Sunday, August 28, 2011

Apa lagi jawapan Kristian?

(Sinar Harian 29 Ogos 2011)

Pada 5 Ogos 2011, saya telah menulis satu artikel dalam blog saya, http://ridhuantee.blogspot.com, bertajuk “Awasi dakyah Kristian”. Kisah benar bagaimana perancangan Kristian memurtadkan orang Melayu Islam ketika mereka masih kanak-kanak lagi. Namun, tidak ramai yang ambil pusing, sehinggalah berita ini diperbesarkan oleh sebuah akhbar yang dituduh oleh ultra kiasu sebagai akhbar rasis atau ultra Melayu. Akhbar ultra kiasu tidak kurang juga ultranya, tetapi mereka tidak pernah disalahkan, maklumlah sekapal.

Artikel ini pada mulanya saya tulis untuk akhbar ‘ultra Melayu’ tersebut untuk siaran 7 Ogos 2011, kerana ketika itu isunya masih panas, berkaitan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Damansara Utama. Malangnya, ia tidak disiarkan. Mungkin editor akhbar itu menganggap saya mereka-reka cerita ataupun editornya mungkin takut untuk menyiarkannya. Saya berterima kasih kepada akhbar Sinar Harian kerana begitu neutral dan berani menyiarkan setiap penulisan saya walaupun ada akhbar lain yang merasa kecut.

Cikgu S yang dimaksudkan itu adalah sahabat karib saya, seorang guru bahasa, berbangsa India beragama Kristian yang mengajar di salah sebuah sekolah rendah di Lembah Kelang. Kami sering berhubung dan bertukar-tukar pandangan mengenai agama. Beliau amat menghormati agama Islam. Seperti yang telah saya sebutkan dalam artikel itu, beliaulah yang memberikan segala bukti bagaimana seorang kanak-kanak darjah satu diajar oleh guru tuisyennya mengenai Kristian dan Nabi Isa. Kanak-kanak lebih memahami Kristian daripada Islam. Beliau telah mengambil inisiatif melaporkan kepada pihak berkuasa, tetapi tidak ramai yang mengambil berat sehinggalah berita tersebut disensasikan oleh media. Terfikir juga saya, siapa sebenarnya bertanggungjawab menjaga kepentingan Islam, orang Islam atau orang bukan Islam? Kita hanya sensitif bila isu menjadi sensasi. Maklumlah mahu mencari publisiti. Sedarkah kita akan implikasi ke atas Islam jika ramai yang murtad?

Terus terang, saya amat jarang jumpa non-Muslim yang amat prihatin dengan orang Melayu dan agama Islam. Beliau seolah-olah sudah Islam di sisi Allah SWT. Tertanya-tanya juga dalam diri, kenapa tidak ramai orang Islam seperti beliau. Saya yakin selepas ini jika identiti beliau didedahkan, beliau akan menjadi sasaran bukan Islam, terutama orang Kristian. Saya berdoa kepada Allah SWT, semoga beliau tabah dan kehidupannya diberkati. Tidak mustahil suatu hari nanti beliau akan memeluk agama Islam. Saya memohon kepada umat Islam, jika ditakdirkan beliau menjadi mangsa, marilah kita bersama-sama membelanya, walaupun beliau masih belum Islam. Masih banyak lagi bukti-bukti bagaimana jahatnya perancangan orang lain terhadap Islam yang masih belum diceritakan.

Saya sebenarnya tidak mahu bersangka buruk kepada orang Kristian. Tetapi realiti yang berlaku, membenarkan sangkaan buruk saya ini. Missionari Kristian bergerak aktif dalam segala aspek. Mereka akan mengambil kesempatan, ruang dan peluang untuk menyebarkan agamanya kepada orang Melayu (Islam), walaupun dilarang oleh undang-undang. Namun, atas alasan hak asasi manusia dan mendapat perlindungan antarabangsa, mereka nampak kebal dan tetap meneruskan niat jahat mereka mencabar kedudukan agama Islam. Sedihnya, kita terlalu berlembut.

Sedangkan kita semua tahu, agama Islam tidak boleh disamaratakan dengan agama bukan Islam. Kita boleh berkongsi nilai-nilai baik agama-agama, tetapi kita tidak boleh berkongsi agama, kerana bagi kamu agamamu, bagi aku, agamaku. Itulah ingatan Allah dalam surah al-Kafiruun, Lagipun, Islam mendapat perlindungan dalam perlembagaan. Sila rujuk perkara Perkara 8, iaitu persamaan dan hak sama rata dan pengecualian peruntukan ini dalam soal agama, kedudukan istimewa Melayu dan seumpamanya. Perkara 10 (4), iaitu batasan hak kebebasan bersuara daripada menyentuh kedudukan Raja-Raja, Islam, orang Melayu, kewarganegaraan dan seumpamanya. Perkara 38, iaitu kuasa Majlis Raja-Raja menghalang Parlimen membuat undang-undang yang menyentuh kedudukan Raja-Raja Melayu, orang Melayu, bahasa Melayu dan Islam. Perkara 150 (6a), iaitu kedudukan agama Islam, adat istiadat Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, kewarganegaraan meskipun dalam keadaan darurat. Perkara lain yang berkaitan dengan kedudukan Agama Islam ialah: Perkara 11 (4) - tentang kebatasan kebebasan agama orang Islam. Perkara 12 (2) - peranan Persekutuan dan suatu negeri dalam memajukan pendidikan Islam.

Peruntukan inilah yang membezakan antara Malaysia dengan negara-negara Islam yang lain. Negara-negara Islam yang majoriti umat Islamnya begitu besarpun tidak ada peruntukan yang sebegini rapi, misalnya Indonesia dan Mesir, tetapi kita ada. Lantaran, golongan ultra kiasu amat tidak selesa dengan peruntukan istimewa ini. Ada percubaan mendesak supaya peruntukan ini dipinda tetapi gagal. Walau bagaimanapun, tidak mustahil peruntukan ini akan dipinda atau mungkin juga dimansuhkan sekiranya umat Islam terus berpolitik dan berpecah. Kita lebih mengutamakan agenda mengekal dan mempertahankan kuasa daripada menjaga kesucian agama Islam yang semakin hari semakin ternoda.

Sedarlah wahai saudaraku, orang Melayu akan hancur tanpa Islam. Islamlah yang memartabatkan orang Melayu selama ini. Tanpa Islam atau jika ditakdirkan Islam tidak sampai ke Alam Melayu, orang Melayu masih lagi menganut agama anamisme dan menyembah berhala. Tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan ketika Melayu belum lagi memeluk Islam. Perlu diingat, ribuan tahun orang Melayu berada dalam kekufuran sebelum datangnya Islam.

Kerajaan Melayu Islam Melaka yang ditegakkan tidak begitu popular dan terkenal. Namun, setelah Melayu menerima Islam 600 tahun dahulu, tiba-tiba nama Melayu dan Melaka melonjak. Siapakah yang melonjakkan nama Melayu kalau bukan Allah SWT. Bangsa ini hanya terdarjat apabila diangkat oleh Allah menjadi bangsa bermaruah dengan Islam.

Malangnya, kita mudah lupa fakta ini. Hari ini, bukan kita ikut Islam, tetapi kita mahukan Islam ikut kita. Dalam kata lain, kita mahu Islam ikut sains, bukannya sains yang mesti mengikut Islam. Begitu juga dalam konteks pemerintahan, Islam memerintah bukannya Islam diperintah.

Justeru, janganlah hari ini kita terlalu sombong dan bongkak sehingga menjadi sukar untuk menjaga kepentingan Islam, semata-mata untuk mempertahankan harta, takhta dan kuasa. Semuanya ini hanya bersifat sementara, kerana ia bukan milik kita, tetapi milik Allah. Kuasa yang ada boleh datang dan pergi apabila tibanya masanya. Tetapi Allah dan Islam tetap akan kekal abadi. Islam tidak akan tercabut walaupun mungkin sesuatu bangsa itu mungkin pupus. Islam tetap akan terpelihara, walaupun ada yang tidak memperdulikannya. Islam mendapat jagaan Allah, tetapi kuasa dan takhta belum tentu.

Berani kerana benar, takut kerana salah. Faktor apakah yang menyebabkan sehingga kita terpaksa tunduk kepada desakan dan tuntutan orang bukan Islam yang tidak munasabah dan amat licik. Sudah terang lagi bersuluh, mereka melakukan kesalahan, kita terus bersangka baik? Mereka yang benar, menjalankan kerja dan tanggungjawab, dipersalahkan. Manakala mereka yang salah, dikatakan betul. Apakah neraca kita yang digunakan dalam penentuan timbang tara ini?










Monday, August 22, 2011

Siapa yang untung lebih?

(Sinar Harian, 22 Ogos 2011)

Pada 10 Ogos 2011 saya tersentak membaca berita 41 pelajar mendapat biasiswa Sun-MAPCU (The Malaysian Association of Private Colleges & Universities) bernilai RM4.5 juta. Saya merasa amat pelik, kenapa tidak ada seorangpun penerimanya adalah dari kalangan orang Melayu (Islam)? Adakah tidak ada permohonan? Atau tidak ada yang layak? Atau pun memang polisinya hanya untuk pelajar bukan Melayu kerana mungkin ada yang beranggapan bahawa orang Melayu (Islam) telah dibantu kerajaan?

Malangnya, tidak ada pertubuhan Melayu atau orang Melayu yang bersuara atau mendesak atau bertanyakan kenapa tidak ada pelajar Melayu yang mendapat biasiswa tersebut? Bayangkan jika semua pelajar Melayu mendapat biasiswa tersebut, apakah reaksi bukan Melayu? Sudah dapat dijangkakan. Heboh satu dunia.

Inilah sifat Melayu yang saya puji, jarang sekali kiasu, apatah lagi menjadi ultra. Kiasu ini ada baik dan buruk. Jika langsung tidak ada kiasu, bagaimana kita mahu bersaing dengan orang lain. Buruknya pula, jika kiasu sampai kepada peringkat ekstrem, ia akan menimbulkan pelbagai masalah seperti yang berlaku pada hari ini. Pendek kata, kiasu perlu ada dalam diri kita, tetapi perlu digunakan pada tempatnya. Jika terus menerus kiasu sehingga menjadi ultra, kontroversi dan masalah tidak akan selesai.

Misalnya, kontroversi biasiswa JPA terus berlaku saban tahun. Apabila senarai penerima biasiswa dikeluarkan, suara ultra kiasulah yang paling lantang. Mereka akan menyediakan senarai panjang calon-calon mereka yang dikatakan layak tetapi tidak tersenarai. Mereka tidak sedar, masih ramai pelajar Melayu yang layak juga tidak tersenarai. Jarang pula saya dengar ada NGO Melayu bertindak seperti ultra kiasu. Apakah benar nasib pelajar Melayu telah terbela?

Tidak cukup dengan itu, biasiswa yayasan-yayasan negeri yang ditawarkan turut menjadi rebutan, terutama Yayasan Selangor. Ultra kiasu semakin mendesak supaya mereka juga diberikan peluang yang sama. Saya tidak nafikan hak setiap warganegara, tetapi biarlah berpada-pada, berpandukan kepada ‘formula’ dan garis panduan yang ada.

Jika ada kalangan ahli mereka yang layak tidak dapat atau tercicir, maka hebohlah satu dunia, dengan mengatakan bahawa hak bangsanya dinafikan oleh agensi-agensi tersebut. Mereka akan mencanangkan berlaku diskriminasi. Kenapa perlu ada sistem kuota? Pendek kata, ini tidak adil, itu tidak adil, semuanya tidak adil selagi tidak berlaku fair and square. Tidak lama lagi, jika kerajaan mengiktiraf UEC (Unified Examination Certificate), yakni sijil yang dikeluarkan oleh sekolah persendirian Cina, perebutan dan persaingan akan menjadi semakin sengit, walaupun ada kalangan mereka yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi mendapat pangkat yang baik dalam peperiksaan.

Isu ini sengaja dipolitikkan oleh ultra kiasu untuk mendapatkan sokongan walaupun hakikatnya pemberian biasiswa JPA adalah terjemahan kepada apa yang terkandung dalam kontrak sosial dan perlembagaan negara yang telah dipersetujui oleh semua kaum. Akibat tekanan dan desakan ini, ditambah pula kepentingan politik, kini pemberian biasiswa tidak lagi mengira kuota, tetapi berasaskan kepada merit peperiksaan semata-mata. Temuduga yang cuba dilakukan oleh JPA ditentang habis-habisan, kerana mereka tahu apa kelemahannya.

Sebaliknya, jika mereka telah mendapat sebahagian besar bantuan tersebut, maka isu ini disenyapkan. Pada saya, jika mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan hak semua kaum, kenapa mereka tidak bersuara apabila tidak ada orang Melayu (Islam) tidak tersenarai sebagai penerima biasiswa Sun-MAPCU tersebut.

Inilah strategi yang amat licik, biasiswa mereka, untuk mereka sahaja. Manakala biasiswa orang lain hendaklah dikongsi. IPTS untuk mereka sahaja (walaupun terbuka), IPTA mesti dikongsi bersama. Syarikat mereka untuk orang mereka sahaja, manakala syarikat kerajaan mesti dikongsi bersama. Dalam kata lain, hak orang lain mesti dikongsi, manakala hak sendiri untuk bangsa sendiri.

Trend sebegini tidak akan berhenti setakat ini sahaja, ia akan bertali-temali dalam segala sektor dan profesion pekerjaan. Kesan jangka panjang amat tidak menguntung kita jika tidak ditangani dari sekarang. Syarikat-syarikat bukan Melayu (sektor swasta) akan mengambil graduan-graduan IPTS kepunyaan kaum tertentu. Manakala dalam sektor awam pula yang dikatakan dipenuhi oleh orang Melayu, perlu dibuka kepada semua kaum.

Setiap parti politik berasaskan akan menjadi mata dan telinga atau watch dog dalam jabatan kerajaan. Mereka akan melihat segala ruang dan peluang untuk memberikan yang terbaik kepada kaumnya. Jika ada yang pincang, mereka akan keluar sebagai jaguh. Jika ‘formula’ ini terus dibiarkan berjalan, akhirnya nanti, siapa yang untung, siapa yang rugi? Janganlah dibincangkan keuntungan dalam jangka masa panjang.

Saya amat yakin, apabila dicampur tolak nanti, keputusannya tidak banyak berpihak kepada Melayu dan bumiputera. Puncanya kerana kita tidak menguasai ekonomi. Akibatnya, pribumi terpaksa berpaut atau bergantung kepada kerajaan. Justeru, kerajaan perlu melihat perkara ini dengan serius. Kepentingan jangka pendek tidak akan kekal lama berbanding kepentingan jangka panjang. Justeru, hari ini kita perlu bangkit, apa yang menjadi hak kita, mesti diperjuangkan, kita boleh senyap atau mengalah sahaja. Memang sifat ini baik, tetapi untuk berhadapan dengan ultra kiasu, kita mesti juga turut agresif.

Sebenarnya, saya tidak mahu melakukan tolak campur ini, tetapi perkembangan mutakhir ini menjadi saya begitu teruja. Lebih serius lagi hari ini kebanyakan ahli-ahli perniagaan, dan jutawan bangsa-bangsa tertentu mencurahkan segala derma dan sumbangannya kepada IPTS berasaskan bangsanya yang sahaja. Mereka juga mendapat pengecualian cukai.

Akhirnya nanti, cukai pendapatan akan menjadi semakin kurang. Sudah tentu ia akan meninggalkan kesan kepada IPTA. IPTA-IPTA yang begitu banyak terpaksa berkongsi peruntukan kerajaan. Sedangkan IPTS mendapat bantuan mencurah-curah daripada hartawan dan jutawan berasaskan kaum.

Saya yakin, dalam jangkamasa panjang, IPTA tidak akan mampu bersaing dengan IPTS berasaskan kaum. Tidak perlulah saya berbicara soal IPTA antarabangsa, sudah tentu kabelnya lebih besar.

Pengajaran yang lalu perlu diambil sebagai iktibar. Ia amat dituntut dalam Islam. Misalnya, kedudukan Bahasa Melayu. Saya telah pergi ke sebuah bank yang baharu sahaja melakukan penggabungan. Polisi bank tersebut, adalah pertama bahasa Inggeris, kedua bahasa Mandarin dan ketiga lain-lain bahasa. Petunjuk atau papan tanda dalam bahasa Melayu dalam bank tersebut hampir tiada, kecuali dua atau tiga orang pekerja kaunter sahaja yang berbangsa Melayu. Itupun mereka begitu berlagak menggunakan bahasa lain. Tidak lama lagi bahasa Melayu akan pupus.

Justeru, di manakah slogan Malaysian first seperti yang dicanangkan. Apabila ada di antara kita yang berkata Malay first, heboh satu dunia menuduh orang ini rasis orang itu rasis. Tetapi apabila mereka mengenepikan agenda nasional, mengutamakan bangsa sendiri, itu bukan rasis namanya. Politik rimba apakah ini? Jangan jadi kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu.

Sunday, August 14, 2011

Sumbangan siapa patut dihargai?

(Sinar Harian 15 Ogos 2011)

Insiden serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja Methodist di Damansara Utama sengaja diperbesar-besar untuk meraih simpati, seolah-olah mereka ditindas, tidak bersalah dan tidak diberikan hak. Tindakan Jais dipersalahkan seratus peratus. Mereka sahaja yang betul dan suci. Licik sungguh perancangan ultra kiasu ini.

Awalnya saya cuba bersangka baik terhadap mereka ini demi dakwah, tetapi berdasarkan pengalaman berkecimpung dalam NGO, amat sukar rasanya untuk berbuat demikian memikirkan betapa liciknya mereka ini. Untuk menutup kelemahan, maka kehebatan merekapun ditonjolkan seperti sumbangan keluarga La Sallian, Mother Theresa, Gerakan Methodist dan Catholic dan sebagainya. Bacalah rencana meloyakan ini dalam laman-laman pro-mereka.

Saya tidak menafikan sumbangan semua kaum di negara tercinta ini. Tetapi jika semuanya mahu berkira, elok kita melakukan kira-kira dan tolak campur untuk melihat siapakah yang memberi lebih banyak sumbangan?

Perlu diingat, negara ini bukan seperti negara kepulauan Melayu yang lain seperti Indonesia atau Singapura. Janganlah terlalu biadab dan kurang ajar mencampuri hal ehwal Islam. Agama Islam dilindungi oleh perlembagaan persekutuan. Bukan itu sahaja, hal ehwal Islam dan keadaan umat Islam di bawah bidang kuasa penuh negeri dan sultan. Jabatan Agama ada hak untuk bertindak sekiranya wujud keadaan yang boleh mengganggu-gugat kedudukan agama Islam. Selama ini kita tidak pernah bertindak kejam terhadap bukan Islam. Begitulah berhikmahnya kita dalam menjaga bukan Islam dan hak mereka, sehingga hak sendiri terabai.

Oleh kerana pihak Kristian terlalu banyak bercakap soal sumbangan, sempena bulan kemerdekaan ini mari kita nilai sumbangan siapakah yang paling besar kepada negara tercinta ini, supaya kita tidak terlalu terhutang budi dan terjebak dalam perangkap mereka. Gerakan mereka ditaja oleh missionari antarabangsa.

Setelah dicongak-congak, pada hemat saya, sumbangan pribumi Melayu Islamlah yang paling besar. Tidakkah toleransi Melayu Islam hari ini yang menyebabkan orang lain boleh jadi kaya raya dan mengamalkan agama mereka seolah-olah negara ini bukan lagi negara Islam? Sumbangan yang tidak ada tolok bandingnya adalah sumbangan memerdekakan negara tercinta ini daripada penjajah berniat jahat membawa mesej gold, glory dan gospel (3G) serta ancaman komunis. Saya tidak fikir orang Melayu Islam tidak boleh mengurus estet, lombong dan bandar jika ditakdirkan tidak berlaku penghijrahan ketika itu.

Bacalah bersama sejarah mengenai kebangkitan nasionalisme. Tokoh-tokoh Melayu dan bumiputera seperti Penghulu Dol Said, Naning (1831-32), Raja Mahadi, Selangor (1867-74), Sultan Abdullah, Raja Ismail, Dato Maharaja Lela, Tok Sagor, Pandak Endut, Perak (1875), Tengku Antah, Negeri Sembilan (1875-76), Tok Gajah, Dato Bahaman, Mat Kilau, Pahang (1891-95), Sharif Masahor, Rentap, Banting (1853-1908), Mat Salleh, Antanum, Sabah (1894-1905), Tok Janggut, Kelantan (1915), Abdul Rahman Limbung (1921-28) dan banyak lagi tokoh-tokoh yang boleh ditonjolkan akan besarnya sumbangan mereka menentang 3G tersebut. Siapa pula tokoh-tokoh yang menentang komunis?

Kenapa jarang sekali mendengar nama-nama bukan Melayu atau orang Kristian ketika itu, yakni saat yang paling getir era 1800an hingga 1900an? Ketika itu orang bukan Melayu sudah berada di Tanah Melayu.Wajah-wajah bukan Melayu hanya muncul sekitar tahun 1950-an, detik ketika penjajah sudah memang tidak dapat bertahan lagi. Maka, sebagai syarat, kemerdekaan hanya diberikan jika Melayu dapat menerima bukan Melayu. Sebagai timbal balik hak-hak istimewa Melayu diberikan dan kedudukan agama Islam dilindungi. Penjajah sedar ‘dosa besar’ yang mereka telah lakukan. Penyatuan antara kaum hanya alasan British sahaja. Jika ketiga-tiga kaum ini tidak bersatupun ketika itu kebangkitan nasionalisme Melayu Islam sudah sampai ke peringkat puncak.

Bayangkan ketika Melayu Islam berkeras untuk tidak menerima bukan Melayu. Selepas merdeka, apakah nasib bukan Melayu ketika itu? Tetapi inilah kebaikan Melayu Islam yang kita tidak boleh lupakan sama sekali, malah seumur hidup. Kini, sewenang-wenang kita mahu melupakan jasa-jasa mereka, dengan menonjolkan sumbangan La Sallian, Mother Theresa dan gereja yang lain. Tidak cukupkah kebebasan beragama yang dibenarkan tanpa had? Masih tidak bersyukur? Di negara China, etnik Cina Islam Uighur dilarang menunaikan ibadah puasa, bersolat tarawih atau menjalankan sebarang aktiviti keagamaan. Pernahkah kerajaan Malaysia bertindak sedemikian kepada minoriti di sini? Jangan terlalu besar kepala.

Satu lagi, orang Melayulah yang paling berani dan merasa kesakitan yang amat sangat ketika menentang Malayan Union. Jika benar, bukan Melayu mahu bersama-sama menyumbangkan jasa memerdekakan negara, kenapa Malayan Union tidak ditentang? Jawapannya mudah, Malayan Union menguntungkan mereka. Ditakdirkan Malayan Union berjaya, maka hancurlah orang Melayu, bermaharajalelalah mereka ketika itu. Bertambah cepatlah negara ini menjadi negara Kristian.

Janganlah terlalu menonjolkan sumbangan yang kecil untuk mengaburi sumbangan yang besar. Bangkai gajah tidak akan dapat dilenyapkan oleh bangkai nyamuk. Kecuali gajah itu sendiri yang melenyapkan bangkainya, sehingga bangkai nyamuk menjadi perhatian. Bangkai nyamuk inilah yang diperbesar-besarkan.

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao janganlah terlalu biadab mengeluarkan kenyataan tanpa mendengar dahulu penjelasan Jais. Saya sudah dapat menjangkakan pendirian ini, jika ditakdirkan kenyataan itu tidak dikeluarkan. Jais dan polis menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama dalam ruang lingkup yang dibenarkan undang-undang. Apakah majlis tersebut benar-benar makan malam? Atau ada udang di sebalik batu? Janganlah menipu. Saya tidak nampak tindakan Jais melanggar kebebasan rumah ibadat yang dijamin Perlembagaan.

Menurut A. Kadir Jasin, tiada siapa yang menafikan bahawa bukan Melayu juga menyumbang kepada perkembangan dan kematangan ekonomi negara, tetapi ia berasaskan kepada prinsip keuntungan. Mereka menyumbang kepada perkembangan ekonomi kerana suasana politik yang stabil sejak 1969 membolehkan mereka meraih keuntungan yang besar daripada apa yang mereka laburkan. It is not altruism - bukan sumbangan percuma yang tidak mengharapkan sebarang alasan! Mari kita hadapi realiti. Selain Singapura yang berupa negara kecil dan majoriti penduduknya Cina, tidak ada tempat lain di dunia di mana orang Cina mempunyai kuasa politik yang begitu luas serta memonopoli ekonomi selain daripada di bumi Malaysia ini. Pilihan raya demi pilihan raya membuktikan bahawa yang menjadi tonggak Barisan Nasional adalah orang Melayu dan Bumiputera lain. Malah majoriti calon bukan Melayu BN yang menang pilihan raya menang di kawasan majoriti Melayu Islam.

Lihatlah betapa besarnya pengorbanan dan toleransi Melayu Islam. Orang lain bagaimana pula? Misalnya, kerajaan negeri Perak meminta Ipoh Hindu Devastana Paripalana Sabah menyerahkan lebih kurang setengah ekar tanah rizab perkuburan Hindu di Buntong bagi tujuan pembinaan sebuah krematorium moden bagi masyarakat bukan Islam. Idea ini ditentang habis-habisan secara bersepadu. Berita ini disensasikan. Bila tanah rezab mereka diambil sedikit, heboh satu dunia. Tetapi sedarkah kita berapa banyak tanah rezab Melayu yang telah tergadai? Melayu tetap diam, tidak pernah bisingpun. Malangnya sungguh jadi Melayu, hak dan maruah telah tergadai, masih terus berlembut. Orang lain pantang diusik. Ini nasib Melayu di bumi Melayu.

Monday, August 08, 2011

Perlukah Kementerian Hal Ehwal Bukan Islam?

(Sinar Harian 8 Ogos 2011)

Menyambung bicara saya mengenai Ibrahim Ali minggu lalu. Segelintir ultra kiasu dalam parti komponen Barisan Nasional begitu anti dengan beliau. Misalnya, seorang perwakilan dalam Mesyuarat Agong MIC ke 65 membawa seekor katak, bagi tujuan menghina Ibrahim Ali atas tindakannya selama ini. Ini belum termasuk kenyataan Presiden MIC yang baru dilantik menjadi menteri penuh, mengancam akan keluar dari Barisan Nasional (BN) jika BN menerima parti lain yang mewakili masyarakat India. Kadangkala terfikir juga, bolehkah bukan Islam ini dipercayai? Atau mereka hanya mengambil kesempatan sahaja. Maaf, saya tidak kata semua.

Sebelum itu, paderi bergelar Tan Sri yang menyertai rombongan Perdana Menteri ke Rom bagi mewujudkan hubungan diplomatik dengan Pope Benedict XVI Gereja Roman Katolik, sekali lagi mendesak Putrajaya mewujudkan kementerian hal ehwal bukan Islam ekoran hubungan dua hala dengan Vatican. Pendek kata, suara bukan Islam berlainan bangsa seolah-olah senada. Manakala, umat Islam yang bergelar satu umat, tidak pernah senada. Bergaduh tidak pernah reda. Yang peliknya, bila berhadapan dengan bukan Islam, lembut gigi daripada lidah. Sesama Islam begitu keras sekali pendekatannya.

Persoalan saya, adakah umat Islam yang menjadi minoriti di negara bukan Islam dilayan sebaik ini? Terdapatkah kementerian hal ehwal Islam seperti ini di negara China, India dan negara barat yang lain? Umat Islam tidak kurang ramainya di negara-negara tersebut. Beri betis nak peha. Apa lagi hak bukan Islam yang tidak dipenuhi di negara bertuah ini? Pergilah ke negara lain, lihatlah nasib minoriti dari segi bilangan rumah ibadat mereka, kubur mereka, dan sebagainya, cukuplah untuk membuktikan betapa beruntungnya kita di sini.

Perancangan licik ini amat jelas walaupun penganutnya kurang dari sepuluh peratus. Mereka terus mendesak kerajaan mewujudkan Majlis Antara Agama, berbanding jawatankuasa sedia ada. Jika diwujudkan, pasti mereka akan mendominasi menenggelamkan agama-agama lain yang lebih ramai penganutnya.

Permasalahan yang timbul tidak semesti diselesaikan dengan menubuhkan kementerian bukan Islam seperti yang pernah dikemukakan Mac lalu ekoran penahanan 35,000 kitab Injil versi Bahasa Malaysia oleh Kementerian Dalam Negeri - yang diimport dari Indonesia untuk penganut Kristian.

Orang kuat Kristian itu berkata lagi, mereka mahukan kerajaan membenarkan Katolik meneruskan seminar latihan paderi untuk menggalakkan penganut Kristian-Katolik mendapat pendidikan dan kursus guru selain mewujudkan hubungan dua hala antara institusi agama Islam dan Pontifical Institute for Arabic and Islamic Studies. Hairan saya, tidak cukup lagikah kemudahan dan kelonggaran yang diberikan selama ini. Setiap hari cuti (ahad) saya lihat, pelbagai aktiviti diadakan di hotel-hotel dan dewan-dewan. Memperlihatkan seolah-olah syurga Kristian berada di sini, bukan di negara-negara barat. Itupun tidak cukup lagi.

Tidak semestinya apabila kerajaan ultra kiasu menubuhkan portfolio majlis eksekutif untuk menjaga isu-isu keagamaan bukan Islam pada Februari tahun ini, maka kita perlu mengikutinya. Sesuatu tindakan perlu berasaskan kepada perlembagaan dan sensitiviti masyarakat setempat terutama pribumi.

Masihkah kita ingat, sebelum ini mereka mendesak supaya ditubuhkan The Interfaith Commission of Malaysia (IFC), tetapi masih belum berjaya. Jika kerajaan tunduk kepada desakan mereka, maka berjayalah perancangan dan misi mereka selama ini yang telahpun tercapai walaupun, badan secara formal belum ditubuhkan.

Tujuannya tidak lain bila ada badan yang sah di sisi undang-undang, mereka mempunyai kuasa undang-undang yang boleh mengubah sesetengah agama akibat didesak oleh agama lain. Mari kita saksikan tuntutan mereka yang boleh dikatakan ‘berjaya’ walaupun kononnya badan rasmi belum ditubuhkan.

Pertama, seseorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharus secara menjadi Islam. Kedua, orang bukan Islam yang telah memeluk Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembalikepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan undang-undang. Ketiga, sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendali oleh mahkamah syariah tetapinya dikendali tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.

Keempat, tidak perlu dicatatkan dalam kad pengenalan Islam sebagai agama seseorang Muslim. Kelima, Orang bukan Islam tidak perlu memeluk Islam jika ingin berkahwin dengan orang Islam. Orang Islam hendaklah dibenarkan murtad jika ingin berkahwin dengan bukan Islam tanpa tindakan undang-undang.

Keenam, pasangan suami isteri yang salah seorangnya memeluk Islam, tidak mempunyai hak jagaan terhadap anak. Ketujuh, kerajaan mesti menyediakan dana mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah ibadat bukan Islam seperti dana untuk masjid. Kelapan, orang bukan Islam mempunyai hak ke atas harta ahli keluargannya yang memeluk Islam (jika meninggal).

Kesembilan, orang bukan Islam boleh menggunakan dan tidak boleh dihalang menggunakan perkataan-perkataan suci dalam Islam. Kesepuluh, bible bahasa Malaysia dan Indonesia mesti dibenarkan diedarkan secara terbuka untuk bacaan umum. Kesebelas, pelajaran agama bukan Islam mesti juga diajar disekolah seperti mana pelajaran Islam. Keduabelas, Program berunsur Islam dalam bahasa ibunda hendaklah ditiadakan. Manakala, program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing

Ketigabelas, orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat hendaklah boleh digunakan untuk keperluan bukan Islam. Keempat belas, Islam tidak sepatutnya disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah (termasuk doa pagi).

Ringkasnya, belumpun tertubuh kementerian atau badan yang dicadangkan, sebahagian besar 14 permintaan mereka telah terlaksana. Apa lagi yang mereka mahu kalau bukan untuk menjadikan negara ini sebagai medan gerakan mereka kerana kebebasan sebegini tidak lagi terdapat di negara lain. Kerajaan Malaysia yang sedia ada sudah begitu baik dalam menjaga hak bukan Islam sehingga menenggelam agama rasmi negara. Rumah ibadat bukan Islam sudah melebihi 100,000 buah berbanding 20,000 surau dan masjid, sedangkan bilangan mereka kurang daripada 50 peratus. Apa lagi yang kita mahu?

Ibarat beri betis nak peha, golongan ini tidak pernah berhenti atau berputus asa, dari mendesak dan menuntut, memperlihatkan seolah-olah ada tangan-tangan di luar sana yang mengaturkan semuanya ini. Jika tidak, mana mungkin mereka begitu berani dan bersungguh-sungguh, sedangkan hak dan bahagian mereka telahpun diberikan, sehinggakan kita agak sukar untuk membandingkan antara hak mereka dengan hak istimewa orang Melayu (bumiputera). Apakah lagi hak dan bahagian yang masih tinggal kepada peribumi, biasiswa? UiTM? kuota pembelian rumah? lesen? dan sebagainya? Boleh dikatakan semua telah mendapat bahagiannya, sama ada secara sedar atau tidak! Kenapa kita perlu merasa tergugat apabila diasak dan didesak?

Jawapannya, adalah disebabkan oleh kepentingan kuasa politik dan sentimen kepartian mengatasi segala. Ramai yang beranggapan parti politik adalah alat untuk mendapatkan kuasa. Dengan memegang kuasa, mereka akan mendapat merasai ketenangan dan kesenangan hidup. Mereka lupa bahawa kuasa tidak dapat menguruskan lenanya tidur, kuasa tidak dapat membeli selera makan, kuasa tidak dapat membeli waktu muda dan sebagainya. Kuasa hanya bersifat sementara kerana yang Maha Berkuasa hanyalah Allah SWT. Allah SWT sahajalah yang akan kekal. Allahlah yang berkuasa memberikan nikmat tidur, selera makan dan sebagainya. Dengan sebab itu Rasulullah SAW mengingatkan supaya kita menggunakan masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sempit, masa kaya sebelum papa dan masa hidup sebelum mati.

Manusia hanyalah penjaga amanah di muka bumi ini. Dunia ini hanyalah pinjaman. Maka manusia dipertanggungjawabkan menjaga amanah ini. Amanah ini mesti diuruskan dengan baik mengikut petunjuk dan kejadianNya. Jika bumi ini pada asalnya adalah kepunyaan Melayu, makan tonjolkanlah identiti Kemelayuannya. Jangan sampai identiti itu hilang entah ke mana.

Bandingkanlah dengan bumi-bumi yang lain. Identiti dan jatidiri mereka yang Allah SWT anugerahkan tidak pernah hilang, malah semakin kuat mencengkam. Negeri China dengan Kechinaannya, India dengan Keindiaannya, Arab dengan Kearabannya, Siam dengan Kesiamannya, Nyanmar dengan Kenyanmarannya, Amerika dan Keamerikannya dan banyak lagi. Ini bukan bermakna, kita mengenepikan kepentingan agama dan bangsa lain. Tetapi mesti ada sebab Allah mencipta atau menjadikan sesuatu bangsa di sesuatu tempat. Justeru, agama dan identiti bangsa yang tidak bertentangan perlu diadunkan agar terpancar identiti mereka supaya tidak tenggelam ditelan zaman.

Sama juga dengan identiti dan jati diri Kemelayuan. Banyak budaya melalui identiti dan jati diri yang terpancar tidak bertentangan dengan Islam seperti soal bahasa, pakaian, seni budaya pergaulan, makanan dan sebagainya. Tetapi di manakah penonjolannya dapat dilihat, di televisyenkah? di radiokah? di papan-papan tandakah? atau di mana-mana yang boleh dilihat!

Nampaknya, semakin sukar untuk dijumpai. Ada Dewan Bahasa dan Pustaka, peranannya tidak dimartabatkan. Kita terlalu sibuk dengan bahasa Inggeris. Usahlah dibincangkan bahasa al-Quran. Di televisyen dan radio, seolah-olah menjadi milik setiap kaum. Begitu juga dengan kemunculan institusi pendidikan yang sedia ada. Semuanya telah dihakmilikkan oleh kaum-kaum yang ada. Setiap kaum membawa haluan masing-masing mengikut identiti dan jati dirinya.

Lebih malang lagi, institusi yang diterajui oleh orang Islam sendiri tidak berjaya mempamerkan identiti dan jati diri tersebut. Misalnya, stesen penyiaran kita? Identiti dan jati diri apakah yang ditonjolkan yang menjadi tontonan anak-anak kita seharian? Kita lebih terpengaruh dengan cara dan gaya hidup barat. Akhirnya, sebuah negara yang asalnya beridentitikan satu bangsa, menjadi caca merba. Tidak ada arah tuju.

Justeru, sudah sampai masanya kita melihat kembali identiti dan jati diri ini, tanpa menafikan hak orang lain, sebelum ianya hilang dan pupus begitu sahaja. Apabila sesuatu itu telah hilang dan pupus, amat sukar untuk dikembalikan. Hari ini, kita diasak dan didesak, semua perancangan ini bertujuan untuk menghilangkan identiti dan jati diri itu. Tetapi kita masih buta. Perebutan kuasa telah membutakan kita semua. Kita seolah-olah mengikut telunjuk orang lain. Akibatnya kaduk naik junjung. Bayangkanlah jika wujudnya sebuah kementerian hal ehwal bukan Islam, dapatkah kita jangkakan apa yang akan terjadi?

Friday, August 05, 2011

Awasi dakyah Kristian

Artikel ini adalah respon terkini mengenai dakyah Kristian.

Segelintir pihak Kristian hari ini menjadi semakin berani. Desakan, tuntutan dan ugutan dikemukakan kepada kerajaan, walaupun bilangannya kurang daripada 10 peratus. Peluang keemasan ini dimanipulasikan sepenuhnya dalam keadaan umat Islam negara ini begitu tersepit dengan perpecahan yang melanda. Sebelum ini, mereka mendesak kerajaan menubuhkan kementerian hal ehwal bukan Islam. Tindakan ini begitu mencabar kesucian Islam dan mengundang bahaya kepada kedudukan agama Islam selaku agama majoriti dan agama persekutuan jika dibenarkan.

Kebetulan pula, seorang kawan baik saya berketurunan India, beragama Kristian, bersimpati dengan Islam, menelefon saya baru-baru ini. Beliau yang mengajar di salah sebuah sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur, mengadukan kepada saya mengenai seorang murid Melayu darjah satu yang diajar oleh guru tuisyen Kristian berbangsa Cina mengenai Kristian dan menghafal lagu-lagu Kristian. Saya mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan oleh murid tersebut dengan teliti melalui telefon bimbit guru tersebut yang diserahkan kepadanya. Ternyata, anak kecil yang masih mentah dan tidak berdosa ini telah dicorakkan oleh guru Kristian tersebut melalui kelas tuisyen.

Tindakan guru tuisyen benar-benar keterlaluan dan amat kurang ajar. Saya amat mengharapkan pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas sebelum nasi menjadi bubur. Cukuplah dengan beberapa orang yang telah dimurtadkan secara berani seperti Aishah Bukhari, Azlina Jailani dan sebagainya. Ramai lagi sebenarnya yang menjadi mangsa, ini tidak termasuk yang masih belum dibuktikan. Hakikatnya, perancangan Kristian untuk menjadikan Malaysia sebagai syurga gerakan dakwah mereka memang tidak dapat dinafikan. Ianya bermula sejak mereka di bangku sekolah. Berhati-hatilah dengan guru-guru dan paderi-paderi musang berbulu ayam ini. Mereka akan menggunakan segala platform yang ada, atas nama pertubuhan, kelas tuisyen dan apa jua ruang dan peluang. Tindakan mereka begitu jelas bercanggah dengan perlembagaan persekutuan. Apakah kita masih mahu terus berdiam diri dan bersangka baik?

Berita terbaru mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama, di Petaling Jaya kerana terdapat bukti wujudnya percubaan memurtadkan umat Islam di negeri ini langsung tidak mengejutkan saya. Saya amat yakin perancangan jahat ini memang telah lama berlaku. Jika tidak percaya tanya exco Kristian dalam kerajaan negeri Selangor. Cuma dia pura-pura tidak tahu apabila ditanya. Begitu juga paderi-paderi yang terlibat. Ibarat lontar batu sembunyi tangan. Mereka akan cari seribu satu alasan untuk menunjukkan bahawa mereka tidak bersalah. Malangnya kita terlalu berlembut kerana takut undi lari dan kalah dalam pilihan raya. Sedangkan mereka begitu bersatu tanpa berbelah bahagi mempertahankan tindakan mereka.

Kita selalu bertindak menjaga kepentingan jangka pendek, melupakan kepentingan jangka panjang. Jika beginilah cara kita berpolitik, saya amat bimbang semakin ramai orang Melayu akan menjadi Kristian suatu masa nanti. Jangan perjudikan masa depan Islam, buruk padahnya. Gunakan peruntukan perlembagaan sedia ada. Lindungilah Islam sebelum terlambat.

Saya amat mengharapkan kita tidak akan tunduk kepada penafian mereka, seolah-olah mereka tidak bersalah. Mereka mesti disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995. Seksyen itu memperuntukan mereka yang menghina Islam atau menyebabkan agama itu dipandang hina; mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan. Mereka yang disabitkan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Ikut saya, peruntukan ini terlalu ringan, undang-undang ini perlu dihalusi lagi untuk diberatkan lagi hukumannya.

Walaupun pihak Kristian menafikan tindakan mereka dengan mengatakan bahawa majlis makan malam diadakan dalam semangat 1Malaysia oleh Harapan Komuniti (NGO Kristian), bertujuan menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan. Semua itu adalah alasan sahaja. Mereka mahu berselindung di sebalik kerja-kerja amal. Dua puluh tujuh tahun dahulu, ketika saya menganut agama Kristian, helah ini juga digunakan untuk mengKristian pelajar-pelajar di asrama. Saya tahu perancangan licik mereka.

Saya memohon kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya campurtangan dan menjaga kesucian agama Islam daripada perancangan licik segelintir paderi-paderi Kristian ultra kiasu ini sebelum nasi menjadi bubur.

Jika kita mahu pastikan negara-negara Melayu Islam tidak tercemar lagi, seperti pencemaran yang telah mereka lakukan di Singapura dan Indonesia, tidak ada cara lain, selain bertindak tegas menggunakan peruntukan perlembagaan sedia ada. Jangan berlengah lagi. Tindakan perlu diambil terhadap golongan lempar batu sembunyi tangan.

Saya yakin ibu bapa murid tersebut tidak tahu menahu akan perkara tersebut. Jika ibu bapa murid tersebut tahupun, mereka tidak akan mensensasikan isu tersebut. Inilah sifat orang Melayu yang kadangkala meresahkan saya. Kepala sudah dipijak-pijak tetapi masih terus berlembut.

Berbeza sekali dengan sikap agresif ultra kiasu menangani iklan Ramadan TV8 yang dikatakan rasis. Bila hak mereka tercuit sedikit, heboh satu dunia seolah-olah negara bertuah ini begitu zalim terhadap mereka.Saya berulang kali menonton iklan tersebut melalui sebuah laman web. Saya tidak nampak di mana rasis sebagaimana yang didakwa. Tema sekadar menghormati agama sensitiviti umat Islam. Ia tidak ada kaitan sama ada iman kita lemah atau kuat. Takkan sekian lama hidup di negara bertuah ini masih tidak tahu atau tidak faham sensitiviti umat Islam? Apa erti agama Islam sebagai agama persekutuan jika tidak difahami dan dihormati.

Niat iklan tersebut adalah baik. Tetapi telah dimanupulasikan dan disensasikan. Beradab dan bersopan, adalah tuntutan semua agama. Menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara, adalah wajar terutama di bulan Ramadan. Adalah kurang adab jika kita makan di khalayak ketika umat Islam sedang berpuasa, atau sengaja memakai pakaian yang tidak senonoh, yang ditentang oleh semua agama.

Sama seperti mengunjungi majlis kematian orang bukan Islam. Adalah tidak manis jika umat Islam datang dengan pakaian berwarna merah. Saya yakin jika ada umat Islam datang dengan berbaju merah ketika majlis kematian, sudah tentu akan heboh 1Malaysia. Ini yang dikatakan bila kita lakukan sesuatu dikatakan rasis, tidak sensitif, tidak menghormati hak orang Islam.

Bila mereka yang melakukannya itu dikatakan sebagai hak. Ini bukan bermakna agama lain tidak perlu dihormati. Namun, oleh kerana agama Islam adalah agama majoriti dan agama rasmi pula, saya fikir tidak salah jika bukan Islam memberikan sedikit penghormatan. Memang secara peribadi tidak teruja langsung orang makan di depan saya atau mahu telanjang sekalipun ketika berpuasa, nak muntah ada, tetapi kita bercakap soal adab sopan dan sensitiviti.

Siapa yang akan mempertahankan kesucian agama Islam jika bukan kita. Janganlah menggantung harapan bahawa orang lain akan mempertahankan kita. Bila hak ita diambil itu dikatakan hak, bila hak mereka diambil, itu dikatakan rasis dan tidak adil. Licik sungguh politik dan strategi mereka. Apakah ini bukan ultra kiasu namanya? Apabila kerajaan melarang menggunakan nama Allah, menahan Al-Kitab (bible) dalam bahasa Melayu untuk diedarkan, maka berkokoklah mereka dengan mengatakan itu hak mereka. Namun, apabila kita melarang mereka menyebarkan agama bukan Islam kepada orang Melayu kerana bertentangan dengan perlembagaan, maka mereka mencari seribu satu alasan untuk menjustifikasikan tindakan biadab ini.

Bila kita kemukakan bukti nanti, mereka akan canangkan kepada dunia, Malaysia tidak ada kebebasan beragama. Maka gagasan 1Malaysia akan dijadikan hujah untuk mempertahankan tindakan mereka. Malangnya sungguh gagasan ini, sengaja dimanipulasi untuk menghalalkan tindakan mereka. Akhirnya, kita salah, mereka yang betul.

Tidak kurang juga banyak iklan-iklan mengenai perlakuan negatif realiti orang melayu seperti merempit, menagih dadah dan pelbagai lagi, tetapi orang Melayu tidak pernah melompat seperti ultra kiasu ini. Bila kena pada mereka semuanya sensitif, namun bila kena pada kita sebagai umat Islam, mereka senyap sahaja dan kalangan mereka bertepuk tangan.

Monday, August 01, 2011

Memahami politik rimba, bebal dan pandir

Sinar Harian 1 Ogos 2011

Sebut sahaja nama Ibrahim Ali pada pandangan ultra kiasu seolah-olah sedikitpun tidak ada kebaikan yang ada pada dirinya. Begitu juga segelintir kalangan umat Islam. Semuanya buruk belaka. Bila ditanya pula kepada golongan ultra ini akan pandangan mereka terhadap kenyataan-kenyataan rasis pemimpin parti politik perkauman dan NGO seperti Dong Zong, Jiao Zong, Dong Lian dan Dong Jiao Zong, termasuk beberapa Dong lagi, semuanya baik belaka. Mereka dinobatkan sebagai wira.

Marilah kita membuat senarai semakan (check list), berapa banyak kebaikan dan keburukan Ibrahim Ali. Saya yakin kita akan terjumpa juga dengan beberapa kebaikannya. Janganlah kita tolak secara pukal seseorang hanya kerana sedikit ‘kesalahannya’. Ibrahim Ali yang saya kenali memang seorang yang lantang memperjuangkan nasib Melayu (Islam) sehingga dicop sebagai rasis.

Tidakkah kita terfikir, kadangkala perlu ada juga orang yang lantang seperti ini sebagai reaksi atau respon kepada pertubuhan ekstrem atau ultra yang lain. Bangsa lain lantang dikatakan hak, orang Melayu lantang dikatakan rasis. Tidak perlu pergi jauh, lihat sahaja tuntutan MIC dalam Perhimpunan Agong ke 65 pada 31 Julai 2011. Ini belum lagi parti-parti komponen Barisan Nasioanl yang lain. Semuanya meletakkan kepentingan bangsa, bangsa dan bangsa.

Pelik sungguh politik negara ini, bila mana pertubuhan Melayu menuntut hak mereka dikatakan sebagai rasis. Tetapi bila pertubuhan bukan Melayu dan parti komponen BN dikatakan sebagai hak minoriti. Politik apakah ini?

Saya yakin Ibrahim Ali tidak akan menindas dan menganiaya orang bukan Islam jika ditakdirkan mempunyai kesempatan memegang kuasa. Islam tidak membenarkannya. Yang jelas, beliau bukan penzina (peliwat), penjudi, peminum arak dan tidak melakukan dosa besar. Berbanding dengan pemimpin ultra lain, yang sudah jelas terlibat melakukan dosa besar, tidak pula dibesar-besarkan peribadinya, malah dianggap sebagai orang berjasa.

Sehingga ke tahap ini, mereka tidak segan silu mengangkat pendosa-pendosa ini sebagai pemimpin kaum mereka. Pada mereka, peribadi pemimpin bangsa mereka tidak penting, selagi mereka mempertahankan hak-hak bangsa mereka dan aib mereka disenyapkan. Malah mereka akan dinobatkan sebagai hero dan wira. Maka tidak hairanlah jika pendosa-pendosa ini disanjung dan dijunjung.

Mereka juga tidak dianggap sebagai rasis. Berbeza pula pendekatannya apabila perkara yang sama dibangkitkan oleh orang Melayu, maka secara tiba-tiba peribadi pemimpin bangsa Melayu itu menjadi penting dan disensasikan dengan begitu buruk sekali. Apa sahaja yang keluar dari mulut orang Melayu tersebut seperti Ibrahim Ali ini dan kaitan dengan namanya, semuanya rasis atau berniat jahat. Permainan politik licik apakah ini? Kita masih buta.

Pada mereka latar belakang seseorang tidak penting, yang penting hak-hak bangsa mesti dipertahankan. Inilah cara ultra kiasu berfikir, yang pada pandangan saya berjaya mengaburi mata umat Islam. Kita pun sama terikut-ikut dengan rentak mereka.

Mungkin selepas ini saya juga dikategorikan termasuk dalam kumpulan Ibrahim Ali. Terpulanglah… Apa yang saya tahu, pendekatan saya berbeza dengan Ibrahim Ali. Saya tahu apa yang saya buat.

Ketika Ibrahim Ali menawarkan anugerah kepimpinan oleh Perkasa kepada UiTM, saya berada bersama beliau sebagai panelis dalam majlis forum tersebut. Pegawai atasan akademik dan pentadbiran UiTM bertepuk tangan dengan pengumuman anugerah tersebut, seolah-olah menerima sebagai tanda setuju. Saya tidak dengar Ibrahim Ali menamakan anugerah tersebut dengan namanya.

Saya fikir tawaran itu tidak salah. Selaku rakyat Malaysia, Ibrahim Ali berhak berbuat demikian. Naïf sangat kita jika menolak sumbangan seseorang hanya kerana namanya tidak enak didengar, kecuali hasil daripada pendapatan haram.

Tidak ramai kalangan kita yang tampil ke hadapan memberi sumbangan (sedekah) walaupun telah kaya raya melalui sistem yang membenarkan kita menjadi kaya. Setiap bangsa telah dikayakan, sibuk membantu bangsanya sendiri. Tetapi bila ada seseorang yang menawarkan bantuan secara ikhlas mungkin, kepada bangsanya, disebabkan oleh namanya yang tidak enak didengar dan boleh menjejaskan periuk nasi dan reputasi kita, kita tolak seratus peratus. Politik rimba apakah ini?

Pada hemat saya, kesilapan UiTM adalah dengan memberikan nama anugerah tersebut atas nama Ibrahim Ali, yang pada perkiraan saya agak tidak wajar nama beliau ditonjolkan dan mungkin Ibrahim Ali pun tidak setuju, walaupun wang itu datang daripada poketnya. Isu ini mungkin tidak akan menjadi sensasi jika anugerah tersebut dinamakan Anugerah Kepimpinan Terbaik dan disenyapkan nama Ibrahim Ali dan Perkasa.

Yang amat memelik saya, kenapa batang tubuh seseorang itu yang menjadi sasaran. Kita menuding jari siapa benar, siapa salah, bukannya mencari apa yang benar, apa yang salah! Apakah anugerah itu salah? Jika salah, betulkan, bukan dengan menolak secara total. Inilah pemikiran ultra kiasu, politik rimba, politik bebal dan politik pandir yang amat sukar untuk dipadamkan dan kita terikut-ikut sekali.

Banyak juga anugerah yang ditaja oleh syarikat judi, arak dan sebagainya, kenapa kita tidak tolak dan cemuh anugerah tersebut. Adakah Ibrahim Ali lebih hina daripada arak dan judi? Pada saya daripada mengambil anugerah yang ditaja oleh syarikat judi dan arak, lebih baik saya menerima anugerah Ibrahim Ali, jika itulah namanya dan memang tidak ada pilihan.

Ada yang mencadangkan nama-nama seperti Arsyad Ayub, Ani Arope, Ishak Mohamad, Awang Had Salleh, dijadikan anugerah. Saya tidak menolak nama dan tokoh tersebut, kerana mereka memang wajar untuk didendangkan kewiraannya. Jika kita bertindak waras, senyapkan nama Ibrahim Ali atau Perkasa, letakkan nama-nama tokoh besar tersebut. Kenapa tidak dibawa berbincang sehingga menyebabkan kawan makan kawan, kawan jadi lawan? Jika dibaca matlamat anugerah tersebut, tujuannya adalah murni untuk mencari pelajar terbaik dan serba boleh serta menggalakkan budaya persaingan, selain membantu merangsang pelajar bagi mengikuti program dan aktiviti berkaitan dengan peningkatan maruah dan martabat bangsa pelajar.

Adakah anugerah-anugerah seperti ini tidak terdapat di Kolej New Era, Kolej Tunku Abdul Rahman, Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Terbuka Wawasan dan universiti-universiti yang dipunyai oleh kaum-kaum tertentu? Berapa banyak nama Lim Lian Geok dinobatkan? Adakah perjuangan parti-parti politik dan NGO perkauman yang saya sebut ini tidak rasis. Jika mereka boleh menyediakan pelbagai anugerah, kenapa pertubuhan Melayu yang menawarkan anugerah ini dianggap rasis? Ini cara pemikiran yang sukar untuk negara berkembang maju. Kita sanggup terima sumbangan daripada syarikat judi dan arak, tetapi menolak sumbangan seorang insan yang dianggap sebagai rasis. Adakah ini wajar?

Kita hanya pandai berkokok. Sanggupkah mereka yang berkokok menyediakan anugerah tersebut? Jika sanggup, Alhamdulillah. Jika tidak, jangan perlekehkan kerja amal orang lain yang bertujuan membangunkan anak bangsanya.

Di negara-negara Barat, anugerah-anugerah yang diambil berasaskan kepada nama-nama mereka yang memberi sumbangan adalah perkara biasa. Mereka tidak saling mencemuh, walaupun pada pandangan kita mereka adalah pendosa dan orang zalim. Misalnya, Presiden Bush, Hitler, dan sebagainya. Jika kita mengambil batang tubuh mereka, mereka tidak layak dinobat sebagai wira.

Berapa ramai orang telah dibunuh ketika mereka menjadi pemimpin? Apakah kita boleh memaafkan Bush yang telah membunuh begitu ramai umat Islam melalui arahan yang dikeluarkan semasa menjadi presiden Amerika? Begitu dengan Hitler, Mao Tse Tung, Shih Huang Ti dan sebagainya. Nama-nama ini tetap disanjung dan tidak kurang anugerah diberikan atas nama mereka. Kenapa kita tidak mengutuk?

Menyerang batang tubuh seseorang adalah perbuatan yang keji dan tidak sepatutnya berlaku. Apabila orang Melayu menuntut hak mereka, dituduh sebagai rasis. Tetapi apabila kaum lain menuntut hak mereka secara ekstrem, maka itu dikatakan hak atau merit untuk mendapatkan keadilan.

Lebih malang lagi kita terpaksa tunduk kepada tuntutan dan desakan ini kerana tiada pilihan. Malah mereka tidak segan silu mengungut untuk keluar daripada barisan jika permintaan mereka tidak dipenuhi.

Akibatnya, masa depan pribumi dan Islam semakin tidak menentu. Hak orang lain semakin bertambah, manakala hak sendiri semakin terhakis. Kerusi menteri bukan Melayu dalam kabinet semakin bertambah. Manakala kerusi orang Melayua atau Islam terus statik dan tidak mustahil semakin berkurang. Apabila sedikit kuota atau keistimewaan mereka ditarik balik untuk memberi laluan kepada bangsa mereka juga, disebabkan oleh parti politik berbeza dalam komponen yang sama, heboh satu Malaysia. Mereka ibarat cacing kepanasan. Tetapi apabila kerusi Melayu atau Islam berkurang, senyap, tidak ada yang bersuara termasuk orang Melayu (Islam) sendiri.

Sampai bilakah umat Islam boleh bertahan dengan ‘formula’ yang tidak mencerminkan keadilan ini. Sejak dahulu lagi saya mencadangkan supaya diwujudkan formula keadilan berasaskan kehendak Islam iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bukan formula barat berasaskan kepada kesamarataan. Barat sendiri tidak mengotakan formula mereka, mengapa kita perlu mengikut apa yang mereka kemukakan tetapi mereka sendiri tidak pernah dipenuhi. Mereka mengemukakan formula yang boleh menyebabkan kita berantakan sesama sendiri. Sejarah membuktikan, Islam mampu memberikan keadilan tetapi bukan kesamarataan, kerana agama Islam itu sendiri tidak boleh disamaratakan dengan agama lain.

Ayuh! Wahai umat Islam, bangun dan bertindak. Jangan terus lena dibuai mimpi. Sekadar memegang tampok kekuasaan negara, belum menjamin masa depan jika hak semakin terhakis. Apa guna menang sorak kampung tergadai.

Orang lain, walaupun mereka tidak menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, mereka semakin jauh ke hadapan meninggal kita. Apa guna kuasa berada di tangan jika anak bangsa terus merempat di bumi sendiri dan diselubungi dengan pelbagai gejala sosial yang menakutkan. Kekuatan ekonomi masih jauh lagi untuk dikuasai.

Apakah sesuatu bangsa itu boleh menjadi kuat dengan memegang kuasa sahaja? Sejarah membuktikan bahawa kuasa ekonomi boleh membeli kuasa politik. Kuasa politik tidak akan bertahan lama jika tidak disertai dengan kuasa ekonomi. Dalam dunia hari ini, kuasa ekonomi adalah segala-galanya (dengan tidak menafikan kuasa Allah SWT).

Kenapa Yahudi berjaya menguasai dunia hari ini walaupun bilangan mereka hanya sekelumit? Jawapannya, mudah kerana mereka menguasai ekonomi dunia. Kekayaan dunia berada di tangan mereka. Maka tidak hairanlah, saban hari umat Islam menjadi mangsa kerana mereka tahu bahawa umat Islam adalah ancaman kepada mereka.

Maka, berbagai jalan dicari untuk melemahkan umat Islam. Salah satunya pecahkan umat Islam dan sogokkan mereka dengan keseronokan sosial. Biar kita leka dengan kuasa yang ada. Pada pemikiran kita, dengan kuasa yang ada, kita boleh bertahan lama. Sebenarnya, tidak. Kuasa yang ada tanpa sokongan kuat ekonomi dan lain-lain, menunggu masa untuk pupus entah ke mana.