Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, March 09, 2015

Siapa Taliban dan Talibanisasi?

8:05 AM Posted by RIDHUAN TEE 2 comments
(Sinar Harian, 9.3.15)

Sikit-sikit Taliban… Siapa Taliban? Apa Talibanisasi? Inilah kerja ultra kiasu. Bila ada suara hendak melaksanakan cara hidup Islam, yang menjadi hak umat Islam, dikaitkan dengan Taliban. Mereka siapa pula? Talibarut? Lebih bahaya dari Taliban. Kenapa larang orang nak buat baik? Kenapa tidak larang yang buat mungkar?

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mahu menjaga umat Islam di negerinya, apa kamu peduli? Jika tidak suka, duduk diam-diam. Majoriti umat Islam tinggal di sini. Mereka mahukannya, seperti umat Islam di Kelantan mahukan hudud. Lagipun bukan negeri kamu.

Tahniah, kepada kerajaan negeri Terengganu. Sebagai rakyat, saya rasa amat bangga, duduk di bawah naungan Tuanku Sultan dan Menteri Besarnya. Pemimpin sebegini yang kita mahu, ada will-power. Bukan macam ultra kiasu, asyik suka yang mungkar.

Tindakan terhadap umat Islam yang berkelakuan tidak senonoh, membonceng tanpa ikatan keluarga, tidak solat jumaat bagi lelaki dan berpakaian tidak sopan di tempat awam, termaktub dalam Seksyen 34 dan Seksyen 35 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Mereka yang bersalah, akan dikenakan tindakan yakni melalui proses tarbiyyah (kaunseling). Selepas itu, mereka terbabit perlu mengisi borang khas sebagai rekod, diikuti dengan tindakan susulan sekiranya ingkar. Pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit.

Undang-undang ini bukan talibanisasi, tetapi mahu memanusiakan manusia. Mereka yang hina sahaja membiarkan kemungkaran. Hidup seperti haiwan, bersekedudukan. Suka kawin, tidak suka, belah. Saya tahu apa maksiat yang ultra kiasu buat. Maksiat ini tidak dikatakan talibanisasi tetapi hak asasi manusia.

Saya ingin cadangkan supaya undang-undang ini turut merangkumi bukan Islam. Barulah adil. Tidak ada alasan berpakaian seksi dan berkelakuan tidak senonoh. Tidak ada agama yang membenarkannya. Kenapa suka sangat berseluar pendek dan memakai baju nampak ketiak, kalau bukan nak tayang badan, terutama bila berurusan dengan pejabat kerajaan? Bila kena cabul, salahkan polis kerana tidak menjalankan tugas. 

Saya dikecam habis-habisan bila berkata berpakaian seksi menjadi salah satu sebab punca rogol. Hujah saya yang disandarkan kepada kajian Zig Ziglar (2000) di US dan Menteri Goa, India (2014), tidak pula disiarkan.

Bagi mereka yang bukan rakyat Terengganu. Datang ke tempat orang, ikutlah pepatah, masuk kandang kambing, mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Tak nak ikut, jangan datang. Ramai lagi nak datang. Di Brunei, peraturan sebegini sudah lama dilaksanakan. Kita lihat pelancong terus datang berpusu-pusu. Kenapa? Mereka nak tahu cara hidup Islam, bukan talibarut Islam. 

Tidak boleh bayangkan jika kita ikut apa yang telah kerajaan Brunei laksanakan baru-baru ini. Menurut Brudirect, Brunei mengetatkan undang-undang berkaitan sambutan Tahun Baru Cina. Antaranya dengan mengharamkan tarian Singa dekat dengan masa solat dan persembahan oleh orang bukan Cina. Tarian singa kini hanya dibenarkan 3 hari sahaja, antara jam 8-11.20 pagi dan 1.30-5.15 petang.

Persembahan itu hanya boleh diadakan di tokong, dewan sekolah rumah anggota-anggota persatuan Cina. Brunei turut melarang penggunaan mercun dan bunga api. Menurut the Brunei Times, orang Islam perlu menghindari perayaan bukan Islam kerana ia boleh membawa kepada tasyabbuh (penyerupaan) dan menjejaskan akidah. Langkah itu diambil selepas larangan hiasan Krismas di kompleks membeli-belah.

Di negara kita, kebebasan apa lagi yang tidak diberikan? Boleh dikatakan tanpa had. Kalau ada kekangan pun, amat sedikit. Itupun ada laporan mengatakan Malaysia berada dalam tangga ke 8 dalam dunia mengekang agama lain.  

Sejak bila kerajaan lakukan? Berdasarkan bukti, bilangan rumah ibarat, NGO, media cetak (akhbar), stesen radio tv, IPT dan banyak lagi, jauh melebihi bilangan apa yang umat Islam ada. Seolah-olah memperlihatkan Perkara 3(1), 8,10,11, 12 (berkaitan Islam),152 (bahasa Melayu), 153 (hak istimewa) yang termaktub dalam perlembagaan, tidak ada ertinya.

Identiti kita sudah tenggelam kerana menghormati hak orang lain, kononnya atas nama hak asasi manusia. Adakah semua ini dihargai? Pendek kata, berilah sebanyak manapun, mereka tetap tidak akan berpuas hati, sehinggalah negara ini menjadi benar-benar menjadi sekular, serta tidak ada ada lagi identiti Melayu atau Islam.

Perhimpunan perpaduan Melayu yang dihadiri oleh PM baru-baru inipun dikecam kerana menggalurkan agenda Melayu. Tidakkah PM ketika menghadiri perayaan di Batu Caves dan Tahun Baharu Cina, turut memberikan jaminan membantu dan menjaga hak bukan Islam? Begitu juga peruntukan RM4 juta kepada 11 buah Sekolah Persendirian Cina oleh kerajaan negeri Sarawak. Kenapa diam?  Apabila mempertahankan hak Melayu dikatakan rasis. Apabila memberikan hak kepada mereka, itu hak, bukan rasis.

Masih teringat, ketika menjadi YDP, PIBG, SMK Bandar Baru Ampang, saya telah usahakan membeli 2 ekor ‘singa’ berjumlah RM10K, bagi membolehkan pelajar-pelajar Cina menjalankan aktiviti kokurikulumnya. Begitu juga peralatan gamelan berjumlah RM20K untuk pelajar Melayu. Saya masih dituduh sebagai Taliban dan rasis. Berhati-hatilah.



Monday, March 02, 2015

Bila sijahil bercakap soal akademik

8:04 AM Posted by RIDHUAN TEE 1 comment


(Sinar Harian, 2 Mac 2015)

Kenyataan Menteri Pendidikan II mengenai sistem pendidikan kita yang mendapat pengikhtirafan dunia, mendapat liputan meluas media sosial ultra kiasu, dengan mempersendakannya. Inilah akibatnya bila sijahil berbicara pasal akademik, di luar kepakaran mereka. Mereka hanya ambil satu dua fakta dan kemudian putar belit. Bahayanya ultra kiasu dalam politik negara.

Misalnya, ultra kiasu memanipulasikan data 135 ribu pelajar asing di IPT, dengan memadamkan fakta lain yang ditimbulkan, seperti bidang yang menjadi tumpuan dan tarikan dunia serta pengikhtirafan yang diberikan.

Ultra kiasu tidak memetik laporan Thomson Reuters 2014, yang mana 4 profesor IPTA yang diiktiraf sebagai antara minda saintifik utama dunia. Profesor tersebut memperoleh kepujian melalui penerbitan artikel terbanyak yang kerap dipetik oleh orang lain.

Dalam bidang perbankan dan kewangan Islam pula, ternyata Malaysia menjadi rujukan dunia. Ramai pensyarah kita yang menjadi buruan. Peliknya ultra kiasu tidak nampak semua itu. Mata hati mereka gelap.

Penting sangatkah mendapat ranking terbaik dunia? Apakah jaminan bahawa pelajar yang keluar dari universiti terbaik dunia boleh menjadi terbaik di alam pekerjaan, berguna kepada agama bangsa dan negara?

Ramai usahawan ultra kiasu yang berjaya di negara ini, tidak mendapat pendidikan di mana-mana universiti, tetapi mereka dikategorikan sebagai kalangan terkaya di negara kita. Kejayaan mereka disebabkan oleh bantuan sistem kerajaan yang sedia ada, yang menyebabkan mereka boleh jadi kaya raya. Begitu juga ahli DUN dan ahli parlimen ultra kiasu, hanya mendapat pendidikan di IPTA dan bersekolah menengah, tetapi dipilih menjadi wakil rakyat. Malah, ada yang ditangkap berjudi. Dari universiti mana pula ultra kiasu ini belajar?

Terbaik atau tidak, biar orang akademik yang bercakap. Pada saya, yang lebih penting, mereka tidak menjadi terlalu ultra kiasu yang anti-establishment. Kiasu itu baik, tetapi bila menjadi ultra, itu bahaya, walaupun mereka lahir dari kalangan 10 universiti terbaik dunia.

Saya amat bimbang dengan mereka kononnya datang dari universiti terbaik dunia, bila kembali berkhidmat di negara, mereka menjadi lebih orang putih dari orang putih atau lebih Cina dari orang di China.  
Jangan terlalu obsess mengejar ranking sehingga terlupa modal insan dan kemahiran insaniah. Apa guna keluar dari universiti terbaik dunia, jika hati mereka kotor. Tidak setia pada negara, malah belot dan membocorkan rahsia negara kepada orang lain.

Apa yang penting pada hari ini pada saya adalah; pertama, kita berjaya melahirkan pelajar yang ada pakej. Baik dalam akademik, professional dan berakhlak mulia. Ramai pelajar universiti terbaik dunia yang kehidupan tidak seperti manusia.

Kedua, jangan terperangkap dengan permainan “politik perniagaan pendidikan” Barat. Semua yang dibuat barat itu betul. Kita masih berada dalam “colonized mind and attitude”. Barat sangat pandai bermain silap mata. Wujudkan ranking, kemudian ubah kriteria dari semasa ke semasa. Kita terhegeh-hegeh mengejar.

Misalnya, permainan SCOPUS dan ISI. Penerbitan  dibayar dengan harga mahal. Siapa yang kaya, penulis atau penerbit? Lebih menyedihkan apabila satu artikel ditulis oleh sebilangan pensyarah sehingga ada yang melebihi 10 orang. Tidak salah, tetapi kurang comel. Ini tidak termasuk yang menenggek.

Ketiga, jangan anaktirikan penerbitan tempatan. Sedih melihat apabila penerbitan tempatan ibarat hidup segan, mati tak mahu. Lebih teruk lagi apabila buku-buku dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, yang banyak membuka minda tidak lagi dihargai. Saya ucapkan tahniah kepada UniSZA kerana masih rasional dalam perkara ini.

Keempat, akibat dari terlalu mengejar ranking, pensyarah tidak lagi ikhlas dengan ilmunya. Menulis kerana mengejar status, bila berhadapan dengan khalayak, menjadi kaku dan bisu, tidak down-to-earth. Bila berceramah, khalayak tidur.

Berbeza dengan di barat sendiri, KPI sarjana dinilai kepada sebanyak mana  ilmu dan kepakaran disumbangkan kepada masyarakat.  Sumbangan mereka menulis untuk penerbitan berkala, akhbar, majalah mahupun buku cerita kanak-kanak, amat dihargai, kerana para pensyarah itu dikatakan milik masyarakat.

Maka, tidak hairanlah sarjana yang berada di Barat itu amat rapat hidupnya dengan masyarakat, dihormati kawan dan lawan. Kenapa ia tidak berlaku di sini? Jawapannya kerana terlalu mengejar SCOPUS dan ISI? Hidup macam kera sumbang.

Akhirnya, kita sepatutnya berfikir seperti orang Jepun. Tidak terlalu obses mengejar ranking. Yang penting kita tahu apa yang kita buat. Misalnya, Fakulti Kejuruteraan Automobil, Universiti Tokyo, adalah antara fakulti terbaik dunia, meskipun berada dalam ranking 100 terbaik dunia.  Hal ini sepatutnya boleh berlaku kepada Akademi Pengajian Melayu, UM,  Fakulti Kontemporari Islam, UniSZA dan UKM. Berfikir dan bertindaklah seperti mana orang Jepun, sentiasa memastikan bangsa dan negara mereka dimartabatkan tanpa membunuh jati diri mereka.

Tuesday, February 24, 2015

Hadirmu disenangi, pergimu ditangisi

7:39 AM Posted by RIDHUAN TEE 9 comments
(Sinar Harian, 23.2.15)

Ketika lahir, bayi menangis, orang lain melihat, tersenyum. Ketika mati, mayat tersenyum, orang lain melihat, menangis. Terasa kehilangan.

Ketika berkuasa, keberadaanmu disenangi. Tanpa kuasa, orang lain terasa rugi, terasa sepi. Namun, ke mana pergi, dituruti dan diikuti. Dapat bersalaman, peluk, cium pun jadilah. Bila mati, terasa kehilangan di hati. Pemergian ditangisi, kerana tidak ada galang ganti. Kenapa? Iman dan takwa tidak boleh dijual beli.

Harganya terlalu mahal. Itulah Tok Guru Nik Aziz (TGNA). Mendengar pemergiannya, secara tidak disedari, air mata ini berlinangan, walaupun saya tidak rapat dengan TGNA, tetapi pernah beberapa kali bertemu dan bersalaman. Melihat rumah dan pondoknya dari jauh.

Ada dalam beberapa perkara, saya tidak sependapat dengan TGNA, terutama mengenai ultra kiasu, tetapi itu bukan bermakna, saya menolak segala kebaikannya. Sifat tawaduk, zuhud dan gaya kepemimpinan TGNA amat saya kagumi.

Meskipun ada yang mendakwa Kelantan tidak maju, tetapi jauh di lubuk hati saya berkata Bandaraya Kota Bharu, jauh lebih membangun dari bandaraya yang lain. Ingat, jangan ukur kemajuan dengan hanya kaca mata dunia semata, lihatlah sama dari kacamata akhirat.

Tidak ramai pemimpin boleh ‘menolak dunia’ ketika berkuasa. Tetapi itulah TGNA. Bukan seperti kita, kadangkala baharu sahaja dilantik jadi pemimpin sudah kaya.

Kehebatan TGNA menjadi sebutan sejak dahulu. Saya tidak pernah taksub kepada TGNA. Ketika wacana di Kota Bharu, suatu ketika dahulu, saya ditanya kenal atau tidak dengan TGNA. Saya jawab, kenal. Tetapi saya tidak taksub.

Sebab itu, bila melihat gambar yang dikirim rakan-rakan dalam laman sosial, tentang awan mendung yang berarak, kalimah Allah terbentuk dan perkara pelik berlaku ketika pengkebumian TGNA, saya tidak teruja untuk melihat. Itu secara kebetulan, saya berceramah pun awan mendung.

Bukan itu yang kita mahu lihat atau dengar tentang TGNA. Tetapi perkara lain yang lebih penting. Kehidupan, wibawa dan cara berpolitik. Soal lain yang pelik  berlaku, serah kepada Allah.

Mana mungkin kita berjumpa dengan pemimpin seperti ini. Setiap pagi, TGNA menjadi imam subuh dan memberi tazkirah. Makan minum seperti rakyat biasa. Rumah dibuat dari kayu, tiada  marmar, atau hiasan yang mahal-mahal. Rumah tidak berpagar, tiada pengawal, apatah lagi cctv. Sesiapa boleh masuk keluar berjumpa.
Ketika berkuasa, elaun rumah dan keraian, elaun buka puasa, malah elaun hari raya pun tidak pernah diambil. Sehingga hujung nyawanya, tetap istiqamah dengan Islam. Memberi amaran kepada ultra kiasu supaya jangan campuri urusan Kelantan untuk melaksanakan Islam.

Hina sungguh kepada mereka yang menjatuhkan fitnah kepada TGNA. Apatah lagi menyebarkan gambar-gambar yang menyamakan cara makan TGNA dengan babi. Ingatlah, amaran Allah dalam surah An-Nur: 19

Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

Sempena dengan pemergian TGNA, saya merayu kepada semua umat Islam, tanpa mengira parti dan ideologi.

Pertama, contohilah gaya kepemimpinan TGNA, walaupun tidak kesemuanya mampu untuk kita ikuti. Jangan dikutuk dan dihina insan yang telah pergi dan banyak berjasa. Saya memuji PM dan isteri, MB Terengganu, serta pemimpin yang tidak bersefahaman, kerana menziarahi keluarga TGNA. Itulah sifat negarawan seadanya.

Kedua, jadikanlah TGNA sebagai katalis perpaduan umat Islam. Umno tidak perlu bertanding di DUN Cempaka. Kalau boleh selepas ini, biarkan sahaja, Kelantan di bawah Pas. Tidak perlu bertanding. Kita tidak akan rugi apa-apa, jika itu yang rakyat suka. Kelantan tidak pula makin mundur. Pi mai pi mai, di tangan umat Islam juga.

Kalau nak rampas juga, bukanlah Kelantan, tetapi Pulau Pinang dan negeri yang dikuasai ultra kiasu. Seteruk-teruk Kelantan, integriti masih lagi lebih baik berbanding negeri lain. Untuk BN kembali merampas Kelantan, selaku pengkaji politik, saya fikir hanya sia-sia. Apatah lagi setelah perginya TGNA. 20 tahun lagi pun belum tentu dapat. Gunakanlah wang ringgit bertanding dan kempen pilihan raya, untuk membantu mereka yang memerlukan, terutama mangsa banjir.

Ketiga, suka atau tidak, jika Umno mahu kekal berkuasa dan menambah kerusi, gaya kepemimpin TGNA harus diikuti, terutama integritinya. Pastikan pemimpin cawangan, bahagian, negeri dan pusat meneladani. Berikanlah royalti. Ingat, kuasa bukan tiket untuk jadi kaya, tetapi untuk menghambakan diri kepada Allah dan memakmurkan anugerahNya.


Akhirnya, sejuk hati dan sangat teruja, melihat isteri PM, datang menziarahi keluarga TGNA dengan bertudung. Alangkah baik jika terus dikekalkan. Rakyat pasti suka. Maaf, jika terlanjur berbicara.

Monday, February 16, 2015

Bila sijahil berbicara

7:43 AM Posted by RIDHUAN TEE 12 comments
(Sinar Harian 16.2.15)

Jurucakap G25 berkata, jika hudud dilaksanakan, Kelantan akan diserbu oleh perogol kanak-kanak dan dewasa, untuk memuaskan nafsu mereka di sana.

Kenapa begitu bersangka buruk dengan undang-undang Islam sedangkan kita belum pernah melalui dan merasainya? Mengaku diri beramal dengan Islam, di manakah keyakinan kepada Allah? Tidakkah kita yakin kepada rahmat Allah apabila perintahNya dilaksanakan?

Paling kurang, pergilah melawat ke Brunei. Lihat betapa aman sentosanya keadaan di sana. Rahmat Allah datang mencurah-curah sejak syariat Islam dilaksanakan.

Lagi pun, apakah sistem yang diamalkan hari ini berjaya membendung jenayah rogol? Tidak juga. Malah semakin ramai yang kena rogol, jenayah berleluasa. Tidakkah perlu mencari altenatif lain?

Majoriti manusia cenderung ke arah melakukan kebaikan. Manusia yang rasional tidak akan merogol. Mereka yang merogol hanya segelintir sahaja. Sebab itu, Islam mengambil pendekatan mencegah dengan hukuman agak berat.  

Ilmu kita tentang rogol, jangan hanya terhad pada 4 saksi sahaja dan buku Inggeris Hashim Kamali. Kitab-kitab hendak ditelaah bersekali. Apakah benar jika tiada 4 saksi, maka bebaslah perogol?.

Bagaimana pula dengan takzir, hirabah (kerana memeras), Qisas (jika mencederakan atau menyebabkan kematian), diat (denda gantirugi) dan sebagainya?

Dalam kata lain, kepelbagaian kes ini boleh disabitkan melalui pelbagai kaedah mengikut pertuduhan. Malah, kes rogol lebih mudah ditangani berbanding zina.

Inilah akibatnya apabila sijahil berbicara dalam bidang bukan kepakarannya. Pakarpun, kadangkala kalah juga, bila berada di mahkamah (ICJ). Apatah lagi bila rambut mengerbang. Pendek kata, kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Malu dan boleh merosakkan akidah.

Belum pun isu rogol reda, tiba-tiba wakil rakyat ultra kiasu P Pinang membuat kenyataan rogol dengan mengaitkan khutbah jumaat Jais 2 minggu lalu. Peliknya, khutbah itu ditujukan kepada orang Islam, kenapa yang tidak bersunat gatal punggung?

Wakil rakyat itu mempertikaikan khutbah Jais, bertajuk “aurat: antara kebebasan dan maruah”, yang menekankan kepentingan menutup aurat bagi mengelakkan mudarat lain seperti rogol. Ultra kiasu kata, orang yang tutup auratlah yang paling ramai kena rogol. Sebab kainnya mudah diselak, berbanding memakai seluar ketat, yang sukar ditanggalkan.

Katanya, isi kandungan khutbah Jais bercanggah dengan fakta, tidak benar, tidak bertanggungjawab, tidak menghormati wanita dan bias. Kepada yang faham, sudah tentu kita akan berkata, bahawa khutbah tersebut mahu mengangkat martabat wanita.  Peliknya, kenapa MCA, Gerakan dan lain-lain diam membisu? Tidak pula dituduh wanita putih ini rasis?

Kena pada kita, rasis belaka. Kena kepada mereka, itu namanya hak. Peliknya lagi, kenapa tidak bandingkan kes rogol di negara barat yang tidak menutup aurat atau negara paling seksi?

Mengikut kajian di barat, berpakaian seksilah yang paling banyak mengundang kepada rogol. Zig Ziglar (2000), pakar motivasi Amerika, bercerita panjang lebar tentang hal ini.

Hujah ini disokong oleh Sudin Dhavilika (2014), bukan Islam, Menteri di Jabatan Kerja Raya, Goa, India. Beliau pernah mencadangkan larangan pemakaian bikini  di pantai. Begitu juga pemakaian skirt pendek dan kelab malam. Pemakaian sebegini boleh mengundang kepada cabul dan rogol serta keganasan ke atas wanita.

Kenapa ultra kiasu tidak boleh berfikir rasional seperti menteri India ini? Kenapa asyik nak mendedah sahaja. Apakah pemakaian seksi sebegini dibenarkan oleh agama lain?

Nasib baiklah di negara kita ada etika berpakaian ketika berada di pejabat, DUN atau Parlimen. Jika tidak, tidak mustahil ada yang bertelanjang datang ke tempat tersebut.

Kadangkala sangat meluat melihat, pergi ke pejabat awam, sudah ada notis ditampal dengan jelas, berpakaian sopan bila berurusan dengan pejabat kerajaan. Malangnya, yang datang, baju-T lebih panjang daripada seluar pendeknya sehingga nampak tersurat tersirat.  

Bentuk tubuh badan wanita dan lelaki berbeza.  Begitu juga soal penonjolannya. Pendedahan dan penonjolan wanita menggiurkan dan memberahikan, menjadikan lelaki terangsang untuk merogol. Logiknya, mudah. Tubuh badan wanita memberi tarikan dan rangsangan.

Jika lelaki masuk pertandingan ratu cantik, tiada siapa peduli. Tetapi jika wanita, lain reaksinya. Lainlah kalau wanita tersebut berperangai seperti jantan.  

Memanglah tutup aurat bukan jaminan untuk kena rogol. Perogol tidak memilih mangsa. Agama kami lebih kepada mengambil langkah pencegahan. Jika ditakdirkan ramai yang tutup aurat kena rogol. Itu sudah takdir.

Saya tidak nafikan wanita bangsa saya kurang kena rogol. Kebanyakan mereka lakukan seks atas dasar suka sama suka, meskipun belum mendaftarkan perkahwinan. Suka, teruskan, tidak suka tinggalkan. Itulah yang berlaku kepada saudara mara saya. Sebab itu tidak ada istilah rogol.


Nasihat saya, tidaklah perlu campurtangan dalam hal ehwal kami. Pada kami tutup aurat itu sebagai langkah pencegahan. Jika dia tak percaya, tidak perlu cari pasal.

Monday, February 09, 2015

Lakonan yang meloyakan

7:36 AM Posted by RIDHUAN TEE 15 comments
(Sinar Harian 9 Feb 2015)

Sama ada Anwar Ibrahim bebas atau tidak pada 10.2.15, keputusan penghakiman kes liwatnya, itu sudah tidak penting lagi bagi Malaysia. Adapun, kadang kala seperti tiada. Tidak banyak menguntungkan Islam. Apa yang lebih penting, agenda masa depan agama, bangsa dan negara mesti diperkasakan.

Heboh diperkatakan, siapakah yang akan menerajui PR? Jawapan saya, paling penting, sesiapapun, mereka tidak boleh tunduk kepada ultra kiasu yang semakin hari semakin agresif dan celupar mulutnya. Islam dicerca, perlembagaan dihina.

Lihat sahaja isu banjir. Pemimpin ultra kiasu begitu bongkak mengatakan rakyat Kelantan seperti tiada kerajaan ketika banjir. Penghinaan itu bukan hanya ditujukan kepada kerajaan Islam Kelantan diterajui Pas semata, tetapi kepada raja yang berdaulat.

Saya harap mungkin suatu hari nanti, bandaraya P. Pinang akan diuji sedemikian rupa. Kita nak tengok juga sejauhmana ultra kiasu ini pandai mengurus negerinya ketika banjir. Bukanlah mendoakan.

Menurut Pas, Kelantan dihina oleh ultra kiasu dengan hanya sumbangan bantuan banjir dan lawatan sehari ke Kelantan setelah banjir sudah surut.

Mereka tidak datang semasa banjir memuncak. Mereka tidak tahu bagaimana sukarnya kerajaan Kelantan untuk menguruskan bantuan setelah semua perhubungan terputus walaupun dibantu Kerajaan Pusat.

Selama lebih 20 tahun Pas mentadbir Kelantan, tanpa bantuan ultra kiasu, apakah Pas begitu hina untuk  menerima bantuan mereka kali ini? Saya cadangkan, jika masih perlukan bantuan tambahan, bisiklah pada PM, saya yakin PM akan beri.

Selepas penghinaan dibuat, tidak semena-mena mereka datang ke Kelantan untuk membantu, bagi mengaburi hati rakyat, menunjukkan mereka itu baik. Pandai sungguh berlakon dan mengaburi mata orang.

Bila ada bencana, mereka pergi dan cepat-cepat ambil gambar. Tunjukkan dalam laman sosial, mereka buat kerja, begitu prihatin. Walhal, datang tunjuk muka sahaja. Misalnya, aksi memberus baju, lantai dan sebagainya. 

Sama juga lakonan yang meloyakan, klip video 5 minit bertajuk 1 goat year, 1 great family, lakonan ultra kiasu dan Pas Shah Alam. Bukan main rapat lagi duduknya dengan ‘gadis-gadis comel’ di situ. Nasib baik ada sebiji bantal yang memisah. Jika tidak sudah macam orang bersanding pulak. Sejak bila orang Pas ini pandai berlakun dan bersosial? Jika marahkan sangat pada kerajaan hari ini, tidak payah sehingga menggadaikan prinsip. Hodoh sangat rupanya. Mungkin boleh dicalonkan untuk anugerah skrin.

Ultra kiasu bernasib baik kerana telah mewarisi negeri yang telah maju dan banyak duit seperti P. Pinang dan Selangor. Jadi, tidaklah sesuatu yang luar biasa jika kita berjaya mentadbirkannya. Pemimpin terdahulu, telah berjaya meletakkan tanda arasnya.

Jika P.Pinang, dahulunya, sebelum menang pilihan raya, keadaannya masih hutan belukar, kemudian dimajukan, barulah ultra kiasu nampak hebat. Keadaan tidak berlaku sebegitu. Ultra kiasu masih tidak insaf, kokoknya berderai-derai, ekor bergelumang tahi. Hanya yang celik sahaja dapat membezakan.

Sebab itu, mereka mahu sangat pilihan raya PBT diadakan, terutama di Kuala Lumpur dan P. Pinang. Sudahlah kawasan parlimen semua mereka sapu. Hari ini Majlis Bandaraya pun mereka mahu tawan. Kenapa? Agendanya, tidak lain, supaya identiti Melayu Islam tidak terpancar. Sehingga nak cari signage bahasa Melayupun susah. Sedangkan Islam dan bahasa Melayu itu agenda negara, termaktub dalam perlembagaan. 

Sebelum terlambat, eloklah Datuk Bandar KL fikirkan, menggantungkan kalimah Allah dan tulisan jawi di merata tempat di KL, agar terpancar sedikit identitinya. Apa nak ditakutkan, bukankah puak-puak ultra kiasu mahukan gunakan kalimah Allah, tentu mereka setuju.

Ingatan saya kepada Pas, Jadikanlah banjir ini sebagai titik tolak perpaduan umat Islam, tolaklah musuh yang sebenar, hulurkan tali silaturahim kepada sebangsa dan seagama.

Datuk Kazim Elias dan Dato’ Ismail Sabri sedang menjadi sasaran serangan ultra kiasu disebabkan oleh kenyataan mereka. Saya tidak nampak ada salahnya dari segi fakta akademik, walaupun mungkin ada sedikit berbau perkauman.

Berbanding dengan tuduhan khutbah Jakim ekstrem, pelukis yang menterbalikkan gambar Agong serta simbol negara, penternak ikan keli babi, kes belacan dan bihun kotor, tofu babi dan lain-lain. Sengaja atau tidak dilakukan?   

Peliknya, ultra kiasu dan sekutunya MCA dan Gerakan tidak pula lantang mengkritik perlakuan hina ini seperti yang dilakukan terhadap Ismail Sabri. Begitu juga segelintir pemimpin Sabah dan Sarawak yang menuduh saya rasis dan ekstremis. Mari kita berdebat secara anak jantan untuk leraikan kekeliruan. Baru ada telor.


Bila ultra kiasu bercakap atau bersuara, semua akan berkata, itu hak asasi manusia atau kebebasan bersuara. Bila kita atau sesiapa sahaja bercakap atau menulis atas nama hak dan fakta, seperti yang berlaku pada kami semua, maka akan dituduh rasis. Akhirnya, kami yang benar jadi salah, ultra kiasu salah jadi betul. Meloyakan. 

Monday, February 02, 2015

Sebangsa tidak seagama

8:01 AM Posted by RIDHUAN TEE 22 comments


Sinar Harian 2 Feb 2015

Nomy Nozwir menulis surat terbuka kepada saya, Tee Chuan Seng, disiarkan laman web ultra kiasu, pada 24 Januari 2014. Biar saya jawab, agar semua faham, mudah-mudahan kendur sedikit ultra kiasunya.

Memang nama asal Tee Chuan Seng. Bila saya memeluk Islam pada tahun 1985, saya terpaksa menurut arahan pejabat agama, agar hanya mengekalkan surname sahaja, menjadi Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah.

Tee, menunjukkan saya Cina. Kini, hasil perjuangan kami, orang Cina atau sesiapa sahaja yang memeluk Islam, boleh mengekalkan nama lamanya, asalkan tidak ada konotasi dengan unsur-unsur ketuhanan dan keagamaan mereka. Dalam makna, saya boleh mengekalkan nama saya dan berbinkan bapa saya.

Namun, perlu juga diingat, tidak salah meletakkan nama-nama Islamik, malah ianya digalakkan. Berbinkan Abdullah, bukan bermakna menukar nama bapa, Abdullah itu bermakna hamba Allah. Tidak salah, kerana bapa saya adalah juga hamba Allah.

Sebaik-baik nama dalam Islam adalah yang menuruti nama-nama mereka yang disanjungi oleh agama seperti nama para Nabi, para sahabat atau ulamak atau nama dengan makna-makna yang baik. Dalam satu hadis yang diriwayat oleh Muslim, nama yang paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan juga Abdul Rahman. Saya cadangkan saudara tukar nama lebih baik dari Nomy kepada Karomi. Lebih comel.

Rasulullah sendiri pernah meminta seorang sahabat yang masuk Islam menukar namanya dari Abd al-Syams bin Sakhr kepada Abd Rahman bin Sakhr kerana nama Abd Syams bermaksud hamba kepada matahari. Rujuk e-fatwa.

Apakah kita lupa, apabila orang Melayu memeluk Islam 600 tahun dahulu, nama-nama mereka yang pelik seperti Buyung, Melati, Kencana dan sebagainya, telah bertukar menjadi Umar, Osman, Ali, dan lain-lain. Jika saudara faham Islam, ini bukan soal nama-nama Arab, tetapi agama kita galakkan. Nama yang pelik-pelik, kadang kala boleh merosakkan akidah.

Nyatakan sekali saudara agak jahil dalam memahami Islam, undang-undang dan cara hidup di Malaysia. Kami bukan seperti Indonesia yang boleh menukar agama dan berkahwin dengan bukan Islam sesuka hati.


Saya labelkan peguam ultra kiasu sisepet, supaya kita lebih faham siapa yang saya rujukkan. Panggilan ini lebih mesra daripada ultra kiasu yang menyerang peribadi saya dalam laman sosial mereka.

Saudara tidak mengenali atau membaca penulisan saya selama ini. Label ultra kiasu adalah kajian PhD saya merujuk kepada mereka yang tidak mahu kalah, asyik mahu menang dalam segala hal. Ia sudah jadi trademark saya.

Saya merujuk kepada mereka yang berada dalam PKR dan DAP, dan sesiapa sahaja yang menentang Islam, Melayu dan Raja serta perlembagaan, termasuk mereka yang berada dalam BN. Orang Melayupun boleh menjadi ultra kiasu jika mereka menentang Islam atau menjadi liberal dan pluralis.

Mereka ini adalah musuh-musuh Islam dan mahu menghancurkan Islam. Fakta saya, umat Islam tidak pernah mencampuri hal ehwal agama lain amat jelas. Tindakan pihak penguasa agama terhadap ultra kiasu seperti  rampasan bible di Selangor adalah dalam bidang kuasa Jabatan Agama. Baca undang-undang dan peraturan itu.

Berkaitan supaya masuk ke gereja hanya untuk mendapat maklumat. Bagaimana maklumat boleh diperolehi, jika tidak berbuat demikian. Selama ini maklumat diberi oleh kawan Kristian saya yang pro Islam.

Ultra kiasu tidak perlu menyamar masuk masjid kerana mereka boleh ikuti khutbah JAKIM secara langsung di TV. Bukankah Islam agama persekutuan.

Ultra kiasu yang mengatakan khutbah JAKIM ekstrem, sila nyatakan bila dan di para mana. Biar saya jelaskan sama ada ia ekstrem ke tidak. Setakat mana ilmu Islam dia ada, untuk mengatakan khutbah tersebut ekstrem. Dari cara saudara berhujah, Nampak sangat pengetahuan saudara tentang Islam amat cetek. Elok juga saudara datang belajar dari saya.

Sejak dahulu saya sudah tulis, saya tidak pernah membenci bukan Islam atau kaum saya. Bagaimana Islam boleh berkembang jika kita bermusuh. Musuh saya adalah ultra kiasu yang menentang Islam dan undang-undang negara ini.

Negara ini asal usul dan akar umbinya berasaskan Islam. Sebab itu, agama Islam mendapat tempat dalam perlembagaan. Maka tidak salah, jika Islam dilebihkan sedikit berbanding agama lain. Tetapi realitinya tidak berlaku. Rumah ibadat Islam ada 50 ribu, bukan Islam ada 500 ribu.

Jika saya membenci bukan Islam bermakna saya membenci ciptaan Allah SWT. Saya Cuma benci sikap dan perangai mereka yang tidak pernah bersyukur.

Saya tidak pernah mendakwa saya orang Melayu atau menghina bangsa dan keturunan saya. Saya dilihat seolah-olah lebih Melayu dari Melayu, kerana orang Melayu sendiri takut untuk bersuara, hanya kerana untuk kuasa politik.

Prinsip saya, apabila berlaku pertembungan antara agama vs bangsa. Maka, agama mesti diutamakan, berbanding bangsa. Sebangsa tidak segama vs seagama tidak sebangsa, pilihan saya adalah seagama tidak sebangsa. Saya minta saudara dan ultra kiasu yang lain menulis surat terbuka kepada pelukis Cina ultra kiasu yang menterbalikkan pemimpin tertinggi negara, tugu negara dan keris. Jika tidak, saudara tidak ada bezanya dengan musuh saya. Setakat ini ultra kiasu senyap sepi. Adakah mereka tidak jahat?