Monday, September 24, 2012

Fahami agenda jahat ultra kiasu



(Sinar Harian 24 Sept 2012)

Terbaharu, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikhism dan Taoism, mendesak kerajaan dengan idea gilanya, supaya mata pelajaran agama-agama lain, mengikut nama pertubuhan agama tersebut, turut dijadikan mata pelajaran wajib anak-anak mereka, selain daripada mata pelajaran agama Islam untuk pelajar Islam.

Dahulu, di waktu kecil, masih belum memeluk Islam, saya mengambil mata pelajaran agama Islam sebagai pilihan menggantikan lukisan. Hasilnya, saya lebih mengenali mulia ini selaku agama persekutuan, menjadikan saya lebih memahami orang Melayu Islam selaku penduduk asal, sebelum mengambil keputusan memeluk Islam pada usia 20 tahun.  Pemelukan agama Islam, bukan disebabkan oleh orang Melayu, tetapi keindahan agama Islam yang tidak ada tolok bandingnya.

Maka, hari ini, sudah sewajarnya mata pelajaran agama Islam diwajibkan kepada semua pelajar.  Bukan bertujuan untuk berdakwah kepada mereka agar memeluk Islam, tetapi mereka perlu mengetahui dan memahami isi kandungan umum agama persekutuan ini, bagi mengelakkan kekeliruan. Islam mempunyai kedudukan yang istimewa berbanding agama lain. Lagipun semua nilai-nilai moral Islam turut dikongsi oleh agama lain.

Pada penganut agama lain, mereka hanya berteori sahaja, akan pentingnya agama dijadikan amalan hidup. Tetapi dari segi praktikal, jauh sekali untuk diamalkan. Amalan seperti seks bebas, judi, arak, zina, dan sebagainya langsung tidak ditegah. Malah diiktiraf sebagai hak asasi manusia.

Artikel ini bukan bertujuan menafikan hak bukan Islam yang tinggal dalam sebuah negara Islam. Tetapi permintaan mereka untuk mengajar agama masing-masing di sekolah terlampau ultra kiasu dan mempunyai niat jahat untuk meminggirkan agama Islam. Wal hal, berapa kerat sahaja pelajar-pelajar ini untuk diajarkan agama masing-masing dengan keperluan guru yang amat terhad, berbanding kita rangkumkan sekali dalam mata pelajaran moral, sudah lebih dari mencukupi. Namun, ini sifat kaduk naik junjung, diberi betis hendak peha.  

Kementerian pelajaran tidak sepatutnya berbincang dan melayan mereka. Jangan gadaikan kepentingan agama, hanya kerana undi. Yakinlah, mereka tidak akan mengundi UMNO, walaupun apa juga permintaan mereka dipenuhi. Kumpulan ini terlalu ultra kiasu dan licik. Saya amat yakin mereka akan mengundi ultra kiasu.

Mereka mahukan layanan sama seperti mana kedudukan mata pelajaran agama Islam yang diajar di sekolah. Mereka sengaja tidak mahu sedar, siapakah diri mereka sebenarnya? Sejarah sengaja mahu dipadamkan. Selepas ini, mereka akan mendesak supaya rumah ibadat mereka turut didirikan di sekolah dan gambar-gambar patung-patung dan pemimpin agama mereka dibenarkan ditampalkan di dinding-dinding sekolah.

Mereka bukan tidak sedar akan kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan. Mereka fahami semua itu. Saya tidak yakin mereka jahil. Kenapa mereka mendesak sedemikian rupa? Tidak lain, untuk mematikan dan menghancurkan kedudukan dan keistimewaan agama Islam dalam undang-undang. Bila tidak ada lagi keistimewaan ini, maka tercapai hasrat mereka untuk mendapatkan ‘fair and square’. Jika saya menteri pelajaran, sudah pasti saya mewajibkan subjek ini diajar untuk bukan Islam memahami agama persekutuan ini daripada dipermainkan.

Majlis ini juga mendesak supaya kerajaan memberikan mereka lesen untuk membina sekolah agama sendiri. Alasannya, jika sekolah swasta dibenarkan, kenapa tidak mereka. Ingatan saya kepada kerajaan, apakah Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan, mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan sekalipun bantuan diberikan? Jawapannya. Tidak? Mereka tidak akan berganjak dengan keputusan mereka sendiri, dengan mengenepikan arahan kerajaan, sekalipun tindakan kekerasan digunakan.

Saya cadangkan membawa idea gila ini ke negara China atau India, jika di sini sudah tidak ada kebebasan lagi. Bagaimana dengan tadika-tadika missionari kristian digereja-gereja yang berlambak sehingga ada Melayu yang diKristiankan? Apakah ini bukan kebebasan beragama. Ultra kiasu ini perlu diajar supaya tidak terlalu kurang ajar.

Perlukah kita melayan agama Kristian, Sikh dan Taoisme yang rata-rata kurang daripada 10 peratus penganutnya? Bagaimana pula dengan agama anamisme orang Asli yang lebih berhak selaku pribumi tanah ini? Begitu juga agama-agama lain.

Jika mereka mahukan nilai agama dihayati, dan mahukan lahirkan masyarakat bermoral, bermula sekarang haramkan anak-anak bergaul bebas, LGBT, bersedudukan sebelum kahwin, berjudi, berkasino dan sebagainya. Persoalannya, kenapa bila kerajaan mahu mengharamkan perkara tersebut, penentangan demi penentangan dilakukan. Apakah kita masih buta dan tidak nampak perancangan jahat mereka. Kenapa hukum hudud ditentang sedangkan nilai yang dibawa amat baik?

Keadaan yang ada hari ini sudah cukup baik. Matapelajaran moral yang diajar untuk cukup beramal dengan nilai-nilai agama. Persoalannya, kenapa nilai-nilai ini tidak dihayati? Jawapan, mereka tidak sensitif dengan nilai agama kerana dianggap menyusahkan dan bertentangan dengan hak asasi. Di rumah mereka tidak diajar dengan nilai-nilai ini. Malahan mereka tidak menegurkan anak-anak yang membawa teman lelaki untuk tinggal di rumah. Malah digalakkan lagi jika teman mereka itu kaya raya. Justeru, janganlah hendak menipu pemimpin-pemimpin Islam di negara ini atas nama hak asasi manusia

Hak yang telah diberikan lebih daripada mencukupi. Pergi kira berapa banyak rumah ibadat yang berselerakan di bumi Malaysia ini, lebih daripada 200 ribu, sedangkan masjid surau hanya ada dalam sekitar 30 ribu. Tokong Hindu sahaja sudah melebihi 100 ribu, berdekatan dan bersebelahan antara satu sama lain seperti di Serdang (UPM). Kenapa kerajaan atau penguatkuasa atau UPM sendiri tidak mengambil tindakan? Jawapannya,  adalah TAKUT. Naib Canselor (NC) takut dibuang jawatan. Apabila NC takut, orang bawah NC semuanya akan jadi takut, kerana semuanya mengidam untuk jadi NC. Inilah politik Melayu yang akan menjahanamkan bangsa Melayu sendiri. Bak kata pepatah ‘jangan sampai keris sendiri menikam orang Melayu’.

Ingatlah wahai umat Melayuku yang rata-ratanya seagama denganku, jika saudara semua terlalu berpolitik dan berpecah, tuan-tuan tidak akan menjadi tuan lagi. Tuan-tuan akan menjadi hamba di bumi sendiri. Percayalah.

Orang lain terus aktif dengan perancangan jahatnya. Lihatlah contoh Suara Rakyat Malaysia (Suaram). Pertubuhan ini amat aktif sekali menyebarkan dakyahnya. Selain daripada bantuan Soros, mereka juga mendapat dana daripada sebuah think tank Jerman yang berpusat di sini, untuk memusnahkan agama Islam di negara ini.  Jika kita terus bersangka baik, suatu hari ini nanti kita akan punah.

Sebenarnya banyak lagi pertubuhan luar negara yang menyalurkan dananya untuk menghancurkan Islam. Saya yakin kita menyedarinya, termasuklah pertubuhan yang mendesak kerajaan untuk memperkenalkan mata pelajaran agama bukan Islam di sekolah, apakah kita masih buta? Jika kita sengaja membutakan mata atau pura-pura buta, hanya kerana kepentingan politik, kita akan menyesalkan suatu hari nanti.

Monday, September 17, 2012

Transformasi pendidikan perlu tegas dan patriotik



(Sinar Harian, 17 Sept 2012)

Saya begitu teruja untuk mengulas pandangan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar bertajuk  “anak muda kini tidak patriotik langsung!” dalam akhbar ini minggu lalu. Beliau menyalahkan orang tua seperti ibu bapa, kerana tidak menanamkan semangat ini. Saya agak kurang bersetuju dengan pendapat tersebut, kerana kita semuanya dicorakkan oleh sistem pendidikan yang dilalui semasa kecil sehinggalah dewasa dan menjadi tua.

Sistem pendidikan yang bercorak perkauman adalah punca segala-galanya, kerana sistem inilah melahirkan insan yang bergelar ibu bapa atau orang tua hari ini. Setiap kaum memperjuangkan pendidikan dan cara hidup masing-masing, tidak ada kompromi. Sebarang campurtangan akan ditentang habis-habisan. Sekolah perkauman ini seolah-olah tidak boleh disentuh. Pihak berkuasa  pula gentar dengan mereka, kerana takut kehilangan undi.

Kita selalu menggunakan alasan, kepelbagaian ini adalah satu kekuatan. Persoalanya, pernahkah kita membuat kajian implikasi kepelbagaian ini, seperti yang pernah ditegaskan oleh Perdana Menteri Britain, David Camerons mengenai multiculturalism? Yakinlah! bahawa kejayaan negara-negara barat hari ini adalah disebabkan oleh mereka begitu tegas melaksanakan agenda negara atau agenda nasional tanpa kompromi. Mereka yang menentang agenda negara akan diberikan pilihan, “setuju tinggal, tak setuju boleh belah!”.

Negara-negara yang dahulunya dikatakan mundur seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan lain-lain, sudah mula meninggalkan kita. Mereka mempunyai rakyat yang mempunyai jati diri yang kental. Sanggup berkorban jiwa raga untuk agama, bangsa dan negara. Kepakaran dan kekuatan digembelingkan sepenuhnya untuk memajukan negara. Tidak berlaku brain drain. Usahlah dibandingkan dengan negara maju. Semuanya bermula dengan memperkasakan sistem pendidikan, tanpa kompromi.

Negara-negara ini sedar, semangat patriotik adalah tunggak kekuatan negara. Jika semangat ini tidak dipaksakan melalui sistem pendidikan, lambat laun agenda negara tidak ada hala tuju dan menjadi caca merba. Contoh mudah, apabila lagu kebangsaan dinyanyikan, semuanya berdiri tegak, diam dan begitu bersemangat. Bandingkan dengan kita, pergilah ke sekolah-sekolah, lihat gelagat anak-anak kita menyanyikan lagu kebangsaan. Sekolah perkauman usahlah dicerita. Begitu juga tempat-tempat awam. Mereka buat tidak peduli sahaja.

Kerajaan negara-negara yang disebutkan tadi, sentiasa mengambil iktibar dan merujuk kepada cerdik pandai dalam menentukan arah tuju negara. Kajian-kajian para cerdik pandai diambil kira dan dijadikan dasar negara. Tetapi tidak kita. Kajian yang telah terbukti benar dan jitu, disimpan di bawah karpet, kerana takut kehilangan jawatan dan sokongan pengundi. Misalnya, pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dahulunya mula flip flop apabila ditentang oleh ultra kiasu Melayu dan bukan Melayu. Saya harapkan kita tidak akan goyah lagi dengan ugutan mereka selepas ini.

Saya ingin menyeru kepada pimpinan negara supaya sensitif dengan kajian sarjana-sarjana sosialisasi politik seperti Hyman (1959), Almond dan Verba (1963), Greenstein (1965), Hess dan Torney (1967), Dawson dan Prewitt (1969), Dowse dan Hughes (1972), Dennis (1973), Jaros (1973), Neena Sharma (1985) dan Kavanagh (1987) meletakkan agen keluarga dan sistem pendidikan adalah yang paling dominan dalam menentukan persepsi, cara hidup dan masa depan negara. Semua perkara yang dilalui ini akan diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Jika dari awal lagi sudah tidak patriotik, jangan haraplah generasi seterusnya akan patriotik.

Menurut mereka lagi, dengan mendengar perbualan ibubapa ketika bersarapan, anak-anak mula membentuk corak pemikiran mereka. Pendek kata, jika keluarga dan sistem pendidikan bersifat ultra kiasu, maka akan lahirlah ramai ultra kiasu. Realiti inilah yang sedang berlaku di Malaysia dari dahulu hingga kini. Semakin kita tunduk kepada ultra kiasu, bermakna semakin ramailah ultra kiasu.

Pendidikan berasaskan kaum, melalui kewujudan sekolah vernakular, sekolah persendirian dan sekolah swasta, yang tidak terkawal, dilihat gagal untuk menanamkan semangat patriotik, tetapi lebih kepada memperkaya individu tertentu dan memperhebatkan bangsa sendiri. Lebih malang lagi, kerajaan terpaksa tunduk kepada tekanan-tekanan puak ultra kiasu ini, agar sekolah sebegini diperbanyakkan dan dibiayai dengan percuma. Malangnya, sebarang penambahbaikan terhadap bahasa Melayu akan ditentang kerana ia akan menjejaskan penguasaan bahasa ibunda.

Kita sebenarnya sedar betapa besarnya peranan bahasa dalam pendidikan sebagai tunggak kepada pembentukan semangat  patriotisme. Sebab itulah, di negara lain, isu bahasa tidak ada kompromi. Jika bahasa negara ditolak, mereka akan dihalau keluar. Negara tidak memerlukan orang-orang sebegini. Biarlah berlaku brain drain, asalkan rahsia dan keselamatan negara terjamin. Semangat patriotik lebih penting daripada brain drain. Inilah prinsip negara-negara yang telah maju dan sedang mahu maju.

Bagaimana semangat patriotik boleh disemai jika rakyat Malaysia tidak sayang kepada bahasa kebangsaan atau tidak boleh berbahasa kebangsaan? Dasar-dasar negara tidak dapat difahami. Pendek kata, semua perkara mesti diterjemah ke dalam bahasa ibunda, sedangkan kita sudah ada bahasa rasmi. 

Sistem pendidikan negara kita telah mengalami transformasi demi transformasi. Saya tidak pasti, berapa banyak wang yang telah dihabis. Jika bertukar menteri pelajaran, maka bertukarlah polisi dan dasar. Transformasi telah berlaku berkali-kali, namun asasnya masih sama. Tembok perkauman masih tidak dapat dipecahkan. Kita tidak bertegas dalam memperkasa agenda negara. Kita akan terus gagal jika masalah asas ini tidak diatasi.  

Berbanding generasi terdahulu, sanggup bergadai nyawa, bergolok bergadai, demi mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara. Saya yakin, jika negara kita berhadapan dengan saat-saat kritikal seperti yang sedang berlaku antara China dengan Jepun hari ini, berapa ramaikah yang sanggup berkorban jiwa raga? Atau mungkin kita jual raga-raganya sekali?

Monday, September 10, 2012

Makna sebuah bendera

(Sinar Harian 10.9.12)

Ketika rakyat Malaysia bersemangat patriotik menyambut Hari Merdeka ke 55, kita dikejutkan dengan beberapa insiden yang tidak sepatutnya berlaku. Pertama, insiden Himpunan Janji Bersih, di Dataran Merdeka, 30 Ogos 2012. Kedua, individu yang mempamerkan bendera bagi menggantikan Jalur Gemilang. Ketiga, insiden memijak gambar Perdana Menteri (PM). Keempat, insiden menunjukkan punggung ke atas gambar PM. Kesemua perbuatan tersebut, sengaja dizahirkan untuk menanamkan politik kebencian.

Pada saya, jika terlalu marahpun kepada PM, buatlah pada hari lain. Malah, jika tidak tahan kerana terlalu geram, mereka boleh rebus, bakar, pijak gambar PM di tempat tertutup seperti di rumah, tidak siapa tahu. Kenapa perlu dilakukan untuk mencari publisiti murahan pada hari bersejarah ini? Apa tujuan kita sebenar? Kita sengaja mahu menyakitkan hati dan mencabar kewibawaan PM serta pihak berkuasa. Apabila dikenakan tindakan nanti, maka bercananglah ultra kiasu menunjukkan inilah hero. Wal hal sebenarnya, mereka ini pengkhianat yang tidak sepatutnya tinggal di bumi bertuah.

Maka tidak hairanlah, pemimpin pembangkang, seperti Abdul Kadir Sheikh Fadzil, presiden Ikatan dan Menteri Besar Kelantan, tidak dapat menerima hakikat ini. Kecuali pemimpin ultra kiasu Melayu, yang ghairah untuk ke Putrajaya sahaja berkata bahawa mengibarkan bendera Sang Saka Malaya tidak salah. Saya harap rakyat Malaysia, terutama yang beragama Islam, sedar betapa liciknya pengkhianat ini yang sanggup bersekongkol dengan ultra kiasu untuk menjahamankan negara tercinta ini.

Ada wartawan menyifatkan tindakan ini sebagai memualkan. Pada saya tidak, tetapi sudah  sampai ke peringkat biadab dan kurang ajar. Akal tidak dapat menerima sebagai manusia bertamadun. Kecuali kepada mereka yang suka melakukan perbuatan yang tidak bertamadun. Di negara lain, sudah lama pelaku berkenaan dihumban ke dalam penjara.

Ultra kiasu berhujah dan mencabar polis dengan berkata, sejak bila mengibar bendera selain dari bendera Malaysia satu kesalahan? Tunjukkan peruntukan perlembagaan? Kenapa tarian punggung di rumah Ambiga tidak dikenakan tindakan? Begitu pemijakan gambar ketua ultra kiasu di Pulau Pinang? Sama dengan kes-kes rasuah yang tidak disiasat dan lain-lain lagi. 

Perlu saya tegaskan, insiden ini berbeza dengan isu yang diperkatakan. Saya tidak hairan jika mereka memijak gambar ultra kiasu. Siapalah mereka jika nak dibandingkan dengan Perdana Menteri. Perkataan ‘Perdana’ itu sudah membawa makna begitu besar berbanding nama ultra kiasu yang hanya memimpin sebuah negeri. Begitu juga memimpin Majlis Peguam.

Persoalan saya, kenapa perlu kibarkan bendera sang saka Malaya? Apa kaitan dengan kemerdekaan, sedangkan saban tahun kita mengibarkan jalur gemilang. Bendera tidak pernah melakukan kesalahan kepada manusia. Bendera adalah bendera, lambang kedaulatan sesebuah negara. Maksud jalur gemilang begitu bermakna sekali berbanding sang saka Malaya.

Dalam peperangan, bendera adalah elemen yang utama. Menang atau kalah, benderalah yang menjadi tandanya. Bendera akan diangkat dan dipacak jika mencapai kemenangan. Bendera putih akan dinaikkan jika kalah sebagai tanda menyerah.

Ultra kiasu Cina sudah tentu amat maklum tentang perkara ini kerana dalam sejarah raja China, raja cukup sinonim dengan bendera. Perintah Raja adalah melalui bendera, selain cop mohor. Bila bendera disampaikan, bermakna perintah raja mesti dijalankan. Apabila bendera itu diserahkan kepada panglima, maka bermulalah panggilan perang.

Begitu juga dalam Islam. Mari kita imbau peristiwa perang Muktah (nama kampung di Sham) yang terjadi pada Jamadilawwal, 8 hijrah (629 Masihi). Satu peperangan paling amat tragis dan bersejarah, ketika Rasulullah SAW masih hidup. Dalam peperangan ini, tentera Islam seramai 3000 orang berhadapan dengan tentera musuh sejumlah 200,000 orang. Zaid bin Harithah dilantik oleh Baginda sebagai panglima perang. Baginda menitipkan pesan, jika Zaid terbunuh, penggantinya adalah Jaafar bin Abi Talib. Jika Jaafar terbunuh,  penggantinya adalah Abdullah bin Rawahah. 

Ketika mahu bertolak ke medan perang, Rasulullah SAW menyerahkan bendera kepada Zaid. Berbekalkan semangat jihad, Zaid  memegang bendera dan bertarung hebat sehingga gugur syahid. Lalu, Jaafar datang mengambil bendera, bagi memastikan kesinambungan perjuangan. Bendera tidak boleh tersungkur dalam peperangan kerana bendera adalah pembakar semangat. Jaafar terus bertarung sehingga putus tangan kanannya. Bendera tetap dipegang, beralih ke tangan kirinya.

Malangnya tangan kiri Jaafar juga putus, maka bendera dipeluk erat dengan kedua lengan dan digigit kemas. Ketika Jaafar terbunuh, melalui 90 tusukan lembing dan panah, bendera masih diangkat dan didaulatkan. Sehinggalah seorang tentera Rum mencantas tubuh Jaafar mengakibatkan terbelah dua. Lantas, bendera tadi dipegang oleh Abdullah bin Rawahah yang turut gugur syahid. Kemudian, bendera bertukar tangan kepada Thabit bin Arqam. Seterusnya, Thabit menyerahkan bendera kepada Khalid al-Walid. Khalid menyambar bendera sebagai penerusan sebuah perjuangan di medan jihad.

Dipendekkan cerita, ketangkasan panglima-panglima Islam menyelamatkan bendera yang sama tanpa ditukar telah membakar semangat dan memberi kemenangan kepada Islam dengan izin Allah SWT. Bukanlah bermakna, bendera itu yang menyelamatkan Islam, tetapi bendera sebagai lambang kehebatan dan pembakar semangat mencapai kemenangan dalam peperangan. Begitulah hebatnya nama sebuah bendera.

Namun, bendera bukanlah segala-galanya. Tidak ada gunanya kita terlalu berbangga dengan bendera, mengibarnya di sana sini, tetapi dari segi pengamalan dan kerja seharian, kitalah perasuah, pengkhianat dan sebagainya. Penghormatan terhadap bendera bukan berhenti setakat kibaran, tetapi mesti disertai roh jihad dan perjuangan. Sama juga tidak ada erti bendera ditulis kalimah syahadah seperti bendera Arab Saudi, jika mereka  terus mengikut telunjuk Amerika.

Monday, September 03, 2012

Apabila Niat tidak berniat dengan betul

(Sinar Harian 3 Sept 2012)

Saya tersenyum membaca berita sekumpulan kecil orang India, menamakan diri mereka sebagai Pasukan Tindakan Kebangsaan Hak Orang India atau singkatannya Niat, yang mendesak kerajaan memenuhi tuntutan luar biasanya. Kumpulan ini diketuai seorang India Muslim yang kononnya bergelar Dato’ bersama bekas ketua Majlis Peguam, juga ketua penyokong LGBT. Antara desakan mereka supaya kerajaan supaya melantik Timbalan Perdana Menteri kalangan bangsa India selepas Pilihan  Raya Umum 13 (PRU 13). Banyak lagi tuntutan lain yang tidak perlu disebutkan, seperti membuka sekolah berasrama penuh kepada semua kaum. Lebih lucu lagi mereka mendesak supaya bilangan menteri kabinet India ditambah kepada tiga dan empat timbalan menteri.

Lelucon, mereka juga mahukan timbalan menteri besar India, di beberapa negeri seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Selain itu, kerajaan didesak menubuhkan Jabatan Pembangunan dan Kebajikan Kaum Minoriti.

Persoalan saya, siapa mereka ini yang diberikan publisiti meluas di laman web ultra kiasu? Perlukah kerajaan tunduk kepada nyamuk-nyamuk ini? Buruk sangatkah layanan kerajaan terhadap kaum minoriti? Pesan saya, janganlah bermimpi di siang hari. Kalau boleh, jangan tidurpun.  

Belajarlah dari sejarah. Jika mahu diwujudkan pun jawatan dua atau tiga Timbalan Perdana Menteri, orang yang lebih layak adalah wakil daripada Sabah dan Sarawak, bukannya orang India yang hanya mewakili 7 peratus, mahukan populasi Cina yang lebih besar, 25 peratus. Lagi pula, tidak ada satu penempatanpun (parlimen atau DUN) di negara ini, orang India menjadi majoriti.

Sistem pembahagian jawatan kabinet hari ini sudah cukup baik. Nasib minoriti sentiasa terbela. Malah mereka mendapat lebih dari apa yang sepatutnya. Suara-suara mereka sentiasa didengar kerajaan. Bandingkan sahaja dengan minoriti Islam di tempat atau negara lain. Hak dan suara orang Islam langsung tidak dipedulikan, malah dianiaya, diseksa dan dibunuh dengan kejam.

Kenapa tidak berlaku diskriminasi sedemikian rupa? Jawapannya, kerana Islam tidak membenarkan. Agama Islam anjurkan kita bertoleransi dengan orang lain, walaupun apa jua kedudukan mereka, kecuali kafir harbi. Ajaran Islam telah mengajar orang Melayu (Islam) supaya berlaku adil, yakni meletakkan sesuatu pada tempatnya atau memberi hak kepada yang berhak. Jika ditakdirkan orang Melayu tidak memeluk Islam 600 tahun lalu, apakah akan terjadi kepada kaum minoriti ini? Fikir-fikirkan.

Tinjau-tinjaulah sama nasib umat Islam yang menjadi minoriti di tempat lain seperti Rohingya, Selatan Thai, Selatan Filipina, atau di mana-mana sahaja umat Islam menjadi minoriti. Nasib mereka tidak tentu keruan antara hidup dan mati. Hidup diseksa, mati merana.

Pendek kata, apabila umat Islam diperintah, umat Islam menderita. Manakala, apabila umat Islam memerintah, bukan Islam dan minoriti hidup senang lenang. Hari ini mereka mahukan semua. Apa yang diperolehi oleh orang Islam dan bumiputera, mereka tidak boleh dikecualikan.

Siapakah yang perlu memberikan laluan dan mengorbankan haknya? Sudah tentu yang menjadi mangsa nanti adalah orang Islam. Nak harapkan ultra kiasu, mereka tidak akan mengalah walau seinci.

Sebab itulah sistem pentadbiran dan pengurusan politik di Malaysia nampak pelik. Mari kita lihat antara salah satu kepelikannya. Negara sekecil Malaysia mempunyai saiz kabinet begitu besar. Terdapat 33 menteri penuh, tidak berbaloi dengan saiz dan bilangannya. Negara-negara lain yang saiznya berganda-ganda lebih besar daripada Malaysia, tidak ada bilangan menteri kabinet yang begitu banyak. Ini tidak termasuk beberapa timbalan menteri dan beberapa jawatan khas yang diwujudkan, khusus untuk menjaga kaum tertentu.

Misalnya, Amerika Syarikat, saiz menteri kabinetnya antara 15-23 orang, Australia  21, Japan 19, Britain,  23, Turkey 26, Arab Saudi 23, Thailand 26 dan Singapura 17. Ringkasnya, amat jarang negara yang mempunyai menteri kabinet melebihi 30 orang, hatta negara yang bersaiz begitu besar sekalipun.

Persoalannya, kenapa Malaysia sebagai antara negara-negara kecil di dunia, begitu ramai menteri kabinetnya? Jawapanya tidak lain, meraikan kaum minoriti. Hak minoriti perlu dijaga kerana ia adalah tuntutan Islam.  Pemerintah yang mengamalkan diskriminasi dan penyelewengan, akan dicampakkan ke dalam neraka. Atas dasar inilah kita lihat seolah-olah sistem politik kita agak kelakar, tetapi unik dalam soal menjaga integrasi nasional dan perpaduan.

Lebih bernasib baik lagi, berbanding dengan orang Cina, tidak ada satu kawasan di negara ini yang majoritinya adalah orang India. Orang India tetap diberikan laluan untuk bertanding dalam pilihan raya. Bukti menunjukkan, kemenangan calon India adalah undi ihsan orang Melayu. Ini tidak termasuk perlantikan jawatan senator terhadap mereka yang kalah dan wakil kaumnya. Kenapa dan mengapa, wakil India masih dibenarkan bertanding dalam pilihan raya? Tidakkah lebih baik wakil India dilantik sahaja sebagai senator? Kenapa mesti mempertaruhkan kerusi India kawasan orang Melayu, sehingga akhirnya kerusi tersebut terlepas kepada pembangkang?

Bandingkan dengan Singapura yang mana bilangan Melayu lebih ramai daripada orang India. Sejauhmanakah kepercayaan diberikan kepada orang Melayu dalam kabinet dan jawatan penting kerajaan? Begitu juga minoriti Islam di India, China dan lain-lain.

Nasihat kepada kumpulan Niat yang tidak berniat dengan betul, kalau sudah tidak ada kerja, duduk rumah diam-diam, jangan buat kacau. Malukan minoriti lain sahaja dengan kenyataan lucu tersebut. Cerminlah diri. Ikutlah kepimpinan Mahatma Gandhi, apabila ditanya selaku pemimpin besar dan ulung, yang sepatutnya mendapat layanan kelas pertama, apabila ditanya: “kenapa tidak menaiki keretapi kelas pertama”. Jawab beliau “kerana tidak ada kelas keempat”.

Tidakkah kita sedar apabila saiz kabinet semakin besar, maka, selain daripada pertambahan tenaga kerja, prasarana lain dan bangunan turut bertambah. Pertambahan ini melibatkan perbelanjaan yang begitu besar. Maka tidak hairanlah perbelanjaan begitu tinggi. Sedangkan tugasnya kadangkala bertindan lapis.