Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Sunday, February 26, 2012

Apabila berita dimanipulasikan

8:07 PM Posted by RIDHUAN TEE 173 comments
(Sinar Harian 27 Feb 2012)

Nampaknya laman web ultra kiasu begitu bersungguh-sungguh membuat ulasan mengenai ‘pandangan saya’ dalam Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan, 19 Februari 2012, di Kuala Lumpur, yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian. Walaupun laporan wartawan tersebut agak sedikit tersasar, berita itulah yang dijadikan isu utama. Idea utama saya yang disiarkan dalam media elektronik dan media cetak yang lain, langsung tidak diambil kira. Ultra kiasu ini memang pandai memanipulasikan isu untuk mencapai kepentingan niat jahat mereka. Mencari publisiti murahan dan laba politik bagi menyelirukan khalayak, sedangkan mereka tidak hadirpun dalam program tersebut. Mereka cuma mengulas berita akhbar Sinar Harian.

Saya tidak bertujuan untuk membela diri, kerana program tersebut telah dirakamkan sepenuhnya. Berani kerana benar. Saya hanya ingin perjelaskan apa yang berlaku dan intipati pembentangan tersebut bersama Mufti Perlis, bertajuk 1Malaysia dan Penghayatan Islam. Mufti Perlis tidak faham dengan gagasan 1Malaysia dan minta saya menjelaskannya. Saya katakan, gagasan 1Malaysia lebih mempunyai merit dari sudut nilai ilmu dan akademik, berbanding dengan gagasan Islam Hadhari yang mempunyai masalah dari segi pengistilahan. 1Malaysia boleh diperbahaskan dari pelbagai sudut, kerana Malaysia hanya ada satu, bukan dua. Alangkah baiknya jika gagasan ini diikat kukuh dengan perlembagaan, supaya rujukannya bukannya fair and square tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Ada kalangan pemimpin ultra kiasu Melayu yang sinis, dengan menyamakannya dengan konsep 1Israel. Peliknya pemimpin ini juga yang menyokong kewujudan negara haram ini yang membunuh rakyat Palestin saban hari. Nasib baiklah PAS sudah celik dan dapat melihat kebenaran, tidak lagi bersekongkol dengan pemimpin Melayu ultra kiasu yang belot dan berdosa ini.

Dalam konteks 1Malaysia dan penghayatan Islam, terus terang saya katakan, pemimpin mesti dapat menunjukkan contoh yang baik kerana semua akhlak dan perlakuan menjadi tontonan dan ikutan, people pay attention to you do, than what you say. Tingkah laku dan akhlak pemimpin akan menjadi perhatian dan ikutan, berbanding kata-katanya. Justeru, kepimpinan melalui teladan adalah sesuatu yang amat dituntut.

Saya perkemaskan lagi dengan memetik kata-kata Confucius, if you want to rule the state, first put your house in order. To put your house in order, first cultivate yourself morally. To cultivate yourself morally, first put your heart right. To put heart right, you must be sincere. Sebelum dapat memimpin ke peringkat yang lebih tinggi, sudah sewajarnya kita dapat memimpin diri sendiri dan keluarga terlebih dahulu. Segala-galanya bermula dengan keikhlasan. Keikhlasan akan menentukan sama kita berjaya menjadi seorang pemimpin atau tidak.

Pemimpin mesti menunjukkan contoh yang terbaik sebelum menyuruh rakyat melakukannya. Jika pemimpin itu seorang lelaki, maka dia mestilah boleh menjaga isteri dan keluarganya. Begitu jugalah sebaliknya, jika ia seorang pemimpin wanita, dia harus tahu menjaga suaminya kerana mereka dalam bilik dan katil yang sama. Adalah sesuatu yang memelikkan, jika kita katakan, kita tidak tahu pergerakan isteri atau suami.

Saya tidak merujuk kepada sesiapa atau mana-mana pihak, sama ada yang hidup mahupun yang mati. Kenapa ultra kiasu memanipulasikan isu tersebut dengan merujuk kepada orang-orang tertentu? Inilah politik desperado yang amat menjijikkan.

Saya hanya mahu umat Islam mencontohi kepemimpinan Rasulullah SAW. Cakap serupa bikin. Baginda selalu menyamakan dirinya dengan khalayak. Jika khalayak susah, Baginda dapat merasainya. Baginda selalu melakukan sesuatu terbaik daripada orang lain. Baginda selalu menasihatkan orang lain solat lima kali sehari, sedangkan Baginda sendiri berbuat lebih daripada itu. Baginda menyuruh orang lain berpuasa sebulan dalam setahun, sedangkan Baginda berpuasa sunat saban kali. Alangkah baiknya jika setiap suruhan ini dapat didengar daripada mulut pemimpin sendiri. Bayangkanlah jika seorang pemimpin menyeru rakyatnya secara langsung melalui media akan kepentingan solat berjamaah. Impaknya amat besar dan berkesan.

Pendek kata, keberhasilan kepemimpinan Baginda berpaksikan kepada; pertama, melaksanakan, tidak hanya berteori atau bercakap. Baginda tidak hanya memerintah orang lain melakukan sesuatu, tetapi Baginda sendiri melaksanakannya. Kedua, Baginda berpegang kepada prinsip keadilan. Kepentingan orang yang dipimpin diutamakan. Tiada benteng pemisah antara Baginda dengan khalayak. Ini kerana, Baginda tahu bahawa, kuasa berada di tangan Allah. Manusia hanya pemegang amanah. Amanah ini harus dijaga dengan baik. Inilah contoh teladan yang perlu diikuti.

Namun, cara kita berpolitik hari ini amat tidak professional. Kita menggunakan isu peribadi untuk menyerang seseorang. Sepatutnya, apabila membicarakan sesuatu kita mencari apa yang betul, apa yang salah, daripada menuding jari kepada siapa yang betul, siapa yang salah. Misalnya, menyokong negara Israel (Zionis) itu adalah salah, walau apapun justifikasi diberikan atau sepandai manapun kita dalam politik antarabangsa.

Contoh lain, penghinaan terhadap perlembagaan. Inilah juga yang berlaku antara dua ultra kiasu yang berdebat baru-baru ini dalam bahasa Mandarin. Selain daripada mencari populariti, mereka langsung tidak memperdulikan agenda nasional. Tidakkah mereka penganjur dan pendebat sedar bahawa orang Melayu selaku bangsa majoriti tidak dapat memahami apa yang diucapkan, kecuali setelah diterjemahkan? Paling kurangpun, gunakanlah bahasa Inggeris, jika bahasa Melayu dirasakan kurang nilai, kurang difahami dan tidak mampu untuk dipertuturkan dengan baik? Kepelbagaian yang sebegini ekstrem hanya berlaku di negara ini. Ini produk sekolah vernakular yang selalu dinafikan oleh ultra kiasu, termasuk timbalan menteri pelajaran.

Baru-baru ini beliau berhujah, patriotisme pelajar-pelajar sekolah vernakular tidak perlu dipersoalkan dan dihubungkaitkan dengan kesetiaan dan kasih sayang pada negara. Katanya, bahasa adalah jambatan perpaduan tetapi menggunakan bahasa yang sama tidak bererti bahawa kita bersatu. Nampak sangat beliau selaku timbalan menteri, tidak melakukan penyelidikan, semata-mata untuk menegakkan benang basah. Rugilah orang Melayu yang mengundinya.

Seperti yang disebut oleh seorang rakan blog saya, ultra kiasu ini sepatutnya dapat membezakan antara “kesetiaan” dengan “patriotisme”? Bagaimana boleh wujud patriotisme jika tidak ada kesetiaan? Kesetiaan bermula dengan mencintai perkara asas dalam kehidupan bernegara, misalnya bahasa kebangsaan yang termaktub dalam perlembagaan.


Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sunday, February 19, 2012

Tentang penghinaan terhadap Islam

9:49 PM Posted by RIDHUAN TEE 157 comments
(Sinar Harian 20 Feb 2012)

Saya berkeyakinan bahawa orang Melayu yang menyertai parti ultra kiasu mempunyai hasrat untuk dipilih menjadi calon menjelang Pilihan Raya Umum 13, bukan kerana percaya kepada dasar parti tersebut. Almaklum sahajalah ultra kiasu sedang mencari calon-calon Melayu yang boleh diperalatkan dan ditonjolkan, bagi membuktikan bahawa mereka bukan lagi parti perkauman tetapi parti berbilang kaum. Perjuangan mereka bukan ‘Chinese first’, tetapi ‘Malaysian first’. Untuk memenuhi nafsu serakah mereka itu, maka muka-muka Melayupun dicari, terutama Melayu yang kontroversi dan mempunyai sedikit pengaruh. Malangnya, Melayu-Melayu ultra ini masih tidak sedar diri. Mementing kuasa daripada masa depan agama, bangsa dan negara. Cuba tanya parti ultra kiasu ini, apakah mereka sudah meninggalkan perjuangan Malaysian Malaysia ataupun Chinese first?

Justeru itulah, Melayu sepatutnya menjauhi parti perkauman ini yang boleh mengancam masa depan Islam, Melayu dan Raja. Orang Melayu tidak ada pilihan lain, melainkan sama ada memilih altenatif parti yang didominasi oleh umat Islam, antara PAS dan UMNO. Jika UMNO bukanlah pilihan, sekurang-kurang pilihlah PAS. Matlamat PAS jelas, walaupun dalam usaha mencapai matlamat itu masih samar, kerana terlalu banyak berpolitik dengan ultra kiasu sehingga tergadai prinsip. PKR tidak boleh diharapkan sangat, mereka ini orang yang kecewa dengan UMNO. Perangai dan perwatakan mereka tidak banyak beza.

Bekas wartawan Melayu yang baru menyertai parti ultra kiasu sejak 21 Januari lalu berhujah, sejak bersekongkol dengan parti itu, beliau dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Misalnya, solat berjemaah di masjid, menghadiri kenduri kahwin jiran dan berterusan memberi sedekah pada malam Jumaat selepas bacaan Yasin dengan menyediakan juadah untuk jemaah. Nampak sangat hujah beliau seperti budak tidak bersekolah, tidak mencerminkan kewartawannya. Ilmu Islamnya amat cetak. Islam baginya sekadar solat dan baca yasin. Sedangkan Islam itu adalah cara hidup.

Saya syorkan Melayu ultra kiasu ini menyertai PAS jika terlalu kecewa dengan UMNO. Paling tidak, akan meningkat juga ilmu pengetahuannya mengenai Islam. Maaf, saya tidak menyentuh UMNO sebab pada bekas wartawan ini, UMNO dilihat terlalu hodoh, walaupun sebelum itu, beliau sendiri bekerja mencari rezeki anak isteri di bawah akhbar yang didakwa milik UMNO itu. Apabila sudah kecewa dan bercerai, semuanya buruk. Inilah perangai segelintir Melayu yang amat saya bimbang. Bila bercerai talak tiga, segala pekung di dada dihemburkan, sedangkan Islam melarang melakukan sedemikian. Sehingga sampai ke peringkat yang buruknya orang Islam, yang baiknya ultra kiasu yang bukan Islam.

Terbaharu, ultra kiasu menghina nasihat pemimpin-pemimpin Islam yang melarang umatnya menyambut hari kekasih atau valentine day. Pada mereka yang suka berzina ini, apakah salahnya dengan hari kekasih? Hari kekasih pada mereka begitu murni kenapa harus ditentang? Jawapan saya, hari kekasih tidak salah, tetapi berkasih-kasih sebelum nikah ketika hari kekasih, itu yang salah. Maka kuserahkanlah segala-galanya, jiwa dan raga. Akhirnya, yang menjadi mangsa orang Melayu. Ultra kiasu tidak menjadi mangsa, kerana mereka pandai makan, pandai simpan. Tidak nampak perut membuncit kerana telah dikempiskan awal-awal.

Sedangkan orang Melayu tidak ada keupayaan melakukan sedemikian, kerana agama melarang menggugurkan, walaupun hasil hubungan secara haram. Dek kerana takut malu, maka dibuanglah anak luar nikah itu merata-rata, malahan ada yang dibunuh, ditanam hidup-hidup. Adakah Melayu ultra kiasu masih buta?

Dalam Islam, tidak timbul setahun sekali baru mahu berkasih. Setelah bernikah, berkasih-kasihlah setiap saat dan waktu. Tidak perlu tunggu hari-hari tertentu. Sebenarlah budaya berkasih sehari adalah budaya jahiliah ultra kiasu. Tiada ada halal haram, malah yang haram menjadi halal. Dengan sebab itulah, mereka begitu bersungguh-sungguh memperjuangkan hak asasi manusia, termasuk hubungan seks bebas, perkahwinan gay dan lesbian. Manusia lebih hina daripada binatang. Mereka mahu manusia menjadi binatang, itulah yang dinamakan valentine day pada manusia jahil ini. Fikirkanlah kata-kata saya ini apabila menyertai parti ultra kiasu.

Bekas wartawan ini juga berkata, orang Melayu dilayan dengan baik ketika berada dalam parti ultra kiasu. Satu lagi hujah dangkal. Memanglah ultra kiasu perlu bersikap sedemikian. Jika awal-awal lagi mereka sudah menutup pintu, pastinya Melayu ultra kiasu akan angkat kaki. Jika benar-benar mahu mengujikan ultra kiasu ini, syorkan supaya meletakkan ramai calon Melayu, termasuk beliau, di Bukit Bintang atau Ipoh Timur, atau mana-mana kawasan majoriti bukan Melayu. Bukannya meletakkan calon Melayu bertanding menentang sesama Melayu di kawasan majoriti Melayu. Syorkan juga supaya parti ini menyokong undang-undang Islam untuk orang Islam sahaja, bukan untuk mereka. Jawapannya pasti ada.

Hujah beliau lagi, orang Melayu kini telah mula menyedari bahawa UMNO dan BN bukan lagi parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu sebaliknya sebuah parti yang mementingkan kroni serta suku sakat mereka sahaja. Saya tidak nafikan ada kebenaran fakta tersebut, tetapi tidak seratus peratus benar. Berkali-kali saya menegur UMNO dan BN supaya berubah sebelum rebah. Perlu diingat juga, dasar UMNO dan BN selama ini turut memberi peluang kepada orang lain termasuk ultra kiasu untuk menikmati kek ekonomi yang sedia ada. Jika semua yang dilakukan UMNO dan BN buruk, sudah tentu semua ultra kiasu dan parti pembangkang yang lain berada di bawah paras kemiskinan. Persoalannya, kenapa masih ramai yang kaya raya dengan sistem yang sedia ada? Adakah kerana usaha mereka semata-mata. Sebenarnya, sistem yang sedia ada membenarkan mereka untuk menjadi kaya.

Bagaimana pula dengan kerajaan negeri pimpinan pakatan ultra kiasu, bebaskah dari kroni dan rasuah? Tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja wajah-wajah ahli majlis dan tender-tender dalam majlis perbandaran. Siapakah yang bolot dan menyapu semuanya itu? Jika tidak faham Islam, tanyalah pemimpin PAS. Pasti rakan-rakan PAS akan memberikan jawapan siapakah ultra kiasu itu sebenarnya? Buat sementara ini PAS tidak ada pilihan lain, melainkan bersama ultra kiasu. Jika UMNO boleh berubah, saya yakin PAS akan meninggal ultra kiasu perkauman dan ultra kiasu Melayu ini. Selepas itu, saya cadangkan saudara pula tinggalkan ultra kiasu itu, masuklah PAS, jika UMNO bukan lagi alternatifnya, kerana saya tidak nampak perjuangan saudara dalam parti ultra kiasu boleh membawa saudara ke syurga? Perjuangan mereka jauh sekali dari landasan agama. Tanyalah ustaz-ustaz PAS jika masih jahil. Jangan lupa mendampingi ustaz-ustaz PAS ketika berada di masjid membaca yassin. Jika benar Melayu yang menyertai parti ultra kiasu ini ikhlas, beri amaran kepada ultra kiasu supaya jangan bersikap kurang ajar mencampuri hal ehwal agama Islam kerana umat Islam tidak pernah mencampuri urusan agama mereka.

Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sunday, February 12, 2012

Politik warna angpau yang menjijikkan

5:56 PM Posted by RIDHUAN TEE 171 comments
(Sinar Harian 13 Feb 2012)

Tahun Baru Cina yang telah berakhir minggu lalu, mungkin telah meninggalkan ‘kenangan pahit’ buat pertubuhan Perkasa pimpinan Dato’ Ibrahim Ali. Niat murni mereka mengadakan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina telah dipertikaikan dan dipolitikkan. Isu warna paket wang yang diistilah sebagai angpau putih atau lebih tepat disebut, pekkim (paket putih) yang diedarkan ketika mengadakan Rumah Terbuka tersebut, diperbesarkan segelintir orang hina sehingga menjadi masalah negara. Wal hal sebenarnya isu ini amatlah kecil. Tindakan yang jika disengajakan pun, saya tidak nampak di manakah salahnya? Isu hanya berligar di sekitar warna.

Sedangkan niat murni mereka mengadakan majlis tersebut dan niat bersedekah, memberikan wang menggunakan ‘angpau putih’ tersebut angsung tidak dihargai. Saya masih tercari-cari di manakah angpau putih yang dimaksudkan itu, kerana ia tidak wujud dalam erti kata sebenar? Angpau bermakna paket merah, manakala pekpau (pekkim) adalah paket putih, jika digabung dua istilah ini sebagaimana yang dipolitikkan bermakna angpau putih, iaitu paket merah putih. Di manakah paket itu sebenarnya? Rata-rata yang diedarkan adalah paket putih, tidak ada paket merah putih.

Bagi saya yang memahami bahasa Cina, isu ini amat meloyakan dan saya hanya ketawa beruk membacanya. Apa yang jelas, Perkasa sudah terperangkap dalam permainan politik licik ultra kiasu, melalui permohonan maaf terpaksa dilakukan. Saya harap Perkasa lebih berhati-hati pada masa hadapan. Jangan terlalu cepat melatah. Apapun saya tabik kepada Perkasa, sekalipun tidak bersalah tetapi masih memohon maaf. Ini kerja mulia dan budaya yang saya sanjungi.

Bukan seperti ultra kiasu, sah-sah melakukan kesalahan menyinggung dan menghina agama Islam dan raja-raja Melayu, tetapi langsung tidak mahu meminta maaf, malah bongkak dan sombong. Sudahlah begitu, ada yang tidak segan silu meminta anugerah ini dan itu, serta darjah kebesaran dari raja-raja Melayu.

Putih tidaklah melambangkan kesedihan dalam konteks sebenarnya. Jika begitulah keadaan, sudah tentu majlis perkahwinan orang Cina penuh dengan pakaian warna merah, terutama pengantinnya seperti zaman dahulu. Persoalan saya, kenapa sekarang pengantin Cina tidak berpakaian merah ketika hari yang amat bermakna itu? Boleh dikatakan semua pengantin Cina memakai pakaian putih (gaun perempuan) dan hitam (blazer lelaki). Tidakkah itu pakaian berkabung? Kenapa tidak dipertikaikan? Jawapannya mudah, apabila sesuatu itu datang dari barat atau yang melakukannya adalah orang barat, semuanya dianggap baik belaka, walaupun bertentangan dengan budaya sendiri. Tetapi apabila tiba orang Melayu yang melakukannya, bertentangan sedikit dengan cara hidup mereka, semuanya sensitif dan mula diperbesar-besarkan. Politik kurang ajar apakah ini? Kaduk sudah naik junjung, kita terlampau memberi muka kerana undi dan pilihan raya.

Sebagai seorang yang biasa dengan budaya Melayu, sepanjang pengetahuan saya, orang Melayu hanya tahu adat budaya Cina yang bersifat umum sahaja. Misalnya warna merah sebagai tanda kegembiraan. Maka sesuai dipakai ketika Tahun Baru Cina dan tidak sesuai menghadiri upacara kematian. Manakala, warna putih pula adalah warna yang universal, boleh masuk dalam semua majlis. Setakat itulah yang saya boleh baca dalam pemikiran Ibrahim Ali. Putih itu bersih, indah dan menawan. Manalah tahu tiba-tiba dipolitikkan.

Lagipun jika berlakupun kejahilan dalam memahami cara hidup bangsa lain, itu adalah perkara biasa. Adalah tidak menghairankan jika orang Melayu tidak dapat memahami sepenuhnya budaya bangsa minoriti, berbanding dengan bangsa minoriti yang sepatutnya memahami budaya bangsa majoriti, kerana adalah perkara biasa jika budaya majoriti lebih tertonjol berbanding minoriti.

Saya yakin masih ramai di luar sana yang tidak memahami budaya Melayu atau Islam. Misalnya, datang ke rumah orang Islam, menghadiri upacara kematian dan masuk masjid dengan pakaian menjolok mata, seluar dan skirt pendek yang menggiurkan. Tetapi umat Islam tidak bising kerana mereka mengakui dan menginsafi kejahilan orang lain. Memaafkan mereka adalah kerja mulia. Kalau adapun kes-kes yang berlaku, tidaklah diperbesarkan sehingga menjadi masalah negara. Inilah sikap orang Melayu yang saya puji yang sukar untuk dicari dalam bangsa lain.

Jika paket putih itu yang menjadi masalah, sepatutnya orang Cina yang hadir itulah bising. Mungkin sampai ke peringkat memulangkan semula wang dalam paket putih tersebut. Ini tidak, paket putih tetap diambil, sebab yang penting dan berharga bukan paket tersebut tetapi wang yang terkandung. Lagipun paket putih yang paling murah harganya berbanding paket berwarna. Persoalan saya, apakah mungkin timbul isu jika paket tersebut berwarna hijau? Warna hijau juga dikaitkan dengan kesedihan dalam budaya Cina?

Menurut feng shui, sebenarnya warna putih itu melambangkan kemuliaan, kesucian dan kebersihan. Putih selalu dikaitkan dengan logam dan warna keemasan. Justeru, saya amat pelik, kenapa ultra kiasu, termasuk MCA pun turut terikut-ikut rentak ultra kiasu menyerang Ibrahim Ali. Jika mereka manusia berperasaan, sepatutnya mereka memuji Perkasa yang selama ini menunjukkan sikap seolah-olah ‘anti Cina’, walau hakikat sebenarnya tidak. Hanya kerana warna paket wang, maka Perkasa dijadikan objek cacian dan makian. Adakah pemikiran pandir ultra kiasu ini wajar?

Hina sungguh politik pembangkang dan ultra kiasu hari ini. Kalau ya pun hendak menguasai Putrajaya, berpolitiklah secara gentlemen, bukannya menjadi pondan. Parti PAS pun sama, turut menempelak Perkasa. PAS hari ini sudah begitu jauh berubah berbanding dahulu. PAS nampak begitu fleksibel dan terbuka. Dahulu, segala apa yang berkaitan dengan budaya Cina, PAS begitu elergi dan amat berhati-hati. Hari ini, bukan sahaja mereka gemar dan suka dengan tarian singa, naga dan angpau, kalau boleh dengan singa-singa dan naga-naga itu mahu dibawa tidur. Janganlah terlalu over dalam isu-isu sebegini. Tidak semua perayaan atau perkara yang dipraktikkan oleh orang Cina ketika Tahun Baru Cina itu bersifat budaya.

Ada juga perkara yang dikaitkan dengan agama. Berhati-hatilah dengan simbol dan objek tertentu kerana ia ada kaitannya dengan unsur penyembahan. Sebagai orang Cina, saya pun menyambut tahun baru Cina, tetapi saya menjaga batas-batasnya. Ini tidak, saya lihat pemimpin ultra kiasu beragama Islam pun begitu ghairah menyambutnya.

Saya tidak bercadang membela Perkasa, tetapi mengambil sikap bersangka baik daripada bermain politik jijik dan kotor. Warna tidak melambangkan apa-apa. Putih, hitam, merah, hijau, biru dan lain-lain, semua datangnya dari Allah. Adalah salah jika kita kaitkan warna dengan identiti seseorang. Warna putih dan hijau tidak semestinya bersih, jika hati hitam legam.

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Monday, February 06, 2012

Apabila undang-undang baik diperalatkan

10:19 AM Posted by RIDHUAN TEE 101 comments
(Sinar Harian 6 Feb 2012)

Saya amat memahami tindakan Menteri Besar (MB) Kedah ke atas lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Mereka didapati bersalah menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz, 25 Mei tahun lalu.

Tindakan berhemah MB Kedah yang saya kenali ketika beliau menjadi ahli akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia, adalah tepat dan professional, berbanding dengan pandangan ‘pakar perlembagaan’ yang masih menggunakan gelaran professor, walaupun tidak lagi berkhidmat di universiti. Untuk makluman semua, gelaran professor tidak perlu digugurkan, kerana secara otomatik gelaran itu terlucut setelah seseorang itu tidak lagi berkhidmat di universiti. Janganlah berkelentong, terlalu perasan dan lancang menyalahkan orang lain. Hormatilah kepakaran seseorang, terutamanya seorang yang bergelar MB, bekas ahli akademik dan ulamak yang disegani. Saya tidak fikir seorang ulamak mahu membuat keputusan menempah diri ke neraka, berbanding dengan tindakan orang yang jahil Islam yang sombong kononnya pakar dan sekular sosialis.

Sepatutnya kita mencontohilah sifat bertanggungjawab, tegas dan berani MB Kedah. Begitu terserlah sifat keUMARannya. Barulah boleh dikatakan mencontohi gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, berbanding dengan ultra kiasu yang memperalatkan nama khalifah ini untuk mencairkan hati orang Melayu. MB Kedah bersedia untuk dipecat jika dirasakan tindakannya itu bertentangan dengan Buku Jingga yang menjadi dasar Pakatan Rakyat ultra kiasu, yang mahukan AUKU dihapuskan.

Tindakan MB Kedah ini ternyata begitu memahami aspirasi pelajar dan nasib Melayu di bumi Melayu. Bagi mereka yang memahami psiki dan cara hidup Melayu, AUKU tidak hanya boleh dilihat dari aspek perundangan semata, tetapi hendaklah juga diadunkan cara berfikir dan budaya Melayu. Kita sedia maklum, pelajar Melayu agak ketinggalan dari segi kecemerlangan akademik, berbanding dengan pelajar bukan Melayu, walaupun bilangan Melayu lebih ramai di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Sepatutnya pelajar Melayulah yang paling ramai menggondol ijazah kelas pertama, hadiah universiti serta pingat itu dan ini. Namun, saban tahun kita lihat dalam majlis konvokesyen, pelajar bukan Melayu (terutamanya Cina) yang menjuarai semuanya itu. Ke manakah muka-muka Melayu yang ramai itu?

Jawapannya, orang Melayu bila dia bermain, main sungguh-sungguh; bila bercinta, bercintan sungguh; bila berpolitik, berpolitik sungguh; bila berdemonstrasi, berdemonstrasi sungguh; bila menjadi lelaki ‘lembut’, ‘lembut’ sungguh, mengalahkan perempuan; sehingga lupa tanggungjawab sebenar sebagai seorang pelajar. Inilah yang disukai oleh ultra kiasu. Mereka amat memahami psiki orang Melayu berbanding Melayu memahami psiki mereka. Mereka mahukan Melayu hancur.

Lihatlah pelajar bukan Melayu. Mereka tahu membezakan antara tangggungjawab dan tindakan. Masa belajar mereka belajar kerana itu adalah tanggungjawab. Ketika bertindak, dirancang dengan rapi. Mereka tahu membezakan bila masa belajar, masa berpolitik, masa bersukan, masa bercinta dan macam-macam masa lagi. Waktu malam mereka menjadi ulat buku. Manakala pelajar Melayu sibuk dengan cinta muka buku. Saya tidak merujuk kepada semua pelajar Melayu.

Berbalik kepada AUKU, MB Kedah yang tidak sedikitpun gentar malah berani berkata Buku Jingga yang menjadi pegangan Pakatan Rakyat, bukan al Quran. Menolak Buku Jingga tidak akan menjadikan seseorang itu kufur berbanding menolak al-Quran. Apatah lagi jika dibandingkan Buku Jingga dengan perlembagaan. Sudah tentu perlembagaan lebih besar sifatnya, kenapa masih tidak dipatuhi? Saya amat hairan, mereka sering menuduh UMNO tidak mengamalkan demokrasi, tetapi bila kena pada batang hidung mereka, demokrasi entah ke mana. Adakah orang seperti ini kita harapkan untuk memerintah negara?

Kajian yang dilakukan secara akademik, yang mana pandangan kami selaku ahli akademik turut diambil kira, menunjukkan bahawa 60 peratus mahukan AUKU dipinda, hanya 40 peratus sahaja mahu dimansuhkan. Ini bermakna, AUKU masih relevan. Bermakna, AUKU hanya perlu dipinda, bukan dihapuskan seperti mana pandangan Perdana Menteri.

Namun, ‘pakar perlembagaan’ yang begitu ghairah mahu bertanding di Parlimen Sabak Bernam dalam PRU 13 berkata AUKU mesti dihapuskan. Pakar ini hanya pandai berteori. Tidak berpijak di bumi nyata. Jika beliau menjadi peguam, saya yakin beliau akan kalah berhujah di mahkamah kepada peguam muda yang baru keluar mengadakan latihan dalam kamar (chambering). Pandangannya tidak mencerminkan kepakarannya. Jika beliau begitu bernafsu untuk bertanding dalam PRU 13, elok juga dipertemukan buku dengan ruas di sana. Kita lihat sehebat mana dia.

Kata pakar ini lagi, undang-undang terbahagi dua, undang-undang jahat dan undang-undang baik. Undang-undang jahat mesti dihapuskan. Rakyat tidakboleh berselindung di sebalik undang-undang jahat. Bermakna, ‘pakar’ ini mahu kita mengambil kesempatan ke atas undang-undang baik, sebagaimana yang dilakukannya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Apa yang saya dengar, bukan suatu perkara mudah untuk memberhentikan beliau di UIA. Sebab ada undang-undang baik yang melindungi beliau. Sebab itu, pakar ini memperalatkan undang-undang baik tersebut untuk kepentingan dirinya. Apabila undang-undang baik tersebut telah dapat diperalatkan, maka tidak ada cara lain lagi, melainkan berhenti. Maka hari ini beliau mahu menjadi jaguh menentang undang-undang jahat, bagi melindungi orang jahat.

Pada saya kenyataan ‘pakar’ ini agak kurang ajar. Meskipun beliau anti kepada AUKU, tidak sepatutnya begitu ghairah menyerang MB Kedah. Siapakah pakar ini berbanding dengan ulamak seperti MB Kedah? Pakar ini mahu menonjol supaya dipilih untuk bertanding menjadi wakil rakyat. Sedangkan kajian menunjukkan, kampus sepatutnya menjadi tempat yang berkecuali daripada politik tetapi dengan syarat kebebasan untuk mendengar pandangan politik adalah dibenarkan dan parti-parti politik dibenarkan berucap mengenai ideologi mereka. Semasa menjadi pimpinan pelajar dahulu, saya juga mempunyai pandangan yang sama, AUKU mesti dihapuskan kerana ia menyekat kebebasan pelajar.

Tetapi setelah difikirkan dan diadunkan AUKU ini dengan pkisi pelajar Melayu, maka terfikirkan saya sebenarnya AUKU diwujudkan untuk menyelamat umat Islam (Melayu).

Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia