Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, July 30, 2012

Belajar memahami keutamaan

7:31 AM Posted by RIDHUAN TEE 26 comments
(Sinar Harian 30 Jul 2012)

Pada 20 Julai 2012, dua buah buku saya, bertajuk “Masih Adakah Ketuanan Melayu?” dan Cabaran Saudara Baharu di Malaysia, dilancarkan yang Menteri Pertahanan. Ucapan aluan saya telah dijadikan berita oleh beberapa laman web, termasuk Malaysianinsider dan diulas oleh Zan Azlee pada 27 Julai 2012, bertajuk Ridhuan Tee does it again!

Ternyata Zan Azlee tidak faham konteks dan maksud. Sebaik-baiknya hadirlah dalam majlis tersebut, baharulah boleh memberi komen dan ulasan. Apapun, saya maafkan, mungkin kerana beliau terlalu muda untuk memahami Islam, walaupun lahir Islam. Saya dilihat seolah-olah jahil dalam memahami Islam. Saya syorkan beliau lebih mendalami Islam agar ilmu Islamnya menjadi lebih luas. Bacalah sama buku karangan ulamak Islam tersohor, Yusuf Al-Qaradawi bertajuk Fiqul Awlawiyyat atau Memahami Keutamaan.

Zan Azlee cuba mengajar saya tentang konsep kesejagatan Islam dengan memetik ayat al-Quran dalam surah Ar-Rum, al-Hujurat, dan Hadis Nabi SAW, tentang kehebatan Allah SWT menjadikan manusia berbangsa-bangsa. Saya syorkan lagi supaya membaca buku Ibnu Khaldun bertajuk al-Muqaddimah, berkaitan dengan semangat cintakan bangsa.

Syor ini lakukan kerana cabang ilmu sangat luas. Tidak cukup sekadar memahami Islam dengan memahami kulitnya sahaja. Memetik ayat-ayat al-Quran dan Hadis, belum tentu boleh membuktikan kita ini hebat atau berilmu. Jika begitulah keadaan, ultra kiasulah yang paling cekap. Merekapun memetik ayat al-Quran dan mahu mengikut Umar Abdul Aziz. Sebagai umat Islam, sepatutnya kita perlu memahami ilmu-ilmu Islam hingga ke akar umbi, walaupun mungkin, kita bukan berlatar belakangkan pengajian Islam. Saya bukanlah ustaz, tetapi saya cuba menjadi ustaz.

Saya menjelaskan dalam ucapan tersebut, apabila berlaku pertembungan antara kepentingan bangsa dengan kepentingan agama. Maka kepentingan agama Islam mesti diutamakan berbanding kepentingan bangsa. Allah SWT tidak akan tanya, apakah bangsa kamu di alam kubur nanti. Tetapi yang akan ditanya adalah apakah agama kamu? Pada saya, persoalan bangsa sudah tidak menjadi penting apabila berlaku pertembungan dengan agama.

Persoalan besar yang saya ketengahkan adalah soal agama Islam, yang mesti dipertahankan daripada diinjak-injak oleh orang lain. Secara kebetulan, agama Islam itu dianuti oleh semua Melayu kerana dalam konteks perlembagaan, semua Melayu itu beragama Islam. Tidakkah menjadi kewajipan kepada kita mempertahankan mereka yang beragama Islam, selagi mereka berada di landasan yang betul.

Sepanjang kajian saya, dengan Islam yang menjadi anutan orang Melayu, orang Melayu menjadi satu bangsa yang begitu bertoleransi berbanding dengan bangsa lain, termasuk bangsa saya sendiri, yang sebahagian bersifat ultra kiasu. Orang Melayu sanggup korbankan kepentingan mereka, demi meraikan orang lain.

Misalnya, dalam bidang pendidikan negara. Tidak ada sekolah Melayu, tetapi ada sekolah berasaskan bangsa lain. Orang Melayu begitu berlapang dada menerima sistem pendidikan bukan Melayu. Persoalannya, kenapa terlalu sukar untuk orang bukan Melayu menerima pendidikan Islam, institusi seperti MARA dan lain-lain berkaitan dengan Islam dan Melayu. Apa jua perkara berkaitan dengan Islam ditentang habis-habis. Sehingga orang Islam tidak dapat mengisytiharkan atau melaksanakan hukum Islam di negaranya sendiri.

Kita semua sedia maklumkan, setiap negara ada sejarah asal usul tuannya. Negara China membentuk ketuanan Cina, negara India membentuk ketuanan India, negara Arab membentuk ketuanan Arab, dan lain-lain. Tetapi negara Melayu tidak membentuk ketuanan Melayu. Yang ada hanya slogan sahaja. Identiti Melayu Islam semakin lama semakin terhakis. Jika tidak dipertahankan, ia akan hilang secara perlahan-lahan akibat desakan dan tuntutan bukan Melayu ultra kiasu yang begitu ekstrem.

Saya tidak kata mempertahankan Melayu yang melakukan kejahatan atau mengengkari hukum Allah SWT. Orang Melayu yang derhaka kepada Allah SWT tidak wajar dibela. Pendirian saya dalam soal ini amat jelas. Saya tidak faham kenapa Zan Azlee begitu keliru. Jika tidak faham konteks dan keutamaan, tanyalah saya. Itulah sikap anak muda yang sebenar. Bukan mahu menunjukkan pandai, wal hal sebenarnya tidak.

Rasulullah SAW adalah contoh individu yang terlalu sayangkan tanahair, kota kelahirannya. Baginda menitiskan air mata apabila meninggalkan kota tanahairnya semasa berhijrah ke Madinah. Nabi Ibrahim pernah berdoa untuk negeri Mekah dengan doanya di dalam surah Al Baqarah “Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini aman makmur”. Cendekiawan Islam,Yusuf al Qardhawi pernah menyebut: “Bagaimanakah kita hendak mempertikaikan kecintaan kepada negara sedangkan Nabi SAW sewaktu keluar berhijrah daripada Mekah, Baginda berkata kepada kota Mekah: “Sesungguhnya kamu adalah tanah Allah yang paling aku cintai, kalaulah bukan kerana pendudukmu mengeluarkanku daripadanya, nescaya aku tidak akan keluar daripadanya”. Apabila sebahagian sahabat menyebutkan tentang Mekah sewaktu mereka di Madinah, tergelenang air mata Rasulullah dan Baginda bersabda: “Biarkanlah hati ini memperakuinya”. Begitulah semangat cintakan negara dan bangsa kerana agama yang diungkapkan oleh Junjungan besar kita.

Justeru, anak muda seperti Zan Azlee perlu banyak membaca dan menambah ilmu tentang keutamaan dan prioriti, terutama apabila berlaku pertembungan sebegini. Zan Azlee dan saya tidak sebangsa, tetapi seagama. Mengikut kaedah, jika sesuatu berlaku kepada Zan Azlee, saya terpaksa mendahulukan saudara dahulu kerana saudara dengan saya seagama, walaupun tidak sebangsa. Saya terpaksa tinggalkan bangsa saya buat seketika.

Lainlah jika saudara hanya Islam pada kulit sahaja. Pada ketika itu saya perlulah mendahului bangsa saya yang lebih simpati kepada Islam daripada diri saudara sendiri, walaupun kita seagama. Ini kerana, belum tentu menyelamatkan saudara dapat menyelamat Islam. Tetapi dengan menyelamat bangsa saya yang bersimpati dengan Islam, saya yakin lama kelamaan dia akan memeluk Islam. Mengikut pengalaman, kadangkala menyelamatkan orang Islam yang tidak jelas Islamnya, boleh menjadi beban kepada Islam. Apatah lagi jika mereka terdiri dari kalangan yang bermuka-muka atau munafik. Saya harap Zan Azlee faham respon ringkas ini.

Monday, July 23, 2012

Undang-undang lapok ada baiknya

6:47 AM Posted by RIDHUAN TEE 31 comments

(Sinar Harian 23 Jul 2012)

Artikel saya dalam sinar harian minggu lalu seolah-olah ada pertembungan. Peguam muda dalam kolum di bawah artikel saya mahukan undang-undang lapok tinggalan penjajah dihapuskan. Manakala, saya berpandangan, perlu ada pengganti kepada undang-undang tersebut, sebelum ianya dihapuskan, bagi mengelakkan vakum.  

Perlu ditegaskan, tidak semua undang-undang tinggalan penjajah itu lapok. Masih ada undang-undang yang masih relevan, termasuk perkara yang dibahaskan minggu lalu, mengenai ISA dan Akta Hasutan. Saya tidak nafikan bersifat agak negatif. Namun, adalah tidak wajar melihat sesuatu yang negatif dari perspektif negatif semata-mata.

Kadangkala kita perlu lihat sesuatu yang negatif dari perspektif yang positif. Begitulah sebaliknya, melihat sesuatu yang positif dari perspektif  yang negatif. Baharu kita akan lebih terbuka dan menjadi lebih berlapang dada.

Analogi saya begini. Makan babi itu adalah haram (negatif). Cuba lihat dari sudut positif kenapa pengharaman itu dibuat. Mesti ada kebaikannya, walaupun daging babi itu adalah antara daging yang paling sedap. Ingat! jangan pula ada umat Islam yang ingin merasanya. Saya hanya mencurahkan pengalaman sahaja. Begitu juga zina, seks bebas dan lain-lain itu, adalah sesuatu yang sedap dan nikmat atau boleh dikira sebagai positif. Lihat pula dari sudut implikasi negatifnya.

Analogi lain, sistem komunis yang terlalu mengongkong itu negatif. Cuba lihat dari sudut yang positif, bagaimana kerajaan China berjaya mengamalkan sistem ini. Ada teori mengatakan, untuk memerintah negara yang besar seperti ini memerlukan kepada sistem kuku besi, berbanding sistem demokrasi.   

Begitu juga dalam sistem demokrasi, kebebasan yang menjadi teras demokrasi itu adalah positif. Cuba lihat daripada sudut negative. Kehancuran sedang berlaku dalam masyarakat barat hari ini, akibat terlalu bebas, termasuk negara kita. Kita tidak boleh terima semua kebebasan atas nama demokrasi, seperti untuk menghalalkan LGBT.

Sebab itulah, Islam datang sebagai penyelamat dengan sistemnya sendiri. Sistem Islam menggabungkan kedua-dua isme-isme tersebut. Dalam Islam, ada kebebasan dan ada kongkongan atau paksaan. Begitu hebatnya agama Islam yang diturunkan oleh Allah SWT. Jika demokrasi meletakkan kebebasan itu segala-galanya, maka kebebasan dalam Islam ada batasnya. Kebebasan jangan sampai melanggar suruhan dan larangan Allah SWT.

Begitu juga dalam konteks kongkongan dan paksaan. Ia boleh dilakukan demi menyelamatkan manusia daripada azab Allah SWT. Kebebasan dan ketaatan mestilah berteraskan kepada al-Quran dan Hadis. Misalnya, sempena dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, bolehkah mereka yang tidak berpuasa dengan sengaja dihukum? Jawabnya, sudah tentu boleh! demi untuk menyelamatkannya. Namun, peringatan dan proses tarbiyyah berjalan terlebih dahulu.

Mungkin ada yang beranggapan berpuasa itu adalah sesuatu yang negatif kerana terpaksa meninggalkan makan dan minum. Lihatlah dari sudut yang positif. Nikmatnya mereka yang berpuasa dan ganjaran yang akan diperolehi. Sebab itu, adalah tidak wajar melihat sesuatu yang negatif dengan kaca mata negatif sahaja. Begitu juga perkara yang positif dengan kaca mata positif sahaja. 

Negara kita bernasib baik, kerana penjajah British meletakkan kedudukan Islam di tempat yang tinggi dalam perlembagaan. Bayangkan jika kedudukan dan keistimewaan Islam tidak ada langsung dalam perlembagaan, apakah akan terjadi dengan umat Islam (orang Melayu) di negara kita? Bandingkan dengan negara Indonesia, kedudukan Islam, langsung tidak terdarjat. Akhirnya, negara yang seratus peratus Islam, hari ini semakin berkurang dan berkurang. Tidak mustahil suatu hari nanti, jumlahnya akan terus menurun.

Sama juga peruntukan perlembagaan membenarkan umat Islam menggunakan dana negara bagi membina rumah ibadat, institusi Islam, menyebarkan syiar Islam dan sebagainya. Jika ditakdirkan peruntukan ini tidak ada, apakah akan jadi dengan kedudukan Islam. Berapa masjid atau surau yang boleh atau mampu kita bina dalam keadaan umat Islam tidak ada kekuatan ekonomi? Saya tidak nafikan ada juga dermawan yang membantu membina masjid dan surau, tetapi bilangannya masih sedikit.

Itupun dalam keadaan adanya peruntukan ini, rumah ibadat bukan Islam terus tumbuh seperti cendawan selepas hujan banyaknya berbanding dengan rumah ibadat umat Islam. Walaupun peruntukan itu ada, tetapi kita masih tidak menggunakan sepenuhnya atas nama toleransi dalam masyarakat berbilang kaum.

Keadaan menjadi lebih gawat, apabila hari ini orang bukan Islam turut menuntut peruntukan pembinaan rumah ibadat daripada kerajaan. Mungkin ada yang akan berhujah, mereka perlu dibantu kerana Islam membenarkannya. Benar, kita perlu bantu. Tetapi jika tidak bantu sekalipun, tidak salah, kerana ia tidak termaktub dalam perlembagaan. Namun, atas nama Islam dan toleransi, kerajaan terus membantu.

Begitu juga kedudukan hak istimewa orang Melayu. Bayangkan jika peruntukan ini tidak ada. Apakah akan terjadi kepada orang Melayu? Dalam keadaan peruntukan ini sedia adapun, kedudukan orang Melayu masih lagi tidak terdarjat.

Setelah timbang tara, ada juga baiknya penjajah ini. Sebelum meninggalkan negara ini, mereka sediakan sesuatu yang berpihak kepada Islam dan orang Islam. Kedudukan dan keistimewaan ini dilindungi melalui akta-kata yang dikatakan lapok itu.

Sebab itu janganlah dengan mudah mengatakan sesuatu itu telah lapok, kerana tidak semestinya yang lapok itu tidak berguna. Saya masih teringat kepada pepatah Melayu, tak ada rotan, akar pun jadi. Hari ini, dalam keadaan semuanya itu sudah termaktub dalam perlembagaan dan ada undang-undang untuk mengawal, kedudukan istimewa itu masih lagi dipermainkan. Bayangkan jika perkara ini tidak disebutkan langsung. Apa yang telah dan akan terjadi? Justeru, janganlah terlalu terburu-buru melihat sesuatu perkara itu lapok kerana ia mungkin berguna dalam keadaan tertentu.

Sunday, July 15, 2012

Bahaya apabila wujud vacuum

9:39 PM Posted by RIDHUAN TEE 28 comments

(Sinar Harian 16 Julai 2012)

Kejadian amuk di hadapan pejabat Perdana Menteri perlu diberikan perhatian serius. Adalah sesuatu yang malang, jika ia ada kaitannya dengan ajaran sesat atau ekstremis agama. Tercalar lagi imej Islam.

Belumpun reda insiden tersebut, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menguatkuasakan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional, yang masih belum digubal. Turut dikuatkuasakan serta-merta adalah pindaan terhadap akta-akta sedia ada yang berkaitan termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Sepatutnya, sebelum sesuatu akta itu dimansuhkan, perlu ada akta baharu yang telah digubal  untuk menggantikannya, supaya tidak wujud ruang kekosongan atau vacuum. Jika akta yang menggantikannya masih belum digubal, akta yang sedia ada sepatutnya tidak dimansuhkan terlebih dahulu. Akta ini masih boleh dikuatkuasakan sehinggalah menunggu akta baharu menggantikannya, termasuklah mendapatkan input rakyat. Perkara ini penting untuk mengelakkan vacuum.

Inilah yang berlaku ketika Jepun menyerahkan kalah, meninggalkan Tanah Melayu, secara tiba-tiba, akibat pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada 1945, dalam Perang Dunia Kedua. Vacuum selama 14 hari telah menyebabkan komunis bermahajarajalela. Ramai orang awam yang tidak berdosa, terutama orang Melayu yang telah menjadi korban. Komunis membalas dendam terhadap orang Melayu kerana berbaik dengan Jepun. Peristiwa ini sebenarnya lebih dahsyat daripada peristiwa 13 Mei 1969. Namun, ia tidak diwar-warkan, atas dasar untuk menjaga hati kaum tertentu. Nasib baiklah British sampai selepas 14 hari tempoh vacuum tersebut. Jika tidak, negara ini sudah menjadi negara komunis.

Sejak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, sementara menunggu akta baharu, vacuum telah wujud. Kumpulan pelampau dan mereka yang mengambil kesempatan semakin subur, sama ada kalangan orang Islam atau bukan Islam. Keadaan ini sudah tentu membahayakan keselamatan negara.

Saya tidaklah menyokong ISA dan akta-kata yang disebutkan sepenuhnya. Perlu kepada penambaikan supaya tidak berlaku penganiayaan. Prinsip asas deklarasi hak asasi manusia sejagat perlu dipatuhi. Sesiapa saja yang ditahan atau dituduh bersalah, mestilah dibuktikan. Bersesuaian dengan kata-kata, seseorang yang dituduhkan itu tidak bersalah, sehingga dibuktikan bersalah.

Namun, menghapuskan undang-undang sedia ada sehingga mewujudkan vacuum, agak kurang wajar. Masa depan negara perlu difikirkan sama. Kumpulan-kumpulan yang mengambil kesempatan sedang bermaharajalela. Hari ini, kita lihat, di alam siber dan ceramah-ceramah, dengan mudah sahaja perkara-perkara sensitif dibangkitkan. Misalnya, menghina kedudukan Islam, raja-raja Melayu, bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan lain-lain yang tergolong dalam akta hasutan. Lebih-lebih lagi, kemunculan kumpulan-kumpulan tertentu yang mahu mengguling kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam yang dikatakan sebagai thaughut. Thaughut disamakan dengan kafir. Maka berlakulah kafir-mengkafir. Siapakah kita untuk mengkafirkan mereka yang masih berpegang kepada syahadah? Apakah kita yang suka mengkafirkan orang ini sudah tentu masuk syurga?

Islam menolak kegiatan pelampau dan ekstremis. Imam Ahmad meriwayatkan, “jauhilah melampau dalam agama. Sesungguhnya rosaknya orang-orang sebelum kamu kerana melampau dalam agama”.

Abu Hurairah pula meriwayatkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya agama ini mudah. Tiada seseorang yang mempersulitkannya melainkan dikalahkannya, maka laksanakanlah dengan benar...” (Riwayat Bukhari dan Nasaai). Kita sepatutnya menggunakan ruang dan peluang untuk berdakwah dan menyampaikan Islam kepada golongan sasaran. Kerana itulah perintah yang sebenar. Saya yakin, umat Islam akan menjadi kuat.

Perintah berdakwah secara bijaksana dan berhikmah dengan jelas disebut dalam al-Quran yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik, sesungguhnya Tuhanmu dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk”.(Surah an-Nahl 125)

Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah berpendapat, antara punca kerosakan umat Islam adalah mereka terperangkap dengan pendapat orang perseorangan, dan tidak berganjak mengambil ilmu atau kebenaran mazhab yang lain. Pendapat ulamak diketepikan, kerana fanatik kepada pemimpin sendiri. Ulamak diperlekehkan kerana tidak memberikan pendapat yang benar dan takut kepada pemerintah thaughut.

Golongan ini lebih terpengaruh kepada mereka yang mendapat pendidikan dari barat, yang dikatakan lebih memahami al-Quran dan Hadis. Syaikh Bakr bin Abdillah Abu Zaid menjelaskan inilah bahayanya apabila kita terlalu taksub kepada sesuatu parti atau golongan. Mereka mengikat wala dan bara atau menyenangi dan membenci orang, kerana parti atau golongan. Akhirnya, orang yang tidak berdosa menjadi mangsa.

Biasanya, sesebuah pertubuhan ditubuhkan dengan tujuan murni untuk mentauhidkan Allah SWT. Namun, ia mula berubah dari matlamat asal, hanya kerana ingin menyaingi pertubuhan yang lain. Dakwah yang dilakukan tidak lagi berasaskan tauhid, tetapi dibangunkan atas dasar pola berfikir dan perancangan kumpulannya.

Ketahuilah umatku, perpecahan umat hari ini merupakan ujian bagi orang yang beriman. Sepatutnya kita memilih jalan yang benar dan meninggalkan kelompok yang tersasar. Fikirkanlah masa depan Islam dan umat Islam segala keseluruhan.

Kembalilah kepada al-Quran dan as-Sunnah apabila berlaku kekeliruan atau perselisihan, bukan saling tuduh-menuduh atau kafir-mengkafir. Sabda Rasulullah SAW: “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya iaitu kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya” (Hadis Riwayat Imam Malik). Saya tidak nampak perpecahan itu suatu rahmat dalam keadaan kita begitu lemah pada hari ini. Maka fikirkanlah vacuum yang telah dibincangkan.

Sunday, July 08, 2012

Mencari identiti bangsa Malaysia

9:42 PM Posted by RIDHUAN TEE 52 comments

 (Sinar Harian 9 Jul 2012)

Ada orang bertanya, kenapa bukan Melayu di Malaysia lebih Cina daripada orang Cina di negeri China atau lebih India dari orang India di India? Sehinggakan orang Cina di China (India di India) yang berkahwin dengan orang Cina (India) Malaysia pun menggeleng kepala melihat gelagat mereka di sini, terlalu ultra kiasu. Saya katakan, tidak semua bukan Melayu  sebegitu. Produk Cina (India) aliran sekolah kebangsaan kurang kiasunya berbanding dengan produk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC/T, SMJKC dan IPTS) yang kebanyakannya ultra kiasu dalam tindakan. Pokoknya, mereka perlu bercampur.

Malangnya, masih ramai yang tidak bercampur, tidak dapat menguasai dan menghayati agenda kebangsaan, misalnya bahasa kebangsaan, seperti generasi pertama. Sedangkan hari ini rata-rata terdiri daripada generasi kedua dan ketiga. Persoalannya, kenapa terlalu sukar untuk ‘mengasimilasikan’ diri (bercampur)? Wujudkah bangsa Malaysia sebagaimana yang diwar-warkan?

Sebenarnya tidak! Ini kerana, setiap bangsa memperjuangkan agenda masing-masing dengan begitu ultra sama seperti generasi pertama. Semuanya berpunca daripada kesengajaan tidak mahu memahami sejarah dan mempergunakan kebebasan yang diberikan.

Terus terang, walau pun di negara ini mempunyai aliran agama, aliran ini jauh lebih terbuka berbanding dengan aliran jenis kebangsaan yang terlalu menekankan agenda bangsa berbanding agenda negara, sehingga kita tidak tahu apakah identiti mereka yang sebenar. Nak dikatakan sama seperti negara asal, tidak juga. Sebab orang Cina/India) di China/India tidaklah seultra Cina/India di sini. Orang Cina di China masih lagi terbuka, walaupun berada dalam pemerintahan komunis.

Lebih malang lagi apabila sikap ultra kiasu ini telah diadunkan dengan satu lagi pemikiran yang disebut sebagai Asian Settler Colonialism (ASC) yang diwarisi daripada generasi pertama. Pemikiran ASC mengambil kira apa yang berlaku di Hawai’i yang berkait rapat dengan penghijrah dan peneroka. Tidak semua pendatang adalah peneroka. Adakalanya peneroka datang untuk tinggal, dan mengasas politik mereka menjadi bangsa yang berdaulat. Tidak berlaku penjajahan secara langsung. Tetapi mereka berstrategi mahukan kaum asal lenyap. Jika tidak lenyap, mereka akan menggunakan tenaga pekerja mereka sebelum mereka dilenyapkan. Jika ada kekuatan mereka akan menguasai bangsa asal itu. Keadaan inilah sedang berlaku di Singapura dan Pulau Pinang.

Orang bukan Melayu begitu sukar untuk menerima institusi Islam atau bumiputera seperti sekolah agama, matrikulasi dan institusi MARA. Sedangkan secara umumnya boleh dikatakan orang Melayu, sama lulusan sekolah agama atau MARA, tidak ada masalah untuk menerima institusi-institusi perkauman bukan Melayu, seperti sekolah jenis kebangsaan dan pertubuhan perkauman yang lain. Kenapa boleh jadi begini? Di manakah identiti bangsa Malaysia sebenarnya?

Kenapa pemikiran ultra kiasu dan ASC terus membelenggu kehidupan rakyat hari ini? Kenapa perkara-perkara yang sudah jelas termaktub dalam perlembagaan tidak mahu disetujui? Sedangkan umat Islam cukup bertoleransi dengan kehendak orang lain?

Identiti apakah yang kita bawa? Mereka seolah-olah berada dalam kelompok sendiri. Tidak bercampur. Hidup dalam tempurung sendiri.  Hujah ini diperkukuhkan lagi apabila cerdik pandai bukan Melayu apabila menulis, membentang kertas kerja atau ceramah, bersastera, berdrama, sukar sekali untuk mendengar hujah mereka dikaitkan dengan sejarah Tanah Melayu. Mereka  sanggup mengorek sejarah negara lain sebagai bukti,tetapi terlalu sukar merujuk sejarah Tanah Melayu.

Sering kedengaran, mereka menggunakan hujah-hujah logik akal semata-mata, terutama merujuk kepada hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Rata-rata kedengaran mereka mahukan layanan sama rata dan sama rasa atau fair and square. Sebarang diskriminasi akan ditentang habis-habisan tanpa mahu berpaling melihat kepada sejarah negara. Apakah formula sama rata dan sama rasa ini tidak perlu bertunjangkan sejarah dan perlembagaan?

Sesiapa sahaja yang menggunakan hujah sejarah dan perlembagaan akan ditolak walaupun sebangsa, misalnya orang-orang seperti Khoo Kay Kim dan Teoh Kok Seong. Sudah tentu termasuk saya. Kami dilabelkan sebagai pengkhianat bangsa.

Jenis apakah bukan Melayu yang sedang dilahirkan di Malaysia ini? Apa jua agenda nasional yang menggugat kononnya dikatakan hak bangsa, akan ditentang habis-habisan. Mereka akan berhimpun dan berdemonstrasi untuk menunjukkan kekuatan mereka. Kelompok ini juga sudah tidak diterima pun jika mahu berhijrah ke tempat asalnya.

Sedangkan permintaan dan desakan mereka telahpun dipenuhi, walaupun tidak sepenuhnya. Sudah tentulah menjadi kesukaran kepada kerajaan untuk memberi sepenuhnya. Pemikiran ASC dan ultra kiasu ini mesti diubah dalam pembinaan sebuah negara bangsa. Jika tidak, negara ini tidak akan  ke mana-mana. Kita akan banyak membuang masa melayan kerenah itu dan kerenah ini terutama apabila menjelang pilihan raya.

Apabila ia diberikan, sudah tentu akan menjadi precedence. Apabila sudah menjadi precedence. Pemikiran ini tidak berkurang, malahan terus bertambah dan bercambah. Apa yang membimbangkan jika sikap ultra kiasu dan ASC ini terus bersarang dalam pemikiran dan diterjemahkan dalam bentuk realiti, sudah tentu orang Melayu selaku penduduk tidak akan berdiam. Pasti akan berlakunya pertembungan yang tidak dapat dielakkan.

Dalam menyelesaikan masalah ini seperti yang dikatakan oleh Yuri Kochiyama (2008), aktivis hak asasi manusia,  “When Native Hawaiian activists lash out against Asian settler colonialism, we must remember what Malcolm X said: ‘The conditions that our people suffer are extreme, and an extreme illness cannot be cured with moderate medicine”.

Mungkin ada selepas ini ada yang akan membanding tidakkah produk-produk Sekolah Agama atau institusi bumiputera seperti Matrikulasi, MARA dan UiTM juga mempunyai pemikiran sebegini? Apakah dalam pemikiran mereka tidak ada ASC dan ultra kiasu? Jawapannya, ada.Tetapi sifat umat Islam ini dibendung oleh kesejagatan agama Islam yang meraikan orang lain.

Sunday, July 01, 2012

Jauhi sifat fanatik dan taksub

9:52 PM Posted by RIDHUAN TEE 77 comments

(Sinar Harian 2 Julai 2012)

Pada 24 Jun 2012, dengan niat baik, saya menerima jemputan menjadi tetamu dan panel Wacana Perdana PRU 13: Masa depan Islam, anjuran Kerajaan negeri Kelantan, bersama dengan panel gandingan  lain Dr Fadzli (exco Kerajaan Negeri Kelantan), Ustaz Fathul Bari (ulamak muda Umno), dan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, dipengerusikan Amin Idris (TV9). Apa yang mengejutkan adalah tingkah laku sebahagian peserta yang hadir membanjiri Balai Islam, Kota Bharu.

Tingkah laku mereka yang bersorak, menjerit-jerit, mengejek, tidak meraikan perbezaan dan sebagainya, langsung tidak mencerminkan akhlak Islam. Begitu mengejutkan! mengalahkan wacana bukan Islam yang pernah saya hadiri. Inikah yang dikatakan rakyat Serambi Mekah? Hilang sudahkah ajaran ‘tok guru’ yang selama ini mereka pelajari? Saya dan Fathul Bari, seolah-olah tidak diberikan ruang untuk berhujah. Mereka tidak dapat menerima perbezaan pendapat. Sedangkan kami hanya berkata benar. Isu partisan langsung tidak dibangkitkan, kecuali Dr Fadzli.  

Apakah ini dinamakan fanatik atau taksub sehingga menyangkakan mereka yang betul, orang lain salah? Fanatik bermakna sikap yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian yang biasanya berkaitan dengan keagamaan. Tidakkah kita sepatutnya berlapang dada dan fikiran serta sabar yakni tasamuh atau bertoleransi?

Beberapa saya ingatkan, apabila berhujah, bincangkan apa yang betul, apa yang salah kerana itu akan membawa kebaikan dan meningkatkan minda. Bukannya menuding jari siapa betul, siapa salah, kerana ia hanya akan mengkerdilkan minda.

Ingatlah wahai umatku! sikap fanatik dan taksub adalah dilarang oleh Allah S.W.T. terhadap umat yang dahulu seperti yang ditujukan khas kepada Ahli Kitab. FirmanNya yang bermaksud:
"Katakanlah, "Wahai Ahli Kitab! janganlah kamu melampau-lampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul". (Surah al-Ma'idah:77)

Saya lihat sebahagian besar mereka yang hadir teramat taksub dan fanatik kepada pendapat sendiri, mahu pun guru atau kumpulan mereka. Perbuatan mereka begitu melampau. Kejumudan pemikiran mereka begitu terserlah.  Kebekuan pemikiran mereka tidak mampu untuk berbincang bagi membandingkan pendapat sendiri dengan pendapat orang lain, terutama dalam mengambil pendapat yang lebih kuat dalil dan alasannya.

Menurut Mohammad Kamil Majid (2011), taksub dan fanatik adalah sikap yang menutup pintu bagi pandangan lain yang berbeza dan berusaha untuk menidakkannya. Sikap ini adalah pembawaan yang memandang bahawa hanya diri sendiri atau kumpulannya sahaja yang betul. Malah secara berani menuduh orang yang berlainan pendapat dengannya sebagai jahil, bodoh, fasiq dan derhaka. Ia seolah-olah menjadikan diri sendiri sebagai nabi yang maksum dan perkataannya sebagai firman yang diturunkan. Sikap taksub dan fanatik ini dikutuk kerana, ia mahu mengikat orang lain dengannya dan menafikan peranan orang lain. Justeru itu, mana-mana orang atau kumpulan yang taksub dan fanatik tidak mungkin bertemu dengan pihak lain. Keadaan akan menjadi lebih buruk, apabila ia mahu mewajibkan pandangannya ke atas orang lain dengan kekerasan seperti mengutuk dan menuduh orang lain melakukan tidak betul, bidaah, kufur dan keluar dari agama.

Fenomena ketaksuban juga boleh berlaku apabila ada golongan yang mengkafirkan masyarakat secara menyeluruh, kecuali mereka yang berpegang kepada prinsip mereka atau menganggotai jemaah mereka sahaja. Ketaksuban ini boleh membawa kepada menghalalkan darah dan harta orang yang di luar jamaah, kerana telah dianggap murtad dan kufur. Golongan melampau juga akan memperlihatkan sikap pra-sangka buruk kepada pihak lain. Lebih banyak menuduh dan menghukum dari memberi nasihat dan pengajaran. Kekerasan bersenjata mungkin digunakan terhadap perkara yang mereka anggap batil. Selalunya ia ditujukan kepada pemerintah yang tidak melaksanakan hukum seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT atau menangguhkan pelaksanaan syariat dan menggantikannya dengan hukuman ciptaan manusia. Golongan ini akan melancarkan jihad terhadap sesiapa yang enggan menunaikan hukum Islam (Mohammad Kamil, 2011).

Pada saya, inilah sebenarnya yang menjadi punca kemunduran umat Islam ialah kerana salah faham umat Islam terhadap akidah mereka. Dalam hal ini, bukan akidah itu yang salah, tetapi cara memahami akidah itu yang salah. Di manakah sikap kesederhaaan (berimbang) atau wasatiyyah yang sepatutnya menjadi pegangan kita semua? Lebih menyedihkan lagi, mereka bersorak dan mengejek-ngejek ketika ayat-ayat Quran dan Hadis dibacakan.

Maka benarlah kata-kata Syaikh Al-Albani yang mengatakan, umat Islam masa kini, semakin jauh tersasar. Mereka hanya berpegang kepada pendapat pemimpin mereka. Tatkala terjadi perselisihan, pendirian mereka pada dasarnya kembali kepada pemimpin mereka, jika ada ayat yang sesuai, mereka ambil, jika tidak, mereka sisihkan.

Saya ingatkan pimpinan negeri Kelantan, sebagai pemimpin umat Islam hari ini, hendaklah berhati-hati dalam memimpin anak buahnya agar jangan sampai menjadi penyebab kerosakan umat. Mereka hendaklah takut kepada Allah SWT. Bacalah surah Ibrahim : 21-22, Al-Ghafir : 47-48, dan As-Saba’ : 31-33. Mudah-mudahan Allah SWT memberi petunjuk kepada kita semua, menjadi pemimpin yang mengajak umat ke jalan benar dan hak, bukannya batil.

Bagaimanakah kita sebagai satu umat itu boleh maju ke hadapan, apa tah lagi boleh memimpin umat Islam, jika kita asyik berpecah belah sesama sendiri? Saling bermusuhan dalam perkara titik bengik dan hilang pertimbangan, kerana rasa fanatik dan taksub kepada pegangan dan ajaran masing-masing.

Kenapa dengan bukan Islam kita begitu berlembut, sedangkan sudah jelas mereka menentang Islam? Apakah kita menjangka mereka akan memeluk Islam dengan menggadaikan prinsip dan maruah? Tidakkah boleh dibezakan antara kafir harbi dan kafir zimmi?

Saya masih ingat ketika mengikuti kuliah-kuliah Pas dahulu, bertepuk tangan itu dalam majlis seolah-olah haram. Hari ini mereka terlebih bertepuk daripada Umno sendiri.  Apakah makna semua ini? Itupun mereka masih terus menuding jari kepada Umno tanpa mahu muhasabah kepada diri sendiri?

Kesimpulannya, mereka yang saya perkatakan ini sebenarnya keliru dan tidak boleh membezakan antara tugas pemerintah dengan tugas individu atau rakyat marhaen. Mereka tidak dapat membezakan antara ajaran tok guru dengan ajaran Islam yang sebenar. Semua yang dilakukan oleh tok guru, seolah-olah maksum.

Saidina Abu Bakar RA memerangi orang yang tidak membayar zakat dan murtad adalah sebagai menjalankan tugas sebagai pemerintah. Pada peringkat individu, mereka sepatutnya melakukan amar maaruf nahi mungkar. Mencegah kemungkaran dengan menggunakan kekuasaan tidak semestinya atas semua orang, tetapi bagi yang ada kuasa terhadap orang bawahannya. Begitulah dalam konteks negeri Kelantan.

Rakyat Kelantan mesti dididik untuk berlapang dada dan bersikap terbuka menerima orang lain dan perbezaan yang wujud. Kita tidak mahu mendengar lagi ada yang sanggup bakar stadium dan trak polis hanya kerana kalah dalam permainan bola sepak. Ini bukan lagi taksub tetapi telah diserang dengan virus Permanent Head Damage  (PHD). Tidak dinafikan saya agak sedikit beremosi ketika wacana itu, tetapi saya tidak berada dalam kelompok PHD.

Saya mungkin akan dikutuk dan diserang lagi selepas ini seperti yang dilakukan dalam you tube Wacana tersebut, yang sedang tersebar dan hangat diperkatakan. Tetapi saya mengambil sikap tidak kisah. Puak-puak fanatik dan taksub ini boleh berkata apa sahaja tentang diri saya. Saya tidak perduli apa yang manusia mahu kata. Saya lebih peduli kepada apa yang Allah kata.

Jika ada kesempatan, mungkin saya akan pergi lagi ke Kelantan, untuk melihat telatah-telatah PHD ini. Mudah-mudahan dengan tersiarnya artikel ini, pihak kepemimpinan negeri Kelantan akan mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengurangkan dan mengatasi masalah kefanatikan dan PHD di kalangan pengikut-pengikutnya.

Jika tidak, tag line “membangunkan bersama Islam” yang menjadi pegangannya, hanya akan tinggal menjadi kata-kata yang enak didengar, tetapi tidak ke mana-mana. Pakailah serban dan kopiah sebesar manapun, tidak ada maknanya, jika akhlak kita tidak mencerminkan sunnah yang sebenar. Pendek kata, jika kita ingin membangun bersama Islam, pastikan di dalam kopiah dan serban itu tidak bersarang PHD. Jauhilah sifat fanatik dan taksub.

Sunday, June 24, 2012

Pemberian belum tentu dibalas

8:04 PM Posted by RIDHUAN TEE 98 comments

(Sinar Harian 25 Jun 2012)

Semakin dekat tarikh pilihan raya, kemunculan ultra kiasu semakin ramai. Tuntutan demi tuntutan yang tidak munasabah semakin banyak dikemukakan. Sama ada logik atau tidak, berpaksi kepada undang-undang atau tidak, mengambil kira roh perlembagaan atau tidak, semua sudah tidak penting lagi. Strategi dan perancangan mesti dimuktamadkan. Tuntut dan desak seekstrem-ekstremnya. Dapatkan sebanyak yang mungkin. Kesempatan keemasan ini mungkin tidak datang dua kali. Sikap ultra kiasu sudah berjangkit kepada orang lain ibarat teori domino.

Malangnya, kita asyik melayan. Apa yang diberi akan menjadi precedence. Apabila sudah ada precedence, mudahlah segala kerja pada masa akan datang. Masalahnya, belum tentu segala yang diberikan akan dibalas. Saya amat bimbang, apabila segalanya telah diberikan, Barisan Nasional (BN) pun tumbang dalam pilihan raya. Selepas itu, Pakatan Rakyat (PR) pula memerintah. Sudah tentu PR akan memberi lebih banyak lagi, bagi mengekalkan kuasa.

Maka, tidak hairanlah jika ultra kiasu memberi lebih sedikit peruntukan kepada Islam dan institusi Islam di Pulau Pinang, berbanding zaman BN memerintah. Mereka terpaksa berpura-pura walaupun berat hati. Jika tidak, sudah tentu ultra kiasu tidak akan bertahan lama. Janganlah terlalu memuji bila mana ultra kiasu memberi bantuan kepada Islam. Mesti ada sebab musababnya.  

Malangnya hari ini, kita asyik melepas tali, akhirnya, agenda ultra kiasu menjadi semakin ultra, manakala agenda pribumi dan Islam entah ke mana. Fenomena sebegini hanya berlaku di negara kita. Di negara lain, mereka akan tegas dengan memperkasakan agenda nasional berbanding bangsa.

Saya terpaksa menulis demi kebaikan bersama, dan masa depan umat Islam. Seperti yang dikatakan oleh Tun Dr Mahathir bahawa sikap dan undang-undang yang terlalu longgar akan membawa kepada pembentukan ekstremisme. Sikap ultra kiasu akan semakin menjadi-jadi.

Terbaharu, Parti Progresif Rakyat (PPP) mahukan semua orang India yang lahir selepas merdeka diberi taraf bumiputera. Manakala, Dewan Perniagaan India mahukan 10 peratus kontrak Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kerajaan diberikan kepada mereka. Persoalannya, siapakah yang akan mengalah? Pembaca sudah tentu ada jawapan.

Sebelum itu, presiden MIC mahukan 10 peratus kuota pelajar India di Matrikulasi. Sedangkan populasi orang India hanya 7 peratus. Ultra kiasu tidak pernah berputus asas. Perbincangan dengan Kementerian Pelajaran bagi meningkatkan bilangan pelajar mereka mengikuti pengajian peringkat matrikulasi, bagi membolehkan lebih ramai daripada kaum tersebut menuntut di institusi pengajian tinggi awam terus dilakukan. Jika mereka benar-benar layak, saya masih bersedap hati.

Dalam isu pendidikan pula, presiden MIC berkata sebanyak 35 buah sekolah Tamil yang terletak di ladang Sime Darby di seluruh negara akan sama ada dipindahkan ke kawasan lebih sesuai atau menyaksikan pembinaan blok baru. Selangor menyaksikan jumlah sekolah terbanyak iaitu sebanyak 14 buah, diikuti  Johor (8 buah), Negeri Sembilan (empat), Kedah (tiga), Melaka (dua), Pahang (dua) dan Perak (dua). Mereka hanya mahukan satu, roboh mesti diganti. Yang sedia ada perlu diperbaharui dan ditambah? Isu sekolah ini turut dibawa bersekali dengan isu kuil kerana kedua-dua berada di tempat sama.

Peliknya, mereka menuntut sesuatu hak berasaskan kepada populasi atau bilangan. Kenapa dalam soal kuil tidak dihadkan kepada 7 sahaja mengikut keperluan. Lihatlah strategi mereka, yang lebih disenyapkan dan mahu ditambah lagi. Manakala, yang belum dapat, terus didesak agar diberikan.

Semua perkara ini seolah-olah telah dirancang dengan rapi, bezanya disuarakan oleh orang yang berlainan.

Lebih 70 peratus kekayaan ekonomi negara dikuasai oleh orang Cina dengan populasi mereka di sekitar 25 peratus. Jika semua dibuka kepada bukan Melayu, apa yang tinggal pada orang pribumi. Kenapa tidak dihadkan sahaja kepada 25 peratus. Selebihnya diberikan kepada yang lebih berhak. Inilah keunikan negara kita. Kita tidak mengamalkan dasar komunis. Tetapi kebebasan tanpa had atas nama demokrasi.

Begitu juga saya difahamkan orang kuat Air Asia mendapat lesen membina 20 sekolah antarabangsa (Sekolah Inggeris). Manakala orang Cina yang menuntut ditambah sekolah persendirian Cina tidak dibenarkan. Apa sebenarnya polisi atau pendirian kita? Isu kaum atau isu kelas? Saya semakin bercelaru melihat dan menganalisis pembentukan dan agenda negara Malaysia. Semuanya menjadi caca merba. Sekejap boleh, sekejap tidak boleh.

Jika inilah pembawaannya, sistem pendidikan kita tidak akan ke mana-mana. Menjeritlah sekuat mana sekalipun pejuang-pejuang bahasa. Kuasa mutlaknya bukan ditangan mereka. Tetapi di tangan ahli politik yang bertanggungjawab meluluskannya.

Terbaharu lagi, Kementerian Pengajian Tinggi telah meluluskan Southern College yang dipunyai oleh NGO Cina kepada Kolej Universiti, yang asalnya dahulu adalah sekolah persendirian sahaja. Banyak yang sedang menunggu untuk mendapatkan status Kolej Universiti, terutama Kolej New Era, di Kajang dan Kolej Han Chiang, Pulau Pinang.

Boleh dikatakan semua kolej Cina yang wujud ini berasal dari sekolah persendirian Cina. Apabila sekolah persendirian ini telah bertapak, maka berlakukan evolusinya. Kini mereka mahu sekolah sebegini ditambah lagi.

Persoalan saya, apakah prasyaratnya? Bahasa apa yang akan digunakan? Sebenarnya, inilah yang dikatakan universiti merdeka. Kita melewatkan pembinaan sekolah persendirian Cina. Tetapi apakah bezanya dengan kolej swasta yang telah diluluskan kepada taraf kolej universiti? Kolej New Era, sepanjang kajian saya beroperasi 100 peratus kecinaan. Bahasa rasminya adalah bahasa ibunda.

Kolej sebegini hanya akan dipenuhi oleh satu bangsa sahaja. Melihat kepada nama dan papan tanda kolej ini jelas menunjukkan bahawa bahasa kebangsaan langsung tidak didaulatkan. Sepatutnya setiap papan tanda, apa jua tanda nama, hendaklah didahului dengan jawi, bahasa roman dan diikuti dengan tulisan ibunda. Namun, keadaan semuanya sudah menjadi caca merba. Salah siapakah semua ini berlaku? Saya amat keliru dan terus keliru.

Sunday, June 17, 2012

Agenda ultra kiasu melalui makanan dan hiburan

10:21 PM Posted by RIDHUAN TEE 58 comments

(Sinar Harian 18 Jun 2012)

Seorang pembaca bernama Razali, meminta saya menulis mengenai agenda ultra kiasu melalui makanan, kerana mulai 1 Julai 2012, di bawah Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011 (APD2012), pengusaha yang tidak mempamerkan logo halal, yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan diberi amaran, sebelum tindakan denda dan penjara dikuatkuasakan.

Semua pihak maklum, banyak insiden yang disengajakan, telah berlaku seperti penemuan gelatin (minyak) babi, kaki katak dan sebagainya dalam makanan. Ini tidak termasuk soal sembelihan, halal haram dalam muamalat dan aspek kehidupan seharian lain. Sebenarnya, tajuk sebegini pernah saya kupas sebelum ini. Apakan daya, lebih 70 peratus pengeluar makanan adalah orang bukan Islam. Inilah akibatnya apabila umat Islam tidak menjadi pengeluar, semata-mata menjadi pengguna. Memang sukar untuk kita mendapatkan sumber dan makanan yang benar-benar halal jika umat Islam tidak menguasai ekonomi.

Ultra kiasu amat licik, untuk melariskan produk makanan mereka, berbagai strategi digunakan, termasuk memperalatkan atau memberi nama-nama berbunyi Melayu (Islam), mempergunakan pekerja Melayu (terutama Indonesia) dan sebagainya. Hak mereka sebagai seorang Islam, misalnya untuk bersolat, langsung tidak pedulikan. Pada mereka, solat merugikan perniagaan. Maka tidak hairanlah ramai pekerja-pekerja umat Islam sudah hilang jati diri, kerana hati mereka sudah mati, kerana semakin hari semakin berjauhan dengan Pencipta.

Lebih menyedihkan, ada beberapa kedai mamak telah dibeli mereka. Mereka masih mengekalkan nama-nama berunsur keMelayuan dan keIslaman untuk menarik pelanggan. Sedangkan makanan yang disaji belum pasti halal atau tidak. Mereka juga sanggup berkahwin dengan orang asli, untuk mendapatkan lesen, tanah dan sebagainya. Setelah semuanya didapati, habis manis, sepah dibuang. Apa yang tidak membawa hasil akan ditinggalkan. Sebab itu, saya mempertikaikan semangat patriotisme mereka.   

Saya tidak pasti apakah ramai yang buta hatinya ada kaitan dengan makanan yang tidak halal. Kadang kala saya merasa amat pelik, kedai makanan atau kopitiam mereka, bukanlah hebat sangat. Hanya kerana ada stail, bergaya, dan ada standard, kita sanggup duduk berjam-jam dalam kedai mereka menghabiskan wang ringgit.

Contohnya, kopitiam kopi putih bandar lama, masih ramai orang Islam yang makan di situ tanpa segan silu. Kopi putihnya tidaklah seberapa. Beli sahaja dikedai, minum di rumah bersama keluarga. Bukankah lebih baik? Kebetulan terbaca artikel Dr. Mark Hyman (7 Jan 2011), seorang pakar perubatan dan penulis hebat, makan minum di rumah boleh menyelamat dan memanjangkan nyawa berbanding makan di luar.

Kita selalu mengadu tidak banyak masa untuk memasak. Tetapi penyelidikan di Amerika membuktikan bahawa banyak masa dihabis dengan menonton rancangan memasak daripada memasak  untuk diri sendiri dan keluarga. Dalam siri Food Revolution, Jamie Oliver mengatakan,  kita sedang mendidik generasi akan datang yang tidak akan mengenal sayur, buah dan tidak tahu memasak. Katanya lagi, I believe the most important and the most powerful tool you have to change your health and the world is your fork.

Menurut Hyman, kanak-kanak yang mendapat makanan yang cukup bersama keluarga lebih berjaya atau mendapat keputusan baik di sekolah dan hubungan kekeluargaan lebih akrab. Selain itu, penyelidikan menunjukkan 42 peratus kurang berkemungkinan untuk minum arak, 50 peratus kurang merokok atau mengambil ganja, 66 peratus kurang merokok.

Untuk memulakannya, Hyman menasihatkan kita semua supaya masak dan makan di rumah dengan memeriahkan dapur. Penuhi dapur dan peti sejuk dengan buah-buahan tempatan dan makanan segar  dan mengurang makanan manis dan berlemak.

Makan di rumah sebenarnya amat dituntut oleh Islam, kerana di situ ada keberkatan. Bayangkan jika sambil memasak makanan berkhasiat kita berdoa dan berzikir. Tidakkah semua ini sudah cukup membuktikan kajian barat itu. Masalahnya kita tidak mahu lihat keberkatan itu. Kita lebih melihat glamour. Kita telah terperangkap dengan agenda ultra kiasu. Akhirnya hati menjadi hitam.

Saya menasihatkan umat Islam, jika teringin sangat untuk makan di luar, masih banyak lagi kedai orang Islam. Negara kita adalah syurga makanan. Carilah yang halal tanpa was-was. Dari segi kaedah, umat Islam perlu membantu sesama sendiri dahulu. Baharulah membantu orang lain. Ini tidak, saudara sendiri, entah ke mana. Bab orang lain begitu beriya-iya. Siapa yang salah sebenarnya? Kita juga. Kita tidak mempercayai sesama sendiri. Kita lebih mempercayai orang lain.

Sebelum ini kita biasa mendengar berita serbuan Jakim dan pihak berkuasa ke atas restoran yang menggunakan loga halal palsu, ramuan yang haram dan sebagainya. Tapi kebanyakan kita buat tidak kisah. Sedangkan kita tahu ini agenda ultra kiasu untuk mengaut keuntungan dan menghitamkan hati kita? Lebih menyedihkan jika ada pihak berkuasa yang melindunginya. Kita akan menyesalkan suatu hari nanti.

Ingatlah, pengusaha makanan ultra kiasu sanggup menggunakan taktik yang keji semata-mata untuk menjatuhkan perniagaan orang Islam. Penternak ayam ultra kiasu sanggup menurunkan harga ayam di bawah paras siling agar penternak ayam Islam mengalami kerugian dan tidak berupaya bersaing. Namun, apabila pengeluaran ayam berlebihan, penternak ayam ultra kiasu sanggup membakar anak-anak ayam hidup-hidup demi untuk mengawal harga.

Hari ini, ultra kiasu melancarkan kempen di alam maya untuk memboikot KFC (disebabkan insiden ultra kiasu kurang ajar) dan juga kempen memboikot roti Gardenia. Mereka sudah ada syarikat roti ultra kiasu. Bacalah dalam laman web, bagaimana kempen kotor ini berjalan. Sama juga dengan konsert nasyid yang melibatkan penyanyi antara bangsa yang akan berlangsung 16 Jun ini.  Semua sponsor konsert tersebut  terdiri dari syarikat Islam. Yang peliknya event managementnya adalah syarikat seratus peratus tidak Islam. Persoalan saya, tidak adakah orang Islam professional yang boleh menjadi event management, sehingga terpaksa mengambil ultra kiasu?