Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, March 03, 2014

Belajar bersikap terbuka

7:23 AM Posted by RIDHUAN TEE 23 comments


(Sinar Harian 3 Mac 2014)

Tulisan saya dalam Sinar Harian 24.2.14, bertajuk “Apa sudah jadi dengan Melayu” mendapat perhatian daripada berbagai pihak termasuk seorang wartawan veteran yang saya hormati. Kenyataan saya jelas, tidak salah masuk gereja, kerana saya sendiri ada pergi ke sana (tokong) selepas memeluk Islam atas tujuan dakwah.

Ironinya, isu utama yang ingin saya sampaikan, iaitu paderi yang berceramah di gereja yang menanam kebencian antara kaum tidak pula dibahaskan. Isu gereja dan babi yang disensasikan. Tak pe lah.

Jika orang lain bebas memberi pandangan, apakah saya tidak boleh? Belajar bersikap terbuka. Saya tidak takut meskipun saya masih berada dalam sistem. Kenapa kita hanya berani selepas keluar daripada sistem? Kenapa dahulu ketika berada dalam sistem, kita tidak berani mengkritik kerajaan, malah menjadi pembodek tegar? Adakah ini yang Perdana Menteri mahu?

Ketika dalam kerajaan, menikus. Bila keluar daripada sistem, seolah-olah menjadi jeneral yang berani. Ini bukan budaya Melayu yang saya fahami,  kerjanya tidak lain hanya tahu membodek, yes boss.

Saya sendiri, telah dikenakan bermacam-macam tindakan disebabkan kelantangan ini, adakah itu bermakna saya perlu berhenti bersuara? Tidak sama sekali. Amar makruf nahi mungkar, adalah kewajipan yang mesti ditunaikan. Berkata benar walaupun di hadapan pemerintah yang zalim.

Saya hanya pertikaikan kenapa dahulu orang Melayu jarang melakukan perkara pelik-pelik? Kenapa hari ini begitu berleluasa? Saya tidak hanya tujukan kepada seseorang. Kenyataan saya bersifat umum. Termasuk mereka yang pergi ke Batu Caves. Ada  yang melabelkan saya sebagai pencacai UMNO. Malangnya, saya bukannya ahli UMNO. Saya tidak dapat apa-apa dari UMNO. Apapun label yang diberikan, ada aku kisah!

Persoalan masuk ke gereja (kuil/tokong), belajar di sana, dan apa jua tujuan masuk ke rumah penyembahan ini, tidak menjadi masalah, selagi kita pandai membawa diri. Namun, ia perlu dilakukan secara berhati-hati. Tidak moleklah masuk tanpa tujuan. Apatah lagi pergi berkempen ketika pilihan raya. Nampak sangat kita terlalu terdesak.

Realiti politik perkauman di Malaysia, kita ada wakil-wakil kaum, untuk setiap bangsa dan agama. Bukankah lebih bersopan jika wakil-wakil ini memasuki kawasan tersebut. Biarkan mereka berkempen di sana. Kenapa kita perlu pergi dan menari-nari pula? Bukan apa, takut jadi fitnah.

Jika ada pilihan, sudah tentu saya cuba mengelak untuk ke rumah penyembahan bukan Islam atau pergi suka-suka. Saya tidak mahu bersuhabat. 

Namun, jika tidak ada pilihan, tidak mengapalah. Tetapi jangan ‘over’ sehingga lebih garpu dari sudu. Jangan sampai hilang maruah diri dan jati diri.

Sama juga isu kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Dewasa ini ke mana pun saya pergi, jarang sekali melihat atau membaca signage atau nama taman perumahan atau kompleks membeli-belah mempunyai nama-nama kebangsaan. Rata-rata menggunakan bahasa asing, mall sana mall sini, mont sana mont sini, park sana park sini, ainsdale, dan lain-lain. Lekeh sangatkah bahasa kita? Sehinggakan pemaju perumahan Melayu sendiri sudah tidak yakin dengan nama-nama kebangsaan?

Apakah produk nama-nama kebangsaan ini tidak glamour sehingga tidak laku untuk dijual? Apakah kita mahu menjadi Singapura dan Pulau Pinang? Sekurang-kurang Singapura masih kekalkan lagu kebangsaan dalam bahasa Melayu, Majulah Singapura. Begitu juga command tentera mereka.

Persoalan, di manakah peranan majlis bandaraya atau majlis perbandaran? Adakah kita menerima bulat-bulat submission yang dilakukan oleh pihak pemaju. Tidak ada jati diri negarakah? Atau pegawai yang menjaga terlalu jahil kerana terpesona dengan gula-gula rasuah yang diberikan?

Setiap negara ada identiti. Pergilah ke Thailand, Jepun dan China. Lihat papan tanda, nama jalan, nama taman dan apa jua nama, semua ada kaitan dengan jati diri bangsa dan negara mereka. Kenapa negara kita tidak sebegitu? Nama-nama asing semakin berleluasa.

Saya amat bimbang dengan tuduhan barat yang disangkal oleh Syed Hussein Alatas dalam bukunya Motis Pribumi Malas. Barat beranggapan faktor iklim dan lingkungan tropika yang dianggap sebagai punca kemalasan orang Melayu. Iklim sedemikian, jangkitan penyakit serta kemewahan para pemimpin mereka telah menyebabkan rakyat menderita sehingga menjadikan Melayu beku tanpa cita-cita.

Adakah mereka yang berada di majlis perbandaran sudah sedemikian rupanya? Syed Hussein menyangkal dengan berkata, pribumi atau Melayu sebenarnya bekerja keras untuk hidup. Mereka rajin dan mahir dalam bidang masing-masing. Sebagai bangsa yang bermaruah, mereka tidak bersedia menjadi alat pengeluaran kaum kapitalis yang mahu melayani sebagai hamba abdi.

Saya mahu Melayu buktikan kata-kata Syed Hussein. Melayu perlu keluar dari lingkungan kemalasan. Melayu mesti sedar dan kuat jati diri serta menjadi berani sama ada berada dalam sistem atau tidak. Jangan hanya berani selepas pencen atau selepas tidak ada kuasa. Jika tidak, kerjanya membodek sahaja.

Jika tidak Melayu tidak akan ke mana-mana. Melayu akan terus diperalatkan untuk kepentingan lain. Orang lain sudah kaya raya. Melayu masih lagi merangkak-rangkak. Kenapa? Fikirlah sendiri.

Monday, February 24, 2014

Apa sudah jadi dengan Melayu!

7:15 AM Posted by RIDHUAN TEE 47 comments


(Sinar Harian 24 Feb 2014)

Luar biasa! Dahulu orang Melayu usahkan nak masuk gereja atau kuil, lalu sahaja di luar pun kalau boleh, orang Melayu cuba elakkan. Sama seperti jika mereka ke pasar, kalau boleh elakkan melalui atau memandang daging atau penjual khinzir. Lebih dahsyat lagi, ketika di pasar, ada yang takut ‘lalat khinzir’ terbang kawasan ‘halal’ Islam.

Begitulah berhati-hatinya orang Melayu terhadap cara hidup mereka. Kini, tidak lagi. Melayu tanpa segan silu masuk ke rumah ibadat orang bukan Islam demi kepentingan politik. Tidak mustahil satu hari nanti, mereka akan bersama-sama menimbang khinzir. Melayu bolehlah katakan!

Saya tidak melarang orang Melayu untuk masuk ke dalam rumah ibadat bukan Islam jika ada tujuan dakwah, seperti yang pernah saya lakukan membantu membawa ibu ke tokong untuk ibu sembahyang, ziarah kubur ibu bapa dan lain-lain, ehsan anak kepada orang tua.

Tetapi jika masuk sekadar suka-suka atau mendapat mileage politik, pada saya, ia perlu difikirkan. Kenapa sebelum ini tidak pernah lakukan? Adalah pemahaman kita dahulu terhadap Islam tidak seliberal hari ini?

Ingat! Jangan terlalu bersangka baik, sedangkan orang lain sebaliknya. Minggu lalu, rakan Kristian saya memberitahu keadaan sebuah gereja di Jalan Kelang Lama. Seorang pastor India dari Singapura telah dijemput untuk menyampaikan syarahan, bermula jam 7.30 – 11.30 pagi, yang dihadiri lebih seribu orang Cina Kristian.

Syarahan itu penuh dengan emosi dan memutar-belitkan sejarah Tanah Melayu. Beliau menceritakan bagaimana orang Cina disembelih di Singapura ketika kependudukan Jepun.

Pastor tersebut menambah, perkara sebegini tidak mustahil berlaku kepada orang Cina di Malaysia tidak lama lagi. Pastor itu merujuk kepada orang penyembelihan yang akan dilakukan oleh orang Melayu terhadap orang Cina.

Saya amat mengharapkan pihak polis dapat memantau gereja tersebut, mungkin juga gereja-gereja yang lain. Ada segelintir daripada paderi ini sedangkan menanam kebencian orang Cina terhadap orang Melayu, terutama paderi-paderi luar.

Peliknya bagaimana pastor tersebut boleh memberi syarahan sedemikian rupa  di sini, sedangkan beliau adalah warga Singapura? Bila ultra kiasu berada di Malaysia, mereka bebas berkata apa sahaja. Apa hujah dan hak beliau untuk berkata sedemikian? Kenapa perlu samakan orang Melayu dengan Jepun?

Sejarah kependudukan Jepun di Tanah Melayu, termasuk Singapura, perlu difahami secara mendalam, bukan dengan emosi dan kecetekan ilmu. Jika tidak tahu, pergi mengaji dan belajar sejarah.

Negara Jepun–China mempunyai sejarah permusuhan yang panjang sehingga ke hari ini. Kedua negara ini pernah berperang dan saling berdendam. Kesempatan menduduki Tanah Melayu (1941-1945) telah dipergunakan oleh Jepun sepenuhnya untuk membalas dendam terhadap orang Cina. Kebetulan mangsanya adalah Cina yang berada di Tanah Melayu.

Bagi menyelamatkan diri, orang Cina telah lari ke hutan dan menyertai parti komunis (MPAJA atau Bintang 3). Jepun terus memburu Cina. Orang Cina bertindakbalas dan Jepun semakin marah.

Sebab itu, dari dahulu saya katakan, sejarah membuktikan, perjuangan komunis MPAJA bukan untuk memerdekakan Tanah Melayu. Tetapi membalaskan dendam terhadap Jepun.

Sejarah ini cuba diputar-belitkan dengan segelintir Cina yang mengatakan, MPAJA adalah pejuang kemerdekaan Tanah Melayu dan tugu peringatan MPAJA telah didirikan di Taman Peringatan Nilai. Malangnya, pihak berkuasa tidak berbuat apa-apa walaupun ramai pakar sejarah telah bersuara.

Kenyataan paderi tersebut sekali lagi bercanggah dengan fakta sejarah. Pihak imigresen mesti bertindak terhadap orang sebegini, kerana mengancam keselamatan negara.

Berdasarkan pengalaman berceramah di Singapura, kita tidak dibenarkan sama sekali menyentuh isu-isu sensitif, sekalipun fakta itu benar. Misalnya, kekejaman Amerika-Israel, Yahudi, sejarah Singapura-Tanah Melayu dan kedudukan orang Melayu di sana.  Persoalannya, kenapa kita boleh biarkan orang luar berceramah tanpa garis panduan? Lebih malang lagi menghasut dan menanamkan kebencian.

Saya yakin bukan Melayu di sini mendapat pembelaan walau tidak sepenuhnya, berbanding Singapura. Kira berapa banyak bilangan rumah ibadat berbanding dengan penganutnya, sehingga menenggelamkan penganut agama majoriti. Kadangkala dalam lingkungan satu kilometer, terdapat hampir sepuluh rumah ibadat. Bagaimana dengan Singapura?

Justeru, saya memohon kepada sesiapapun yang ingin bertanding di Kajang, jangan kerana terlalu obsess untuk menang, kita menggadaikan segala-galanya. Jangan gadaikan maruah agama, bangsa dan negara, untuk mendapat undi dan nafsu serakah politik.

Ingatlah, sekali maruah dan hak tergadai, sukar untuk dicari ganti. Tidak mengapalah umat Islam berpecah, kalau itu yang mereka mahu. Tetapi pastikan perpecahan itu tidak menggadaikan kepentingan Islam dan masa hadapan. Hari ini kita diserang bertubi-tubi, apakah kita mahu terus mengalah?

Apa sudah jadi dengan Melayu Islam? Elok juga kadang kala ditampar sahaja ultra kiasu yang celupar serta tidak menghormati perkara-perkara asas yang termaktub dalam perlembagaan. 

Monday, February 17, 2014

PRK DUN Kajang: Beri hak Cina?

8:07 AM Posted by RIDHUAN TEE 35 comments


(17 Feb 2014)

“Menjelang PRK DUN Kajang 23 Mac 2014, beri sahaja apa yang Cina mahu, pasti mereka akan mengundi Barisan Nasional (BN)”. Adakah strategi atau formula ini boleh dipakai lagi? Ingatan saya kepada pemimpin negara, pilihan raya hanya alat, bukan matlamat.

Pemimpin dan NGO ultra kiasu mula mendesak Putrajaya untuk menyelesaikan masalah sekolah Cina, termasuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Ultra kiasu Pulau Pinang memulakan dengan menyampaikan dana berjumlah RM1.1 juta kepada 10 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina (SPC) di sana.

Kata ultra kiasu, jika kerajaan Pakatan Rakyat (PR) memerintah, semua masalah pendidikan Cina akan diselesaikan dalam hanya satu penggal. Antara masalah yang mahu diselesaikan adalah kekurangan guru-guru di SJKC, penambahan bilangan SJKC, SPC dan pengiktirafan UEC.

Setakat ini terdapat 78 SPC, dengan lebih 120 ribu pelajar dan lebih 1300 buah SJKC dengan lebih 560 ribu pelajar Cina dan 56 ribu pelajar bumiputera. Bilangan pelajar bumiputera yang hampir 10 peratus di SJKC hanya mahu menguasai bahasa Cina, bukan soal kualiti.

Terbaharu, ultra kiasu berpusat di Kajang sedang mendesak kerajaan PR Selangor, untuk memberikan dan meluluskan tanah, bagi tujuan membuka SPC yang baharu. Kita nak tengok reaksi kerajaan PR Selangor. Saya bukan bantah, tetapi buktikan dahulu kewujudan Sekolah Cina membantu pembinaan negara bangsa.

Persoalannya, bagaimana semua ini boleh diiktiraf jika kiblat kurikulumnya orientasinya bukan Malaysia tetapi negara China. Mereka mendesak kerajaan terus memberikan bantuan dan kelulusan dalam usaha melahirkan pelajar yang berkualiti.

Kualiti bagaimana yang dimaksudkan? Hanya bercakap dan bergaul dengan sesama bangsa? Bagaimana dengan pembangunan negara bangsa? Pernahkah ultra kiasu ini berfikir ke arah itu? Atau terus mahu melahirkan bangsa yang sekolah Cina, bercakap Cina, bergaul Cina dan semuanya Cina, Cina, Cina.

Pemimpin ultra kiasu ini langsung tidak menyentuh soal perpaduan dan pembinaan negara bangsa. Dalam hal ini, saya boleh bersetuju dengan pendapat Perkasa, yang berkata bahawa pengiktirafan UEC itu oleh kerajaan atau kerajaan negeri di bawah PR adalah suatu pengkhianatan kepada Dasar Pendidikan Negara.

Dasar Pendidikan Negara bukan memihak kepada mana mana pihak tetapi adalah untuk kebaikan kita bersama. Matlamat akhirnya adalah pembinaan negara bangsa dan perpaduan nasional. Inilah sebenarnya asas kemajuan dan kestabilan sesebuah negara.

Negara tidak akan membangun dan maju jika rakyatnya tidak berpadu, tidak setia dan cinta kepada negara.

Perkasa menganggap kerajaan adalah agen kepada kerosakan perpaduan antara kaum jika UEC diterima kerana ianya akan menjadi pemangkin kepada masyarakat Cina menghantar anak-anak kereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina sehingga peringkat tertinggi pendidikan yang mana mereka tidak akan bercampur-gaul dengan pelajar dari kaum lain. Pastinya perpaduan kaum lebih buruk di masa akan datang. Mana boleh sekolah berbagai aliran membantu perpaduan. Carilah sebuah negara lain di dunia yang mengamalkan sistem berbagai bahasa pengantar di sekolah.

Ingatan saya kepada kerajaan BN mahupun PR, berhati-hatilah dalam setiap keputusan yang melibatkan masa depan negara. Jangan kerana mahu menang dalam PRK kita serahkan segala-galanya. Siapakah yang rugi nanti?

Kita sedang melahirkan warganegara yang tidak setia kepada negara. Mereka menunggu masa sahaja untuk cabut lari bila keadaan mengizinkan atau ada kesempatan.

Saya amat yakin apabila kerajaan mahu membina sekolah kebangsaan, apa yang ada dalam kepala mereka adalah perpaduan nasional, bukan soal untuk memartabatkan Melayu. Cuma secara kebetulan bahasa Melayu adalah bahasa negara, maka terimalah hakikat. Kenapa kita mahu membina negara China dalam negara Melayu. Ini yang saya pelik. Kenapa ultra kiasu ini masih tidak faham.

Pernahkah ultra kiasu ini terfikir, disebabkan bantuan begitu banyak diberikan kepada sekolah jenis kebangsaan, kerajaan terpaksa mengurangkan peruntukan kepada sekolah-sekolah kebangsaan, termasuk sekolah agama Islam sendiri. Sehinggakan agama Islam secara agama persekutuan tidak mendapat pembelaan dan hak sewajarnya.

Justeru, jika orang Cina ultra kiasu mahu memilih untuk terus menambah dan memiliki sekolah dan kolej sendiri, maka pergilah ke negara lain yang boleh menawarkan khidmat tersebut. Negara ini sudah terlalu berserabut dengan caca merba ini. Bantulah untuk mengurangkan masalah, bukan menambah masalah.

Tidak perlulah menyusahkan kerajaan dan rakyat Malaysia, termasuk Cina yang tidak tergolong dalam kumpulan ultra, yang cintakan keamanan dan perdamaian. Desakan sebegini akan menjadikan Melayu semakin benci dengan Cina ultra kiasu. Jangan biarkan Melayu mengasah parang.

Jangan teruskan usaha untuk membina negara Cina dalam negara Malaysia. Saya amat takut dengan SMS yang baharu saya terima bahawa Melayu sudah menyampah dan meluat melihat muka Cina ultra kiasu. Lebih-lebih isu kalimah Allah dan penghinaan ultra kiasu terhadap Raja-Raja Melayu.

Monday, February 10, 2014

Kenapa Melayu sahaja terhegeh-hegeh?

7:18 AM Posted by RIDHUAN TEE 32 comments


(Sinar Harian 10 Feb 2014)

Mengikut sejarah, asal usul nama Kajang, bermula dengan kisah dua sahabat, orang asli dan Melayu yang tinggal di kawasan bernama Reko. Suatu hari, dua orang sahabat ini, menaiki sampan melalui Sungai Langat untuk pulang ke rumah.

Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Lalu mereka pun berhenti berteduh. Sahabat Melayu mengajak rakannya untuk berkajang di situ. Pada orang Melayu, berkajang bermaksud berteduh. Tetapi pada fahaman orang asli, berkajang bermaksud bertikam. Akibat salah faham ini, orang asli telah menikam rakan Melayunya itu. Trajedi ini telah menyebabkan Kajang diberikan nama sedemikian rupa.

Benar atau tidak, kisah asal usul Kajang ini seolah-olah refleksi kepada PRK DUN Kajang telah ditetapkan pada 23 Mac 2014. Walaupun pertandingannya antara dua bangsa ultra kiasu yang berbeza, tetapi yang menjadi mangsa tikamannya adalah orang Melayu. Melayu juga yang rugi. Siapa yang untung? Fikirlah sendiri.

Musuh blog saya memberi komen betapa baiknya orang Cina ultra kiasu memberi laluan kepada Melayu untuk bertanding dalam PRK DUN Kajang. Dia mahu menyangkal pendapat saya sebelum ini yang berbunyi, dahulu Cina mahukan ekonomi, kini mereka mahukan kedua-duanya iaitu ekonomi dan kuasa.

Perlepasan DUN Kajang adalah bukti bahawa Cina ultra kiasu bukan mahukan kuasa, tetapi mahukan keadilan. Benarkah? Pada saya, perlepasan DUN Kajang adalah strategi ultra kiasu, melihat drama Melayu ‘berbunuhan’ sesama sendiri. Manakala mereka bertepuk tangan.  Sebab itu, mereka sanggup lepaskan kuasa buat sementara untuk melihat drama ini.

Musuh saya boleh menipu orang lain, tetapi bukan saya. Saya tidak akan tertipu dengan silap mata ini. PRK DUN Kajang adalah permainan politik. Bukan soal Cina mahu kuasa atau tidak. Ini soal strategi untuk berkuasa dan mendapat lebih kuasa.

Kesempatan ketika orang Melayu sedang bermusuhan sesama sendiri diperhangatkan lagi. Malangnya, orang Melayu ultra kiasu melihat percaturan ini merupakan salah satu strategi untuk menguasai Putrajaya. Apakah mungkin ini berlaku?

Pada telekan saya, bekas ahli DUN Kajang ultra kiasu tidak berminat untuk berpolitik atau menjadi ahli politik. Apatah lagi untuk menghadapi kerenah orang ramai DUN tersebut. Mungkin ada juga perasaan ketakutan sebagaimana trajedi menumbuk wakil rakyat seperti yang berlaku di Hulu Selangor sebelum ini.

Ramai tertanya-tanya, kenapa DUN Kajang yang dipilih bukan DUN majoriti Melayu. Untuk makluman semua, DUN Kajang adalah DUN majoriti Melayu, mewakili 48 peratus.  DUN inilah paling strategi untuk membuktikan ultra kiasu Melayu mendapat sokongan Melayu. Sokongan Cina sudah tentulah tidak berbelah bahagi.

Jika Cina ultra kiasu benar-benar ikhlas, tawarkan DUN majoriti Cina yang dimenangi oleh ultra kiasu. Misalnya, Sekinchan, Teratai, Balakong, Seri Kembangan, Kinrara, Subang Jaya, Bukit Gasing, Kampung Tunku, Damansara Utama, Bukit Lanjan, Pandamaran, dan Sungai Pinang.

Saya tidak nampak ultra kiasu akan melepas kerusi DUN (kuasa) kepada orang Melayu dan memaksa pengundinya mengundi Melayu. Lazimnya, politik di Malaysia ini, Melayu sanggup korbankan kerusinya untuk memberi laluan kepada Cina. Kenapa sukar sangat untuk Cina berkorban kepada Melayu. Apakah benar Cina ultra kiasu tidak mahu kuasa? Siapa yang lebih bertoleransi?

Saudara pembaca perasan atau tidak, lazimnya apabila tiba musim perayaan setiap kaum di negara kita, pemimpin-pemimpin Melayu akan berpakaian tradisi bangsa yang menyambut perayaan tersebut. Misalnya, ketika Deepavali atau Thaipusam atau Tahun Baharu Cina, pemimpin Melayu akan memakai India (kurta) dan pakaian tradisi Cina. Semua ini dilakukan sebagai tanda toleransi dan mahu mengambil hati.

Tetapi teramat jarang kita lihat atau tidak pernah langsung, pemimpin bukan Melayu memakai baju Melayu ketika sambutan Hari Raya Puasa (Haji). Kenapa ya? Nampak isu ini kecil, tetapi ia penting dalam pembinaan negara bangsa.

Pernahkah kita terfikir, kenapa perangai mereka sebegitu? Kenapa Melayu begitu bertoleransi dan lembut hatinya? Siapa yang lebih mudah untuk berakomodasi atau berintegrasi?

Kita selalu mencanangkan, Malaysia adalah model terbaik dunia dalam kehidupan bermasyarakat majmuk. Kita tidak mempraktikkan asimilasi, tetapi lebih kepada integrasi dan akomodasi. Apakah itu benar? Sedangkan asimilasi adalah pendekatan terbaik untuk berintegrasi dan berakomodasi?

Sebenarnya integrasi dan akomodasipun kita gagal. Begitu juga dengan akulturasi yakni peminjaman budaya orang lain. Pernah orang Cina meminjam budaya Melayu seperti memakai baju Melayu. Saya tidak nafikan ada, tetapi terlampau sedikit. Berbanding pemimpin Melayu yang kerap melakukannya.

Saya mengharapkan selepas ini pemimpin Melayu tidak perlulah terhegeh-hegeh memakai pakaian tradisi orang lain. Popularkanlah pakaian tradisi sendiri, walaupun berada dalam majlis keraian orang lain atau bangsa lain. Melayu perlu ada jati diri atau menjadi orang lain untuk maju. Melayu tidak perlu menjadi orang lain bagi menunjukkan mereka lebih bertoleransi. Cukuplah sekadar menghadiri majlis-majlis mereka.

Melayu hari ini sedang menuju pembunuhan diri, pembunuhan bangsa dan tidak mustahil pembunuhan agama, jika terus berpolitik sebegini. Persoalannya, adakah ianya dihargai?

Monday, February 03, 2014

PRK Dun Kajang: Kuat sangatkah MCA?

3:16 PM Posted by RIDHUAN TEE 41 comments
 (Sinar Harian 3 Feb 2014)

MCA belum apa-apa lagi sudah membidas UMNO yang ingin bertanding di DUN Kajang, yang telah dikosongkan oleh parti ultra kiasu. Pada MCA, kerusi tersebut adalah milik bapaknya. Formula Barisan Nasional (BN) mesti dipatuhi. Jika tidak, mereka akan bertindas balas, boikot. 

Peliknya, bila kena pada mereka, mesti ikut formula. Bila kena pada kita, tidak ada formula. Bukankah perlembagaan negara itu bapak segala formula? Kenapa tidak mahu ikut? 

Masih ingat kerusi Parlimen Wangsa Maju PRU 2013? Bila calon UMNO diletakkan di sana, maka MCA boikot. Banyak cantik muka MCA! Cermin diri dahulu.  Saya tidak pernah hairan dengan boikot MCA, kerana ahli sendiri MCA belum tentu menyokong UMNO.

Persoalan saya, siapakah calon MCA yang paling layak untuk menentang pemimpin nombor PKR itu? Jika tidak ada, duduk rumah diam-diam, tanam jagung. Serahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk menentukannya. Jika adapun calon MCA, cari yang Cina Muslim. Bukan Cina totok. Baru boleh mengetuk pintu hati pengundi Melayu.

Ingat! Majoriti pengundi di situ adalah Melayu, 48%, Cina 41%, India 10%. Pada tahun 2013, PKR menang dengan majoriti 6824. Tahun 2008 - 3268, tahun 2004 - 2773. Maknanya, selama 10 tahun ini, MCA tidak pernah menang. Bayangkan jika kawasan itu majoriti Cina. Lagi putih mata. Jadi, muhasabah dirilah MCA.  

Selama inipun MCA tidak pernah kuat. MCA hanya mendapat sokongan dan menang di kawasan majoriti Melayu sahaja. Peliknya, kenapa MCA begitu yakin dapat menawan DUN Kajang. Ingatan kepada MCA, sembahyanglah banyak kali dulu sempena Tahun Baru Cina ini, untuk minta petunjuk sebelum keluarkan kenyataan sebegini

Sepanjang kajian, majoriti pengundi Cina menyokong parti ultra kiasu. Justeru, amat sukar diterima, apabila MCA begitu bersungguh-sungguh untuk bertanding, seolah-olah tidak tahu malu. Janganlah ambil kesempatan wahai MCA.  

Sangat kelakar lagi, pemuda MCA menempak kenyataan pemuda UMNO melalui kenyataan bahawa kerusi tersebut tidak semestinya ditandingi MCA.

Pada saya, kenyataan pemuda UMNO itu ada justifikasinya. Kita semua tahu,  trend pengundian di negara kita bersifat perkauman, saya amat yakin jika MCA bertanding, majoriti undinya akan menjadi lebih kecil kerana sudah tentu pengundi Melayu dahulunya menyokong MCA tidak akan mengundi MCA lagi kerana mereka sudah ada calon pilihan lain berbangsa Melayu. 

Jika calon Melayu diletakkan, sudah tentu Melayu tidak begitu menyampah. Bukan apa, untuk BN menang jauh sekali. Tetapi sekurang-kurangnya menurun majoriti PKR yang terlalu bongkak itu. Lagipun, jika MCA bertanding, saya tidak nampak pengundi Cina akan menyokongnya. Paling tidak, dapat juga dialihkan undi Melayu. Baru agak mudah untuk kita menganalisis sejauh mana Melayu mengundi Pakatan Rakyat. 

Ingatlah pengundi Melayu sedang marah kepada MCA hari ini. MCA seolah-olah sama sahaja seperti ultra kiasu. Apatah lagi mereka senyap sepi dalam isu guru mualaf di SJKC Nan Ya Kota Tinggi. Begitu juga isu gantung loceng di dada murid-murid Islam di SJKC Khai Meng, Sungkai. Perjuangan chauvinis MCA seolah-olah tidak bezanya dengan ultra kaisu, meskipun mendakwa memperjuangkan semua kaum.  

MCA begitu lantang jika penganiayaan berlaku kepada bangsanya. Tetapi bila berlaku kepada orang Islam, MCA tutup mata sahaja. Bila sudah sedar bangsanya melakukan kesalahan, merekapun minta maaf, kitapun memaafkannya dan mereka mahu perkara tersebut selesai. Mana boleh. Politik rimba apakah ini! Sampai bila Melayu harus beralah! 

Jika benar-benar MCA mahu mengikut formula dalam BN, mudah sahaja. Bertandinglah di kawasan majoriti Cina. Kawasan majoriti Melayu lepaskan kepada orang Melayu. Kenapa kawasan Melayu juga mahu direbut? Pemimpin Cina Parlimen Ayer Hitam, Johor, mesti boleh jawab. Sebab itu, jangan terlalu perasan diri kuat. Sebenarnya tidak. Kita mahu makan kiri kanan. Apa yang kita tinggalkan untuk orang lain. Itu ultra kiasu namanya. 

Ingatlah, setiap kali berlaku pilihan raya sama ada PRU atau Pilihan Raya Kecil (PRK), ia melibatkan belanja yang besar. Takkanlah kita hendak habiskan duit begitu sahaja? Banyak lagi perkara boleh dilaksanakan. Apatah lagi jika kita yakin tidak boleh menang. 

Cadangan saya, jika MCA masih terus berkeras, lebih baik BN tidak perlu bertanding langsung. Biarkan MCA terkonteng-konteng seorang diri. BN boleh bantu, tetapi biarkan MCA yang keluarkan semua perbelanjaannya. 


Parti komponen BN yang lain perlu belajar dan bantu secara sukarela tanpa diberi imbuhan seperti mana yang dilakukan oleh PAS selama ini. Kejayaan PAS adalah kerana ahli parti mereka bekerja tidak mengharapkan imbuhan, melainkan imbuhan ‘pahala’ sahaja. Di sinilah kekuatan PAS. Jika ini boleh dilakukan, kalahpun berbaloi. Kita mahu tengok MCA benar-benar ada gigi ke tidak atau sekadar gigi palsu.