https://www.ismaweb.net/2018/10/23/yb-jangan-tayang-body-hodoh/
YB, tindakan YB mandi ais itu betul! Salahnya adalah YB ambil gambar
YB sendiri dan muat turun dalam laman sosial untuk ditonton. Sebab, YB seorang
negarawan, bukan artis. Negarawan pada masa sama adalah selebriti, kepunyaan
masyarakat, tumpuan khalayak. Khalayak memandang kita. Dalam kalangan khalayak
ada kawan, ada lawan.
Justeru, berhati-hati. Kita
sudah dewasa YB, dan bukan budak-budak lagi. Jika bersinglet sekalipun tidak
wajar dipaparkan. Inikan pula tidak berbaju.
Apa tujuan mengambil gambar
tanpa berbaju untuk tontonan ramai? Tayang body ke YB? Hodoh sangat. Mengambil
gambar sedang mandi tidak berbaju untuk kegunaan sendiri tidak salah. Tetapi,
menjadikan ia tontonan ramai itu salah, kerana bertentangan dengan norma
kehidupan dan budaya Melayu Islam.
Jika yang melakukannya bukan
Islam, tidaklah kisah sangat. Tetapi bila beragama Islam, kena fikir banyak
kali.
Sama seperti gambar insiden YB
bekas Menteri Belia dan Sukan bersalam dengan YB Menteri Belia dan Sukan hari
ini. Bersalaman itu adalah betul dan dituntut sebagai lambang budaya yang
selari dengan Islam. Islam menganjurkan apabila bersalaman, genggam tangan
saudara kita, pandang mukanya, senyum, sebagai tanda eratan ukhuwah.
Salahnya, bekas Menteri Belia
dan Sukan apabila bersua, Menteri Belia dan Sukan sekarang menghulurkan tangan,
maka disalat sahaja oleh bekas menteri, tanpa memandang kepada mukanya.
Seolah-olah YB menteri itu bukan siapa-siapa. Saya yakin ia dilakukan dengan
niat.
Itu salah YB. Apakah YB merasakan
sesuatu kerana tempat YB kini telah diambil oleh seseorang yang lebih muda
daripada YB?
Itulah yang selalu saya
katakan. Dalam politik hari ini kita berkuasa, esok mungkin tidak. Dahulu YB
berkuasa, YB boleh lakukan apa sahaja sehingga saya turut menjadi mangsa.
Tetapi hari ini YB sudah tidak ada apa-apa. Bukan siapa siapa.
Sebenarnya, YB tidak perlu pun
pergi ke lapangan terbang untuk menyambut atlet kita yang berjaya. Biarkan
Menteri Belia dan Sukan hari ini dan gerombolannya sahaja yang pergi kerana
menteri berkenaan lebih layak. YB hanya bekas, tidak ada lagi kuasa. Pergipun,
antara orang pandang dengan tidak pandang sahaja.
Tetapi YB pergi jua. Sudah
tentu YB akan bertembung dengan YB Menteri Belia dan Sukan. YB Menteri Belia
dan Sukan pada saya begitu profesional sanggup merendahkan diri pergi kepada YB
untuk bersalaman, tetapi YB buat selamba, macam tidak pandang sahaja. Netizen
nampak, dan boleh merasakan. Ada sesuatu yang tidak kena kepada diri YB.
YB kena menerima hakikat. YB
sudah tidak ada kuasa. Buanglah sifat yang selama ini berserabut dalam diri YB.
Jadilah YB yang ‘low profile’ dalam mendaki kareer politik mendatang. Manalah
tahu YB akan naik semula. Jangan mangsakan saya lagi. Tetapi perjalanan itu
saya lihat masih sukar.
Untuk makluman YB, saya sudah
lama berkecimpung dalam media. Saya artis dan selebriti TV. Bukan soal wartawan
atau netizen suka viralkan isu kecil berbanding isu besar. Segala gerak geri
dan tutur kata YB sentiasa diperhati. Justeru, kenalah sentiasa berhati-hati.
Kita tidak wajar marah wartawan
kerana memetik hanya isu kecil dengan melupakan isu besar. Wartawan kerjanya
mencari berita dan menjual berita. Mereka berniaga. Berita yang paling sensasi
adalah berita yang paling mahal harganya. Sebab itu, mereka akan sentiasa mengekori
dan memerhatikan orang sepertii YB dan selebriti seperti artis.
Nasihat saya, sentiasa
berhati-hati. Jaga tingkah laku, jaga tutur kata. Sedikit yang kita kata,
banyak kepada mereka. Banyak yang kita kata, sedikit kepada mereka.
Misalnya, isu warna stokin dan
warna kasut sekolah. Sepatutnya, perkara ini tidak perlu disebut pun. Serahkan
kepada juak-juak kita yang berada di kementerian yang kita pegang. Biar mereka
yang uruskan segalanya. Tetapi kita mahu berkata juga. Kepada wartawan, berita
ini ada nilai komersial. Maka disensasikan. Tular. Jangan salahkan wartawan.
Salah diri kita yang tidak cermat ketika berkata-kata.
Isu yang sama juga dalam soal
‘moral policing’. Tidak perlu lagi mengintip atau serbu mereka yang melakukan
maksiat kerana dosa peribadi dan mereka berada dalam premis peribadi. Jika mahu
lakukan juga, perkemaskan SOP. Niat YB baik, tetapi wartawan melihat di situ
ada nilai komersial, maka disensasikan dan viral.
Lagipun YB sudah tentu tahu
bahawa akhbar ultra kiasu berbahasa asing ini begitu jahat. Akhbar ini liberal
dan anti-Islam sejak dahulu lagi. Silap YB cakap, satu dunia ditular mereka
bagi mencari keuntungan. Itulah ultra kiasu.
Sama seperti isu Zakir Naik.
Sudah lama wartawan ultra kiasu menunggu ruang dan peluang. Tiba-tiba, tanpa
ada angin YB bercakap dan sentuh Zakir Naik. Maka sekali lagi mereka melihat
ada nilai keuntungan, maka disensasikan dan tular. Jangan salahkan wartawan,
kerana sensasikan berita kecil, salahkan diri sendiri kerana tidak cermat dalam
berkata.
YB, jika benar kita dipihak
yang benar, YB tidak berkata sedemikian rupa, maka YB ada hak untuk saman
mereka hingga ke lubang cacing. Pasti, jika mereka didapati bersalah, mereka
tidak akan berani buat lagi. Jika kita tidak berani saman, bermakna, di pihak
kita ada juga kelemahannya.
YB, sesungguhnya, kami sebagai
rakyat marhaen, amat memahami konsep Rahmahtan Lil Alamin. Kerana rahmat inilah
saya memeluk Islam. Insya-Allah, kami akan terus bersama YB untuk mengembangkan
konsep yang begitu mulia ini. Tetapi pada masa sama, saya memohon kepada YB
cermatlah dalam berkata-kata kerana YB YB semua adalah seorang negarawan.
Manakala, kepada YB yang sudah
tidak jadi YB lagi, tidak usahlah menayang, muat turun dalam laman sosial
melakukan kerja-kerja dapur menolong isteri, seolah-olah mahu menunjukkan diri
sebagai suami yang hebat dengan berbuat demikian. Kelakar sangat sehingga jadi
bahan sindiran dan ketawa.
Sepatutnya ketika dahulu sibuk
menjadi YB, masuklah ke dapur menolong isteri, baru nampak hebat. Ini tidak,
bila dah tidak menjadi YB atau pencen, tidak ada kerja, baru mahu
menunjuk-nunjuk menolong isteri, hodoh juga sangat rupanya. Tidak salah, kurang
comel gitu. Saya hari-hari ke dapur jika lapang menolong isteri, tetapi tak
tunjuk pun.
Ingat YB dan bekas YB, kami
hanya rakyat marhaen tidak punya apa-apa, yang sentiasa memerhatikan dan
menilai apakah ini kualiti YB YB yang ada sebelum atau selepas.
Prof
Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
0 comments:
Post a Comment