(Sinar Harian 14.7.14)
Saya begitu teruja dengan pendekatan urus
tadbir Menteri Besar (MB) Terengganu yang baharu, bertemakan Transformasi Terengganu Baharu (TTB),
Terengganu TerBersih (TTB).
Tujuannya tidak lain, demi kebaikan
dan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri.
Beberapa pendekatan yang menjadi asas panduan adalah, urus tadbir yang baik
(good governance), bersifat terbuka dan menerima pandangan orang lain
(inklusif), dan agama sebagai wadah penyatuan
Melihat kepada semangat dan
kesungguhan MB, tidak mustahil transformasi ini dapat direalisasikan. Sebagai
rakyat marhaen yang mengikut perkembangan ini, izinkan saya memberikan sedikit
buah fikiran, bukan membodek.
Pertama, transformasi harus seiring
dengan ajaran Islam bagi mendapat redha Allah. Baharulah semua kerja menjadi
ibadah. Pemimpin dari segenap lapisan hendaklah disedarkan hakikat ini.
Tanamkan dalam diri mereka rasa takut
kepada Allah. Itulah makna integriti yang sebenar. Tugas itu adalah amanah
Allah. Hari ini mesti lebih dari semalam. Esok mesti lebih baik dari hari ini.
Proses pentarbiyyahan hendaklah
dimulakan kepada ahli-ahli UMNO supaya lebih mengutamakan rakyat daripada diri
sendiri. Itu sahaja cara jika UMNO mahu kekal berkuasa. Rakyat melihat apa yang
kita buat bukan apa yang kita cakap.
Contohi dan ramaikan orang UMNO
seperti arwah Dato’ Razali Ismail, bekas
ahli Parlimen Kuala Terengganu yang selalu disebut-sebut oleh MB. Arwah adalah
seorang wakil rakyat yang sukar dicari ganti di negara kita.
Arwah sebenarnya tidak disenangi oleh
golongan UMNO yang mahukan ganjaran. Arwah merupakan seorang wakil rakyat yang
sukar memberi 'upah' berupa wang kepada pengampunya. Sukar kita jumpa wakil
rakyat UMNO yang bersikap begitu, sehingga arwah tidak disukai segelintir orang
UMNO sendiri.
Ketika menjadi ahli Parlimen, arwah kalah
dalam pertandingan merebut jawatan ketua UMNO bahagian. Jarang berlaku, tetapi
itulah realitinya. Kenapa? Kerana arwah mempertahankan integritinya. Tidak
menggunakan wang bagi mendapat jawatan. Sifat terpuji arwah menjadi sebutan
sana sini. Malangnya, arwah dijemput Allah terlebih dahulu. Al-Fatihah.
Kedua, berusaha meminimumkan pergeseran dalam parti dan
mengajak pembangkang agar tidak menjadi seteru berpanjangan tetapi bersama
berperanan ke arah kebaikan.
Masalah dalaman UMNO sudah
menjadi perbualan hangat. Saya teringat kata-kata Tun Mahathir, orang cerdik
dalam UMNO sukar untuk naik, berbanding yang tidak cerdik. Maka tidak hairan,
berlaku perkara seperti marahkan nyamuk kelambut dibakar. Hanya kerana rasa
tidak puas hati terhadap tindakan parti, mereka sanggup bakar jambatan.
Begitu juga, hanya kerana terlalu
marahkan PAS, kita mengambil pendekatan bermusuh. Kita kubur segala kekuatan
dan bakatnya. Akhirnya, semua tidak dapat dimanfaatkan. PAS pula terus lihat
UMNO sebagai seteru. Musuh tidak dapat dijinakkan. Maka, tidak hairan jika
perseteruan antara UMNO-PAS tidak pernah berakhir.
Pada hemat saya, lebih baik kita ramai
profesional dalam kerajaan daripada kita ramaikan pandir yang tidak boleh buat
kerja dan menjadi beban kepada parti dan kerajaan.
Transformasi ini perlu disegerakan. Layani
saudara seagama kita dengan baik tanpa mengira apa latar belakang dan ideologinya.
Seburuk manapun kita, kita tetap seagama dan bersaudara. Jadikan musuh kawan,
barulah boleh memenangi hati lawan.
Manfaatkan segala kekuatan yang pada
musuh, selagi musuh tidak menghancurkan kita semua seperti TTB seterusnya, Telus Team Berkhidmat. Jadikan Islam sebagai wadah
penyatuan.
Pastikan masjid dan surau berfungsi sebagai agen penyatuan. Kalau boleh
biarlah orang UMNO dahulu sampai dan yang mengimarahkannya. Barulah cakap
serupa bikin. Kita tidak mahu mendengar solat dua imam seperti yang pernah
berlaku.
Ketiga, Terengganu TerBersih. Kebersihan
adalah sebahagian daripada iman. Bersih luar dan dalam. Antara fokus utama
adalah kebersihan tandas, tandas awam dan tandas masjid. Nampak kecil, tapi
impak besar, termasuk menjana pendapatan si miskin. Sedih, melihat masih banyak
tandas masjid yang tidak terurus sehingga merosak imej Islam.
Empat terbersih perlu diutamakan. Pertama, bersih diri. Seperti
dalam solat, berada dalam suci bersih. Bersih diri, pakaian dan tempat. Kedua,
bersih hati dengan sifat ikhlas. Sentiasa meletakkan Allah di hadapan setiap perkara yang dilakukan.
Zikir, istighfar dan taubat jika melakukan kesilapan. Ketiga, bersih harta. Bersihkan harta dengan
menunaikan kewajipan zakat dan infaq. Keempat, bersih persekitaran. Bagi menjamin kehidupan yang normal dan sihat, kita
haruslah sentiasa menjaga alam dari sebarang kekotoran terutamanya sampah.
Semua perkara ini mesti disampai
kepada MB. Ingatlah pesanan Sultan Perak, Raja Nazrin Shah, ketika Mesyuarat
Dewan Negara Perak ke-159, ditujukan khas kepada penasihat-penasihat pemimpin.
“Setiap kebenaran wajib disembahkan
dan jangan sama sekali dirahsiakan daripada pengetahuan beta. Jauhkan beta
daripada cerita-cerita penglipur lara hingga mendorong beta untuk berkhayalan,
lena dengan mimpi indah; sedangkan realiti yang berlaku di kalangan rakyat dan
di dalam negeri sangat berlainan dengan apa yang diceritakan”.
Sekiranya semua transformasi dipraktikkan
maka “Allah Peliharakanlah Terengganu”
0 comments:
Post a Comment