Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Thursday, July 18, 2013

DAP parti chauvinis dan kurang ajar

6:53 AM Posted by RIDHUAN TEE 31 comments


BERITA HARIAN 17 JULAI 2013

Baharu sahaja saya membahaskan kepentingan subjek teras universiti seperti, Kenegaraan Malaysia seperti yang dititahkan oleh Pemangku Raja Perak, tiba-tiba satu lagi subjek teras universiti yang lain, Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS) dipertikaikan oleh ahli parlimen DAP, pada 11 Julai 2013 yang lalu.

Subjek ini bukan sahaja mengajar tamadun Islam seperti yang didakwa, tetapi juga tamadun China dan India. Kenapa tamadun Islam sahaja yang dipersoalkan? Sedarlah Melayu dalam DAP, keluarlah dari parti perkauman ini. DAP adalah musuh Islam.

Beliau begitu berani menggesa Kementerian Pendidikan supaya menarik balik subjek ini sebagai subjek wajib kepada pelajar IPTA dan IPTS, kerana menurutnya tidak memberi manfaat kepada pelajar. Apakah beliau telah melihat silibus ini sepenuhnya? Jika tidak, pergilah mengaji?

Ternyata beliau amat jahil dalam memahami subjek ini. Selaku ahli parlimen dan juga seorang doktor perubatan, beliau sepatutnya menyelidik terlebih dahulu. Bukan membuat tuduhan semborono. Lagipun parti DAP selalu mendakwa mereka parti semua kaum. Ternyata parti ini amat chauvinis. Mereka tidak sepatutnya berada di bumi bertuah ini.

Selaku ketua program subjek teras universiti, TITAS bukanlah subjek tamadun Islam sepenuhnya, tetapi telah diadunkan tamadun dunia yang terutama tamadun China dan India. Pada ultra kiasu ini, mengajar tamadun Islam tidak boleh, tetapi mengajar tamadun China dan tamadun India tidak mengapa? Pemikiran rimba apakah ini?

Saya masih ingat, dahulu bila jam 8.00 malam semua saluran televisyen akan menyiarkan berita dalam bahasa Melayu. Malangnya, kita bagi peluang kepada mereka membaca berita dalam bahasa ibunda pada waktu perdana tersebut. Bila kita mahu ubah, maka mengamuklah ultra kiasu ini. Bila hak mereka terancam, mereka melalak. Kita menjadi kelam kabut dan terus tunduk. Akhirnya, mereka dapat apa yang sepatutnya mereka tidak berhak dapat. Hak kita pula semakin terhakis dan tidak mustahil hilang. Orang Melayu terus diam dan ikut sahaja keputusan pemimpin. Masihkah kita buta?

Orang Melayu tidak pernah bisingpun tamadun China dan tamadun India yang wajib diajarkan. Pelajar Melayu terima seadanya bagi menambah ilmu dan kepentingan memahami bangsa lain. Inilah sifat melayu yang amat saya puji.

Peliknya bangsa lain tidak mahu cuba belajar tamadun bangsa lain, terutama tamadun Islam yang menjadi teras agama orang Melayu. Kenapa perkara sebegini boleh terjadi bagi mereka yang telah berjaya mengaut segala keuntungan di bumi bertuah ini? Kita tidak berjaya melahirkan bangsa Malaysia yang bersyukur. Sebalik mempunyai cita-cita jahat yang terselindung.

Ingatan saya, jangan terus menerus mencabar kesabaran Melayu Islam. Buruk padahnya nanti.

Jika benar pun subjek tamadun Islam diajar? Apa salahnya? Islam adalah agama persekutuan dan agama majoriti penganutnya. Apakah salah bukan Islam mempelajarinya untuk kepentingan masa hadapan. Bukan Melayu sepatutnya lebih memahami agama Islam anutan majoriti orang Melayu Islam sebelum memahami bangsa lain. Itu adalah lebih baik untuk integrasi nasional. Kecualilah jika ahli parlimen tersebut bercadang untuk berhijrah ke negara lain. Kenapa kita begitu beriya-iya belajar tamadun barat, tetapi bukan tamadun Islam (Melayu)? Nampak sangat beliau memandang hina kepada orang Melayu.

Beliau berkata, universiti terkemuka di dunia, tiada subjek berkaitan dengan agama yang diwajibkan kepada pelajarnya. Bagaimana ia dapat membantu seseorang yang sedang belajar untuk menjadi doktor, peguam ataupun jurutera? Kenapa ia diperlukan di Malaysia? Persoalannya, kenapa perlu dibanding dengan universiti lain? Di manakah kita tinggal?

Mentang-mentang beliau belajar di luar negara, jangan memperlekehkan cerdik pandai IPTA dan IPTS di sini. Latar belakang negara ini berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu Islam. Ia mesti dipertahankan. Kenapa nak samakan universiti Malaysia dengan universiti lain seperti universiti tempat ultra kiasu itu belajar.

Akhirnya, semakin bertambah ramai ultra kiasu dilahirkan. Saya ingatkan setelah sekian lama merawat pesakit, sikap beliau semakin terbuka. Rupanya bila menjadi ahli parlimen ultra kiasu, keadaan semakin buruk. Saya harap pesakit-pesakit Islam berhati-hati berjumpa doktor perubatan sebegini. Mungkin elok juga menjalankan praktis di negara China yang lebih sesuai kerana masyarakatnya bersifat homogenous. Tidak perlulah berada di sini jika tidak mahu mengenali tamadun orang lain.

Banyak universiti di dunia yang menawarkan subjek teologi dan perbandingan agama. Tamadun Islam dikaji begitu mendalam. Jadi, hujah beliau amat dangkal selain mahu menyakitkan hati umat Islam yang semakin terluka. Jangan hanya mendengar cerita-cerita ini daripada anak-anak ultra kiasu yang ada di IPTA atau IPTS. Menteri Pendidikan ada di parlimen, tanya mereka.

Untuk makluman, kursus ini merupakan satu kursus yang memperkatakan tentang ilmu ketamadunan yang mencakupi pengenalan ilmu ketamadunan; interaksi antara pelbagai tamadun (Mesopotamia, Mesir, China, India, Islam, Barat); Tamadun Islam, Tamadun Melayu serta peranannya dalam pembinaan Tamadun Malaysia; Islam dalam Tamadun Melayu; Tamadun China; Tamadun India; isu-isu kontemporari Tamadun Islam dan Tamadun Asia; Globalisasi; dan Islam dalam proses pembangunan negara.

Seperti subjek kenegaraan, tujuan untuk memberikan pemahaman komprehensif mengenai sejarah, nilai dan aspek utama. Pertama, membina satu generasi Malaysia yang berpengetahuan dan peka mengenai isu-isu ketamadunan dan peradaban dan kedua; memperkukuh jati diri bangsa Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum dengan mengamalkan kehidupan yang bertoleransi dan bertamadun.

Selepas mengikuti kursus ini kita harapkan pelajar akan dapat memahami dan menjelaskan aspek-aspek utama tamadun, tamadun Islam dan tamadun Asia serta berpengetahuan dan peka mengenai isu-isu ketamadunan. Seterusnya memahami dan mengaplikasi pengetahuan tentang ciri-ciri tamadun dalam kehidupan bermasyarakat 
TITAS amat penting kepada rakyat Malaysia yang ingin hidup dalam masyarakat berbilang kaum. Negara lain, kebanyakan sebangsa, mungkin mereka tidak perlu mempelajari banyak tamadun berbanding kita di sini.

Saya tidak dapat bayangkan jika mereka berjaya memerintah dalam PRU14, apa akan berlaku kepada subjek agama Islam, TITAS dan sebagainya. Apakah nama Islam akan dikeluarkan daripada negara dan dinonmuslimkan? Inilah kebimbangan besar kepada saya apabila ultra kiasu ini diberi peluang memerintah.

Saya harapkan umat Islam tidak buta dengan perancangan jahat dan licik ultra kiasu ini. Yang hairan kenapa PAS membisu seribu  bahasa. Tegurlah ultra kiasu kerana mereka telah menjadi semakin kurang ajar. Apakah PAS dan PKR telah buta kerana terlalu ingin berkuasa?

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Prof Madya/Ketua Program
Program Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan
Faculty Pengajian dan Pengurusan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Sungei Besi Camp
57000 KUALA LUMPUR
MALAYSIA


Monday, July 15, 2013

Ikut Islam semua selamat

7:38 AM Posted by RIDHUAN TEE 25 comments


(Sinar Harian 15 Jul 2013)

Kebelakangan ini saya saya begitu teruja dengan pandangan beberapa orang pemimpin bukan Islam Pakatan Rakyat Selangor (exco dan bekas exco). Pertama, exco yang baru dilantik jawatan kerajaan tempatan, melahirkan kebimbangan bercambahnya kegiatan maksiat di negeri itu. Beliau mahu mengetatkan undang-undang dengan menetapkan pengurut lelaki untuk pelanggan lelaki  dan sebaliknya, boleh membendung kejadian pelacuran. Tiada wanita dibenarkan, walaupun tukang cuci.

Kedua, cadangan seorang bekas exco, agar kerajaan Selangor memperkenalkan satu undang-undang baru bagi melarang perbuatan meminum minuman keras di tempat awam. Menurutnya, enakmen itu bertujuan bagi memberi kuasa undang-undang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan polis untuk menguatkuasakan larangan tersebut di tempat berkenaan.

Katanya, undang-undang seperti itu dikuatkuasa di beberapa negara seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat yang menghalang perbuatan membawa dan meminum bahan tersebut di kawasan awam. Selain itu, beliau juga menuntut agar kerajaan mengharamkan penjualan arak murah bagi membendung gejala sosial yang semakin serius.

Syabas! atas ‘kesedaran’ ini. Saya harap negeri-negeri lain turut melihat perkara ini dengan serius. Ikutlah Islam, nescaya kamu akan selamat. Selamat dunia, selamat akhirat. Islam begitu jelas dalam memberikan justifikasi kenapa perkara tersebut diharamkan. Sebab itulah, Islam awal-awal lagi mengatakan jangan kamu hampiri zina dan arak, serta apa jua perkara yang boleh menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan. Mencegah lebih baik dari merawat.

Selain dari dua isu ini, ada beberapa lagi isu seperti judi, pusat hiburan, pergaulan bebas melampau dan sebagainya. Semua perkara ini bertali-temali. Jangan kita sangka selesaikan satu masalah, semua masalah akan selesai. Selesaikan kesemuanya. InsyaAllah, banyak kesannya. Saya harap ADUN bukan Islam itu faham.

Dalam Islam, apa yang diharamkan, jangan lihat dari sudut negatif semata-mata, seperti menyekat hak asasi manusia. Larangan atau pengharaman tersebut, perlu dilihat daripada sudut yang positif. Ada sebab musabab kenapa arak, judi, zina dan bunga-bunga ke arah itu diharamkan. Jangan kerana kita suka (syok) dengan perkara tersebut, kitapun benarkan. Atau janganlah kerana kaum sendiri yang banyak terlibat, maka kenyataan sebeginipun dikeluarkan.

Isu ini bukan isu kaum, tetapi merentasi sempadan dan batasan agama. Kegiatan pelacuran, judi dan arak bukan suatu perkara yang baharu. Bisnes ini mendatangkan keuntungan yang besar. Maka tidak hairanlah, pusat-pusat hiburan menjadi sarang pelacuran, termasuk rumah urut, sama ada urut kaki atau urut badan.

Justeru saya amat mengharapkan Pihak Berkuasa Tempat (PBT) berhati-hati apabila meluluskan bisnes seperti ini. Bukan apa, takut yang menjadi mangsa adalah orang kita.
Kita perlu belajar daripada ketegasan Ed Husic, anggota Parlimen Chifley (Australia) yang beragama Islam. Ed Husic mempertahankan tindakannya mengangkat sumpah jawatan Kabinet Australia dengan menjunjung al-Quran, sebagai Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Parlimen Kementerian Jalur Lebar di hadapan Ketua Gabenor, Quentin Bryce pada Isnin lalu.

Ed daripada Parti Buruh merupakan wakil rakyat pertama beragama Islam dikritik hebat oleh rakyat Australia dalam media-media sosial kerana tindakannya itu. Beliau yang merupakan anak kepada migran Bosnia yang menetap di Australia berkata, beliau faham kebimbangan yang dilahirkan oleh beberapa pihak, namun keputusannya jelas dan mudah iaitu berdasarkan agama yang dianutinya. Ketegasan beliau amat mengkagumkan.

Kata beliau: ''Saya tidak mahu mengangkat sumpah jawatan tanpa berasaskan agama dan dengan menjunjung al-Quran, mengukuhkan komitmen saya kepada negara dan rakyat. Tidak mungkin saya akan mengangkat sumpah jawatan menggunakan kitab Injil dan saya tidak mahu mengucapkan ikrar''.

Selepas majlis tersebut, akaun Ed di laman web Facebook dipenuhi pos-pos yang marah dengan tindakannya menjunjung al-Quran ketika majlis angkat sumpah jawatan tersebut. Pemimpin parti pembangkang, Tony Abbott berkata, rakyat perlu menghormati pilihan Ed. ''Saya menghormati keputusannya. Rakyat Australia juga perlu berbuat demikian.

Tindakan ini amat profesional. Saya amat mengharapkan pemimpin negara kita akan mencontohi sikap beliau. Tidak ada kompromi dalam perkara berkaitan dengan prinsip.

Amat malang sama sekali jika kita tunduk kepada tekanan ultra kiasu. Misalnya, isu menghapuskan Akta Hasutan 1948. Pandangan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad amat tepat. Undang-undang termasuk Akta Hasutan tidak boleh dimansuhkan semata-mata kerana desakan ultra kiasun. Jika kerajaan mahu memansuhkan dan menggubal undang-undang baru menggantikannya, kajian dan pandangan umum mesti diambil kira, selain membandingkan dengan keadaan negara lain.

Banyak kesilapan yang telah kita lakukan termasuk memansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tanpa mengambila keadaan dalam negera. Hari ini, kenapa begitu ramai yang begitu kurang ajar dan begitu berani mencabar isu-isu sensitif. Jawapannya mudah, ISA sudah tidak ada. Bayangkan selepas ini jika Akta Hasutan dihapuskan. Apa yang boleh kita lakukan apabila Islam dihina, jika bukan sekadar mengeluh…

Thursday, July 11, 2013

Kenegaraan asas patriotisme

7:22 AM Posted by RIDHUAN TEE 21 comments
Kenegaraan asas patriotisme

(Utusan Malaysia 11.7.2013) Respon kepada Titah Pemangku Raja Perak

Saya amat bersetuju dengan titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dalam majlis Syarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2013, bertajuk Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13: Permuafakatan dan Perpaduan Nasional, di Wisma Perwira ATM, Kementerian Pertahanan, baru-baru ini.

Baginda menggesa kerajaan mengutamakan pendidikan asas kenegaraan bermula di peringkat sekolah dengan menyemai semangat setia kepada raja dan negara, sesuai dengan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.

Titah baginda, kerajaan perlu mengasuh kanak-kanak melalui kurikulum serta kaedah bersesuaian sejak awal untuk turut menghormati simbol lain seperti bendera supaya tidak terus dihina seperti dipijak-pijak atau dijadikan pakaian.

Selaku Ketua Program, Program Pengajian Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, yang terlibat secara langsung mengajar dan menggubal subjek Kenegaraan Malaysia, izinkan saya berkongsi pandangan dengan para pembaca.

Idea ini telah lama dibangkitkan oleh para akademia dan penggubal dasar. Malah ada yang mencadangkan ia menjadi subjek wajib ketika peringkat sekolah rendah lagi. Tetapi ditentang hebat oleh kumpulan ultra kiasu kerana membebankan pelajar.

Pada mereka, subjek ini menggugat subjek lain dan boleh menjejaskan penguasaan bahasa ibunda. Ada yang mensyaratkan jika subjek ini mahu diajarkan, mediumnya bukan bahasa Melayu, tetapi bahasa ibunda. Malangnya, kita tidak pernah tegas. Kita terus tunduk kepada tekanan ultra kiasu. Akhirnya, subjek ini tidak ke mana-mana.

Produk yang dikeluarkan adalah jenis yang menterbalikkan jalur gemilang dan menjadikan jalur gemilang pengesat kaki dan meja. Agenda negara tidak dikuasai. Yang jelas, lebih ramai ultra kiasu dilahirkan.

Apakah subjek kenegaraan itu? Dalam konteks Malaysia, subjek kenegaraan adalah kursus yang berkaitan rapat dengan jati diri dan semangat cintakan negara. Ini termasuk memahami asal-usul, sejarah dan sistem perajaan negara ini. Kita akan menelusuri sejarah Tanah Melayu,  sehinggalah bertukar menjadi Malaysia, seperti adanya hari ini.

Nampak begitu berat. Tetapi ia boleh dipermudahkan, bersesuaian dengan peringkat persekolahan. Pendek kata, semuanya telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan suatu ketika dahulu. Persoalannya adalah, mahu dilaksanakan atau tidak? Atau terus melayan tuntutan ultra kiasu. Amat malang sama sekali, sesuatu perkara dilakukan bukan disebabkan keperluan negara, tetapi sekadar memenuhi tuntutan orang lain. Akibatnya, agenda negara tergendala. Kita terus melahirkan rakyat yang tidak pernah bersyukur. Lebih dahsyat, melahirkan mereka yang kufur nikmat. Memburuk-buruk negara sendiri di luar negara.

Untuk makluman, kursus Kenegaraan Malaysia adalah satu kursus wajib untuk semua pelajar di Institusi Pengajian Swasta (IPTS) di Malaysia. Manakala, di IPTA agak berbeza sedikit. IPTA diwajibkan mengambil Hubungan Etnik dan subjek Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS). Subjek Kenegaraan Malaysia boleh diadunkan mengikut kesesuaian sesebuah universiti dengan mengambil kira roh subjek kenegaraan tersebut. Kursus ini dikawal selia Lembaga Akreditasi (MQA) yang mana skop dan sukatan pelajaran adalah mengikut piawaian yang ditetapkan oleh MQA.

Matlamat utama kursus Kenegaraan Malaysia ialah untuk melahirkan rakyat yang setia dan cinta kepada negara, berwawasan, bangga sebagai rakyat Malaysia. Dengan harapan, akan lahir rakyat Malaysia yang mampu menghadapi cabaran ke arah mencapai kesejahteraan hidup serta dapat menghayati peranan Malaysia di arena antarabangsa, menumpahkan taat setia tanpa berbelah bahagi.

Selain itu, liputan kuliah turut melibatkan perbincangan topik-topik penting. Antaranya adalah zaman prasejarah Malaysia, kehebatan Tanah Melayu sebelum penjajahan, zaman penjajahan, kebangkitan nasionalisme, kebangkitan pejuang Melayu menentang penjajah, perjuangan ke arah kemerdekaan, demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, sistem dan struktur pentadbiran negara, unsur-unsur penting perlembagaan, dasar-dasar kerajaan dan cabaran dan sebagainya, mengikut kesesuaian.

Pendek kata, antara objektif yang ingin dicapai adalah:

·i) Memahami sejarah bangsa dan negara serta perkembangan masyarakat dari aspek sosio-budaya, politik dan ekonomi.

ii) Mempertingkatkan kesedaran, kepakaran dan semangat ingin melibatkan diri dalam usaha mempertahankan kedaulatan undang-undang dan menyumbang ke arah pembangunan Negara.

iii) Menghargai usaha dan sumbangan ke arah pembangunan Negara.

iv) Menghargai keperibadian bangsa dan berbangga menjadi rakyat Malaysia

Subjek ini amat penting dalam untuk melahirkan rakyat yang patriotik, taat setia dan cintakan negara serta tidak belot. Mereka sanggup mempertahankan negara habis-habisan sehingga ketitisan darah yang terakhir. Semuanya ini perlu bermula dengan mesti celik sejarah. Jika lagu negaraku pun tidak dihafal dan tidak disebut dengan betul, bagaimanakah kita boleh pergi lebih jauh daripada itu?

Ketika bertitah, baginda melahirkan kebimbangan kita akan muncul lebih ramai individu seperti pengguna Facebook dengan nama Melissa Gooi, yang baru-baru ini ditahan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong akibat kejahilannya tentang fungsi raja-raja di negara ini. Orang seperti ini amat ramai di negara kita. Siapakah harus dipersalahkan? Kita tidak pernah bertegas, malah mahu menghapuskan Akta Hasutan 1948.

Justeru, sudah sampai masanya, subjek kenegaraan ini diwajibkan bermula daripada sekolah rendah, menengah, sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi. Susunlah kurikulum mengikut kesesuaian tahap umur dan pengajian.

Sebenarnya subjek kenegaraan itu adalah sejarah. Malangnya di peringkat rendah, subjek sejarah langsung tidak diajar. Cuma diperingkat menengah sahaja ia diajar dan seterusnya disambung ke peringkat universiti.

Itupun masih ada yang merungut kenapa subjek ini diajar di peringkat pengajian tinggi. Subjek ini dilihat sebagai beban kepada pelajar-pelajar. Lebih menyedihkan lagi, di peringkat universiti di tempat saya bekerja, ada yang mencadangkan supaya subjek ini digugur dan digantikan dengan subjek sejarah ketenteraan. Kumpulan ini tidak tahu bahawa subjek kenegaraan itu memayungi subjek ketenteraan. 

Kini, program kami sedangkan menggubal subjek sejarah ketenteraan negara untuk disesuaikan dengan subjek kenegaraan Malaysia. Alhamdulillah, dengan kepimpinan baharu universiti, kami mengharapkan fungsi subjek teras universiti ini dapat difahami dengan baik.

Apa gunanya kita berjaya melahirkan tentera yang pandai berkawat dan berdisiplin, jika mereka buta sejarah dan tidak ada semangat kenegaraan. Sebab itulah, pasukan kami cuba menggabungkan semua ini, agar pegawai tentera dan awam yang lahir, bukan sahaja patriotik, tetapi pada masa sama menghayati sejarah kenegaraan dan ketenteraan yang berteraskan Islam. Mudah-mudahan, jika mereka gugur, mereka terdiri dari kalangan yang syahid.

Kita tidak mahu melahirkan rakyat Malaysia atau pegawai tentera yang jahil sejarah dan buta agama. Amat dibimbangi, jika terkorban, tidak mendapat syahid. Mana tidaknya, ada yang tidak solat, tidak berpuasa, menolak agama yang memayungi kehidupan dan sebagainya. Ada yang mementingkan disiplin daripada agama. Lebih malang lagi ada yang berbangga dengan menghisap rokok dan curut.

Kesimpulannya, sejarah negara ini yang berasal daripada nama Tanah Melayu mesti dikhatam dan dihadamkan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa berkecuali. Mereka perlu sedar ramai pejuang-pejuang Melayu Islam lalu yang gugur syahid mempertahankan tanah air tercinta berteraskan Islam. Pejuang-pejuang seperti Tok Janggut, Dato Mahajaraja Lela, dan ramai lagi adalah kalangan tentera Allah yang terkorban syahid mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

Malangnya, kita mahu sejarah ini dipadamkan. Kita mahukan sejarah negara bermula dengan kerjasama semua kaum untuk mencapai kemerdekaan. Kita sengaja membutakan mata bahawa tuntutan kemerdekaan telah berlaku sejak negara dijajah terutama apabila Perjanjian Pangkor ditandatangani 1874. Yang menjadi korban dan mangsa adalah orang Melayu Islam. Bukan Melayu hanya terkorban di zaman penjajahan Jepun. Itupun disebabkan oleh permusuhan sejarah bangsa yang berpanjangan dalam lipatan sejarah. Kita hanya akan berjaya melahirkan Malaysian 1st jika sistem kenegaraan ini dihayati. Jika tidak, tidak perlulah melalak tak tentu pasal menyalahkan orang lain tidak Malaysian 1st.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Prof Madya/Ketua Program
Program Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan
Faculty Pengajian dan Pengurusan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia