Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, June 10, 2013

Bahaya Ultra Kiasu Kepada Negara

12:24 PM Posted by RIDHUAN TEE 27 comments

Bahaya ultra kiasu kepada negara (SH 10 Jun 2013)

Pada 1 Jun minggu lalu saya telah dijemput untuk berceramah (forum) oleh sebuah pertubuhan Islam di Singapura. Malangnya, apabila setiba dikaunter imigresen, saya telah ditahan dan disoal siasat selama 1 jam. Saya tidak tahu sebab musababnya. Tiga bulan lalu saya turut dijemput, tidak timbul masalah sebegini.

Sebelum itu, sudah lama juga (hampir 4 tahun) saya tidak ke Singapura kerana tidak dapat clearance daripada imigresen dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Saya sudah dapat agak sebabnya. Cuma, kali ini (2013) saya hairan kerana saya dijemput semula. Seperti biasa saya menerima jemputan tersebut.

Saya disoalsiasat dengan pelbagai soalan bersifat amat peribadi. Semua perkara mengenai saya dan keluarga ditanya mahukan jawapan. Saya menjawab semua soalan dengan baik, sehinggalah percubaan untuk mengambil telefon bimbit saya. Ketika itu, saya mula berkeras, kerana ia terlalu peribadi dan saya tidak benarkan sama sekali.

Saya bertanya kenapa saya ditahan dan disoalsiasat. Pihak imigresen Singapura (Cina ultra kiasu) mengatakan ia prosedur biasa. Kenapa saya, bukan pelancong lain? Tiada jawapan. Sejurus dilepaskan, saya bertanya kepada pihak penganjur. Mereka mengatakan ia ada kaitan dengan artikel yang saya tulis dalam akhbar-akhbar tempatan terutama menyentuh isu Melayu Islam di Malaysia, tidak ketinggalan di Singapura.

Jangkaan saya selama ini benar. Apa yang saya tulis kebelakangan ini, tidak disenangi oleh pihak berkuasa ultra kiasu di sana. Perangai ultra kiasu Malaysia sama sahaja dengan ultra kiasu Singapura. Tidak menghairankan kerana mereka adalah sama. Cuma berlainan huruf, satu bermula dengan P dan satu lagi D. Asal-usul sejarah mereka sama. Mereka adalah adik-beradik.

Ingatan saya kepada kerajaan Malaysia, berhati-hatilah. Jangan gadaikan kepentingan negara seperti hartanah, rumah, air dan sebagainya atas nama persabahatan dan sangka baik. Belum tentu mereka menghargainya. Mereka mempunyai banyak duit dan boleh buat apa sahaja. Sebahagian daripada hartanah di Johor dan Pulau Pinang sudah banyak dibeli dan menjadi hak milik kekal. Ini tidak termasuk di negeri lain (Malaysia).

Apa pengajaran yang dapat dipetik daripada insiden ini? Bahaya ultra kiasu kepada negara. Jika tidak dibendung, apakah nasib Melayu (Islam) di bumi Melayu. Justeru, saya mahukan umat Islam sedar, tidak kira apa jua partinya. Seagama tetap bersaudara, walaupun tidak sebangsa. Berbeza dengan  orang tidak seagama, apatah lagi jika tidak sebangsa. Siapa saudara, siapa musuh? Perlu disedari dan kenali.

Saudara tetap saudara, musuh tetap musuh. Benar, kita perlu berbaik sangka. Tetapi apakah kita harus terus berdiam, jika musuh begitu nyata di depan mata dan sentiasa merancang untuk memusnahkan kita.

Bukanlah maksud saya kita turut bertindak memusnahkan mereka. Paling penting, kita perlu bertegas dengan mereka mulai sekarang. Jangan terlalu fikirkan soal pembangunan dan  undi. Menang sorak kampong tergadai. Kaduk naik junjung.

Bertindaklah mengikut perlembagaan. Jika mereka menyentuh isu-isu sensitif, seperti menghina Islam, raja dan Melayu (bangsa dan bahasa), yang terkandung dalam akta hasutan, jangan ragu-ragu dengan tindakan itu. Jika kita terus berlembut, kita akan terus menjadi mangsa. Jangan haraplah dengan berlembut, mereka akan mengundi kerajaan sedia ada.

Insiden yang saya alami cukup jelas. Ultra kiasu tidak mahu ada sesiapa yang menghalang mereka. Mereka cepat-cepat akan mengambil tindakan. Wal hal artikel saya hanya mengingatkan umat Islam di Malaysia. Pihak berkuasa Singapura tidak perlu takut dan terasa.

Rupa-rupanya tidak. Mereka tidak ada sedikitpun unsur-unsur yang boleh menghalang perancangan mereka. Awal-awal lagi sudah dibenteras. Orang Melayu (Islam) yang belajar di sekolah kerajaan, tidak dibenarkan memakai tudung (menutup aurat). Umat Islam mesti akur dengan keputusan tersebut, suka atau tidak.

Jika berceramah, perkara yang tidak boleh disentuh adalah; polisi dan dasar kerajaan mereka tidak boleh dikritik, isu Israel tidak boleh disentuh, isu agama apatah lagi. Pendek kata, jika berceramah di Singapura, hanya boleh bercakap tajuk itu sahaja. Jangan unsur-unsur sindirin, hasutan dan sebagainya.

Berbeza sungguh demokrasi di negara kita dengan mereka. Kita terlalu memberi banyak kebebasan, sehingga ultra kiasu menjadi semakin berani. Sama ada itu tersebut sensitif atau tidak, semuanya dilanyak. Kerajaan terus berdiam diri. Jika pihak berkuasa cuba bertindak, maka dituduh melanggar hak asasi manusia. Kitapun mengalah.

Lihatlah bagaimana ultra kiasu membela wanita yang menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Pada mereka, itu tidak salah, malah dibenarkan. Sedangkan ultra kiasu tahu itu salah. Mereka begitu berani. Kenapa? Jawapannya, mudah, kerana adanya ultra kiasu menyebelahi mereka. Siapakah mereka? Itulah PKR. Saya harap PAS masih lagi rasional.

Contoh lain, titah YDPA baru-baru ini. Saya tidak nafikan, draf titah ucapan itu disediakan oleh kerajaan (UMNO). YDPA boleh, untuk tidak bersetuju dan mengubahnya. Itu adalah hak YDPA. Tetapi jika YDPA bersetuju, itu bermakna titah tersebut adalah titah YDPA. Rakyat perlu terima, walaupun tidak bersetuju.

Kenapa harus dipertikaikan? Bayangkan jika kerajaan PR yang memerintah. Teks yang sama akan disediakan PR dan dititahkan. Ketika itu, UMNO akan bantah, apakah reaksi PR? Saya ingin bertanya kepada PAS, siapakah yang mendrafkan titah ucapan sultan Kelantan selama ini? Siapakah yang memasukkan isu royalti minyak dalam titah tersebut?

Sebagai rakyat jelata, saya akan menerima titah tersebut, walaupun drafnya disediakan oleh PAS atau PKR. Kerana apa? Jawapan, Baginda Sultan telah bersetuju dengan titah tersebut. Maka hamba dengar dan hamba taat.

Kesimpulannya, janganlah kita asyik menuding jari kepada saudara seagama. Lihatlah sama musuh kita itu, kerana mereka lebih bahaya dari saudara seagama.

Wednesday, June 05, 2013

Jangan kurang ajar dengan PAS

12:46 PM Posted by RIDHUAN TEE 15 comments

Sdr sekelian, terima kasih ingatkan saya akan artikel SH 3 Jun 2013. Keluar pada hari yang sama. 

Sinar Harian 3 Jun 2013

Mutakhir ini, PKR semakin kurang ajar dengan PAS. Sebaik sahaja PR berjaya menawan Selangor dalam PRU13, Ketua Wanitanya yang menang bertanding di kawasan saya, dengan bongkaknya berkata kerusi MB adalah hak PKR. Cerminlah diri dahulu sebelum berkata, berapa kerusi DUN yang dimenangi. 

PKR juga marah kepada PAS kerana menyebabkan mereka kehilangan kerusi DUN Kota Damansara dan Semenyih kerana PAS turut bertanding di sana. Jika tidak, PKR kononnya mendakwa, sudah tentu mereka mendapat dua tambahan kerusi menjadi 16, berbanding 14 yang diperolehi sekarang.

Ringkasnya, PR kalah di semua tujuh kerusi yang ditandingi sesama mereka melawan UMNO. PKR menyalahkan PAS kerana ‘mengacau’ kerusi mereka.

PKR tidak membuat muhasabah diri, siapakah pemilik asal kerusi DUN tersebut. Kalau boleh, semua kerusi mahu ditandingi bersama ultra kiasu, mengenepikan PAS.

Kadang kala, saya kasihan melihat PAS. PAS terlalu banyak berkorban untuk orang lain, sampai dirinya sendiri terkorban. PAS kelihatan seperti melukut di tepi gantang. Sedangkan, majoriti rakyat yang tidak sukakan UMNO bersama PAS, bukan PKR, kecuali ultra kiasu.

Itupun PAS masih dipersalahkan oleh parti baru setahun jagung ini yang menyangkakan dirinya kuat. Tunggulah pemimpin nombor satunya ‘pencen’, kita akan lihat bagaimana rakusnya perebutan kuasa nanti. 

Muhasabah untuk PAS, semua yang berlaku ada hikmahnya. Saya hormati pendirian PAS. PAS tidak mahu bersuhabat dengan sosialis sekularis. Mereka ini menjadi duri dalam daging, menentang agenda PAS menegakkan negara Islam. Mereka tidak faham, jahil Islam, dan cuba berlagak hebat. Sebab itu PKR tidak ada majlis ulamak, berbanding PAS. Jika adapun ulamak PKR, mereka berada dalam keadaan dilema untuk menjatuhkan hukum.

Saya memuji Pemuda PAS Selangor yang berani menempelak PKR, kerana kecabulan mulut pemimpin mereka menghina pemimpin PAS di khalayak ekoran ‘kehilangan' dua kerusi tersebut.

Dalam khalayak tersebut, Pemuda PKR mahu PAS mengambil tindakan tegas termasuk memecat ahlinya yang melanggar arahan pimpinan parti dengan bertanding menentang calon PKR. Persoalan saya, siapakah PKR ini? Kuat sangatkah mereka, termasuk juga ahli parlimen Shah Alam yang menentang arus Pemuda PAS.

Menurut PAS, PKR tidak seharusnya membuat kenyataan seumpama itu jika PKR tidak faham makna tahaluf siyasi. Memang PKR jahil soal selok belok Islam. Mereka sanggup melakukan matlamat menghalalkan cara dengan memberikan laluan kepada calon sosialis sekularis. Jiwa Islam mereka kosong. Apatah lagi untuk memahami tahaluf siyasi.

Sosialis sekularis sukar untuk memahami istilah ini kerana mereka tidak pernah terlibat dalam gerakan Islam. Mereka adalah bekas ahli UMNO yang kecewa dan ingin membalas dendam terhadap UMNO. Mereka biasa hidup selesa. Mereka lebih selesa bersama ultra kiasu DAP daripada PAS. PAS mesti berhati-hati agar tidak diperalatkan dan dipergunakan dalam usaha tahaluf siyasi.

Untuk makluman pembaca, tahaluf siyasi merupakan konsep atau perjanjian oleh dua pihak atau lebih untuk menjalin kerjasama menghadapi lawan, yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Kerjasama ini boleh terjadi di dalam beberapa bidang yang dipersetujui, untuk menghadapi ‘musuh atau lawannya’. Misalnya, kerjasama PAS dengan PKR dan DAP (walaupun menentang Islam) untuk melawan UMNO. Sudah tentu ada ahli PAS yang berbelah bahagi dalam isu ini. UMNO juga orang Islam dan mahukan Islam, cuma cara berbeza.

Sebahagian ulamak seperti Sheikh Muhammad Qutb dan al-Syeikh al-Imam Abu Nasr Muhammad bin Abdullah, dengan tegas menolak langsung sebarang usaha melakukan kerjasama dengan mereka yang menentang Islam. Mereka menghukumkan kerjasama ini haram. Ada juga ulamak yang mengharuskan tahaluf siyasi seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi, Dr Mustoffa al-Tohhan dan sebagainya.

Justeru, perlaksanaan tahaluf siyasi perlu dibuat secara berhati-hati, bukan semberono, sebab rakan dalam PR menentang agenda Islam PAS. Lagipun, PAS adalah parti jauh lebih senior daripada yang lain. Perjuangan PAS jelas. PAS pula amat matang dalam selok belok gerakan Islam dan pilihan raya. Rata-rata kerusi yang dimenangi oleh PKR hari ini adalah milik PAS dahulunya. PAS serahkan kepada ultra kiasu Melayu atas dasar tahaluf siyasi. 

PKR tidak ada apa-apa jika PAS tidak membantu dan menyokong mereka. PAS berdiri selama inipun tanpa bantuan PKR, walaupun banyak kali kalah. Justeru, janganlah PKR terlalu takbur. PAS yang mematangkan PKR.  Sebenarnya, PKR hidup atas belas ehsan PAS.

Sama juga seperti kedudukan MCA. MCA dapat bertahan sehingga ke hari ini kerana sokongan orang Melayu (UMNO). Sangat kelakar apabila ada segelintir ultra kiasu MCA berpendapat, jika MCA bertanding di Parlimen Gelang Patah dan Wangsa Maju, sebelum ‘dipinjamkan’ kepada UMNO, pasti MCA akan menang. Kebimbangan saya, MCA akan hilang wang deposit, kerana tsunami Cina memang jelas berlaku di kawasan ini, tak kiralah siapa yang bertanding.

Kesimpulannya, PAS memperjuangkan Islam. Sudah tentu lebih baik daripada PKR. Saya pasti memilih PAS jika bertembung dengan PKR. Memangkah PKR belum tentu dapat pahala kerana mereka tidak memperjuangkan Islam malah bersekongkol dengan ultra kiasu berpandu kepada sosialis sekularis.

Monday, June 03, 2013

Perlukah menjadi secina-cinanya?

7:29 AM Posted by RIDHUAN TEE 28 comments


Sdr semua, hari ini, 2 artikel saya disiarkan, 1. Utusan Malaysia dan 2. kolum tetap saya Buka Minda, Sinar Harian. Baca dahulu artikel Utusan hari ini. Esok, saya akan paparkan pula artikel Sinar Harian. Terima kasih

(Utusan Malaysia 3.6.13)

Pantang saya menulis dalam akhbar Mingguan Malaysia minggu lalu, menyentuh sedikit isu mengenai orang Cina, dunia bagai nak kiamat. Diperbesar-besarkan oleh laman web ultra kiasu untuk dijadikan bahan makian dan cacian. Seperti biasa, bukan hujah yang dibahas, peribadi menjadi mangsa dan diserang. Terima kasih atas pemikiran kuno ini. Saya redha. Apa yang penting, saya ingin rakyat marhaen sedar.

Sebelum mengulas lanjut, tahniah kepada kerajaan Malaysia, kerana mengembalikan semula nama Kementerian Pendidikan daripada Kementerian Pelajaran. Ada orang berkata, ada apa dengan nama. Pada saya, memang ada pada nama. Beza antara nama orang Malaysia Cina dengan orang Cina Malaysia. Di Indonesia, rata-rata menggunakan orang Indonesia Tionghua berbanding orang Tionghua Indonesia. Nama  Indonesia (bangsa asal/negara) mesti berada di hadapan. Berbeza dengan kita, bangsa mesti berada di hadapan. Siapa yang rasis? Lu fikirlah sendiri. Sebab itu, saya tidak percaya bila ultra kiasu selalu berkata, I am Malaysian 1st.

Jika Malaysia didahulukan, bermakna agenda nasional mesti diutamakan. Misalnya, bahasa kebangsaan, sekolah kebangsaan, kebudayaan kebangsaan, pakaian kebangsaan, upacara rasmi kebangsaan dan banyak lagi yang bersifat kebangsaan. Adakah semua ini dihormati dan disambut oleh ultra kiasu dengan baik dan berlapang dada. Lihatlah sahaja majlis angkat sumpah perlantikan exco di hadapan Sultan Selangor dan TYT Pulau Pinang. Itulah ragam ultra kiasu.

Paling sedih, sehinggakan ke peringkat, mereka mahukan mensyaratkan menteri (timbalan) pendidikan mesti boleh berbahasa Cina untuk berurusan dengan Cina dan menjaga sekolah Cina. Mereka mempertikaikan perlantikan Dato Mary Yap sebagai timbalan menteri pendidikan, kerana tidak memenuhi syarat tersebut. Banyak cantik muka. Nasihat saya, berhijrahlah ke tempat yang ada menteri sedemikian. 

Ketika memberi respon,  Yap dengan bangga berkata, beliau tidak perlu malu kerana tidak boleh berbahasa mandarin, yang penting kena buat kerja. Ini kenyataan seorang negarawan, bukannya seperti pertubuhan ultra kiasu tersebut.

Menurut Yap, walaupun tidak pandai membaca dan bertutur dalam bahasa mandarin, itu bukan isu. Beliau menguasai bahasa Melayu (BM) dan Inggeris (BI) dengan baik. "Saya juga ada pegawai untuk bantu saya yang akan beri nasihat dan bacakan surat khabar Cina dan beritahu apa yang dilaporkan.  "Ada ramai pemimpin di dunia yang tak fasih berbahasa Inggeris tapi disebabkan ada pasukan yang kuat, mereka boleh bimbing negara dengan begitu berkesan,".  

MP Tawau ini berpendapat, beliau tidak mewakili kaum Cina tetapi wakil kepada rakyat Malaysia. Beliau telah berkhidmat di bawah kementerian pendidikan hampir 36 tahun dan telah berjumpa dengan pelbagai kaum dan guru. "Saya tak lihat diri sebagai mewakili orang Cina tetapi sebagai orang Malaysia. Inilah 1Malaysia. Tapi bila cakap mengenai pendidikan Cina, ia merupakan sebahagian daripada tugas saya untuk menyelesaikannya,".

Terus terang, untuk setakat ini, saya kagum dengan pandangan sebegini, bertepatan dengan amalan 1Malaysia. Inilah yang membezakan antara bukan Melayu (Cina) di Semenanjung dengan Cina Sabah dan Sarawak. Cina Sabah Sarawak lebih terbuka dan tidak ultra kiasu, semangat 1Malaysia amat tinggi, berbanding sebahagian mereka di sini. 

Kita perlu banyakkan menteri (timbalan) bukan Melayu seperti ini. Kenapa Yap agak berbeza dengan ultra kiasu yang lain? Hujahnya mudah, mereka lebih terdedah kepada pribumi dan bumiputera di sana. Berbanding di sini, setiap hari sosialisasi politik mereka dalam apa jua bidang amat bersifat ultra kiasu (perkauman)

Kita tentu masih ingat, sebelum ini ultra kiasu mensyaratkan, guru-guru bukan Cina yang mengajar BM dan BI  di SJKC mesti mendapat kredit bahasa Cina dalam SPM. Jika tidak, mereka tidak layak untuk mengajar di SJKC. Kerajaan terpaksa akur kerana mahukan undi mereka. Sebahagian besar guru-guru BM dan BI bukan Cina telah dikeluarkan daripada SJKC. Begitu juga dengan kerani-kerani Melayu pun di sana perlu menguasai bahasa Cina.

Saya tidak faham, kenapa dan mengapa kerajaan tunduk dan akur kepada desakan ini, sedangkan semua sekolah ini berada dalam sistem pendidikan negara berpaksikan perlembagaan, menjunjung agenda negara. Semua gaji mereka dan prasana disediakan oleh kerajaan. PRU13 membuktikan, bahawa pemberian tidak dibalas. Apakah kita akan teruskan permainan ini?

Bandingkan, sekolah agama (kebangsaan) tidak pula mensyaratkan guru-guru bukan Melayu yang mengajar BI mesti boleh menguasai bahasa Arab. Jika itulah yang dilakukan, bayangkan berapa banyak bantahan akan dikemukakan kepada kerajaan kerana tidak berlaku adil.  

Melalui sistem ini, bahasa Arab masih boleh dikuasai, walaupun tidak sepenuhnya. Melayu tidak perlu menjadi orang Arab untuk menguasai bahasa Arab. Sebab itu, sukar untuk saya diterima idea untuk mencinakan sekolah Cina secina-cinanya, barulah bahasa Cina boleh dikuasai dengan baik dan menjadi Cina tulen. Itupun kerajaan membenarkan operasinya. Inilah toleransi orang Melayu yang tidak ada pada bangsa lain. Malangya tidak dihargai.

Ingatan saya kepada kepada UMNO BN yang menerajui kerajaan, jangan terlalu mengemis untuk mendapat simpati mereka. Jika madu yang diberi, tuba yang dibalas, segerakan perlaksanaan BM sebagai pengantar. Gunakan akta pelajaran 1996 untuk kuatkuasakan BM di semua jenis sekolah, walaupun kuasa untuk menghapus sekolah vernakular sudah tidak ada lagi, kerana peruntukan akta tersebut telah dihapuskan dengan kewujudan akta pelajaran 1996.  

Terbaharu, berlaku ‘percanggahan’ pendapat antara Ahli Lembaga Sekolah Chong Hwa dengan Dong Zong mengenai kedudukan Sekolah Persendirian Cina (SPC) di Kuantan. Ahli lembaga SPC Chung Hwa hanya mahukan satu sahaja di di Kuantan. Jika Dong Zong mahukan SPC lain, cari tempat lain, tetapi bukan di Kuantan, takut berlaku persaingan.

Dong Zong tetap berkeras mahukan sebuah lagi SPC di Kuantan. Persoalan saya, tidak cukupkah lagi apa yang ada? Perlukan SPC menjadi secina-cinanya? Chong Hwa mahukan pelajarnya mengambil SPM dan UEC sebagai menyahut seruan kerajaan. Manakala Dong Zong tidak  bersetuju dengan idea kerajaan (juga Chong Hwa) untuk menggunakan silibus kebangsaan dan medium bahasa Melayu. Chong Hwa dilarang menduduki UEC yang dikendalikan Dong Zong jika mahu mengikut syarat kerajaan.

Dong Zong hanya mahukan UEC yang tulen. Dong Zong tidak mahu pelajarnya cair kecinaan, jika berada di Chong Hwa yang mahu bertolak ansur dengan kerajaan dalam menjunjung agenda kebangsaan.  Saya harap Kementerian Pendidikan yang baharu dapat melihat perkara ini dengan serius.  Apakah kita ingin terus lahirkan manusia yang menterbalikkan jalur gemilang seperti yang dilakukan oleh bekas pelajar UEC di Taiwan. Perkara ini tidak mustahil berlaku lagi kerana jiwa ultra kiasu mereka sudah lama bersarang dalam sanubari melalui pendidikan yang telah diperolehi. 

Lebih ultra lagi, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) sebelum ini bersungut mengenai komposisi dalam senarai anggota kabinet yang didakwa tidak banyak membariskan wakil daripada kaum Cina dalam untuk menyelesaikan masalah mereka. 

Persoalan saya, di manakah kita berada? Perlukah sangat menteri Cina untuk jaga orang Cina? Adakah selama ini menteri Melayu tidak menjaga orang Cina? Siapa yang perlu menjaga siapa?  Siapa yang harus mengenang budi dan membalas jasa siapa? Di China dan India, siapakah yang mewakili Cina (India) Muslim di sana untuk mendengar masalah mereka? Sedarkah kita betapa beruntungnya bukan Melayu di negara bertuah ini? Apa yang ada Melayu dan bumiputera, tidak terdapat pada diri mereka hari ini?

Dengan sebab itu, saya amat risau idea menjadikan BN satu parti. Kita mungkin bersangka baik. Orang lain bagaimana? Bahayanya, apabila undian dijalankan, sudah tentu undi UMNO (Melayu) hanya ada satu, berbanding 12 wakil parti komponen yang lain. Hanya UMNO sahaja yang akan bercakap soal kepentingan Melayu (Islam). Itupun jika semua faham. Ada segelintir dalam UMNO yang telah mati hati Melayunya kerana dikaburi oleh wang yang digula-gulakan oleh ultra kiasu.

Selain itu, apa yang tergambar dalam fikiran ultra kiasu ini? Bila idea ini dibangkitkan, ultra kiasu tanpa melihat kedudukan mereka, mengeluarkan kenyataan, Timbalan Perdana Menteri (TPM), paling kurang mesti ada tiga iaitu TPM mewakili Sabah Sarawak, Cina dan India. Yang peliknya, orang Sabah dan Sarawak tidak pula kedengaran membincangkannya dengan serius! Kenapa ultra kiasu di Semenanjung begitu obsess dengan jawatan TPM? Kenapa tidak sebut sahaja perlu ada jawatan 3 jenis PM?

Dalam kepala otak mereka, tidak ada perkara lain, soal bangsa, bangsa, bangsa. Bagaimana dengan orang asli dan etnik minoriti yang lain? Berapa banyak jawatan TPM hendak diwujudkan untuk memuaskan hati semua pihak. Pada saya, yang paling layak untuk jadi TPM adalah, orang Melayu, orang Asli dan wakil Sabah Sarawak. Titik. Kedudukan mereka begitu jelas. Mereka layak menjadi TPM untuk Malaysia, kerana mereka tahu dan faham sejarah Malaysia. Mereka menyahut agenda kebangsaan dan BM mereka tip-top. Yang lain belum tentu.

Cuba intai-intai perbahasan ultra kiasu dalam dalam parlimen selepas ini. Kalau boleh, kita tidak mahu dengar lagi kata-kata; “tuan speaker, dengan izin”. Hanya kerana mereka tidak terjumpa atau terlintas perkataan BM.

Sebagai menghormati negara ini berasaskan kepada ketuanan Melayu dan Islam, tidak salah jika  jawatan PM dan TPM hanya dikhususkan untuk orang Melayu (Islam). Jawatan lain, kongsilah dengan bangsa lain. Perkara ini adalah biasa dan lumrah. Apakah bukan Melayu tidak belajar daripada Singapura. Pernahkah jawatan menteri kanan (perkhidmatan awam) diserahkan kepada orang Melayu walaupun Singapura itu negara berasaskan ketuanan Melayu (Islam). Janganlah hipokrit.

Jika benar BN nak dijadikan satu parti. Perlu ada formula. Apa yang penting PM dan TPM mempunyai sifat negarawan. Setakat ini saya hanya dapat lihat sifat ini ada pada orang Melayu (Islam), orang Asli dan bumiputera.  Bukan setiap etnik diwakili  melalui perlantikan sebagai TPM. Saya yakin selepas bosan jadi TPM, mereka menuntut untuk menjadi PM pula. Sekarang ini memanglah mereka berkata kononnya tidak berminat.  

Kesimpulannya, pada saya, tidak perlulah mengeluarkan kenyataan atau mendabik dada apabila dilantik menjadi menteri, seraya berkata; “saya adalah menteri kepada Malaysia, bukan hanya kepada UMNO BN”. Sudah difahami. Semestinya apabila dilantik menjadi menteri, kita akan kepunyaan Malaysia atau negarawan. Itupun bukan bermakna, kita perlu cairkan diri kita untuk meraikan orang lain. Agenda Melayu (Islam) mesti diteruskan. Jati diri mesti diperkasakan. 

Melayu tidak boleh hanyut dalam arus sekular. Hati Melayu tidak boleh mati. Ini kerana bangsa lain, tidak pernah cairkan identiti mereka atas semangat 1Malaysia. Misalnya, aktiviti belia dan sukan. Identiti atau jati diri apakah yang akan mengakari? Di manakah kedudukan kebudayaan kebangsaan, cara berpakaian dan sebagainya. Tidak cukup sekadar menyanyi lagi IM4U. Tidak ke mana, jika kita tidak bertegas dalam soal jati diri.
 
Prof Madya dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Ketua Program

Progra Pengajian Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan

Fakulti Pengajian Pengurusan dan Pertahanan

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia