Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, August 27, 2012

Jangan terlalu defensif bila dikritik

7:55 AM Posted by RIDHUAN TEE 30 comments
(Sinar Harian, 27 Ogos 2012)

Wartawan Malaysianinsider, Zebra Chong, sekali lagi mensensasikan artikel saya mengenai gerakan Kristianisasi di Asia Tenggara, dengan tokok tambah yang meloyakan. Saya tidak hairan dengan sikap anti Islamnya. Malah memotivasikan saya untuk menyambung kembali isu ini. Biar dia tahu langit tinggi rendah.

Artikel saya hanya mahu menyedarkan umat Islam tentang Kristianisasi. Pihak Kristian tidak kurang juga mengutuk Islam. Saya tidak menafikan hak Kristian untuk mendakyahkan agamanya. Tetapi dalam konteks Malaysia, pendakyahan tidak boleh dibuat sewenang-wenang seperti insiden terbaharu di Pulau Pinang. Benar, ramai umat Islam yang miskin tidak dibantu oleh umat Islam atau institusi Islam itu sendiri. Saya ucapkan terima kasih usaha golongan Kristian membantu. Bantuan tersebut janganlah ada udang di sebalik batu.

Saudari Zebra perlu ingat, keadaan di Malaysia berbeza dengan Indonesia, juga negara Islam yang lain. Agama Islam dilindungi perlembagaan. Walaupun umat Islam berada dalam kesempitan, pihak Kristian boleh tampil membantu, tanpa niat untuk berdakyah atau memperlekehkan agama Islam atau Nabi Muhammad SAW atau boleh juga menyalurkannya kepada pihak NGO Islam atau institusi kerajaan misalnya, untuk disampaikan kepada sasaran. Ini tidak, mereka akan berdakyah terlebih dahulu sebelum memberikan bantuan.

Di Indonesia, mubaligh Kristian tampil memberikan bantuan ketika umat Islam berada dalam kesusahan dan kemiskinan. Misalnya, ketika berlaku tsunami Acheh, merekalah yang paling awal dan pertama tampil ke hadapan memberikan bantuan. Alhamdulillah, ini adalah sikap terpuji. Tetapi lakukan dengan ikhlas.

Mengikut kajian, umat Islam yang sedang dilanda kemiskinan, malapetaka dan tidak arif mengenai agama sendiri akan lebih mudah dipengaruhi. Masyarakat Indonesia bersifat terbuka yang memudahkan mereka terpengaruh. Jika seseorang datang kepada mereka dan melayan dengan baik, memberi makanan, wang dan pekerjaan seperti yang dilakukan oleh gerakan Kristian ini, hati mereka mudah terpaut. “Rakyat Indonesia berfikir dengan hati. Jika kamu dapat memenangi hati mereka, kamu akan memenangi jiwa mereka” (Zahir Zainudin,1.7.2007).

Maka tidak hairanlah sebuah negara yang dahulunya hampir 100 peratus Islam, kini hanya tinggal 83 peratus sahaja, mungkin menurun lagi. Misionari Cina Kristian Malaysia dan Cina Kristian Indonesia, begitu aktif berdakyah, mengalah misionari Kristian barat. Mereka mempunyai kekuatan ekonomi. Kebanyakan pasar raya, hospital dan bangunan mereka mengutamakan perayaan Kristian berbanding hari kebesaran Islam. Pusat komersial mereka dilengkapi dengan gereja sebagai daya tarikan. Bagaimana dengan kita?

Kadangkala, kita tidak wajar menyalah misionari Kristian semata. Kita sendiri yang bersalah. Institusi zakat sepatutnya memainkan peranan. Ketika memberi taklimat dan memungut zakat, mereka tersenyum lebar sampai telinga. Bila sampai bab pengagihan, kenapa muka masam mencuka. Lebih menyedihkan ada yang menghemburkan kata-kata, “tak kerja lainkah selain meminta sedekah”? Inilah kata-kata yang sering didengari oleh mualaf.

Kita sepatutnya mencari mereka yang memerlukan seperti yang dilakukan oleh Khalifah Umar al Khattab dan Umar Abd Aziz. Bukan menunggu mereka datang kepada kita. Di sini kelebihan missionari Kristian

Kita seronok kerana dapat mengumpulkan zakat begitu banyak. Kita suka tengok wang itu, kita laburkan, kita bina bangunan pencakar langit untuk menunjukkan kehebatan kita. Kita tidak sedar betapa ramai yang kecewa dengan Islam, disebabkan perbuatan kita.  

Sepanjang kajian saya, dalam jawatan kuasa agihan zakat, tidak ada seorangpun mualaf atau OKU yang dilantik menjadi ahli lembaga. Jika adapun satu atau dua buah negeri sahaja. Semua mereka kalangan yang ‘bergelar’ dilantik menjadi ahli lembaga. Kelayakan tidak diambil kira. Janji mereka mempunyai gelaran. Apakah kelebihan gelaran itu saya masih mencari jawapan?

Saya bersetuju dengan saranan  Shaharul Anwar Shafie (14.8.2012), pihak yang menguruskan zakat dan pemegang amanah zakat di seluruh negara yang lebih suka menjadi “tuan” di pejabat dan lebih suka orang ramai datang menagih meminta bantuan zakat. Sememangnya rasa gembira mendengar kutipan zakat tahunan yang bernilai puluhan dan ratusan jutaan ringgit tetapi yang menjadi tanda tanya ke manakah wang tersebut disalurkan memandangkan wang yang dikutip dalam satu tempoh itu perlulah dihabiskan kepada penerima yang layak dalam tempoh yang sama.

Saya ucapkan tahniah kepada Jabatan Audit Negara kerana mengaudit akaun zakat. Ia perlu dilakukan secara menyeluruh di setiap negeri. Ini dapat mengelakkan fitnah terhadap institusi Islam yang menjaga amanah harta ini. Selaku ‘mualaf’, beberapa kali telah saya nyatakan karenah birokrasi dan menganggap wang zakat itu kepunyaan bapak kita, hendaklah dielakkan. Institusi Islam sebegini perlu menjadi contoh kepada yang lain. Jangan sampai ada orang mencemuh “nama saja Islam, tetapi cara menguruskannya langsung tidak Islamik”. Kadangkala saya merasa malu apabila label Islam digunakan, cakap tidak serupa bikin.

Saranan saya keluarlah daripada pejabat berhawa dingin itu. Carilah penerima zakat seperti OKU, sebelum pihak lain atau misionari Kristian mencari mereka. Tidak ada gunanya kita bising, apabila orang lain sudah mendekati mereka dan mereka telahpun murtad seperti yang telah berlaku. Paling baik, wajibkan OKU sebagai asnaf zakat.

Senyuman ketika memungut zakat, hendaklah diterjemahkan dalam konteks mengagihkannya, Saban hari saya menerima panggilan telefon dan sms daripada mualaf yang memerlukan bantuan. Apakah cukup sekadar memberi bantuan sekali, kemudian dibiarkan bergelandangan? Jika mereka perlu bantuan seumur hidup sekalipun, apakah salah kita membantunya? Saya amat bimbang birokrasi, kesilapan atau keangkuhan kita bakal memalukan Ketua Agama Negara/Negeri yang terdiri daripada Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu. Apatah lagi hari ini kita sudah ada kaunter pandu laju. Syabas!

Monday, August 20, 2012

Bahaya ultra kiasu kepada Islam

6:22 PM Posted by RIDHUAN TEE 40 comments

Selamat Hari Raya Eidul Fitri Maaf Zahir Batin. Artikel khas untuk blog. Sinar Harian tidak terbit hari ini.

Lanjutan artikel saya bertajuk “bersatu tegakkan hukum Allah”, saya begitu teruja dengan kenyataan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang menyertai PAS Mei lalu,bahawa persefahaman PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat mencetuskan suasana politik lebih sihat, berbanding sebelum mereka bersama dalam gabungan itu, diibaratkan oleh beliau seperti anjing dengan kucing. Saya tidak pasti siapakah anjing, siapakah kucing? Sudah tentukan anjing (haram) itu ultra kiasu dan kucing (halal) itu PAS. Jika begitulah pengibaratan, maka biasanya yang akan menang dalam pertarungan adalah anjing (ultra kiasu). Selama inipun ultra kiasu sahaja yang menang ekoran perpecahan Melayu yang tidak berkesudahan.

Apakah benar dakwaan beliau bahawa tidak ada syak wasangka dalam Pakatan Rakyat? Buatlah kajian secara akademik, sekadar berasaskan pengalaman menyiasat sahaja tidak mencukupi rasanya. Jika ultra kiasu sudah lembut dengan Islam, sudah tentu pendirian mereka terhadap Islam berubah. Ini tidak, semakin lama semakin kuat mereka menentang Islam. Bukan itu sahaja, mereka semakin berani mencabar kedaulatan agama Islam. Jika dahulu angkat kepala pun tidak berani. Hari ini disebabkan oleh perpecahan Melayu, usahkan angkat kepala, dengan kepala-kepala kita dipijaknya.

Persoalan yang ditimbulkan kenapa ultra kiasu boleh menerima Kanun Keseksanan tetapi tidak hudud? Jawapannya, disebabkan oleh sikap anti Islam. Ultra kiasu tidak langsung mahu menerima apa jua agenda Islam. Ultra kiasu bukan tidak tahu bahawa hudud ini tidak ada kaitan langsung dengan mereka. Hudud ini adalah untuk orang Islam SAHAJA, sama seperti kewujudan mahkamah syariah. Kenapa mereka begitu kuat menentang? Mereka tidak mahu ada apa-apa konotasi yang boleh dikaitkan dengan Islam, kerana akan menjadi precedence dan kekal selamanya. Beginilah jahatnya ultra kiasu dalam perancangan mereka.

Cubalah belajar daripada sejarah, jangankan hudud, sejak dahulu lagi ultra kiasu tidak pernah mengiktiraf kewujudan mahkamah syariah. Sebab itu apa jua perkara berkaitan dengan umat Islam, mereka sedaya upaya untuk elakkan perbicaraan dilakukan di mahkamah syariah. Kenapa? Fikirkanlah sendiri.

Soal aliran lama dan aliran baharu dalam ultra kiasu ini tidak banyak beza. Cubalah tanya ketua pemuda dan pimpinan muda ultra kiasu yang menjadi exco kerajaan negeri Selangor, adakah mereka bersetuju dengan hudud? Sekadar makluman, kepada bekas polis tersebut, kebanyakan pimpinan baharu ultra kiasu dikuasai oleh mereka yang beragama Kristian. Sikap mereka terhadap Islam begitu jelas. Sebab itulah mereka berjaya mendirikan begitu besar gereja-gereja untuk menggelamkan mercu tanda Islam.  

PAS akan selama-lamanya tidak akan dapat melaksanakan hudud selagi berkawan dengan ultra kiasu yang anti Islam ini. Mereka terpaksa berkawan dengan PAS kerana tidak ada pilihan untuk mendapat kuasa. Sama juga perkawanan PAS dengan ultra kiasu. Real politik membuktikan, untuk menang dalam pilihan raya, parti-parti Melayu (Islam) mesti berkawan dengan bukan Islam. Persoalannya, adakah bukan Islam ini boleh dipercayai atau tidak, lebih-lebih ultra kiasu?

Saya mungkin tidak dapat bersetuju jika hanya melabelkan ultra kiasu itu DAP sahaja. Ultra kiasu ini berada di mana-mana, termasuk dalam komponen Barisan Nasional. Selagi sistem pendidikan kita, beginilah coraknya, bersifat perkauman. Selagi itulah kita akan terus melahirkan lebih ramai lagi ultra kiasu, sama dalam DAP atau parti di luar DAP.

Seterusnya, kenapa hudud begitu ditentang, berbanding dengan amalan hubungan seks songsang LGBT? Ultra kiasu langsung tidak menentang LGBT, tetapi menjadi jaguh dan menggalakkan LGBT. Kenapa? Mereka mahukan umat Islam rosak. Apabila umat Islam ramai yang rosak, umat Islam secara otomatik akan menentang hudud suatu masa nanti. Strateginya sekarang, ‘cairkan’ kehidupan cara hidup Islam daripada umat Islam. Jangan biarkan ada sedikitpun umat Islam mendapatkan cara hidup mereka sendiri.

Untuk makluman bekas polis ini juga, ultra kiasu (dan sekutunya) yang menentang hudud ini adalah keturunan berserban, agama Sikh. Jika kita mengkaji perbandingan antara agama, agama Sikh yang berusia 600 tahun mempunyai beberapa persamaan dengan agama Islam, sebab pengasasnya Guru Nanak, bermajikankan orang Islam. Cara hidup Sikh amat ketat, misalnya orang lelaki mesti berserban, tidak boleh bercukur dan sebagainya.  

Sepatutnya beliau menggalakkan jika ada manusia yang mahu kembali dan beramal dengan agamanya. Logiknya, tidak ada nilai agama yang benar, yang mahu merosakkan pengikutnya. Ini tidak, agama lain boleh diamalkan dengan sebebas-bebas dan hak mereka mesti diberikan. Jika tidak diberikan, maka bertempiklah mereka kepada dunia bahawa Malaysia tidak mengamalkan kebebasan beragama dan tidak menjaga hak asasi manusia.

Tetapi bila tiba kepada agama Islam, jawapannya, ini tidak boleh, itu tidak boleh. Mereka bersepakatan menentang Islam. Mereka mahu kita kembali kepada zaman British, menjadi Islam hanya relevan di masjid surau, pondok-pondok dan sebagainya. Dalam konteks cara hidup, mereka akan tentang. Lebih-lebih lagi undang-undang Islam.  

Kenapa sistem demokrasi mutlak mudah diterima tanpa banyak soal, walaupun kehancuran hasil sistem demokrasi itu berlaku di depan mata. Menurut sahabat saya Faiz Na’man (2012), sistem demokrasi mutlak (bebas) yang tercipta oleh bangsa Yunani, yang merupakan tamadun penyembah berhala adalah satu sistem yang mengetengahkan apa yang dikehendaki oleh manusia itu sendiri, bukannya apa yang telah digariskan oleh Pencipta manusia itu. Bacalah sama buku Arno Froese (2008), bertajuk How Democracy Will Elect The Antichrist.

Tambah Faiz (2012) lagi, sepanjang sejarah peradaban manusia, dunia telah melalui pelbagai sistem atau ideologi pemerintahan untuk memenuhi kehendak nafsu manusia mentadbir bumi ini. Dari ideologi autokrasi, monarki, dinasti, teokrasi, komunisme, fasisme, hinggalah kepada demokrasi. Mana yang wujud dahulu tidak terlalu penting untuk dibicarakan, tetapi kesan serta hala tuju sesuatu sistem pemerintahan itu yang patut diberi perhatian. Seiringan dengan era penjajahan, Nusantara juga telah mengalami beberapa "revolusi" dalam ideologi yang diguna-pakai untuk menjalankan pemerintahan manusia. Rumpun Melayu pada asalnya adalah serasi dengan sistem monarki (yakni beraja) yang telah menjadi fitrah zaman berzaman nenek moyang kita, sejak wujudnya Empayar Srivijaya hingga ke Empayar Melayu Melaka. Begitu lamanya Rumpun Melayu hidup bersistem dan beradat yang dinaungi oleh sistem monarki ini tadi sambil diperkuatkan lagi dengan kedatangan agama Islam ke Nusantara.

Kedatangan Islam ternyata telah merubah kehidupan orang Melayu. Ketika itu orang Melayu masih belum diganggu-gugat dengan kehadiran para pendatang asing yang menetap di situ. Orang Melayu bebas untuk menentukan cara hidup mereka. Orang Melayu mendapat hak mereka dan cara hidup mereka. Maka tertegakkan kerajaan Islam Melaka, termasuk perlaksanaan hukumnya. Malangnya, keadaan mula berubah apabila Melayu lupa diri. Persengketaan sesama mereka telah menyebabkan mereka dijajah.

Hari ini umat Islam mahu kembali semula kepada cara hidup mereka ketika zaman mereka sebelum dijajah? Kenapa tidak boleh? Bukankah ini tanah mereka sendiri? Tidakkah penduduk asal berhak untuk menentukan cara hidup mereka berbanding dengan orang lain? Tidakkah juga semua bangsa yang bertuankan tanah tumpah mereka berjaya melaksanakan cara hidup dan sistem mereka sendiri?

Saya petik lagi kata-kata Faiz (2012), adakah kafir Barat redha dengan sistem kenegaraan yang Malaysia guna hari ini? Jawapannya tidak sepenuhnya. Sejak dari merdeka lagi, kafir Barat terutama dari Britain dan Amerika cuba memperkotak-katikkan kepimpinan Melayu-Islam kita dengan pelbagai alasan, mereka suka jika Malaysia menjadi kucar-kacir akibat diperintah oleh pemimpin yang lemah dan korup, agar akhirnya umat Melayu-Islam melutut kembali kepada cara hidup sekular. Jika mereka tidak dapat melemahkan kerajaan Malaysia hari ini secara luaran, mereka akan cuba melemahkannya dari dalam, iaitu melalui minda dan corak pemikiran para pemimpin politik kita sendiri. Mereka susupkan agenda halus mereka atas nama Hak Asasi Manusia. Mereka mahu Malaysia menjadi sebuah Republik Demokrasi Liberal (Bebas) seperti Indonesia. Tujuan akhir mereka ialah tidak lain dan tidak bukan, untuk melahirkan masyarakat “rojak” yang hilang identiti serta jati diri kerana menganut kebebasan mutlak. Rumpun Melayu akhirnya akan tinggal sebagai bahan sejarah, akidah Islam akhirnya lupus dari ingatan dan panduan warganya. Realitinya, tanpa kuasa politik, Melayu-Islam itu adalah paria di negara sendiri.

Inilah hakikat yang dinukilkan oleh Faiz yang sedang dirancang oleh ultra kiasu dengan bantuan barat. Justeru, berhati-hatilah, mudah-mudahan kita tidak merana di bumi sendiri.

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Ketua Jabatan
Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan
Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Monday, August 13, 2012

Berikan hak jika berhak

3:02 PM Posted by RIDHUAN TEE 22 comments
(Sinar Harian 13.8.12)

Saya merasa amat bersyukur dan menarik nafas lega di atas  keprihatinan dan  kelembutan Perdana Menteri membentuk jawatan kuasa mengkaji pembayaran royalti minyak kepada kerajaan (raktyat) negeri Kelantan. Sama ada Kelantan layak mendapatkannya, masa akan menentukan. Apa yang penting langkah pertama telahpun bermula.

Langkah ini perlu disambut dengan baik. Buang yang keruh, ambillah yang jernih. Lupakanlah masa lalu, kerana ia tidak akan berulang pada masa kini. Apa yang penting, jadikan masa lalu sebagai iktibar untuk melayari kehidupan hari ini.

Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang digubal sewaktu Tun Razak menjadi Perdana Menteri, antara lain menetapkan bahawa Petronas perlu membayar nilai lima peratus setiap tahun daripada hasil petroleum yang diperolehi daripada negeri berkenaan. Akta berkenaan menetapkan bahawa perairan negeri merupakan kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.

Jika Kelantan memang mempunyai hak tersebut, berikanlah hak itu. Lagipun orang Kelantan itu juga adalah saudara kita semua, walaupun berlainan ideologi. Ingatlah, kita boleh paksa kuda ke tebing, tetapi kita tidak boleh paksa kuda minum air. Janganlah disiksa rakyat Kelantan, hanya kerana mereka memilih PAS.

Sepatutnya, kita mengkaji kenapa rakyat Kelantan memilih PAS, bukan yang lain. Lagipun PAS bukanlah satu ancaman kepada UMNO. PAS hanya memerintah dua buah negeri (Kedah). Apa yang lebih ditakuti adalah kepada ultra kiasu. Walaupun mereka memerintah satu negeri, tetapi satu negeri sudah melambangkan 10 negeri. Begitulah hebatnya ultra kiasu berstrategi. Hujahnya mudah, ultra kiasu terdapat di luar dan di dalam.

Tidak seperti kita, walau memegang di banyak negeri, tetapi kedudukan kita tidak kuat. Kekuatan kita bergantung kepada simpati orang lain. Bayangkan jika kita siksa rakyat Kelantan, Kedah, atau mungkin juga Selangor. Kekuatan umat Islam akan menjadi semakin bertambah sedikit. Ini menjadikan kita semakin bergantung kepada orang lain, yang bersekongkol dengan ultra kiasu. Sudah tentu mereka akan mengambil peluang keemasan ini untuk mendapatkan apa yang belum dapat dan menambah apa yang telah didapati. Apabila semua telah didapati, kita akan dilupakan, percayalah. Itulah sifat kafir harbi.

Saya selalu mengibaratkan antara UMNO dan PAS ibarat carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga. Perbezaan antara kedua parti ini tidak banyak. Isunya Cuma untuk mendaulatkan Islam, walaupun sebahagiannya telah terdaulat. PAS rela dibubarkan jika UMNO mendaulatkan Islam, yakni melaksanakan Islam sebagai cara hidup.

PAS sudah jauh berbeza berbanding sebelumnya. Dahulunya boleh dikatakan semua haram. Bertepuk tangan dalam majlis, bertentang muka dengan wanita, nyanyian, muzik dan lain-lain semuanya haram. Hari ini PAS mula terbuka. PAS semakin moderat. Kadangkala, PAS bertepuk tangan lebih kuat dari UMNO, tidak lagi malu bersemuka dengan wanita, terhibur dengan lagu-lagu Aishah dan Dayangku Intan, menerima muzik moden dan sebagainya. Terbaharu, suara wanita tidak lagi aurat dalam menyertai tilawah al-Quran.

Saya melihat ini sebagai perkembangan menarik. Interpretasi PAS terhadap Islam semakin luas dan terbuka. Dahulu agenda negara Islam dan hudud adalah satu kemestian. Sesiapa yang menolaknya kafir belaka. Hari ini sudah tidak lagi, agenda tersebut berada dalam hati, agenda yang lebih besar adalah negara berkebajikan. Apapun yang dimahukan oleh PAS, saya sudah tidak kisah, selagi PAS tidak menghalalkan yang haram. Apa yang penting, PAS tidak boleh bekerjasama dengan ultra kiasu. Ini kerana ultra kiasu adalah kafir harbi. Mereka secara terang menolak Islam.

Saya tidak nafikan parti komponen Barisan Nasional juga menolak Islam. Sebab itu saya tidak mengharapkan mereka. Saya lebih menganjurkan penyatuan antara UMNO dan PAS, bukan PKR. Walaupun PKR parti majoriti Melayu Islam, ia sukar dipercayai. PKR adalah parti cari makan, tali barut dan parti balas dendam.

Seruan saya kepada PAS, sambutlah saranan Perdana Menteri itu. Berbincanglah secara baik dan berhikmah. UMNO mungkin beranggapan, PAS tidak pandai mentadbirkan wang petroleum tersebut. Pada saya, sama ada PAS pandai menggunakan wang tersebut atau tidak, terpulang kepada mereka. Kembali hak kepada yang berhak. Jangan siksa rakyat Kelantan hanya kerana majoriti memilih PAS.

Kadangkala kita tidak banyak pilihan. Jika terpaksa memilih antara pemimpin yang pandai mentadbir, tetapi durhaka kepada Allah dengan pemimpin yang kurang pandai mentadbir, tetapi taat pada Allah, sudah tentu mengikut keutamaan, adalah memilih mereka yang taat kepada Allah. Walaupun ada sesetengah yang berpandangan sebaliknya. Namun, saya tetap meletakkan mereka yang takut kepada Allah sebagai keutamaan. Ini kerana mereka yang taat kepada Allah, mereka tidak akan tersasar jauh. Tetapi manusia yang durhaka kepada Allah, akan durhaka kepada manusia. Inilah nasib yang telah menimpa Hosni Mubarak, Gaddafi dan sebagainya.  

Saya yakin masih ramai orang dalam UMNO dan PAS yang taat dan masih takutkan Allah. Jangan siksa mereka ini. Jika sesuatu berlaku ke atas umat Islam, adakah kita lebih mempercayai Kelantan atau ultra kiasu untuk membantu?

Ingatan saya kepada PAS, jangan terlalu bersangka buruk mengatakan isu royalti ini adalah gula-gula pilihan raya. Sama ada ia gula-gula atau tidak, sudah tidak penting lagi. Semua ini berlaku dengan izin Allah. Jikapun benarpun ini adalah gula-gula pilihan raya, mungkin Allah mahu satukan kita semua ketika pilihan raya. Lagipun, saya tidak nampak UMNO mampu untuk merampas kembali Kelantan daripada PAS sekalipun royalti diberikan. Itupun kelebihan manisnya gula.

Kelantan akan terus berada dalam genggaman PAS sampai bila-bila jika UMNO terus berdolak dalih dalam mempertahankan hak umat Islam untuk menunaikan haknya kepada Allah. Adalah menjadi hak orang Islam untuk mendapatkan cara hidup mereka agar terlepas daripada siksaan Allah. Kembalikan hak itu. Lagipun orang bukan Islam sudah mendapat hak mereka. Kenapa kita harus takut?

Monday, August 06, 2012

Selamatkan Akidah Umat Islam

2:17 PM Posted by RIDHUAN TEE 34 comments
Artikel ini mendapat liputan meluas dalam laman web ultra kiasu Malaysianinsider

Sinar Harian 6 Ogos 2012

Kempen “Selamatkan Maryam” atau savemaryam, mengenai gerakan Kristianisasi di Indonesia sedang hangat diperkatakan. Menurut laporan, lebih 2 juta rakyat Indonesia murtad menjadi Kristian setiap tahun.  Logik atau tidak, sama-samalah kita fikirkan. Pada hemat saya, mengambil kira situasi Indonesia dahulu dan kini, perkara ini tidak mustahil boleh berlaku. Rakan laman muka buku saya menceritakan gerakan Kristian di sana amat hebat dan berkesan.

Antaranya faktornya adalah (i) kadar kemiskinan yang tinggi boleh menyebabkan orang menjual akidah, (ii) tidak ada perlindungan terhadap Islam dalam perlembagaan, (iii) tidak ada program yang tersusun yang serius untuk menyelamat akidah umat Islam, (iv) saiz negara yang begitu besar, mempunyai lebih  13 ribu buah pulau, menyebabkan sukar untuk dikawal jika mengamalkan sistem demokrasi, (v) agama Islam hanya tinggal pada nama dalam Pancasila, (vi) nama-nama dan cara hidup sudah tidak membezakan antara Islam dengan Kristian, (vii) kebebasan media yang keterlaluan, (viii) tidak ada tindakan dilakukan jika ada usaha untuk memurtadkan orang Islam, (ix) membenarkan perkahwinan antara agama dan sebagainya.

Negara Indonesia dikenali sebagai negara berpenduduk terbesar Islam di dunia. Dahulunya, lebih 90 peratus penduduknya beragama Islam. Namun, kini tidak lagi. Hanya tinggal 200 juta sahaja yang beragama Islam, daripada 240 jumlah keseluruhan. Selebihnya telah meninggalkan agama yang maha suci ini.

Mengikut jangkaan, jika sesuatu tidak dilakukan, pada tahun 2035, Indonesia akan menjadi sebuah negara majoriti Kristian. Jika perkara ini berlaku, ia merupakan satu ancaman besar kepada negara Islam kecil seperti Malaysia. Apatah lagi, negara semut ultra kiasu di selatan tanah air yang dahulunya milik Tanah Melayu,  sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengambil kesempatan.

Gerakan Kristianisasi tidak kurang hebatnya di sini. Apa yang berlaku di Indonesia ini, cuba dipraktikkan di sini atas nama hak asasi manusia. Kita bernasib baik kerana terdapat perlindungan terhadap Islam dan perlembagaan. Jika tidak, apa akan terjadi kepada orang Melayu? Saya tidak dapat bayangkan. Sebab itulah, saya selalu berkata, undang-undang sebegini tidak lapok. Rujuklah perkara 3(1), 11(4), 12(2) dan lain-lain lagi dalam perlembagaan persekutuan.

Saya amat mengharapkan kerajaan Malaysia sentiasa sensitif dengan perkara ini, walaupun ada pihak yang sinis, mengatakan, kenapa kita terlalu takut dengan Kristianinasi, bukankah menjadi tanggungjawab mereka menyebarkan agamanya? Jawapannya, negara kita berbeza dengan negara lain.  Kita mesti bersedia berhadapan dengan perancangan jahat orang lain.

Selain persediaan akidah yang mantap, kekuatan pertahanan dan keselamatan hendaklah dilakukan bersekali.  Firman Allah S.W.T dalam surah al-Anfal ayat 60: “Dan bersedialah untuk menghadapi mereka( musuh-musuh Islam ) dengan segala jenis kekuatan yang termampu, daripada kuda-kuda perang yang ditambat untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedangkan Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah, nescaya akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dizalimi”

Ingatlah, perancangan Kristian begitu tersusun dan licik. Mereka mempunyai kewangan yang mantap dari seluruh dunia. Nusantara Melayu adalah sasaran utama mereka, setelah mereka dilihat seolah-olah telah ‘gagal’ dalam perancangan dakwahnya di barat kerana Islam lebih mendapat tempat di sana. Kini, mereka mengalih usaha mereka ke rantau ini. Maka tidak hairanlah begitu ramai bangsa saya yang memeluk agama Kristian. Mereka ini apabila memeluk Kristian, lebih ekstrem daripada Kristian di barat. Inilah yang sedang berlaku di Indonesia. Inilah juga perancangan jahat InterFaith Commission (IFC) dengan 14 tuntutannya, yang mahukan kerajaan mengiktiraf mereka.

Mengikut sumber, gerakan Kristianisasi turut memberi khutbah pada hari jumaat bagi mengelirukan umat Islam. Penggunaan kalimah Allah, iman, solah dan sebagainya sudah menjadi perkara biasa. Selain itu, mereka menyediakan talian hayat dan bantuan secara percuma kepada yang memerlukan. Lebih hebat lagi, mereka telah mempunyai sistem telekomunikasi sendiri atau siaran televisyen secara percuma.

Ingatlah wahai saudaraku, orang Indonesia itu juga adalah saudara kita. Selamat mereka, selamatlah kita. Kita tidak boleh berpeluk tubuh.  Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang bersaudara dengan seseorang kerana Allah, nescaya Allah akan mengangkatnya ke suatu darjat di syurga yang tidak dapat diperolehi dengan sesuatu dari amalnya” (Riwayat Muslim). Dalam hadis Baginda menyebut; "Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim lainnya, tidak menzalimi atau mencelakakannya. Barang siapa membantu keperluan saudaranya sesama Muslim dengan menghilangkan satu kesusahan darinya, nescaya Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan di hari kiamat. Dan barang siapa menutupi aib seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat” (Riwayat Bukhari).

Kita masih boleh menarik nafas lega di sini. Itupun kita masih tidak dapat memastikan nasib pembantu-pembantu rumah Indonesia beragama Islam yang bermajikankan orang bukan Islam. Sejauh manakah nasib dan hak-hak mereka terbela? Kita sudah biasa mendengar, bagaimana pembantu ini Islam tidak dibenarkana bersolat, memotong dan menghidangkan daging babi, menjadi hamba seks dan sebagainya. Bayangkan jika proses Kristianisasi berlaku, apakah tidak mungkin pembantu rumah ini menjadi murtad? Pihak imigresen perlu melakukan sesuatu. Jika tidak, kita juga dianggap bersubahat.

Akhirnya, marilah kita menyambut dan menyahut kempen savemariam. Paling utama dilakukan ialah memberi sumbangan (sedekah) sebanyak mungkin kepada umat Islam di sana untuk mengadakan televisyen Islam dan menyokong segala usaha menyelamatkan akidah umat Islam.

Saturday, August 04, 2012

Bersatu tegakkan hukum Allah

2:58 PM Posted by RIDHUAN TEE 14 comments

 (4 Ogos 2012 Utusan Malaysia)

Terbaharu, Ketua Pemuda Pas mengeluarkan kenyataan, Pas tetap mahukan hukum hudud dilaksanakan. Orang Islam yang menolaknya boleh menjadi kafir. Tidak semena-mena pengerusi parti ultra kiasu mengulangi pendirian tegas mereka,  sebarang cubaan Pas sekarang untuk memperkenalkan hudud atau mengisytiharkan negara ini sebagai negara Islam, akan ditentang kerana bercanggah dengan apa yang diputuskan di Muktamar PAS ke 57 tahun lepas, dalam usaha menawan Putrajaya.

Pas sebelum ini pernah menyebut bahawa perkataan negara Islam tidak ada dalam al-Quran, melainkan negara kebajikan. Hudud tidak termasuk dalam kerangka dasar bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga. “Tidak ada siapa, tidak ada parti, tidak juga organisasi yang boleh mendakwa mempunyai monopoli terhadap Tuhan”, ujar ultra kiasu.  

Kenyataan ultra kiasu ini benar-benar mencabar maruah Islam. Sudah terang lagi bersuluh, ultra kiasu langsung tidak menghormati tuntutan agama Islam dalam sebuah negara ‘bertuankan’ ketuanan Islam (Melayu).

Sikap anti Islam ultra kiasu telah wujud sejak dahulu lagi. Sudah berkali-kali ultra kiasu atau kafir harbi menolak konsep negara Islam dan undang-undang Islam. Namun, kita terus bersangka baik atas kepentingan politik. Pas mendakwa mereka perlu berkawan dan bersekongkol dengan ultra kiasu bagi tujuan dakwah dan menumbangkan Umno. Pas yakin suatu hari nanti ultra kiasu akan menerima hukum Islam. Pas menuduh Umno gagal untuk menyampaikan mesej Islam ini. 

Jika begitulah hujahnya, perkawanan Pas dengan ultra kiasu agak lama juga. Namun, semakin lama berkawan dan berdakwah kepada ultra kiasu, semakin kuat ultra kiasu menentang Islam. Mungkin alasan Pas selepas ini, mereka masih baharu berkawan dengan ultra kiasu, hasilnya belum nampak,  berbanding Umno yang telah sekian lama berkawan dengan komponen Barisan Nasional (BN) melebihi 50 tahun.

Lama atau baharu bukanlah ukuran untuk mendakwahi seseorang. Tepuk dada tanya iman, adakah kita ikhlas dalam memartabatkan Islam atau kita asyik berpolitik tidak pernah habis? Almarhum Tunku Abdul Rahman tidaklah lama pemerintahannya, tetapi ada juga tokoh-tokoh besar yang memeluk Islam. Jika Tunku ada keinginan melaksanakan hudud, mungkin hukum ini sudah tertegak. Kenapa hari ini terlalu sukar untuk kita  mengikuti jejak Tunku? Jawapannya mudah. Kita tidak ikhlas, kita ada agenda lain. Sebab itulah, ultra kiasu tidak pernah lembut terhadap Islam.

Pas begitu cepat melatah dengan desakan ultra kiasu. Naib Presiden Pas terpaksa member respon dengan berkata bahawa Pas sentiasa “bersetuju untuk tidak bersetuju” dengan DAP berkenaan isu hudud.  Perbezaan ini tidak dapat dielakkan. Namun, masih terdapat persamaan seperti mahu membanteras rasuah, menuntut keadilan dan hak asasi manusia. Apa yang penting bagi Pas dan DAP adalah kedua-duanya saling memahami dengan proses demokrasi. Persoalan saya, ke manakah hendak dicampakkan agenda hudud?

Lanjutan itu,  Pengerusi Biro Perpaduan Nasional Pas mengatakan isu hudud tidak perlu  dibangkitkan sekiranya Pakatan Rakyat memerintah. Fokus Pakatan Rakyat adalah ada isu ekonomi, kebajikan, gaji minima rakyat dan sebagainya. Maknanya, sekiranya Pakatan Rakyat memerintah, yang hanya akan wujud adalah negara kebajikan sahaja. Persoalan saya lagi, tidakkah kita akan diazab oleh Allah nanti kerana melupakan hudud? Kenapa tidak disahut cadangan ADUN Kemelah (Umno), Ayub Rahmat?

Semua sedia maklum, Adun Umno ini pernah membangkitkan cadangan menjadikan Johor sebagai negeri pertama melaksanakan hukuman berkenaan. Cadangan ini dikemukakan pada 20 Jun lalu dalam mesyuarat pertama penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor ke-12 dan Sidang Dun pada Disember tahun lalu. Kata Ayub, “Kanun Jenayah Syariah dilaksanakan Pas seperti Kanun Jenayah Syariah II (1993) (Hudud Kelantan) tidak menggambarkan kehendak Islam (hudud) yang menyeluruh dan melibatkan semua kaum. “Jadi, saya mencadangkan hukum hudud sebenar yang meliputi semua kaum di negara ini dapat diterajui Johor. Kefahaman yang betul adalah kunci utama hudud diterima semua kaum merentasi kefahaman agama ketika zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW”.

Kenyataan berani Ayub ini harus dipuji kerana tidak ramai orang Umno yang berani bersuara isu ini. Pada saya, jika kita boleh menerima hukum buatan manusia seperti demokrasi dan komunis, kenapa kita harus bersangka buruk atau menolak hukum Allah? Bukankah kita makhluk Allah?

Selepas kenyataan ini dikeluarkan, pemimpin-pemimpin Umno dan Perkasa turut memberikan respon yang positif, kerana memikirkan kepentingan dan kebaikannya umat Islam di Malaysia.  Sekretariat Ulama Muda Umno turut menyokong, dengan cadangan untuk “menghimpunkan pakar-pakar terlebih dahulu bagi memberikan pandangan supaya hukum ini benar-benar dapat dilaksanakan. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, turut bersetuju dengan syarat persediaan perlu dibuat seperti kemudahan mahkamah, hakim dan pegawai pendakwa bagi melaksanakan hudud.

Melalui semua kenyataan, saya dapat katakan sebahagian besar umat Islam di Malaysia mahukan hudud, tidak kira Umno atau Pas. Jika berlaku penolakan oleh ultra kiasu, adalah perkara baisa kerana mereka adalah kafir harbi. Termasuk juga ultra kiasu lain, seperti presiden MCA. Ultra kiasu ini memberi amaran untuk keluar BN jika Umno cenderung kepada hudud. MCA menyifatkan pandangan Ayub sebagai idea gila, bankrup, sekadar mahu menarik perhatian.

Begitulah cerdiknya ultra kiasu berpolitik. Kita sahaja yang terpedaya. Persoalan saya, kenapa kita perlu tunduk kepada telunjuk mereka? Adakah hidup mati kita sebagai umat Islam ditentukan oleh mereka ini? Adakah umat Islam langsung tidak ada hak untuk menentukan cara hidup sendiri?

Saya berpendiriann, isu besar ini boleh diselesaikan jika Pas berlembut dengan Umno, begitulah sebaliknya. Malangnya, semakin Umno mula cenderung kepada hudud, Pas pula semakin tidak mempercayai Umno. Pas sanggup menggandaikan prinsipnya bersekongkol dengan ultra kiasu semata-mata untuk menguasai Putrajaya. Sedangkan kita semua tahu, ditakdirkan Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, hudud Pas hanya tinggal hudud. Pas tidak pernah dihargai dalam Pakatan Rakyat, walaupun kekuatan Pas jauh melebihi ultra kiasu dan PKR.   

Ingatan saya kepada Pas, janganlah terlalu ghairah dengan perlantikan Salleh Man sebagai Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Jawatan tersebut amatlah kecil nilainya di mata ultra kiasu berbanding dengan jawatan Exco Kerajaan Negeri. Jawatan tersebut bukanlah jawatan pembuat dasar. Segala peruntukan tertakluk kepada keputusan kerajaan negeri yang dibolot oleh ultra kiasu. Janganlah kita terlalu bangga dengan peruntukan tambahan terhadap program atau aktiviti Islam, sekolah agama dan sebagainya. Jika mereka tidak melakukan lebih daripada apa yang Umno lakukan, sudah tentu kerajaan ultra kiasu ini tidak dapat bertahan lama.

Lakonan ini amat jelas. Janganlah kita mudah kelabu mata. Saya tidak pula kata apa yang Umno selama ini betul belaka. Umno perlu mengkoreksi diri untuk mendapat kepercayaan rakyat, terutama dalam perkara melibatkan hukum Islam, integriti dan umat Islam. Apa yang penting hari ini adalah umat Islam secara keseluruhan mesti diselamatkan daripada keruntuhan berpanjangan.

Dalam menyelesaikan kemelut politik umat Islam, kita semua perlu berlapang dada. Kecenderungan Umno terhadap hudud makin terserlah, Pas perlu menyambutnya. Langkah pertama yang boleh dilakukan adalah, terimalah hukum Allah ini dengan lapang dada dan ada keinginan untuk melaksanakannya.

Kedua, jika belum bersedia, bentuklah terlebih dahulu sekumpulan pakar untuk mengkaji undang-undang ini. Kita tidak perlu takutkan ultra kiasu. Undang-undang ini bukan untuk mereka tetapi hanya untuk orang Islam. Perlembagaan Persekutuan sudah baik untuk menjadi rujukan mereka. Umno dan Pas tidak perlu hiraukan sokongan mereka dalam pilihan raya. Jika Umno dan Pas boleh berbincang, kecut perutlah mereka.

Ketiga, berikan pendidikan dan kefahaman mengenai hukum Islam. Umat Islam perlu disedarkan bahawa kita berhak untuk menentikan cara hidup kita sendiri, bukan orang lain.

Saya tertarik dengan pandangan, bekas Ketua Pengarah JAKIM, Wan Mohamad Abdul Aziz, Malaysia mempunyai banyak kelebihan apabila Islam diangkat sebagai agama rasmi negara, justeru tiada alasan untuk melengahkan lagi pelaksanaan undang-undang Islam. Menurutnya, Islam sebagai agama Persekutuan merupakan tunjang kekuatan umat Islam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja-Raja Melayu ini adalah Ketua Agama Islam dan ini juga adalah lambang keutuhan umat Islam di negara ini.

Pendek kata, semua ini terletak di bahu kita sama ada mahu memulakan usaha ini, atau tunggu dan lihat. Kita akan terus ketinggalan berbanding dengan negara yang sebelum ini
dimomokkan seperti negara sekular Turki dan Mesir yang telah mula menapak ke hadapan. Justeru, apa yang ditunggu lagi.
  
Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Ketua Jabatan
Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan
Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Monday, July 30, 2012

Belajar memahami keutamaan

7:31 AM Posted by RIDHUAN TEE 26 comments
(Sinar Harian 30 Jul 2012)

Pada 20 Julai 2012, dua buah buku saya, bertajuk “Masih Adakah Ketuanan Melayu?” dan Cabaran Saudara Baharu di Malaysia, dilancarkan yang Menteri Pertahanan. Ucapan aluan saya telah dijadikan berita oleh beberapa laman web, termasuk Malaysianinsider dan diulas oleh Zan Azlee pada 27 Julai 2012, bertajuk Ridhuan Tee does it again!

Ternyata Zan Azlee tidak faham konteks dan maksud. Sebaik-baiknya hadirlah dalam majlis tersebut, baharulah boleh memberi komen dan ulasan. Apapun, saya maafkan, mungkin kerana beliau terlalu muda untuk memahami Islam, walaupun lahir Islam. Saya dilihat seolah-olah jahil dalam memahami Islam. Saya syorkan beliau lebih mendalami Islam agar ilmu Islamnya menjadi lebih luas. Bacalah sama buku karangan ulamak Islam tersohor, Yusuf Al-Qaradawi bertajuk Fiqul Awlawiyyat atau Memahami Keutamaan.

Zan Azlee cuba mengajar saya tentang konsep kesejagatan Islam dengan memetik ayat al-Quran dalam surah Ar-Rum, al-Hujurat, dan Hadis Nabi SAW, tentang kehebatan Allah SWT menjadikan manusia berbangsa-bangsa. Saya syorkan lagi supaya membaca buku Ibnu Khaldun bertajuk al-Muqaddimah, berkaitan dengan semangat cintakan bangsa.

Syor ini lakukan kerana cabang ilmu sangat luas. Tidak cukup sekadar memahami Islam dengan memahami kulitnya sahaja. Memetik ayat-ayat al-Quran dan Hadis, belum tentu boleh membuktikan kita ini hebat atau berilmu. Jika begitulah keadaan, ultra kiasulah yang paling cekap. Merekapun memetik ayat al-Quran dan mahu mengikut Umar Abdul Aziz. Sebagai umat Islam, sepatutnya kita perlu memahami ilmu-ilmu Islam hingga ke akar umbi, walaupun mungkin, kita bukan berlatar belakangkan pengajian Islam. Saya bukanlah ustaz, tetapi saya cuba menjadi ustaz.

Saya menjelaskan dalam ucapan tersebut, apabila berlaku pertembungan antara kepentingan bangsa dengan kepentingan agama. Maka kepentingan agama Islam mesti diutamakan berbanding kepentingan bangsa. Allah SWT tidak akan tanya, apakah bangsa kamu di alam kubur nanti. Tetapi yang akan ditanya adalah apakah agama kamu? Pada saya, persoalan bangsa sudah tidak menjadi penting apabila berlaku pertembungan dengan agama.

Persoalan besar yang saya ketengahkan adalah soal agama Islam, yang mesti dipertahankan daripada diinjak-injak oleh orang lain. Secara kebetulan, agama Islam itu dianuti oleh semua Melayu kerana dalam konteks perlembagaan, semua Melayu itu beragama Islam. Tidakkah menjadi kewajipan kepada kita mempertahankan mereka yang beragama Islam, selagi mereka berada di landasan yang betul.

Sepanjang kajian saya, dengan Islam yang menjadi anutan orang Melayu, orang Melayu menjadi satu bangsa yang begitu bertoleransi berbanding dengan bangsa lain, termasuk bangsa saya sendiri, yang sebahagian bersifat ultra kiasu. Orang Melayu sanggup korbankan kepentingan mereka, demi meraikan orang lain.

Misalnya, dalam bidang pendidikan negara. Tidak ada sekolah Melayu, tetapi ada sekolah berasaskan bangsa lain. Orang Melayu begitu berlapang dada menerima sistem pendidikan bukan Melayu. Persoalannya, kenapa terlalu sukar untuk orang bukan Melayu menerima pendidikan Islam, institusi seperti MARA dan lain-lain berkaitan dengan Islam dan Melayu. Apa jua perkara berkaitan dengan Islam ditentang habis-habis. Sehingga orang Islam tidak dapat mengisytiharkan atau melaksanakan hukum Islam di negaranya sendiri.

Kita semua sedia maklumkan, setiap negara ada sejarah asal usul tuannya. Negara China membentuk ketuanan Cina, negara India membentuk ketuanan India, negara Arab membentuk ketuanan Arab, dan lain-lain. Tetapi negara Melayu tidak membentuk ketuanan Melayu. Yang ada hanya slogan sahaja. Identiti Melayu Islam semakin lama semakin terhakis. Jika tidak dipertahankan, ia akan hilang secara perlahan-lahan akibat desakan dan tuntutan bukan Melayu ultra kiasu yang begitu ekstrem.

Saya tidak kata mempertahankan Melayu yang melakukan kejahatan atau mengengkari hukum Allah SWT. Orang Melayu yang derhaka kepada Allah SWT tidak wajar dibela. Pendirian saya dalam soal ini amat jelas. Saya tidak faham kenapa Zan Azlee begitu keliru. Jika tidak faham konteks dan keutamaan, tanyalah saya. Itulah sikap anak muda yang sebenar. Bukan mahu menunjukkan pandai, wal hal sebenarnya tidak.

Rasulullah SAW adalah contoh individu yang terlalu sayangkan tanahair, kota kelahirannya. Baginda menitiskan air mata apabila meninggalkan kota tanahairnya semasa berhijrah ke Madinah. Nabi Ibrahim pernah berdoa untuk negeri Mekah dengan doanya di dalam surah Al Baqarah “Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini aman makmur”. Cendekiawan Islam,Yusuf al Qardhawi pernah menyebut: “Bagaimanakah kita hendak mempertikaikan kecintaan kepada negara sedangkan Nabi SAW sewaktu keluar berhijrah daripada Mekah, Baginda berkata kepada kota Mekah: “Sesungguhnya kamu adalah tanah Allah yang paling aku cintai, kalaulah bukan kerana pendudukmu mengeluarkanku daripadanya, nescaya aku tidak akan keluar daripadanya”. Apabila sebahagian sahabat menyebutkan tentang Mekah sewaktu mereka di Madinah, tergelenang air mata Rasulullah dan Baginda bersabda: “Biarkanlah hati ini memperakuinya”. Begitulah semangat cintakan negara dan bangsa kerana agama yang diungkapkan oleh Junjungan besar kita.

Justeru, anak muda seperti Zan Azlee perlu banyak membaca dan menambah ilmu tentang keutamaan dan prioriti, terutama apabila berlaku pertembungan sebegini. Zan Azlee dan saya tidak sebangsa, tetapi seagama. Mengikut kaedah, jika sesuatu berlaku kepada Zan Azlee, saya terpaksa mendahulukan saudara dahulu kerana saudara dengan saya seagama, walaupun tidak sebangsa. Saya terpaksa tinggalkan bangsa saya buat seketika.

Lainlah jika saudara hanya Islam pada kulit sahaja. Pada ketika itu saya perlulah mendahului bangsa saya yang lebih simpati kepada Islam daripada diri saudara sendiri, walaupun kita seagama. Ini kerana, belum tentu menyelamatkan saudara dapat menyelamat Islam. Tetapi dengan menyelamat bangsa saya yang bersimpati dengan Islam, saya yakin lama kelamaan dia akan memeluk Islam. Mengikut pengalaman, kadangkala menyelamatkan orang Islam yang tidak jelas Islamnya, boleh menjadi beban kepada Islam. Apatah lagi jika mereka terdiri dari kalangan yang bermuka-muka atau munafik. Saya harap Zan Azlee faham respon ringkas ini.

Monday, July 23, 2012

Undang-undang lapok ada baiknya

6:47 AM Posted by RIDHUAN TEE 31 comments

(Sinar Harian 23 Jul 2012)

Artikel saya dalam sinar harian minggu lalu seolah-olah ada pertembungan. Peguam muda dalam kolum di bawah artikel saya mahukan undang-undang lapok tinggalan penjajah dihapuskan. Manakala, saya berpandangan, perlu ada pengganti kepada undang-undang tersebut, sebelum ianya dihapuskan, bagi mengelakkan vakum.  

Perlu ditegaskan, tidak semua undang-undang tinggalan penjajah itu lapok. Masih ada undang-undang yang masih relevan, termasuk perkara yang dibahaskan minggu lalu, mengenai ISA dan Akta Hasutan. Saya tidak nafikan bersifat agak negatif. Namun, adalah tidak wajar melihat sesuatu yang negatif dari perspektif negatif semata-mata.

Kadangkala kita perlu lihat sesuatu yang negatif dari perspektif yang positif. Begitulah sebaliknya, melihat sesuatu yang positif dari perspektif  yang negatif. Baharu kita akan lebih terbuka dan menjadi lebih berlapang dada.

Analogi saya begini. Makan babi itu adalah haram (negatif). Cuba lihat dari sudut positif kenapa pengharaman itu dibuat. Mesti ada kebaikannya, walaupun daging babi itu adalah antara daging yang paling sedap. Ingat! jangan pula ada umat Islam yang ingin merasanya. Saya hanya mencurahkan pengalaman sahaja. Begitu juga zina, seks bebas dan lain-lain itu, adalah sesuatu yang sedap dan nikmat atau boleh dikira sebagai positif. Lihat pula dari sudut implikasi negatifnya.

Analogi lain, sistem komunis yang terlalu mengongkong itu negatif. Cuba lihat dari sudut yang positif, bagaimana kerajaan China berjaya mengamalkan sistem ini. Ada teori mengatakan, untuk memerintah negara yang besar seperti ini memerlukan kepada sistem kuku besi, berbanding sistem demokrasi.   

Begitu juga dalam sistem demokrasi, kebebasan yang menjadi teras demokrasi itu adalah positif. Cuba lihat daripada sudut negative. Kehancuran sedang berlaku dalam masyarakat barat hari ini, akibat terlalu bebas, termasuk negara kita. Kita tidak boleh terima semua kebebasan atas nama demokrasi, seperti untuk menghalalkan LGBT.

Sebab itulah, Islam datang sebagai penyelamat dengan sistemnya sendiri. Sistem Islam menggabungkan kedua-dua isme-isme tersebut. Dalam Islam, ada kebebasan dan ada kongkongan atau paksaan. Begitu hebatnya agama Islam yang diturunkan oleh Allah SWT. Jika demokrasi meletakkan kebebasan itu segala-galanya, maka kebebasan dalam Islam ada batasnya. Kebebasan jangan sampai melanggar suruhan dan larangan Allah SWT.

Begitu juga dalam konteks kongkongan dan paksaan. Ia boleh dilakukan demi menyelamatkan manusia daripada azab Allah SWT. Kebebasan dan ketaatan mestilah berteraskan kepada al-Quran dan Hadis. Misalnya, sempena dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, bolehkah mereka yang tidak berpuasa dengan sengaja dihukum? Jawabnya, sudah tentu boleh! demi untuk menyelamatkannya. Namun, peringatan dan proses tarbiyyah berjalan terlebih dahulu.

Mungkin ada yang beranggapan berpuasa itu adalah sesuatu yang negatif kerana terpaksa meninggalkan makan dan minum. Lihatlah dari sudut yang positif. Nikmatnya mereka yang berpuasa dan ganjaran yang akan diperolehi. Sebab itu, adalah tidak wajar melihat sesuatu yang negatif dengan kaca mata negatif sahaja. Begitu juga perkara yang positif dengan kaca mata positif sahaja. 

Negara kita bernasib baik, kerana penjajah British meletakkan kedudukan Islam di tempat yang tinggi dalam perlembagaan. Bayangkan jika kedudukan dan keistimewaan Islam tidak ada langsung dalam perlembagaan, apakah akan terjadi dengan umat Islam (orang Melayu) di negara kita? Bandingkan dengan negara Indonesia, kedudukan Islam, langsung tidak terdarjat. Akhirnya, negara yang seratus peratus Islam, hari ini semakin berkurang dan berkurang. Tidak mustahil suatu hari nanti, jumlahnya akan terus menurun.

Sama juga peruntukan perlembagaan membenarkan umat Islam menggunakan dana negara bagi membina rumah ibadat, institusi Islam, menyebarkan syiar Islam dan sebagainya. Jika ditakdirkan peruntukan ini tidak ada, apakah akan jadi dengan kedudukan Islam. Berapa masjid atau surau yang boleh atau mampu kita bina dalam keadaan umat Islam tidak ada kekuatan ekonomi? Saya tidak nafikan ada juga dermawan yang membantu membina masjid dan surau, tetapi bilangannya masih sedikit.

Itupun dalam keadaan adanya peruntukan ini, rumah ibadat bukan Islam terus tumbuh seperti cendawan selepas hujan banyaknya berbanding dengan rumah ibadat umat Islam. Walaupun peruntukan itu ada, tetapi kita masih tidak menggunakan sepenuhnya atas nama toleransi dalam masyarakat berbilang kaum.

Keadaan menjadi lebih gawat, apabila hari ini orang bukan Islam turut menuntut peruntukan pembinaan rumah ibadat daripada kerajaan. Mungkin ada yang akan berhujah, mereka perlu dibantu kerana Islam membenarkannya. Benar, kita perlu bantu. Tetapi jika tidak bantu sekalipun, tidak salah, kerana ia tidak termaktub dalam perlembagaan. Namun, atas nama Islam dan toleransi, kerajaan terus membantu.

Begitu juga kedudukan hak istimewa orang Melayu. Bayangkan jika peruntukan ini tidak ada. Apakah akan terjadi kepada orang Melayu? Dalam keadaan peruntukan ini sedia adapun, kedudukan orang Melayu masih lagi tidak terdarjat.

Setelah timbang tara, ada juga baiknya penjajah ini. Sebelum meninggalkan negara ini, mereka sediakan sesuatu yang berpihak kepada Islam dan orang Islam. Kedudukan dan keistimewaan ini dilindungi melalui akta-kata yang dikatakan lapok itu.

Sebab itu janganlah dengan mudah mengatakan sesuatu itu telah lapok, kerana tidak semestinya yang lapok itu tidak berguna. Saya masih teringat kepada pepatah Melayu, tak ada rotan, akar pun jadi. Hari ini, dalam keadaan semuanya itu sudah termaktub dalam perlembagaan dan ada undang-undang untuk mengawal, kedudukan istimewa itu masih lagi dipermainkan. Bayangkan jika perkara ini tidak disebutkan langsung. Apa yang telah dan akan terjadi? Justeru, janganlah terlalu terburu-buru melihat sesuatu perkara itu lapok kerana ia mungkin berguna dalam keadaan tertentu.

Sunday, July 15, 2012

Bahaya apabila wujud vacuum

9:39 PM Posted by RIDHUAN TEE 28 comments

(Sinar Harian 16 Julai 2012)

Kejadian amuk di hadapan pejabat Perdana Menteri perlu diberikan perhatian serius. Adalah sesuatu yang malang, jika ia ada kaitannya dengan ajaran sesat atau ekstremis agama. Tercalar lagi imej Islam.

Belumpun reda insiden tersebut, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menguatkuasakan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional, yang masih belum digubal. Turut dikuatkuasakan serta-merta adalah pindaan terhadap akta-akta sedia ada yang berkaitan termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Sepatutnya, sebelum sesuatu akta itu dimansuhkan, perlu ada akta baharu yang telah digubal  untuk menggantikannya, supaya tidak wujud ruang kekosongan atau vacuum. Jika akta yang menggantikannya masih belum digubal, akta yang sedia ada sepatutnya tidak dimansuhkan terlebih dahulu. Akta ini masih boleh dikuatkuasakan sehinggalah menunggu akta baharu menggantikannya, termasuklah mendapatkan input rakyat. Perkara ini penting untuk mengelakkan vacuum.

Inilah yang berlaku ketika Jepun menyerahkan kalah, meninggalkan Tanah Melayu, secara tiba-tiba, akibat pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada 1945, dalam Perang Dunia Kedua. Vacuum selama 14 hari telah menyebabkan komunis bermahajarajalela. Ramai orang awam yang tidak berdosa, terutama orang Melayu yang telah menjadi korban. Komunis membalas dendam terhadap orang Melayu kerana berbaik dengan Jepun. Peristiwa ini sebenarnya lebih dahsyat daripada peristiwa 13 Mei 1969. Namun, ia tidak diwar-warkan, atas dasar untuk menjaga hati kaum tertentu. Nasib baiklah British sampai selepas 14 hari tempoh vacuum tersebut. Jika tidak, negara ini sudah menjadi negara komunis.

Sejak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, sementara menunggu akta baharu, vacuum telah wujud. Kumpulan pelampau dan mereka yang mengambil kesempatan semakin subur, sama ada kalangan orang Islam atau bukan Islam. Keadaan ini sudah tentu membahayakan keselamatan negara.

Saya tidaklah menyokong ISA dan akta-kata yang disebutkan sepenuhnya. Perlu kepada penambaikan supaya tidak berlaku penganiayaan. Prinsip asas deklarasi hak asasi manusia sejagat perlu dipatuhi. Sesiapa saja yang ditahan atau dituduh bersalah, mestilah dibuktikan. Bersesuaian dengan kata-kata, seseorang yang dituduhkan itu tidak bersalah, sehingga dibuktikan bersalah.

Namun, menghapuskan undang-undang sedia ada sehingga mewujudkan vacuum, agak kurang wajar. Masa depan negara perlu difikirkan sama. Kumpulan-kumpulan yang mengambil kesempatan sedang bermaharajalela. Hari ini, kita lihat, di alam siber dan ceramah-ceramah, dengan mudah sahaja perkara-perkara sensitif dibangkitkan. Misalnya, menghina kedudukan Islam, raja-raja Melayu, bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan lain-lain yang tergolong dalam akta hasutan. Lebih-lebih lagi, kemunculan kumpulan-kumpulan tertentu yang mahu mengguling kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam yang dikatakan sebagai thaughut. Thaughut disamakan dengan kafir. Maka berlakulah kafir-mengkafir. Siapakah kita untuk mengkafirkan mereka yang masih berpegang kepada syahadah? Apakah kita yang suka mengkafirkan orang ini sudah tentu masuk syurga?

Islam menolak kegiatan pelampau dan ekstremis. Imam Ahmad meriwayatkan, “jauhilah melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya orang-orang sebelum kamu kerana melampau dalam agama”.

Abu Hurairah pula meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya agama ini mudah. Tiada seseorang yang mempersulitkannya melainkan dikalahkannya, maka laksanakanlah dengan benar...” (Riwayat Bukhari dan Nasaai). Kita sepatutnya menggunakan ruang dan peluang untuk berdakwah dan menyampaikan Islam kepada golongan sasaran. Kerana itulah perintah yang sebenar. Saya yakin, umat Islam akan menjadi kuat.

Perintah berdakwah secara bijaksana dan berhikmah dengan jelas disebut dalam al-Quran yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk”.(Surah an-Nahl 125)

Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah berpendapat, antara punca kerosakan umat Islam adalah mereka terperangkap dengan pendapat orang perseorangan, dan tidak berganjak mengambil ilmu atau kebenaran mazhab yang lain. Pendapat ulamak diketepikan, kerana fanatik kepada pemimpin sendiri. Ulamak diperlekehkan kerana tidak memberikan pendapat yang benar dan takut kepada pemerintah thaughut.

Golongan ini lebih terpengaruh kepada mereka yang mendapat pendidikan dari barat, yang dikatakan lebih memahami al-Quran dan Hadis. Syaikh Bakr bin Abdillah Abu Zaid menjelaskan inilah bahayanya apabila kita terlalu taksub kepada sesuatu parti atau golongan. Mereka mengikat wala dan bara atau menyenangi dan membenci orang, kerana parti atau golongan. Akhirnya, orang yang tidak berdosa menjadi mangsa.

Biasanya, sesebuah pertubuhan ditubuhkan dengan tujuan murni untuk mentauhidkan Allah SWT. Namun, ia mula berubah dari matlamat asal, hanya kerana ingin menyaingi pertubuhan yang lain. Dakwah yang dilakukan tidak lagi berasaskan tauhid, tetapi dibangunkan atas dasar pola berfikir dan perancangan kumpulannya.

Ketahuilah umatku, perpecahan umat hari ini merupakan ujian bagi orang yang beriman. Sepatutnya kita memilih jalan yang benar dan meninggalkan kelompok yang tersasar. Fikirkanlah masa depan Islam dan umat Islam segala keseluruhan.

Kembalilah kepada al-Quran dan as-Sunnah apabila berlaku kekeliruan atau perselisihan, bukan saling tuduh-menuduh atau kafir-mengkafir. Sabda Rasulullah SAW: “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya” (Hadis Riwayat Imam Malik). Saya tidak nampak perpecahan itu suatu rahmat dalam keadaan kita begitu lemah pada hari ini. Maka fikirkanlah vacuum yang telah dibincangkan.