Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, July 25, 2011

Jangan jadi talam dua muka

7:08 AM Posted by RIDHUAN TEE 548 comments
Sinar Harian 25 Julai 2011

Saya membaca berulang kali dalam laman web Malaysian Insider, Malaysiakini dan Harakahdaily akan pendirian tegas kerajaan Pas Kedah untuk menutup semua premis hiburan hiburan ketika bulan Ramadhan. Tidak timbul media tersebut salah melaporkan kerana yang melaporkan berita tersebut adalah media pro pembangkang, bukannya media Umno Barisan Nasional. Saya yakin saya tidak salah dan kabur mata ketika membaca berita sebegini.

Asalnya saya amat kagum dengan tindakan kerajaan Pas Kedah. Saya ingatkan mereka akan mempertahankan tindakannya itu. Tetapi telahan saya meleset, Pas tunduk dan sekali lagi kow tow kepada ultra kiasu. Alangkah kecewanya hati ini.

Apabila penentangan bertalu-talu dilakukan oleh parti ultra kiasu, tiba-tiba pimpinan Pas bermesyuarat dan mengatakan bahawa media tersalah lapor. Saya semakin pelik dan hairan, permainan silap mata apakah ini? Sekejap boleh, sekejap tidak, sekejap ada, sekejap tiada.

Larangan melakukan maksiat di bulan Ramadan ada baiknya, dan tidak kurang implikasi buruknya. Seolah-olah dalam Islam, bulan Ramadan sahaja yang perlu jadi baik, 11 bulan lain tidak atau ringkasnya bulan Ramadan bulan ibadat, bulan lain bulan maksiat. Bulan Ramadan melahirkan mujahid, bulan lain menjadi mujahat. Islam begitu jelas dalam perkara halal dan haram. Jika maksiat tidak boleh dilakukan di bulan Ramadan, di bulan lainpun sama. Tidak timbul soal, bulan Ramadan tidak boleh, bulan lain boleh.

Akhirnya nanti, agama Islam akan dianggap sebagai agama dua alam. Agama yang ada ketika boleh melakukan maksiat, ada ketika lain tidak boleh. Apakah makna semua ini? Saya harap kita tidak menjadi orang jahil dalam memahami Islam. Cukuplah dengan salah faham terhadap Islam selama ini yang dilihat melalui perbuatan dan tingkah laku kita yang tidak Islamik, seperti isu buang anak, bapa/datuk rogol anak/cucu dan sebagainya.

Saya amat hairan kenapa kita masih lagi tidak dapat menangkap tindak-tanduk ultra kiasu. Mereka tidak akan tunduk kepada sesuatu yang merugikan mereka walaupun perkara tersebut bercanggah dengan agama anutan mereka. Agama diletak ketepi. Tetapi demi survival bangsa, mereka tetap bersatu. Tidak kiralah bilangan mereka ramai atau sedikit. Yang penting ‘hak’ mereka tidak boleh diusik langsung. Wal hal apalah sangat bilangan mereka atau hak mereka di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, teramat minoriti.

Tetapi mereka tidak mengambil kita bilangan, hak tetap hak. Inilah sifat ultra kiasu yang diwarisi sekian lama. Kita sahaja yang alpa, asyik bergaduh dan terus berpecah. Sedangkan mereka bukan lagi bersatu dalam senyap, tetapi secara terang-terang bersatu, sehati, sejiwa dan senada.

Saya mengambil pendirian pada awalnya menghormati tindakan Pas dan tidak berhasrat untuk menyindirnya, begitu juga dengan Umno. Ketika mana Pas berada di luar kerajaan, mereka begitu lantang mengkritik Umno, itu tidak betul, ini tidak betul. Namun, apabila mereka berada dalam kerajaan (membentuk kerajaan), begitu banyak dolak-dalih dan saling salah menyalah berlaku. Umno dijadikan batu galasannya.

Saya teramat ingin melihat apabila Pas memerintah, mereka akan membetulkan apa yang tidak betul. Ini tidak, keputusan mereka macam yoyo, sekejap begini, sekejap begitu. Kenapa perlu takut kepada ultra kiasu jika berada di pihak yang benar? Bukankah ini perjuangan Pas?

Parti ultra kiasu berkeras untuk keluar perikatan tiga tahun Pakatan Rakyat ekoran isu penguatkuasaan penuh enakmen melarang operasi pusat-pusat hiburan di Kedah ketika bulan Ramadan. Jika saya boleh mewakili Pas maka saya dengan tegas akan menyatakan, “silakan keluar”. Adapun menyusahkan, pergi lagi baik. Apakah kita akan ke syurga memangkah parti jelas-jelas menentang Islam dan agamanya sendiri ini?

Isu hiburan yang melampau bukan isu agama Islam semata-mata, tetapi adalah isu semua agama, Bacalah apa jua ajaran dan ajaran agama-agama di dunia ini. Tunjukkan pada saya bahagian manakah yang mengatakan hiburan melampau itu dihalalkan. Jika mereka boleh mengemukakan hujah atau ayat-ayat daripada kitab agama mereka yang menghalalkan hiburan yang melampau ini maka saya akan bersetuju agar premis hiburan ini dibuka

Jika ultra kiasu menentang perlaksanaannya di Kuala Lumpur, Ipoh dan pusat Bandar lain yang dikuasai mereka, nampaklah juga logiknya, disebabkan oleh mereka ramai. Tetapi mereka hanya sekelumit di utara dan pantai timur. Hak apakah yang mahu dipertahankan? Jika hiburan melampau (termasuk arak, judi dan zina yang terdapat dalam premis hiburan) itu dibolehkan, selepas ini suruh anak kita berhibur puas-puas sehingga ke pagi. Tidakkah kita sedar semua premis ini menjadi penyumbang kepada kegawatan sosial hari ini?

Dari dahulu lagi saya mencadangkan perlu ada formula dalam memenuhi hak dan tuntutan ini. Tetapi kita berdegil kerana kepentingan politik. Adakah wajar pusat hiburan begitu banyak sedangkan keperluannya sedikit. Begitu juga dengan pusat-pusat maksiat yang lagi seperti pusat judi, arak, dan sebagainya. Apakah kita membenarkan kewujudan premis-premis berasaskan kepada keperluan atau perasaan? Saya bimbang kita tidak hanya memenuhi kehendak mereka berasaskan kepada keperluan, tetapi kedua-duanya sekali keperluan dan perasaan yakni tuntutan hawa nafsu. Akhirnya berlaku lambakan pusat-pusat seperti ini, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan di mana-mana jua, sama ada mereka ramai atau tidak.

Menurut pemimpin ultra kiasu Kedah, “jika pusat hiburan ini ditutup maka maka habislah mata pencarian. Lagipun dalam Islam juga ada mengatakan hak orang bukan Islam juga harus dijaga dan saya harap perkara ini tidak berulang lagi. Kerajaan negeri harus mewujudkan satu badan pemantau sekiranya mahu memastikan orang Islam tidak memasuki pusat hiburan seiring dengan penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997. Badan pemantau itu boleh ditubuhkan di bawah agensi agama negeri seperti pasukan pencegah maksiat”.

Saya harap kerajaan negeri Kedah dan umat Islam tidak terpedaya dengan idea licik ini. Jika kita sediakan pasukan pemantau atau penguatkuasa, bermakna kita telah mengiktiraf dan membenarkan maksiat yang ditentang oleh semua agama ini. Berasaskan pengalaman, sebenarnya ramai juga keluarga bukan Islam yang tidak mahu anak gadis mereka menjadi mangsa premis maksiat ini. Tetapi disebabkan kita membenarkan, mereka tidak berkata apa-apa. Pusat hiburan kini telah menjadi tiga dalam satu, di situlah adanya hiburan hiburan melampau, aksi-aksi panas, perjudian, pelacuran dan sebagainya. Apakah tindakan menarik balik larangan operasi pusat hiburan benar-benar memenuhi dan menepati hak bukan Islam atau sebaliknya? Apakah tindakan kita dapat dikategorikan mencegah mungkar atau menambah lagi kemungkaran? Sama-sama kita fikirkan. Jangan jadi talam dua muka.

Monday, July 18, 2011

Jangan terperangkap permainan licik ultra kiasu

8:18 AM Posted by RIDHUAN TEE 286 comments
(Sinar Harian 18 Jul 2011)

Isu ahli politik ultra kiasu berhujah menggunakan Al-Quran dan Hadis bergema lagi. Malah kali ini lebih hebat. Ia dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Saya tidak nampak akan keperluan menggunakan hujah tersebut, kerana golongan ini sejak dari dahulu lagi begitu bongkak dengan keturunan atau lebih obsess dengan hujah-hujah dari sumber bangsanya sendiri dan sumber-sumber barat. Kenapa sejak akhir-akhir ini Quran dan Hadis menjadi mainan bibir?

Saya harap umat Islam tidak terperangkap dengan taktik kotor mereka. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk ke Putrajaya. Jika mereka tertarik dengan Islam, sudah lama mereka memeluk Islam atau bersetuju dengan suruhan dan larangan Islam, yang juga merupakan ajaran agama mereka. Kenapa tiba-tiba Quran dan Hadis dijadikan sandaran berhujah? Cubalah baca taktik ini dari sudut psikologi berbalik agar tidak tertipu. Janganlah berselindung hanya disebabkan oleh kepentingan politik sehingga tidak kenal kawan dan lawan.

Jika mereka sudah berlembut dengan Melayu dan Islam, paling tidakpun, mereka tidak segan silu untuk memakai baju Melayu dan songkok ketika pembukaan DUN atau Parlimen sebagai tanda penghormatan dan penerimaan Islam sebagai agama persekutuan dan orang Melayu Islam sebagai bangsa majoriti. Ini tidak, mereka akan mencari seribu satu alasan untuk mengelakkan diri dari memakai ‘pakaian Islam’ tersebut. Saya berani mengatakan mereka memandang hina kepada cara hidup Melayu dan Islam.

Selama inipun mereka tidak pernah menggunakan ayat al-Quran dan Hadis, kenapa tiba-tiba mereka kelihatan sudah berubah? Apakah hati mereka terbuka dan bersedia menerima Islam? Jika mereka benar-benaru tertarik dengan nilai-nilai Islam, mari kita sama-sama daulatkan suruhan agama dahulu seperti menutup aurat, mengharamkan zina, judi dan sebagainya. Saya cadangkan mereka memetik ayat Quran, soal pengharaman judi, arak, riba, zina dan lain-lain lagi.

Kenapa tidak berhujah menggunakan atau mengambil ayat Quran dan hadis dalam perkara-perkara sebesar ini yang menimbulkan kegawatan sosial? Golongan ini amat licik, mereka akan manipulasikan isu yang menyebelahi mereka, dan menolak perkara yang tidak menyebelahi mereka. Mereka sanggup korbankan agama semata-mata untuk kepentingan politik. Saya tidak mengatakan mereka sahaja yang tidak betul. Kitapun kadangkala tidak betul. Menerima sebahagian ajaran Islam dan menolak sebahagian. Sedangkan semua tahu bahawa kita perlu menerima Islam sepenuhnya.

Tujuan ultra kiasu tidak lain, untuk memukau umat Islam supaya mereka ini hebat. Selepas ini sekutu mereka akan berhujah, “Tengok! UMNOpun tidak berhujah menggunakan Quran Hadis, malah menolak Islam, bukankah lebih baik kita menyokong bukan Islam (ultra kiasu) ini”. Di penghujungnya nanti Umno yang salah, ultra kiasu yang betul.

Ini terbukti apabila ketua ulamak Pas mempertahankan tindakan ADUN ultra kiasu tersebut. Katanya, Pas berpendirian bahawa mempelajari tentang Quran dan Hadis merupakan satu tuntutan yang bukan sahaja perlu digalas oleh seluruh umat Islam, tetapi juga digalakkan ke atas orang yang bukan Islam. “Sebagai orang Islam kita seharusnya menggalakkan penganut agama lain mempelajari tentang al-Quran dan hadis untuk mengenal Islam secara lebih mendalam dan bukannya mengherdik dan bertindak di luar akhlak Islam yang akhirnya menjauhkan bukan Islam dengan Islam. Bagaimana mereka ingin mengenali Islam kiranya kita menghalang mereka untuk mendekati Islam.

Persoalan saya, jika benar-benar mereka percaya kepada Quran dan hadis sudah tentu mereka akan menyokong setiap tindak-tanduk dan dasar-dasar Pas di Kedah dan Kelantan?

Saya tidak kata ultra kiasu tidak boleh berhujah menggunakan Quran dan Hadis, tetapi saya cuba membaca di sebalik taktik mereka yang licik ini. Malah saya tidak akan halang mereka menggunakan kalimah Allah dan membaca Quran jika mereka ini sejak awal lagi ikhlas dan tidak menentang Islam. Apakah kita tidak pernah mengambil iktibar. Apabila kerajaan Kelantan mahu mengharamkan arak, judi, nombor ekor dan sebagainya, merekalah yang paling awal menentang.

Saya tidak kata Umno sudah baik. Malah masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Tetapi jika diberi pilihan antara mempercayai Umno dengan ultra kiasu. Sudah tentu saya memilih Umno. Seburuk-buruk Umno mereka tetap seakidah dan mengucapkan dua kalimah syahadah seperti kita semua. Kita tetap bersaudara walaupun dipisahkan oleh batasan politik, bangsa, bahasa dan warna kulit yang berbeza.

Saya sudah cukup masak dengan taktik mereka untuk mencairkan hati orang Melayu Islam. Mereka begitu masak dengan membaca psikologi orang Melayu. Cuma kita sahaja yang terlalu bersangka baik dan tidak mahu mengambil tahu ataupun berusaha untuk mengkaji psikologi ultra kiasu. Akhirnya, dilihat dari sudut mana sekalipun, kita tetap kalah. Mereka bersatu dalam senyap. Kita terus berperang secara terbuka.

Saya amat musykil kenapa mereka tidak berhujah menggunakan sumber agama atau ajaran masing-masing. Tidak kurang nilai-nilai baik turut diucapkan oleh Konfucius, Lau Tzu, Mencius, Buddha dan sebagainya? Kenapa Islam yang perlu ditonjolkan?

Sama ada mereka ikhlas dengan Islam atau tidak, Tuhan sahaja yang tahu. Apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah ultra kiasu tetap ultra kiasu. Sukar untuk dipercayai.

Jika ultra kiasu benar-benar yakin dengan nilai-nilai Islam mereka sepatutnya menyokong Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 - yang melarang pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan. Antara kategori hiburan yang tidak boleh diadakan sepanjang Ramadan ialah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.

Parti ultra kiasu Kedah tidak pernah bersetuju dengan larangan ini. Mereka tetap mahu pusat hiburan beroperasi tidak kira bulan apa sekalipun. Adakah mereka sensitif dengan perasaan Melayu dan Islam? Jika ini pendirian mereka, adakah wajarkah kita bersangka baik dengan ultra kiasu ini? Adakah mereka benar-benar insaf dan percaya kepada Quran dan Hadis? Janganlah kita buta semata-mata hendak menumbangkan Umno. Umno boleh datang dan pergi, begitu juga dengan Pas, kerana Umno atau Pas bukan Tuhan.

Umno dan Pas hanyalah parti politik yang diilhamkan oleh manusia atau ciptaan manusia. Ilham dan ciptaan manusia akan lenyap bila tiba masanya. Ciptaan manusia tidak akan mampu mengatasi ciptaan Allah SWT. Apa yang cipta oleh Allah SWT, dunia dan seisinya, juga akan musnah suatu hari ini apabila berlaku kiamat. Yang akan kekal hanya Allah SWT Maha Berkuasa dengan segala apa yang telah dicipta dan akan diwujudkan. Justeru, sebagai makhluk ciptaanNya, janganlah kita terlalu mendabik dada dan bongkak, sehingga tidak dapat membezakan antara saudara dekat dengan saudara jauh atau kawan dengan musuh.

Pada saya Umno dan Pas tidak penting. Apa yang penting adalah pastikan umat Islam memerintah bukan diperintah. Namakan apa jua parti yang akan wujud, selagi mana parti itu memperjuangkan dan menegakkan agama Allah SWT, menjaga umatnya dan tidak bersekongkol dengan musuh, saya pasti akan menyokong.

Belajarlah dari sejarah. Kita dapat lihat dengan jelas, apabila negara asalnya kepunyaan umat Islam dan kemudian diperintah oleh bukan Islam, betapa malangnya nasib umat Islam. Mereka bukan sahaja merempat di bumi sendiri, tetapi sampai ke peringkat ditindas, dianiaya malah ada yang dibunuh, dan jangan harap agama Islam dapat berkembang subur. Jangan pergi jauh lihatlah saudara kita di Singapura. Tidak perlu saya ulas panjang apa yang berlaku di Palestin.

Berbanding dengan apabila Islam memerintah sama ada di negara asalnya atau di negara yang asalnya bukan Islam, orang bukan Islam dapat hidup senang lenang, malah hak-hak mereka dijaga seperti menatang minyak yang penuh. Inilah keadilan Islam. Kenapa? Jawapannya, kita akan ditanya oleh Allah SWT apa yang kita telah lakukan terhadap mereka. Sejarah Islam memerintah Sepanyol memang tidak dapat dipadamkan. Lihatlah keadilan Islam yang terpancar. Malangnya hari ini, keadilan itu tidak dapat lagi dilihat kerana umat Islam telah diperintah setelah jatuhnya empayar Othmaniyyah.

Lebih malang lagi, negara-negara Islam tidak dapat memberikan contoh terbaik. Negara yang diperintah oleh umat Islam sendiri, berserabut dengan masalah dalaman dan perpecahan yang tidak pernah berkesudahan, dibelenggu dengan kemiskinan, dan menjadi umat pengguna semata-mata, bukannya mencipta. Bukan Islam akan memastikan, umat tidak akan naik atau berkuasa kembali.

Saya masih teringat kata-kata seorang ahli politik Perancis, komunis bukanlah ancaman bagi barat. Barat pernah menghadapi komunis sebelum ini, dari segi politik ketenteraan. Bahaya sebenarnya yang mengancam ultra kiasu adalah bahaya Islam. Umat Islam pernah menguasai Eropah. Umat Islam mewarisi semangat jihad yang tinggi. Islam juga memiliki peradaban hebat. Islam pernah dinobatkan sebagai tamadun besar dunia tanpa memerlukan proses pembaratan. Ini hakikat yang tidak dapat dinafikan. Perancangan licik musuh-musuh Islam sudah berakar umbi beribu tahun lamanya. Tidak senang dengan kewujudan Islam, mereka tidak berdiam diri malah mengatur strategi menyerang umat Islam dari setiap penjuru. Sedar atau tidak, sasaran utama adalah pemimpin kepada umat Islam. Jangan kita buta hanya kerana kepentingan politik.

Sentimen politik kepartian kalangan kita terlampau tinggi sehingga menjadi kita buta dalam menilai saudara sendiri. Kita selalu menuduh Umno menolak Islam, tetapi kita juga tumpang semangkok dengan program-program pengislaman Umno seperti perbankan Islam, insuran Islam, pendidikan Islam, mahkamah Syariah dan berbagai lagi produk-produk Islam yang telah diperkenalkan oleh Umno. Sepatutnya Pas bertindak memperkemaskan atau memperkuatkan atau menambahkan lagi program-program Islam sedia ada. Bukannya berdolak dalih daripada negara Islam kepada negara kebajikan. Memang negara kebajikan itu adalah juga sebahagian program dalam negara Islam. Persoalannya, di manakah perjuangan negara Islam dan undang-undang Islam selama ini?

Apakah Pas yakin bahawa mereka boleh melaksanakan undang-undang Islam apabila ditakdirkan mereka memerintah nanti, jika parti ultra kiasu dan PKR tidak merestuinya. Sekarang inipun kerajaan negeri Kedah begitu sukar untuk menutup pusat hiburan ketika Ramadhan selama sebulan. Apatah lagi untuk menutup sepenuhnya. Apakah sekiranya selepas ini Pakatan Rakyat memerintah, mereka dapat melaksanakan Islam sepenuhnya atau sekadar meneruskan sahaja program-program yang dilaksanakan oleh Umno?

Saya tidak menafikan bahawa korupsi dan rasuah tidaklah begitu ketara di bawah kerajaan pimpinan Pas. Saya memuji ketelusan itu walaupun tidak sepenuhnya ia berjalan. Kroni-kroni masih lagi diutamakan terutama dalammemberikan projek-projek kepada ahli-ahli mereka sahaja termasuk perlantikan ahli majlis perbandaran dan dewan bandaraya. Justeru, sudah sampai masa kita membuat muhasabah diri.

Akhirnya, sekalung takziah saya ucapkan atas pemergian ahli parlimen Titiwangsa yang telah menyahut panggilan Ilahi terlebih dahulu. Marilah kita bersama-sama tanpa mengira parti politik, ideologi, warna kulit dan sebagainya menyedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarhamah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang solehah. Al-Fatihah.

Monday, July 11, 2011

Beza penyatuan Melayu dengan bukan Melayu

8:00 AM Posted by RIDHUAN TEE 737 comments
(Sinar Harian, 11 Jul 2011)

Saya sudah naik muak untuk mengulas mengenai Bersih kerana kita semua tahu tujuan yang tersurat dan tersirat mereka. Itupun umat Islam masih lagi buta. Masih terus mahu menyusahkan rakyat. Kepentingan politik mengatasi segala. Saya juga yakin kemenangan parti pembangkang Thailand dalam pilihan raya umum 2011 minggu lalu, menjadikan sumber inspirasi mereka, semakin nekad menguasai Putrajaya. Mereka tetap mahu berdemonstrasi.

Kemenangan parti Pheu Thai pimpinan adik bekas perdana menteri, Yingluck Shinawatra akan menjadi sejarah Thailand berperdanamenterikan seorang wanita. Apakah Yingluck boleh disamakan dengan ketua Bersih yang diperalatkan imej kewanitaannya bagi memenuhi nafsu serakah tersebut? Sama-sama kita saksikan.

Di Thailand, tindakan mereka amat professional, bila selesai pilihan raya, maka dikira selesai. Selepas itu, mereka akan tunggu 5 tahun lagi untuk membuat keputusan menukar pemimpin. Yang kalah, menerima kekalahan, yang menang meneruskan perjuangan agenda negara. Thailand tidak menghadapi banyak, kerana mereka hanya ada dua kumpulan, satu pro kerajaan dan satu lagi pembangkang.

Lagi pula, Thailand adalah negara sebangsa, 1bangsa, 1bahasa dan 1budaya, manakala Malaysia pula berbagai bangsa, berbagai bahasa dan berbagai budaya. Tidak banyak yang bersifat 1, kecuali gagasan perpaduan 1Malaysia yang cuba diketengahkan oleh Perdana Menteri. Itupun terlalu banyak disalahfahamkan dan dipolitikkan.

Dalam banyak hal semuanya mereka mahukan satu iaitu sama rata dan sama rata. Tetapi tidak dalam isu 1bangsa, 1bahasa dan 1budaya. 1sekolah tidak boleh dibincangkan kerana akan ditentang habis-habisan. Bolehkah kita mempercayai mereka untuk berdemonstrasi secara aman? Saya bimbang mereka akan mengambil kesempatan untuk memperlagakan sesama umat Islam.

Selama ini kita telahpun diperlagakan. Dendam kesumat tidak pernah habis. Kita sentiasa mencari kelemahan orang lain. Dahulu pembangkang mengutuk Umno Barisan Nasional. Kini, apabila mereka memerintah, sepatutnya mereka menjadi lebih baik dalam segala hal, tetapi nampaknya tidak banyak perubahan. Persaudaraan sesama saudara seagama diletak ketepi, yang penting kroni.

Pemilihan ahli majlis perbandaran masih sama. Cuma dibuat lebih teratur supaya tidak kelihatan seperti Umno Barisan Nasional. Dahulu mereka mencadangkan supaya pilihan raya dibuat untuk memilih ahli majlis. Namun, bila mereka memerintah, keadaan balik asal. Ahli majlis mereka mewakili parti politik juga. Mereka berebut-rebut projek dan tender untuk dibahagi-bahagikan kepada kroni-kroninya. Jangan pergi jauh, datanglah ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Kenapa jadi sebegini? Belajarlah dari bangsa lain.

Saya ingin membawa pembaca meneliti isu ini untuk dijadikan iktibar. Minggu lalu, Persatuan Editor Akhbar Cina Malaysia mengutuk hebat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Teng Chang Kim, kerana pandangannya mengkritik akhbar Cina yang disifatkan terlalu ultra kiasu seperti yang telah saya sebut sebelum ini. Teng dilaporkan berkata bahawa wartawan akhbar Cina berperangai buruk dan penguasaan bahasa Cina mereka juga tidak sebegitu baik. Teng turut membidas mereka kerana tidak dapat membezakan antara benar dan salah dalam pemberitaannya. Tanpa menyiasat maksud Teng, Persatuan akhbar tersebut terus menyerang Teng.

Saya mengikuti peribadi saudara Teng sejak dahulu lagi. Beliau agak berbeza dengan ultra kiasu yang lain. Beliau agak terbuka dan banyak bergaul dengan orang Melayu. Malah beliau tidak segan silu memakai songkok ketika pembukaan parlimen dan tugasnya sebagai speaker. Banyak buku Islam yang dibacanya. Dengan sebab itu, dia agak tidak disukai oleh sesetengah pihak terutama akhbar ultra kiasu ini dan golongan ortodoks ultra kiasu. Maka tidak hairan jika beliau tidak terpilih untuk mengetuai parti ultra kiasu negeri Selangor.

Ketua Pemuda MCA seperti cacing kepanasan membidas saudara Teng untuk mencari publisiti murahan. Saya harap umat Islam di kawasan parlimen Ayer Hitam dapat membuka mata siapa wakil rakyat mereka sebenarnya. Sepatutnya akhbar Cina perlu melakukan muhasabah diri. Apakah selama ini pemberitaan akhbar mereka benar-benar membina negara bangsa berasaskan kepada gagasan 1Malaysia atau akhbar ini mengapi-api semangat perkauman. Mereka melabelkan akhbar Utusan Malaysia rasis. Akhbar mereka sahaja yang tidak rasis. Mereka tidak boleh disentuh langsung, keballah katakan. Baca artikel saya sebelum ini bertajuk rukun politik Cina bagaimana mereka menjaga bangsa mereka.

Bukan seperti kita, tidak pernah habis bertelingkah dalam apa jua isu hatta sampai ke dalam surau masjid. Peristiwa tiba-tiba makmum bangun menempelak khatib ketika sedang membaca khutbah solat Jumaat dua minggu lalu di masjid Ubudiah, Ampang, Selangor, menarik perhatian saya untuk memberikan sedikit pandangan. Khatib begitu syok sendiri dengan khutbah ciptaannya. Yang ‘menyeronokkan’ adalah khatib tersebut turut sama menempelak makmum tersebut dengan mengatakan dia jahil ketika berkhutbah. Rupa-rupa makmum dan khatib dua kali lima sahaja.

Sepatutnya, khatib tersebut tidak melayan sikap makmum tersebut dan meneruskan khutbahnya. Ini tidak, khatib tersebut turut tumpang semangkok. Saya tidak mengatakan tindakan makmum itu betul. Salah tetap salah. Saya mengharapkan khatib tersebut bertindak betul, rupanya salah.

Insiden seperti ini bukan perkara baharu, tetapi ia berlaku di masjid-masjid yang dikuasai oleh parti-parti tertentu. Mereka menjadikan mimbar untuk membalas dendam, bukan untuk mendidik. Kita semakin berpecah. Kita sepatutnya tidak mengambil pendekatan mengajar, tetapi mendidik dengan mengetuk pintu hati mereka. Jika Pas benar-benar ikhlas, sepatutnya Pas mengambil pendekatan mendidik Umno melalui nilai-nilai Islam yang ‘diperjuangkan’, bukannya menghamburkan kata-kata dan sindirin-sindiran tajam yang menyakitkan hati.

Saya amat pelik kenapa kita tidak selantang ini apabila berhadapan dengan musuh kita yang begitu jelas menentang kita dan mengenepikan agenda nasional. Baru-baru ini saya berforum dalam Majlis Pengetua Sekolah Malaysia yang dihadiri oleh hampir 1000 orang pengetua. Yang saya hairan, Majlis Pengetua Sekolah begitu besar persatuannya, tetapi kenapa suara mereka tenggelam dengan NGO yang lebih kecil seperti Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong. Ketiga-tiga persatuan ini mempunyai kaitan langsung dengan pendidikan Cina, tetapi suara mereka boleh menggegarkan negara. Manakala, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia dan begitu juga Majlis Guru Besar Malaysia (Sekolah Rendah), nampak hebat, tetapi tiada taring. Bukan mereka tidak mahu atau tidak boleh bersuara, tetapi suara mereka disenyapkan. Mereka terpaksa ikut kata boss.

Majlis Pengetua dan Majis Guru Besar ini sepatutnya diberikan kebebasan untuk berhadapan dengan Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong, baharulah terserlah kepengetuaannya dan kegurubesarannya. Saya harap istilah ini boleh digunakan.

Inilah beza penyatuan antara Melayu dengan bukan Melayu. Bukan Melayu bersatu atas perkara asas atau perkara berkaitan hidup mati atau masa depan mereka. Manakala penyatuan kita, usahkan perkara besar, perkara kecilpun kita tidak boleh selesaikan. Malahan terus berpecah seolah-olah tidak ada penghujung. Lebih menyedihkan lagi tindakan kita sering menimbulkan beban dan masalah kepada rakyat jelata.

Demonstrasi haram Bersih meninggal kesan yang amat mendalam. Sejak hari khamis saya tidak dapat pulang ke rumah sehingga hari Ahad, saya hanya bermalam di hotel kerana terperangkap dalam kesesakan jalan yang amat dahsyat, sehingga saya mengambil keputusan berpatah balik bagi mengelakkan ceramah-ceramah hujung minggu yang telah diaturkan tidak tergendala. Terpaksalah saya memakai baju yang kotor selama dua hari disebabkan oleh tidak ada lagi pakaian Bersih.

Lebih hiba lagi mendengar ada yang terpaksa menunda tarikh perkahwinan yang telah diatur sejak setahun yang lalu, dan banyak lagi perkaraa penting terpaksa dibatalkan serta kerugian yang ditanggung gara-gara demonstrasi ini Bersih ini. Hati begitu tersentuh membaca berita ada seorang yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut. Takziah saya ucapkan, moga roh allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT, tidak kiralah sama ada penyokong Bersih atau tidak. Paling penting kita tetap umat Islam tetap bersaudara, walaupun mungkin kita berbeza.

Seperti yang selalu saya sebut, yang menjadi menjadi mangsa adalah umat Islam. Saya tidak nampak begitu ramai bilangan bukan Islam yang turun. Rata-ratanya adalah kulit sawo matang. Kalau adapun bukan Melayu, sengaja dialihkan kamera ke sana supaya ada warna warninya, wal hal sebenarnya tidak. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu. Sesama sendiri bercakaran. Orang lain bertepuk tangan. Silap-silap haribulan, Melayu hilang ditelan zaman. Hanya kerana sengketa yang tidak berkesudahan, tanpa penyelesaian. Titik pertemuan masih jauh kelihatan. Perubahan yang dilaksanakan tidak banyak menguntungkan.

Misalnya, apabila Kerajaan memberi biasiswa atau bantuan kepada orang Melayu (Bumiputera), maka tindakan ini dimanipulasikan dengan kata-kata memberi tongkat. Namun demikian, apabila bukan Melayu mendapat hak yang sama, maka ia dikatakan meritokrasi dan mereka berhak? Tidakkah kita sedar berapa ramai pelajar bukan Melayu yang dihantar di universiti di luar negeri melalui yayasan-yayasan berasaskan kaum yang diwujudkan dan sejumlah wang parti-parti politik perkauman yang tidak kurang banyaknya. Ini tidak termasuk individu-individu bukan Melayu yang terkaya membantu anak bangsa mereka.

Pendek kata, ada atau tidak Dasar ekonomi Baharu (DEB), bukan Melayu langsung tidak rugi. Tindakan cuba melonggarkah DEB itulah yang semakin merugikan anak bangsa ini.

Saya ingin memetik kata-kata A. Kadir Jasin, apabila orang Melayu (bumiputera) berjaya dalam perniagaan dia dituduh kroni. Tetapi apabila korporat Cina dan India menjadi raksasa kerana kontrak, francais dan lesen kerajaan ia dikatakan meritokrasi? Siapa yang memegang monopoli gula sampai hari ini atau menjadi kaya raya kerana lesen judi, lesen TV satelit, lesen Independent Power Producers (IPP) dan kontrak berbilion ringgit membina hospital, kereta api laju dan sekolah? Tidak ramai yang ingat bagaimana Tun Abdul Razak Hussein terpaksa “menyelamatkan” Malayan Banking pada tahun 1965 apabila pengasasnya, mendiang Khoo Teck Puat, disingkirkan atas tuduhan menyalahgunakan wang bank itu kepada syarikat persendiriannya di Singapura?

Begitulah juga dengan pengambilan oleh IPTA. Apabila keutamaan diberikan kepada Bumiputera, bukan Melayu merungut. Tetapi apabila Kerajaan membenarkan penubuhan IPTS yang majoriti pelajarnya bukan Melayu, berasaskan kaum maka tiada siapa pun nampak bahawa keuntungannya tidak kepada Melayu, tetapi kepada bukan Melayu.

Hari ini, terdapat 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang di punyai oleh kerajaan, tidak termasuk 24 politeknik. Bilangan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pula melebihi 500 buah. Atas desakan, kerajaan telah membuka pengambilan bukan Bumiputera yang semakin ramai ke IPTA dan kemasukan ke IPTS yang terus dimonopoli oleh bukan Bumiputera, bilangan yang lebih ramai mendapat pendidikan pengajian tinggi adalah bukan Melayu. Kerajaan turut membantu IPTS yang dipunyai oleh bukan Melayu (parti politik), tidak cukup dengan itu bantuan melimpah ruah turut diberikan oleh syarikat swasta bukan Melayu kerana ada pelepasan cukai.

Kesimpulannya, saya yakin, suatu hari ini, kita tidak akan mampu lagi bersaing, apabila apa yang sedia ada semakin hilang. Misalnya, IPTA tidak akan mampu bersaing dengan IPTS kerana bangsa yang kuat ekonominya pasti hanya akan membantu universiti bangsanya sahaja. Ringkasnya, apa jua peristiwa yang berlaku, sebanyak manapun demonstrasi Bersih, dan polisi yang digubal, orang Islam akan terus rugi, yang untung adalah bukan Melayu. Inilah yang membezakan antara konsep penyatuan Melayu dengan bukan Melayu.

Monday, July 04, 2011

Bersih dalam kotor!

6:59 AM Posted by RIDHUAN TEE 512 comments
Sinar Harian 4 Jul 2011

Seperti yang saya sebut dalam program Bicara Rakyat, secara langsung TV1, Jumaat lalu, dalam sistem demokrasi, rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat melalui pelbagai saluran. Tidak salah berdemonstrasi kerana ia dibenarkan oleh perlembagaan. Asas demokrasi adalah kerajaan dari rakyat, untuk rakyat. Tetapi satu perkara kita harus ingat, jika kebebasan tersebut boleh menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan rakyat, maka demonstrasi perlu difikirkan kembali. Apakah sudah tidak ada altenatif lain pada zaman globalisasi ini dalam menyuarakan pendapat selain berdemonstrasi?

Kenapa tidak dibuat demonstrasi tersebut secara tertutup seperti di stadium? Kenapa harus di jalanan? Adakah suara demonstrasi di kawasan tertutup tidak didengari? Pada saya, di mana jua demonstrasi diadakan, impaknya pasti ada, tidak semestinya di jalanan. Tempat yang paling sesuai untuk berdemo adalah di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat terutama di Selangor, berhampiran Kuala Lumpur. Bandaraya Kuala Lumpur tidak sesuai disebabkan oleh kepadatan dan kesesakan yang telah sedia ada.

Saya masih teringat minggu lalu ketika berlangsungnya acara Kuala Lumpur Marathon 2011, bermula dari jam 5.30, apabila sesetengah jalan ditutup, kesesakan jalan raya amat dirasai. Kebetulan saya berada di dalam bas ketika itu daripada Pulau Pinang. Lebih satu jam bas berlegar-legar di sekitar bandaraya kerana pemandu tidak dapat menurunkan penumpang. Akhirnya saya turun sahaja di tepi jalan untuk balik ke rumah sebagai persiapan untuk memberi ceramah motivasi di Memorial Tun Hussein Onn, pada jam 10.30 pagi. Ceramah motivasi tertunda kerana semua peserta terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Dalam hati saya berkata, ”ini baru Marathon, bayangkan jika demonstrasi Bersih menjadi kenyataan”.

Saya cadangkan jika Marathon yang sama hendak diadakan tahun hadapan, cukuplah sekadar mengelilingi Tasik Perdana (Botani) berkali-kali, tidak perlulah menutup banyak jalan sehingga berlaku kesesakan dan menyusahkan rakyat. Masa dan tenaga (termasuk petrol) banyak terbuang. Tidakkah masa yang terbuang itu lebih sesuai dimanfatkan untuk anak isteri di rumah. Bayangkan juga, tenaga petrol yang digunakan akibat kesesakan. Jika dikumpulkan semua tenaga yang terbazir dan disedekahkan kepada fakir miskin dan ibu tunggal, bukankah banyak pahala yang dapat kerana dapat membantu mereka yang memerlukan.

Lagi pula terdapat begitu banyak tempat strategik yang lain seperti Stadium Melawati, Shah Alam atau mungkin juga Bukit Jalil, kenapa Bersih masih berdegil untuk berada di tengah Bandaraya Kuala Lumpur? Saya yakin, mereka tahu, jika dibuat di luar Kuala Lumpur, sambutannya sudah pasti tidak memberansangkan.

Mereka tidak mahu melihat seolah-olah demonstrasi tidak ada orang. Maka untuk melihat ramai, medan orang ramai digunakan. Dengan harapan, dengan berada di sana bersama orang ramai, mereka akan kelihatan ramai. Maka tercapailah hasrat untuk menghimpun ratusan ribu orang. Wal hal yang datang tidak seberapa. Inilah laba politik yang ingin dicapai. Mereka mahu memperlihatkan demonstrasi tersebut benar-benar mendapat sambutan, walaupun hakikat sebenar tidaklah sedemikian.

Saya amat mengharapkan Perkasa, Pemuda Umno dan Pertubuhan Silat Melayu, yang semuanya umat Islam yang ingin turun sama berdemonstrasi, tidak bersikap seperti mereka. Apa bezanya kita jika sama seperti mereka. Dua kali lima sahaja. Amat hina sekali melihat pertembungan sesama umat Islam. Biarlah kumpulan ini ditangani oleh polis dan tentera.

Kita selalu membandingkan situasi kita dengan demonstrasi di di Thailand. Politik di sana berbeza dengan negara kita. Thailand adalah negara sebangsa, budaya dan cara hidup mereka sama. Begitu juga di Indonesia. Mereka hanya ada dua kumpulan, pro dan anti kerajaan. Berbanding kita, kita adalah sebuah negara berbilang bangsa, agama, budaya dan cara hidup. Politik kepartian amat kuat dan ekstrem. Parti politik berasaskan bangsa. Keadaan kita jauh lebih kompleks. Sudah pasti dalam banyak perkara kita tidak sehati sejiwa. Apakah kita tidak menjangka ada orang yang akan mengambil kesempatan. Wahai umat Islam! Janganlah mudah untuk diperalatkan.

Tidakkah kita terfikir dengan banyaknya perbezaan ini, ada pihak-pihak tertentu yang akan mengambil kesempatan untuk memecah-belahkan kita dengan melakukan pelbagai provokrasi. Mereka mahu kita berantakan, kerana itu adalah salah satu perancangan mereka. Kita selalu menuding jari kepada polis yang melakukan provokasi. Saya yakin di luar sana masih ramai kafir harbi yang sedang menunggu kesempatan.

Cuba buat perbandingan, sedangkan perhimpunan sukan secara tertutup pun pergaduhan berlaku macam seolah-olah tidak kenal saudara. Inikan pula perhimpunan terbuka. Masihkah kita ingat siri perlawanan bola sepak di antara pasukan negeri Kelantan dengan Negeri Sembilan dan Selangor. Kerusi stadium, trak polis dibakar dan macam-macam lagi perkara menyedihkan berlaku, termasuk kematian akibat balingan botol (Stadium Melawati). Kekecohan ini juga berlaku di hadapan tok guru. Bayangkan jika yang memimpin demonstrasi ini begitu jauh sifatnya dengan tok guru. Beliau bukan sahaja tidak ada status tok guru, malahan sikap anti Islamnya begitu terserlah ketika menjadi memimpin Majlis Peguam.

Persoalan yang tidak dapat dijawab oleh panelis PAS dalam Bicara Rakyat tempoh hari, apakah jaminan perhimpunan tersebut akan berlangsung dalam suasana dan keadaan aman? Siapakah yang boleh memberi jaminan tersebut? Apakah pemimpin Bersih begitu berwibawa boleh mengawal manusia yang katakan bilangannya begitu ramai? Bagaimana pula jika ada kalangan mereka yang mengambil kesempatan untuk mencetuskan pergaduhan? Minta maaf cakap, dalam keadaan masyarakat yang terlalu banyak perbezaannya, saya tidak percaya bahawa semuanya anggota Bersih yang turun akan bertindak seperti malaikat?

Kumpulan yang mengambil kesempatan berada di mana-mana, mereka hanya menunggu masa yang sesuai untuk mencetuskan pergaduhan. Janganlah terlalu menuding jari kepada polis. Bayangkan jika bukan polis yang mengawal keselamatan dan kesesakan jalan raya. Apa akan jadi dengan bandaraya ini.

Wahai umat Islam, jangan mudah tertipu dan akhirnya kita akan ditipu. Lagipun beliau bukan ahli politik. Jika masalah daftar pemilih pilihan raya yang menjadi isu utama. Yang sepatutnya lebih sensitif adalah parti-parti politik kerana mereka yang akan bertanding. Bukannya NGO seperti yang didakwa. Apa kepentingan NGO dalam daftar pilihan raya kalau bukan untuk mencari publisiti? Beliau cuma mahu mencari publisiti untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Kesempatan ini digunakan untuk mempopularkan dirinya. Jangan terpedaya dengan permainan silap mata ini.

Perkembangan terbaharu meyakinkan lagi saya mengapa kumpulan ultra kiasu ini harus ditolak dan tidak boleh dipercayai dan ditolak. Walaupun isu yang saya bangkitkan agak sedikit lari daripada tajuk, tetapi ia mempunyai kaitan rapat dalam menilai integriti atau meletakkan kepercayaan terhadap seseorang. Saya tidak nafikan hak rakyat untuk berhimpun. Tetapi bukan diketuai oleh ultra kiasu ini. Tuhan sahaja yang tahu sama ada mereka benar-benar ikhlas atau sebaliknya. Sudah tidak ada orang Islam lainkah yang boleh dijadikan pengantara atau rujukan? Atau sekurang-kurang carilah bukan Melayu yang begitu memahami jiwa, sensitiviti dan perasaan umat Melayu Islam? Janganlah berketuakan pengantara yang pernah menghina dan menginjak-injak Islam. Lina murtad Lina Joey dan penghinaan terhadap mahkamah syariah masih terngiang-ngiang di telinga dan amat sukar dipadamkan dalam lipatan sejarah.

Apatah lagi, saya cukup sedih apabila kehadiran 12 wakil rakyat parti ultra kiasu yang tidak mengenakan pakaian rasmi dan songkok pada Upacara Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-17. Tindakan ini boleh disifatkan sebagai ‘kurang ajar’ kerana tidak menghormati majlis. Memang benar, pakaian rasmi tidak diwajibkan, mematuhi etika pemakaian pada upacara berkenaan secara zahirnya menunjukkan seseorang itu menghormati negeri, ketuany aserta DUN itu sendiri.Tindakan, tabiat dan tingkah laku ini boleh dikatakan berlaku di mana-mana sahaja negeri mereka berada.

Jelas dan terang, pemakaian songkok pula bukan simbol agama, masyarakat di India pun pakai songkok walaupun mereka bukan Muslim.Songkok hanya melengkapkan pakaian seragam. Parti ultra kiasu sama ada di Semenanjung Sabah dan Sarawak telah lama mempersoalkan pemakaian seragam rasmi dan songkok pada upacara pembukaan persidangan kerana menyifatkan ia menafikan kebebasan beragama di samping membazir wang rakyat. Berapa sen sangatlah harga songkok dan baju Melayu berbanding dengan harga pakaian barat yang dibanggakan itu? Di Indonesia berapa ramai orang Kristian yang memakai songkok. Kenapa mereka begitu selesa sedangkan kita terlalu sensitif. Sebenarnya, kita terlalu memandang rendah kepada bangsa lain. Kita tidak mahu dipandang rendah sama. Tidakkah lebih baik kita lebih memahami Melayu daripada Mat Salleh?

Kenapa kita boleh begitu berlagak dan berbangga dengan pakaian barat blazer, jacket, dan tie tetapi, bila ada konotasi dengan Melayu kita memandang hina. Adakah ini wajar? Bila orang Melayu memakai pakaian Cina, kita seronok. Kenapa kita tidak ‘raikan’ Melayu dengan memakai pakaian Melayu. Adakah ‘budaya Melayu’ ini begitu hina?Kita begitu berbangga dengan pakaian skirt yang begitu pendek sehingga ternampak yang tersurat dan tersirat. Tetapi memandang hina pakaian yang ada konotasi dengan Islam.

Kenapa kita terlalu obses dengan bangsa yang begitu jauh dengan kita, sedangkan bangsa yang terdekat dan merupakan penduduk induk di negara ini tidak dipandang endah, malah dihina lagi? Tidakkah semua agama menganjurkan pakaitan yang bersopan? Dari mana datangnya sumber memakai yang seksi-seksi ini jika bukan dari barat? Hina sungguh kita. Sanggup ketepikan budaya masyarakat tempatan kerana terlalu obses dengan barat. Sanggup ketepikan bahasa kebangsaan, kerana terlalu mengejarkan bahasa Inggeris. Adakah tindakan ini wajar dan mampu menjamin keluhuran pembangunan sebuah negara bangsa?

Pelik sungguh, bila tiada kepentingan, mereka begitu angkuh. Namun, bila ada kepentingan, misalnya penerimaan anugerah bintang dan pingat, kumpulan muka tidak tahu malu ini, tidak segan-segan mula mengenakan ‘pakaianMelayu’.

Berasaskan kepada hujah-hujah ini, apakah kita boleh menaruh kepercayaan kepada Bersih? Tidak. Sebenarnya mereka adalah bersih dalam kotor. Nampak suci tetapi berdebu. Pada saya, selagi mana mereka tidak hormat budaya bangsa induk negara ini, selagi itulah golongan ini tidak boleh dipercayai. Mereka ini ibarat duri dalam daging atau api dalam sekam. Sentiasa mencari kesempatan atau menangguh di air yang keroh.

Saya tidak yakin demonstrasi Bersih ini akan menjadi kenyataan jika tidak disokong oleh umat Islam. Mereka tidak akan berani mengangkat muka pun jika kita tidak bersama mereka. Kenapa mereka begitu bongkak? Jawapannya, amat mudah, kerana mereka tahu, kita tidak sehati sejiwa, kita berpecah, kita terlalu mabuk kuasa, kita sanggup menabur pasir di periuk saudara sendiri, kita menikam sesama sendiri dan terlalu banyak kelemahan kita.

Peluang keemasan sebegini mungkin mereka tidak akan dapat pada masa akan datang, maka kelemahan umat Islam hari ini dimanipulasikan sepenuh untuk mendapatkan apa yang selama ini dicita-citakan. Moga dijauhkan Allah SWT daripada perancangan jahat dan licik sebegini. Wahai umat Islam! kita sudah tidak ada banyak masa, bangunlah, buka mata dan buka minda, sebelum terlambat atau nasi menjadi bubur. Yakinlah, apabila nasi sudah menjadi bubur, apa cara juga yang digunakan, bubur tidak akan menjadi nasi semula. Ketika itu orang lain sudah menjadi terlalu berkuasa. Mereka mempunyai rakan-rakan sebangsa yang begitu ramai di luar sana yang sedang ternanti-nanti untuk masuk ke dalam wilayah atau kawasan kita.

Monday, June 27, 2011

Jangan sampai terperangkap

7:21 AM Posted by RIDHUAN TEE 231 comments
Sinar Harian, 27 Jun 2011

Minggu lalu saya membahaskan beberapa ciri atau petanda bangsa yang akan pupus. Antara perkara besar yang belum sempat dibahaskan dengan panjang lebar adalah perpecahan yang amat menakutkan berlaku kalangan umat Islam. Perpecahan bukan setakat kalangan parti-parti politik dan ahli politik. Lebih menakutkan ia turut terbawa-bawa dalam kalangan penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya. Masing-masing mahu menjadi jaguh dan mendapat jawatan yang lebih tinggi.

Pendek kata, di mana sahaja ada umat Islam, perkataan pecah sudah sinonim. Masing-masing mempunyai agenda dan kepentingan diri, terutama untuk mendapat habuan dunia yang bersifat sementara. Kita sengaja mewujudkan kumpulan dalam kumpulan atau klik atau ‘orang kita’. Bukan tidak boleh, tetapi jangan sampai menikam dari belakang atau menaruh pasir dalam periuk sesama saudara. Akibatnya, kita juga yang akan rugi. Orang lain bertepuk tangan. Menunggu masa untuk mengambil kesempatan.

Umat Islam sepatutnya bersifat rasional dan profesional, bukan emosional. Tindakan terlalu beremosi hanya akan mengundang kepupusan menjadi lebih cepat. Pada saya, pertembungan sesama umat Islam mesti dielakkan kerana tidak ada sesiapapun yang akan menang. Kalah jadi abu, menang jadi arang. Walaupun Pengerusi Bersih berkata perhimpunan ini tidak ada kaitan politik, takkan kita masih tidak dapat membaca makna tersurat dan tersirat. Beliau hanya mahu memperalatkan umat Islam. Jika tidak percaya, umat Islam jangan turun, biarlah kita lihat berapa kerat bukan Melayu akan turun menunaikan niat ‘bersih’ mereka.

Sebagai pengalisis politik dan strategi, saya sudah dapat mencium baunya. Tidak perlulah berselindung atas nama NGO, berpura-pura atau nampak seolah-olah tidak dipengaruhi mana-mana pihak. Agenda ada udang di sebalik batu amat terserlah. Kenapa umat Islam masih buta? Kita boleh berkawan dengan kafir zimmi, tetapi mesti berhati-hati dengan kafir harbi yang ingin merosak dan meruntuhkan Islam dengan berbagai strategi dan silap mata. Kajilah sejarah sepanjang beliau sepanjang memimpin Majlis Peguam. Apa pandangan dan sumbangannnya terhadap Islam.

Jika umat Islam terus berdegil, ditakdirkan berlaku pertembungan, siapakah yang akan rugi? Kita semua bersaudara. Takkan kita sanggup berbunuhan sesama sendiri. Jika itu yang berlaku, saya bimbang kita akan menyesal tidak sudah nanti.

Kenapa sesama bangsa dan seagama perlu berpecah? Ambillah pengajaran penyatuan budaya bangsa lain. Satu bangsa, berbagai agama, ada yang beragama Buddha, Taoism, Konfucius, Kristian dan Hindu, mereka tetap bersatu atas nama satu bangsa. Pada mereka, agama tidaklah terlalu penting. Apa yang penting, ketuanan bangsa mesti ditegakkan. Agama boleh datang dan pergi, sedangkan bangsa akan terus kekal. Untuk pastikan kemegahan bangsa terus kekal, maka ia mesti dipertahankan bersama-sama jati diri bermati-matian. Maka tidak hairan mereka menolak sama sekali identiti Melayu seperti bersongkok dan berbaju Melayu, kerana takut diMelayukan. Berbeza dengan kita, agama mesti ditegakkan kerana atas terus kekal. Bangsa sudah tidak penting apabila bertembung dengan agama, kerana agama mendapat perlindungan Allah, bangsa belum tentu akan kekal.

Di negara maju, kewujudan pelbagai parti politik dan pertubuhan adalah perkara biasa. Mereka amat profesional. Setiap pertubuhan akan bertindak sebagai check and balance, kerana itu adalah antara asas demokrasi. Pimpinan kerajaan bertukar tangan adalah perkara biasa seperti yang berlaku di Amerika Syarikat dan Britian. Tetapi tidaklah sampai berlaku perpecahan sehingga ke akar umbi, seterusnya terbawa-bawa ke pejabat kerana ia akan menjejaskan kualiti dan produktiviti. Mereka begitu professional, meraikan perbezaan.

Tidak seperti kita, tidak cukup dengan perpecahan, kita amalkan cucuk sana, cucuk sini seperti politik satay dan saling jatuh-menjatuh. Apa yang kita dapat hasil semua ini? Umat Islam di negara ini perlu menyedari bahwa perpecahan dan pertelagahan itu adalah sesuatu yang hina. Perbezaan ideologi politik tidak seharusnya menjadikan kita saling menghina dan bermusuhan. Tidakkah lebih baik perbezaan ini dimanfaatkan untuk berlumba-lumba melakukan kebajikan demi kemajuan umat dan negara. Firman Allah SWT:

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan) (surah Al-Baqarah: 48).

Kewujudan pelbagai pertubuhan tidak salah. Tidak perlu dibubarkan. Apa yang lebih penting adalah aktiviti (amal) yang lakukan (Surah at-Taubah:105). Jangan sampai kita tidak boleh duduk semeja membincangkan perkara-perkra yang boleh membangunkan umat kerana sebaik-baik manusia adalah orang yang memberi manfaat bagi orang lain, itulah pesanan Nabi kita.

Ingatlah umatku, cabaran dan tentangan yang sedang kita diharungi dan akan kita hadapi masa akan datang amatlah berat. Musuh-musuh Islam sentiasa merancang untuk memusnahkan kita. Justeru, perlu wujud pertubuhan yang bertindak sebagai kumpulan pendesak dan menyuarakan hak-haknya. Namun, itu bukan bermakna kita tidak boleh kerjasama. Dialog atau musyawarah perlu dilakukan dari masa ke semasa untuk untuk membicarakan agenda bersama. Janganlah terlalu berprasangka buruk.

Ambillah pengajaran perpecahan politik umat Islam yang berlaku pada masa lalu yang amat merugikan sehingga menjadi al-Fitnah al-Kubra (bencana besar). Ketika itu umat Islam berpecah kepada tiga kumpulan. Pertama: kelompok Saidina Ali, kedua: kelompok Muawiyah, dan ketiga: kumpulan neutral yang tidak berpihak kepada salah satu dari dua kelompok tersebut.

Kedua-dua kumpulan pertama memiliki pengikut yang banyak. Manakala kumpulan neutral tidak kurang juga hebatnya. Antara para sahabat yang bergabung di dalam kumpulan ini adalah, Abdullah bin Umar (Ibnu Umar), Saad bin Malik, Saad bin Abi Waqqas, Muhammad bin Maslamah, Usamah bin Zaid, dan lain-lain.

Pertembungan dan pertentangan antara kumpulan Muawiyah dan Ali sampai kepada kemuncak sehingga membawa kepada perang Siffin. Melihat kepada kumpulan Muawiyah hampir kalah, mereka bersetuju menyelesaikan konflik melalui rundingan. Perundingan diberlaku pada bulan Ramadhan tahun 37 Hijrah. Kelompok Muawiyah diwakili oleh Amru bin Ash, manakala kelompok Ali diwakili oleh Abu Musa Al-Asy'ari. Namun, ia hanya bersifat sementara. Kumpulan neutral pun tidak dapat menyelesaikannya. Umat Islam berpecah semula selepas itu, malah bertambah tenat. Mereka tidak pernah mengambil pengajaran sehinggalah bencana besar menimpa kerana mereka sentiasa berprasangka dan saling tidak percaya-mempercayai antara satu sama lain.

Perundingan tersebut bukan sahaja tidak menyelesaikan konflik, tetapi malah menimbulkan kelompok baharu. Kumpulan Ali terpecah kepada dua; Pertama, yang tetap setia kepadanya (syiah); Kedua, yang memberontak, keluar dari kumpulan Ali dan berbalik menjadi musuhnya, karena tidak puas dengan keputusan Ali untuk mengikuti perundingan diatas. Kumpulan ini dikenali sebagai Khawarij. Penyatuan semakin sukar, umat Islam semakin berpecah kepada tiga iaitu kumpulan Muawiyah, kumpulan Ali dan kumpulan Khawarij (Fikri Mahmud, 20 Jun 2011).

Kumpulan Khawarij mengkafirkan kumpulan Ali dan Muawiyah. Mereka menghalalkan darah orang Islam yang tidak sependapat dengan mereka. Mereka memerangi kumpulan Ali dan Muawiyah. Perancangan dibuat untuk membunuh Ali, Muawiyah dan Amru bin Ash. Muawiyah dan Amru selamat dari pembunuhan, sedangkan Ali terbunuh di tangan Abdul Rahman bin Muljam pada tahun 40 Hijrah.

Kedudukan umat Islam semakin meruncing sehingga sanggup berbunuh sesama sendiri. Setelah kematian Ali, anak lelakinya bernama Hassan, dilantikmenggantikan ayahandanya. Hasan melihat bahawa pertentangan politik ini hanya akan merugikan umat Islam secara keseluruhan. Lantaran Hassan mencadangkan perdamaian dengan Muawiyah bagi mengelakkan pertumpahan darah sesama umat Islam.

Hasan bertindak meletakkan jawatan pada tahun 41 Hijrah dan menyerahkan kekuasaan kepada Muawiyah. Hasan meminta agar Muawiyah menyerahkan urusan khilafah kepada rakyat apabila ia meninggal nanti. Hasan juga meminta agar kumpulan Muawiyah berhenti menghina Ali atau menikam dari belakang. Gerakan perdamaian ini mendapat sokongan oleh masyarakat Islam ketika itu. Malangnya, perjanjian tersebut tidak ditepati. Umat Islam mungkir. Akhirnya membawa kepada meninggalnya Hassan di Madinah kerana diracun pada tahun 50 Hijrah. Kumpulan Syiah melantik Husein, putra Ali kedua, menggantikan abangnya.

Sebelum Muawiyah meninggal,beliau melantik anaknya Yazid menggantikannya. Perlantikan ini menimbulkan kemarahan kumpulan Syiah kerana Muawiyah telah melanggar perjanjian damai yang telah dipersetujui dengan Hasan yakni untuk memulang kuasa kepada rakyat. Namun begitu, rakyat jelata tidak dapat berbuat apa-apa, kerana Muawiyah memerintah dengan kejam dan kuku besi.

Akibatnya, permusuhan antara kumpulan-kumpulan ini semakin menjadi-jadi. Pertumpahan darah sesama umat Islam berlaku dengan dahsyat. Husein terbunuh di Karbala. Kepalanya dipenggal dan dibawa ke hadapan Yazid sebagai persembahan. Walaupun pimpinan kalangan Bani Umayah silih berganti, permusuhan dengan kumpulan tidak pernah reda. Dendam kesumat begitu mendalam. Penghinaan terus berlaku dan berleluasa. Kalangan pemimpin Bani Umayah yang berhati mulia seperti Abdul Malik bin Marwan,yang berusaha untuk menyatukan semula umat Islam, tetap gagal kerana perpecahan seolah-olah tidak boleh dibaiki lagi.

Abdul Malik mengambil pendekatan meraikan semua kumpulan. Khalifah empat iaituAbu Bakar, Umar, Usman dan Ali dijadikan payung penyatuan umat supaya jangan hidup berpuak-puak. Sebelum ini kumpulan Umayah hanya mengakui Abu Bakar, Umar, Usman dan Muawiyah, mereka tidak mengakui Ali. Manakala Kelompok Khawarij hanya mengakui Abu Bakar dan Umar. Sementara, kumpulan Syiah hanya mengakui Ali sahaja dengan alasan masing-masing. Setiap kumpulan saling hina menghina antara satu sama lain.

Abdul Malik menyeru Umat Islam supaya tidak taksub kepada para sahabat atau khalifah empat tetapi hanya menjadikan Rasululullah SAW sebagai satu rujukan yang unggul. Pendekatan Abdul Malik mendapat sokongan dari masyarakat Islam. Di antara tokoh kelompok Moderat yang masih hidup dan menyokong Abdul Malik adalah Ibnu Umar. Umat Islam yang menyokong saranan ini dikenali seabgai Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah.

Istilah Ahlus Sunnah Wal Jamaah, sebenarnya lahir dari proses sejarah yang bertujuan untuk mempersatukan umat yang sudah berpecah belah. Oleh kerana itu, sering kita terjumpa bahawa kumpulanAhlus Sunnah Wal Jamaah sentiasa berusaha untuk mempertemukan aliran pemikiran berbagai kumpulan yang saling bertentangan.

Tetapi usaha untuk mempersatukan umat itu tidak mendatangkan hasil kerana persaingan antara kumpulan masih aktif. Kumpulan Syiah, tetap tidak mahu bergabung dalam kumpulan ini. Menurut Syiah, hak untuk memegang jawatan khalifah hanyalah untuk Ali dan keturunannya. Kumpulan Syiah menganggap bahawa Ahlus Sunnah Wal-Jamaah hanyalah penyokong dan merupakan tali barut dari kumpulan Umaiyah. Tidak semena-mena, kumpulan Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah menjadi mangsa, sedangkan mereka amat tulus dan ikhlas.

Peristiwa yang dijelaskan ini sepatutnya menjadi contoh dan iktibar kepada umat Islam, supaya jangan mengulangi kelemahan dan keburukan yang sama. Malang sekali, sehingga hari ini perpecahan tersebut terus terbawa-bawa tanpa penyelesaian. Masalah politik telah menyebabkan umat Islam berpecah-belah dalam berbagai kumpulan dan puak-puak. Perpecahan politik juga turut terbawa-bawa dalam perbezaan pendapat budaya hidup sepertiakidah, syariah, penafsiran dan pemahaman hadis, tafsir, tasawuf dan sebagainya. Pendek kata, di mana ada umat Islam, jawapannya, pecah, pecah dan pecah, akhirnya kita akan diperintah.

Umat Islam di negara ini perlu menyedari bahawa perbezaan yang membawa kepada perselisihan dan pertengkaran sesama sendiri adalah sesuatu yang amat hina. Perbezaan organisasi politik dan keagamaan hendaklah tidak dijadikan untuk saling menghina dan memusuhi, tetapi dimanfaatkan sebagai saranan untuk berlumba-lumba bagi membuat kebajikan demi kemajuan umat dan negara (Q.S.2:148). Apa yang akan dilihat oleh Allah SWT bukanlah organisasi yang kita miliki, tetapi adalah aktiviti (amal) yang kita lakukan (Q.S.9:105). Rasulbersabda: Sebaik-baikmanusiaadalah orang yang memberimanfaatbagi orang lain. Cabarandantentangan yang akandihadapimendepaniglobalisasiamatlahmenakutkan (Fikri Mahmud, 20 Jun 2011).

Justeru,penyatuan dan kerjasama sudah sampai ke peringkat wajib, tidak boleh tidak.Penyatuan dan kerjasama yang wajib dilaksanakan, bukanlah membubarkan organisasi atau kumpulan yang sedia wujud, tetapi mesti ada permuafakatan bersama meskipun berlainan latar belakang. Setiap daripada kita bertanggungjawab memastikan kekuatan dan kesejahteraan umat terpelihara, tanpa diganggu-gugat.

Langkah pertama, perlu ada dialog atau musyawarah antara kumpulan-kumpulan ini mencari persamaan membicarakan agenda bersama melibatkan kepentingan umat Islam. Jika kumpulan atau organisasi sedia wujud tidak diyakini, maka kumpulan moderat atau neutral perlu mengambil inisiatif mengadakan dialog tersebut. Selaku Cina Muslim dari Persatuan Cina Muslim Malaysia yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan, kami bersedia untuk membuka jalan pertemuan ini.

Ini bagi memastikan tragedi pahit daripada terus berulang. Sepatutnya sejarah menjadi iktibar. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempatan. Namun, keadaan sebaliknya berlaku seolah-olah yang baik ditinggalkan, yang buruk diamalkan. Petanda kepupusan semakin hampir, jangan sampai terperangkap.

Monday, June 20, 2011

Pentingnya budaya merujuk pakar

7:51 AM Posted by RIDHUAN TEE 679 comments
Sinar Harian 20 Jun 2011

Saya merasa pelik kenapa kerajaan masih mahu melayan tuntutan kumpulan yang terlalu minoriti seperti The Parent Action Group for Education Malaysia (PAGE) yang mahu kembali semula kepada Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Jika itu kemahuan mereka, biarlah mereka yang buat, kita lihat sejauh mana hebatnya mereka mahu mengubah sistem pelajaran, bukan memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris mengikut pandangan pakar.

Pertubuhan ini nampaknya begitu agresif bersama pertubuhan bukan Melayu yang lain, mahukan PPSMI dikembali semula. Pertubuhan ini tidaklah terlalu berpengaruh. Saya yakin ahli-ahlinya hanya ada sekelumit, tetapi mungkin kabel mereka agak besar. Mereka berhujah menggunakan pendapat segelintir ibu bapa dan bukan Melayu yang memang mahu melihat bahasa Melayu terkubur serta respon yang diperolehi melalui perbahasan dalam talian internet. Sudah tentu jawapannya tidak akan menyebelahi bahasa kebangsaan kerana kita tahu siapakah mereka?

Ingin juga saya bertanya pimpinan mereka ini mengkhusus dalam bidang apa? Jika berada di luar bidang kepakaran, lebih baik senyap dahulu. Belajar lagi untuk mengkhusus dalam bidang kepakaran. Dengar dulu nasihat pakar-pakar dalam bidang bahasa, yakni mereka yang mengkhusus dalam bidang bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dan dapatan kajian-kajian yang telah dilakukan. Jangan ikut pandai sendiri sahaja, sedangkan kelulusan tidak seberapa. Jika sakit pergilah berjumpa doktor perubatan, jangan jumpa doktor falsafah atau jurutera. Begitulah pentingnya budaya merujuk pakar, supaya mendapat input yang betul.

Tidak ada seorang pun yang menolak akan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia. Bodohlah kita jika menolaknya. Persoalan pokok adalah, janganlah sampai merubah sistem. Jika bahasa itu yang lemah, maka perbaikilah bahasa tersebut seperti yang cuba dilakukan oleh Kementerian Pelajaran hari ini, bukan dengan mengorbankan identiti dan jati diri.

Bahasa jiwa bangsa. Rosak bahasa adalah permulaan kepada petanda punahnya atau pupusnya sesuatu bangsa. Itulah antara pesanan seorang ahli falsafah Cina zaman dahulu. Pada masa sama, buatlah kajian terhadap 198 negara bangsa yang sedia wujud di dunia ini. Tidak ada sebuah negara bangsapun yang sanggup korbankan bahasa kebangsaan hanya kerana atas alasan pembangunan, atau Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan sebagainya. Berilah apa jua alasan untuk kemajuan, tetapi jangan menjadikan bahasa Melayu sebagai galang gantinya. Berapa banyak negara di dunia ini masih tidak menggunakan bahasa Inggeris tetapi tetap maju. Tidak perlulah saya berikan bukti sebab sudah basi.

Kementerian Pelajaran sedang bertungkus lumus untuk memperhebatkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai aspek. Biarlah pakar-pakar yang menentukan dan menanganinya. Siapakah kita jika dibandingkan dengan pakar-pakar bahasa?

Hormatilah budaya merujuk pakar. Sama juga dengan isu novel Interlok. Majoriti pakar bahasa dan sasterawan mengatakan bahawa isi kandungan novel tersebut sebenarnya tiada masalah langsung. Kenapa kita seperti cacing kepanasan kalau bukan kerana ada udang di sebalik batu?

Namun, setelah dipindapun, masih ramai yang tidak berpuas hati. Kenapa? Jawapannya mudah, kumpulan ultra kiasu ini ada agenda lain. Komuniti besar kepala ini merasakan diri mereka telah kuat melalui keputusan pilihan raya umum 2008. Kerjanya tidak ada lain, ugut, desak dan tuntut. Dengan nada sombong dan bongkak mereka mahu kerajaan supaya mengharamkannya. Novel ini dikatakan akan merosak pemikiran pelajar kerana lebih mempamerkan ketuanan Melayu. Saya yakin puak-puak ini tidak akan berani mengangkat kepala sedikitpun jika umat Islam bersatu atau keputusan pilihan raya 2008 tidak ‘menyebelahi’ mereka.

Kalau tidak percaya, bacalah lama-laman-laman web ultra kiasu. Bacalah komen-komen negatif mereka. Saya syorkan Kementerian Dalam Negeri mengambil inisiatif menterjemahkan akhbar, majalah dan buku-buku karangan pengarang bukan Melayu terpilih, kita lihat berapa banyak pujian dilontarkan kepada bangsa Melayu, negara Malaysia dan 1Malaysia. Kita lihat siapakah yang paling banyak menabur racun. Sekurang-kurang novel Interlok berani berterus terang menceritakan realiti sebenar masyarakat berbilang kaum di negara ini, daripada lempar batu sembunyi tangan.

Kepada golongan yang hanya pandai mengkritik ini, pandai sangatkah mereka dalam sastera Melayu? Apakah mereka selalu dilihat menulis dan bercakap bahasa Melayu? Apakah latar belakangnya? Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang Cina yang mempunyai pengalaman luas bercampur dengan masyarakat majmuk di Malaysia. Ternyata beliau begitu memahami warna-warni masyarakat yang wujud, dengan bangsa Melayu sebagai bangsa teras. Maka tidak hairan jika beliau fasih dalam bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris. Interlok pada beliau adalah realiti masyarakat Malaysia sebenarnya.

Sebenarnya, kita amat memerlukan ramai rakyat Malaysia seperti ini. Bukannya, mereka yang akan mencari seribu satu alasan untuk mematahkan apa jua idea baik yang dikemukakan. Hari ini, mereka menggunakan gagasan 1Malaysia sebagai hujah utama jika tidak berpuas hati. Misalnya, terbaharu, pertubuhan Kristian terus mencabar Kementerian Dalam Negeri, berkaitan isu-isu sensitif seperti alkitab dalam bahasa Melayu, kalimah Allah dan sebagainya. Mereka mahu mengimport dan menterjemahkan alkitab Melayu sebanyak yang mungkin.

Kenapa perkara ini perlu diperbesarkan sedangkan populasi mereka hanya di sekitar di bawah 10 peratus? Jawapannya juga mudah, mereka agenda lain. Kita yang terlalu bersangka baik dan terlalu menjaga hati mereka untuk mendapatkan undi. Sedangkan belum tentu mereka mengundi kita. Tidak cukupkah lagi kebebasan beragama yang diamalkan di negara kita?

Gagasan 1Malaysia bukan bermakna memadamkan semua unsur-unsur Melayu dan Islam sehingga menjadikan ia sama rata dan sama rasa. Bayangkan jika tidak diperkenalkan gagasan1Malaysia, apakah kita yakin mereka tidak akan mencari apa jua hujah untuk mematahkan hujah-hujah kita. Kadangkala terfikir juga saya apakah gagasan ini satu kesilapan kerana ramai sangat orang yang memperalatkannya. Carilah tempat yang boleh memuaskan hati dan mengamalkan kebebasan sepenuhnya jika Malaysia bukan lagi tempat yang sesuai. Identiti Islam dan Melayu mesti dikekalkan sebagai tanda negara ini berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu.

Saya bukanlah menidakkan hak bangsa lain, tetapi setiap negara perlukan kepada identiti berasaskan kepada siapa yang membentuk kerajaan pada permulaan kewujudan sesebuah negara. Fenomena ini berlaku di kebanyakan negara di dunia. Ia bukanlah sesuatu yang baharu. Adalah sesuatu perkara biasa budaya bangsa awalan mendominasi atau menjadi identiti kepada sesebuah negara. Tidak perlu saya sebut nama-nama negara tersebut.

Justeru, kepada mereka yang faham sejarah, perkara ini tidak menjadi isu besar kerana mereka faham. Yang menimbulkan masalah hari ini adalah mereka tidak faham atau sengaja tidak mahu faham dan sengaja mengelirukan fakta. Saya tidak ada masalah langsung dengan hak-hak istimewa Melalyu/Bumiputera dan Dasar Ekonomi Baharu jika digunakan dengan betul dan dimanfaatkan kepada semua yang layak. Persoalan timbul, adalah ia benar-benar berlaku? Tidak dinafikan berlaku salah guna kuasa. Namun begitu, itu bukan bermakna, kita perlu bertindak mendesak menghapuskan dasar tersebut. Yang salah itu manusia, dasar-dasar tersebut tidak salah. Perlembagaan itu tidak salah, yang salah adalah manusia yang melaksanakan isi kandung perlembagaan.

Pada saya, pihak British yang merangka perlembagaan ini, cukup memahami situasi Tanah Melayu ketika itu. Maka, kita dapat lihat perlembagaan digubal dengan begitu adil dan saksama. Walaupun perlembagaan itu tidaklah sangat bersifat Islam, tetapi ia memihak kepada Islam. Terlalu banyak ruang untuk Islam bergerak, cuma kita sahaja yang tidak mahu memanfaatkannya.

Di satu pihak mahu menukar keseluruhan perlembagaan tersebut. Di pihak yang lain pula mahu mempertahankannya, tetapi perlaksanaan Islamnya agak perlahan. Dalam hal ini, sudah tentu pendekatan untuk menukar perlembagaan secara keseluruhan agak sukar untuk dilaksanakan, kerana umat Islam tidak mempunyai majoriti dua pertiga. Apatah lagi ada kalangan mereka yang ultra dan berkata ‘langkah mayat aku’.

Seperti yang selalu saya katakan, kenapa kita pakat-pakat berusaha dan bekerja dalam ruang lingkup perlembagaan yang membenarkan Islam berkembang dan dilaksanakan. Kenapa kita asyik mengkafirkan perlembagaan yang didakwa digubal dan ditinggalkan oleh penjajah. Adakah keseluruhan perlembagaan negara kita tidak Islam?

Saya berkesempatan berforum dengan Profesor Abd Aziz Bari bulan lalu. Ternyata pandangan beliau selaku pakar begitu jauh ke hadapan. Kepakaran beliau dalam undang-undang dan perlembagaan menjadikan ia tidak disenangi oleh sesetengah pihak. Antara pendapat beliau yang begitu kontroversi adalah, “untuk menggantikan atau menukar perlembagaan yang sedia ada sekarang adalah suatu angan-angan Mat Jenin yakni terlalu sukar untuk dilakukan”.

Kenyataan beliau mendapat respon yang spontan daripada khalayak. Saya yakin saudara pembaca mesti dapat mengenal pasti siapakah golongan dimaksudkan. Namun, pendapat beliau adalah berasaskan kepada bidang dan kepakarannya. Kita sahaja yang tidak sampai kepada peringkat pemikiran beliau dan bertindak begitu beremosi, sehingga akhirnya memakan diri. Bercakap tidak berasaskan kepada fakta dan realiti semasa. Sedangkan keadaan sudah jauh berubah.

Maka tidak hairanlah, jika hari ini kita sudah jarang orang memperkatakan undang-undang hudud. Jika tidak dahulu, hudud, hudud, hudud. Keadaan mula berubah daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.

Kadang-kadang saya naik muak setiap kali mendengar khutbah jumaat di beberapa masjid, terutama masjid Bandar Baru Ampang. Isi kandungannya tidak banyak berubah, sikit-sikit kembali kepada Quran dan Sunnah. Benar, saya tidak menolak kenyataan tersebut. Tetapi apakah modus operandinya? Tunjukkan bagaimana ianya boleh dilaksanakan dalam realiti masyarakat berbilang kaum hari ini. Jangan asyik-asyik bercakap perkara-perkara yang begitu simplistik. Pendekatan kita biarlah mendidik.

Saya teramat ingin juga mendengar khutbah jumaat yang mengajak masyarakat lebih berhemah di jalan raya. Misalnya, memakirkan kereta di tempat-tempat yang tidak menghalang lalulintas ketika ketika solat jumaat. Saya begitu lemas melihat setiap kali solat Jumaat, jemaah memakirkan kereta mereka sehingga jalan yang mempunyai banyak lorong, hanya menjadi hanya satu lorong, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan menyusahkan orang lain. Bayangkan jika ada hal-hal kecemasan, sudah tentu akan menimbulkan masalah. Tidak kurang juga kita menyusahkan orang bukan Islam yang menggunakan jalan tersebut. Sudah tentu pandangan mereka terhadap Islam menjadi serong. Bila umat Islam menunaikan solat jumaat, maka ia menyusahkan orang lain.

Tidakkah lebih baik, kita memakirkan kenderaan jauh sedikit daripada jalan utama dan membiarkan lorong jalan raya selesa untuk dilalui dan tidak menimbulkan kesesakan atau kesusahan kepada orang lain. Ini tidak, kita mahu memakir kenderaan, kalau boleh sehingga sampai ke tangga atau ke mimbar masjid. Kita tidak langsung mahu bersusah sedikit, untuk menyenangkan orang lain. Jika ini sikap kita, sampai bila-bilapun Islam sukar untuk berkembang. Khutbah seperti ini jarang kedengaran. Yang ada, hentam sana, hentam sini, kemudian kembali kepada Quran dan Sunnah. Caranya bagaimana? Mendidik.

Sudah sampai masanya khatib-khatib mengamalkan sikap merujuk kepada pakar. Perlu ada inovasi dan kelainan dalam berkhutbah. Jika tidak, orang akan lari dari masjid. Tidak semua mereka yang datang bersolat adalah kalangan orang yang sama. Kita sahaja yang syok sendiri, sehingga khutbah yang sepatutnya mendidik, menjadi bahan cacian dan umpatan selepas itu. Saya tidak kata khutbah yang sedia ada, sudah bagus. Apapun penambahbaikan dan inovasi perlu dilakukan dari masa ke semasa. Apa yang penting, jika tidak tahu, rujuklah kepada mereka yang pakar. Sudah tentu banyak perkara yang dapat diselesaikan, termasuk isu PPSMI.

Biarkanlah mereka dalam bidang, yang lebih banyak membicarakannya, daripada kita yang berada di luar bidang atau masih belajar. Saya tidak kata, yang bukan pakar tidak boleh memberikan komen atau pandangan, sebaik-baiknya rujuklah kepada pakar untuk memperdalamkan ilmu. Dengan sebab itu, dalam pengajian ada pengkhususannya sehingga kepada tahap yang lebih tinggi. Fakulti Pengajian Islam terlalu banyak pecahannya seperti Usuluddin, Syariah, Muamalah dan sebagainya. Begitu juga dalam bidang sains dan sains sosial.

Monday, June 13, 2011

Ambil pengajaran bangsa yang pupus

8:49 AM Posted by RIDHUAN TEE 522 comments
Sinar Harian 12 Jun 2011

Saya melihat generasi bangsa Melayu hari ini agak begitu complacent dengan kata-kata Hang Tuah, “Tak Melayu hilang di dunia”. Benarkah Melayu tidak akan hilang dengan melihat realiti hari ini? Perlu diingat bahawa tidak ada jaminan sesuatu bangsa dapat mengekalkan kuasa dan kedaulatannya hingga akhir zaman, hanya kerana mereka adalah peribumi yang mewarisi tanah pusaka nenek moyang. Jika kita mudah lupa, tidak bersedia, tidak bertegas dan engkar kepada perintah Allah, maka tunggulah harinya.

Realiti yang sedang berlaku di depan mata kepada umat Islam di Palestin dan orang Melayu Singapura amat menghibakan. Peribumi merempat di bumi sendiri dan tidak tahu ke mana nasibnya selepas itu. Apakah kita tidak mengambil pengajaran? Walaupun belum pupus, tetapi tanda-tanda kepupusan sudah semakin nyata akibat perpecahan yang tidak berkesudahan.

Tidak perlulah dinukilkan apa yang telah terjadi kepada kaum Lut, kaum ‘Add, penduduk Madyan, kaum Tsamud, Firaun, Qarun dan Haman yang telah dibinasakan oleh Allah. Jika sampai terjadi, generasi hari ini bakal dikutuk dan disumpah oleh generasi akan datang atas keegoan dan keangkuhannya.

Ingatlah, sudah banyak umat yang terusir dari tanah air, malah tidak sedikit yang telah hilang di dunia. Mereka yang berhak mewarisi bumi pusaka tidak semestinya bumiputera, tetapi sesiapa sahaja Allah akan gantikan jika sesuatu bangsa itu tidak bersyukur dan beriman. Mereka yang kekal di bumi sendiri adalah mereka yang beramal soleh dan tidak mengkhianati Allah. Begitulah ketetapan Ilahi sejak dahulu, kini, dan selama-lamanya;

"Dan sesungguhnya telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis di dalam) Lauh Al-Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang soleh" (Al-Anbiya: 105).

Sejarah telah membuktikan bahawa sesuatu bangsa hancur disebabkan oleh mereka mudah lupa, rosak akhlaknya dan perpecahan yang tidak berkesudahan. Lebih malang jika Islam telah tercabut dalam dirinya. Allah yang berkuasa menjadikan, Allah juga berkuasa untuk menghapuskan.

“Maka tiap-tiap (mereka itu) Kami binasakan disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya angin ribut, hujan batu kerikil dan di antara mereka ada yang dibinasakan dengan letusan yang menggempakan bumi, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka yang Kami tenggelamkan di laut, dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiayai mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (Al-Ankabut: 40)

Berdasarkan ayat ini, Allah telah menurunkan empat jenis azab yang telah ditimpakan ke atas umat terdahulu yang sebelum ini hebat dan gagah perkasa. Namun tiba-tiba, dengan sekelip mata hilang di dunia. Kepupusan yang berlaku bukan disebabkan Allah mahu menganiaya mereka, tetapi akibat dosa-dosa dan kezaliman mereka sendiri.

Justeru, sudah sampai masanya kita membuat muhasabah diri sendiri, apakah selama ini kita semakin tunduk dan sujud kepada Yang Maha Esa atau sebaliknya banyak melakukan kemungkaran sebagaimana yang telah dilakukan oleh umat terdahulu? Firman Allah SWT lagi:

“Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyaknya generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai yang mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain.” (Al-An'am: 6)

Kekuatan dan kehebatan, kekuasaan dan kestabilan sama sekali bukan jaminan untuk terus kekal dan unggul. Sekelip mata boleh menjadi padang jarak padang terkukur jika Allah mengkehendakinya. Hancurnya kaum ‘Add dan kaum Tsamud, tenggelamnya Firaun dan Haman, serta punahnya Qarun ditelan bumi, tidak pernah ditangisi sebagai suatu tragedi. Satu bangsa boleh ada dan boleh tiada, satu generasi boleh datang dan pergi. Dunia tidak pernah rugi. Setiap yang pergi, pasti ada pengganti yang lebih baik.

Namun, manusia selalu leka apabila mendapat kuasa. Mereka lupa bahawa kuasa adalah milik Allah. Manusia hanyalah pemegang amanah. Justeru, manusia mesti tunduk dan sujud kepadaNya. Manusia tidak boleh bermarajalela dan bertindak sewenang-wenangnya, seolah-olah dunia ini ‘ana yang punya’. Rakyat adalah hamba dan abdinya. Penguasa seperti ini biasanya tidak akan kekal lama. Apa yang berlaku di Mesir dan negara-negara Arab yang lain, sudah jelas menunjukkan bahawa seisi alam ini adalah milik Allah dan manusia hanya meminjam buat sementara. Amanah ini hendaklah dipikul dengan ikhlas dan diserahkan kepada Pencipta.

Manusia yang terpedaya dengan kuasa itulah yang dibinasakan Allah dengan cara-cara yang dikendakiNya. Ada yang dihancurkan melalui bencana yang menimpa secara tiba-tiba seperti Tsunami. Tidak kurang yang dibinasakan dengan perpecahan sesama mereka. Ada yang musnah melalui proses yang memakan masa seperti serangan wabak penyakit, krisis ekonomi, krisis alam sekitar dan sebagainya lagi.

Kesimpulannya, nasib suatu bangsa sangat bergantung kepada kualiti diri yang dicirikan oleh khidmat dan manfaat. Suatu bangsa layak untuk terus hadir di dunia selama kehadirannya bermanfaat kepada kemanusiaan sejagat. Hakikat inilah yang tersirat di sebalik ungkapan simbolik oleh Allah SWT yang bermaksud:

"...Adapun buih itu, akan hilang sebagai (bahan) yang tidak ada harganya, adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan. (ar-Ra'd: 17).

Rasulullah SAW turut mengingatkan perkara yang sama, akan tiba satu zaman yang mana umat Islam akan dikerumuni oleh semua bangsa di seluruh dunia, seperti mereka ingin memakan hidangan makanan. Sahabat bertanya “adakah umat islam sedikit pada waktu itu”. Rasulullah menjawab” Tidak,bahkan kamu banyak seperti buih di waktu banjir. Tetapi Allah telah mencabut rasa gerun dihati musuh-musuh kamu terhadap kamu dan Allah mencampakkan penyakit wahan ke dalam hati kamu”. Sahabat bertanya “Apakah wahan itu ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab “cintakan dunia dan takutkan mati”.”

Kiasan buih di sini adalah lambang kualiti sesuatu bangsa. Kosong tanpa isi walaupun membukit tingginya. Mudah pecah dan hilang. Persoalannya, adakah kita akan menjadi seperti buih? Mampukah kata-kata “Tak Melayu hilang di dunia dipertahankan, jika langkah-langkah sewajarnya tidak diambil untuk menyelamatkan Melayu? Justeru, untuk terus kekal relevan di nusantara ini, Melayu mesti bersatu atas asas Islam, bersedia menyumbang, mempunyai visi dan misi, idealisme dan iltizam.

Umat Islam tidak boleh duduk berdiam diri sahaja, dengan melihat sahaja apa yang berlaku. Lupakanlah perbezaan latar belakang, bangsa, ideologi dan parti politik buat selama-lamanya. Kita semua perlu menjadi penyumbang. Masa bermain-main sudah tamat. Sekarang adalah masa bekerja dan memikirkan masa depan umat Islam secara keseluruhan.

Ingatlah! Orang orang kafir sentiasa merancang untuk memusnahkan Islam. Tanpa putusa asa, mereka sentiasa mengkaji setiap kelemahan umat Islam. Strategi ini tidak pernah berhenti kerana ia adalah senjata yang paling berkesan. Menunggu masa sahaja untuk menggunakan senjata itu sepenuhnya. Hari ini senjata tersebut telahpun digunakan. Mungkin kita buat-buat tidak berapa perasan. Situasi yang dihadapi oleh umat Islam hari ini dimanipulasikan sepenuhnya.

Bertambah menyedihkan apabila umat Islam sendiri mengecam sesama sendiri, seolah-olah sudah tidak wujud persaudaraan lagi. Sedangkan Allah SWT sentiasa mengingatkan bahawa semua orang Mukmin itu bersaudara, tidak kira apa jua bangsa dan warna kulitnya.

Sejarah telah membuktikan, telah menjadi sunnatullah, generasi bangsa yang sudah tidak dapat diharapkan akan dibinasakan Allah. Mereka segera digantikan oleh generasi lain yang lebih baik, yang watak dan kualiti begitu jauh berbeza dengan sebelumnya.

Dan (penduduk) negeri itu telah Kami binasakan ketika mereka berbuat zalim dan telah Kami tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka(Surah al-Kahfi: 59).

Dalam surah at-Taubah ayat 38-39, Allah SWT memberikan ancaman kepada mereka yang sudah tidak mahu berjuang, mereka yang lalai dengan kesenangan hidup, terpedaya dengan habuan keduniaan yang bersifat sementara dan tidak seberapa. Sedangkan semua tahu bahawa kebahagiaan akhirat yang kekal abadi. Jangan sampai Allah SWT gantikan kita dengan orang lain disebabkan oleh kelalaian dan kecuaian sendiri.

Sedarlah wahai umatku, kesenangan dan kemewahan duniawi dapat membunuh idealisme dan melumpuhkan daya juang, jika tidak diseimbangkan dengan kepentingan ukhrawi. Bangsa yang telah hanyut dan terlalu obses dengan kebendaan hanya akan melunturkan dan mematikan perjuangan, adalah bangsa yang segera akan hilang di dunia. Saya tidak bertujuan untuk menakut-nakutkan kita sebagai umat Islam, kerana saya bukan penulis upahan yang mendapat jutaan ringgit seperti yang didakwa. Saya hanya seorang ahli akademik yang imbuhan gajinya tidak seberapa. Tetapi saya sentiasa beringat dengan ancaman Allan SWT yang bermaksud:

"Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan ditukarnya (kamu) dengan kaum yang lain,..."(Surah at-Taubah: 39).

Yakinlah umatku, tanda-tanda bangsa pupus sudah semakin jelas dan menghampiri. Jika benar-benar berlaku pertembungan sesama umat Islam seperti yang dirancangkan pada 9 Julai ini sehingga berlaku tumpah darah, maka itulah adalah satu malapetaka yang dirancang. Memang, seolah-olah nampak ada orang bukan Islam bersama.

Persoalannya, adakah mereka akan meneruskan rancangan ini jika umat Islam tidak bersama mereka? Kita jangan terperangkap. Jangan nanti yang bertempur adalah kalangan yang berkulit sawo matang. Yang lain akan lari bertempiaran.

Saya berpendirian, menyokong tidak, menentangpun tidak, kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi. Rakyat ada hak untuk bersuara melalui pelbagai saluran yang telah dibenarkan dan disediakan. Bukan hanya dengan berhimpunan melalui pelbagai nama.

Apa yang penting jangan sampai berlaku pertempuran, jika ditakdirkan perhimpunan tersebut masih mahu diteruskan. Ada yang beranggapan bahawa itu adalah perhimpunan aman, tetapi adakah sesiapa boleh pastikan ia akan terus aman. Kita tidak tahu provokasi yang akan dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sehingga boleh menyebabkan berlaku sesuatu di luar kawalan. Namun, saya tidak nampak rakyat Malaysia akan bertindak seperti apa yang berlaku di seperti di Mesir, Tunisia dan Syria kerana gaya dan cara hidup kita berbeza.

Kenyataannya, apa jua yang cuba dilakukan oleh Pas dan Umno terus berlaku pertembungan. Titik pertemuan semakin jauh. Titik perbezaan semakin meluas. Apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang terus dibangkang, apa yang dilakukan kerajaan juga dibangkang. Kenapa tidak, jika baik, disokong, jika mungkar ditentang. Yang hak tetap hak, yang batil tetap batil. Ambillah pengajaran bangsa-bangsa yang telah pupus.

Monday, June 06, 2011

Semangat Melayu dan ultra kiasu

8:05 AM Posted by RIDHUAN TEE 169 comments
Sinar Harian, 5 Jun 2011

Ultra kiasu begitu bernafsu untuk menguasai Putrajaya. Berbagai cara dilakukan walaupun terpaksa mengorbankan prinsipnya. Mereka sanggup lakukan apa juga cara, termasuk strategi terbaharu memikat anak muda Melayu untuk menyertai mereka. Mereka tahu generasi lama, terutama yang lahir sebelum dan awal 13 Mei 1969, tidak akan menyertai mereka. Apatah lagi jika mereka faham perjuangan ‘Malaysian Malaysia’. Maka peluang digunakan untuk memikat generasi muda hari ini yang dikatakan tidak ada lagi perasaan 13 Mei di hati mereka.

Dalam usaha untuk memenuhi nafsu serakahnya, parti ultra kiasu mahu menonjolkan imej sebagai parti untuk semua. Parti ini telah melancarkan portal berita bahasa Melayu - Roketkini. Portal yang memfokuskan kepada berita dan analisis itu khusus untuk menarik sokongan pengundi Melayu, yang selama ini dianggap anti-ultra kiasu.

Roketkini akan menjadi wadah untuk menyampaikan dan membetulkan isu-isu yang dieksploitasi oleh pembangkang untuk memburukkan imej ultra kiasu. Ultra kiasu menuduh Barisan Nasional (BN) yang telah berjaya memanipulasi persepsi palsu bahawa ultra kiasu adalah anti-Melayu. Menurut Setiausaha Agong parti ultra kiasu itu, perjuangan mereka adalah untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum. Benarkah?

Bagi membuktikannya, parti ultra kiasu telah melantik bekas wartawan akhbar, berbangsa Melayu sebagai sebagai editornya. Tahniah kepada editor tersebut. Saya amat mengharapkan editor tersebut, yang saya kenali dapat mempergunakan pengalamannya, bagi menyedarkan umat Islam akan bahayanya ultra kiasu ini.

Jangan duduk di situ, seterusnya bersekongkol untuk menjatuhkan Melayu dan Islam. Benar, saya bersetuju, generasi muda mahu perubahan. Sayapun mahu perubahan. Tidak ada sesiapapun yang rasional suka kepada rasuah, korupsi, penyelewengan dan banyak lagi perkara mungkar. Tetapi jangan lupakan sejarah. Jadikan sejarah sebagai iktibar untuk dijadikan panduan melayari masa hadapan. Masih banyak lagi parti altenatif yang boleh dipilih jika kita tidak suka kepada parti yang memerintah hari ini. Tetapi bukan dengan memilih parti ultra kiasu.

Parti ini terlalu bahaya kepada kita sebagai umat Islam. Ambillah iktibar dengan apa yang berlaku di Singapura. Apabila mereka berkuasa, apa yang terjadi kepada nasib Melayu di bumi Melayu. Melayu terus terpinggir dan tidak dipercayai. Jika ada Melayu yang menentang, akan dibuang jauh-jauh seperti yang berlaku kepada Melayu Singapura, Dr. Lily Zubaidah. Melayu tidak lagi dilantik menjadi presiden. Ultra kiasu lebih mempercayai bangsa lain.

Namun, jika adapun Melayu yang dipercayai, mereka akan mengambil Melayu yang sudah tidak ada darah Melayu, tidak ada semangat Melayu dan apatah lagi semangat Islam. Inilah yang sedang berlaku di sana. Apabila perkara ini berlaku, mudahlah untuk mereka memperkudakan Melayu. Akhirnya, Melayu merempat di buminya sendiri.

Perkara ini telahpun kita nampak di Pulau Pinang, walaupun tidak secara jelas. Mereka tidak boleh lakukan secara terang-terang, kerana dari segi strategi tentunya akan menghilang sokongan. Maka dibuat secara perlahan-lahan dan terancang. Menghimpit dan dihimpit. Akhirnya, Melayu berasa tidak ada lagi ketenangan berada di pulau, maka berhijrahlah mereka ke Tanah Besar. Inilah strategi Yahudi di Singapura. Begitulah cara yang digunakan oleh Yahudi untuk menghalau umat Islam di Palestin.

Umat Islam tidak boleh duduk diam melihat keadaan ini. Jika begitulah keadaannya, saya amat mengharapkan supaya Umno segera berubah kerana orang lain dan bangsa lain sudah jauh berubah. Jangan terlalu memperjuangkan bangsa. Umno perlu menukar perjuangannya daripada kebangsaan Melayu kepada Melayu Muslim. Elok juga ditukar nama Melayu kepada Melayu Muslim. Tetapi masih mengekalkan nama Umno, menjadi United Malay Muslim National Organization (Umno), cuma ditambah perkataan Muslim. Mungkin agak sukar, tetapi tidak mustahil. Melayu itu Islam, Islam itu Melayu. Melayu dan Islam sudah sinonim. Lebih cantik dan molek perkataan Melayu Muslim digandingkan kerana ia lebih Islamik dan dapat mengetuk lebih ramai bangsa yang mahukan Islam.

Perlembagaan Umno yang menjunjung bangsa hendaklah diletakkan di tempat kedua. Fasal 3 asas dan tujuan Umno hendaklah diubah kepada Umno adalah sebuah parti politik yang berjuang memartabatkan Islam dan cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara. Jika Umno melakukan sedemikian, saya yakin ramai orang yang akan menyertai Umno, terutama mereka yang berada di atas pagar.

Ingat, parti ultra kiasu kini bercadang untuk bertanding di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan dan Terengganu bagi menguji penerimaan orang Melayu terhadap parti mereka. Sebagai permulaan, mereka berhasrat untuk bertanding di kawasan bandar yang majoritinya adalah orang Cina dahulu, tetapi di negeri majoriti Melayu. Jika berhasil, tidak mustahil selepas ini mereka akan bertanding di kawasan majoriti Melayu di negeri-negeri yang pecahan kaumnya tidak menampakkan majoriti-minoriti, seperti Melaka, Negeri Sembilan dan sebagainya.

Suka saya bertanya kepada sekutunya PAS dan PKR, jika ultra kiasu ingin bertanding di kawasan majoriti Melayu, kerusi siapa yang hendak diambil, PKR atau PAS? Saya tidak pasti sama ada PKR atau PAS sanggup menyerahkan kerusi mereka. Jika diserahkan, terbuktilah bahawa mereka semakin tunduk kepada parti ultra kiasu ini.

Inilah strategi licik parti ultra kiasu ini. Sebenarnya mereka tidak ada pilihan. Parti ultra kiasu ini mesti membuktikan bahawa mereka dapat diterima oleh semua kaum. Pada saya, mereka tidak layak untuk bertanding di kawasan Melayu. Jika mereka benar-benar ikhlas, serahkan kerusi-kerusi parlimen Kuala Lumpur yang majoritinya orang Cina kepada calon Melayu untuk bertanding. Benarkan calon ultra kiasu Melayu bertanding di Bukit Bintang, Kepong, dan sebagainya. Barulah tidak nampak ultra kiasu. Jika tidak, ultra kiasu, tetap ultra kiasu dan tidak boleh dipercayai sampai bila-bila. Sedarlah orang anak muda Melayu.

Diharapkan PAS tidak terperangkap demi masa depan Islam. Berhati-hati jika berkawan dan melayan kawan. Takut tergadai badan. Saya amat mengharapkan supaya kempen kesedaran dilakukan bagi menjauhi umat Islam menyertai parti ultra kiasu yang selalu berkata “langkah mayat aku” (over my dead body) jika mahu menegakkan negara Islam. Apakah kita masih terus bersangka baik?

Ramai yang beranggapan bahawa parti ultra kiasu telah berubah. Mereka bukan seperti dahulu, kuat menentang Islam. Sejak berkawan dengan Pas, mereka sudah berubah. Mula mendekati, memahami dan menerima Islam. Banyak buku dan kitab mengenai Islam telah dibeli dan dibaca oleh pemimpin-pemimpin mereka.

Golongan muda ultra kiasu juga dikatakan jauh berbeza dengan golongan tua yang dikatakan sudah tidak relevan lagi. Atas alasan inilah agak-agaknya mereka mahu mengambil pendekatan pemerintahan Umar Abdul Aziz sebagai panduan mentadbir. Saya pernah juga diberitahu bahawa pemimpin ultra kiasu Pulau Pinang telah mengatakan hasratnya memeluk Islam.

Dalam hati saya berkata: “Alhamdulillah, kerana Pas berjaya mentarbiyyah dan memberikan kefahaman Islam terhadap mereka walaupun hanya berkawan dalam jangka masa singkat”. Persoalannya, adakah semua ini benar? Saya masih tertunggu-tunggu.

Bandingkan pula dengan Umno selama berkawan dengan parti-parti komponennya dalam BN, sekurang-kurangnya saya lihat beberapa menteri kanan bukan Islam memeluk Islam seperti Tun Omar Ong Yoke Lin dan Datuk Leo Michael Toyad. Tahniah, saya tumpang gembira dan bersyukur.

Tertanya-tanya pula saya, mengapa mereka yang tidakpun menyebut atau menjaja nama Umar Abdul Aziz, tiba-tiba boleh pula memeluk Islam. Manakala mereka yang terlalu obsess dengan gaya Umar Abdul Aziz, tidak juga nampak tanda-tanda untuk memeluk Islam. Inilah selalu saya bangkitkan, mesti ada udang di sebalik batu. Slogan Umar Abdul Aziz hanya mahu ‘mencairkan’ hati kita. Wal hal sebenarnya mereka ada agenda lain seperti musang berbulu ayam.

Malangnya, kita tidak pernah mengambil pengajaran. Sekurang-kurangnya belajarlah daripada mentor mereka di Singapura. Sehingga ke hari ini, pemimpin tua ultra kiasu yang tidak lagi menjadi Perdana Menteri, masih lagi berkuasa menentukan hala tuju dan masa depan Singapura. Ultra kiasu Singapura tidak pernah bersangka baik dengan orang Melayu, apatah lagi Melayu di negara kita. Hatta, sehingga ke akhir hayat isteri mentor tersebut masih sempat berpesan supaya jangan percaya kepada Melayu, kerana mereka kuat berpegang kepada Islam

Sebenarnya, ultra kiasu tidak pernah berubah. Perjuangan mereka tetap sama, tidak kira golongan tua atau muda. Malah lebih ultra lagi berbanding dahulu. Apa juga berkaitan dengan Islam akan ditentang habis-habisan walaupun nilai-nilai Islam juga akan kaitan dengan agama mereka. Jika mereka sudah berlembut dengan Melayu, sudah tentu mereka akan cuba menambat hati Melayu dengan memakai pakaitan tradisi Melayu ketika pembukaan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Ini tidak, mereka langsung tidak mahu dikaitkan dengan Melayu.

Kerajaan Kelantan cuba mengharamkan nombor ekor atau loteri. Adakah mereka bersetuju? Fahamkah mereka kepada Islam setelah berkawan dengan parti Islam? Jika tidak percaya, cuba kerajaan Kelantan haramkan arak, judi dan sebagainya adakah mereka akan bersetuju? Jawapannya ini sudah cukup memberikan gambaran sebenar akan ‘belang’ mereka. Tetapi kita tidak pernah serik.

Cuba tanya parti ultra kiasu antara PKR dan Pas, yang mana satukah pilihan mereka? Saya teramat yakin, mereka lebih selesa bekerjasama dengan PKR berbanding Pas. Buat sementara ini, mereka terpaksa menerima Pas kerana pengaruh dan kekuatan Pas masih mencengkam kalangan orang Melayu. Ditakdirkan kekuatan Pas semakin merosot, tunggulah masanya untuk ditendang keluar.

Dalam Islam, memang kita sepatutnya bersangka baik daripada berprasangka, apatah lagi melabelkan mereka. Tetapi tindak-tanduk mereka yang sudah jelas menyatakan penentangan mereka terhadap Islam membuatkan saya ragu-ragu. Mungkin Pas akan bertanya bagaimana pula dengan MCA, Gerakan dan MIC? Tidakkah mereka juga turut tidak bersetuju dengan negara Islam dan dasar-dasar Islam? Jawapannya, mereka juga tidak banyak bezanya, kerana mereka tetap satu dalam tiga atau tiga dalam satu. Saya cuma mengajak kita membuka mata. Ambillah pengajaran setiap yang berlaku.

Apapun sebelum mempercayai orang lain, lebih baik menaruh harapan terhadap saudara seagama. Hassan Al-Banna pernah berpesan, pendirian kita terhadap kepelbagaian kumpulan Islam yang wujud hendaklah berasaskan kasih sayang, persaudaraan, saling bantu membantu dan memberikan janji setia. Agama Allah adalah mudah dan penuh hikmah. Seseorang yang bersikap keras dalam agama, dia akan dikalahkan.

Monday, May 30, 2011

Apakah kita masih buta?

7:23 AM Posted by RIDHUAN TEE 290 comments
Sinar Harian, 30 Mei 2011

Akhbar perkauman ultra kiasu membuat liputan besar-besaran mengenai kempen keadilan untuk mendiang Lim Lian Geok (meninggal 1985), seorang aktivitis yang dianggap sebagai hero kerana memperjuangkan bangsa dan bahasa Cina pada tahun-tahun 1950an dan 1960an. Tujuannya tidak lain, supaya rukun politik mereka bertambah utuh dan kukuh.

Tidak ramai kalangan kita yang mengenali Lian Geok kecuali orang Cina. Elok juga umat Islam negara ini mengenali beliau daripada terlalu obses mengenali artis. Sekurang-kurangnya dengan mengenali ultra kiasu akan menjadikan kita lebih peka dan sensitif dalam menjaga maruah agama, bangsa dan negara.

Lian Geok adalah bekas guru Sekolah Cina Confucian sejak 1935 hingga 1961. Kewujudan sekolah tersebut hingga ke hari ini adalah hasil usaha beliau, terutama apabila sekolah tersebut rosak teruk akibat peperangan pada tahun 1945. Maka tidak hairanlah jika Lian Geok diangkat memimpin Persatuan Guru-Guru Cina Kuala Lumpur. Beliau juga adalah pengasas kepada Persekutuan Persatuan-Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia atau Jiao Zong dan Dong Jiao Zong.

Kewarganegaraan dan tauliah mengajar sebagai guru Lian Geok ditarik balik oleh kerajaan pada tahun 1961 disebabkan oleh kelantangannya menentang dasar pelajaran kebangsaan bermula dengan Penyata Barnes hingga Penyata Rahman Talib 1960 dan akta pelajaran 1961. Kesemua akta ini mahu mendaulatkan bahasa Melayu (juga bahasa Inggeris) sebagai bahasa pengantar. Mendiang didakwa sengaja memutar-belitkan dasar pendidikan negara dan menghasut rakyat benci kepada Yang DiPertuan Agong serta Kerajaan Persekutuan sehingga mengakibatkan permusuhan antara kaum.

Tindakan tepat kerajaan ketika itu mendapat tentangan dan kritikan yang hebat daripada ultra kiasu. Kerajaan dituduh mempunyai niat jahat untuk melenyapkan pengaruh dan suara Lian Geok. Hari ini, ultra kiasu mahukan segala ‘fitnah’ terhadap mendiang Lian Geok mesti ditarik balik selepas 50 tahun merdeka. Nama Lian Geok mesti dibersihkan. Lantaran, tekanan demi tekanan diberikan kepada kerajaan supaya mengiktiraf ‘perjuangan’ beliau. Ultra kiasu berpendirian, perjuangan mendiang Lian Geok tidak salah dan dibenarkan oleh perlembagaan atas hak kebebasan bersuara.

Pada hemat saya, hak dan kebebasan bersuara perlu ada batas-batasnya. Adakah wajar kata-kata ini dihemburkan dalam sebuah negara berasaskan kenegaraan Melayu: “orang Cina mesti menghantar anak mereka ke sekolah Cina. Sekolah Cina adalah ibarat nyawa dan roh. Jika orang Cina mahu memastikan mereka tetap Cina, tidak ada cara lain melainkan bersekolah Cina. Ini amat penting bagi mengekalkan identiti Cina, sayangkan bangsa Cina, budaya Cina, bahasa Cina, bangga menjadi Cina, dan lebih penting lagi tahu asal usul atau akar Cina”.

Saya tidak pernah mendengar kata-kata seumpama ini diungkap oleh bangsa minoriti yang tinggal di mana-mana negara yang dihijrahinya. Jika kata-kata ini diungkapkan di Thailand dan Indonesia, sudah lama mereka dihumban dalam penjara.

Tetapi kerajaan Malaya ketika itu begitu berlembut. Di sinilah berhikmahnya kita dalam menangani isu-isu antara kaum. Saya yakin, kerana Islamlah yang melembutkan hati Melayu untuk terus bertoleransi. Lian Geok juga masih diberikan kebenaran tinggal di sini sehingga ke akhir hayatnya walaupun tidak lagi menjadi warganegara.
Bandingkan di Indonesia, apabila Suharto mengambilalih kuasa dari Sukarno, beliau memberi pilihan kepada orang Cina sama ada balik semula ke negeri asal atau mengasimilasikan diri menjadi orang Indonesia. Majoriti orang Cina memilih untuk tinggal di Indonesia. Ini kerana, sudah menjadi dasar negara China ketika itu sudah tidak mahu lagi menerima mereka yang telah berhijrah. Kepulangannya ke tempat kelahiran akan menjadikan mereka lebih menderita.

Perkara yang sama berlaku di Malaya. Justeru, berterima kasihlah kepada kerajaan, kerana begitu berlembut membenarkan bukan warganegara tinggal di sini dan mengekalkan cara hidup tanpa diasimilasikan. Malangnya, ultra kiasu langsung tidak bersyukur di atas kemurahan hati kerajaan, malah beliau terus didendangkan sebagai wira kerana ‘setianya’ terhadap negara ini.

Beliau disanjung, dipuji dan dijulang serta diangkat tarafnya sebagai sebagai seorang patriot. Sedangkan kita tahu makna patriot adalah mereka yang sanggup berjuang mempertahan tanahair meskipun nyawa adalah gadaian. Kata-kata keramat beliau ini telah menjadi rukun politik orang Cina yang langsung tidak boleh disentuh. Jika disentuh, mereka akan mengugutkan untuk mengundi pembangkang.

Malah ultra kiasu terus menerus tanpa berputus asa mencari sebanyak mana hujah untuk memartabatkan perjuangan Lian Geok. Kenyataan Lian Geok dalam akhbar Utusan Melayu pada tahun 1956 sempena Hari Raya Aidilfitri dijadikan hujah untuk menonjolkan kehebatan beliau. Antara lain mahukan agar rakyat Malaysia dapat mendukung gagasan “Hidup Berbilang, Makmur Bersama” dengan melayani semua kaum sebagai anggota sekeluarga. Lian Geok juga dikatakan turut memberikan sumbangan besar kerana mencadangkan agar buku teks yang berkiblatkan negara China ditukar kepada orientasi Malaya sebagai rujukan sekolah vernakular. Perkara ini penting untuk melahirkan generasi muda yang setia terhadap negara ini. Dikatakan juga Lian Geok merupakan pemimpin pertama yang menyeru masyarakat Cina bersetia dan menjadikan Malaya sebagai tanahair dan memohon kewarganegaraan. Jika benarlah perjuangan beliau, sepatutnya perjuangan ultra kiasu menjadi semakin berkurang, tetapi kenapa ultra kiasu tidak pernah puas?

Sebagai mengenang dan menghargai ‘jasa beliau yang begitu hebat’ maka Pusat Pembangunan dan Kebudayaan Lim Lian Geok (PPKLLG) telah ditubuhkan. Saya tidak pasti pusat ini berdaftar secara sah atau tidak, tetapi alangkah malangnya sesebuah pertubuhan diluluskan tanpa dikaji dahulu sejarah, latar belakang dan tujuan penubuhan. Ternyata, pertubuhan ini adalah pertubuhan perkauman yang disokong oleh majoriti NGO Cina yang ada. Ringkasnya, pertubuhan seperti ini akan terus menambah tidak berkurang.

Isu yang dibawa oleh PPKLLG sama sekali tidak banyak berbeza dengan isu yang dibawa oleh 106 NGO Cina di Melaka di bawah naungan Dong Lian (suqiu) ketika penamaan calon DUN Merlimau, 26 Februari 2011 lalu. Suara mereka senada, sehati sejiwa. Mereka mengemukakan tuntutan yang sama iaitu kembalikan taraf warganegara Lian Geok, mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan berikan layanan sama rata kepada sekolah vernakular. Sebarang bentuk diskriminasi hendaklah dihentikan segera. Tidak cukup dengan itu, sambutan secara besar-besaran sempena memperingati perjuangan beliau diadakan setiap tahun. Kerajaan tidak pernah menghalang, kerana jika dihalang, undi akan lari. Saya amat memuji ‘semangat’ dan keberanian yang ada dalam perjuangan mereka, alangkah baik jika umat Islam mempunyai semangat sedemikian, yang tidak pernah luntur.


Jika dihayati ‘perjuangan’ Lian Geok, sepatutnya ia akan dapat menurunkan semangat ultra kiasu kumpulan ini. Tetapi bermula tahun 2008 hingga ke hari ini, menunjukkan sebaliknya. Mereka sibuk memperbesarkan isu pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar lepasan SPM tahun lalu. Mereka menuduh JPA yang bukan-bukan tanpa memberi peluang kepada JPA untuk membela diri. JPA bukan mudah untuk mengeluarkan kenyataan kerana tertakluk kepada ‘boss’ atau menteri yang bertangunggjawab.

Lebih malang lagi pemimpin-pemimpin ultra kiasu dalam komponen Barisan Nasional turut mengecam JPA. Mereka ibarat api dalam sekam dan duri dalam daging. Berkali-kali saya telah nyatakan inilah strategi paling licik, bersatu dalam senyap. Tekanan demi tekanan dan desakan begitu agresif dibuat.

Ultra kiasu mendesak supaya Talent Corp mengambilalih urusan ini daripada JPA. Pada mereka, JPA tidak telus, hanya mementingkan pelajar Melayu sahaja. Formula yang ada tidak mahu diterima pakai. Andai kata Talent Corp diberikan mandat untuk menguruskan hal ini, saya yakin Talent Corp akan menjadi mangsa seterusnya, jika keputusan yang dibuat tidak menyebelahi ultra kiasu. Pendek kata, apa yang cuba dilakukan kerajaan semua tidak betul. Mereka sahaja yang betul.

Cemerlang tidak hanya boleh dinilai dengan mendapat A+ sahaja. Saya fikir banyak faktor lain yang perlu diambil kira terutama aspek kecerdasan emosi (EQ). Apa guna mendapat A+ jika matlamatnya untuk mendapat biasiswa sahaja. Setelah tamat pengajian, bayang entah ke mana. Mereka tidak terasa terhutang budi. Tidak mahu menabur bakti di bumi sendiri. Malah ada sanggup mengkhianati dan belot.

Justeru, definisi pelajar cemerlang perlu penjenamaan semula, supaya tidak disalahertikan. Bagi memenuhi tuntutan ini, JPA telah mengadakan temuduga kepada semua pelajar-pelajar terlibat. Ultra kiasu begitu menentang tindakan JPA. Ultra kiasu sudah dapat menjangkakan jika temuduga dibuat, pelajar bukan Melayu agak sukar untuk menandingi pelajar Melayu, terutama dari aspek keupayaan berbahasa walaupun mungkin mereka mendapat A+ dalam subjek bahasa Melayu.

Terkini, sempena sambutan ulang tahun ke-120 Sekolah Methodist Lelaki Pulau Pinang, pihak gereja Methodist mahu membina lebih sekolah swasta, sebagai altenatif kepada penurunan standard akademik di sekolah-sekolah kebangsaan. Menurut biskop Dr Hwa Yung, misi Gereja Methodist ialah membina rangkaian sekolah swasta agar golongan muda Malaysia akan menikmati pendidikan terbaik. Kenyataan ini jelas-jelas menghina sistem pendidikan kebangsaan. Jika pendidikan kebangsaan tidak ada standard, kenapa saban tahun pelajar-pelajar kita diterima belajar di luar negara? Kenapa ultra kiasu begitu lantang mahukan biasiswa JPA diberikan kepada mereka? Tidakkah semua mereka produk daripada sekolah kebangsaan?

Alasan simplisitik gereja Methodist dengan merujuk kejayaan dengan kerjasama mazhab Kristian yang lain terlibat dalam bidang pendidikan sejak 1800-an apabila British datang ke negara ini. Gereja Methodist mempunyai 26 sekolah menengah dan 42 sekolah rendah yang mendapat bantuan kerajaan, enam sekolah swasta dan sebuah kolej persendirian. Gereja Methodist kesal kerana kebanyakan sekolah mubaligh kini berada di bawah kawalan kerajaan dan beroperasi atas dasar-dasar yang tidak “simpati” kepada sekolah-sekolah jenis itu.

Kini, gereja Methodist bergerak aktif dengan memulakan sekolah bagi penduduk di kawasan luar bandar yang tiada akses kepada sekolah-sekolah kerajaan. Selepas itu, menurut Gereja Methodist, mereka mahukan Methodist College ditubuhkan bagi mencapai taraf kolej universiti pada masa akan datang. Saya yakin mereka akan menggunakan peluang-peluang ini sepenuhnya di negeri-negeri yang ditadbir oleh ultra kiasu, terutama Pulau Pinang.

Kerajaan perlu sedar akan strategik ini. Matlamat mereka hanya satu, untuk menyebarkan ajaran Kristian di negara ini. Saya amat mengharapkan kerajaan tidak akan tunduk atau melulus sekolah dan kolej missionari ini. Mereka mempunyai perancangan yang licik untuk merealisasikan cita-cita mereka, menjadi rantau Melayu ini sebagai sasaran Kristian setelah mereka gagal di Barat.

Saya cadangkan pihak gereja bawa idea sekolah ini untuk dibina di negara China. Adakah kerajan China akan terima? Janganlah terlalu mengutuk negara sendiri, untuk memenuhi tuntutan dan strategi Kristianisasi. Kita semua tahu perancangan licik dan jahat pihak gereja. Umat Islam tidak banyak bercakap atas menghormati kebebasan beragama. Tetapi jangan terlalu berani mencabar. Sistem sebegini tidak pernah wujud di negara lain. Saya amat pelik, kenapa kita sanggup korbankan kepentingan nasional semata-mata untuk meraikan orang lain? Bertindaklah sebelum terlambat.

Tidak ramai yang mengetahui setakat ini layanan kerajaan terhadap sekolah vernakular sudah hampir sama sekolah kebangsaan. Semua gaji guru-guru di sekolah vernakular dibayar oleh kerajaan. Cuma sebahagian bangunan dan tanah kepunyaan mereka. Kerajaan ingin memberikan layanan yang sama dengan syarat kembali bangunan dan tanah kepada kerajaan untu ditadbir secara profesional, tetapi sampai matipun mereka tidak akan serahkan. Justeru, adakah adil kita meminta layanan sama rata dan sama rasa, tetapi kita langsung tidak boleh disentuh. Keadaan yang sama akan berlaku kepada sekolah Methodist ini. Kita tidak boleh berlembut lagi, kerana kepala kita sudah di pijak. Sudah sampai masanya kita bertegas untuk menjaga maruah agama, bangsa dan negara. Jadikanlah ‘perjuangan’ Lim Lian Geok sebagai iktibar. Apakah kita masih buta?

Wahai pemimpin Islam! Bangunlah. Bukti sudah berada di depan mata. Golongan ini sanggup meletakkan DNA babi dalam produk pembuatan kek yang rata-rata dilanggani oleh umat Islam. Tidak perlu saya namakan kedai kek tersebut. Ini baharu satu kedai dan satu produk, banyak lagi kedai dan produk lain seumpama ini. Rujuklah Persatuan Pengguna Islam Malaysia. Saya amat pelik kenapa umat Islam begitu obses untuk makan dikedai-kedai kek yang dipunyai oleh bukan Islam. Orang melayu diperalatkan untuk menjadi pekerja-pekerja di sana sebagai daya tarikan HALAL. Wal hal bahan-bahan yang digunakan adalah haram. Semua tindakan ini sengaja dibuat untuk merosakkan ‘hati’ umat Islam. Tidakkah kita tahu bahawa bahawa mereka sentiasa mahu menggelap hati kita agar perjuangan jihad menjadi luntur?