Bila Peguam Negara mendahului
kerajaan ultra kiasu pun bertwist
Pengiktirafan Tommy Thomas terhadap UEC penghinaan kepada KPM
BELUM lagi selesai Pasukan
Petugas Dasar UEC (PPDUEC) yang dilantik oleh Kementerian Pendidikan, untuk
membuat kajian mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu UEC sekolah
persendirian Cina, tiba-tiba Peguam Negara, Tommy Thomas, telah membuat
kenyataan mengiktiraf sijil itu.
Peguam Negara minggu lalu
mengeluarkan kenyataan bahawa Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang
Malaysia mengiktiraf UEC sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan
Malaysia (STPM) dan A-Levels.
Anggota PPDUEC yang telah
dilantik pada 29 Oktober 2019, diketuai oleh Pengasas Pusat Kajian dan
Dokumentasi Pementasan Tradisional Malaysia (Pusaka), Eddin Khoo Bu Eng selaku
pengerusi; Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab
Rahim; dan Timbalan Presiden Dong Zong, Datuk Tan Yew Sing selaku ahli.
Peguam Negara turut memaklumkan
bahawa Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) akan menerima pakai kelayakan UEC
pada tahap ‘Senior Middle 3’ bermula 1 Januari 2021.
Ultra kiasu bersorak gembira
dengan keputusan itu. Mungkin juga menari twist mengikut irama ‘Let’s twist
again’. Ultra kiasu turut mengucapkan tahniah secara khusus kepada Peguam
Negara, selaku Pengerusi Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia
atas pengiktirafan itu.
Ini bermakna, pelajar
persendirian Cina boleh membuat permohonan untuk menduduki Peperiksaan Sijil
Amalan Guaman (PSAG).
Jika pembaca Ismaweb mengikut
tulisan saya sebelum ini, saya ada menyebut bahawa saya adalah salah seorang
panel pakar yang dipilih untuk memberikan pandangan di hadapan pasukan itu
hujung tahun lalu.
Pendirian saya jelas, jika UEC
mahu diiktiraf, ia mesti melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan
dikawal selia oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, bukannya Dong Zong dan Dong
Jiao Zong, seperti amalan hari ini.
Jelajah PPDEUC ini masih belum
selesai. Masih berjalan, dijangka disiapkan pada Julai tahun ini.
Ini dibuktikan melalui
kenyataan Menteri Pendidikan pada 21 Mac 2019, mengatakan bahawa keputusan
untuk menubuhkan PPDUEC adalah susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada
29 Ogos 2018.
Menurut Menteri lagi, PPDUEC
ditubuhkan untuk mengumpul maklumat dan mengemukakan syor kepada kementerian
berhubung isu pengiktirafan UEC.
Garis masa pasukan ini mengkaji
isu pengiktirafan UEC adalah dari Oktober 2018 hingga Julai 2019. Hasil dapatan
daripada maklum balas mengenai pengiktirafan UEC akan dirumuskan dan syor-syor
akan dirangka dan diangkat kepada menteri pada Julai 2019, untuk
dipertimbangkan sama ada sijil itu akan diiktiraf dalam sistem pendidikan
negara atau tidak.
Dalam fahaman saya, berasaskan
kepada kenyataan di atas, Jemaah Menteri (kerajaan) adalah institusi paling
tinggi dalam menentukan sebarang keputusan, terutama perkara berkaitan hala
tuju pendidikan negara. Pihak lain tidak boleh mendahului. Persoalannya, kenapa
Peguam Negara mendahului kerajaan?
Ya! Tidak menghairankan kerana
sebelum ini, kerajaan negeri Sarawak dan Melaka telah mengiktiraf UEC. Jika
kerajaan negeri Sarawak mengiktiraf saya masih lagi boleh menerima, kerana kita
tertakluk kepada Perjanjian Malaysia 1963. Sarawak ada hak dalam membuat
keputusan berkaitan hal ehwal dalam negerinya.
Itu pun masih kurang manis,
kerana nampak kelakar, Kerajaan Pusat belum buat keputusan, kerajaan negeri
sudah mendahului seperti yang dilakukan oleh kerajaan negeri Melaka.
Jika beginilah keadaan
cacamarbanya, saya cadangkan, tidak perlu lagi dibuat kajian. Iktiraf sahaja
UEC, bubar sahaja PPDUEC yang sedang dalam proses untuk menghabiskan kajiannya.
Membazirkan duit rakyat sahaja, seolah-olah kita sudah tahu jawapannya.
Pengiktirafan Peguam Negara
terhadap EUC pada hemat saya adalah satu penghinaan kepada KPM. Jika begitu
besar kuasa Peguam Negara mengiktiraf UEC tanpa merujuk kepada KPM, siapa
berkuasa ke atas siapa?
Negara kita akan menjadi bahan
ketawa dunia. Keadaan ini mungkin akan menjejaskan ekonomi negara, kerana
kebimbangan pelabur luar yang takut dengan dasar caca merba dan tidak tegas
sebegini.
Setiap kali bertukar menteri
(kerajaan), maka bertukar dan berubahlah sesuatu dasar. Itu belum dilihat lagi
dalam soal perbelanjaan dalam merangka sesuatu dasar, kemudian memansuhkannya,
seterusnya mengadakan yang baharu. Berapa duit habis?
Tidak salah jika mahu merubah
(memansuhkan) sesuatu perkara (dasar), kerana dunia berubah, pendidikan dan apa
jua sektor perlu selari dan mengikut peredaran zaman. Tetapi, kena pastikan
akar atau tunjangnya tidak tercabut, bersekali dengan dasar yang berubah.
Pergilah merata dunia buat
kajian, semua negara boleh dikatakan, rata-rata dasar mereka berasaskan kepada
akar dan jati diri kehidupan bernegara. Hanya ada, satu sistem pendidikan, satu
dasar bahasa negara, dan dasar-dasar lain berasaskan kepada jati diri bangsa
majoriti, dengan mengambil kira hak minoriti.
Peliknya, sistem pendidikan
negara kita tidak berlaku sedemikian rupa, sehinggakan terdapat ramai rakyat
Malaysia tidak menghayati jati diri dan kehidupan bernegara.
Lebih menyedihkan lagi, masih
ramai yang langsung tidak boleh menggunakan bahasa negara atau bahasa
kebangsaan, meskipun menjawat jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam, termasuk
Peguam Negara.
Apakah wajar seorang rakyat
Malaysia, berjawatan tinggi, mewakili negara dan kerajaan dalam setiap perkara
berkaitan dengan bidangnya, tidak dapat menjadi cerminan kepada negara yang
diwakilinya? Teramat malang sekali.
Perkara ini tidak pernah
berlaku dalam negara lain di dunia ini. Bayangkan jika Peguam Negara Thailand,
tidak tahu berbahasa Siam. Peguam Negara China tidak tahu berbahasa Cina,
begitu juga dengan Peguam Negara daripada negara yang lain.
Jika tidak percaya, kita tengok
nanti bancian yang akan dibuat sekali lagi pada tahun 2020. Untuk makluman,
bancian yang dibuat oleh kerajaan pada tahun 2010 (sepuluh tahun lagi pada
tahun 2020), rupa-rupanya ramai rakyat Malaysia yang tidak menguasai bahasa
negara sehingga terpaksa menggunakan penterjemah, untuk menterjemahkan Bahasa
Melayu ke dalam Bahasa Cina dan sebagainya.
Mereka ini tinggal di mana?
Bolehkah amalan membina negara dalam negara diamalkan dan dibiarkan? Wajarkan
mereka ini dihantar balik ke tempat asalnya? Saya pulangkan kepada semua ini
kepada mereka yang mahu mengiktiraf UEC. Juga rakyat Malaysia untuk menilai.
0 comments:
Post a Comment