Naifnya kita memahami UEC.....
MENDAHULUI kerajaan pusat, kerajaan Negeri
Sembilan turut mengikuti jejak Kerajaan Negeri Melaka mengiktiraf Sijil
Peperiksaan Bersepadu (UEC), Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), menurut
berita Bernama, 13 Julai 2018. Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata,
sekarang ini ramai anak-anak Melayu belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
(SJKC) di seluruh negara dan jika dinafikan UEC maka akhirnya anak-anak Melayu
juga yang akan rugi.
Persoalan saya, faham atau tidak apa itu
UEC? Apa kaitan antara SJKC dengan UEC? Berapa ramaikah pelajar Melayu yang
mengambil UEC? Jawapan mudah, boleh dikatakan hampir tiada. Jika ada pun
bilangan teramat sedikit. UEC tidak ada kaitan dengan SJKC.
SJKC adalah Sekolah Rendah Jenis
Kebangsaan Cina, operasinya sama seperti Sekolah Kebangsaan, cuma berbeza
medium Bahasa. Mereka akan menduduki peperiksaan yang sama iaitu UPSR. Bezanya
SJKC mempunyai 7 subjek, tambahan 2 subjek Cina. Manakala, SK ada 5 sahaja,
tanpa kertas Bahasa Cina. Terdapat hampir 18 peratus sahaja pelajar Melayu di
seluruh negara yang ada sekitar 1300 SJKC.
Perbezaan antara SJKC dengan SK adalah
hanya dalam subjek BM. Walaupun peperiksaan UPSR bagi subjek BM jatuh
pada hari dan masa yang sama di SJKC dan SK, tetapi standard BM dua sekolah ini
berbeza. Kertas BM di SJKC jauh lebih mudah berbanding dengan kertas BM di SK.
Mana ada sistem sebegini dalam dunia ini?
KPM telah tunduk kepada desakan Persatuan
Cina Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia
(Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong),
agar standard BM SJKC hendaklah dipermudahkan berbanding dengan BM di SK.
Alasannya jika subjek BM diselaraskan sama seperti BM di SK, ini akan
menjejaskan prestasi pelajar Cina di SJKC kerana mereka terpaksa memberikan
tumpuan yang lebih kepada subjek BM. Ini sudah tentu akan menjejaskan
pembelajaran Bahasa Cina.
Pendek kata, persatuan Cina tersebut tidak
mahu pelajar SJKC disusahkan dengan BM sehingga menyebabkan pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Cina terbantut. Dalam kata lain, pelajar Cina tidak akan
menjadi secina-cinanya jika terpaksa memberikan tumpuan kepada BM. Mereka akan
menjadi Cina pisang, bukan Cina tulen.
Seperti yang saya katakan sebelum ini,
warga Cina daripada China menggeleng kepala melihat bagaimana hebatnya proses
pencinaan di Malaysia, berbanding dengan mereka yang memang asal usul Cina
daripada China, pun tidak secina seperti Cina di Malaysia. Persatuan Cina tidak
mahu melihat apa jua perkara yang boleh menghalang penguasaan Bahasa Cina
kecina-cinanya.
Untuk lebih memahamkan Menteri Besar
Negeri Sembilan dan Ketua Menteri Melaka, saya perturunkan kategori
sekolah Cina di Malaysia supaya berlapik ketika bercakap
Jenis
Sekolah Cina di Malaysia
Sekolah
Menengah Persendirian Cina (SMPC)
|
Sekolah
Jenis Kebangsaan Cina (SJKC)
|
Sekolah
Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC)
|
|
Medium
(Bahasa)
|
Cina
|
Cina
|
Melayu
|
Silibus
|
Dong
Zong
|
Kerajaan
(KPM)
|
Kerajaan
(KPM)
|
Peperiksaaan
|
UEC,
disediakan oleh Dong Zong
|
Kerajaan
(KPM)
|
Kerajaan
(KPM)
|
Kategori
|
Swasta
|
Kerajaan
(KPM)
|
Kerajaan
(KPM)
|
Yuran
|
Persendirian
+ komuniti
|
Bantuan
Penuh/sebahagian jika tanah persendirian
|
Bantuan
penuh/sebahagian jika tanah persendirian
|
Jumlah
|
60+1
buah
|
Lebih
1300 buah
|
78+3
buah
|
UEC adalah sijil Sekolah Swasta (SMPC)
yang dikelolakan Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong). Sijil ini langsung
tidak ada kaitan dengan guru-guru KPM dan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Pendek
kata, sijil UEC dikelolakan sepenuhnya jawatankuasa mereka sendiri.
Lanjutan daripada kontroversi yang
berpanjangan, Persatuan Cina ini minggu lalu tampil mengeluarkan kenyataan,
susulan manifesto PH yang mahu mengiktiraf UEC.
Dong Jiao Zong menegaskan bahawa mereka
menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Katanya, BM
bukan sahaja merupakan mata pelajaran wajib bagi semua pelajar UEC, bahkan
semua SMPC turut menubuhkan Kelab Bahasa Melayu untuk menggalakkan pembelajaran
dan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar. Selain itu, mereka juga bekerjasama
dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menganjurkan pertandingan forum pelajar
yang khas untuk penyertaan pelajar-pelajar UEC sejak tahun 90-an dengan tujuan
memupuk rasa cinta akan bahasa Melayu. Pelajar-pelajar UEC juga mengambil
bahagian dalam pertandingan koir dan pertandingan esei anjuran Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Saya cadangkan untuk membuktikan inisiatif
yang telah dibuat oleh mereka, apa kata kita anjurkan pertandingan debat atau
nyanyian dalam BM dalam kalangan semua sekolah di Malaysia. Kita lihat, boleh
atau tidak pelajar UEC menang pertandingan. Saya amat yakin mereka akan kalah
sebelum bertanding. Majoriti pelajar mereka amat pelat dalam BM. Jika adapun
yang mendapat “A” BM, ia lebih kepada menghafal. Bila tiba komunikasi, boleh
dikatakan kosong. Jika tidak percaya, kita boleh uji guru-guru UEC (SMPC) dan
pemimpin-pemimpin Dong Jiao Zong itu bersekali, juga SJKC.
Saya amat yakin, sebutan seperti negara,
akan menjadi negala, lori=loli, hidup-hilup, minyak=miyak, burung=bulung.
Seperti yang saya coretkan sebelum ini, haiya…bulung-bulung telebang di
angkase. Masih teringat jiran Cina saya menegur saya bertanyakan ketika
hari mengundi PRU14 baru-baru ini, sama ada saya sudah mengundi atau belum.
Katanya: “talak pigi tulis”. Itulah standard BM sebahagian bukan Melayu di
negara kita setelah lebih 60 tahun merdeka.
Kenapa pengiktirafan UEC tergantung selama
lebih 60 tahun ketika di bawah BN? Jawabnya sudah diketahui umum, persatuan
Cina ini tidak mahu tunduk kepada syarat KPM iaitu pelajar UEC mesti mengambil
BM peringkat SPM bersekali dan mendapat kredit bagi melayakkan mereka memasuki
sektor kerajaan.
Untuk makluman, pelajar UEC ada mengambil
BM, tetapi BM mengikut standard UEC, bukan datang daripada KPM. BM UEC jauh
lebih mudah berbanding BM SPM. Malang sungguh negara ini, rakyatnya tidak mahu
bersusah sedikit pun untuk menguasai bahasa negara. Tetapi mereka sanggup
bersusah payah dan berhabis duit untuk memastikan mereka menjadi
secina-cinanya.
Kasihan Melayu pelajar SPM, mereka perlu
belajar setengah mati belajar BM, bahasa sendiri, untuk dapat kredit, tiba-tiba
pelajar UEC tidak perlu ambil BM standard SPM, tetapi mengikut standard
guru-guru Cina mereka.
Sebab itu, ingin saya ingatkan bukan soal
60 tahun atau berapa tahun UEC tidak diiktiraf di bawah BN, ini soal pembinaan
negara bangsa. Bandingkan apakah Cina Malaysia setanding dengan Cina Indonesia
(Indonesia Tionghua) yang menguasai sepenuhnya Bahasa Indonesia. Jangan pergi
jauh, tanyalah Ahok, bekas Gabenor Jakarta yang sedang dipenjarakan hari ini.
Selain itu, syarat mudah KPM untuk sijil
ini diiktiraf supaya silibus subjek sejarah hendaklah juga mengikut sibilus
SPM. Tetapi persatuan ini berdegil. Mereka menggunakan silibus BM dan Sejarah
mengikut citarasa mereka sendiri, tanpa mahu memenuhi piawaian KPM.
Mata pelajaran sejarah UEC mengandungi
57.36 peratus sejarah Malaysia dan 42.64 peratus sejarah dunia. Sedangkan
subjek sejarah SPM yang hampir seratus peratus adalah sejarah Malaysia dan
sedikit berkaitan Islam. Persatuan ini tidak mahu mengikut kehendak KPM kerana
ada unsur Islam di situ dan mereka gantikan dengan sejarah dunia, termasuk
sejarah asal usul negara nenek moyang mereka, negara China.
Memang tidak dinafikan, jika saya menjadi
pemimpin PH, sewajarnya saya akan memenuhi janji manifesto untuk mengiktiraf
UEC sebab ia adalah janji. Persoalannya, kenapa kita berjanji sesuatu yang
boleh menggadaikan maruah agama bangsa dan negara dalam proses pembinaan
negara.
Tidak ada negara di dunia ini yang sistem
pendidikan pelik sebegini. Terbukti lebih Cina daripada Cina di negara China.
Membina negara Cina dalam negara Malaysia. Membina negara dalam negara.
Dalam mempertahankan tindakannya,
Persatuan Cina ini menolak dakwaan sukatan UEC diambil dari Taiwan. Sukatan
pelajaran UEC katanya mematuhi dan selaras dengan sukatan pelajaran kebangsaan,
setiap mata pelajaran UEC ditulis mengikut standard kurikulum dan garis panduan
yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga merujuk kepada
standard pendidikan peringkat menengah antarabangsa.
Persoalannya, kenapa tidak dipatuhi
kehendak KPM yang menjaga sistem pendidikan di Malaysia. Kenapa berkeras sehingga
ke hari ini? Kenapa UEC mesti dikelolakan oleh Jawatankuasa Kerja
Sekolah-sekolah Menengah Cina (MICSS) dan wakil-wakil dari Dong Jiao Zong
bukannya Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Tidak dinafikan, memang asal-usul UEC
berkiblatkan silibus Taiwan. Namun, setelah menjalani perubahan demi perubahan
dalam proses pengiktirafan, silibus sudah mula berubah. Itupun kiblatnya masih
lagi ke negara tersebut.
Orang Cina menganggap negara China sebagai
“fatherland” dan Malaysia sebagai “motherland”. UEC menjadikan Taiwan kiblat
UEC kerana sebahagian besar pimpinan Dong Jiao Zong adalah Cina Hokkien. Mereka
tidak memilih Fujian, China, kerana Pendidikan di sana ada kaitan dengan
komunis Mao Ze Dong. Taiwan pula masih kekal dengan Pendidikan Cina ala Sun Yat
Sen, Kuo Min Tang (KMT) yang amat disanjung ultra kiasu di Malaysia. Sebab itu,
kerajaan Pulau Pinang, menubuhkan Pusat penyelidikan dan Muzium Sun Yat Sen.
Inilah pembinaan negara dalam negara yang selalu saya perkatakan.
UEC mengambil pendekatan Taiwan disebabkan
oleh geo politik Taiwan yang disokong sepenuhnya Amerika Syarikat untuk
menentang China. Sebab itu, Amerika Syarikat tidak ada masalah langsung
untuk mengiktiraf pendidikan Taiwan termasuk ‘adik’ Taiwan di Malaysia
iaitu UEC. Semua orang tahu bahawa Amerika menggunakan Taiwan selepas China
dikuasai sepenuhnya oleh komunis.
Untuk mekluman, sejarah Pendidikan Cina di
Malaysia bermula apabila berlaku migrasi Cina ke Tanah Melayu dibawa oleh
British. Ketika itu, semua buku teks, silibus, dan guru-guru memang daripada
negara China (Taiwan). Apabila Penyata Razak 1956 dimuktamadkan, semua sekolah
tidak boleh lagi berkiblatkan negara asal-usul. Medium semua sekolah menengah
mesti dalam BM seperti yang dapat dilihat pada Sekolah Menengah Jenis
Kebangsaan Cina (SMJKC). Kecuali sekolah rendah Cina (SJKC), yang menggunakan
medium Bahasa Cina sepenuhnya bermula 1963.
Oleh kerana tidak dapat menggunakan medium
Cina di peringkat menengah, pemimpin Cina yang keras kepala seperti Dong Zong
dan Jiao Zong yang sejak dahulu mahu menubuhkan Universiti Merdeka, bertindak
keluar daripada arus perdana menggunakan Bahasa ibunda diperingkat menengah
walaupun tidak mendapat bantuan kerajaan sepenuhnya seperti sekolah Cina yang
lain, kecuali secara one-off.
Namun, Sekolah Persendirian ini mendapat
bantuan yang hebat daripada jutawan dan komuniti Cina. Sebab itu, ia mampu
bertahan sehingga ke hari ini. Sudah tentu kemudahannya jauh lebih baik
daripada sekolah kerajaan. Untuk makluman juga, sebenarnya UEC adalah contoh
kecil. Kita sudah lama mengiktiraf penubuhan Universiti Merdeka yang mengunakan
Bahasa Cina sepenuhnya seperti Kolej Universiti New Era di Kajang (dahulunya
Kolej New Era).
Kolej ini beroperasi sepenuhnya dengan
penuh Kecinaan di Kajang dan beberapa tempat lain di bawah kelolaan Dong Jiao
Zong. Kenapa kita bising perkara ini. Ia telah berlaku sejak zaman BN lagi.
Sebab itu, jangan terlalu menyalahkan PH, kerana semua ini telah bersarang
sejak zaman BN kerana takutkan undi Cina lari kepada PH. Baca ucapan Najib
Razak menjelang PRU14, ketika melancarkan manifesto BN pada 7 April 2018.
Warganegara yang memiliki sijil
peperiksaan luar negara yang setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan
Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan kelayakan memasuki IPT dalam
negara boleh dipertimbangkan untuk memasuki pengajian mana-mana IPT dengan
syarat mempunyai kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan lulus mata
pelajaran Sejarah – ini termasuklah isu tentang Unified Examination Certificate
Senior Middle (UEC) ketika melancarkan manifesto parti BN (Norlaile Abdul
Rahman, 2018).
Sebenarnya UEC telah pun diiktiraf secara
tidak langsung. Sila rujuk laman MQA/KPT dan syarat-syarat kemasukan ke
Universiti Awam. Tidak payahlah kita menjerit lagi.
Pelajar UEC pada masa sama boleh mengambil
SPM jika mereka mahu. Persoalannya, tidak semua mengambil SPM. Rata-rata hanya
mengambil UEC, inilah golongan persatuan Cina ini mahukan kerajaan mengiktiraf.
Tahun lepas hampir 9000 pelajarnya mengambil SPM selain daripada UEC.
Praktis ini menyamai apa yang dilakukan
oleh Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa Kuantan. Perkara ini tidak disukai
oleh Dong Zong dan pernah menimbulkan kontroversi sesama mereka. Sebab itu saya
sarankan, jika persatuan Cina mahukan UEC diiktiraf, pelajar mereka mesti
mengambil kedua peperiksaan ini bersekali. Bersusah sedikit untuk negara.
Pastikan mereka mendapat kredit dalam SPM. Jika mereka gagal dan tidak mendapat
kredit, sijil ini tidak wajar diiktiraf.
Persatuan Cina ini dikatakan ‘sangat
bimbang’ dengan bilangan SJKC yang didakwa semakin menurun daripada 1346 buah
pada 1970 kepada 1298 pada 2016. Begitu juga sekolah Tamil (SJKT) ada 657
buah pada 1970, kepada 524 buah tahun 2016.
Berbanding SK yang menunjukkan peningkatan
yang drastik, daripada 4277 pada 1970 kepada 5877 pada tahun 2016. Kenapa
persatuan Cina ini perlu hairan dengan peningkatan Sekolah aliran kebangsaan
seperti SK. Wajarkah SK bertambah sebab ini sekolah arus perdana kebangsaan,
mendaulatkan BM.
Peliknya, Persatuan Cina tidak pula
beritahu kenapa SJKC ada yang ditutup. Ada SJKC yang terpaksa ditutup kerana
tiada murid Cina lagi. Bayangkan di Hulu Langat, Kawasan tanah rizab Melayu,
ada sebuah sekolah Cina bernama SJKC Choon Hwa, Batu 18, hanya ada 23 murid.
Satu murid Cina, selebihnya murid Melayu. Itupun masih beroperasi hari ini dan
tidak dibenarkan tutup kerana bantahan Persatuan Cina ini. Apa lagi sebenanrya
yang persatuan Cina ini mahu?
Sehingga kini belum ada kenyataan rasmi
berapa ramai pelajar Cina di SJKC, SMJKC, dan pelajar UEC yang gagal BM.
Keputusan ini sengaja didiamkan kerana mereka tidak mahu publisiti buruk
merundungi mereka. Hebat atau tidak strategi mereka. Masih buta? Adakah
persatuan cina mahukan bilangan sama rata dan sama rasa? Perkara yang
menguntung mereka akan didiamkan. Perkara yang merugikan dihebohkan seolah-olah
hampir kiamat dibuatnya.
Saya fikir sudah sampai masanya Tan Sri
Muhyiddin Yasin, bekas TPM dan Menteri Pendidikan, kini adalah Menteri dalam
Negeri, bersuara. Kenapa dan mengapa UEC tidak diiktiraf semasa beliau memegang
amanah tersebut. Saya amat yakin Tan Sri ada jawapannya tersendiri.
Sebenarnya persatuan Cina ini mahu membina
lebih banyak lagi sekolah persendirian (UEC) tetapi tidak mendapat kebenaran,
meskipun permintaan daripada orang Cina tersangat tinggi, berbanding dengan
sekolah antarabangsa yang dibenarkan beroperasi ibarat cendawan selepas hujan.
Sekolah Persendirian ini hanya mampu
menampung hampir 90 ribu pelajar Cina setakat ini. Manakala hampir 110 ribu di
SMJKC. Persatuan ini turut bimbang dengan penurunan pelajar-pelajar Cina di
SJKC sejak kebelakangan ini disebabkan oleh kadar kelahiran yang rendah yang
dipraktikkan oleh majoriti orang Cina. Untuk makluman, sehingga kini terdapat
lebih 2 juta pelajar di SK, lebih 500 ribu dan SJKC dan lebih 81 ribu di SJKT.
Setakat ini UEC telah diiktiraf oleh
kerajaan Sarawak untuk memasuki perkhidmatan kerajaan negeri. Polisi ini masih
tidak terpakai untuk memasuki Universiti Malaysia Sarawak kerana ia di bawah
KPM. Berbeza pula dengan Universiti Selangor (UNISEL), mereka telah menerima
pelajar UEC. Kerajaan Pulau Pinang telah mengambil pelajar UEC untuk memasuki
perkhidmatan anak syarikat kerajaan. Langkah kerajaan Melaka dan Negeri Sembilan
sudah tentu akan merancakkan lagi politik caca-merba pendidikan kita. Di sini
kata boleh, di sana kata tidak. Kita mengamalkan sistem persekutuan,
negeri-negeri di bawah persekutuan, persoalannya sejauhmanakah sistem ini
berjalan dan dipatuhi?
Akhirnya, saya turut merayu kepada
kerajaan hari ini supaya turut memantau lambakan Sekolah Antarabangsa yang
menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium hari ini. Silibus subjek sejarah
turut tidak terkawal. Inilah juga yang menjadi hujah kuat mereka yang pro UEC, kenapa
kerajaan melakukan sikap ‘double standard’ terhadap mereka, sedangkan sekolah
antarabangsa dibiarkan beroperasi bebas dan pada masa sama mengenepikan BM dan
menggunakan silibus sejarah mereka sendiri. Semua sekolah ini berada di bumi
mana? Di Malaysia atau bukan? Renung-renungkan.
Prof Dr
Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
0 comments:
Post a Comment