Akibat jahil
tentang Melayu (Sinar Harian 1.9.14)
Setiap
kali artikel saya keluar dalam Sinar Harian, mesti disalahfahamkan atau sengaja
dilakukan. Nampaknya isu babi masih tidak kesudahan. Dalam artikel sebelum ini,
terang-terang saya sebut, saya tidak pernah halang untuk sebahagian bukan Islam
menternak dan memakan babi, malah menjadi hak mereka. Tetapi biar berpada-pada.
Ternak di kawasan mereka, jangan ternak berdekatan kawasan Melayu.
Jangan
sampai Malaysia terkenal dengan negara penternakan dan pengeksportan babi
sehingga digelar darul babi, sebab pengguna atau peminatnya tidak ramai.
Oleh
pemakan babi tidak ramai, yang lebih ramai adalah pemakan lembu dan kambing,
tidakkah lebih baik negara ini menjadi lebih banyak kambing dan lembu daripada
babi?
Media
sosial ultra kiasu selalu memanipulasikan artikel saya. Suatu hari nanti pasti
ada tindakan undang-undang yang akan kena. Tunggu dan lihat. Saudara sebangsa
saya, Idham Lim, turut terpengaruh.
Saya
ingatkan pembaca, apa yang keluar dalam Sinar Harian adalah artikel yang telah
diedit. Untuk mendapat maklumat lanjut, sila layari ridhuantee.blogspot.com.
Banyak maklumat di sana.
Dalam
ceramah saya, selalu saya katakan, babi tidak bersalah kerana Allah yang memberikan
nyawa dan menjadikan babi. Allah tidak jadikan babi dan anjing untuk dihina. Berdosa
kita melakukannya. Jangan jadikan babi (anjing) sebagai pemisah hubungan sesama
manusia. Babi tidak boleh menjadi penghalang dakwah. Malah, mengambil kira
pandangan mazhab lain, tidak perlu samak, jika terkena babi. Isu ini sudah saya
jelaskan.
Tetapi
ultra kiasu tetap ultra kiasu. Sampai bila-bilapun ultra kiasu tidak akan
setuju dengan Islam. Sebab itu, satu baris pendek artikel saya tentang darul babi,
‘digantung’ dalam media sosial mereka berminggu-minggu. Ada aku kisah!
Terbaharu,
saya amat teruja dengan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris melalui
temubual dengan Presiden Indonesia, Jokowi. Baca yang tersurat dan tersirat
atau psikologi berbalik.
Publisiti
muka depan dan dalam. Dalam banyak perkara penting yang disebut Jokowi, yang ditonjolkan
(highlight) berkali-kali, pandangan Jokowi tentang Indonesia akan kekal sebagai
negara sekular dan kehidupannya yang liberal.
Apa
tujuannya? Saya amat yakin sasaran interview adalah untuk rakyat Malaysia. Ultra
kiasu mahu kita mencontohi kepemimpinan Indonesia. Menjadi sebuah negara
sekular. Memisahkan agama dari kehidupan dan politik. Itulah perjuangan mereka
selama ini.
Saya
tegaskan, Malaysia tidak akan menjadi negara sekular. Negara ini tetap negara
Islam, dan akan terus mendaulatkan Islam, meskipun penganutnya kurang dari 60
peratus, berbanding Indonesia, lebih 85 peratus. Islam dan Melayu, berpisah
tiada.
Kenapa?
Malaysia dan Indonesia, sejarahnya berbeza. Perlembagaannya berbeza. Malah jika
dibandingkan dengan negara Islam yang lain, Malaysia jauh lebih baik.
Mana
ada dalam dunia ini, perlembagaan negara yang melindungi umatnya, kecuali
Malaysia. Mereka yang berada dalam Islam, mesti kekal, tidak boleh murtad.
Mungkin
ada yang negatif. Tetapi saya melihat dalam ruang lingkup yang positif,
walaupun mungkin dibenci bukan Islam.
Kenapa
bila sudah masuk Islam tidak boleh keluar? Jawapannya, Islam bukan agama kedai
kopi seperti agama lain, yang boleh keluar masuk. Suka masuk, tak suka keluar.
Islam
adalah agama yang ada pendirian dan maruah. Tidak boleh dipermainkan
sewenang-wenang, walaupun mungkin ada yang keluar secara diam-diam.
Ingatan
saya, pertama, jaga sensitiviti orang Melayu, selaku pribumi. Walaupun babi (anjing)
itu makhluk Allah, tetapi orang Melayu tetap sensitif dengan makhluk ini. Kalau
boleh tak mahu lihat langsung. Ia sudah menjadi sebahagian cara hidup Melayu. Sudah
puas diterangkan, Melayu masih sensitif. Disinilah ‘kelemahan’ Melayu, hormatilah
pendirian ini.
Sama
juga isu kalimah Allah, Melayu dan Allah berpisah tiada. Sangat sensitif. Saya
tidak tentang orang bukan Islam Semenanjung untuk menggunakannya. Tetapi itulah
Melayu. Maka hormatilah pendirian ini.
Lagipun
ultra kiasu tidak rugi apa-apa. Mereka tidak akan mati jika kurang ternak babi,
atau tidak guna kalimah Allah. Masih boleh makan secara diam-diam
sebanyak-banyaknya.
Kedua,
jika tidak faham cara hidup dan sensitiviti Melayu, tanyalah saya. Bukan
bongkak atau tunjuk pandai. Tetapi saya amat memahami orang Melayu. Saya tidak
pernah mengaku saya Melayu dan saya tidak pernah masuk Melayu. Tetapi kita
perlu memahami Melayu, kerana mereka pribumi dan majoriti. Melayu ada
kelemahan, ada kelebihan. Tetapi saya amat mengkagumi toleransi orang Melayu,
ketika bangsa (negara) lain menolak bukan Melayu.
Ketiga,
orang Melayu tidak pernah minta hak orang bukan Melayu. Cuma orang Melayu
memohonkan jangan habis dan kikis hak mereka. Kita tetap lakukan, tanpa
memahami sensitiviti ini. Hari ini, orang Melayu mula bangkit. Kita tuduh Melayu
itu rasis. Sebenarnya, Melayu tidak rasis. Melayu menjadi sedemikian apabila
merasa terancam.
Kepada
ultra kiasu, saya tetap Cina selama-lamanya. Saya tidak pernah masuk Melayu. Tetapi
ingat, saya tetap mengutamakan Hari Raya Puasa (Haji), walaupun turut mengambut
Tahun Baharu Cina. Jika tulisan ini mengelirukan, mohon Idham Lim perjelaskan
kepada orang Cina.