(Sinar Harian 5 Jan 2015)
Keputusan terburu-buru kerajaan negeri Sarawak
melarang saya memasuki bumi kenyalang ini sudah tentu amat mengecewakan, juga
merugikan. Sebelum ini, saya bebas sahaja memberikan ceramah di sana. Kebanyakannya
atas jemputan masjid, majlis daerah dan wakil rakyat.
Saya adalah saya, dulu sampai sekarang. Boleh
tanya kepada penduduk Sarawak yang mengikut ceramah selama ini, adakah saya
menanamkan politik kebencian antara kaum, semangat ekstremis dan apa jua
konotasi yang negatif? Jawapannya, saya
pasti, TIADA. Kebanyakan berpuas hati dengan ceramah saya. Kita amat
profesional dan menghormati budaya dan sensitiviti setempat. Masuk kandang
kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.
Kita adalah pendakwah, sampaikan walau satu ayat,
bukan berpolitik seperti ahli politik. Bermuka-muka. Cakap lain, buat lain. Setiap
kali saya ke Sarawak (Sabah), saya banyak menekankan soal meraikan kepelbagaian
dalam Islam.
Islam tidak beranak di kawasan orang Islam. Tetapi
lahir dan berkembang di kawasan orang bukan Islam. Bermula dari seorang, Nabi
Muhammad SAW yang membawa Islam, berkembang hebat, sehingga seluruh Tanah Arab
menerima Islam, sehinggalah ke seluruh dunia hari ini.
Jika Islam menanamkan politik kebencian atau
melakukan kekerasan, sudah tentu bukan Islam tidak akan memeluk Islam. Islam
tidak akan berkembang. Tetapi, hakikat berlaku sebaliknya. Hikmah, kelembutan, keamanan
dan contoh teladan, menjadikan bukan Islam tertarik dan seterusnya memeluk
Islam. Terkini, aktor kacak barat, Liam Neeson, dikhabarkan akan memeluk Islam,
meninggal agama Katholiknya. Alhamdulillah.
Hingga ke hari ini, walaupun agama Islam, hanya
baharu lebih kurang 1400 tahun, penganutkan sudah mencecah 2 billion, nombor
dua populasi terbesar dunia selepas Kristian (2000 tahun), begitu juga agama
lain yang telah wujud lebih dari 3000 tahun.
Pendek kata, Islam adalah agama yang termuda,
selepas Kristian. Apakah Islam boleh sampai ke tahap ini jika mengambil
pendekatan bermusuh dan membenci? Semua ini saya faham dengan jelas.
Inilah intipati setiap kali saya berceramah di
Sarawak mahupun Sabah. Juga, setiap kali saya memberikan syarahan kepada
pelajar, saya selalu mengambil contoh Sabah dan Sarawak sebagai model
1Malaysia.
1Malaysia sudah lama dipraktiskan di sana,
berbanding Semenanjung, yang walaupun hanya ada 3 etnik terbesar, Melayu Cina
dan India, asyik bertikam lidah, tidak pernah habis, hanya kerana politik. Keharmonian
Sabah Sarawak jauh lebih baik, meskipun parti politik mereka berasaskan kaum
begitu banyak.
Apapun saya terima dengan hati terbuka keputusan
kerajaan negeri. Saya tidak rugi apa-apa pun jika tidak ke negeri tersebut.
Banyak negeri lain yang sudi menerima dan boleh kita menyumbang.
Cuma saya amat terkilan tindakan terburu-buru.
Sekurang-kurang rujuklah kerajaan pusat terlebih dahulu sama ada saya ekstrem
atau tidak. Namun demikian, saya akui
Sabah Sarawak memiliki kuasa imigresen sepenuhnya, merujuk perkara 18 dan 20, selepas
kemasukan ke dalam Malaysia 1963.
Keputusan ini adalah keputusan politik. Saya
adalah mangsa. Terus terang, saya agak marahn dengan kenyataan menteri mudanya
dan orang pejabat Ketua Menteri.
Jika tidak benarkan saya masuk, tidak mengapa,
pinggan tak retak, nasi tak dingin, kau tak nak, aku pun tak ingin. Tetapi
tidak perlu mengeluarkan kenyataan seperti mengaitkan saya dengan budaya politik
ekstrem Semenanjung. Kenapa perlu babitkan Semenanjung. Ia tidak baik untuk
pembangunan politik bernegara.
Kami, di Semenanjung tidak seburuk yang saudara
semua sangkakan. Kami tahu membezakan antara baik dan buruk, sebab kami bukan
ultra kiasu. Ya, tidak dinafikan ada yang ekstrem. Tetapi mengeluarkan
kenyataan umum sedemikian, bukan ciri seorang negarawan.
Mungkin mereka terlepas pandang, saya sebagai
seorang pendakwah dan pada masa sama saya juga adalah pensyarah yang mengkhusus
dalam bidang sains politik dan kerajaan. Saya bercakap dan menulis mengikut
bidang.
Menjadi hak saya sebagai pakar, memberikan input-input
dan ulasan politik semasa, dalam sebuah
negara mengamalkan demokrasi berparlimen. Sebab itu, saya tidak disukai dan
menjadi mangsa sekumpulan ahli politik yang pandai mengaburi mata rakyat
mengatakan mereka mewakili semua kaum dan menyeru kepada perpaduan.
Kenapa kita begitu bersikap tertutup? Kenapa kita
mendengar sebelah pihak sahaja, terutama PKR dan DAP? Ceramah saya di Sematan
adalah berkaitan Maulid Nabi. Jika saya menanamkan politik ekstrem, yang
mula-mula akan ban saya adalah kerajaan pusat di sini. Tetapi saya masih bebas
keluar masuk TV. Jadi, apa masalahnya?
Sudah sampai masanya kita perlu matang. Jika
beginilah sikap dan perangai pemimpin muda Sarawak dalam berpolitik, tidak
mustahil suatu masa nanti Sarawak akan terlepas kepada tangan pembangkang.
Untuk mengetahui saya esktrem atau tidak, sudilah
kiranya, melayari you tube yang telah diuploadkan oleh bekas pelajar saya
ketika membuat assignment Hubungan Etnik, https://www.youtube.com/watch?v=-XN3ISZvoxU.