(Sinar Harian
15 Okt 2012)
Seorang pensyarah berjawatan
professor madya, yang dilantik oleh parti ultra kiasu
sebagai senator, mengeluarkan pendapat, dalam satu forum bersama tiga panel
ultra kiasu bukan Islam di Pulau Pinang pada 2 Oktober 2012, langsung tidak
mencerminkan watak sebagai seorang intelektual, dan amat naïf ilmunya tentang
Islam, yang disiarkan dalam laman web malaysiakini.
Beliau mempertikaikan kedudukan Sekolah
Agama yang telah wujud sekian lama mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan (Perkara
11). Sekolah Agama dikatakan menjadi punca polarisasi kaum, kerana melahirkan pemikiran
pelajarnya tertutup atau jumud, sehingga boleh menimbulkan masalah dalam
masyarakat berbilang kaum. Beliau mendakwa, sekolah ini hanya mendokmakan isu halal
dan haram sahaja serta menjadi sarang kempen hudud dan negara Islam. Persoalannya,
pernahkah beliau membuat kajian dan pergi ke sekolah agama? Bentangkan
dapatannya? Kenapa tidak mempertikaikan sekolah vernakular, sekolah swasta dan
parti yang diwakilinya yang menjadi
sarang perkauman?
Kenapa beliau tidak mempertikaikan
desakan Persatuan Agama Buddha, Hindu, Kristian, Taoisme dan Sikh yang mahukan
sekolah agama-agama lain turut didirikan? Adakah desakan sedemikian tidak menyebabkan
polarisasi? Pembacaan cetek beliau menjadikan saya terfikir layakkan senator
ini mengajar di sebuah universiti tentera?
Adakah George Bush dan Donald
Rumsfeld belajar agama, sehingga sanggup membunuh puluhan ribu umat Islam di
Iraq suatu ketika dahulu? Begitu juga dengan presiden Amerika sebelum dan
selepas itu. Siapakah yang menghalalkan darah umat Islam? Bagaimana pula dengan
golongan pelampau yang ada pada hari ini dari kalangan bukan Islam, adakah mereka
ini datang dari sekolah agama? Kenapa sekolah
agama dan agama Islam yang menjadi sasaran? Lebih pelik lagi kenapa PAS membisu
seribu bahasa? Adakah kerana sepakatan? Ingatan saya kepada PAS, jangan biarkan
Islam dihina. Amaran Shahnon Ahmad memang tepat. Ultra kiasu tidak boleh
dipercayai kerana mereka adalah musuh Islam.
Menghina dan memperkecilkan sekolah
agama yang diibaratkan sebagai ‘time
bomb’ adalah kenyataan amat kurang ajar, apatah lagi jika mengakui dirinya
Islam. Ternyata pengetahuan senator ini terhadap sekolah agama amat cetek,
apatah lagi pengetahuan Islamnya. Lagi pula, sepanjang saya berada di
universiti, saya tidak pernah melihat senator ini pergi ke masjid, apatah lagi
berjemaah. Mungkin beliau sembahyang di dalam bilik sendirian, termasuk solat
Jumaat bersendirian.
Senator ini gagal memahami maksud equity dan equality. Equity bermakna
keadilan, memberikan kepada yang berhak. Manakala equality adalah persamaan yang dijamin dalam perlembagaan kepada
semua warganya. Keistimewaan Islam memang tidak boleh dinafikan sama sekali,
kerana ada timbal balik kepada agama lain jua dari segi hak mereka. Jemputlah
ke kelas saya jika tidak faham.
Tuduhan yang mengatakan sekolah
agama hanya mendokma perkara halal haram menyeleweng sama sekali. Dalam Islam
terlalu banyak isu halal berbanding haram. Bagaimana kenyataan ini boleh keluar
daripada senator mengaku Islam? Saya harap Melayu lain yang berada dalam parti
ultra kiasu menyedari hakikat ini. Keluarlah daripada parti anti Islam seperti
yang dilakukan oleh bekas senator sebelum ini. Parti ini boleh menjejaskan
akidah senator itu. Bimbang nanti, jauh dari syurga.
Pandangan senator ini tidak
mencerminkan bahawa beliau pernah membuat kajian tentang sekolah agama yang
mengajar soal tauhid, akidah, syariah, muamalah dan banyak lagi cabang ilmu.
Ini tidak termasuk gabungan antara ilmu agama dengan ilmu sains, yang dikenali
sebagai kesepaduan ilmu (integrated
knowledge) yang sedang berlaku di sekolah agama.
Inilah berjayanya ultra kiasu
mempergunakan orang Islam untuk menghentam dan menghina agama Islam sendiri. Kajian
demi kajian oleh beberapa sarjana menunjukkan pelajar Islam sekolah agama Islam
lebih terbuka dan tidak ada masalah langsung untuk berinteraksi dengan orang
bukan Islam. Malah, mereka dengan mudah menerima kehadiran sekolah vernakular. Berbanding
produk sekolah vernakular dan sekolah swasta yang amat sukar sekali untuk berinteraksi
dengan orang Melayu dan menerima kehadiran sekolah agama.
Kerana apa? Jawapannya, dalam Agama
Islam, kita diajar menghormati agama bukan Islam dan hak mereka. Sehingga dalam
peperangan sekalipun, Islam mengajar kita menjaga hak mereka. Kita hanya
berperang dengan orang yang menyerang. Kita tidak dibenarkan membunuh dengan
sewenang-wenang seperti orang tua, wanita, kanak, rumah berhala, merosakkan
alam sekitar dan sebagainya, walaupun tidak seagama.
Sejarah membuktikan bahawa orang
Melayu begitu mudah menerima penghijrahan besar-besaran orang bukan Melayu ke
negara ini, ketika negara-negara Asia Tenggara menolak? Tanyalah orang Siam,
Nyanmar, Indonesia, Filipina dan sebagainya, kenapa bilangan bukan bangsa
mereka terlalu sedikit, berbanding bukan Melayu di negara ini? Jawapannya, faktor
agama Islamlah yang menjadi Melayu lembut dan begitu bertoleransi menerima
kehadiran mereka.
Jika ditakdirkan orang Melayu tidak
memeluk Islam, masih lagi menganut ajaran bukan Islam, sudah lama bukan Melayu
yang datang berhijrah telah dihalau lebih awal lagi? Kenapa tidak menghargai
toleransi Melayu Islam? Kenapa Islam dimangsakan? Ternyata, senator ini amat
jahil dan tidak tahu betapa mulianya
agama Islam dalam meraikan orang lain.
Tidakkah beliau sedar bagaimana
peranan golongan agama memerdekakan tanah air tercinta ini? Adakah nama-nama
seperti Tok Kenali, Tok Janggut dan sebagainya datang dari sekolah di Amerika?
Jika produk sekolah agama itu yang menjadi masalah kepada masyarakat dan
negara, sudah tentu orang agama atau para mufti yang kebanyakan produk sekolah
agama mengisytiharkan perang terhadap bukan Islam yang berhijrah ke negara ini.
Kenapa sikap para mufti dan para ulamak begitu lunak dengan bukan Islam?
Saranan kepada senator tersebut,
jika jahil belajarlah. Masjid terlalu dekat dengan bilik beliau. Berkunjunglah
ke masjid. Sekurang-kurang tidaklah gagap membaca al –Quran dan dapat memahami
isi kandungannya. Jika bukan kita mempertahankan Islam dan hukum Islam, nak
harap siapa lagi?