(Sinar Harian 3 Mac 2014)
Tulisan
saya dalam Sinar Harian 24.2.14, bertajuk “Apa sudah jadi dengan Melayu”
mendapat perhatian daripada berbagai pihak termasuk seorang wartawan veteran
yang saya hormati. Kenyataan saya jelas, tidak salah masuk gereja, kerana saya
sendiri ada pergi ke sana (tokong) selepas memeluk Islam atas tujuan dakwah.
Ironinya,
isu utama yang ingin saya sampaikan, iaitu paderi yang berceramah di gereja
yang menanam kebencian antara kaum tidak pula dibahaskan. Isu gereja dan babi
yang disensasikan. Tak pe lah.
Jika
orang lain bebas memberi pandangan, apakah saya tidak boleh? Belajar bersikap
terbuka. Saya tidak takut meskipun saya masih berada dalam sistem. Kenapa kita
hanya berani selepas keluar daripada sistem? Kenapa dahulu ketika berada dalam
sistem, kita tidak berani mengkritik kerajaan, malah menjadi pembodek tegar? Adakah
ini yang Perdana Menteri mahu?
Ketika
dalam kerajaan, menikus. Bila keluar daripada sistem, seolah-olah menjadi
jeneral yang berani. Ini bukan budaya Melayu yang saya fahami, kerjanya tidak lain hanya tahu membodek, yes boss.
Saya
sendiri, telah dikenakan bermacam-macam tindakan disebabkan kelantangan ini,
adakah itu bermakna saya perlu berhenti bersuara? Tidak sama sekali. Amar makruf nahi mungkar, adalah
kewajipan yang mesti ditunaikan. Berkata benar walaupun di hadapan pemerintah
yang zalim.
Saya
hanya pertikaikan kenapa dahulu orang Melayu jarang melakukan perkara
pelik-pelik? Kenapa hari ini begitu berleluasa? Saya tidak hanya tujukan kepada
seseorang. Kenyataan saya bersifat umum. Termasuk mereka yang pergi ke Batu
Caves. Ada yang melabelkan saya sebagai
pencacai UMNO. Malangnya, saya bukannya ahli UMNO. Saya tidak dapat apa-apa
dari UMNO. Apapun label yang diberikan, ada aku kisah!
Persoalan
masuk ke gereja (kuil/tokong), belajar di sana, dan apa jua tujuan masuk ke rumah
penyembahan ini, tidak menjadi masalah, selagi kita pandai membawa diri. Namun,
ia perlu dilakukan secara berhati-hati. Tidak moleklah masuk tanpa tujuan.
Apatah lagi pergi berkempen ketika pilihan raya. Nampak sangat kita terlalu
terdesak.
Realiti
politik perkauman di Malaysia, kita ada wakil-wakil kaum, untuk setiap bangsa
dan agama. Bukankah lebih bersopan jika wakil-wakil ini memasuki kawasan
tersebut. Biarkan mereka berkempen di sana. Kenapa kita perlu pergi dan
menari-nari pula? Bukan apa, takut jadi fitnah.
Jika
ada pilihan, sudah tentu saya cuba mengelak untuk ke rumah penyembahan bukan
Islam atau pergi suka-suka. Saya tidak mahu bersuhabat.
Namun,
jika tidak ada pilihan, tidak mengapalah. Tetapi jangan ‘over’ sehingga lebih
garpu dari sudu. Jangan sampai hilang maruah diri dan jati diri.
Sama
juga isu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Dewasa ini ke mana
pun saya pergi, jarang sekali melihat atau membaca signage atau nama taman perumahan
atau kompleks membeli-belah mempunyai nama-nama kebangsaan. Rata-rata
menggunakan bahasa asing, mall sana mall sini, mont sana mont sini, park sana park sini, ainsdale, dan lain-lain. Lekeh sangatkah bahasa kita? Sehinggakan
pemaju perumahan Melayu sendiri sudah tidak yakin dengan nama-nama kebangsaan?
Apakah
produk nama-nama kebangsaan ini tidak glamour sehingga tidak laku untuk dijual?
Apakah kita mahu menjadi Singapura dan Pulau Pinang? Sekurang-kurang Singapura
masih kekalkan lagu kebangsaan dalam bahasa Melayu, Majulah Singapura. Begitu
juga command tentera mereka.
Persoalan,
di manakah peranan majlis bandaraya atau majlis perbandaran? Adakah kita
menerima bulat-bulat submission yang
dilakukan oleh pihak pemaju. Tidak ada jati diri negarakah? Atau pegawai yang
menjaga terlalu jahil kerana terpesona dengan gula-gula rasuah yang diberikan?
Setiap
negara ada identiti. Pergilah ke Thailand, Jepun dan China. Lihat papan tanda,
nama jalan, nama taman dan apa jua nama, semua ada kaitan dengan jati diri
bangsa dan negara mereka. Kenapa negara kita tidak sebegitu? Nama-nama asing
semakin berleluasa.
Saya
amat bimbang dengan tuduhan barat yang disangkal oleh Syed Hussein Alatas dalam
bukunya Motis Pribumi Malas. Barat
beranggapan faktor iklim dan lingkungan tropika yang dianggap sebagai punca
kemalasan orang Melayu. Iklim sedemikian, jangkitan penyakit serta kemewahan
para pemimpin mereka telah menyebabkan rakyat menderita sehingga menjadikan
Melayu beku tanpa cita-cita.
Adakah
mereka yang berada di majlis perbandaran sudah sedemikian rupanya? Syed Hussein
menyangkal dengan berkata, pribumi atau Melayu sebenarnya bekerja keras untuk
hidup. Mereka rajin dan mahir dalam bidang masing-masing. Sebagai bangsa yang bermaruah,
mereka tidak bersedia menjadi alat pengeluaran kaum kapitalis yang mahu
melayani sebagai hamba abdi.
Saya
mahu Melayu buktikan kata-kata Syed Hussein. Melayu perlu keluar dari
lingkungan kemalasan. Melayu mesti sedar dan kuat jati diri serta menjadi
berani sama ada berada dalam sistem atau tidak. Jangan hanya berani selepas
pencen atau selepas tidak ada kuasa. Jika tidak, kerjanya membodek sahaja.
Jika
tidak Melayu tidak akan ke mana-mana. Melayu akan terus diperalatkan untuk
kepentingan lain. Orang lain sudah kaya raya. Melayu masih lagi
merangkak-rangkak. Kenapa? Fikirlah sendiri.