https://www.ismaweb.net/2018/02/05/jangan-suburkan-budaya-jalang/
SAYA mengucapkan tahniah dan syabas kepada
pihak berkuasa Aceh yang begitu berani menghantar surat ke syarikat penerbangan
nasional negara itu, Garuda Indonesia dan syarikat penerbangan tambang rendah
seperti AirAsia dan Firefly, supaya semua pramugari wajib memakai jilbab
(tudung) bersesuaian dengan undang-undang syariah, jika mahu mendarat di
Lapangan terbang Antarabangsa Banda Aceh terletak di dalam daerah Aceh Besar.
Kelonggaran hanya diberikan
kepada pramugari bukan Islam. Mereka tidak wajib memakai tudung, tetapi mesti
berpakaian sopan. Adakah ini bersikap seperti Taliban seperti yang dilabelkan
ultra kiasu?
Berkaitan dengan isu ini juga,
syarikat penerbangan bajet Vietnam, Vietjet, memohon maaf secara terbuka
selepas menggunakan model seksi menyambut kepulangan skuad bola sepak bawah 23
negaranya dari China. Tindakan itu disifatkan sebagai pendekatan ‘murahan’ oleh
rakyat Vietnam dan netizen seluruh dunia.
Dalam kata lain, orang bukan
Vietnam bukan Islam pun berasa jijik dengan pakaian seksi dan mahukan hidup
lebih bertamadun.
Kenapa kita tidak sedemikian?
Syarikat penerbangan Vietjet
baru-baru ini, menggunakan model berbikini berhias untuk menyambut dan
menyertai kepulangan pasukan bola sepak dari China selepas kalah kepada
Uzbekistan dalam Kejohanan Bola Sepak Persekutuan Konfederasi Asia (AFC) bawah
23 tahun.
Media sosial dan beberapa
portal dalam talian berkongsi gambar aksi dalam pesawat, termasuk foto seorang
penumpang lelaki muda dipeluk rapat seorang model yang hanya bercoli dan seluar
dalam merah. Selain itu, turut didedahkan gambar model wanita yang berhias
daripada kepala ke kaki berpakaian mendedahkan badan berjalan melayan penumpang
sepanjang penerbangan itu.
Vietjet pada awalnya
menyifatkan persembahan itu disusun khas untuk menyambut pemain pasukan bola
sepak yang dianggap sebagai ‘wira negara’. Bagaimanapun, tindakan itu dikecam
hebat oleh netizen yang menggambarkan ia sebagai aksi yang mencemarkan maruah
dan penghormatan pemain negara itu.
Ini membawa kepada pengasasnya
dan Ketua Pegawai Eksekutif Vietjet, Nguyen Thi Phuong Thao yang menjadi wanita
billionaire Vietnam pertama pada 2016, mengeluarkan kenyataan memohon maaf
dalam Facebooknya.
Lebih mengujakan lagi model dan
DJ Lai Thanh Huong turut menyampaikan rasa kesal selepas mengambil bahagian
dalam persembahan itu. Dia turut mendakwa berbuat demikian selepas menerima
arahan Vietjet.
Untuk makluman, syarikat
penerbangan Vietjet sebelum ini pernah menjadi tajuk utama akhbar dan media
sosial selepas menggunakan kostum bikini untuk pramugari bagi pesawat terpilih.
Akibat daripada publisiti murah
itu, ramai kalangan netizen mengancam untuk memboikot syarikat penerbangan itu
selepas melihat gambar yang diviralkan. Ada pengguna Facebook berkata “anda
mahu menamakan semula syarikat penerbangan Vietjet kepada ‘Vietjerk’, atau
‘Vietsex’?”.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam
Vietnam (CAAV) sudah pun mengeluarkan perintah saman bernilai 40 juta dong
(AS$1,761) di atas tindakan itu. Malah, ketua krew turut disaman 4 juta dong
(AS$176).
Yang amat menghairankan saya
kenapa orang bukan Islam boleh memahami dengan baik perkara ini? Orang Islam
sendiri membiarkan, malah bersekongkol dengan membiarkan sahaja pramugari
mereka berpakaian seksi.
Lanjutan daripada artikel saya
sebelum ini mengenai surat Dr June Robertson yang ditujukan kepada pramugari
merah tambang murah, saya pun terus membuat perbandingan pakaian pramugari
syarikat penerbangan seluruh dunia. Memang ternyata, tidak ada uniform seseksi
pramugari merah kita.
Boleh dikatakan semua syarikat
penerbangan, skirt mereka berada di bawah paras lutut dan dada mereka tertutup
sopan. Kenapa pramugari merah begitu singkat dan ketat sehingga boleh menampak
seluar dalam? Saya terus mencari jawapan. Apakah kita mahu menghidupkan budaya
jalang?
Ada orang berkata don’t judge a
book by its cover. Tetapi itu buku. Ini bukan buku, tetapi soal maruah wanita
atau perempuan… people can judge you only by your cover. Jangan salahkan
Robertson apabila beliau menilai pramugari kita melalui cara mereka berpakaian.
Pakaian mencerminkan
keperibadian seseorang. Jika seseorang berpakaian sopan, maka khalayak akan
menilai bahawa kita dalam kalangan wanita yang baik-baik. But if you dressed
like a whore, you know what will people say about you…Saya harap syarikat
tambang murah ini faham.
Berpakaian dan kelihatan seksi,
mengghairahkan dan menggoda bukanlah budaya kita orang Timur, apatah lagi
dilihat dari perspektif agama Islam. Pemakaian seperti lingerie dalam pesawat
ini amat tidak sesuai sekali untuk diketengahkan menjadi tontonan khalayak
antarabangsa.
Begitu juga kita tidak
seharusnya memakai pakaian sebegitu di kawasan awam melibatkan khalayak dan
ramai kanak-kanak. Dibimbangi akan menjadi ikutan. Pelik sungguh jika syarikat
yang turut diterajui orang Islam tidak dapat memahaminya.
Menunjukkan dan menonjolkan
bentuk tubuh dengan sengaja agar kelihatan ghairah oleh lelaki adalah perbuatan
yang hina. Siapa yang tidak suka barang murah? Apalagi jika barang itu
diberikan secara percuma. Begitulah ibarat badan yang terdedah.
Ketahuilah wahai kaum wanita,
perkara ini sangat menjijikkan kerana kaum lelaki akan menjadikan kita sebagai
objek fantasi seks mereka. Sebab itu, pendekatan Islam lebih kepada mencegah.
Pendekatan Islam tidaklah ekstrem, tetapi isu ini sangat asas atau fundamental.
Mualaf pun boleh faham. Banyak
syarikat penerbangan yang berpakaian sopan, kenapa kita mahu jadi lain daripada
yang lain?
Sudah sampai masanya kita
berubah seperti keberanian pihak berkuasa Aceh. Ternyata kesannya begitu
dirasai. Respon daripada syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia dan
Firefly, buat sementara waktu penerbangannya dari dan ke Aceh akan dikendalikan
kru penerbangan lelaki sahaja. Beruntunglah jadi paramugara. Bertambah rezeki.
Besar pahala pihak berkuasa
Aceh atas arahan yang dikeluarkan ini. Selepas ini semakin ramai pelancong
antarabangsa akan ke sana sama seperti dilakukan oleh pesawat Royal Brunei
Airlines (RBA). Menguatkuasakan identiti dan jati diri negara sedikitpun tidak
akan mengurangkan pelancong untuk datang. Malah, mereka lebih suka melihat
budaya dan cara hidup kita.
Saya ucapkan tahniah kerana ada
kemahuan untuk mematuhi kehendak budaya dan peraturan orang meskipun atas
tujuan perniagaan. Perkara ini akan menjadi lebih mudah jika syarikat
penerbangan ini mahu berubah untuk berpakaian lebih sopan. Saya kadang kala
kasihan melihat pramugari kita, berlagak ke sana ke mari dengan pakaian merah
yang begitu seksi. Masa bilalah mereka bersolat jika terus dengan berskirt sedemikian
rupa.
Peraturan pihak berkuasa Aceh
ini bukanlah suatu tindakan yang ekstrem. Tetapi lebih kepada mahu menjaga
martabat dan maruah wanita. Hodoh sangat apabila orang luar melabelkan kita
sebagai jalang atau pelacur, meskipun kita bukan mahu menjadi sedemikian. Ini
belum lagi menyentuh soal halal haram, sama ada rezeki halal atau pun tidak.
Bagi bukan Islam, tidak perlu
risau kerana pihak berkuasa Aceh tidak pula mensyaratkan mereka menutup aurat,
cukup dengan berpakaian bersopan. Islam mahu menjaga martabat wanita supaya
tidak berpakaian seperti pelacur seperti yang ditulis oleh Dr Robertson.
Terbaharu, laman web ultra
kiasu mengatakan, surat itu bukan Dr Robertson yang tulis. Pada hemat saya,
sama ada Dr Robertson tulis atau tidak, itu bukan soal lagi. Pokoknya, kita
mahu berubah atau tidak. Suka dilabelkan sebagai jalang atau tidak.
0 comments:
Post a Comment