Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, May 13, 2013

PRU13: Muhasabah buat semua

7:10 AM Posted by RIDHUAN TEE 34 comments


(Buka Minda Sinar Harian 12 Apr 2013)

Keputusan PRU13 telahpun diketahui. Saya tidak dapat menganalisis satu persatu. Seperti yang saya simpulkan minggu lalu, keputusannya tidak memihak kepada Islam dan umatnya. Kita asyik meraikan orang lain. Kita asyik bergaduh, sebelum, semasa dan selepas pilihan raya. Seolah-olah tidak ada kerja lain. Keadaan terus merugikan. Orang lain mengaut keuntungan dari kelemahan kita.

Semua orang buat tidak betul, kita sahaja yang betul. Lebih meloyakan apabila masing-masing begitu ghairah untuk menang menuju Putrajaya. Akhirnya, dengan kuasa Tuhan, Putrajaya telah pun ada penghuninya. Terimalah dengan lapang dada. Tunggu lagi 5 tahun, lagipun bukan lama. Kenapa perlu buat kecoh, demonstrasi sana sini. Cuba ditakdirkan, PR yang menang, Apakah mereka akan melakukan perkara yang sama?

Paling penting, apa yang kita dapat belajar selepas PRU13? Orang yang minda kecil sahaja yang suka menyalah orang lain. Orang berminda besar mesti mencari jawapan kenapa tsunami itu berlaku dan memikir cara untuk mengatasinya. Apatah lagi jika bergelar negarawan.

Pertama, UMNO BN yang berjaya menerajui kerajaan mesti sedar diri dan buat muhasabah diri. Perlu membuat post mortem dan over haul secara besar-besaran jika ingin terus berkuasa. Jangan terlalu mencari kesalahan atau aib orang lain. Tinjau-tinjau juga aib diri sendiri.

Cari calon terbaik yang benar-benar winnable candidate untuk bertanding dalam PRU14. Mulakan dari sekarang. Bermula dari cawangan, bahagian, hinggalah ke pusat. Tidak ada masalah akhlak, rasuah, wanita, kroni dan sebagainya.

Ini termasuk perlantikan jawatan kabinet. Lantik menteri dan orang sekeliling kalangan yang benar-benar bersih. Bukan apa, kadangkala menteri tidak sombong, yang berlagak tak tentu pasal adalah orang-orang di sekeliling menteri. Itulah yang merosakkan nama menteri.

Jika tidak bersih sepenuhnya, biar nampak bersih. Maklumlah, kadang kala berlaku pertembungan antara quwwah dan amanah. Keluarga pemimpin tersebut juga tidak terlepas. Paling baik biarlah isterinya menutup aurat, kerana orang melihat apa yang kita buat, bukan apa yang kita cakap. Jika tidak percayapun bertudung itu wajib, sekurang-kurangnya berpakaian sopanlah. Lebih molek lagi, jangan terlalu mendedah perhiasan badan.

Kedua, UMNO BN mesti melatih ahli mengutamakan rakyat. Pemimpin mesti berterima kasih kepada rakyat, bukan menyuruh rakyat berterima kepada pemimpin. Tagline 1Malaysia, rakyat didahuluikan, pencapaian diutamakan mesti direalisasikan. Jika mereka terus berlagak dengan kereta mewah dan lain-lain yang mewah, tunggulah kehancurannya.

Ketiga, Sabah dan Sarawak mesti diutamakan. Kedua-dua negeri ini adalah penyelamat kepada UMNO BN, lebih dari fix deposit. Jangan ketepikan mereka sama sekali. Jika Semenanjung membangun, begitulah Sabah dan Sarawak. Kita tidak mahu dengar masih ada yang tidak ada air dan api serta kemudahan jalan raya. Wujudkan satu kementerian khas untuk Sabah dan Sarawak. Kecilkan fungsi kementerian yang bertindan lapis. Selesaikan masalah tanah adat dan lain-lain perkara berkaitan dengan bumiputera di sana.

Ramaikan ahli kabinet dan penjawat awam berjawatan di peringkat pusat. Bumiputera Sabah dan Sarawak bukan mahukan setiap etnik diwakili seperti apa yang berlaku di Semenanjung, bagai nak kiamat dibuatnya jika tidak terpilih. Bumiputera Sabah dan Sarawak hanya mahu melihat mereka ada wakil sahaja, walaupun kalangan etnik mereka yang lain.

Keempat, UMNO BN mesti cenderung kepada Islam, seperti yang dikehendaki oleh PAS untuk memikat hati Melayu yang pro Islam. Jika tidak dapatpun melaksanakan undang-undang Islam secara keseluruhan, sekurang-kurangnya ada kecenderungan ke arah itu. Jangan ambil lewa sahaja. Sikap kurang ajar MCA dan parti komponen yang lain (jika ada) terhadap Islam, hendaklah ditegur dan ditutup mulutnya cepat-cepat.

Mereka mesti sedar diri dan tahu asal-usul negara ini. Bukan Melayu mesti disedarkan antara menyindir PAS dengan agama Islam. PAS adalah parti, Islam adalah agama. Banyak perkara yang dibawa oleh PAS berkaitan perkara asas Islam.  Jangan ditolak atau dihina, hanya kerana datang daripada PAS. Lihat apa yang betul, apa yang salah, bukan menuding jari melihat siapa betul, siapa salah. Jangan tolak kebaikan walaupun datang daripada musuh. Begitu juga PAS dan parti lain.

Jangan tolak UMNO kerana namanya UMNO. Jika UMNO betul, sokong. Jika tidak, lawan. Saya tidak kata, apa yang UMNO buat, semuanya betul. Tetapi jangan mengkafirkan UMNO, kerana UMNO tidak mengkafirkan PAS. Lihat UMNO sebagai parti seagama. Kita mesti pandai juga berstrategi seperti orang lain. Ditakdirkan PR berjaya menguasai Putrajaya, saya tidak pasti kedudukan PAS dalam kerajaan ketika itu. UMNO dan PAS belajarlah bekerjasama. PAS sudah berkata, jika UMNO mahukan Islam, PAS akan dibubarkan.

Kelima, teruskan program transformasi seperti GTP, NKRA, KPI dan lain-lain lagi. Jika ada yang melibatkan projek dan tender, lakukan dengan telus. Ketepikan kroni dan rasuah. Rujuk perlembagaan dalam soal pembahagian hak kepada bumi dan non-bumi.

Akhirnya, program ke arah penyatuan nasional seperti yang diwar-warkan Perdana Menteri. Lakukan sekarang. Kita tidak boleh tolak bukan Melayu kerana mereka sudah menjadi sebahagian daripada kita. Sama ada berlaku atau tidak tsunami Cina, itu sudah tidak penting. Kita perlu bergerak ke hadapan. Jangan lihat Cina sebagai musuh, kecuali benar-benar mereka musuh.

Friday, May 10, 2013

Jangan salahkan Cina secara pukal

7:33 PM Posted by RIDHUAN TEE 64 comments

Ulasan dan analisis PRU13 ini mungkin tidak disenangi oleh sesetengah pihak. Saya mohon maaf, terimalah dengan hati terbuka. Analisis ini berasaskan kepada penyelidikan dan kajian yang saya lakukan sepanjang kempen pilihan raya, selain mengambil kira pandangan rakan-rakan Cina Muslim yang lain. Pada awalnya, sebuah akhbar harian Melayu setuju untuk siarkannya, tetapi ditarik balik di saat akhir. 

“Jangan salahkan semua orang Cina secara pukal”. Mungkin ayat-ayat seterusnya tidak disenangi oleh mereka yang mengikuti tulisan saya sebelum ini. Bacalah dengan hati yang terbuka. Ingat! BN akan menerima pukulan lebih teruk pada PRU14 jika terus menyalahkan orang lain, tanpa muhasabah diri.

Tidak semua Cina ultra kiasu seperti DAP. Ada yang sederhana kiasu dan sedikit kiasu. Kita perlu ada sedikit kiasu untuk berjaya. Tetapi jangan sampai jadi ultra kiasu seperti yang diamalkan beberapa kumpulan Cina tertentu. Tidak kurang juga orang Melayu yang bersekongkol dengannya. Mereka asyik nak menang atau cukup takut kalah.

Mereka ini akan menentang apa jua agenda nasional yang termaktub dalam perlembagaan, seperti isu bahasa, hak istimewa, agama Islam dan sebagainya. Pada ultra kiasu ini, jika agenda ini diperkasakan, identiti dan hak mereka akan menjadi semakin terhakis. Perlu dingatkan, tidak semua Cina seperti ini.

Justeru, jagalah mereka yang kurang kiasu ini. Jika kita terus mengecam Cina secara pukal, apa yang dibimbangi,  yang kurang kiasu akan menjadi ultra kiasu. Jika ini berlaku, masa depan UMNO BN dalam PRU14 akan semakin kabur, kecuali umat Islam bersatu.

Dalam sebuah negara berbilang kaum di mana majoriti dan minoriti tidak begitu ketara (55-45), suka atau tidak, kita memerlukan kerjasama dan sokongan antara satu sama lain. Sama ada berlaku tsunami Cina atau tsunami bandar atau tsunami Malaysia atau apa jua tsunami, paling penting, lakukan muhasabah diri. Jangan menjadi keadaan lebih kusut atau terlalu beremosi.  

Kita perlu rasional dalam menganalisis sesuatu isu. Sama ada Cina menyokong BN atau tidak, mereka tetap rakyat Malaysia. Mereka sudah menjadi sebahagian daripada kita. Adalah suatu perkara biasa jika Cina sokong Cina atau Melayu sokong Melayu kerana mereka sebangsa (seagama). Persoalan saya, kenapa sesama Melayu terlalu sukar untuk saling tolong menolong, malah berkelahi tidak pernah habis. Kita nampak salah orang, salah kita bagaimana?

Kita tidak boleh mengambil sikap, bila mereka mengundi BN, kita puji dan sanjung serta menerima mereka dengan baik. Namun, bila mereka menolak BN, kita keji dan kata macam-macam terhadap mereka. Ini tidak adil…tidak adil, kata penyanyi Yuna. 

Tidak semua manusia boleh dibeli dengan wang ringgit dan janji manis. Apatah lagi orang bandar. Bandar akan tetap membangun walaupun siapapun wakil rakyatnya. 

Ya, memang berlaku tsunami Cina, jangan pula ada yang menafikan. Lihat semua kerusi bandar, majoriti yang diperolehi oleh DAP amat besar sehingga ada yang melebihi dan menghampiri 50 ribu. Ini bukan lagi tsunami Cina, tetapi juga tsunami Kristian.

Saya tidak menyalahkan Cina kerana mengundi DAP kerana kita telah memilih demokrasi berasaskan pengundian pilihan raya sebagai sistem. Menjadi hak rakyat untuk memilih siapa yang disukai. Hormatilah pilihan mereka, walaupun kita rasa amat kecewa.

Biar saya memberikan satu contoh yang paling hampir. Dahulu, boleh dikatakan majoriti saudara mara saya yang tidak Islam, menyokong BN. Paling tidakpun duduk atas pagar, tidak mengundi. Kali ini tidak lagi. Mereka sudah nekad. Mereka yang dahulunya tidak berminat dengan politik, menjadi agresif dan pakat-pakat mengundi DAP atau PR.

Mereka bertindak begitu berani atau berani dalam takut. Paling takutpun, jika berlaku apa-apa duduk sahaja dalam rumah. Maka, tidak hairanlah pada malam pengiraan undi, pasaraya menjadi kosong, jalan menjadi lengang. Orang Cina pakat-pakat duduk rumah, takut jika berlaku apa-apa yang tidak diingini jika UMNO BN kalah.

Persoalannya, kenapa terjadi sedemikian? Sedangkan sebelum ini boleh dikatakan ramai juga Cina menyokong UMNO BN? Jika tidak, sudah tentu BN tidak akan kekal lama di Pulau Pinang sebelum diambilalih oleh ultra kiasu pada 2008. Marilah kita bermuhasabah, kerana minda kecil akan menyalahkan orang lain. Minda besar akan bertanya kenapa berlaku sedemikian dan cari jalan penyelesaian?

Kajian demi kajian membuktikan, rata-rata memberi jawapan, mereka sudah muak dengan UMNO BN. BN sudah disinonimkan dengan rasuah, korupsi dan kroni. Regime must change. Benar atau tidak, sendiri mau tau! Soal membalas budi sudah tidak timbul. Majoriti Cina turut menolak MCA dan Gerakan walaupun sebangsa. Pada mereka, perangai parti Cina ini  sama seperti UMNO. Di sinilah UMNO perlu buat muhasabah diri.

Selain itu, MCA pula tidak perlu menyalahkan orang lain kerana pucuk pimpinan mereka menyerahkan 3 kerusi Parlimen dan 2 kerusi DUN kepada UMNO. Jika MCA bertanding di situ mungkin hilang wang deposit. Tidakkah MCA sedar bahawa kemenangan mereka dahulu atas belas ihsan undi Melayu. Jangan terlalu berani menyalahkan UMNO bila sudah kalah. Muhasabah diri.
Kepada UMNO, kita  silap dalam memahami politik Cina. Kita ingat Cina boleh dibeli dengan jamuan babi panggang setiap hari, sepanjang kempen PRU di Pulau Pinang. Begitu juga jamuan di tempat lain, tanpa babi, atas nama bantuan 1Malaysia. Tidak ketinggalan kita tampilkan artis Cina tempatan (antarabangsa), Michel Yeoh. Tidak cukup dengan itu, kita import artis terkenal China, Jackie Chan dan PSY, Korea Selatan sebelum PRU. Ya, memang ramai Cina yang hadir. Tetapi, itu bukan petanda mereka menyokong BN.
Apapun kesannya tetap ada. Tindakan ini turut menggusarkan DAP. Sehinggakan pada malam kedua (malam sabtu) sebelum pengundian, pemimpin ultrakiasu itu terpaksa meninggalkan Gelang Patah bergegas ke Pulau Pinang, bagi memastikan orang Cina tidak terpengaruh dengan gula-gula BN.
Dalam perhimpunan yang begitu ramai, mereka pakat-pakat menyanyikan sebuah lagu Cina 80an, bertajuk wang…wang…wang. Orang Cina dingatkan supaya tidak dihinakan dengan wang. Diberi ambil, bila mengundi, pangkah PR. Inilah juga sikap Melayu Kelantan, beri kain ambil, beri gula kacau. Bila mengundi pangkah bulan.
Lebih berani lagi, lebih 100 pemimpin ultra kiasu termasuk wanita, membotakkan rambut di hadapan Tokong sebagai peringatan kepada orang Cina supaya menolak politik wang. Sama ada BN ada melakukannya politik wang atau tidak, itu soal lain. Ternyata taktik dan strategi ultra kiasu amat berjaya.
Malangnya, kita pula perasan bahawa Cina mengundi BN. Yang paling saya sedih, kita sanggup berkempen batalkan projek TNB kabel merentasi Kg Terentang, Rawang, yang telah diputuskan oleh mahkamah boleh diteruskan, hanya kerana mahukan undi Cina.  Adakah ini caranya kita mahu mengambil hati Cina.? Akhirnya Cina membuat keputusan. Prestasi BN lebih buruk daripada 2008.
Selain itu, kita mahu paksa orang Cina mengundi calon MCA yang tidak bermoral, hanya kerana ia bertanding atas tiket BN. Sekali lagi Cina rasa terhina. Misalnya, kerusi Parlimen Pandan. Rafizi Ramli (PKR) tidak menjangka majoriti yang diperolehi agak besar kerana sebelum itu ia adalah kubu BN (Ong Tee Keat).
MCA sanggup ketepikan Ong Tee Keat, bekas ahli parlimen Pandan yang diterima rakyat, hanya kerana masalah peribadi pucuk pimpinannya. Ketika Rafizi (PR) berkempen, beliau turut memuji akan meneruskan segala usaha dan kerja Ong Tee Keat selama ini. Malangnya winnable candidate seperti Ong Tee Keat diketepikan. Kita paksa orang Cina memilih pemimpin Cina yang buruk. Cina rasa terhina. Orang lain pun demikian.
Apa yang saya tahu, sepanjang kempen DAP, mereka tidak memburukkan Melayu. Mereka hanya membongkarkan penyelewengan UMNO BN. Taktik dan strategi ini sekali lagi berjaya. Kita sepatutnya berkempen membongkar penyelewengan PR. Tetapi rata-rata kempen BN saya pergi, calon-calon BN hanya menceritakan kejayaan BN masa lalu dan mahukan rakyat berterima kasih. Rakyat sudah muak dengan kempen sebegitu. Siapakah yang harus berterima kasih? Pemimpin atau rakyat?
Jawapannya, pemimpin perlu berterima kasih kepada rakyat, bukannya memaksa rakyat berterima kasih kepada pemimpin. Perlu disedari, pemimpin dipilihkan oleh rakyat sebagai wakilmya. Pemimpin tidak memilih rakyat dalam pilihan raya.

Justeru, UMNO BN perlu melakukan muhasabah diri kenapa perkara ini boleh berlaku. Sikap terlalu menyalahkan orang lain perlu dielakkan. Buktikan UMNO berminda besar dan berjiwa besar. Jangan gentar dengan tsunami tersebut.

Sebenarnya, orang Cina telah membuat keputusan sejak awal lagi, sebelum PRU 13 diumumkan. Cina tidak menolak calon Melayu (UMNO). Mereka menolak UMNO BN kerana UMNO BN didakwa parti korup oleh ultra kiasu. Benar atau tidak, sendiri mau fikir!

Cina menerima PAS bukan kerana dasar Islamnya, tetapi dasar ‘bersihnya’ orang PAS yang berpegang kepada Islam. Cina amat menghormati Tok Guru. Kehidupannya serba sederhana, berbanding orang UMNO. Orang UMNO, jangankan bergelar menteri, kadangkala menjadi ketua kampungpun sudah boleh jadi kaya. Janganlah dibandingkan dengan ketua cawangan atau ketua bahagian. Bukan maksud saya orang UMNO tidak boleh menjadi kaya. Tetapi biarlah berpada-pada, jika bergelar wakil rakyat.

Beberapa perkara yang dapat saya simpulkan apabila mengulas tsunami Cina adalah, pertama; Cina mahukan perubahan. MCA dan Gerakan sudah tidak relevan lagi, kerana MCA dan Gerakan turut sama hanyut. MCA dan Gerakan dikatakan sudah berperangai seperti UMNO yang disinonimkan membuncitkan perut memenuhkan poket.

Kedua, Cina amat berstrategi dalam berpolitik, tidak beremosi. Pada mereka, perlu ada check and balance dalam kerajaan sedia ada. Sistem dwi parti yang kuat. Jika tidak, hanya ada satu parti sahaja yang kuat, itu merbahaya seperti mana yang berlaku pada Marcos di Filipina dan Suharto di Indonesia.

Kekayaan hanya berlegar pada orang tertentu dan kroninya. Akibatnya rakyat menjadi mangsa. Rakyat terpaksa keluar ke negara lain mencari kerja. Buktinya pembantu rumah Filipina dan Indonesia berada di merata negara.

Saya tidak kata semua tindakan Cina itu betul. Cina ultra kiasu patut ditentang dan diberi pengajaran, terutama kalangan persatuan pendidikan Cina seperti Dong Jiao Zong dan sekutunya. Madu yang kerajaan beri, tuba yang dibalas. Begitu juga ultra kiasu yang telah dikayakan oleh kerajaan. Mereka bukan sahaja membawa wang keluar negara, tetapi membantu musuh melemahkan kerajaan.

Apapun berlaku, jangan hukum atau salahkan semua orang Cina. Bertindaklah seperti seorang negarawan setelah memenangi PRU13. Jagalah kepentingan semua. Jangan hukum rakyat disebabkan pilihan mereka.

Lagipun, UMNO BN mempunyai tanggungjawab ke atas Cina (juga bukan Islam yang lain). Tanggungjawab dakwah. Tegur mereka jika melakukan kesalahan. Sebelum itu, betulkan diri sendiri dahulu. Misalnya, peranan UMNO menegur MCA yang terang-terang menghina Islam dalam kempen PRU13 baru-baru ini dalam akhbar mereka.

Namun, jika UMNO sudah tidak mempercayai Cina ultra kiasu, maka carilah jalan bagaimana untuk menguatkan umat Islam, pikatlah PAS. Jangan luaskan lagi jurang perbezaan dengan memangsakan Kelantan. Berbincanglah tentang masa depan Islam. InsyaAllah, PAS akan lembut dengan UMNO. PAS pulak janganlah mengeluarkan kenyataan mahu bertindak meludah ke atas muka UMNO.Tak baik tu. Siapakah yang ajar? Nabi tidak pernah ajar. Ini namanya sudah kurang ajar.

Monday, May 06, 2013

Nasib Islam selepas PRU13

7:01 AM Posted by RIDHUAN TEE 168 comments


(Buka Minda Sinar Harian 6 Apr 2013)

Ketika artikel ini ditulis dan dihantar kepada Sinar Harian (Jumaat), kempen PRU13 masih rancak berjalan. Bermakna, apabila artikel ini diterbitkan (Buka Minda - Isnin), keputusan PRU13 telahpun diketahui malam tadi. Tahniah! Kepada yang menang. Kepada yang kalah, cuba lagi. Menang atau kalah, buatlah  muhasabah diri (parti) atau analisa SWOT perlu dilakukan bagi menilai kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman.

Analisis awal yang dapat saya lakukan adalah, siapapun yang menang, tidak banyak manfaat untuk agama Islam dan umatnya. Meskipun agama suci ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ketika kempen, kita asyik meraikan orang lain. Agenda memperkasakan Islam jarang kedengaran.

Kita lebih obses dengan tuntutan ultra kiasu. Apa yang mereka mahu semua kita beri. Nasib baik kita tidak menjanjikan bulan dan bintang. Jika tidak, itupun kita akan beri. Lebih menyedihkan, sehingga perkara yang sudah dilupakan dan tidak dituntut lagi pun kita beri. Malah, ada projek pembangunan yang sedang berjalan terpaksa dibatalkan, gara-gara mahukan undi. Apakah kita berada di landasan yang betul?

Lebih ekstrim lagi, mereka meminta supaya surat jaminan segera dikeluarkan sebelum hari pengundian. Jenis manusia apakah ini? Tidak pernah bersyukur. Ini bukan lagi ultra kiasu, tetapi sudah ultra paisi (jahat).

Pilihan raya adalah medan untuk rakyat memilih yang siapa yang terbaik, bukan memberikan bulan dan bintang kepada mereka. Negarawan sepatutnya mempertahan dan memperkasakan kepentingan semua, terutama perkara-perkara asas bernegara. Negarawan harus tegas dalam membuat keputusan, berani menghadapi risiko, selagi mana keputusan dibuat untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

PRU13 hanya alat, menang atau kalah, itu perkara biasa. 5 tahun lagi, kita bersua kembali. Apa yang penting agenda agama, bangsa dan negara mesti berjalan dan dihormati. Apa guna menang PRU13, jika agama dan umat Islam masih merempat menagih simpati di buminya sendiri.

Saya tidak dengar ketika kempen, sekolah agama diberikan keutamaan, berbanding sekolah lain (vernacular). Saya bukanlah orang agama (ustaz), tetapi saya sangat sayangkan agama, kerana itulah darah daging kita. Hidup mati untuk agama. Agama terdaulat, bangsa terdarjat, negara berdaulat. Namun, jika agama merempat, bangsa dilaknat, negara tidak berkat.

Saya teramat sedih membaca kempen MCA dalam iklan akhbar the Star sepanjang hari berkempen. Terang-terang menghina agama Islam. Walaupun ditujukan kepada PAS (PR), tetapi perkara tersebut merupakan perkara asas Islam seperti cuti pada hari Jumaat, larangan arak dan judi, pengasingan lelaki perempuan dalam kolam renang dan saloon, panduan berpakaian dan sebagainya.

Pada saya, jika Kelantan dan Kedah ingin melaksanakan perkara asas tersebut, itulah adalah hak dan wajar. Lagipun majoriti umat Islam berada di sana. Bilangan bukan Islam amat sedikit. Hak majoriti mesti dipertahankan jika itu yang mereka mahu dan disyariatkan. Bandingkan dengan minoriti Cina Islam di negeri China, adakah mereka dapat hak-hak Islam mereka dilaksanakan? Saya harap MCA sedar diri.

MCA ternyata semakin kurang ajar, mempermainkan isu ini. Mereka sepatutnya tahu membezakan antara menyindir PAS dengan menyindir Islam. Perlu dibuat berhati-hati. Jangan sampai mahu menyindir PAS, sehingga menghina Islam.

Saya harap UMNO dapat menegur rakan parti komponen ini. Sedarkan mereka, jangan sentuh kesucian Islam. MCA boleh mengkritik PAS. Tetapi, perlu diingat, jika ada perkara yang dibawa PAS merupakan perkara asas dalam kehidupan beragama, jangan sama sekali berani mempermainkan agama wahyu ini.

Begitu juga dengan PAS, agenda hudud PAS ditolak mentah-mentah oleh DAP. Malangnya, PAS sanggup berkompromi dengan mengatakan hudud hanya agenda PAS bukan agenda PR. Jika begitu, bagaimana PAS mahu melaksanakan hudud jika PR berjaya memerintah. Adakah hudud untuk orang PAS sahaja, manakala demokrasi untuk DAP dan PKR. Bolehkah negara diperintah oleh dua sistem? Sekalipun PAS berjaya dengan agenda hududnya bagaimana orang Islam yang ada dalam PKR dan DAP. Apakah mereka akan terkecuali dari hudud?

DAP dan semua bukan Islam sudah tahu, bahawa hudud bukan untuk mereka. Hudud hanya untuk orang Islam sahaja. Persoalannya, kenapa mereka masih menentang? Saya simpulkan, mereka tidak mahu apa jua perkara dikaitkan dengan Islam. Mereka mahukan negara ini menjadi sekular dan beridentitikan mereka.

Mereka sengaja memejamkan mata bahawa negara ini asalnya bertuankan ketuanan Islam dan Melayu. Melalui pemahaman agama Islam jugalah yang menyebabkan orang Melayu menerima mereka di sini dan hak-hak mereka terjamin. Jika orang Melayu tidak beragama Islam, saya tidak fikir, orang Melayu mahu menerima orang bukan Islam berada di sini. Nasib mereka mungkin sama seperti minoriti umat Islam di China dan India.

Saya ingin menasihat umat Islam, apabila berpolitik, ingat Tuhan. Umat Islam mesti tahu hak-hak mereka di bumi mereka sendiri. Apatah lagi untuk memartabatkan agama dan bangsanya. Peliknya, orang lain bergaduh juga. Namun, hak mereka terjamin dan terjaga. Kita pula, bergaduh setiap masa dan sepanjang masa, malangnya hak semakin hilang dan terhakis.