Sunday, December 25, 2011

Iktibar keterbukaan Hamas dan Fatah

(Sinar Harian 26 Dis 2011)

Orang Pas menyuruh saya berhenti menulis dan jangan campurtangan urusan rumahtangga mereka mengenai kedudukan Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa yang diibarat sebagai duri dalam daging. Menurut Pas, biarlah mereka tangan sendiri masalah dalamannya. Orang luar tidak perlu campurtangan, sebab mereka berada di luar. Pas lebih tahu, apa yang perlu dilakukan. Benar, saya mengakui, tetapi tidak perlulah menyuruh saya berhenti memberi pandangan, kerana kebebasan ini dijamin oleh perlembagaan. Kenapa tidak suruh ultra kiasu yang terang-terang menghina Islam dan melakukan kemungkaran berhenti bercakap dan menulis. Manakah yang lebih bahaya, saya atau ultra kiasu?.

Pas sepatutnya perlu merasa beruntung dan bersyukur kerana ada ahlinya yang bernama Hasan dan Nasharuddin. Orang seperti ini perlu wujud bagi menegurkan Pas supaya kita tidak terlalu syok sendiri atau terlalu tertutup. Teguran sebegini agak sukar diterima oleh Pas. Ternyata segelintir orang Pas lupa bahawa saya adalah ahli akademik. Saya berhak untuk memberikan pandangan mengikut bidang dan perspektif saya, asalkan tidak menyentuh sensitiviti agama, kaum dan perlembagaan. Apatah lagi menyeru agar umat Islam bersatu, sudah menjadi satu kemestian yang mendesak.

Jika masih ada yang beranggapan sedemikian, kita tidak boleh menyentuh sesuatu parti sebab ‘orang luar’, sayapun boleh katakan Pas jangan campurtangan atau memberi pandangan tentang Umno kerana Pas adalah orang luar Umno. Umno lebih tahu hal Umno, daripada Pas. Kenapa Umno dikritik begitu hebat, seolah-olah semua yang Umno lakukan salah, yang betul hanya Pakatan Rakyat dan ultra kiasu? Kita hanya manusia biasa, tidak lari dari salah dan silap. Saya sendiri tidak semuanya betul, saya bersedia menerima kritikan. Saya bersikap terbuka. Komen-komen negatif dalam blog, saya biarkan, kecuali mereka mencarut atau menggunakan bahasa lucah.

Dalam Islam, nasihat dan teguran tidak mengenal kawan atau lawan, sebab kita tidak maksum, kecuali para Nabi. Hatta, para sahabat sekalipun yang dijamin masuk syurga, pun ditegur oleh mereka yang sezaman dengannya. Inikan pula pemimpin-pemimpin parti politik yang sentiasa diperhatikan oleh rakyat perlakuannya. Rakyat berhak bersuara. Sepakar atau sepandai manapun kita, hatta pakar perlembagaan mana sekalipun, kita tetap manusia. Ada kalanya kita benar, adakalanya kita silap. Itulah manusia yang dijadikan oleh Allah SWT serba kekurangan. Justeru, janganlah terlalu rigid.

Belajarlah daripada Hamas dan Fatah. Kedua-dua parti ini boleh diibaratkan seperti Pas dan Umno. Hamas dan Fatah begitu terbuka. Inilah ciri-ciri orang yang mahu berjaya. Kepentingan umat Islam didahulukan, daripada kepentingan parti dan peribadi. Bukan seperti kita, asyik berdolak dalih. Sekejap ini, sekejap itu, sekejap negara Islam, sekejap negara berkebajikan. Itu yang menjadikan orang lain keliru dan tidak dapat menerima, terutama pengikut setia Pas seperti Hasan dan Nasharuddin. Apatah lagi Umno yang tidak sehaluan dengan Pas.

Hamas berfahaman Islam, menolak Amerika dan kuncunya Israel, manakala Fatah bertindak sebaliknya, berfahaman nasionalis, cuba berbaik dengan Amerika dan Israel. Dua parti saling bertentangan. Namun, kebangkitan rakyat di negara Arab memberi kesan dalam mengubah persepsi politik mereka. Bersatu demi kepentingan agama dan bangsa. Begitu juga dengan Pas dan Umno. Saya tidak nampak ada halangan besar di situ. Dalam Islam, kita tidak boleh menerima semua dan menolak semua, kecuali dalam perkara kebaikan. Amerika dan Israel, tidak boleh dimusuhi sepanjang masa. Mereka juga adalah makhluk Allah. Ramai kalangan mereka yang bersimpati dengan Islam. Kita hanya menolak gerakan zionis yang mahu memusnahkan Islam. Saya tidak memusuhi ultra kiasu, tetapi saya menegur mereka supaya jangan menjadi terlalu ultra seperti segelintir Yahudi. Hak kita boleh diganggu, hak mereka langsung tidak boleh diusik.

Penyatuan hanya berlaku akan jika para pemimpin bersedia, bersikap terbuka dan bersedia untuk memaafkan antara satu sama lain. Selagi tidak ada sifat keterbukaan ini, saya tidak nampak ada lorong ke arah penyatuan. Pelbagai salah laku yang dibuat pemimpin hari ini yang membuatkan rakyat sudah muak dan jelak. Apa sahaja yang cuba dilakukan, semuanya salah. Saya masih ingat lagi, apabila kita menentang dakyah Kristian yang bercanggah dengan perlembagaan, maka kita dikatakan bersubahat atau bersekongkol dengan Umno yang mahu memenangi hati pengundi Melayu, disebabkan oleh pengaruhnya yang didakwa semakin merosot.

Kedua, apabila kita melaungkan kesatuan, kita dicop lagi menyokong Umno sebab Umno dikatakan sudah terdesak. Sedangkan kedudukan Islam semakin parah. Ketiga, apabila kita memperjuangkan kesatuan Melayu Islam, kita dituduh rasis seperti Umno. Apa jua kebenaran yang dibangkitkan, jawapannya Umno! Umno! Umno. Ultra kiasu yang jelas-jelas memperjuangkan bangsa, terang-terang dikatakan memperjuangkan Malaysian first.

Baru-baru ini ultra kiasu mengeluarkan pendapat bahawa mereka menolak “politik diskriminasi” Umno yang mendahulukan Melayu dan meletakkan rakyat Malaysia di tempat kedua. Ultra kiasu mengecam Umno dan sekutunya kerana melayan sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan ideologi perkaumannya sebagai pengkhianat dan musuh orang Melayu. Menurut ultra kiasu lagi, Umno selalu memetik Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan untuk mewajarkan agenda perkauman mereka. Persoalan saya, adakah ultra kiasu tidak rasis? Jika tidak percaya, cuba sentuh sedikit hak mereka. Lihatlah reaksinya. Misalnya, isu mengenai kantin sekolah Cina yang perlu menyediakan makanan halal. Lihatlah reaksi mereka!

Kita hanya akan dinobatkan menjadi wira, hanya apabila kita mengkritik kerajaan atau Umno. Jika tidak, selama-lamanya kita akan dilabelkan sebagai tali barut Umno, profesor kangkung dan sebagainya. Yang bukan tali barut dan bukan profesor kangkung, hanyalah mereka. Apakah makna semuanya ini? Kita masih tidak belajar dari Hamas dan Fatah.

Lebih menyedihkan, sampai ke peringkat, apa sahaja yang dilakukan, termasuk perkara baik, semua dianggap sebagai mainan atau helah politik untuk memenangkan Umno. Sesiapa yang bersifat neutral, tidak menyebelahi mana-mana pihak atau parti, tetapi hanya memperjuangkan kebenaran juga terpalit dan dilabel dengan pelbagai tohmahan dan gelaran.

Justeru, saya menyeru, keegoaan dan prejudis pemimpin hari ini mesti diketepikan jika ingin memastikan nasib umat Islam terjamin dan terbela. Kita harus belajar dari Hamas dan Fatah. Hamas dan Fatah telah berselisih sejak Hamas memenangi pemilihan parlimen Palestin pada Januari 2006. Dahulu mereka bermusuh. Tidak boleh bertatap muka. Kenapa hari ini mereka boleh duduk semeja? Jawapannya mudah. Masa lalu dilupakan, masa kini dan akan datang adalah segalanya. Islam mesti diselamatkan daripada diratah oleh musuh, kerana jika Islam selamat, yang lain-lain pasti akan selamat. Justeru, pemimpin harus bersedia untuk berubah jika ingin terus relevan dan tidak rebah. Tidak guna pemimpin melaungkan kesatuan jika mereka tidak bersedia untuk bekerjasama dan saling berkorban.

Profesor Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sunday, December 18, 2011

Tidak salah sayang bangsa lain jika seagama

(Sinar Harian 19 Dis 2011)

Kenyataan Hasan Ali mengenai walak atau ketaataanya hanya kepada Allah, bukan parti atau lain-lain seharusnya membuka mata kita semua, supaya tidak menjadi terlalu fanatik. Hasan berkata, tiga perkara yang mendasari perjuangannya iaitu Islam, bangsa Melayu dan Raja Melayu. Dalam maksud, Islam memayungi dan menaungi, manakala Melayu dan Raja adalah dua hambaNya yang berpayung di bawah naungan tersebut, kerana Melayu dan Raja sudah sinonim dengan Islam dalam konteks Malaysia. Sesiapa sahaja yang memperjuangkan tiga perkara tersebut, selarilah dengan perjuangannya. Logiknya ada, parti dan ahli parti, hanyalah wasilah (alat), bersifat sementara dan tidak kekal. Manakala, yang kekal abadi, hanyalah Pencipta dan agamaNya.

Prinsip ini sudah saya pegang sekian lama, biar apapun rakan sebangsa nak kata, saya tidak kisah. Saya tidak mencari keredhaan manusia, tetapi keredhaan Ilahi. Seperti kata Hasan Ali; “Saya mohon Allah mengiktiraf saya. Bukan Pesuruhjaya Pas Selangor iktiraf malah bukan Presiden Pas iktiraf saya. Saya hendak Allah SWT iktiraf usaha kecil yang saya jalankan demi Islam, demi membangunkan bangsa Melayu dan mempertahankan kedaulatan institusi raja…Bagi saya sesiapa yang membawa Islam saya sokong. Kumpulan yang membawa Islam saya sokong. Parti yang membawa Islam saya sokong. Pemimpin yang bawa Islam saya sokong. Itu prinsip saya.”

Dari dulu saya katakan melindungi Melayu dan Raja Melayu adalah pada masa sama melindungi Islam. Tidak salah membela bangsa termasuk bangsa lain, selagi mana membela ia dapat menjaga martabat dan maruah agama. Ramai yang faham, tetapi sengaja memesongkan fakta, supaya saya dibenci dan dicaci. Namun, saya sudah lali dengan semua itu.

Saya didesak oleh rakan-rakan seperjuangan Cina Muslim supaya berhenti menulis mempertahankan Melayu kerana ia merugi dakwah Islamiyyah. Alasan mereka, orang Cina semakin menjauhi dan membenci Islam apabila terlalu banyak menulis mempertahankan Melayu, atau terlalu banyak bercakap Melayu sana, Melayu sini. Inilah malangnya nasib saya, rakan sebangsa seagamapun sendiripun tidak memahami, apatah lagi mahu menyokong. Jangan haraplah rakan sebangsa yang tidak Islam. Itu bukan sesuatu yang menghairankan. Hatta, kadangkala adik-beradik, saudara dekatpun bertindak sedemikian.

Saya tegaskan di sini, walaupun pahit. Saya akan memilih atau lebih mempercayai saudara yang tidak sebangsa, tetapi seagama daripada saudara sebangsa, tetapi tidak seagama, walaupun mungkin orang yang dekat dengan saya termasuk adik beradik, sepupu dan ipar duai. Saya rela dipandang hina. Mereka boleh berkata apa sekalipun. Saya telah nekad dan saya tahu apa yang saya lakukan. Bukan kerana pengaruh Umno atau diupah oleh Umno. Tanpa Umno pun saya akan terus menulis mempertahankan kepentingan saudara seagama, meskipun tidak sebangsa.

Ingin juga saya bertanya kepada saudara saya sebangsa dan seagama (Cina Muslim), selama saudara semua berjinak-jinak dengan ultra kiasu, menjadi seperti ultra kiasu, budaya hidup seperti ultra kiasu, sehingga tidak memperdulikan agenda nasional, berapa ramaikah yang telah memeluk Islam? Lembutkah mereka dengan Islam? Berapa ramaikah mereka yang telah dijinakkah untuk mendekati Islam? Semakin kendurlah kata-kata ultra kiasu “langkah mayat aku jika mahu menegakkan Islam” atau mereka semakin kuat menentang Islam?

Apakah sumbangan kita selama ini apabila Islam dihina, dikeji, dipijak dan dienjak-enjak? Paling tidak, pernahkah kita menegur atau bertindak? Jika tidak, tidak perlulah bersusah payah menyuruh saya berhenti menulis. Apakah saya langsung tidak mempunyai hak bersuara? Paling tidakpun mengikut bidang saya sendiri, kalaupun tidak benarkan saya bercakap mengikut perspektif bangsa sendiri yang beragama Islam. Perlu diingatkan, hubungan kita atau toleransi dengan bukan Islam ada batas-batasnya termasuk dengan orang yang paling rapat. Apa guna maruah bangsa terdarjat, jika agama merempat? Apa guna hati sebangsa terjaga, tetapi maruah Islam, dicaci dan dicerca? Ini perkara yang perlu difikirkan bersama.

Buktikan pada saya, apakah program-program Islam yang disokong oleh mereka? Termasuk perlaksanaan syariat Islam yang tidak ada kaitan dengan mereka, hatta kelab penyokong Pas sekalipun? Saya ingatkah kelab penyokong Pas semakin lembut dengan Islam setelah sekian lama dijinakkan oleh Pas. Namun, keadaan sebaliknya berlaku. Pendek kata, mereka terus menentang secara total dan berstrategi. Seorang bercakap, yang lain pakat-pakat saling sokong menyokong.

Biarlah dakwah Islam tidak berkembang sekalipun, tidak mengapa! Asalkan maruah Islam terjaga dan terpelihara. Lihatlah betapa maruah Islam begitu hebat dihina selepas 11 September 2001, tetapi sambutan terhadap Islam terus hebat. Kenapa? Manusia hari ini sudah bijak menilai antara hak dan batil. Langit terbuka sudah cukup memberikan ruang.

Sekadar berkongsi pengalaman tentang ultra kiasu, tahun lalu adik saya pernah menempelak secara kasar beberapa ultra kiasu yang berbual di kedai kopi, gara-gara perbualan menghina saya. Adik saya jadi berang, lalu menumbuk ultra kiasu tersebut, lalu adik saya berkata: “kalau kamu tidak kenal lagi siapa abang saya, janganlah berkata atau kutuk dia sembarangan. Saya selaku adik dia, walaupun tidak Islam, saya lebih mengetahui isi hati abang saya”. Saya tidak pernah menyuruh adik saya bertindak sedemikian. Tetapi itulah hakikat yang berlaku.

Ultra kiasu memang tidak sedar diuntung. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mematikan watak yang boleh menggugat mereka. Mereka boleh berkata apa sahaja. Kita pula diberi amaran jangan menyentuh mereka. Pendek kata, kita diminta berhati-hati apabila berkata atau menulis. Prinsip saya, adalah salah membela mereka yang menentang Islam, walaupun sebangsa. Saya akan lebih sayang kepada mereka jika mereka lembut dan bersimpati dengan Islam. Namun, tidak salah membela mereka yang tidak sebangsa, jika mereka mahukan Islam. Hatta, jika mereka tidak mahu sekalipun, kita sepatutnya lebih bersangka baik sesama Islam, kerana kita masih lagi seakidah, ibarat carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga.

Hari ini, Hasan Ali dari Pas, telah tawarkan diri untuk menjadi pengantara perpaduan Melayu Islam. Apa respon Umno dan Pas, dan parti yang mewakili majoriti orang Islam yang lain? Apakah Umno dan Pas akan merasa tergugat dengan kewujudan orang seperti Hasan Ali? Maklumlah, politik hari ini, jika ada ‘orang baru’ yang berkaliber dan berkelulusan, kita merasa terancam. Wahai umat seagama! lupakanlah yang lain, utamakan Islam. Islam mesti didaulatkan, barulah Melayu akan berdarjat. Jika Islam tidak terdaulat, Melayu akan merempat. Jangan sampai tunggu kehancuran ini.

Pas perlu menganggap orang seperti Hasan Ali sebagai aset, jika benar mereka sayangkan Islam, walaupun ada yang menganggap beliau sebagai duri dalam daging. Malah Pas perlukan ramai orang seperti ini, bukannya menjadi pak turut sahaja seperti yang selalu dirujuk kepada Umno. Jika Pas pun tidak dapat menerima dan meraikan perbezaan ini, janganlah Pas bercakap banyak lagi tentang Islam. Ambillah teladan bagaimana Rasulullah dan para sahabat meraikan perbezaan. Sehinggakan seorang anak kecilpun dibenarkan menegur dan pendapat itu diterima.

Wahai orang Umno dan Pas, kamu adalah sebangsa dan seagama, sepatutnya kamu bangsa yang tidak mempunyai masalah kerana menyembah Allah yang satu, Nabi yang satu, Quran yang satu, Syariat yang satu, Kiblat yang satu, Kalimah yang satu, Ibadah yang satu dan banyak lagi yang satu. Persoalan, kenapa dalam banyak perkara kita tidak bersatu? Amat malang sekali, jika satu bangsa seagama hancur, hanya kerana emosi yang menghantui diri, sedangkan mereka mempunyai terlalu banyak persamaan.

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sunday, December 11, 2011

Apabila penzina menghina Islam

(Sinar Harian 12.12.11)

Kebelakangan ini kita dikejutkan dengan kebiadaban pemimpin-pemimpin bukan Islam menghina amalan agama Islam, undang-undang Islam dan kedudukan Islam yang dilindungi oleh perlembagaan, secara bertubi-tubi. Seolah-olah ianya dirancang dengan sebegitu rapi, sama ada oleh parti politik, majlis peguam, NGO, individu tertentu dan sebagainya, yang tidak Islam. Pendek kata, mereka bergerak dalam segenap aspek, dalam satu pasukan menggunakan pelbagai label, pelbagai pendekatan, sama ada secara lantang, licik dan halus. Paling ketara, kita lihat mereka saling sokong-menyokong. Tidak ada yang membantah.

Islam diserang dari pelbagai sudut. Suara mereka tetap sama, senada dan seirama, tidak kira di mana berada. Tidak seperti kita, usahkan dari pelbagai sudut, perkara kecil sekalipun, masih berpecah dan bergaduh tidak ada penghujung. Apa yang amat menyedihkan adalah, tidak ramai dari kalangan kita yang berani menegurkan atau memberikan reaksi kepada tindakan biadab kumpulan bukan Islam ini. Jika teguran dibuat nanti, takut ada implikasi kepada kedudukan undi dan gugatan kuasa politik.

Sebagai agama yang bersifat universal, sebenarnya Islam begitu terbuka. Kita boleh ditegur, tidak ada masalah. Muhasabah diri amat penting dalam Islam. Hisablah sebelum diri kamu dihisab. Parti-parti politik atau orang bukan Islam boleh memberikan teguran dalam perkara lain seperti salah tadbir urus, salah laku peribadi, rasuah dan sebagainya yang dilakukan oleh sesiapa sahaja, tetapi bila tiba kepada perkara berkaitan agama Islam, jangan terlalu kurang ajar. Apatah lagi jika yang menegur itu, latar belakangnya amat menjijikkan. Seks rambang dan perzinaan sudah menjadi budaya hidupnya.

Kenapa perlu mencampuri urusan orang Islam atau agama Islam, sedangkan orang Islam tidak pernah sama sekali campur tangan dalam urusan agama mereka. Siapakah kamu wahai kiasu? Jika kami melakukan tindakan yang sama menghina agama kamu, sudah tentu mereka ibarat cacing kepanasan.

Saya amat memuji NGO-NGO yang begitu lantang mengkritik pemimpin parti politik yang suka berzina dan amat rendah moralnya ini. Saya yakin jika calon parti hina ini bertanding di kawasan majoriti Melayu, pasti mereka akan menerima akibatnya. Amat malang sekali jika kita sebagai umat Islam masih buta, yakni meletakkan calon bukan Melayu di kawasan majoriti Melayu. Jika mereka benar-benar anak jantan, biarkanlah bertanding sesama mereka. Kita lihat nanti siapakah yang akan menang? Parti politik yang berjaya menyelindungkan ultra kiasu telah berjaya memukau orang Melayu untuk mengundinya.

Saya masih lagi boleh bersabar jika mereka tidak menerima ‘hudud Pas’. Tetapi cara mereka bercakap tidak menampakkan rujukan kepada ‘hudud PAS’, tetapi menghina Islam secara keseluruhan dan isi kandung al-Quran. Perbuatan ini amat melampau.

Sebagai umat Islam kita mesti merasa sensitif. Tidak boleh pejam sebelah mata. Jangan benarkan sesiapapun menghina al-Quran. Hidup mati kita adalah dengan al-Quran. Al-Quran adalah petunjuk, kerana ia adalah kalamullah. Hatta, satu huruf al Quran, kita tidak boleh tolak. Kita wajib mengimaninya. Inikan pula menolak hukum Allah itu. Jika tidak mahu menerima, tidak mengapa. Lagipun dia bukan untuk ultra kiasu. Hanya untuk orang Islam. Tetapi jangan keluarkan kenyataan yang menyakitkan. Bayangkan jika kami mengkritik agama Buddha atau Kristian secara terbuka. Apakah reaksi ultra kiasu dalam Majlis Perundingan agama bukan Islam dan kuncu-kuncunya ketika itu. Jangan bermain dengan api wahai penzina.

Saya bersetuju dengan desakan supaya penzina yang memalukan parti dan keluarganya sendiri ini, membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan beliau berkenaan dengan hukum hudud. Ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam. Apakah kita boleh menerima kenyataan seperti pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan ‘binasa diri’ jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia.

Persoalan saya, apakah Malaysia akan menjadi daya tarikan pelabur-pelabur dengan lambakan pelacur-pelacur yang datang daripada Cina dan Vietnam yang datang ‘memberi khidmat’? Apa matlamat sebenar membawa masuk mereka ini? Apakah mungkin beliau turut melanggan kerana memang menjadi kesukaannya menyimpan mistres?

Jika tidak faham tentang Islam, mari kita belajar bersama. Lagi pula bidang undang-undang Islam, begitu jauh daripada bidang penzina ini. Sudahlah bukan bidang, banyak pula dia bercakap. Jika bidang beliau mengenai kesihatan seperti mana jawatan yang pernah dipegang sebelum ini, lebih baik dia bercakap mengenai keburukan yang dibawa hasil seks luar nikah atau seks rambang atau penzinaan.

Penzina ini juga berkata sistem perundangan itu tidak adil kepada semua pihak khususnya ke atas kaum wanita selain mengenakan hukuman-hukuman kejam yang jelas bercanggah dengan konvensyen antarabangsa. Penzina ini juga meramalkan bahawa pasaran saham akan jatuh antara 10 hingga 20 peratus jika hukum hudud digubal dan ia juga akan memberi kesan ke atas kewangan pelabur-pelabur tempatan. Wah! bukan main pandai lagi beliau meramal seperti nujum. Kenapa negara China yang mengamal sistem komunis yang nampak lebih zalim tidak dikritik? Adakah pelabur lari daripada negara Cina? Apa yang saya tahu, semakin ramai yang melabur di negara komunis itu? Tidak kurang yang mencari saudara mara mereka untuk dibawa ke sini kerana tidak tahan dengan cara hidup sana. Tidakkah komunis lebih kejam? Janganlah kerana saudara mara mereka ramai di situ, maka yang buruk dilihat baik, tetapi bila apa jua perkara berkaitan dengan Islam yang menjadi amalan kehidupan kita dihina sedemikian rupa dan yang baik dilihat buruk. Adakah kita masih buta dengan perancangan jahat ini?

Saya amat hairan kenapa kita sengaja memejamkan mata dengan strategi untuk ‘menghapuskan’ identiti Islam dan Melayu ini. Mereka bukan tidak tahu kebaikan Islam, mereka tahu. Tetapi mereka tidak mahu ada identiti Islam (Melayu) di Malaysia. Mereka mahukan sama rata dan sama rasa. Sampai bila-bila pun ultra kiasu yang berada dalam pakatan dan barisan tidak akan menerima Islam, kecuali Umno dan Pas bersatu.

Saya amat bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden Umno, sebenarnya kita tidak rasis. Mereka yang seratus kali lebih rasis. Bukan sahaja rasis, tetapi busuk hati. Mereka tidak mahu langsung negara ini dikaitkan dengan identiti Melayu dan Islam, walaupun itulah hakikat yang mesti diterima.

Seperti yang Perdana Menteri sebut, orang Melayu tidak pernah menjadi bangsa yang rasis dan bersikap pelampau kerana sejak merdeka orang Melayu sanggup berkongsi kuasa dan memberi apa yang (dirasa) adil kepada bukan Melayu. Orang Melayu telah menghulur tangan kepada orang bukan Melayu untuk membina sebuah negara yang aman, bersatu dan lebih makmur serta mengamalkan wassatiyyah (kesederhanaan) sejak dulu lagi. Jadi jangan sesekali cuba mencuit perasaan orang Melayu dengan cuba mengubah apa yang termaktub dalam Perlembagaan. Apa yang sudah kita rundingkan waktu merdeka dulu, perkara ini akan dipertahankan.

Justeru, tunggu apa lagi, marilah kita bersama-sama tanpa mengira parti dan ideologi, mempertahankan Islam yang semakin lama semakin berani dimamah dan diratah oleh ultra kiasu yang wujud di mana-mana, termasuk dalam Barisan Nasional. Mereka licik dan bijak menyamar seperti musang berbulu ayam. Kita bukan tidak tahu. Kita tahu, tetapi kita masih percaya bahawa ‘bersangka baik dan toleransi’ adalah segalanya, demi undi dan kuasa. Persoalannya, sampai bila? Adakah kita akan terus berada di pihak yang rugi.

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Monday, December 05, 2011

Bersatulah demi Islam

(Sinar Harian 5 Dis 2001)

Ketika artikel ini ditulis Perhimpunan Agong UMNO sedang berlangsung. Isu besar yang dibincangkan adalah persediaan kekuatan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13), dalam berhadapan dengan musuh politik. Pada saya, UMNO boleh serang, sindir, kutuk dan hentam parti lain. Tetapi, kepada parti PAS dan kerajaan tadbirannya (Kedah dan Kelantan), carilah pendekatan lain, berbincanglah, belajarlah berjinak-jinak dengan PAS. Jika UMNO terus mengambil pendekatan bermusuh dengan PAS, kedua-dua belah pihak akan kalah, percayalah.

Tidak ada cara lain untuk mencapai kemenangan besar dalam PRU 13, melainkan PAS dan UMNO mesti boleh duduk semeja dan paling baik bersatu. Pedulikan yang lain. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini. Tidak mengapa. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju.

Sama ada PAS atau UMNO yang memimpin kerajaan, itu sudah tidak penting lagi hari ini. Keperluan yang amat mendesak, tampok pemerintah mesti diterajui oleh umat Islam. Janganlah kata pak lebai tidak pandai memerintah, UMNO sahaja yang pandai. Apa yang penting, jangan biarkan ultra kiasu dan sekutunya berkuasa. Biarkanlah PKR dengan agenda bersama ultra kiasu. Jika PAS dan UMNO menunjukkan sikap positif antara satu sama lain, maka kecutlah kedua ultra kiasu ini.

Jangan terlalu apologetik dengan bukan Islam, sehingga terpaksa menghinakan diri sendiri, seolah-olah kita adalah peminta sedekah di bumi sendiri. Saya amat yakin jika UMNO dan PAS bersatu, masa depan amat cerah.

PAS perlu sedar, tidak ada ertinya PAS menang bersama pakatan ultra kiasu, kerana PAS tidak akan dapat meneruskan agenda Islamnya. Pakatan ultra kiasu tidak pernah bersetuju. Walaupun di sana agak ramai orang Islam. Tetapi saya amat yakin, jika PAS bersama UMNO, suatu hari pasti akan tercapai cita-citanya. Jika tidak di peringkat pusat, paling tidak, di peringkat kerajaan negeri. Itupun apabila kerajaan pimpinan negeri Kedah ditanya tentang hudud, ia bukan prioritinya. Mesti adalah hikmah di sebalik. Pengajaran di luar negara menunjukkan, apabila Hamas memenangi pilihan raya di Palestin, begitu juga parti Islam di Tunisia dan lain-lain, hudud bukan agenda utama mereka. Bukan ia tidak penting, tetapi ada agenda yang lebih besar dari hudu, terutama agenda memperkasakan umat Islam agar menjadi lebih kuat, berhadapan perancangan kafir laknatullah.

Berdasarkan analisas saya, PAS sukar untuk menambah banyak kerusi dalam PRU 13, berbanding pakatan ultra kiasu. Walaupun begitu, kedudukan PAS amat unik. PAS boleh menjadi penentu kepada nasib pakatan ultra kiasu dan masa depan Islam. Ingatlah, PAS bukan musuh UMNO, UMNO bukan musuh PAS. Musuh sebenar PAS dan UMNO adalah ultra kiasu dan sekutunya.

Persoalannya, bagaimana hendak menyatukan antara PAS dan UMNO? Usaha-usaha hendaklah dirintis, mulai dari sekarang. Walaupun perjuangan kedua-dua parti ini agak berbeza, tetapi matlamat tetap sama. PAS terlalu obses dengan hudud dan negara Islam, manakala UMNO lebih fokus kepada pembangunan yang didakwa bersifat sekular dan salah urus tadbir. Di manakah titik pertemuan kedua ekstrim ini? Jika PAS adalah kelemahan, UMNO pun begitu. Tidak sepatutnya kita saling memperkuat antara satu sama lain dan sama-sama atasi kelemahan yang berlaku. Tidak perlulah saling sakit menyakiti.

PAS mahukan hudud, tetapi pakatannya tidak. Begitu juga UMNO, terpaksa ‘menolak’ hudud, kerana mahu menjaga hati parti komponen bukan Islam yang lain. Jika UMNO bersetuju dengan PAS, maka undi bukan Islam semakin merosot. Persoalannya, adakah selama ini bukan Islam mengundi UMNO atau BN walaupun selama ini kita menjaga hati mereka? Jawapan saya tidak! Jika ya, sudah tentu banyak kerusi yang dimenangi oleh BN. Statistik menunjukkan sebaliknya, majoriti bukan Islam mengundi ultra kiasu. Persoalan lagi, perlukah kita terlalu mengharapkan undi bukan Islam? Sudah sampai masanya persoalan ini difikirkan bersama.

Saya tidak pasti cakap-cakap yang mahu meletakkan Mat Sabu bertanding di Parlimen Bukit Bintang, diikuti calon DAP di kawasan Melayu. Saya yakin, Mat Sabu pasti akan menang besar. Sifirnya amat mudah, jika Mat Sabu menang dengan majoriti besar manapun, Mat Sabu tidak boleh mendabik dada mengatakan bahawa bukan Melayu telah dan menyokong dan menolong PAS, kerana mengundi Mat Sabu adalah mengundi ultra kiasu, bukan PAS. Jangan haraplah hudud boleh dilaksanakan, sekalipun Mat Sabu atau calon PAS menang di kawasan majoriti Cina.

Ultra kiasu amat bijak. Hari ini mereka cuba memperalatkan Melayu untuk bertanding atas tiket mereka. Jika Mat Sabu diletakkan di Bukit Bintang, tidak mustahil calon Melayu ultra kiasu bertanding di kawasan majoriti Melayu. Jika perancangan ini berjaya, yang menang bukannya, PAS, tetapi tetap ultra kiasu, dari segi strategi dan perancangan masa depan. Melayu tetap diperalatkan sepertikan yang berlaku dalam sektor ekonomi dan perniagaan. Melayu dijadikan alat untuk melariskan jualan dan mendapatkan tender, sedangkan kuasa kepada Melayu langsung tidak diberikan.

Justeru, sudah sampai masanya permainan licik ini membuka mata hati kita agar tidak tertipu. Ingatlah, ultra kiasu telah bersedia di utara dan selatan. Jika dikepungnya kita nanti, yang saya yakin kekuatan mereka jauh melebihi kita, terutama negara yahudi itu, maka tamatlah riwayat kita nanti. Apakah kita tidak menjangkakan perancangan seperti ini akan berlaku? Negara yahudi selatan tanah air selalu dikunjungi. Justeru, sudah sampai masa agenda Islam difikirkan oleh PAS dan UMNO. Lupakanlah PKR. Mereka ibarat melukut di tepi ganting, jika PAS meninggalkannya.

Langkah pertama yang harus dilakukan adalah, kurangkan pertikaman lidah atau sindir menyindir. Bersangka baiklah antara satu sama lain. Itu lebih baik daripada menggunakan pelbagai platform untuk hentam menghentam. Beralah bukan semestinya kalah. Jika setiap daripada kita terus mahu menyinsing lengan, terburailah segala kelemahan kita. Percayalah UMNO tidak boleh bergantung harap kepada undi parti komponen BN yang lain, terutama MCA dan Gerakan.

Kedua, UMNO dan PAS perlu berbincang soal perlaksanaan hudud di Kelantan, jika itulah yang dimahukan oleh kerajaan PAS. Lagipun rakyat Kelantan telah memilih. Berikanlah mandat tersebut kepada mereka. Jika tidak secara terbukapun, buatlah secara tertutup. Tetapi jangan terlalu menampakkan penolakan tersebut. Saya yakin itu sudah dapat mengecutkan pakatan ultra kiasu.

Ketiga, PAS jangan terlalu berdendam terhadap UMNO disebabkan oleh dosa-dosa pemimpin masa lalu. Mari kita bina masa depan bersama kerana yang berlalu telahpun berlalu. Tidak ada ertinya jika terus dikenang-kenang. Masa lalu dan masa kini, sudah tidak penting lagi. Masa depan itu adalah segalanya. Jika Islam terus menyinari, yakinlah bumi ini pasti diberkati.

UMNO pula janganlah terlalu apologetik dengan MCA dan Gerakan, kerana belum tentu mereka mengundi UMNO. Tetapi saya amat yakin UMNO tetap mengundi MCA dan Gerakan yang bertanding di kawasan majoriti Melayu. Sebab itu, UMNO selalu kalah kerana beralah, MCA dan Gerakan tetap menang, walaupun kalah atau menang. Inilah politik Melayu yang amat merugikan masa depan Islam. Bersatulah demi Islam

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.