(Sinar Harian 4 Jun 2012)
Perbincangan mengenai PerdanaMenteri (PM) bukan Melayu masih hangat.
Pengerusi parti ultra kiasu menegaskan, selagi hidup, beliau akan terus berjuang
untuk memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri. Walaupun
agak mustahil, semangat ultra kiasunya tidak pernah luntur. Saya memuji sikap seperti
ini. Tetap pendirian dan tidak pernah berputus asa. Adakah sikap ini ada pada kita?
Wahai umatku ambillah iktibar.
Lanjutan itu, presiden parti ultra kiasu parti komponen Barisan Nasional
(ultra kiasu dalam) mencabar ultra kiasu sebenar (luar) dengan berkata,
sekiranya pemimpin ultra kiasu ‘potong’ (masuk Islam) sekalipun, beliau tidak akan
dapat menjadi PM. Nampaknya pandangan ultra kiasu dalam ini lebih ekstrem
daripada ultra kiasu sebenar. Menggunakan istilah ‘potong’ dan memandang rendah
terhadap mereka yang memeluk Islam adalah satu penghinaan.
Saya fikir orang Melayu tidak ada masalah untuk menerima mereka
yang baru ‘potong’ jika ‘sipotong’ ini memahami sejarah dan biasa dengan cara
hidup Melayu. Mengikut pengalaman saya, mereka yang diistilahkan ‘potong’ ini mudah
mengadaptasikan cara hidup mereka dengan perkitaran seperti mengamalkan budaya
Melayu dan berbahasa Melayu sebagai mana termaktub dalam perlembagaan maksud
Melayu itu sendiri, Perkara 160 (2). Walaupun mereka boleh menjadi ‘Melayu’
tetapi rata-rata mereka tidak mahu menjadi Melayu.
Yang menjadi masalah dengan kedua-dua ultra kiasu ini adalah,
mereka langsung tidak mahu dikaitkan dengan Melayu (Islam). Memakai baju Melayu
dan bersongkok adalah haram bagi mereka. Mereka lebih suka memakai pakaian
barat seperti jacket, tie dan sebagainya. Mereka sanggup mendedahkan apa
jua bahagian yang tersurat dan tersirat, asal tidak memakai baju kurung atau dikaitkan
dengan apa jua berkaitan Melayu. Pendek kata, menjadi Melayu walaupun seketika adalah soi (istilah hokkien) bermakna
sial, sebab low class.
Maka tidak hairanlah jika ada perancangan, memastikan orang Melayu
ini tidak ke mana-mana. Pastikan Melayu tidak maju. Jika orang Melayu sudah
pandai berjalan, pastikan orang lain sudah boleh berlari. Maka tidak hairanlah
jika rasuah terus berleluasa. Ultra kiasu akan terus menyuap orang Melayu
dengan wang haram seperti rasuah, supaya Melayu menjadi malas dan mengamalkan
cara hidup mewah (kaya) seketika dengan jalan pintas.
Apabila perkara ini sudah menjadi budaya, maka hancurlah Melayu
satu masa nanti. Saya harapkan orang Melayu sedar akan perancangan ini. Jika
tidak, mereka akan merana di bumi sendiri. Sebab itulah saya mengingatkan
kepada Melayu yang berkuasa, polis, kastam, penguatkuasa dan sebagainya. Jangan
mudah terpedaya dengan rasuah yang nikmatnya hanya seketika. Tindakan tegas
mesti diambil terhadap mereka menjalankan aktiviti haram seperti penyeludupan
dadah, mercun, arak, judi, kelab malam, pelacuran dan sebagainya.
Rata-rata kita lihat, penangkapan
hanya dibuat sekali sekala dengan publisiti diberikan besar-besaran akan
kejayaan menumpaskan sindiket itu dan ini. Sedangkan yang dilepaskan begitu
banyak setelah dirasuahkan. Misalnya, bila penyeludupan dadah itu dilepaskan,
siapakah yang menjadi mangsa. Sudah tentu orang Melayu. Lihatlah sendiri
statistik penagihan dadah di negara kita, siapakah jaguhnya? Jumlah yang
dirasuahkan sudah tentu tidak setimpal dengan keuntungan berkali lipat dengan
terlepas mereka itu melalui perniagaan haram itu. Kita yang dirasuahkan hanya
kaya seminggu atau sebulan, tetapi mereka yang dilepaskan kaya seumur hidup
hingga beberapa generasi.
Beginilah bijaknya
ultra kiasu-ultra kiasu luar dan dalam (Lim dan Chua) berstrategi untuk mencapai
matlamat mereka. Nampak bergaduh, tetapi bersatu dalam senyap. Saya melihat pertikaian
antara kedua-dua ultra kiasu hanyalah
lakonan. Matlamat sebenarnya adalah untuk memberikan mesej kepada Umno
dan mereka yang berkuasa. Bila mana Umno melihat ia sebagai satu ancaman, maka Umno
mulalah memberi. Pemberian Umno itulah kemenangan kepada kedua-dua ultra kiasu
ini.
Pemimpin ultra
kiasu dalam mencabar parti ultra kiasu luar dengan mengemukakan persoalan adakah
mereka akan melantik bukan Melayu memegang jawatan Menteri Kewangan,
Pertahanan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Pelajaran sekiranya Pakatan
Rakyat memerintah kerajaan pusat? Untuk siapakah mesej ini. Perkara ini bukan baru.
Ia telah dibangkitkan sekian lama.
Sudah tentu isu-isu
yang didebatkan perlu diambil perhatian oleh kerajaan, tidak kiralah siapapun
menang. Kerana mereka tahu kerajaan sekarang dalam keadaan terdesak. Mengimbau
kembali perdebatan sebelum ini, isunya berkisar kepada isu pendidikan. Saya yakin
selepas ini isu masih sama, cuma ia akan ditambah dengan perjawatan dalam kabinet.
Perjawatan tersebut melibatkan lebih
banyak kuasa.
Saya amat
mengharapkan debat kali ini akan berlangsung dalam bahasa Melayu berbanding
bahasa ibunda. Paling tidakpun menggunakan bahasa Inggeris supaya semua rakyat
Malaysia boleh memahaminya. Apatah lagi kedua mereka bukanlah produk SJKC. Apa
masalahnya menggunakan bahasa Melayu?
Semua sedia maklum
bahawa jawatan-jawatan penting kabinet di atas, telah disandang oleh orang
Islam sejak sekian lama, walaupun tidak dinafikan beberapa jawatan tersebut ada
disandang bukan Melayu selepas merdeka. Mesej semua ultra kiasu ini adalah,
adakah kerajaan akan memberikan posisi jawatan strategi ini kepada mereka melalui
permainan politik ini?
Umum mengetahui bahawa
majoriti kerusi parlimen di Malaysia adalah dimenangi oleh Umno dan parti bumiputera
yang lain. Sepatutnya Umnolah yang menguasai majoriti kerusi kabinet. Tetapi
kerusi menteri dan timbalan menteri tetap diberikan kepada bukan Melayu
berasaskan kepada kuota.
Sedangkan kita
tahu kerusi yang dimenangi bukan Melayu komponen BN ditandingi dalam kawasan
majoriti Melayu. Di Kawasan majoriti Cina, parti ultra kiasu akan menang dengan
majoriti besar. Maknanya kemenangan parti komponen BN adalah undi ihsan orang
Melayu. Sepatutnya, mereka lebih turut memperjuangkan sedikit agenda Melayu.
Ini tidak, mereka menjadi juara ultra kiasu. Agenda bangsa menjadi agenda
utama. Bacalah permainan licik ultra kiasu.