Hebat
sangatkah keluaran Oxford?
Saya hairan bila sebut sahaja beberapa universiti
yang berada dalam senarai ‘ivy league’ seperti Cambridge, Harvard, Oxford dan
lain-lain, semua orang akan terkesima. Seolah-olah bila dapat masuk sahaja ke
tempat tersebut, maka menjadi orang bergunalah mereka atau hebatlah sangatlah
mereka.
Ramai juga rakyat mereka yang belajar di
sana, ke mana mereka hari ini? Adakah semua berjaya? Atau sekadar berlagak
dengan bahasa Inggeris accent orang
putih
Apa guna keluar daripada Oxford jika
jahil tentang sejarah bangsa dan agama sendiri.
Sangat menyakitkan apabila mendengar apabila ditanya wartawan kepada
seorang pemimpin mengenai kedudukan sekolah vernakular, maka pemimpin ini pun
menjawab, “jika nak tutup sekolah vernakular, maka sekolah agama pun mesti
ditutup”. Adakah ini jawapan orang keluaran Oxford? Faham atau tidak, erti dan
makna perlembagaan? Jika tidak faham, sila bertanya kepada yang faham. Menyamakan
sekolah venakular dengan sekolah agama, adalah perbandingan yang amat dangkal.
Sangat meloyakan lagi apabila seorang
anak muda daripada sebuah parti politik sanggup membuat memanggil wartawan
dalam sidang akhbar semata-mata untuk memberitahu bahawa beliau sanggup menolak
tawaran biasiswa melanjutkan pelajaran ke Oxford demi untuk negara. Wahhhh!
Hebatnya!!!.
Terkedu saya, perlukah kepada sidang
akhbar perkara yang sangat bersifat peribadi. Lebih hebat lagi ketua ultra
kiasu memuji, beliau adalah bakal pemimpin atau menteri Malaysia pada masa
hadapan. Sesiapa yang dapat menghidu kelicikan ultra kiasu, pasti ada beberapa
sebab ultra kiasu melakukan sedemikian. Ultra kiasu tidak akan mengangkat anak
Melayu sewenang-wenangnya.
Pertama, ultra kiasu tidak akan memuji atau
mengangkat seseorang jika tidak ada terselit sesuatu yang menjadi kegemarannya.
Antaranya adalah sifat liberal. Sebab itu, orang Melayu yang menyertai parti
mereka dalam kalangan yang liberal. Mahu menghalalkan apa yang diharamkan.
Contoh, pesta arak, seks bebas dan sebagainya. Jika ada pemimpin yang bercakap
inilah hak asasi manusia, itulah yang paling disukai ultra kiasu.
Kedua, ultra kiasu tidak akan mengangkat
Melayu yang suka kepada Islam. Kepada mereka, Melayu yang suka kepada Islam
akan menjadi ancaman kepada mereka. Islam akan menjadi barah kepada parti ultra
kiasu. Sebab itu, jika ada dalam mereka yang menyertai parti ultra kiasu
bertudung atau berpurdah, itu bukan sesuatu yang menghairan. Cuba salami hati
budi mereka, pasti dalam kategori antara faham dengan tidak agama Islam yang
menjadi anutannya. Ini kerana orang yang faham Islam tidak akan menyertai ultra
kiasu.
Ketiga, ultra kiasu sangat obsess dengan
orang Melayu yang bersifat Malaysian Malaysia, Malaysia untuk orang Malaysia.
Tidak ada lagi hak istimewa orang Melayu dalam perlembagaan. Semuanya sama rata
dan sama rasa. Mereka yang kuat memperjuangkan perkara 3-12 (Islam), perkara
152 dan 153 (bahasa dan hak istimewa Melayu) dalam perlembagaan, tidak ada
tempat dalam parti ultra kiasu. Ultra kiasu sangat suka jika pendidikan Melayu
diinggeriskan, tanpa mengusik sekolah vernakular.
Keempat, kebanyakan mereka yang duduk
dalam parti ultra kiasu dalam kalangan Melayu yang jahil. Masih mengekalkan
tabiat buruk seperti minum arak dan suka kepada pergaulan terlalu bebas. Lelaki
dan perempuan sudah tidak boleh beza. Sebab itulah mereka amat menyokong pesta arak
dibuat secara terbuka walaupun ditentang oleh majoriti umat Islam. Sepatutnya,
mereka bersama menyokong cadangan iaitu jika mahu minum arak, lakukanlah di
tempat yang tertutup, mandilah sepuas-puasnya.
Kelima, tidak ketinggalan ultra kiasu
juga suka dan sedang memancing orang
agama untuk mempertahankan partinya menggunakan hujah al-Quran dan Hadis. Saya
teruja untuk melihat, sejauhmanakah beliau mampu untuk mempertahankan kerajaan
yang diterajui parti ultra kiasu ini? Saya ketawa beruk, apabila seorang
pemimpin PAN berkata, ultra kiasu tidak akan dapat menjadi Perdana Menteri
negara ini. Begitu juga menjadikan hasrat negara ini negara Kristian adalah
sesuatu yang mustahil kerana mereka tidak akan mendapat dua pertiga dan tidak
mendapat perkenan raja-raja Melayu.
Jahil sungguh pemimpin Melayu ultra
kiasu ini. Memanglah mereka tidak akan menjadi Perdana Menteri. Mereka tidak
akan mengisytiharkan negara ini negara Kristian. Jika mereka berbuat demikian,
makin singkatlah hayat politiknya. Apa yang mereka akan lakukan apabila
mendapat lebih kuasa ialah dengan menghalalkan segala perancangan Kristian,
untuk memurtadkan lebih ramai orang Melayu dan mengkristiankan bukan Melayu Islam.
Berapa ramai orang Cina dan India yang sudah dikristiankan mereka. Sekarang
mungkin kesannya tidak nampak. Jangka panjang, pasti akan dapat dirasaikan, ditambah
dengan dalam kalangan Melayu yang tidak ada jati diri. Apakah kita masih buta
bagaimana mereka mempolitikkan isu kedai dobi mesra Muslim seperti yang saya
ulas minggu lalu.
Sebab itu, hari ini ultra kiasu amat
memberahikan Perdana Menteri Melayu dalam kalangan ultra kiasu yang boleh
menjadi boneka mereka, yang jahil dan yang liberal. Termasuk anak muda yang
mendakwa menolak tawaran melanjutkan pelajaran di Oxford atas semangat sayang
dan cinta negara.
Jika sayalah, dengan tawaran tersebut,
sudah lama saya pergi. Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negara China. Menuntut
ilmu itu amat mulia berbanding dengan berpolitik yang belum tentu terjamin dan
penuh dengan kekotoran. Ramai orang lain yang tinggal yang sanggup berkorban
untuk negara. Apakah beliau menganggap beliau seorang sahaja sanggup berkorban
apa sahaja? Tidak mungkin seorang anak muda sanggup berjuang dengan tangan
kosong tanpa mendapat apa-apa habuan.
Satu lagi, apa jaminan selepas balik
daripada Oxford, kita akan menjadi lebih hebat? Mark Zuberkerg, gagal di
Harvard, hari ini beliau seorang yang begitu hebat. Justeru, ada apa dengan
Harvard?
Mendiang Lim Goh Tong tidak pernah ke
tempat tersebut, hatta sijil sekolah rendah pun tiada, tetapi dia mampu
menerokai bukit Genting sehingga Genting Highland menjadi pusat pelancongan
dunia. Mendiang dan perniagaan keluarga tersenarai dalam 10 terkaya Malaysia.\
Begitu juga dengan Syed Mokhtar Bukhari,
sampai SPM sahaja, berjaya menjadi menerajui syarikat konglomerat dan
disenaraikan dalam 10 terkaya di Malaysia.
Dalam kehidupan ini, bukan soal di mana
tempat kita belajar. Tetapi lebih penting adalah attitude dan aptitude.
Attitude berkaitan dengan sikap manakala aptitude pula berkaitan bagaimana kita
dapat menggunakan segala kelebihan yang Allah berikan untuk kebaikan diri dan
sejagat.
Inilah sikap orang Cina yang saya puji.
Kenapa hari ini ramai Cina yang berjaya di Malaysia walaupun bilangannya tidak
seramai Melayu? Orang Cina tidak mahu gagal di bumi orang. Sebab itu mereka
berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya. Mereka tidak ada masa untuk membuang
masa, melepak, sembang kosong, merempit dan banyak lagi tabiat membuang masa.
Peliknya, kenapa orang Melayu yang dianugerahkan oleh Allah dengan agama Islam,
tidak menjadi lebih baik daripada itu? Tidakkah dengan Islam menjadi anutan
menjadikan ia lebih baik? Elok juga kita muhasabah.
Justeru, masuk Oxford atau tidak,
bukanlah jaminan berjaya atau tidak. Oxford bukan segala-gala. Namun demikian,
jika ada yang terlalu berbangga dengan Oxford, saya harap mereka menghadam
beberapa berikut:
Pertama, belajarlah sejarah Malaysia
yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu. Jati diri ini tidak boleh
dipadamkan dan mesti didendangkan sentiasa. Tujuannya supaya jati diri tidak
mati. Jika mati jati diri ini, maka akan keluarlah kenyataan atau pendapat yang
pelik-pelik. Inilah yang paling disukai ultra kiasu. Orang inilah yang akan
dicanangkan bakal Perdana Menteri Malaysia.
Kedua, lanjutan daripada itu, kenapa
sejarah ini telah melakarkan sebuah perlembagaan yang meletakkan status Islam,
Melayu (bahasa dan hak istimewa) dan Raja di tempat yang tinggi, unsur tradisi
yang sangat terpelihara dan mesti dipelihara. Ultra kiasu tidak suka kepada
Melayu yang berpegang kuat kepada unsur tradisi ini.
Ketiga, perbaiki diri meningkatkan jati
diri dengan mempelajari ilmu agama agar tidak menjadi jahil. Sekadar boleh
sembahyang lima sehari dan menghafal beberapa ayat al-Quran, masih belum cukup.
Dalamilah al-Quran dan hadis agar tidak hanyut dengan arus liberal yang semakin
mempengaruh dan menghimpit. Jika kita mampu bertahan dan tidak mudah
diperalatkan, maka tatkala itu saya tabik dengan keluaran Oxford.
Keempat, keluaran Oxford mesti pandai berhujah dan
mampu untuk berhadapan serta menundukkan sifat ultra kiasu yang wujud pada
rakyat Malaysia. Antaranya, dalam kalangan anggota akhbar berbahasa Inggeris
yang menggunakan lambang bintang dan akhbar Cina yang rasis. Akhbar ini dan
ketua pengarang sangat bahaya. Mereka
membawa agenda ultra kiasu dan liberal, yang mahu menjadikan negara ini
Malaysian Malaysia, sekular, liberal, berpesta arak dan judi, serta tidak ada
lagi jati diri dan identiti Melayu dan Islam.
Akhirnya, saya merayu kepada rakyat
Malaysia, supaya menilai seseorang bukan berasaskan kepada kelulusan atau
Oxfordnya. Tetapi nilaikan melalui neraca iman dan takwa. Dalam kata lain,
mempunyai attitude dan aptitude positif yang boleh membawa negara ini ke arah
lebih baik serta berjati diri. Dapat menjaga rakyat dan negara ini berpaksikan
kepada perlembagaan yang menjadi tunggak kehidupan bernegara.
Profesor Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan
Lanjutan
Universiti Sultan Zainal Abidin
0 comments:
Post a Comment