Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, November 13, 2017

Norma antarabangsa kepala…kau...

4:14 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments
Saya sangat teruja untuk mengulas Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang mempertahankan tindakan  sesetengah hotel di negara ini yang melarang wanita bertudung daripada bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (front desk). Katanya, ini dasar antarabangsa. Dasar antarabangsa apa ini! Dasar kepala…! Ini tidak termasuk gambar papan tanda hotel yang tidak membenarkan wanita bertudung mandi di kolam renang yang tular sebelum ini.

Hotel ini terletak di mana? New York? London? Las Vegas? Mexico? Jelasnya hotel ini terletak dalam sebuah negara Islam yang bernama Malaysia yang mendaulatkan Islam dan pribuminya iaitu orang Melayu dan Bumiputera. Pendek kata, ultra kiasu ini antara mahu dengan tidak sahaja.

Sama juga isu paramugari, boleh atau tidak memakai tudung. Mahu atau tidak? Dasar antarabangsa juga? Dasar kepala…Banyak juga syarikat penerbangan yang memakai tudung seperti Gulf Air, Emirates, Iran Air, Royal Brunei. Tiada masalah pun.

Malangnya syarikat penerbangan negara kita sama ada yang murah atau tidak, tidak ada satupun yang membenarkan memakaikan tudung. Kecuali kapal terbang sewa khas bagi tujuan umrah dan haji. Malah. Pakaian paramugari mereka semakin lama semakin singkat dan semakin besar terbelah.

Saya masih ingat, dahulunya, memang skirt paramugari mereka  berada bawah paras lutut. Hari ini semuanya di atas lutut dan semakin singkat. Ini tidak termasuk dadanya semakin terbuka. Ini belum termasuk yang berbelah dan kebaya putih yang sangat jarang menutupi badan paramugari tersebut. Dasar lain, buat lain. Dasar kepala apa ini?

Peliknya, pemberita tidak pula mensensasikan berita ini? Sekarang telah wujud suatu budaya dalam kalangan wartawan ultra kiasu mencari kelemahan syarikat orang Islam yang dilabelkan bersifat ‘rasis’ untuk disensasikan. Jika sebelum ini syarikat dobi, hari ini muncul pula kedai produk kecantikan untuk orang Islam sahaja sengaja disensasikan. Kenapa mereka tidak sensasikan iklan ‘for chinese only’.

Berbalik kepada isu bertudung di hotel antarabangsa, hotel ini berdiri di mana? Jika berdiri di bumi bertuah ini, tidak kiralah norma antarabangsa atau tidak, hormatilah identiti dan jati diri mereka.

Saya mohon kerajaan mengadakan garis panduan kepada pelabur luar yang berniaga di sini. Saya lihat di Brunei begitu banyak hotel mewah, lebih mewah daripada yang ada di sini. Kenapa di Brunei boleh melaksanakan apa yang dikehendaki oleh pihak berkuasa mereka manakala kita di sini tidak boleh? Bukankah agama Islam termaktub sebagai agama persekutuan?

Bila saya berkunjung ke Brunei, terasa nyaman sekali. Bermula dengan menaiki Royal Brunei, paramugara dan paramugari manis bertudung memberikan salam. Tidak pula menggunakan good morning, afternoon, evening atau good night. Mereka tahu, bila orang Islam diberikan salam. Kepada bukan Islam, ucapan yang sepatutnya.

Sebelum kapal terbang berlepas, akan kedengaran doa yang dibaca secara live. Paragmugara dan pilot dilatih untuk membacakan doa. Kita yang mendengar merasa sangat dekat dengan Allah. Apabila  mendarat, kalimah Alhamdulillah jelas berkumandang, bagi menzahirkan rasa syukur kepada Allah s.w.t kerana telah selamat mendarat. Begitu nyaman sekali.

Malangya, kapal terbang kita tidak pernah sekali diperdengarkan doa, begitu juga dengan kalimah Alhamdulillah setelah selamat sampai, kecuali dilakukan oleh paramugara atau inisiatif sendiri. Itu pun jika selalu disebut, tidak mustahil akan dikenakan tindakan tatatertib. Tetapi itulah identiti Islam. Hubungannya dengan Allah berpisah tiada.

Pendek kata, bermula dengan menaiki kapalterbang sehinggalah sampai ke negara Brunei penuh dengan jati diri dan identiti. Masuk ke hotel mereka juga begitu nyaman sekali. Banyak juga hotel antarabangsa di situ, malah ada hotel yang sangat mewah, tetapi tidak ada pula polisi, gadis bertudung tidak boleh bekerja di bahagian front desk.

Malam-malam di Brunei begitu nyaman. Sunyi sepi dan sangat indah. Tidak ada aktiviti liar dan mungkar, apatah untuk melihat anak muda merempit. Pendek kata, malam-malam di hotel antarabangsa di Brunei begitu mengasyikkan. Saya lihat begitu ramai pelancong antarabangsa di Brunei.

Tidak pula mereka mengidamkan arak, pelacur, dan sebagainya. Kenapa kita selalu terlebih perasan, pelancong datang mahukan arak, pelacur, hiburan mengghairahkan dan lain-lain. Akhirnya, anak gadis kita juga yang menjadi  mangsa dan korban kemodenan dan pembaratan.

Sebab itu saya amat kagum dengan pasar raya antarabangsa seperti Tesco, Aeon Big, Jusco, IKEA dan lain-lain yang melabur di negara kita. Mereka ini sangat menghormati sensitiviti orang tempatan, ibarat di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Papan tanda mereka mendaulatkan Bahasa Kebangsaan. Lihat surau-surau mereka, terletak di kawasan yang sangat strategik dan memudahkan pelanggan untuk bersolat.

Berbanding dengan dengan pasaraya tempatan, yang sepatutnya lebih memahami sebab mereka lebih bersifat ketempatanan. Tetapi layanan mereka sangat berbeza. Surau-surau tercerok entah ke mana.

Tetapi tidak boleh salah mereka juga. Sebab semua plan bangunan di hantar kepada PBT untuk kelulusan dan begitu juga dengan pemantauan aktiviti-aktiviti mereka. Termasuk juga nama-nama pusat komersial, bangunan dan sebagainya. Kadang-kadang nama-nama langsung tidak mencerminkan jati diri negara ini tetapi pegawai PBT buat pejam mata sahaja. Sudah butakah mata hati mereka? 

Saya menyokong gesaan Mufti Perlis agar lesen perniagaan mana-mana syarikat yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita bertudung ditarik balik dan dikenakan tindakan.

Kadang-kadang kasihan melihat anak dara kita, yang asalnya mereka bertudung tetapi dek kerana mencari sesuap nasi terpaksa membuka tudung dan  berpakaian seksi. Mereka menjadi korban apa yang kita katanya modernisasi. Inilah yang berlaku kepada semua syarikat penerbangan di negara kita. Bagi yang awalnya tidak bertudung, tidak mengapalah. Tetapi bagi mereka yang awal  memakaikan tudung dan ada yang sudah bekerja mahu bertudung, tidak dibenarkan bertudung. Jika ada yang mahu meneruskan memakai tudung terpaksa berhenti menjadi paramugari lagi.

Jika dibanding dengan paramugara, lain pula caranya. Paramugara menutup keseluruhan anggota, kecuali muka dan tapak tangan. Pelik paramugari terbuka habis. Polisi antarabangsa apa ini? Kepala…Malang pejuang-pejuang hak asasi manusia tidak langsung bersuara atau memperjuangkan nasib anak dara kita yang mahu mengekalkan jati diri agama dan kelembutan orang Asia. 


Justeru, saya memohon kepada pihak yang bertanggungjawab supaya menyelamatkan anak bangsa kita ini daripada dirosakkan oleh tangan-tangan ultra kiasu jahat ini. Mereka semua adalah dalam kalangan ultra kiasu yang sentiasa mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan tanpa memperdulikan agenda negara dan jati diri negara. Mangsa korbannya adalah orang Islam. Perancangan untuk  menyesatkan anak bangsa ini mesti dihentikan segera sebelum terlambat.  

Tuesday, November 07, 2017

Jangan kata "Rasakan! Padan Muka Kau"

4:16 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments
Jangan kata “Rasakan! padan muda kau”

Saya merasa sangat tersentuh apabila menonton video Ketua Menteri Pulalu Pinang merayu kepada TPM (kerajaan pusat) untuk membantu negeri Pulau Pinang yang dilanda banjir yang mengejutkan dalam sejarah. Dalam keadaan sebak, beliau bercakap dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada TPM kerana sanggup menjawab panggilan telefonnya pada jam 3.30 pagi. Alhamdulillah, bantuan segera telah dihulurkan oleh kerajaan pusat tanpa memilih bulu.

Inilah sifat negarawan yang selama ini saya nukilkan. Apabila kita dilantik memegang jawatan sama ada dalam kerajaan negeri atau kerajaan pusat, kita adalah negarawan. Kita kepunyaan semua, kepunyaan rakyat, bukan hanya terhad kepada parti politik dan ahli-ahlinya. Jangan ada yang berkata selepas ini dengan musibah yang menimpa Pulau Pinang dengan kata kata; “rasakan, padan muka kau”.

Sifat negarawan sebegini turut dikongsikan oleh Menteri Besar Kelantan. Lantas dengan segera meluluskan peruntukan RM50 ribu dan mengerahkan sukarelawan Pas  untuk membantu. Apalah nilai RM50 ribu pada masa kini. Namun, bukan jumlah yang menjadi sandaran, tetapi keikhlasan manusia yang bergelar hamba, yang tidak sanggup melihat sesama saudara mereka menderita.

Saya masih tidak lupa, ketika Kelantan dilanda banjir, ultra kiasu ini datang membantu, diikuti dengan sindiran tajam dan sinis kepada Pas. Negeri Serambi Mekah yang menjunjung Islam pun turut menerima musibah? Terfikir juga saya apakah itu bermakna tidak akan berlaku apa-apa kemalangan di kawasan Kaabah atau Mekah? Apakah kita sudah lupa tragedi kren jatuh di Masjidilharam Kaabah September 2015? Ujian Allah boleh berlaku di mana-mana, tidak kiralah sama di kawasan Serambi Mekah atau tidak atau di dalam kawasan Kaabah itu sendiri.

Nasib baiklah Menteri Besar Kelantan  tidak memulang paku buah keras. Dalam laman sosial Pas, semua perkara baik-baik dilontarkan. Pas sanggup melupakan ‘dendam politik’, bantuan kemanusiaan dikerahkan. Kita adalah sesama insan. Lantas cahaya bulan menyinari di Pulau Pinang.

Saya amat yakin umat Islam di negara ini sentiasa berpegang kepada ibrah yang ditunjukkan oleh Baginda Rasullah s.a.w. Jika dengan Yahudi pun Islam masih boleh berlembut, masalah isu yang sebegini kita masih memilih bulu. Kita tentu ingat, peristiwa Rasulullah s.a.w. dengan musuh tegar Islam, Yahudi. Apabila mayat Yahudi lalu di hadapan Baginda s.a.w. tiba-tiba Baginda bingkas bangun sehingga para sahabat terpinga-pinga dan bernyata; “Kenapa kamu bangun Ya Rasulullah, bukankah itu mayat Yahudi, musuh Islam yang selama ini menghina dan merancang membunuh kamu?”. Baginda menjawab; tidakkah kamu sedar bahawa Yahudi juga adalah makhluk Allah. Atas dasar itulah Baginda bangun memberikan penghormatan.

Banyak lagi kisah bagaimana lunaknya Baginda s.a.w. berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Atas dasar inilah, pimpinan negara tidak mengambil pendekatan membalas dendam, kerana sifat Islam tidak sedemikian. Malah air mata mengalir apabila menatap video dan gambar bagaimana umat Islam di sana menawarkan masjid dan surau untuk mangsa banjir berlindung, tidak kira sama ada Islam atau tidak. Saya lihat ada yang tidak berbaju, berseluar pendek dan berskirt berada dalam masjid. Mereka ini semua saudara sebangsa saya. Inilah dakwah yang paling besar dalam sejarah. Terima kasih umat Islam Pulau Pinang.

Marilah wahai saudaraku, terutama ultra kiasu, buang sifat bongkak, mari kita bekerjasama dalam perkara yang melibat kebajikan negara dan rakyat. Jangan terlalu beremosi dengan mengeluarkan kenyataan dan sindiran yang menyakitkan hati.  Misalnya dalam isu Oktoberfest atau pesta arak yang dikaitkan dengan taliban. Saya tidak kata, ini adalah balasan Allah kerana kelangsungan Oktoberfest. Tetapi, setiap perkara yang berlaku pasti ada pengajaran tersirat dan tersurat. 

Cuma saya ingin mengimbau semula kata-kata ultra kiasu sebelum ini; Pulau Pinang tidak ada masalah dengan arak, sebab kami bukan negara taliban. Ultra kiasu turut menawarkan sesiapa yang mahu minum arak datanglah ke Pulau Pinang. Apakah dengan tidak ada label atau istilah taliban, keadaan akan menjadi lebih baik? Menghalalkan arak yang diharamkan oleh semua agama dikatakan tidak taliban. Hari ini negeri yang tidak taliban dilanda musibah. Apakah negeri taliban sanggup berdiam diri? 

 

Kenapa kita tidak kisah dengan arak, tetapi amat kisah atau mengambil berat tentang taliban. Sejak bila taliban menyusahkan kita. Sejak bila taliban wujud di negara ini? Sikit-sikit taliban. Janganlah kaitkan arak dengan Taliban. Kecil sangat isunya. Jika nak kaitkan dengan Taliban, cuba buat perbandingan. Siapa yang lebih kejam berbanding taliban? Sesungguhnya tidak ada taliban di negara kita. Saya masih tidak dapat lupa kata-kata filem Kurbaan yang dibintangi oleh Vivek Oberoi dan Saif Ali Khan apabila memberikan kuliah tertajuk jihad daripada kisah benar. Islam dikaitkan dengan terrorisme, Taliban dan lain-lain istilah negatif yang bercanggah dengan cara hidup Islam. Klik dialog mereka dalam link berikut. https://www.youtube.com/watch?v=Tv4iBGjJbaw.

 

Begitu juga Peristiwa 911, siapa yang membuat serangan ke atas menara berkembar Amerika Syarikat mengorbankan 3000 nyawa dikaitkan dengan perbuatan Taliban yang tidak dapat dibuktikan sampai sekarang? Jika benar pun perbuatan Taliban, cuba bandingkan dengan berapa pula nyawa umat Islam yang terkorban apabila Agfhanistan di bom oleh kuasa  besar? Lebih 15,000 terkorban begitu sahaja. Itu adalah angka yang konservatif. Mungkin selagi ganda lebih. Lebih kurang lebih 50 tan bahan letupan digugurkan ke atas orang awam Islam yang tidak berdosa. Perbuatan Taliban kah semua ini?

 

Taliban adalah ciptaan CIA Amerika Syarikat untuk menentang Rusia, selain untuk memburuk-burukkan Islam dan membolehkan mereka campurtangan dalam hal ehwal negara Islam seperti yang telah mereka lakukan di Iraq. Atas alasan untuk mencari senjata pemusnah di Iraq, maka ia menghalalkan Amerika untuk campurtangan sehingga memusnahkan sebuah negara. Berapa ramai umat Islam yang menjadi korban, 500,000, angka konservatif. Apa kuasa besar seperti Amerika dan Britain respon apabila senjata pemusnah tidak dijumpai di Iraq? Mereka berkata, maaf. Adalah pembunuhan ke atas jutaan manusia yang dilakukan oleh bukan Taliban boleh diterima dengan permohonan maaf. Sehingga kini mereka masih terus menguasai Iraq.

 

Jika dapat saya lontarkan semula kata-kata seorang sarjana Muslim di German, apabila Islam dikaitkan dengan Taliban dan keganasan. Siapa yang menjadi dalang mencetuskan Perang Dunia I dan II? Siapa pula yang bunuh 20 juta Orang Asli di Australia? Siapakah yang mengebom Hiroshima dan Nagasaki di Jepun hingga menjadi padang jarak padang tekukur? Siapakah yang membunuh lebih 100 juta orang India di Amerika Utara? Siapakah yang membunuh 50 juta orang Red Indian di Amerika Selatan? Siapakah menghambakan kira-kira 180 juta orang Afrika. Siapa pula yang mencampakkan  88% daripada mereka yang terbunuh ke dalam  lautan Atlantik? Adakah semua ini perbuatan umat Islam?


Ini tidak termasuk lagi kekejaman komunis.

The Black Book of Communism, which came out in 1997, estimated that some 95 million people were either killed or made to starve to death in the communist attempt to create an egalitarian paradise on earth. Current research puts the number of victims of communism anywhere between 43 million and 162 million. As such, the original 100 million figure remains a remarkably accurate midway point. It is, also, a figure so large that people may have difficulty comprehending it without additional context. Leaving the (rightly) well-known example of the Holocaust aside, let us look at some other bywords for human cruelty (Marian L Tupy, 2017)

Pernahkah Taliban yang dikatakan dipelopori oleh orang Islam melakukan kezaliman sedemikian rupa? Saya memohon ketua ultra kiasu supaya tidak bersangka buruk dengan Islam. Hari ini, ‘taliban-taliban’ inilah yang datang berbondong-bondong ke Pulau Pinang untuk membantu atas dasar Islam. Mereka membuka surau dan masjid untuk mangsa banjir berlindung. Bantuan Islam merentasi agama, bangsa dan warna kulit.

Ingin saya tegaskan bahawa Islam adalah agama yang indah.  Pernah memerintah dua pertiga dunia dengan membawa kebaikan dan rahmat kepada seluruh alam. Bermulanya di Madinah, seterusnya berkembang ke seluruh Tanah Arab, benua Afrika, sebahagian Eropah, Asia Tengah, China dan Asia Tenggara. Buktinya, pergilah seluruh ceruk rantau, di situ pasti ada orang Islam. Ketika dunia berada dalam keadaan kegelapan (dark ages), dunia Islam bercahaya dengan ilmu sains dan teknologi.

Cahaya ini jugalah yang menyinari Andalusia, Cordoba, Sepanyol suatu ketika dahulu. Kotanya bermandikan nur kasih Islam yang begitu menakjubkan. Sehinggakan masyarakat Eropah berhampiran mengagumi Islam. Mereka datang menimba ilmu dengan ilmuwan Islam dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Tidak ketinggalan, ada datang dan sanggup bernaung di bawah kerajaan Islam untuk mengelakkan kezaliman kerajaan Rom dan Parsi. Kenapa mereka begitu mempercayai Islam? Jawapannya mudah. Islam adalah agama hikmah. Islam tidak zalim dan menzalimi. Kedatangan Islam membawa hikmah. Justeru, kurangkan bersangka buruk terhadap Islam. Pasti keberkatan datang menghampiri.

Kenapa hari ini Islam dimusuhi hanya kerana Islam tidak dapat duduk bersama mereka yang engkar terhadap ajaran agama mereka sendiri. Islam mengharamkan arak, agama mereka juga sama mengharamkan. Kenapa Islam dilabelkan dengan taliban? Menurut M. Najhan (2017), Islam tidak perlu menempel atau ditempelkan dengan sistem atau isme lain untuk menjadi kuat dan berupaya. Ia tidak perlu diprogresifkan untuk kononnya menjadi lebih berupaya. Ia tidak perlu disekularkan untuk menjadi lebih maju. Ia tidak perlu ditalibankan untuk memberi keberkesanan pada amalinya. Ia tidak perlu didemokrasikan untuk menjadikannya lebih demokratik. Jika diamati secara mendalam, segala yang ingin dicapai seperti maju, demokratik, berpandangan jauh, bertamadun dan berdaya saing, semuanya sudah ada dalam Islam. Hanya mereka yang jahil Islam sahaja tidak menemuinya, sehingga terpaksa meminjamkannya daripada agama lain dan pegangan lain yang tersasar daripada prinsip Islam.

Pendek kata, Islam tidak pernah bersetuju dengan tindakan taliban, jika pun benar mereka yang lakukannya. Jika Islam mengharamkan arak, judi, seks bebas dan kemungkaran yang lain, yakinlah bahawa agama lain pun bersependapat. Mana mungkin Islam mengharamkan, agama lain menghalalkan. Jika begitu maksud agama, terlalu hina agama itu.


Justeru, insaflah wahai semua, kita hanyalah hamba. Kita tidak mampu untuk melawan kehendak Pencipta meskipun sehebat mana pun kita. Jangan terlalu bongkak, pasti satu hari Allah akan turunkan ujian untuk kita. Jika di dalam Kaabah, Mekah pun ada ujian, inilah mereka yang tinggal di serambi, apatah lagi yang jauh daripada serambi. 

Sunday, November 05, 2017

Ampun Tuanku…Realiti BM Sekolah Cina

7:30 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments
Ampun Tuanku! Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Patik amat menjunjung kasih di atas titah ucapan Tuanku mengenai kewajipan Sekolah Cina bagi memastikan murid-murid Cina dapat menguasai dengan baik Bahasa Melayu (BM) sehingga menjadi fasih, dan dapat mengatasi Sekolah Kebangsaan. Titah ucapan Tuanku dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet 2017 baru-baru ini telah lama patik nanti-nantikan.

Patik telah lama menitipkan tinta sebegini, tetapi menimbulkan kemarahan orang Cina. Patik dilabelkan sebagai lebih Melayu daripada Melayu, sedang hasrat patik begitu suci, untuk memastikan pembinaan perpaduan sebuah negara bangsa menjadi idaman kita semua.  Sebelum ini, PM sudah turut mengingatkan supaya pemimpin Cina seperti MCA dan NGO Cina, memastikan penguasaan BM di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ditingkatkan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini. Perkara ini penting kerana BM adalah medium komunikasi yang mampu mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat  dan seharusnya dikuasai semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama, kaum dan bangsa.

Ampun Tuanku! Sesungguhnya selaku anak Perak, patik sangat berbangga bersultankan Tuanku, seorang raja yang tinggi ilmunya, sangat prihatin dan merasai denyut nadi rakyat dalam mensejahterakan negara tercinta ini.

Izinkan patik yang hina ini menyorot sedikit titah Tuanku mengenai realiti kedudukan BM di Sekolah Cina (SJKC) yang ada pada hari ini. Kedudukan BM di SJKC ibarat melukut di tepi gantang, meskipun BM adalah bahasa kebangsaan atau bahasa negara. Sabjek BM hanya diajar selama 240 minit (4 jam) seminggu berbanding dengan 180 minit (3 jam) seminggu sebelum ini. Itupun setelah mendapat tekanan daripada Kementerian Pendidikan.

Jika boleh mereka mahu terus kekalkan 180 minit sahaja atau kurang daripada itu. Pernah diusulkan oleh Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan lagi daripada 240 minit kepada 270 minit tetapi mendapat tentangan hebat daripada pemimpin-pemimpin mereka. Akhirnya, Kementerian Pendidikan terpaksa akur. Kononnya, jika terlalu mendesak, mungkin orang Cina tidak mengundi BN. Hakikatnya, memang mereka tidak mengundi BN meskipun kerajaan telah bertolak ansur. 

Alasan mereka sangat mudah, jika ditambah masa BM di SJKC, ini akan menjejaskan prestasi penguasaan Bahasa Cina. Penambahan masa BM akan mengambil masa sabjek-sabjek yang diajar sepenuhnya dalam bahasa Cina. Situasi ini akan menyebabkan penguasaan bahasa Cina akan tergugat. Pendek kata, mereka tidak mahu pelajar Cina tidak dapat menguasai bahasa Cina sepenuhnya atau tidak menjadi secina-cinanya atau menjadi Cina pisang.

Ketika sabjek Sejarah diperkenalkan di semua sekolah rendah, Kementerian Pendidikan mewajibkan sabjek ini diajar dalam BM termasuk di SJKC, tetapi mendapat tentangan yang sangat hebat daripada pemimpin-pemimpin Cina. Akhirnya, sekali lagi kerajaan akur. Sabjek sejarah negara diajar dalam ibunda.  Apakah tindakan ini wajar? Inilah hakikat sebenar yang berlaku di sekolah Cina. Proses ‘pencairan’ kecinaan tidak akan dibenarkan sama sekali.

Ampun Tuanku! Untuk makluman Tuanku, kegagalan Sekolah Wawasan yang menggabung tiga buah sekolah (SK, SJKC, SJKT) dengan berkongsi kemudahan yang sama, juga atas alasan yang sama. Kerajaan telah membelanjakan ratusan juta ringgit membina beberapa buah Sekolah Wawasan dengan harapan yang amat murni agar perpaduan menjadi realiti. Malang sekali, idea Sekolah Wawasan yang sangat murni ini telah terkubur.

Ia tidak mendapat sambutan daripada orang Cina. Atas alasan, jika terlalu bercampur gaul dan berinteraksi dengan pelajar Melayu dan menggunakan BM, mereka akan gagal menguasai bahasa Cina. Mereka akan menjadi Cina pisang, tidak menjadi secina-cinanya. Mereka mahukan persekitaran yang sepenuhnya Cina. BM yang diajar selama 240 minit seminggu adalah sebagai syarat sahaja. Kalau boleh, mereka tidak mahu ajarpun sabjek BM ini. Semuanya mesti Cina.

Sebab itu, mereka mensyaratkan semua guru-guru bukan Cina yang ingin mengajar BM dan Bahasa Inggeris di SJKC, mesti mempunyai kredit dalam bahasa Cina di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka tidak menerima guru-guru bukan Cina yang tidak ada latar belakang Cina. Tidak tindakan merupakan pembinaan negara dalam negara?  

Ampun Tuanku! Cuba Tuanku renungkan, bolehkah anak-anak Cina ini menguasai BM dengan baik jika BM hanya diajar 240 minit seminggu? Selepas selesai 240 minit, tidak ada kedengaran lagi BM. Semua aktiviti, perbualan dan pengumuman dibuat dalam bahasa Cina.

Lebih menyedihkan di luar kelas, mereka langsung tidak bercampur dengan orang Melayu. Kehidupan mereka di luar sekolah dan balik ke rumah adalah, membaca akhbar dan majalah Cina, menonton dan mendengar televisyen dan radio saluran Cina. Pendek kata proses sosialisasi pencinaan berlaku hampir 100 peratus. Bolehkah mereka menguasai BM dengan baik berbanding dengan Sekolah Kebangsaan. Pepatah Melayu ada menyebut alah bisa tegal biasa. Dalam maksud, jika sesuatu perkara itu tidak dibiasakan bagaimana mungkin kita dapat menguasai dan mempelajarinya.

Pernah pada tahun 2010 apabila bancian penduduk dibuat, pegawai-pegawai banci telah datang membuat bancian rumah ke rumah. Sangat mengejutkan, ramai rakyat Malaysia berketurunan Cina yang tidak boleh membaca, menulis dan berkomunikasi dalam BM. Pegawai banci terpaksa membawa penterjemah bahasa Cina untuk memahamkan mereka. Inilah realiti yang ada, disebabkan oleh proses pencinaan di SJKC. Mereka membina negara dalam negara. Bancian akan dibuat semula setiap 10 tahun. Kita akan lihat apakah pada tahun 2020, kedudukan BM mereka akan menjadi bertambah baik. Sama-sama kita lihat keputusan bancian tersebut.

Sesungguhnya Tuanku, sebahagian kaum Cina tidak melihat BM sebagai bahasa yang penting. Mereka lebih mementing bahasa ibunda dan bahasa Inggeris daripada BM. BM tidak ada nilai komersial. Perpaduan melalui bahasa (BM) kepada mereka bukanlah isu pokok. Mereka kerap menyalahkan Umno dan Pas yang menjadi punca masalah perkauman dan penghalang perpaduan, bukannya Institusi Pendidikan Cina. Penguasaan BM bukanlah asas perpaduan. Perosak perpaduan kepada mereka adalah dasar kemelayuan dan korupsi yang dilakukan oleh Umno. Tidak ketinggalan Pas dengan prinsip keislamannya. Mereka langsung tidak bersalah.   

Untuk memastikan agenda negara dapat dilaksanakan seperti titah ucapan Tuanku, caranya tidak ada lain. Patik cadangkan, Kementerian Pendidikan bertegas dalam melaksanakan agenda negara dan bahasa negara ini.

Pertamanya, wajibkan semua Sekolah Cina mendaulatkan BM. Bermula dengan fizikal sekolah itu. Ini termasuk menulis nama sekolah tersebut dalam BM, diikuti bahasa lain. Boleh dikatakan semua SJKC mendahulukan bahasa dan tulisan Cina ke atas imej fizikal sekolah. Begitu notis, kenyataan dan pengumuman dibuat dalam bahasa Cina. Sudah sampai masanya penggunaan BM diperluaskan supaya pelajar tersebut merasai mereka berada di Malaysia, bukan di negara China.

Tidak mengapalah menjadi Cina pisang sebab mereka berada di Malaysia bukan di negara China. Tidak pandai sepenuhnya itu wajar, sebab kita berada di negara yang mendaulatkan BM bukan bahasa Cina.   

Kedua, penambahan masa BM mesti dilakukan segera tanpa rasa takut dengan ugutan dan tentangan oleh NGO-NGO Cina berkaitan pendidikan Cina seperti Hua Zong, Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong. Patik cadangkan daripada 240 minit seminggu ditambahkan sekali ganda menjadi 480 (8 jam) minit seminggu. Jika orang Cina tidak boleh berkomunikasi dengan baik dalam BM bagaimana mereka boleh berinteraksi dengan orang Melayu yang hanya tahu BM dan sedikit Bahasa Inggeris.

Ketiga, silibus BM di SJKC mestilah menggunakan standard silibus BM di Sekolah Kebangsaan. Realiti yang ada hari ini, silibus BM di SJKC lebih mudah atau lebih senang berbanding dengan Sekolah Kebangsaan. Begitu juga di Sekolah Menengah dan Persendirian Cina. Adakah wajar disenangkan atau dipermudahkan silibus BM kepada pelajar Cina, itupun tidak dapat dikuasai, sedangkan pelajar Melayu di Sekolah Kebangsaan disusahkan silibus menguasai BM. Tidakkah sepatutnya berlaku sebaliknya. Pelajar Cina disusahkan untuk mempelajari BM, manakala pelajar Melayu disenangkan sedikit sebab ini bahasa mereka. Tidak mengapalah bersusah sedikit demi negara.

Alasan NGO pendidikan Cina jika disusahkan pelajar Cina dengan silibus BM yang sama standard dengan Sekolah Kebangsaan, ia akan menyebabkan mereka terpaksa memberikan lebih tumpuan dan perhatian kepada BM. Akibatnya, masa mereka akan lebih banyak ‘terbuang’ kerana terpaksa menumpukan BM. Hal ini sudah tentu ini akan menyusahkan mereka. Penumpuan yang lebih kepada BM akan menyebabkan penguasaan bahasa Cina mereka terjejas. Ringkasnya, penguasaan bahasa Cina mesti lebih baik daripada BM dan tidak boleh berlaku sebaliknya meskipun BM adalah bahasa negara. Jangan pergi jauh, lihatlah wakil rakyat mereka berucap di DUN dan Parlimen. Jika ibu bapa merekapun tidak boleh menguasai BM dengan baik bagaimana mengharapkan anak-anak mereka dapat menguasainya.

Keempat, contohi negara jiran kita, Thailand dan Indonesia dalam memartabatkan dan mendaulatkan bahasa negara mereka walaupun tidak sepenuhnya. Bahasa negara mereka begitu diperkasakan sehingga lahirkan rakyat yang begitu kuat jati diri dan mantap perpaduannya. Boleh dikatakan dalam semua perkara, bahasa negara diutamakan. Ini termasuk semua notis dan media arus perdana wajib menggunakan bahasa negara. Media cetak dan media elektronik diwajibkan menggunakan bahasa negara sepenuhnya termasuk mengalihbahasakan semua rancangan luar yang masuk. Jangan terkejut apabila menonton filem Inggeris, Cina, Hindi dan lain-lain di Thailand dan Indonesia, semuanya dialihbahasakan mengikut bahasa negara masing-masing. Negara-negara ini tidak juga mundur. Mereka terus bergerak maju ke hadapan seiring zaman. Terus terang patik katakan, jati diri Siam telah berjaya mengangkat tinggi bangsa Siam dan membangunkan Thailand. Thailand lebih membangun daripada kita.

Mungkin ada yang sinis membuat perbandingan mengatakan, kenapa negara Indonesia yang kuat jati dirinya melaksanakan agenda negara tetapi masih ketinggalan? Perbandingan dengan Indonesia dengan Malaysia ibarat langit dengan bumi. Indonesia mempunyai lebih 13,000 buah pulau dengan populasi 250 juta. Berbanding Malaysia, pulau-pulau boleh dikira dengan jari dan rakyat hanya ada sekitar 30 juta. Jika Malaysia lebih ke hadapan sedikit daripada Indonesia, itu perkara biasa. Patik amat yakin, dengan attitude dan aptitude rakyat Indonesia yang ada pada hari ini, tidak mustahil Indonesia akan meninggalkan Malaysia suatu hari nanti. Kerana jati diri mereka sangat kental dan semangat keindonesiaan begitu bersemarak untuk bersama hidup mati bersama Indonesia. 

Ambilllah iktibar pupusnya jawi yang menjadi identiti Melayu. Kenapa ia pupus? Kerana ia tidak digunakan. Tidak ada perancangan yang strategik untuk memartabatkan jawi. Akhirnya, jawi telah menjadi muzium.

Kelima, SJKC atau Institusi Pendidikan Cina mesti berlapang dada dalam menerima pandangan dan saranan pakar-pakar bahasa dan linguistik BM untuk memandaikan orang Cina dalam BM. Sudah sampai masanya kerajaan tidak tunduk kepada pandangan NGO Cina yang terlampau kecinaan. Kita mesti serius dalam pembinaan negara bangsa. Bukannya membina negara dalam negara.

Ampun Tuanku, banyak lagi cadangan untuk dikemukakan. Cukuplah sekadar ini dahulu. Patik memohon perkenan Tuanku untuk memberikan sedikit grant kepada patik untuk mengkaji secara menyeluruh mengenai perlaksanaan BM di SJKC dan Sekolah Menengah dan cara untuk memandaikan mereka dalam BM. Ini termasuk Pengajaran dan Pembelajaran BM di SJKC. Bilangan yang boleh menulis, membaca, memahami dan berkomunikasi dalam BM. Patik telah beberapa kali memohon grant kepada pihak berkenaan, tetapi tidak pernah diluluskan. Mungkin kepada mereka yang berkuasa merasakan kajian ini tidak penting. Tetapi patik yakin Tuanku sangat prihatin dan amat memahami. Patik akan persembahkan kepada Tuanku apabila kajian menyeluruh ini siap nanti.

Patik amat mengharapkan rakyat Malaysia dapat menghayati titah ucapan Tuanku. Perdana Menteri memberikan ingatan bahawa kerajaan akan membina lebih banyak SJKC jika mereka mampu melahirkan pelajar yang dapat berkomunikasi BM dengan baik.

Menurut Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia, Datuk Wang Hong Cai Pengua­saan BM yang lemah serta sukar memahami sesi pe­ngajaran dan pembelajaran me­rupakan salah satu punca utama kira-kira 30 peratus daripada pe­lajar kaum Cina keciciran di pe­ringkat sekolah menengah. Keadaaan ini berlaku disebabkan kesukaran dan kekangan mereka untuk menerima arahan serta berkomunikasi dalam BM di sekolah. Pada peringkat sekolah mene­ngah, mereka bukan sahaja perlu bercampur dengan pelajar bukan Cina tetapi turut mempunyai ma­salah dalam menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran dalam BM. Dianggarkan 50 peratus daripada pelajar SJKC menghadapi masalah bertutur dan memahami BM dan ini akan menyusahkan diri mereka sendiri apabila ke sekolah menengah. Perkara ini juga menjadi penyebabkan kepada murid berbangsa Cina keciciran daripada sekolah menengah kerana kekurangan minat untuk te­rus belajar dan ingin mula bekerja bagi mendapatkan wang.

Patik amat bersetuju dengan titah Tuanku bahawa adalah janggal dan ironis jika seseorang yang bertaraf warganegara Malaysia tidak boleh memahami, bertutur, menulis dan membaca dalam bahasa Kebangsaan yang merupakan identiti sesebuah negara bangsa. Sekolah vernakular wajib menghargai pendirian terbuka kerajaan yang membenarkan sekolah aliran tersebut terus beroperasi dan penghargaan itu wajib diterjemahkan dengan menjadikan sekolah tapak memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum di negara ini.

Patik pernah berjumpa dengan pasangan suami isteri Cina, suami Cina (Malaysia) dan isteri Cina (China). Isterinya berasal daripada negara China sangat terkejut dengan proses pencinaan yang keterlauan dalam kalangan orang Cina Malaysia. Katanya, orang Cina mesti mempelajari BM dan tidak boleh terlampau kecinaan. BM adalah medium interaksi. Mana mungkin orang Cina boleh berinteraksi dengan majoriti Melayu jika tidak menggunakan BM. Orang Cina akan rugi jika tidak menguasai BM.


Ampun Tuanku! Sembah patik harap diampun. Patik pacal yang hina ini sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t. agar Tuanku terus diberikan kesihatan yang baik bertakhta di singgahsana memerintah Negeri Perak dan jajahan takluknya dengan aman sentosa. Sesungguhnya setiap titah ucapan Tuanku amat mulia dan sentiasa membawa kepada pembinaan sebuah negara bangsa. Ampun Tuanku…

Monday, October 23, 2017

MCA jangan hiris hati melayu

7:48 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments
SEJAK bila orang Cina menyokong atau mengundi MCA? Atau MCA sahaja yang terlebih perasan? Selama ini bukankah MCA hanya menang di kawasan majoriti Melayu? Jika Umno tidak memberi laluan kepada MCA untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu, dan seterusnya menang, apakah MCA boleh jadi seperti adanya MCA pada hari ini? Mempunyai kekananan dalam jawatan Menteri  dan perkhidmatan awam. Tidak ketinggalan, mempunyai begitu banyak bangunan sendiri dan jutawan yang dilahirkan dengan nama yang berbeza-beza.
MCA ini tahu atau tidak percaturan politik? Bersyukurlah wahai parti Cina MCA. Sila ambil cermin paling besar dan lihat muka sendiri. Tanya diri sendiri? Semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi sehingga ke hari ini atas ehsan siapa? Melayu atau Cina?
Jika terlampau ultra kiasu, berhentilah daripada menjadi ahli politik kerana kehadiran dan kemunculan kenyataan kamu amat mengguris hati-hati Melayu. Jangan hiris lagi hati mereka yang telah memenangkan kamu? Sedar dirilah bahawa keberuntungan yang kamu perolehi hari ini adalah ehsan orang Melayu.
MCA memperolehi 18 kerusi dalam PRU 13. Daripada tujuh (7) kerusi Parlimen MCA, enam (6) adalah majoriti Melayu ataupun lebih ramai pengundi Melayu daripada pengundi Cina. Manakala, daripada 11 kerusi DUN, 9 adalah majoriti Melayu ataupun lebih ramai pengundi Melayu daripada pengundi Cina. Dalam kata lain, sejumlah 15 daripada 18 kerusi MCA (ataupun 83.3%) adalah terletak di kawasan Melayu luar bandar. Mari kita lihat satu persatu kekuatan MCA.
Kerusi Parlimen dimenangi MCA PRU13. P148 Ayer Hitam, Melayu 58%, Cina 38%, 4% lain-lain, P135 Alor Gajah, 58% Melayu, 28% Cina, 14% lain-lain. P77 Tanjung Malim, 53% Melayu, 27% Cina, 20% lain-lain. P165 Tanjung Piai, 52% Melayu, 47% Cina, 1% lain-lain. P158 Tebrau, Melayu 48%, Cina 38%, 14% lain-lain, P89 Bentong, 45% Melayu, 44% Cina, 11% lain-lain, P142 Labis, 38% Melayu, 47% Cina dan 15% lain-lain. Kerusi Labis, undi India yang menentukan.
Lihat pula kerusi DUN yang dimenangi oleh MCA di kawasan majoriti Melayu. N1 Titi Tinggi, Melayu 76.15%, 20.81%, 3% lain-lain, N4 Cheka, Melayu 70%, Cina 24.08%, 6% lain-lain, N54 Pulai Sebatang, Melayu 64%, Cina 35%, 2% lain-lain, N35 Kulim, Melayu 61%, Cina 22%, 17% lain-lain, N15 Kelebang, Melayu 60%, Cina 37%, 3% lain-lain. N24 Bemban, Melayu 59%, Cina 24%, 17 lain-lain. Gurun, Melayu 57%, Cina 26%, 17% lain-lain. N10 Damak, Melayu 56%, Cina 34%, 10% lain-lain.  N46 Chenderiang, Melayu 36%, Cina 31%, 33% lain-lain. N8 Machap, 41% Melayu, 43% Cina,  16% lain-lain. N30 Paloh, 39% Melayu, 44% Cina, 17% Lain-lain. Machap dan Paloh Cina lebih sedikit sahaja. Masih boleh dikira kawasan majoriti Melayu jika diambil kira lain-lain.
Pendek kata, jika tiada Melayu, MCA berputih mata. Bayangkan dalam PRU 14, semua kerusi ini diambil atau diberikan semula kepada Umno, atas alasan ia kawasan majoriti Melayu dan Melayu sudah meluat dengan MCA kerana terlalu kecinaan, maka tidak ada satu kerusi yang akan dimenangi MCA. Sebab itu, MCA jangan berlagak seperti jaguh dan mengugut Umno dan Barisan Nasional yang diketuai Perdana Menteri. MCA sebenar tidak sekuat mana. Realitinya, DAP dan NGO Cina lain terlalu kuat dan berpengaruh dalam masyarakat Cina bukan MCA, mahupun Gerakan.
Sebenarnya ramai tidak tahu bahawa sebahagian Cina yang kaya raya hari ini, perantaranya adalah MCA dan Gerakan. MCA dan Gerakan melalui peranannya dalam kerajaan telah memperkayakan ramai Cina. Mana mungkin Genting Highland boleh tersergam indah di puncak bukit tanpa pengantara dan tanpa belas ehsan pemimpin Melayu memberikan tanah dan laluan untuk menerokai hutan balak tersebut. Begitu juga dengan projek-projek besar yang lain dan bangunan pencakar langit yang didirikan.
Bangunan Persatuan Cina, Hua Zong itu sendiri, yang tersergam indah di Serdang, tempat berlangsung Sidang Kemuncak Belia Cina Malaysia (TN50) sabtu lalu bersama Perdana Menteri (PM), adakah langsung tidak ada bantuan kerajaan? Lebih malang lagi, daripada jauh terpacak, Bahasa Cina di atas bumbung bangunan tersebut dengan tulisan ‘Hua’ bermakna Cina. Terpacaknya nama Cina di sebuah negara berasaskan kenegaraan Melayu. Semua dibenarkan atas dasar toleransi. Pernahkah dihargai? Cuba Hua Zong pacak perkataan ‘Hua’ itu di Thailand atau Indonesia. Agak-agak boleh dapat atau tidak? Tetapi, ianya dibenarkan di Malaysia.
Jika nak disenaraikan, banyak lagi bangunan pencakar langit kepunyaan mereka berdiri megah dengan ehsan kerajaan yang diterajui Umno dengan MCA dan Gerakan menjadi orang tengah. Cuma nama sahaja berbeza. Dalam kata lain, kejayaan sebahagian jutawan Cina hari ini bukan hanya merupakan titik peluh mereka sendiri. Tanpa bantuan Umno, MCA dan Gerakan dalam kerajaan, mana mungkin mereka boleh mendapat projek yang berskala besar. Ini tidak termasuk, pesara Melayu kerajaan bergelar yang boleh dibeli untuk diletakkan sebagai pengerusi atau ‘pak pacak’ syarikat mereka bagi mendapatkan projek dan tender kerajaan.
Semua ini sudah diketahui umum. Malangnya apabila ultra kiasu ini sudah kaya, mereka hanya nampak kelemahan Umno dan kerajaan yang dipimpinnya, lantas mengundi DAP. Sedangkan DAP tidak kurang salah laku mereka. Terbaharu, insiden tanah runtuh di kawasan projek komersial dan perumahan Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang mereka bangunkan. Saya nak tengok selepas ini, adakah ultra kiasu turut akan menyalah Umno atau bagaimana.
Sikit sikit semua salah Umno. Bila dibangkitkan isu perkauman yang semakin menebal hari ini. Semua menuding jari kepada Umno yang terlampau melaungkan kemelayuan dan korupsi yang berlaku. Seolah-olah mereka semua betul. Paling banyak salah Umno. Sedangkan kekayaan yang mereka kecapi adalah hasil toleransi Umno, langsung tidak diungkit dan dibangkitkan.
Sebab itu saya mohon MCA berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris dan menghiris hati-hati Melayu seperti kenyataan pemimpin mereka dalam Sidang Kemuncak Belia Cina Malaysia di Serdang baru-baru ini. MCA berkata Umno dan PAS kini sedang giat saling ‘menggoda’ dan ‘memikat’ antara satu sama lain dan ia berpunca daripada pengundi Cina menyokong DAP pada pilihan raya umum (PRU) lalu. Sebab itu katanya, masyarakat Cina di negara ini perlu kembali menyokong MCA pada PRU ke-14 bagi menghentikan amalan politik perkauman dan agama. Kata-kata ini sangat desperado dan hina sama sekali.
Saya tidak pernah hairan jika Umno dan PAS bekerja bekerjasama kerana kedua-duanya parti orang Melayu dan Islam, sebangsa dan seagama. Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga. Jika terjadi sesuatu yang ‘merugikan’ Islam, saya amat yakin tidak mustahil, kedua buah parti ini akan bersatu. Ini bukanlah sesuatu yang pelik. MCA jangan terlalu bersedap hati, parti ini boleh ditendang oleh Umno bila-bila masa kerana keberadaan MCA selama ini tidak menguntung malah banyak merugikan Umno terutama terpaksa berkongsi kawasan parlimen dan DUN. Ini tidak termasuk jawatan kabinet.
Pendek kata, ‘seburuk-buruk’ Umno di mata MCA, Umno tetap memberi laluan kepada MCA untuk bertanding dan menang di kawasan majoriti Melayu yang merupakan kerusi asal Umno. Umno terus melepaskan tali. ‘Sebaik-baik’ MCA, yang kononnya mendakwa terlalu banyak berkorban untuk negara, MCA tidak pernah memberi laluan kepada Melayu untuk bertanding di kawasan majoriti Cina. Jika Umno bertanding pun putih mata, kerana pasti undi akan pergi kepada DAP. Selepas MCA menang, jika Umno mahukan kerusi itu kembali, maka MCA akan mendakwa itu kerusi kuota mereka, kerusi bapak mereka yang punya. Umno tetap mengalah dan memberi laluan.
Sama seperti kerusi yang dipinjamkan kepada MIC seperti Cameron Highland (dahulunya dijanjikan kepada PPP) dan Hulu Selangor (kerusi tradisi Umno) misalnya. Jika Umno mahukan kembali untuk diberikan kepada parti yang difikirkan sesuai, maka mereka akan berkata kerusi itu bapak mereka yang punya. Apakah selepas ini jawatan seperti speaker Negeri Perak misalnya, jika tidak diberikan selepas PRu 14, mereka akan berkata, itu tidak adil, ini tidak adil. Makna adil ini sebenar apa?
Saya tidak tahu apa nak cakap lagi. Apa yang saya tahu, Umno dan orang Melayu terlalu banyak berkorban untuk orang Cina. Umno terus melepas tali dan melepas tali. Menjadi kebimbangan saya, suatu ketika nanti, tidak ada lagi tali yang boleh dilepaskan kerana sudah habis. Ketika itu usahkan tali, talian hayat pun tidak bererti lagi. Alahai, nasib Melayu, terlalu bertolak ansur, akhirnya ditolak beransur-ansur.
Insaflah wahai bukan Melayu ultra kiasu di bumi bertuah ini, sesungguhnya kamu cukup beruntung. Bayangkan diri kamu adalah minoriti Muslim Cina di negara China. Mampukah kamu bersabar menghadapi semua penganiayaan dan kezaliman yang dilakukan ke atas Cina Muslim di sana hanya kerana mereka menjadi minoriti. Muslim Cina di China tetap sabar, kerana mereka mengakui dan memahami, mereka tinggal di negara Komunis. Mereka tetap patuh kepada sistem komunis yang tidak adil itu. Justeru, hargailah toleransi di negara tercinta ini.
Saya menjadi teramat pelik kenapa Cina tidak mengundi MCA sedangkan MCA mendakwa mereka mempunyai ahli lebih sejuta, parti kedua terbesar di Malaysia? Wahhh! Hebatnya. Kenapa MCA perlukan undi Melayu untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan daripada dahulu hingga ke hari ini meskipun mereka kalah dalam PRU demi PRU di kawasan Cina?
Apa yang berlaku dalam PAS dan Umno hari ini sebenarnya sudah lama berlaku antara MCA, Gerakan dan DAP. Cina MCA dan Gerakan pakat-pakat mengundi DAP. Jika tidak kenapa satupun MCA tidak mendapat kerusi di kawasan majoriti jika parti Cina ini mendakwa mereka adalah parti kedua terbesar selepas Umno? Saya harapkan Pejabat Pertubuhan (RoS) akan teliti keahlian yang didakwa oleh ultra kiasu ini, kerana saya tidak yakin MCA mempunyai keahlian sebegitu ramai dan MCA bukan menjadi pilihan majoriti Cina. Cina ada pilihan ‘lebih baik sedikit’ seperti DAP.
Menjadi MCA dan Gerakan sememangnya sangat beruntung. Menang atau kalah pilihan raya, MCA dan Gerakan tetap menang. Mereka tidak perlu risau kerana jawatan senator sentiasa menanti untuk dilantik sebagai Menteri mewakili orang Cina, sedangkan orang Cina tidak mengundi mereka.
Ingatan saya kepada Umno, jangan atau berhentilah memberi lagi kerusi majoriti Melayu kepada MCA. Biar dia bergasak dengan DAP di kawasan majoriti Cina. Jika mereka kalah ke semua kerusi kawasan Cina, tidak perlu lagi dilantik sebagai senator bagi membolehkan mereka merasai kerusi menteri. Biarkan mereka meopong
Lantik sahaja wakil-wakil Cina yang tidak ultra kiasu yang terdiri daripada bukan ahli politik seperti Prof Khoo Kay Kim, Prof Teo Kok Siong, Hu Pang Chaw, dan beberapa peimpin Parti Cinta Malaysia seperti Huan Cheng Guan dan lain-lain Cina yang tidak ultra kiasu. Selain itu, saya fikir Cina daripada Kelantan dan Terenganu lebih menghayati semangat 1Malaysia berbanding dengan Cina totok MCA. BM Cina Kelantan dan Terengganu sangat baik, selain asimilasi yang berlaku. Orang sebegini layak dilantik dan diangkat sebagai pemimpin. 
Melantik MCA ini seperti membela biawak hidup. Beban kepada Umno. Mereka secara lantang menentang RUU 355 dan agenda Islam yang tidak ada kaitan dengan mereka. Kata pemimpin mereka dalam Perhimpunan Belia Cina itu, “bantahan daripada MCA menyumbang kepada keputusan Umno membatalkan sokongan terhadap rang undang-undang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 baru-baru ini” Benarkah kenyataan ini? Ultra kiasu kena buktikan. Jangan nak jadi jaguh. Lembu punya susu sapi punya nama.
Jawapannya, semua orang tahu. Fakta sebenarnya adalah kerana bantahan daripada pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak yang menjadi kebimbangan Umno, bukan bantahan MCA. Parti nyamuk ini MCA yang didakwa mempunyai keahlian lebih sejuta tidak pernah menjadi faktor ketakutan kepada orang Melayu. Jika benarpun ramainya ahli MCA, kebanyakan mengintai projek dan tender, bila sudah dapat, menjadi kaya raya, mengundi  dan membantu DAP daripada segi kewangan.
Pemimpin MCA seterusnya berkata, tanpa MCA Malaysia akan menjadi negara teokrasi atau negara Islam yang bersumberkan undang-undang Islam. MCA katanya, akan cuba sedaya upaya menghentikannya daripada terjadi. Nyata sekali kenyataan ini amat kurang ajar. Perlu dingat, negara ini adalah negara berasaskan sistem kenegaraan Melayu. Sejarah awal membuktikan bagaimana undang-undang Islam itu tertegak ketika Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bacalah sejarah ini. Justeru, orang Melayu Islam mempunyai hak untuk mendapatkan cara hidup dan hidup dalam undang-undang mereka sebelum ini.
Sama seperti hak Cina untuk menguatkan sistem Komunis di negara mereka sehingga terhapuskan tradisi sistem beraja. Jika negara China boleh lakukan, kenapa Melayu tidak boleh mendapat haknya di buminya sendiri. Pemimpin MCA ini datang daripada mana?
Lebih memeranjatkan lagi kata pemimpin ultra kiasu itu “ramai orang kata MCA sudah tidak lagi relevan. Itu salah. MCA sekarang parti kedua terbesar…” Benarkah? Saya cabar pemimpin ultra kiasu ini untuk tunjukkan keahlian MCA sebenar? Jika begitulah besar keahlian, kenapa pemimpin mereka tidak pernah menang dalam kawasan majoriti Cina, sedangkan MCA adalah parti Cina yang tulin?
Untuk makluman, dalam program yang sama PM turut mengingatkan MCA supaya memastikan penguasaan bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dapat ditingkatkan untuk terus memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini. PM berkata, perkara ini penting kerana bahasa Melayu adalah medium komunikasi yang mampu mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat dan seharusnya dikuasai semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama, kaum dan bangsa.
Tahniah PM. Jadikan ini sebagai syarat utama untuk membina SJKC sekiranya terus didesak oleh ultra kiasu. Selagi mana mereka tidak dapat menguasai BM dengan baik, jangan dibina lagi SJKC. Pergilah buat kajian di SJKC, lihatlah berapa ramai yang boleh berkomunikasi, menulis dan membaca BM dengan baik. Lihat juga peratusan yang lulus BM dalam UPSR. Berapa ramai yang gagal dan mendapat gred lulus sahaja. Itu sudah cukup untuk membuktikan sama ada tahap pencapaian BM mereka.
Apapun MCA tidak ada pengaruh dalam kalangan masyarakat Cina dan Sekolah Cina. NGO Cina seperti Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong tidak pernah heran dengan MCA. Sebab orang Cina lebih mempercayai NGO Cina daripada parti Cina MCA ini.
Terus terang saya katakan, jangan harap SJKC boleh membantu kerajaan untuk mempromosikan BM sebagai bahasa perpaduan kerana operasinya tersangat kecinaan. Apakah selama ini kita tidak sedar bahawa mereka menolak semua program memperkasakan BM di SJKC kerana takut lahirnya Cina Pisang iaitu Cina yang tidak menguasai sepenuh bahasa CIna atau dalam kata lain, mereka tidak menjadi secina-cinanya
Sehingga kini. saya masih tertanya-tanya, sebenarnya Cina Malaysia mahu menjadi Cina yang bagaimana? Orang Cina daripada negara China yang datang melihat Cina di sini terkejut besar melihat proses pencinaan di sini. Mereka yang berada di China pun tidak dapat menjadi secina-cinanya di negara mereka sendiri. Kenapa Cina di Malaysia sebegitu Cina sehinggakan lebih Cina daripada Cina di China. Sebenarnya MCA mahu apa? Ingatan saya, jangan terlalu mendesak lagi. Hati-hati apabila berkata terutama perkara berkaitan dengan Melayu dan cara hidup orang Islam, yang mana melibatkan Umno dan PAS secara langsung. Jika Umno dan PAS mahu bekerjasama, itu hak mereka, yang kamu sakit telur kenapa? Takut menjadi tidak relevan! Sudahlah! Jika sudah tidak ada kerja, jaga ahli MCA baik-baik yang didakwa kedua terbesar selepas Umno. Pastikan mereka tidak ultra kiasu dan tidak menjadi duri dalam daging.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)