Monday, July 25, 2011

Jangan jadi talam dua muka

Sinar Harian 25 Julai 2011

Saya membaca berulang kali dalam laman web Malaysian Insider, Malaysiakini dan Harakahdaily akan pendirian tegas kerajaan Pas Kedah untuk menutup semua premis hiburan hiburan ketika bulan Ramadhan. Tidak timbul media tersebut salah melaporkan kerana yang melaporkan berita tersebut adalah media pro pembangkang, bukannya media Umno Barisan Nasional. Saya yakin saya tidak salah dan kabur mata ketika membaca berita sebegini.

Asalnya saya amat kagum dengan tindakan kerajaan Pas Kedah. Saya ingatkan mereka akan mempertahankan tindakannya itu. Tetapi telahan saya meleset, Pas tunduk dan sekali lagi kow tow kepada ultra kiasu. Alangkah kecewanya hati ini.

Apabila penentangan bertalu-talu dilakukan oleh parti ultra kiasu, tiba-tiba pimpinan Pas bermesyuarat dan mengatakan bahawa media tersalah lapor. Saya semakin pelik dan hairan, permainan silap mata apakah ini? Sekejap boleh, sekejap tidak, sekejap ada, sekejap tiada.

Larangan melakukan maksiat di bulan Ramadan ada baiknya, dan tidak kurang implikasi buruknya. Seolah-olah dalam Islam, bulan Ramadan sahaja yang perlu jadi baik, 11 bulan lain tidak atau ringkasnya bulan Ramadan bulan ibadat, bulan lain bulan maksiat. Bulan Ramadan melahirkan mujahid, bulan lain menjadi mujahat. Islam begitu jelas dalam perkara halal dan haram. Jika maksiat tidak boleh dilakukan di bulan Ramadan, di bulan lainpun sama. Tidak timbul soal, bulan Ramadan tidak boleh, bulan lain boleh.

Akhirnya nanti, agama Islam akan dianggap sebagai agama dua alam. Agama yang ada ketika boleh melakukan maksiat, ada ketika lain tidak boleh. Apakah makna semua ini? Saya harap kita tidak menjadi orang jahil dalam memahami Islam. Cukuplah dengan salah faham terhadap Islam selama ini yang dilihat melalui perbuatan dan tingkah laku kita yang tidak Islamik, seperti isu buang anak, bapa/datuk rogol anak/cucu dan sebagainya.

Saya amat hairan kenapa kita masih lagi tidak dapat menangkap tindak-tanduk ultra kiasu. Mereka tidak akan tunduk kepada sesuatu yang merugikan mereka walaupun perkara tersebut bercanggah dengan agama anutan mereka. Agama diletak ketepi. Tetapi demi survival bangsa, mereka tetap bersatu. Tidak kiralah bilangan mereka ramai atau sedikit. Yang penting ‘hak’ mereka tidak boleh diusik langsung. Wal hal apalah sangat bilangan mereka atau hak mereka di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, teramat minoriti.

Tetapi mereka tidak mengambil kita bilangan, hak tetap hak. Inilah sifat ultra kiasu yang diwarisi sekian lama. Kita sahaja yang alpa, asyik bergaduh dan terus berpecah. Sedangkan mereka bukan lagi bersatu dalam senyap, tetapi secara terang-terang bersatu, sehati, sejiwa dan senada.

Saya mengambil pendirian pada awalnya menghormati tindakan Pas dan tidak berhasrat untuk menyindirnya, begitu juga dengan Umno. Ketika mana Pas berada di luar kerajaan, mereka begitu lantang mengkritik Umno, itu tidak betul, ini tidak betul. Namun, apabila mereka berada dalam kerajaan (membentuk kerajaan), begitu banyak dolak-dalih dan saling salah menyalah berlaku. Umno dijadikan batu galasannya.

Saya teramat ingin melihat apabila Pas memerintah, mereka akan membetulkan apa yang tidak betul. Ini tidak, keputusan mereka macam yoyo, sekejap begini, sekejap begitu. Kenapa perlu takut kepada ultra kiasu jika berada di pihak yang benar? Bukankah ini perjuangan Pas?

Parti ultra kiasu berkeras untuk keluar perikatan tiga tahun Pakatan Rakyat ekoran isu penguatkuasaan penuh enakmen melarang operasi pusat-pusat hiburan di Kedah ketika bulan Ramadan. Jika saya boleh mewakili Pas maka saya dengan tegas akan menyatakan, “silakan keluar”. Adapun menyusahkan, pergi lagi baik. Apakah kita akan ke syurga memangkah parti jelas-jelas menentang Islam dan agamanya sendiri ini?

Isu hiburan yang melampau bukan isu agama Islam semata-mata, tetapi adalah isu semua agama, Bacalah apa jua ajaran dan ajaran agama-agama di dunia ini. Tunjukkan pada saya bahagian manakah yang mengatakan hiburan melampau itu dihalalkan. Jika mereka boleh mengemukakan hujah atau ayat-ayat daripada kitab agama mereka yang menghalalkan hiburan yang melampau ini maka saya akan bersetuju agar premis hiburan ini dibuka

Jika ultra kiasu menentang perlaksanaannya di Kuala Lumpur, Ipoh dan pusat Bandar lain yang dikuasai mereka, nampaklah juga logiknya, disebabkan oleh mereka ramai. Tetapi mereka hanya sekelumit di utara dan pantai timur. Hak apakah yang mahu dipertahankan? Jika hiburan melampau (termasuk arak, judi dan zina yang terdapat dalam premis hiburan) itu dibolehkan, selepas ini suruh anak kita berhibur puas-puas sehingga ke pagi. Tidakkah kita sedar semua premis ini menjadi penyumbang kepada kegawatan sosial hari ini?

Dari dahulu lagi saya mencadangkan perlu ada formula dalam memenuhi hak dan tuntutan ini. Tetapi kita berdegil kerana kepentingan politik. Adakah wajar pusat hiburan begitu banyak sedangkan keperluannya sedikit. Begitu juga dengan pusat-pusat maksiat yang lagi seperti pusat judi, arak, dan sebagainya. Apakah kita membenarkan kewujudan premis-premis berasaskan kepada keperluan atau perasaan? Saya bimbang kita tidak hanya memenuhi kehendak mereka berasaskan kepada keperluan, tetapi kedua-duanya sekali keperluan dan perasaan yakni tuntutan hawa nafsu. Akhirnya berlaku lambakan pusat-pusat seperti ini, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan di mana-mana jua, sama ada mereka ramai atau tidak.

Menurut pemimpin ultra kiasu Kedah, “jika pusat hiburan ini ditutup maka maka habislah mata pencarian. Lagipun dalam Islam juga ada mengatakan hak orang bukan Islam juga harus dijaga dan saya harap perkara ini tidak berulang lagi. Kerajaan negeri harus mewujudkan satu badan pemantau sekiranya mahu memastikan orang Islam tidak memasuki pusat hiburan seiring dengan penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997. Badan pemantau itu boleh ditubuhkan di bawah agensi agama negeri seperti pasukan pencegah maksiat”.

Saya harap kerajaan negeri Kedah dan umat Islam tidak terpedaya dengan idea licik ini. Jika kita sediakan pasukan pemantau atau penguatkuasa, bermakna kita telah mengiktiraf dan membenarkan maksiat yang ditentang oleh semua agama ini. Berasaskan pengalaman, sebenarnya ramai juga keluarga bukan Islam yang tidak mahu anak gadis mereka menjadi mangsa premis maksiat ini. Tetapi disebabkan kita membenarkan, mereka tidak berkata apa-apa. Pusat hiburan kini telah menjadi tiga dalam satu, di situlah adanya hiburan hiburan melampau, aksi-aksi panas, perjudian, pelacuran dan sebagainya. Apakah tindakan menarik balik larangan operasi pusat hiburan benar-benar memenuhi dan menepati hak bukan Islam atau sebaliknya? Apakah tindakan kita dapat dikategorikan mencegah mungkar atau menambah lagi kemungkaran? Sama-sama kita fikirkan. Jangan jadi talam dua muka.

Monday, July 18, 2011

Jangan terperangkap permainan licik ultra kiasu

(Sinar Harian 18 Jul 2011)

Isu ahli politik ultra kiasu berhujah menggunakan Al-Quran dan Hadis bergema lagi. Malah kali ini lebih hebat. Ia dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor. Saya tidak nampak akan keperluan menggunakan hujah tersebut, kerana golongan ini sejak dari dahulu lagi begitu bongkak dengan keturunan atau lebih obsess dengan hujah-hujah dari sumber bangsanya sendiri dan sumber-sumber barat. Kenapa sejak akhir-akhir ini Quran dan Hadis menjadi mainan bibir?

Saya harap umat Islam tidak terperangkap dengan taktik kotor mereka. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk ke Putrajaya. Jika mereka tertarik dengan Islam, sudah lama mereka memeluk Islam atau bersetuju dengan suruhan dan larangan Islam, yang juga merupakan ajaran agama mereka. Kenapa tiba-tiba Quran dan Hadis dijadikan sandaran berhujah? Cubalah baca taktik ini dari sudut psikologi berbalik agar tidak tertipu. Janganlah berselindung hanya disebabkan oleh kepentingan politik sehingga tidak kenal kawan dan lawan.

Jika mereka sudah berlembut dengan Melayu dan Islam, paling tidakpun, mereka tidak segan silu untuk memakai baju Melayu dan songkok ketika pembukaan DUN atau Parlimen sebagai tanda penghormatan dan penerimaan Islam sebagai agama persekutuan dan orang Melayu Islam sebagai bangsa majoriti. Ini tidak, mereka akan mencari seribu satu alasan untuk mengelakkan diri dari memakai ‘pakaian Islam’ tersebut. Saya berani mengatakan mereka memandang hina kepada cara hidup Melayu dan Islam.

Selama inipun mereka tidak pernah menggunakan ayat al-Quran dan Hadis, kenapa tiba-tiba mereka kelihatan sudah berubah? Apakah hati mereka terbuka dan bersedia menerima Islam? Jika mereka benar-benaru tertarik dengan nilai-nilai Islam, mari kita sama-sama daulatkan suruhan agama dahulu seperti menutup aurat, mengharamkan zina, judi dan sebagainya. Saya cadangkan mereka memetik ayat Quran, soal pengharaman judi, arak, riba, zina dan lain-lain lagi.

Kenapa tidak berhujah menggunakan atau mengambil ayat Quran dan hadis dalam perkara-perkara sebesar ini yang menimbulkan kegawatan sosial? Golongan ini amat licik, mereka akan manipulasikan isu yang menyebelahi mereka, dan menolak perkara yang tidak menyebelahi mereka. Mereka sanggup korbankan agama semata-mata untuk kepentingan politik. Saya tidak mengatakan mereka sahaja yang tidak betul. Kitapun kadangkala tidak betul. Menerima sebahagian ajaran Islam dan menolak sebahagian. Sedangkan semua tahu bahawa kita perlu menerima Islam sepenuhnya.

Tujuan ultra kiasu tidak lain, untuk memukau umat Islam supaya mereka ini hebat. Selepas ini sekutu mereka akan berhujah, “Tengok! UMNOpun tidak berhujah menggunakan Quran Hadis, malah menolak Islam, bukankah lebih baik kita menyokong bukan Islam (ultra kiasu) ini”. Di penghujungnya nanti Umno yang salah, ultra kiasu yang betul.

Ini terbukti apabila ketua ulamak Pas mempertahankan tindakan ADUN ultra kiasu tersebut. Katanya, Pas berpendirian bahawa mempelajari tentang Quran dan Hadis merupakan satu tuntutan yang bukan sahaja perlu digalas oleh seluruh umat Islam, tetapi juga digalakkan ke atas orang yang bukan Islam. “Sebagai orang Islam kita seharusnya menggalakkan penganut agama lain mempelajari tentang al-Quran dan hadis untuk mengenal Islam secara lebih mendalam dan bukannya mengherdik dan bertindak di luar akhlak Islam yang akhirnya menjauhkan bukan Islam dengan Islam. Bagaimana mereka ingin mengenali Islam kiranya kita menghalang mereka untuk mendekati Islam.

Persoalan saya, jika benar-benar mereka percaya kepada Quran dan hadis sudah tentu mereka akan menyokong setiap tindak-tanduk dan dasar-dasar Pas di Kedah dan Kelantan?

Saya tidak kata ultra kiasu tidak boleh berhujah menggunakan Quran dan Hadis, tetapi saya cuba membaca di sebalik taktik mereka yang licik ini. Malah saya tidak akan halang mereka menggunakan kalimah Allah dan membaca Quran jika mereka ini sejak awal lagi ikhlas dan tidak menentang Islam. Apakah kita tidak pernah mengambil iktibar. Apabila kerajaan Kelantan mahu mengharamkan arak, judi, nombor ekor dan sebagainya, merekalah yang paling awal menentang.

Saya tidak kata Umno sudah baik. Malah masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Tetapi jika diberi pilihan antara mempercayai Umno dengan ultra kiasu. Sudah tentu saya memilih Umno. Seburuk-buruk Umno mereka tetap seakidah dan mengucapkan dua kalimah syahadah seperti kita semua. Kita tetap bersaudara walaupun dipisahkan oleh batasan politik, bangsa, bahasa dan warna kulit yang berbeza.

Saya sudah cukup masak dengan taktik mereka untuk mencairkan hati orang Melayu Islam. Mereka begitu masak dengan membaca psikologi orang Melayu. Cuma kita sahaja yang terlalu bersangka baik dan tidak mahu mengambil tahu ataupun berusaha untuk mengkaji psikologi ultra kiasu. Akhirnya, dilihat dari sudut mana sekalipun, kita tetap kalah. Mereka bersatu dalam senyap. Kita terus berperang secara terbuka.

Saya amat musykil kenapa mereka tidak berhujah menggunakan sumber agama atau ajaran masing-masing. Tidak kurang nilai-nilai baik turut diucapkan oleh Konfucius, Lau Tzu, Mencius, Buddha dan sebagainya? Kenapa Islam yang perlu ditonjolkan?

Sama ada mereka ikhlas dengan Islam atau tidak, Tuhan sahaja yang tahu. Apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah ultra kiasu tetap ultra kiasu. Sukar untuk dipercayai.

Jika ultra kiasu benar-benar yakin dengan nilai-nilai Islam mereka sepatutnya menyokong Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 - yang melarang pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadan. Antara kategori hiburan yang tidak boleh diadakan sepanjang Ramadan ialah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.

Parti ultra kiasu Kedah tidak pernah bersetuju dengan larangan ini. Mereka tetap mahu pusat hiburan beroperasi tidak kira bulan apa sekalipun. Adakah mereka sensitif dengan perasaan Melayu dan Islam? Jika ini pendirian mereka, adakah wajarkah kita bersangka baik dengan ultra kiasu ini? Adakah mereka benar-benar insaf dan percaya kepada Quran dan Hadis? Janganlah kita buta semata-mata hendak menumbangkan Umno. Umno boleh datang dan pergi, begitu juga dengan Pas, kerana Umno atau Pas bukan Tuhan.

Umno dan Pas hanyalah parti politik yang diilhamkan oleh manusia atau ciptaan manusia. Ilham dan ciptaan manusia akan lenyap bila tiba masanya. Ciptaan manusia tidak akan mampu mengatasi ciptaan Allah SWT. Apa yang cipta oleh Allah SWT, dunia dan seisinya, juga akan musnah suatu hari ini apabila berlaku kiamat. Yang akan kekal hanya Allah SWT Maha Berkuasa dengan segala apa yang telah dicipta dan akan diwujudkan. Justeru, sebagai makhluk ciptaanNya, janganlah kita terlalu mendabik dada dan bongkak, sehingga tidak dapat membezakan antara saudara dekat dengan saudara jauh atau kawan dengan musuh.

Pada saya Umno dan Pas tidak penting. Apa yang penting adalah pastikan umat Islam memerintah bukan diperintah. Namakan apa jua parti yang akan wujud, selagi mana parti itu memperjuangkan dan menegakkan agama Allah SWT, menjaga umatnya dan tidak bersekongkol dengan musuh, saya pasti akan menyokong.

Belajarlah dari sejarah. Kita dapat lihat dengan jelas, apabila negara asalnya kepunyaan umat Islam dan kemudian diperintah oleh bukan Islam, betapa malangnya nasib umat Islam. Mereka bukan sahaja merempat di bumi sendiri, tetapi sampai ke peringkat ditindas, dianiaya malah ada yang dibunuh, dan jangan harap agama Islam dapat berkembang subur. Jangan pergi jauh lihatlah saudara kita di Singapura. Tidak perlu saya ulas panjang apa yang berlaku di Palestin.

Berbanding dengan apabila Islam memerintah sama ada di negara asalnya atau di negara yang asalnya bukan Islam, orang bukan Islam dapat hidup senang lenang, malah hak-hak mereka dijaga seperti menatang minyak yang penuh. Inilah keadilan Islam. Kenapa? Jawapannya, kita akan ditanya oleh Allah SWT apa yang kita telah lakukan terhadap mereka. Sejarah Islam memerintah Sepanyol memang tidak dapat dipadamkan. Lihatlah keadilan Islam yang terpancar. Malangnya hari ini, keadilan itu tidak dapat lagi dilihat kerana umat Islam telah diperintah setelah jatuhnya empayar Othmaniyyah.

Lebih malang lagi, negara-negara Islam tidak dapat memberikan contoh terbaik. Negara yang diperintah oleh umat Islam sendiri, berserabut dengan masalah dalaman dan perpecahan yang tidak pernah berkesudahan, dibelenggu dengan kemiskinan, dan menjadi umat pengguna semata-mata, bukannya mencipta. Bukan Islam akan memastikan, umat tidak akan naik atau berkuasa kembali.

Saya masih teringat kata-kata seorang ahli politik Perancis, komunis bukanlah ancaman bagi barat. Barat pernah menghadapi komunis sebelum ini, dari segi politik ketenteraan. Bahaya sebenarnya yang mengancam ultra kiasu adalah bahaya Islam. Umat Islam pernah menguasai Eropah. Umat Islam mewarisi semangat jihad yang tinggi. Islam juga memiliki peradaban hebat. Islam pernah dinobatkan sebagai tamadun besar dunia tanpa memerlukan proses pembaratan. Ini hakikat yang tidak dapat dinafikan. Perancangan licik musuh-musuh Islam sudah berakar umbi beribu tahun lamanya. Tidak senang dengan kewujudan Islam, mereka tidak berdiam diri malah mengatur strategi menyerang umat Islam dari setiap penjuru. Sedar atau tidak, sasaran utama adalah pemimpin kepada umat Islam. Jangan kita buta hanya kerana kepentingan politik.

Sentimen politik kepartian kalangan kita terlampau tinggi sehingga menjadi kita buta dalam menilai saudara sendiri. Kita selalu menuduh Umno menolak Islam, tetapi kita juga tumpang semangkok dengan program-program pengislaman Umno seperti perbankan Islam, insuran Islam, pendidikan Islam, mahkamah Syariah dan berbagai lagi produk-produk Islam yang telah diperkenalkan oleh Umno. Sepatutnya Pas bertindak memperkemaskan atau memperkuatkan atau menambahkan lagi program-program Islam sedia ada. Bukannya berdolak dalih daripada negara Islam kepada negara kebajikan. Memang negara kebajikan itu adalah juga sebahagian program dalam negara Islam. Persoalannya, di manakah perjuangan negara Islam dan undang-undang Islam selama ini?

Apakah Pas yakin bahawa mereka boleh melaksanakan undang-undang Islam apabila ditakdirkan mereka memerintah nanti, jika parti ultra kiasu dan PKR tidak merestuinya. Sekarang inipun kerajaan negeri Kedah begitu sukar untuk menutup pusat hiburan ketika Ramadhan selama sebulan. Apatah lagi untuk menutup sepenuhnya. Apakah sekiranya selepas ini Pakatan Rakyat memerintah, mereka dapat melaksanakan Islam sepenuhnya atau sekadar meneruskan sahaja program-program yang dilaksanakan oleh Umno?

Saya tidak menafikan bahawa korupsi dan rasuah tidaklah begitu ketara di bawah kerajaan pimpinan Pas. Saya memuji ketelusan itu walaupun tidak sepenuhnya ia berjalan. Kroni-kroni masih lagi diutamakan terutama dalammemberikan projek-projek kepada ahli-ahli mereka sahaja termasuk perlantikan ahli majlis perbandaran dan dewan bandaraya. Justeru, sudah sampai masa kita membuat muhasabah diri.

Akhirnya, sekalung takziah saya ucapkan atas pemergian ahli parlimen Titiwangsa yang telah menyahut panggilan Ilahi terlebih dahulu. Marilah kita bersama-sama tanpa mengira parti politik, ideologi, warna kulit dan sebagainya menyedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarhamah, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang-orang yang solehah. Al-Fatihah.

Monday, July 11, 2011

Beza penyatuan Melayu dengan bukan Melayu

(Sinar Harian, 11 Jul 2011)

Saya sudah naik muak untuk mengulas mengenai Bersih kerana kita semua tahu tujuan yang tersurat dan tersirat mereka. Itupun umat Islam masih lagi buta. Masih terus mahu menyusahkan rakyat. Kepentingan politik mengatasi segala. Saya juga yakin kemenangan parti pembangkang Thailand dalam pilihan raya umum 2011 minggu lalu, menjadikan sumber inspirasi mereka, semakin nekad menguasai Putrajaya. Mereka tetap mahu berdemonstrasi.

Kemenangan parti Pheu Thai pimpinan adik bekas perdana menteri, Yingluck Shinawatra akan menjadi sejarah Thailand berperdanamenterikan seorang wanita. Apakah Yingluck boleh disamakan dengan ketua Bersih yang diperalatkan imej kewanitaannya bagi memenuhi nafsu serakah tersebut? Sama-sama kita saksikan.

Di Thailand, tindakan mereka amat professional, bila selesai pilihan raya, maka dikira selesai. Selepas itu, mereka akan tunggu 5 tahun lagi untuk membuat keputusan menukar pemimpin. Yang kalah, menerima kekalahan, yang menang meneruskan perjuangan agenda negara. Thailand tidak menghadapi banyak, kerana mereka hanya ada dua kumpulan, satu pro kerajaan dan satu lagi pembangkang.

Lagi pula, Thailand adalah negara sebangsa, 1bangsa, 1bahasa dan 1budaya, manakala Malaysia pula berbagai bangsa, berbagai bahasa dan berbagai budaya. Tidak banyak yang bersifat 1, kecuali gagasan perpaduan 1Malaysia yang cuba diketengahkan oleh Perdana Menteri. Itupun terlalu banyak disalahfahamkan dan dipolitikkan.

Dalam banyak hal semuanya mereka mahukan satu iaitu sama rata dan sama rata. Tetapi tidak dalam isu 1bangsa, 1bahasa dan 1budaya. 1sekolah tidak boleh dibincangkan kerana akan ditentang habis-habisan. Bolehkah kita mempercayai mereka untuk berdemonstrasi secara aman? Saya bimbang mereka akan mengambil kesempatan untuk memperlagakan sesama umat Islam.

Selama ini kita telahpun diperlagakan. Dendam kesumat tidak pernah habis. Kita sentiasa mencari kelemahan orang lain. Dahulu pembangkang mengutuk Umno Barisan Nasional. Kini, apabila mereka memerintah, sepatutnya mereka menjadi lebih baik dalam segala hal, tetapi nampaknya tidak banyak perubahan. Persaudaraan sesama saudara seagama diletak ketepi, yang penting kroni.

Pemilihan ahli majlis perbandaran masih sama. Cuma dibuat lebih teratur supaya tidak kelihatan seperti Umno Barisan Nasional. Dahulu mereka mencadangkan supaya pilihan raya dibuat untuk memilih ahli majlis. Namun, bila mereka memerintah, keadaan balik asal. Ahli majlis mereka mewakili parti politik juga. Mereka berebut-rebut projek dan tender untuk dibahagi-bahagikan kepada kroni-kroninya. Jangan pergi jauh, datanglah ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Kenapa jadi sebegini? Belajarlah dari bangsa lain.

Saya ingin membawa pembaca meneliti isu ini untuk dijadikan iktibar. Minggu lalu, Persatuan Editor Akhbar Cina Malaysia mengutuk hebat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Teng Chang Kim, kerana pandangannya mengkritik akhbar Cina yang disifatkan terlalu ultra kiasu seperti yang telah saya sebut sebelum ini. Teng dilaporkan berkata bahawa wartawan akhbar Cina berperangai buruk dan penguasaan bahasa Cina mereka juga tidak sebegitu baik. Teng turut membidas mereka kerana tidak dapat membezakan antara benar dan salah dalam pemberitaannya. Tanpa menyiasat maksud Teng, Persatuan akhbar tersebut terus menyerang Teng.

Saya mengikuti peribadi saudara Teng sejak dahulu lagi. Beliau agak berbeza dengan ultra kiasu yang lain. Beliau agak terbuka dan banyak bergaul dengan orang Melayu. Malah beliau tidak segan silu memakai songkok ketika pembukaan parlimen dan tugasnya sebagai speaker. Banyak buku Islam yang dibacanya. Dengan sebab itu, dia agak tidak disukai oleh sesetengah pihak terutama akhbar ultra kiasu ini dan golongan ortodoks ultra kiasu. Maka tidak hairan jika beliau tidak terpilih untuk mengetuai parti ultra kiasu negeri Selangor.

Ketua Pemuda MCA seperti cacing kepanasan membidas saudara Teng untuk mencari publisiti murahan. Saya harap umat Islam di kawasan parlimen Ayer Hitam dapat membuka mata siapa wakil rakyat mereka sebenarnya. Sepatutnya akhbar Cina perlu melakukan muhasabah diri. Apakah selama ini pemberitaan akhbar mereka benar-benar membina negara bangsa berasaskan kepada gagasan 1Malaysia atau akhbar ini mengapi-api semangat perkauman. Mereka melabelkan akhbar Utusan Malaysia rasis. Akhbar mereka sahaja yang tidak rasis. Mereka tidak boleh disentuh langsung, keballah katakan. Baca artikel saya sebelum ini bertajuk rukun politik Cina bagaimana mereka menjaga bangsa mereka.

Bukan seperti kita, tidak pernah habis bertelingkah dalam apa jua isu hatta sampai ke dalam surau masjid. Peristiwa tiba-tiba makmum bangun menempelak khatib ketika sedang membaca khutbah solat Jumaat dua minggu lalu di masjid Ubudiah, Ampang, Selangor, menarik perhatian saya untuk memberikan sedikit pandangan. Khatib begitu syok sendiri dengan khutbah ciptaannya. Yang ‘menyeronokkan’ adalah khatib tersebut turut sama menempelak makmum tersebut dengan mengatakan dia jahil ketika berkhutbah. Rupa-rupa makmum dan khatib dua kali lima sahaja.

Sepatutnya, khatib tersebut tidak melayan sikap makmum tersebut dan meneruskan khutbahnya. Ini tidak, khatib tersebut turut tumpang semangkok. Saya tidak mengatakan tindakan makmum itu betul. Salah tetap salah. Saya mengharapkan khatib tersebut bertindak betul, rupanya salah.

Insiden seperti ini bukan perkara baharu, tetapi ia berlaku di masjid-masjid yang dikuasai oleh parti-parti tertentu. Mereka menjadikan mimbar untuk membalas dendam, bukan untuk mendidik. Kita semakin berpecah. Kita sepatutnya tidak mengambil pendekatan mengajar, tetapi mendidik dengan mengetuk pintu hati mereka. Jika Pas benar-benar ikhlas, sepatutnya Pas mengambil pendekatan mendidik Umno melalui nilai-nilai Islam yang ‘diperjuangkan’, bukannya menghamburkan kata-kata dan sindirin-sindiran tajam yang menyakitkan hati.

Saya amat pelik kenapa kita tidak selantang ini apabila berhadapan dengan musuh kita yang begitu jelas menentang kita dan mengenepikan agenda nasional. Baru-baru ini saya berforum dalam Majlis Pengetua Sekolah Malaysia yang dihadiri oleh hampir 1000 orang pengetua. Yang saya hairan, Majlis Pengetua Sekolah begitu besar persatuannya, tetapi kenapa suara mereka tenggelam dengan NGO yang lebih kecil seperti Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong. Ketiga-tiga persatuan ini mempunyai kaitan langsung dengan pendidikan Cina, tetapi suara mereka boleh menggegarkan negara. Manakala, Majlis Pengetua Sekolah Malaysia dan begitu juga Majlis Guru Besar Malaysia (Sekolah Rendah), nampak hebat, tetapi tiada taring. Bukan mereka tidak mahu atau tidak boleh bersuara, tetapi suara mereka disenyapkan. Mereka terpaksa ikut kata boss.

Majlis Pengetua dan Majis Guru Besar ini sepatutnya diberikan kebebasan untuk berhadapan dengan Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong, baharulah terserlah kepengetuaannya dan kegurubesarannya. Saya harap istilah ini boleh digunakan.

Inilah beza penyatuan antara Melayu dengan bukan Melayu. Bukan Melayu bersatu atas perkara asas atau perkara berkaitan hidup mati atau masa depan mereka. Manakala penyatuan kita, usahkan perkara besar, perkara kecilpun kita tidak boleh selesaikan. Malahan terus berpecah seolah-olah tidak ada penghujung. Lebih menyedihkan lagi tindakan kita sering menimbulkan beban dan masalah kepada rakyat jelata.

Demonstrasi haram Bersih meninggal kesan yang amat mendalam. Sejak hari khamis saya tidak dapat pulang ke rumah sehingga hari Ahad, saya hanya bermalam di hotel kerana terperangkap dalam kesesakan jalan yang amat dahsyat, sehingga saya mengambil keputusan berpatah balik bagi mengelakkan ceramah-ceramah hujung minggu yang telah diaturkan tidak tergendala. Terpaksalah saya memakai baju yang kotor selama dua hari disebabkan oleh tidak ada lagi pakaian Bersih.

Lebih hiba lagi mendengar ada yang terpaksa menunda tarikh perkahwinan yang telah diatur sejak setahun yang lalu, dan banyak lagi perkaraa penting terpaksa dibatalkan serta kerugian yang ditanggung gara-gara demonstrasi ini Bersih ini. Hati begitu tersentuh membaca berita ada seorang yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut. Takziah saya ucapkan, moga roh allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT, tidak kiralah sama ada penyokong Bersih atau tidak. Paling penting kita tetap umat Islam tetap bersaudara, walaupun mungkin kita berbeza.

Seperti yang selalu saya sebut, yang menjadi menjadi mangsa adalah umat Islam. Saya tidak nampak begitu ramai bilangan bukan Islam yang turun. Rata-ratanya adalah kulit sawo matang. Kalau adapun bukan Melayu, sengaja dialihkan kamera ke sana supaya ada warna warninya, wal hal sebenarnya tidak. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu. Sesama sendiri bercakaran. Orang lain bertepuk tangan. Silap-silap haribulan, Melayu hilang ditelan zaman. Hanya kerana sengketa yang tidak berkesudahan, tanpa penyelesaian. Titik pertemuan masih jauh kelihatan. Perubahan yang dilaksanakan tidak banyak menguntungkan.

Misalnya, apabila Kerajaan memberi biasiswa atau bantuan kepada orang Melayu (Bumiputera), maka tindakan ini dimanipulasikan dengan kata-kata memberi tongkat. Namun demikian, apabila bukan Melayu mendapat hak yang sama, maka ia dikatakan meritokrasi dan mereka berhak? Tidakkah kita sedar berapa ramai pelajar bukan Melayu yang dihantar di universiti di luar negeri melalui yayasan-yayasan berasaskan kaum yang diwujudkan dan sejumlah wang parti-parti politik perkauman yang tidak kurang banyaknya. Ini tidak termasuk individu-individu bukan Melayu yang terkaya membantu anak bangsa mereka.

Pendek kata, ada atau tidak Dasar ekonomi Baharu (DEB), bukan Melayu langsung tidak rugi. Tindakan cuba melonggarkah DEB itulah yang semakin merugikan anak bangsa ini.

Saya ingin memetik kata-kata A. Kadir Jasin, apabila orang Melayu (bumiputera) berjaya dalam perniagaan dia dituduh kroni. Tetapi apabila korporat Cina dan India menjadi raksasa kerana kontrak, francais dan lesen kerajaan ia dikatakan meritokrasi? Siapa yang memegang monopoli gula sampai hari ini atau menjadi kaya raya kerana lesen judi, lesen TV satelit, lesen Independent Power Producers (IPP) dan kontrak berbilion ringgit membina hospital, kereta api laju dan sekolah? Tidak ramai yang ingat bagaimana Tun Abdul Razak Hussein terpaksa “menyelamatkan” Malayan Banking pada tahun 1965 apabila pengasasnya, mendiang Khoo Teck Puat, disingkirkan atas tuduhan menyalahgunakan wang bank itu kepada syarikat persendiriannya di Singapura?

Begitulah juga dengan pengambilan oleh IPTA. Apabila keutamaan diberikan kepada Bumiputera, bukan Melayu merungut. Tetapi apabila Kerajaan membenarkan penubuhan IPTS yang majoriti pelajarnya bukan Melayu, berasaskan kaum maka tiada siapa pun nampak bahawa keuntungannya tidak kepada Melayu, tetapi kepada bukan Melayu.

Hari ini, terdapat 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang di punyai oleh kerajaan, tidak termasuk 24 politeknik. Bilangan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pula melebihi 500 buah. Atas desakan, kerajaan telah membuka pengambilan bukan Bumiputera yang semakin ramai ke IPTA dan kemasukan ke IPTS yang terus dimonopoli oleh bukan Bumiputera, bilangan yang lebih ramai mendapat pendidikan pengajian tinggi adalah bukan Melayu. Kerajaan turut membantu IPTS yang dipunyai oleh bukan Melayu (parti politik), tidak cukup dengan itu bantuan melimpah ruah turut diberikan oleh syarikat swasta bukan Melayu kerana ada pelepasan cukai.

Kesimpulannya, saya yakin, suatu hari ini, kita tidak akan mampu lagi bersaing, apabila apa yang sedia ada semakin hilang. Misalnya, IPTA tidak akan mampu bersaing dengan IPTS kerana bangsa yang kuat ekonominya pasti hanya akan membantu universiti bangsanya sahaja. Ringkasnya, apa jua peristiwa yang berlaku, sebanyak manapun demonstrasi Bersih, dan polisi yang digubal, orang Islam akan terus rugi, yang untung adalah bukan Melayu. Inilah yang membezakan antara konsep penyatuan Melayu dengan bukan Melayu.

Monday, July 04, 2011

Bersih dalam kotor!

Sinar Harian 4 Jul 2011

Seperti yang saya sebut dalam program Bicara Rakyat, secara langsung TV1, Jumaat lalu, dalam sistem demokrasi, rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat melalui pelbagai saluran. Tidak salah berdemonstrasi kerana ia dibenarkan oleh perlembagaan. Asas demokrasi adalah kerajaan dari rakyat, untuk rakyat. Tetapi satu perkara kita harus ingat, jika kebebasan tersebut boleh menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan rakyat, maka demonstrasi perlu difikirkan kembali. Apakah sudah tidak ada altenatif lain pada zaman globalisasi ini dalam menyuarakan pendapat selain berdemonstrasi?

Kenapa tidak dibuat demonstrasi tersebut secara tertutup seperti di stadium? Kenapa harus di jalanan? Adakah suara demonstrasi di kawasan tertutup tidak didengari? Pada saya, di mana jua demonstrasi diadakan, impaknya pasti ada, tidak semestinya di jalanan. Tempat yang paling sesuai untuk berdemo adalah di negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat terutama di Selangor, berhampiran Kuala Lumpur. Bandaraya Kuala Lumpur tidak sesuai disebabkan oleh kepadatan dan kesesakan yang telah sedia ada.

Saya masih teringat minggu lalu ketika berlangsungnya acara Kuala Lumpur Marathon 2011, bermula dari jam 5.30, apabila sesetengah jalan ditutup, kesesakan jalan raya amat dirasai. Kebetulan saya berada di dalam bas ketika itu daripada Pulau Pinang. Lebih satu jam bas berlegar-legar di sekitar bandaraya kerana pemandu tidak dapat menurunkan penumpang. Akhirnya saya turun sahaja di tepi jalan untuk balik ke rumah sebagai persiapan untuk memberi ceramah motivasi di Memorial Tun Hussein Onn, pada jam 10.30 pagi. Ceramah motivasi tertunda kerana semua peserta terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Dalam hati saya berkata, ”ini baru Marathon, bayangkan jika demonstrasi Bersih menjadi kenyataan”.

Saya cadangkan jika Marathon yang sama hendak diadakan tahun hadapan, cukuplah sekadar mengelilingi Tasik Perdana (Botani) berkali-kali, tidak perlulah menutup banyak jalan sehingga berlaku kesesakan dan menyusahkan rakyat. Masa dan tenaga (termasuk petrol) banyak terbuang. Tidakkah masa yang terbuang itu lebih sesuai dimanfatkan untuk anak isteri di rumah. Bayangkan juga, tenaga petrol yang digunakan akibat kesesakan. Jika dikumpulkan semua tenaga yang terbazir dan disedekahkan kepada fakir miskin dan ibu tunggal, bukankah banyak pahala yang dapat kerana dapat membantu mereka yang memerlukan.

Lagi pula terdapat begitu banyak tempat strategik yang lain seperti Stadium Melawati, Shah Alam atau mungkin juga Bukit Jalil, kenapa Bersih masih berdegil untuk berada di tengah Bandaraya Kuala Lumpur? Saya yakin, mereka tahu, jika dibuat di luar Kuala Lumpur, sambutannya sudah pasti tidak memberansangkan.

Mereka tidak mahu melihat seolah-olah demonstrasi tidak ada orang. Maka untuk melihat ramai, medan orang ramai digunakan. Dengan harapan, dengan berada di sana bersama orang ramai, mereka akan kelihatan ramai. Maka tercapailah hasrat untuk menghimpun ratusan ribu orang. Wal hal yang datang tidak seberapa. Inilah laba politik yang ingin dicapai. Mereka mahu memperlihatkan demonstrasi tersebut benar-benar mendapat sambutan, walaupun hakikat sebenar tidaklah sedemikian.

Saya amat mengharapkan Perkasa, Pemuda Umno dan Pertubuhan Silat Melayu, yang semuanya umat Islam yang ingin turun sama berdemonstrasi, tidak bersikap seperti mereka. Apa bezanya kita jika sama seperti mereka. Dua kali lima sahaja. Amat hina sekali melihat pertembungan sesama umat Islam. Biarlah kumpulan ini ditangani oleh polis dan tentera.

Kita selalu membandingkan situasi kita dengan demonstrasi di di Thailand. Politik di sana berbeza dengan negara kita. Thailand adalah negara sebangsa, budaya dan cara hidup mereka sama. Begitu juga di Indonesia. Mereka hanya ada dua kumpulan, pro dan anti kerajaan. Berbanding kita, kita adalah sebuah negara berbilang bangsa, agama, budaya dan cara hidup. Politik kepartian amat kuat dan ekstrem. Parti politik berasaskan bangsa. Keadaan kita jauh lebih kompleks. Sudah pasti dalam banyak perkara kita tidak sehati sejiwa. Apakah kita tidak menjangka ada orang yang akan mengambil kesempatan. Wahai umat Islam! Janganlah mudah untuk diperalatkan.

Tidakkah kita terfikir dengan banyaknya perbezaan ini, ada pihak-pihak tertentu yang akan mengambil kesempatan untuk memecah-belahkan kita dengan melakukan pelbagai provokrasi. Mereka mahu kita berantakan, kerana itu adalah salah satu perancangan mereka. Kita selalu menuding jari kepada polis yang melakukan provokasi. Saya yakin di luar sana masih ramai kafir harbi yang sedang menunggu kesempatan.

Cuba buat perbandingan, sedangkan perhimpunan sukan secara tertutup pun pergaduhan berlaku macam seolah-olah tidak kenal saudara. Inikan pula perhimpunan terbuka. Masihkah kita ingat siri perlawanan bola sepak di antara pasukan negeri Kelantan dengan Negeri Sembilan dan Selangor. Kerusi stadium, trak polis dibakar dan macam-macam lagi perkara menyedihkan berlaku, termasuk kematian akibat balingan botol (Stadium Melawati). Kekecohan ini juga berlaku di hadapan tok guru. Bayangkan jika yang memimpin demonstrasi ini begitu jauh sifatnya dengan tok guru. Beliau bukan sahaja tidak ada status tok guru, malahan sikap anti Islamnya begitu terserlah ketika menjadi memimpin Majlis Peguam.

Persoalan yang tidak dapat dijawab oleh panelis PAS dalam Bicara Rakyat tempoh hari, apakah jaminan perhimpunan tersebut akan berlangsung dalam suasana dan keadaan aman? Siapakah yang boleh memberi jaminan tersebut? Apakah pemimpin Bersih begitu berwibawa boleh mengawal manusia yang katakan bilangannya begitu ramai? Bagaimana pula jika ada kalangan mereka yang mengambil kesempatan untuk mencetuskan pergaduhan? Minta maaf cakap, dalam keadaan masyarakat yang terlalu banyak perbezaannya, saya tidak percaya bahawa semuanya anggota Bersih yang turun akan bertindak seperti malaikat?

Kumpulan yang mengambil kesempatan berada di mana-mana, mereka hanya menunggu masa yang sesuai untuk mencetuskan pergaduhan. Janganlah terlalu menuding jari kepada polis. Bayangkan jika bukan polis yang mengawal keselamatan dan kesesakan jalan raya. Apa akan jadi dengan bandaraya ini.

Wahai umat Islam, jangan mudah tertipu dan akhirnya kita akan ditipu. Lagipun beliau bukan ahli politik. Jika masalah daftar pemilih pilihan raya yang menjadi isu utama. Yang sepatutnya lebih sensitif adalah parti-parti politik kerana mereka yang akan bertanding. Bukannya NGO seperti yang didakwa. Apa kepentingan NGO dalam daftar pilihan raya kalau bukan untuk mencari publisiti? Beliau cuma mahu mencari publisiti untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Kesempatan ini digunakan untuk mempopularkan dirinya. Jangan terpedaya dengan permainan silap mata ini.

Perkembangan terbaharu meyakinkan lagi saya mengapa kumpulan ultra kiasu ini harus ditolak dan tidak boleh dipercayai dan ditolak. Walaupun isu yang saya bangkitkan agak sedikit lari daripada tajuk, tetapi ia mempunyai kaitan rapat dalam menilai integriti atau meletakkan kepercayaan terhadap seseorang. Saya tidak nafikan hak rakyat untuk berhimpun. Tetapi bukan diketuai oleh ultra kiasu ini. Tuhan sahaja yang tahu sama ada mereka benar-benar ikhlas atau sebaliknya. Sudah tidak ada orang Islam lainkah yang boleh dijadikan pengantara atau rujukan? Atau sekurang-kurang carilah bukan Melayu yang begitu memahami jiwa, sensitiviti dan perasaan umat Melayu Islam? Janganlah berketuakan pengantara yang pernah menghina dan menginjak-injak Islam. Lina murtad Lina Joey dan penghinaan terhadap mahkamah syariah masih terngiang-ngiang di telinga dan amat sukar dipadamkan dalam lipatan sejarah.

Apatah lagi, saya cukup sedih apabila kehadiran 12 wakil rakyat parti ultra kiasu yang tidak mengenakan pakaian rasmi dan songkok pada Upacara Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-17. Tindakan ini boleh disifatkan sebagai ‘kurang ajar’ kerana tidak menghormati majlis. Memang benar, pakaian rasmi tidak diwajibkan, mematuhi etika pemakaian pada upacara berkenaan secara zahirnya menunjukkan seseorang itu menghormati negeri, ketuany aserta DUN itu sendiri.Tindakan, tabiat dan tingkah laku ini boleh dikatakan berlaku di mana-mana sahaja negeri mereka berada.

Jelas dan terang, pemakaian songkok pula bukan simbol agama, masyarakat di India pun pakai songkok walaupun mereka bukan Muslim.Songkok hanya melengkapkan pakaian seragam. Parti ultra kiasu sama ada di Semenanjung Sabah dan Sarawak telah lama mempersoalkan pemakaian seragam rasmi dan songkok pada upacara pembukaan persidangan kerana menyifatkan ia menafikan kebebasan beragama di samping membazir wang rakyat. Berapa sen sangatlah harga songkok dan baju Melayu berbanding dengan harga pakaian barat yang dibanggakan itu? Di Indonesia berapa ramai orang Kristian yang memakai songkok. Kenapa mereka begitu selesa sedangkan kita terlalu sensitif. Sebenarnya, kita terlalu memandang rendah kepada bangsa lain. Kita tidak mahu dipandang rendah sama. Tidakkah lebih baik kita lebih memahami Melayu daripada Mat Salleh?

Kenapa kita boleh begitu berlagak dan berbangga dengan pakaian barat blazer, jacket, dan tie tetapi, bila ada konotasi dengan Melayu kita memandang hina. Adakah ini wajar? Bila orang Melayu memakai pakaian Cina, kita seronok. Kenapa kita tidak ‘raikan’ Melayu dengan memakai pakaian Melayu. Adakah ‘budaya Melayu’ ini begitu hina?Kita begitu berbangga dengan pakaian skirt yang begitu pendek sehingga ternampak yang tersurat dan tersirat. Tetapi memandang hina pakaian yang ada konotasi dengan Islam.

Kenapa kita terlalu obses dengan bangsa yang begitu jauh dengan kita, sedangkan bangsa yang terdekat dan merupakan penduduk induk di negara ini tidak dipandang endah, malah dihina lagi? Tidakkah semua agama menganjurkan pakaitan yang bersopan? Dari mana datangnya sumber memakai yang seksi-seksi ini jika bukan dari barat? Hina sungguh kita. Sanggup ketepikan budaya masyarakat tempatan kerana terlalu obses dengan barat. Sanggup ketepikan bahasa kebangsaan, kerana terlalu mengejarkan bahasa Inggeris. Adakah tindakan ini wajar dan mampu menjamin keluhuran pembangunan sebuah negara bangsa?

Pelik sungguh, bila tiada kepentingan, mereka begitu angkuh. Namun, bila ada kepentingan, misalnya penerimaan anugerah bintang dan pingat, kumpulan muka tidak tahu malu ini, tidak segan-segan mula mengenakan ‘pakaianMelayu’.

Berasaskan kepada hujah-hujah ini, apakah kita boleh menaruh kepercayaan kepada Bersih? Tidak. Sebenarnya mereka adalah bersih dalam kotor. Nampak suci tetapi berdebu. Pada saya, selagi mana mereka tidak hormat budaya bangsa induk negara ini, selagi itulah golongan ini tidak boleh dipercayai. Mereka ini ibarat duri dalam daging atau api dalam sekam. Sentiasa mencari kesempatan atau menangguh di air yang keroh.

Saya tidak yakin demonstrasi Bersih ini akan menjadi kenyataan jika tidak disokong oleh umat Islam. Mereka tidak akan berani mengangkat muka pun jika kita tidak bersama mereka. Kenapa mereka begitu bongkak? Jawapannya, amat mudah, kerana mereka tahu, kita tidak sehati sejiwa, kita berpecah, kita terlalu mabuk kuasa, kita sanggup menabur pasir di periuk saudara sendiri, kita menikam sesama sendiri dan terlalu banyak kelemahan kita.

Peluang keemasan sebegini mungkin mereka tidak akan dapat pada masa akan datang, maka kelemahan umat Islam hari ini dimanipulasikan sepenuh untuk mendapatkan apa yang selama ini dicita-citakan. Moga dijauhkan Allah SWT daripada perancangan jahat dan licik sebegini. Wahai umat Islam! kita sudah tidak ada banyak masa, bangunlah, buka mata dan buka minda, sebelum terlambat atau nasi menjadi bubur. Yakinlah, apabila nasi sudah menjadi bubur, apa cara juga yang digunakan, bubur tidak akan menjadi nasi semula. Ketika itu orang lain sudah menjadi terlalu berkuasa. Mereka mempunyai rakan-rakan sebangsa yang begitu ramai di luar sana yang sedang ternanti-nanti untuk masuk ke dalam wilayah atau kawasan kita.