Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, December 22, 2014

Tazkirah untuk orang pencen

8:26 AM Posted by RIDHUAN TEE 21 comments


(SH22.12.14)

Khusus ditujukan kepada pesara kerajaan, sama ada bergelar atau tidak, ketika berada di atas puncak kuasa dahulu, apa yang kamu buat untuk menjaga kepentingan agama bangsa dan negara. Adakah kamu berkhidmat dengan penuh ikhlas? Atau.... Tuhan sahaja yang tahu.  

Saya amat setuju dengan cadangan Perkasa, ‘25 Melayu berpengaruh ini (pesara kerajaan) atau menteri atau pemimpin parti, mengisytiharkan harta mereka. Sekadar bekerja dengan kerajaan, setinggi manapun jawatannya, malah jawatan menteri sekalipun, tidak akan menjadikan kita kaya-raya. Jika ada yang kaya-raya, bermakna adalah benda yang tidak kena. Kecualilah, asal-usul mereka memang kaya.

Ini tidak, kadangkala, bukan sahaja pesara kerajaan itu kaya, adik-beradik dan anak-beranaknya pun turut kaya. Dari mana mereka dapat duit?   

Justeru, muhasabah diri. Fikirkan kembali. Bertaubatlah jika terlanjur.  Mengapa hari ini, selepas pencen, kamu menjadi begitu lantang dan berani, tanpa terlebih dahulu membuat sedikit penelitian atau penyelidikan terhadap mereka yang bertungkus-lumus berjuang mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara, sama ada pihak berkuasa kerajaan mahupun NGO-NGO berkaitan?

Bukan bermakna di penghujung usia ini kita tidak bercakap langsung. Tetapi biarlah bertempat. Pastikan tindak-tanduk kita menguntungkan Islam.

Pernahkah terfikir, tatkala mata semakin kabur, kulitpun dah kendur, gigi mula berterabur, rambut banyak gugur, makanpun dah makan bubur, dan tidak lama masuk kubur, banyak persediaan perlu dilakukan menuju ke alam akhirat.

Maklum sahajalah, sudah menjadi lumrah, masa muda kita redah segala-galanya, tidak kira halal haram. Bila dah tua nanti barulah bertaubat. Sebab itu, ramai yang tidak berani pergi menunaikan haji waktu muda, kerana takut tidak boleh buat dosa lagi.

Maka ditunggu sampai ke tua, agar boleh cuci dosa sebelum mati. Moga-moga masuk syurga. Itu pun ramai yang tidak insaf lagi, pergi haji dan umrah berkali-kali, balik, masih gondol lagi. Ingat, tiada jaminan bahawa balik atau mati di Mekah boleh masuk syurga.

Jika itulah tandanya, paling ramai masuk syurga nanti, adalah orang Arab, sebab rumah mereka semuanya dekat dan mengadap Kaabah. Hari-hari boleh buat umrah dan setiap tahun boleh buat haji dan juga mati di sana.
Rugilah kita menjadi umat yang jauh dari Kaabah sebab tidak dapat mati di sana, berumrah dan berhaji. Jelasnya, jauh atau dekat kita dengan Kaabah, itu bukan penentu ke syurga. Hatta, jika tidak pernah sekalipun ke Mekah, ada jaminan syurga. Yang penting, kita beriman dan tidak, semasa hidup. 

Hari ini, sepatutnya, kamu melakukan muhasabah diri. Campur tolak dosa dan pahala.

Pertama, bertaubatlah kepada Allah SWT, menyesali segala dosa yang dilakukan selama ini. Qada semula solat telah kami pernah ditinggalkan. Dekatilah masjid dan surau.

Kedua, jika masih belum menutup aurat, pergilah kedai-kedai tudung (kopiah). Carilah yang bersesuaian untuk menutup kulit dan rambut yang semakin dimamah usia.

Jika tidak percaya kepada aurat (rambut) bagi yang wanita, mungkin jawapan agamawan sudah dijangkakan. Apa kata pergilah bertanya kepada artis-artis yang telah berhijrah. Tanyalah mereka kenapa bertudung?

Jangan jadi seperti orang kampung. Apabila makcik-makcik ditanya kenapa masih tidak pakai tudung, maka jawapannya, “makcik dah tua, pakai tudung buat apa, siapa yang nak pun” Tidak mengapalah makcik kampung. Tetapi kamu orang bijak pandai. Malangnya kepandaian kamu masih belum dapat menyedarkan kamu.

Ketiga, luang masa untuk mentelaah al-Quran, Hadis dan kitab-kitab muktabar. Jika bacaan al-Quran masih gagap dan tidak betul, pergilah belajar.

Saya amat bimbang dengan perkumpulan wanita yang mendakwa dirinya Islam, tetapi jahil dalam memahami al-Quran. Mereka bercakap banyak tentang Islam, tetapi membaca al-Quran sekadar terjemahan. Sudahlah begitu, mengaku pula diri pandai. Bukan apa, takut sesat jadinya.

Keempat, jika ada anak dan cucu, jagalah mereka dengan baik. Pastikan mereka membesar dengan iman dan Islam, berindentitikan Melayu, jika itulah bangsanya.

Saya amat bimbang generasi hari ini, lahir dari ibu bapa Melayu,tok nenek semua Melayu, tetapi sikap, perangai, tingkah laku langsung tidak serupa Melayu. Mereka kelihatan lebih barat dari barat. Maklumlah pernah jadi duta luar negara atau belajar di sana.

Kelima, Jika ditakdirkan, khidmat kamu diperlukan selepas pencen, maka kamupun dilantik memegang jawatan ini dan itu, sama ada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, itu bukan kerana kamu terlalu bagus, sehingga menjadi kamu berlagak dan kondem orang lain.

Itu tandanya Allah masih beri kamu peluang. Maka gunakan peluang tersebut untuk menebus dosa-dosa yang lalu. Manfaatkan jawatan untuk agama, bangsa dan negara. 

Keenam, jika kamu ada mengambil duit rakyat atau duit haram semasa memegang jawatan, banyakkanlah bersedekah sebelum Allah cabut nyawa kamu. 

Jangan pandai menuding jari, orang itu ekstrim dan orang ini ekstrim. Sendiri mahu ingat. Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga.


Monday, December 15, 2014

Siapakah ekstremis sebenarnya?

9:06 AM Posted by RIDHUAN TEE 35 comments


(Sinar Harian 15 Dec 2014)

Sangat geli hati membaca surat terbuka 25 Melayu yang dikatakan kononnya berpengaruh, berpangkat Tan Sri dan Dato, pesara kerajaan, bercakap soal ekstremis di negara ini dan cara penyelesaiannya.

Semasa dalam perkhidmatan kerajaan, apa yang mereka lakukan? Apakah mereka benar-benar memanfaatkan jawatannya untuk kepentingan agama, bangsa dan negara? Jarang sekali saya melihat ada pegawai tinggi kerajaan sebegini. Rata-rata mahu kekalkan jawatan tingginya, dan kalau boleh disambung kontrak demi kontrak. 

Ingin juga saya bertanya, adakah sepanjang berada dalam perkhidmatan kerajaan dahulu, mereka ini semuanya bersih, bebas dari amalan rasuah? Sejauhmana penglibatan mereka dalam NGO selepas bersara atau hanya berjumpa dengan orang-orang pencen?

Sejauh mana pengetahuan agama Islam mereka hendak mempertikaikan institusi agama dan NGO yang dikatakan bertindak bertentangan dengan Perlembagaan dan konsep syura atau digelar ekstremis?

Jangan hanya pandai mengeluarkan kenyataan. Pergilah berjumpa dengan Menteri berkaitan untuk mengetahui keadaan yang sebenar. Banyakkan berdamping dengan NGO-NGO yang saban hari bersama rakyat menyelami masalah mereka, bukannya duduk dalam banglo setelah pencen dan berbincang sesama sendiri.

Mereka mendakwa mereka Muslim moderat? Apa maksud moderat? Islam bukan agama moderat. Islam adalah agama bersifat fundamental. Biasakan berkata saya Muslim fundamental, bukan moderat. Jika tidak faham fundemantal, biar saya jelaskan, yakni Muslim yang benar-benar faham dan berpegang kepada agama Islam, atau menjadikan Islam sebagai way of life, bukan Islam pada kulit sahaja.

Mempertahankan agama dan hak kaum itu bukan ekstremis, tetapi fundamental. Lebih-lebih lagi penduduk asal. Ekstremis adalah mereka yang bertindak membuta tuli atau membabi buta atau membawa ajaran sesat.

Terus terang, saya tidak berani menuduh Perkasa atau Isma itu ekstremis, walaupun ramai yang tidak menyukainya. Selalulah berbincang dan berdampinglah dengan NGO ini untuk memahami mereka dan hakikatnya. 

Jika kaum lain terus mempertahankan agama dan hak mereka secara ekstrem, apakah kita perlu menjadi cair, terlalu terbuka atau liberal. Kenapa tidak menuduh mereka juga ekstrem? Kenapa memangsakan institusi atau NGO Islam sahaja?

Tidak dinafikan bahawa dialog antara agama dan peradaban itu sangat penting pada masa kini. Persoalannya, sejauh mana kita berlapang dada dan memahami makna keadilan. Ramai hari ini melihat keadilan itu 1=1. Bukan meletakkan sesuatu kepada tempatnya. Itu yang menjadi ekstrem.

Izinkan saya menjawab saranan 25 tokoh Melayu itu.

Pertamanya, katanya pertembungan antara undang-undang sivil dan syariah. Sejauhmana tokoh Melayu ini faham tentang undang-undang dan masalah yang dihadapi. Saya sarankan pergi berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan barisan pakar mereka, untuk berdiskusi, sebelum mengeluarkan kenyataan. Seorang bekas hakim (peguam) belum dia tentu dia mahir undang-undang, jika dia jahil undang-undang Islam.

Kedua, katanya, kurangnya kesedaran di kalangan orang ramai, termasuk pemimpin tertinggi, terhadap aspek perundangan dan had bidang kuasa institusi agama dan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia. Persoalan saya, mereka mahir sangatkah?

Adakah benar bahawa undang-undang yang digubal, termasuk undang-undang Islam, tidak boleh bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya perkara berkaitan kebebasan asasi manusia, pembahagian bidang kuasa di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta prosedur legislatif? Apakah tidak ada langsung keistimewaan Islam dalam perlembagaan. Bagaimana pula dengan kedudukan raja-raja Melayu yang menjaga hak agama Islam dan bangsa Melayu? Benarkah mereka ini pakar?

Ketiga, hak rakyat untuk membahaskan bagaimana agama Islam digunakan sebagai sumber undang-undang dan dasar awam di negara ini. Persoalan saya rakyat bagaimana yang ada hak untuk membahaskannya. Adakah terdiri daripada kalangan mereka yang sudah pencen? Adakah mereka ini pakar? Kenapa dahulu semasa bekerja tidak syorkan? Takut bukan? Kenapa terlalu lantang hari ini setelah pencen? Saran saya, elok mohon balik untuk kerja kontrak.

Keempat, perlunya mempertingkatkan kesedaran mengenai kepelbagaian yang wujud dalam pentafsiran teks dan ilmu feqah. Ingin saya bertanya, sejauhmana ilmu mereka dalam ilmu fiqh? Berapa kitab yang telah dibaca? Serahkan kepada yang pakar.

Dalam Pejabat Perdana Menteri dan badan perunding yang dilantik, sudah terlalu banyak pakar. Apakah 25 tokoh Melayu merasakan diri mereka terlebih pakar?

Kelima, melantik pemimpin-pemimpin yang berupaya menghidupkan budaya debat dan wacana yang terbuka dan koheren berhubung dengan pentadbiran undang-undang Islam di negara ini. Semua pakar tersebut telah ada. Perbincangan sedang berjalan, tetapi bukan berdebat seperti yang disyorkan. Debat tidak akan selesaikan masalah, kerana debat mencari siapa benar, siapa salah. Sebetulnya, dialog, kerana dialog mencari apa yang benar, apa yang salah.

Sebenarnya semua keadaan ini berlaku disebabkan tuntutan ekstrem ultra kiasu. Umat Islam terpaksa bangun mempertahankannya. Jika tidak, pasti agama Islam akan cair dalam negara berteraskan kepada Islam dan Melayu ini. Peliknya, kenapa mereka hanya menyalahkan umat Islam, tidak langsung merujuk kepada ultra kiasu yang mencetus dan melakukan provokasi.

Monday, December 08, 2014

Pentingkan kematangan bukan usia

10:00 AM Posted by RIDHUAN TEE 11 comments


(SH 8.12.14)

Bukan soal muda atau tua yang utama dalam mencari kepemimpinan terbaik, tetapi soal kematangan. Tidak ada gunakan muda jika tidak matang. Tambah serius, tua, kebudak-budakan. Tua atau muda, yang penting matang. Begitu juga soal pemimpin wanita.

Inilah perkara yang perlu difikirkan secara serius oleh Umno dalam mengenengahkan barisan kepemimpinan pada masa akan datang. Bukan usia atau jantina yang menjadi faktor penentu. Ini tidak, pantang didesak sedikit, mulalah melatah. Calon yang benar-benar berkualiti tidak juga diperolehi.

Lebih malangnya, calon tua yang sudah tidak nampak lagi ciri-ciri kepemimpinannya, hanya dek kerana dia banyak duit, maka dia tetap dikekalkan. Daripada orang tua yang sebegini, lebih baik orang muda yang belum matang lagi. Sekurang-kurangnya boleh juga dibimbing. Saya masih berpegang kepada kata-kata, pemimpin yang umur lebih 40 tahun, tidak juga matang atau berubah, maka kayulah dia.

Nabi amat matang pada usia remaja, tetapi Allah tidak angkat menjadi Rasul sehinggalah Baginda berusia 40 tahun. Bukan bermakna saat remaja tidak penting. Allah mahu beri pengajaran.

Saat ini mereka mempunyai tenaga, kekuatan dan berkebolehan, seperti Panglima Muhammad Al-Fateh, usia di bawah 20 tahun, telah berjaya memimpin bala tentera yang besar dan menang dalam peperangan. Kenapa? Usia remaja tetapi pemikiran amat matang. Inilah pendewasaan. 

Hari ini kita bukan hendak meremajakan parti, tetapi mendewasakan parti. Barulah matang namanya. Sekadar meremajakan, tidak sampai kepada matang. Pendek kata, kita mahukan orang muda berfikiran dewasa. Barulah matang. Hodoh sangat orang tua yang mahu kembali remaja atau muda, ketika kemampuan sudah tidak ada.

Nabi menasihatkan kita supaya menggunakan masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, begitulah seterusnya.

Kita mahu calon yang apabila diletakkan harta, wanita dan takhta di hadapan mata, mereka tidak gelap mata. Malah ketakutannya kepada Allah melebihi segala-galanya. Inilah calon pilihan rakyat.

Sebab itulah, pada hari ini, kita perlu fikirkan bersama, bagaimana mencari pemimpin seperti para khalifah dan sahabat terdahulu, Mahatma Gandhi, Gautama Buddha, Konfucius dan lain-lain. Tidak perlulah saya sebutkan mencontohi para anbiya kerana mereka sangat mulia. Tidak terikut atau tercapainya kita untuk mencontohinya.

Orang yang matang bertindak mengikut akal fikiran, bukan hawa nafsu. Orang matang sentiasa memikirkan soal masa depan berbanding masa kini. Orang matang selalu mendahulukan rakyat berbanding diri sendiri.

Orang matang sentiasa mengutamakan perkara asas daripada rasmi dan protokol. Mereka tidak hairan jika tidak ada gelaran dan pangkat Tun, Tan Sri, Dato dan lain-lain. Ini tidak, pantang tidak dipanggil gelaran itu ketika disapa atau majlis rasmi, maka mengamuklah mereka.

Lebih menjengkelkan lagi, si isteri yang menumpang gelaran suami turut naik tocang apabila tidak dipanggil puan seri, datin dan sebagainya. Hebat sangatkah gelaran tersebut, sedangkan sumbangan tidak seberapa? Kadangkala gelaran tersebut diperolehi atas angin sahaja, bukan kerana jasa atau sumbangan. Hanya dek kerana mereka berharta dan berkuasa, maka gelaran dan pangkat tersebut mudah didapati. Tidak kurang yang dibeli.   

Apalah sangat dunia ini, bila sampai dikubur nanti, malaikat tidak tanya semua pangkat kita itu, termasuk harta, wanita dan takhta. Semua itu akan ditinggalkan. Apa yang kekal dan boleh dibawa bersama adalah iman dan taqwa. Gelaran dan pangkat tidak akan membawa kita ke syurga Allah.

Bagi mereka yang memiliki kematangan emosional, lebih hebat lagi.  Mereka ini lebih mudah untuk menyesuaikan diri dengan baik dan tidak mengalami kecelaruan psikologi.  

Mereka mempunyai kesedaran yang lebih tinggi mengenai kekuatan dan kelemahannya. Sentisa mahu memperbaiki diri, sebab kita manusia biasa.  Mereka juga tidak terlalu egosentrik. Mereka mengambil perhatian akan orang lain.

Kematangan emosi menjadikan mereka dapat mengawal emosi sendiri. Tidak impulsif atau tidak mengikut hawa nafsu. Jiwanya lebih stabil untuk melawan godaan hedonistik dan kemewahan dunia. Emosi mereka stabil. Boleh mengawal amarah dan tidak ekstrem. Juga tidak terlalu bersikap defensif. Bersedia menerima kritikan atau lebih bersedia belajar dari pengalaman.

Pendek kata, menurut Bass (1990) kematangan emosi juga menjadikan kita mudah bekerjasama dengan orang bawahan, rakan taulan dan orang atasan.

Justeru, dalam menentukan kepemimpinan hari ini. Carilah yang matang, bukan usia. Bukan apa, meninjau segelintir ucapan perwakilan, kadangkala kita tidak nampak kematangan tersebut. Sebab itu, janganlah meminta jawatan, jika kita tidak mampu untuk menguasai diri sendiri.

Ingatlah kata-kata Tsun Tzu, kenali diri sebelum kenali musuh, kita akan memenangi ribuan pertarungan. Ultra kiasu sentiasa memerhatikan kita. Menunggu masa untuk menjatuhkan. Satu kesilapan yang kita lakukan, akan dijadikan alat untuk menjatuhkan. Mereka sanggup melupakan seribu kebaikan yang kita buat. Inilah realiti politik hari ini. Justeru, carilah yang matang, bukan usia atau jantina.
 

Monday, December 01, 2014

Hina sangatkah Umno?

9:05 AM Posted by RIDHUAN TEE 16 comments


(Sinar Harian 1.12.2014)

Bermula dari sebelum, semasa dan selepas PAU 2014, boleh dikatakan tidak ada sedikitpun berita baik yang dilaporkan oleh media sosial anti-establishment. Semuanya buruk, seolah-olah Umno ini sangat hina, yang suci adalah ultra kiasu. Ini tidak termasuk kejian, makian dan hinaan dari melalui komen pembaca.  

Saya tidak kata Umno itu semuanya baik. Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, terutama dari sudut integriti. Tetapi liputan yang dibuat amat tidak adil. Kenapa tidak dibuat perkara yang sama kepada parti ultra kiasu? Berita sengaja diputar belitkan untuk lariskan perniagaan.  

Ketika semua parti yang ada memperjuangkan kaum masing-masing, apakah parti Melayu (Islam) perlu keluar dari kepompong itu? Siapa akan mempertahankan Melayu dan Islam jika Umno dan Pas menjadi liberal? Selama ini pun ultra kiasu tidak pernah percaya kepada Umno dan Pas.

Jika PKR yang didewakan sebagai parti untuk semua kaum, saya cadangkan mereka memberi laluan bukan Melayu untuk menjadi Presiden selepas ini. Saya yakin parti ini akan terkubur.

Seperti BN, bukan Melayu menggunakan PKR sebagai batu loncatan untuk mendapat kerusi dan jawatan exco dalam negeri-negeri yang ditawani.

Sama seperti parti komponen BN. Kemenangan mereka di Semenanjung bergantung kepada undi Melayu. Trend pengundian membuktikan bukan Melayu memberikan undi kepada DAP ultra kiasu.

Parti komponen BN tahu, mereka tidak mendapat sokongan kaumnya sendiri. Selain kalah dalam kawasan majoriti Cina, mereka juga akan ditempatkan di kawasan majoriti Melayu. Di sinilah tiket untuk menang dan mendapat kerusi kabinet.

Parti DAP, walaupun mendakwa mereka adalah parti untuk semua kaum, hakikat sebenar tidak. Itu hanya strategi untuk mengaburi dan memenangi hati orang Melayu dan secara halus meminggir dan menyingkirkannya. Malang sekali ada Melayu Islam yang tergoda dengan gula-gula ini.

Saya tidak nampak Perdana Menteri sebelum ini hingga kini, bertindak terlalu kepartian atau kemelayuan sehingga meminggirkan bangsa lain. Jika tidak sudah lama bangsa lain merempat.

Mereka tahu membezakan tanggungjawab selaku ahli politik dan negarawan. Apabila mereka telah memenangi pilihan raya dan menjadi pemimpin utama, maka ketika itu mereka adalah negarawan.

Peliknya, kenapa ultra kiasu menjadikan Umno (tidak ketinggalan Pas) sebagai sasaran? Jawapannya mudah, kedua parti ini tidak dapat lari dari Melayu dan Islam. Kedua parti tidak mahu negara ini diterajui ultra kiasu yang mahu meliberal dan mempluralkan bumi ini agar tidak beridentiti. Mereka tidak mahu agenda Islam, Melayu dan bumiputera mengakar.

Lebih serius lagi, ada yang mahukan sejarah kemerdekaan negara ini ditulis semula, dengan menekankan sumbangan kaum secara sama rata. Tanpa memberikan lebih kredit kepada bangsa Melayu.

Sedangkan sejarah membuktikan, bahawa orang Melayulah yang paling banyak berkorban bermula dari negara ini dijajah sehinggalah mencapai kemerdekaan, dengan tidak menafikan sumbangan kaum lain.

Sumbangan dan pengorbanan bukan Melayu terhadap kemerdekaan, hanya muncul setelah Malayan Union dimansuhkan pada tahun 1946, hasil penentangan orang Melayu sehingga melahirkan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) 1948.

PTM ditentang hebat oleh bukan Melayu (termasuk Melayu) yang berhaluan kiri (komunis) dan mahukan ianya digantikan dengan Perlembagaan Rakyat. Nasib baik, British menolak perlembagaan rakyat yang dianggap terlalu radikal.

Untuk makluman, PTM 1948 adalah cerminan kepada PTM 1957 yang dipersetujui British, yang masih mengekalkan kedudukan Islam, Melayu (termasuk bahasa), Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu. Unsur-unsur tradisi inilah yang mengikat dalam kontrak sosial.

Sebab itu, saya amat pelik, kenapa dan mengapa sehingga ke hari ini ultra kiasu sengaja tidak mahu memahami hakikat ini. Terus terang, saya amat mengagumi Henry Sackville  Barlow, Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad, yang kini dimiliki oleh PNB.

Barlow dan Sime Darby tidak dapat dipisahkan, kerana pertalian rapat ahli keluarganya. Sejarah Sime Darby bermula pada tahun 1910, ketika Tanah Melayu dijajah. Peniaga British William Middleton Sime dan Henry Darby menubuhkan Sime, Darby & Co. Bermula dengan sektor perladangan getah, kemudian berkembang kepada sawit, koko dan pelbagai sektor, sehinggalah diambilalih PNB.  

Selaku orang yang tinggal lama di sini dan memahami budaya politik Melayu, Barlow sentiasa mengingatkan Sime Darby agar tidak melupakan agenda Melayu dan bumiputera dalam setiap rancangan ekonomi. Nyata sekali Barlow amat memahami sensitiviti dan budaya politik negara ini.

Peliknya anak penjajah British sangat sensitif dengan agenda Melayu dan bumiputera, kenapa mereka yang sekian lama tinggal di sini sengaja tidak mahu memahaminya, malahan mendesak supaya ianya dihapuskan. Lebih pelik lagi, kalangan kita sendiri turut bersekongkol?

Saya amat mengharapkan PAU 2014 kali ini benar-benar memberikan keinsafan kepada Umno dalam usaha memartabatkan dan memperkasakan pembangunan negara bangsa tercinta ini .