawan saya dari Indonesia, yang berbangsa Cina fasih berbahasa Indonesia, sehinggakan saya tidak tahu yang dia berbangsa Cina. Malahan di Indonesia sendiri, bahasa Cina tidak diajar di sekolah kebangsaan cuma dapat dipelajari di kelas-kelas bahasa. Saya dapat lihat hubungan orang Indonesia ini sangat kuat tidak kira apa bangsa sekalipun. Rasanya, sudah sampai masanya kerajaan merombak perkara-perkara yang menjauhkan jurang antara kaum di malaysia. PERLU kita utamakan kebolehan berbahasa Malaysia sebagai syarat utama untuk layak menjadi Malaysian. Saya dapat lihat jurang yang besar antara rakyat berbilang kaum di Malaysia, orang Cina cakap Cina, orang India cakap bahasa India. Kerajaan harus mencontohi kerajaan Indonesia, bersikap tegas.

Apa lagi bukti yang kita mahu? Semua sudah terang lagi bersuluh. Jika pihak Kementerian Pendidikan masih ragu-ragu, buat kajian dan audit yang menyeluruh ke atas SJK. Saya dan pasukan bersedia untuk melakukannya. Dengan syarat, sediakan budget yang mencukupi. Kita akan buktikan sama ada apa dakwaan MCA dan persatuan Zong yang lain benar atau tidak? Bertindaklah sebelum terlambat.

Monday, July 01, 2013

Benarkah agenda negara disanjung?

8:39 AM Posted by RIDHUAN TEE 15 comments


Assalam dan salam sejahtera. Saudara semua, hari ini 2 artikel saya disiarkan, 1) Utusan Malaysia dan 2) Sinar Harian. Saya siarkan dahulu artikel dalam Utusan Malaysia. Artikel Sinar Harian akan saya siarkan hari berikutnya. Terima kasih.

Utusan Malaysia (1 Julai 2013)

Saya ingin mengulas tulisan Tan Zhong Yan dan laporan akhbar Cina mengenai Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) bukanlah punca masalah perpaduan di Malaysia. Malahan Bahasa Melayu (BM) amat diberikan penekanan di SJK. Kenyataan mereka sebagai respon kepada pendapat bekas hakim mahkamah rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah, yang mahukan SJK diserapkan dalam pendidikan kebangsaan. Persoalan saya, apakah benar BM didaulatkan di SJK? Pernah atau tidak, mereka melakukan kajian? Jika tidak, buatlah kajian. Baru sedap bercakap.

Antara perkara yang perlu dilihat adalah jumlah jam BM diajar dalam seminggu, keputusan peperiksaan BM, kebolehan bertutur dan berkomunikasi dalam BM dan program-program yang dijalankan untuk mendaulatkan BM.  

Menurut mereka, masalah perpaduan antara kaum yang kini wujud di negara Malaysia ini bukan berpunca dari sekolah vernakular tetapi disebabkan faktor lain. Antaranya adalah polisi negara ini. Katanya, walaupun sudah merdeka untuk 56 tahun, kerajaan yang diperintah oleh Barisan Nasional masih mengamalkan cara penjajah British iaitu pecah dan perintah (divide and rule). Parti komponen utama BN seperti Umno, MCA dan MIC hanya mempertahan dan berjuang untuk kaum yang diwakili masing-masing, seperti Umno (Melayu), MCA (Cina) dan MIC (India). Secara langsung atau tidak langsung, memberi persepsi kepada rakyat jelata bahawa jika ada menghadapi apa-apa masalah, rujuklah pemimpin kaum kita sendiri.

Akibatnya, kata mereka lagi, secara tidak langsung menyebabkan kita melahirkan perasaan ketidakpercayaan terhadap kaum lain lalu mengakibatkan kesalahfahaman. Mereka beranggapan bahawa hanya orang Melayu akan menolong orang Melayu, orang Cina-Cina dan India-India. Inilah punca masalahnya yang mana kita akan melihat ketidaksamaan antara kaum dan kita akan melihat kaum yang lain sebagai entiti yang berbeza dan berasingan.

Naifnya ilmu mereka ini, mereka langsung tidak merujuk kepada parti-parti kaum di Sabah dan Sarawak, yang sama juga seperti Umno, MCA dan MIC. Kenapa perpaduan kalangan mereka begitu mantap? Tidak seperti kita di Semenanjung? Di mana silapnya?

Punca kedua menurut mereka lagi, adalah disebabkan oleh sesetengah pihak yang rasis dan tidak bertanggungjawab, seperti bekas hakim mahkamah rayuan itu, mengeluarkan kenyataan rasis, juga menjadi punca masalah perkauman dan perpaduan. Pandangan sebegini, secara tidak langsung mengakibatkan kaum lain melahirkan kebencian bukan hanya terhadap individu tersebut tetapi juga kaum individu itu. Lebih-lebih lagi jika tiada tindakan undang-undang yang diambil ke atas individu ini dan pendakwaan selektif dilakukan ke atas individu-individu yang lain.

Lebih hipokrit katanya lagi, adalah apabila Perdana Menteri, memperkenalkan konsep 1Malaysia dan sedangkan slogan 1Malaysia panas dilaung-laungkan timbalannya, yang juga Menteri Pendidikan, mengatakan beliau merupakan ‘Malay First, Malaysian Second’. Jadi apa gunanya jika kita ingin menghapuskan sekolah vernakular bagi tujuan perpaduan tetapi pada masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan sendiri tidak mengerti maksud perpaduan? Apa yang lebih teruk lagi adalah apabila Perdana Menteri kita sendiri menyalahkan “tsunami Cina” bagi keputusan teruk pada PRU baru-baru ini. Kumpulan ini juga berasa amat kesal apabila pemimpin-pemimpin negara kita sanggup mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang begitu tidak bertanggungjawab sehingga ada daripada mereka yang sanggup mengatakan ini adalah pengkhianatan sesetengah kaum.

Sambung mereka lagi, apa gunanya sekolah vernakular dihapuskan jika pemimpin-pemimpin negara kita sendiri tidak mengerti maksud perpaduan? Jadi, untuk mencapai perpaduan, apa yang kita perlu hapuskan sekarang bukanlah sekolah vernakular tetapi rasisme yang wujud di negara kita. Pemimpin-pemimpin negara kita haruslah menunjukkan contoh yang baik dan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang rasis dan tidak bertanggungjawab. Pihak polis dan Peguam Negara haruslah menjalankan tugas secara adil dan mengambil tindakan terhadap kesemua mereka yang tidak bertanggungjawab ini tidak mengambil kira latar belakang mereka dan tidak melakukan pendakwaan selektif. Hanya apabila kita dapat melihat tidak ada perbezaan antara kita, maka hanya pada masa itulah kita akan mencapai perpaduan. Biarlah kita ingat bahawa kita kesemua ini tidak mengira kaum adalah anak Malaysia.

Saya tidak nafikan ada juga betulnya hujah ultra kiasu ini. Jika ada yang betul, ambil. Tetapi saya ingin membuka mata pembaca, inilah hujah yang selalu digunakan oleh majoriti ultra kiasu dan akhbar-akhbar Cina. Persoalan saya, kenapa BN sahaja yang disalahkan? Parti ultra kiasu, DAP dan PKR tidak dilabelkan sebagai perkauman? Adakah DAP parti untuk orang Melayu? Jangan kerana ada seorang dua Melayu dalam DAP maka kita sudah boleh labelkan DAP parti tidak perkauman? Begitu juga dengan PKR, adakah Cina dan India yang berada di situ tidak memperjuangkan kaum masing-masing? Jika tidak faham politik, tak perlu menulis dan mengeluarkan kenyataan! Memalukan sahaja.

Adakah pemimpin DAP tidak berpegang kepada Chinese First, Malaysia Second? Begitu juga mereka di dalam PKR. Apakah dengan sedikit bantuan kepada surau dan masjid dan beberapa individu Melayu di Pulau Pinang, sudah dapat membuktikan DAP berpegang kepada Malaysian First? Jangan menipu diri sendiri. Nanti dilaknat Tuhan.

Lebih kelakar lagi ada sebuah NGO yang menggelarkan dirinya NIAT, diketuai oleh seorang mamak begitu berani menggugut kerajaan untuk berdemo ketika pembukaan parlimen sebagai bantahan kepada novel Interlok dan filem  Tanda Putera. Saya menunggu saat itu, tetapi tidak juga beliau muncul. Saya mahu lihat betapa kuatnya dia. Pengerusi yang tidak berniat, yang menggunakan seruan jihad untuk mengaburi mata rakyat,  menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk membatalkan dan menghapuskan buku dan filem ini. Kelakarnya. Siapakah beliau? Apa bidang beliau? Balik rumah, cermin muka dahulu. Untuk makluman pembaca, inilah juga punca yangmenjadikan ultra kiasu begitu berani mencabar Melayu dan Islam disebabkan oleh ada tali barut bersekongkol dengan mereka. Begitu juga dengan PKR. 

Novel Interlok dan filem Tanda Putera telah diiktiraf oleh para sasterawan dan penggiat sebagai bahan yang baik untuk bacaan dan tontonan rakyat Malaysia yang lupa sejarah. Siapa beliau yang langsung tidak ada latar belakang sastera dan seni untuk bercakap isu ini? Jika tidak ada ilmu, lebih baik pergi mengaji sebelum mahu berjihad. Jika bacaan Quran masih gagap dan hanya merujuk kepada terjemahan, eloklah berguru dahulu. Jangan memalukan komuniti India Muslim yang lain. Lebih baik bahaskan bagaimana memastikan rakyat Malaysia dapat memartabatkan agenda negara

Misalnya, ketika pembukaan sidang parlimen 24 Jun 2013, apalah salahnya semua ahli parlimen memakai pakaian kebangsaan baju Melayu sebagai menghormati istiadat negara. Ini tidak, ultra kiasu tetap dengan caranya. Mereka lebih berbangga dengan pakaian barat daripada pakaian kebangsaan. Hina sangatkah berbaju Melayu? Tidakkah dengan berbaju Melayu kita mendekatkan lagi hubungan dengan penduduk majoriti? Kenapa begitu ultra kiasu? Kita tidak akan jadi Melayu sekadar berbaju Melayu.

Lihat betapa ultra kiasunya contoh yang seterusnya ini. Saya menerima sepucuk surat daripada guru Melayu yang mengajar di SMJKC di Bukit Mertajam yang mendapat anugerah Sekolah Kluster oleh Kementerian Pendidikan. Sekolah jenis ini  yang mendapat bantuan mencurah-curah dari kerajaan. Malangnya, sekolah Cina ini telah menjadi sarang ultra kiasu.

Antara aduan tersebut adalah:

·         Latihan dalam Perkhidmatan (LDP) tidak dikendalikan mengikut kehendak pekeliling kerajaan. Menonton persembahan Tahun Baru Cina dan menghadiri mesyuarat Agung PIBG dikira sebagai LDP

·         Sambutan Merdeka dibuat sambil lewa sahaja. Ucapan pemimpin negara dan KPM tidak dibaca sebagaimana amalan SK yang lain.

·         Sambutan Hari guru amat menyedihkan, sekadar upacara memotong kek. Ucapan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Pendidikan tidak dibaca

·         Sambutan Tahun Cina berbeza sekali dengan sambutan hari guru. Sambutan tahun baru Cina disambut dengan amat meriah sehingga sebulan berbanding hari guru

·         Pakaian guru-guru SJK seperti pakaian penari dan penyanyi. Tidak mencerminkan etika keguruan dan pekeliling kerjaaan. Tidak berlengan, belah sana sini, ketat, singkat sehingga nampak bahagian yang tersirat dan tersurat.

·         Penggunaan dewan sekolah oleh pihak kerajaan seperti BB1M dan BR1M, tidak disukai oleh pihak pentadbir sekolah.

Sama ada dakwaan ini benar atau tidak, berdasarkan pengalaman, saya fikir banyak betulnya. Sudah terang lagi bersuluh agenda negara langsung tidak didaulatkan. Puak-puak ultra kiasu ini pandai mengatur strategi menggunakan hujah dan bukti, bagi mengaburi kita yang menunjukkan bahawa mereka tidak rasis.  Ini memudahkan mereka menuding jari dan menuduh pemimpin kita dan orang Melayu rasis. Jika ada pihak-pihak tertentu yang mahu rakyat menghayati sejarah dan agenda negara, mereka akan dituduh rasis. Sekolah perkauman atau vernakular tidak pula dianggap rasis.  NGO Cina ada lebih kurang 8000 buah juga tidak dianggap rasis. NGO-NGO yang berakhir dengan perkataan Zong tidak juga rasis. DAP pun tidak rasis. Bila orang Melayu tubuhkan NGO mempertahankan hak Melayu, semuanya rasis. Licik sungguh perancangan mereka. Nasihat saya, jika tidak suka dengan keadaan rasis, carilah tempat lain yang tidak rasis.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Prof Madya/Ketua Program
Program Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan
Faculty Pengajian dan Pengurusan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Sungei Besi Camp
57000 KUALA LUMPUR
MALAYSIA