Monday, June 27, 2011

Jangan sampai terperangkap

Sinar Harian, 27 Jun 2011

Minggu lalu saya membahaskan beberapa ciri atau petanda bangsa yang akan pupus. Antara perkara besar yang belum sempat dibahaskan dengan panjang lebar adalah perpecahan yang amat menakutkan berlaku kalangan umat Islam. Perpecahan bukan setakat kalangan parti-parti politik dan ahli politik. Lebih menakutkan ia turut terbawa-bawa dalam kalangan penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya. Masing-masing mahu menjadi jaguh dan mendapat jawatan yang lebih tinggi.

Pendek kata, di mana sahaja ada umat Islam, perkataan pecah sudah sinonim. Masing-masing mempunyai agenda dan kepentingan diri, terutama untuk mendapat habuan dunia yang bersifat sementara. Kita sengaja mewujudkan kumpulan dalam kumpulan atau klik atau ‘orang kita’. Bukan tidak boleh, tetapi jangan sampai menikam dari belakang atau menaruh pasir dalam periuk sesama saudara. Akibatnya, kita juga yang akan rugi. Orang lain bertepuk tangan. Menunggu masa untuk mengambil kesempatan.

Umat Islam sepatutnya bersifat rasional dan profesional, bukan emosional. Tindakan terlalu beremosi hanya akan mengundang kepupusan menjadi lebih cepat. Pada saya, pertembungan sesama umat Islam mesti dielakkan kerana tidak ada sesiapapun yang akan menang. Kalah jadi abu, menang jadi arang. Walaupun Pengerusi Bersih berkata perhimpunan ini tidak ada kaitan politik, takkan kita masih tidak dapat membaca makna tersurat dan tersirat. Beliau hanya mahu memperalatkan umat Islam. Jika tidak percaya, umat Islam jangan turun, biarlah kita lihat berapa kerat bukan Melayu akan turun menunaikan niat ‘bersih’ mereka.

Sebagai pengalisis politik dan strategi, saya sudah dapat mencium baunya. Tidak perlulah berselindung atas nama NGO, berpura-pura atau nampak seolah-olah tidak dipengaruhi mana-mana pihak. Agenda ada udang di sebalik batu amat terserlah. Kenapa umat Islam masih buta? Kita boleh berkawan dengan kafir zimmi, tetapi mesti berhati-hati dengan kafir harbi yang ingin merosak dan meruntuhkan Islam dengan berbagai strategi dan silap mata. Kajilah sejarah sepanjang beliau sepanjang memimpin Majlis Peguam. Apa pandangan dan sumbangannnya terhadap Islam.

Jika umat Islam terus berdegil, ditakdirkan berlaku pertembungan, siapakah yang akan rugi? Kita semua bersaudara. Takkan kita sanggup berbunuhan sesama sendiri. Jika itu yang berlaku, saya bimbang kita akan menyesal tidak sudah nanti.

Kenapa sesama bangsa dan seagama perlu berpecah? Ambillah pengajaran penyatuan budaya bangsa lain. Satu bangsa, berbagai agama, ada yang beragama Buddha, Taoism, Konfucius, Kristian dan Hindu, mereka tetap bersatu atas nama satu bangsa. Pada mereka, agama tidaklah terlalu penting. Apa yang penting, ketuanan bangsa mesti ditegakkan. Agama boleh datang dan pergi, sedangkan bangsa akan terus kekal. Untuk pastikan kemegahan bangsa terus kekal, maka ia mesti dipertahankan bersama-sama jati diri bermati-matian. Maka tidak hairan mereka menolak sama sekali identiti Melayu seperti bersongkok dan berbaju Melayu, kerana takut diMelayukan. Berbeza dengan kita, agama mesti ditegakkan kerana atas terus kekal. Bangsa sudah tidak penting apabila bertembung dengan agama, kerana agama mendapat perlindungan Allah, bangsa belum tentu akan kekal.

Di negara maju, kewujudan pelbagai parti politik dan pertubuhan adalah perkara biasa. Mereka amat profesional. Setiap pertubuhan akan bertindak sebagai check and balance, kerana itu adalah antara asas demokrasi. Pimpinan kerajaan bertukar tangan adalah perkara biasa seperti yang berlaku di Amerika Syarikat dan Britian. Tetapi tidaklah sampai berlaku perpecahan sehingga ke akar umbi, seterusnya terbawa-bawa ke pejabat kerana ia akan menjejaskan kualiti dan produktiviti. Mereka begitu professional, meraikan perbezaan.

Tidak seperti kita, tidak cukup dengan perpecahan, kita amalkan cucuk sana, cucuk sini seperti politik satay dan saling jatuh-menjatuh. Apa yang kita dapat hasil semua ini? Umat Islam di negara ini perlu menyedari bahwa perpecahan dan pertelagahan itu adalah sesuatu yang hina. Perbezaan ideologi politik tidak seharusnya menjadikan kita saling menghina dan bermusuhan. Tidakkah lebih baik perbezaan ini dimanfaatkan untuk berlumba-lumba melakukan kebajikan demi kemajuan umat dan negara. Firman Allah SWT:

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan) (surah Al-Baqarah: 48).

Kewujudan pelbagai pertubuhan tidak salah. Tidak perlu dibubarkan. Apa yang lebih penting adalah aktiviti (amal) yang lakukan (Surah at-Taubah:105). Jangan sampai kita tidak boleh duduk semeja membincangkan perkara-perkra yang boleh membangunkan umat kerana sebaik-baik manusia adalah orang yang memberi manfaat bagi orang lain, itulah pesanan Nabi kita.

Ingatlah umatku, cabaran dan tentangan yang sedang kita diharungi dan akan kita hadapi masa akan datang amatlah berat. Musuh-musuh Islam sentiasa merancang untuk memusnahkan kita. Justeru, perlu wujud pertubuhan yang bertindak sebagai kumpulan pendesak dan menyuarakan hak-haknya. Namun, itu bukan bermakna kita tidak boleh kerjasama. Dialog atau musyawarah perlu dilakukan dari masa ke semasa untuk untuk membicarakan agenda bersama. Janganlah terlalu berprasangka buruk.

Ambillah pengajaran perpecahan politik umat Islam yang berlaku pada masa lalu yang amat merugikan sehingga menjadi al-Fitnah al-Kubra (bencana besar). Ketika itu umat Islam berpecah kepada tiga kumpulan. Pertama: kelompok Saidina Ali, kedua: kelompok Muawiyah, dan ketiga: kumpulan neutral yang tidak berpihak kepada salah satu dari dua kelompok tersebut.

Kedua-dua kumpulan pertama memiliki pengikut yang banyak. Manakala kumpulan neutral tidak kurang juga hebatnya. Antara para sahabat yang bergabung di dalam kumpulan ini adalah, Abdullah bin Umar (Ibnu Umar), Saad bin Malik, Saad bin Abi Waqqas, Muhammad bin Maslamah, Usamah bin Zaid, dan lain-lain.

Pertembungan dan pertentangan antara kumpulan Muawiyah dan Ali sampai kepada kemuncak sehingga membawa kepada perang Siffin. Melihat kepada kumpulan Muawiyah hampir kalah, mereka bersetuju menyelesaikan konflik melalui rundingan. Perundingan diberlaku pada bulan Ramadhan tahun 37 Hijrah. Kelompok Muawiyah diwakili oleh Amru bin Ash, manakala kelompok Ali diwakili oleh Abu Musa Al-Asy'ari. Namun, ia hanya bersifat sementara. Kumpulan neutral pun tidak dapat menyelesaikannya. Umat Islam berpecah semula selepas itu, malah bertambah tenat. Mereka tidak pernah mengambil pengajaran sehinggalah bencana besar menimpa kerana mereka sentiasa berprasangka dan saling tidak percaya-mempercayai antara satu sama lain.

Perundingan tersebut bukan sahaja tidak menyelesaikan konflik, tetapi malah menimbulkan kelompok baharu. Kumpulan Ali terpecah kepada dua; Pertama, yang tetap setia kepadanya (syiah); Kedua, yang memberontak, keluar dari kumpulan Ali dan berbalik menjadi musuhnya, karena tidak puas dengan keputusan Ali untuk mengikuti perundingan diatas. Kumpulan ini dikenali sebagai Khawarij. Penyatuan semakin sukar, umat Islam semakin berpecah kepada tiga iaitu kumpulan Muawiyah, kumpulan Ali dan kumpulan Khawarij (Fikri Mahmud, 20 Jun 2011).

Kumpulan Khawarij mengkafirkan kumpulan Ali dan Muawiyah. Mereka menghalalkan darah orang Islam yang tidak sependapat dengan mereka. Mereka memerangi kumpulan Ali dan Muawiyah. Perancangan dibuat untuk membunuh Ali, Muawiyah dan Amru bin Ash. Muawiyah dan Amru selamat dari pembunuhan, sedangkan Ali terbunuh di tangan Abdul Rahman bin Muljam pada tahun 40 Hijrah.

Kedudukan umat Islam semakin meruncing sehingga sanggup berbunuh sesama sendiri. Setelah kematian Ali, anak lelakinya bernama Hassan, dilantikmenggantikan ayahandanya. Hasan melihat bahawa pertentangan politik ini hanya akan merugikan umat Islam secara keseluruhan. Lantaran Hassan mencadangkan perdamaian dengan Muawiyah bagi mengelakkan pertumpahan darah sesama umat Islam.

Hasan bertindak meletakkan jawatan pada tahun 41 Hijrah dan menyerahkan kekuasaan kepada Muawiyah. Hasan meminta agar Muawiyah menyerahkan urusan khilafah kepada rakyat apabila ia meninggal nanti. Hasan juga meminta agar kumpulan Muawiyah berhenti menghina Ali atau menikam dari belakang. Gerakan perdamaian ini mendapat sokongan oleh masyarakat Islam ketika itu. Malangnya, perjanjian tersebut tidak ditepati. Umat Islam mungkir. Akhirnya membawa kepada meninggalnya Hassan di Madinah kerana diracun pada tahun 50 Hijrah. Kumpulan Syiah melantik Husein, putra Ali kedua, menggantikan abangnya.

Sebelum Muawiyah meninggal,beliau melantik anaknya Yazid menggantikannya. Perlantikan ini menimbulkan kemarahan kumpulan Syiah kerana Muawiyah telah melanggar perjanjian damai yang telah dipersetujui dengan Hasan yakni untuk memulang kuasa kepada rakyat. Namun begitu, rakyat jelata tidak dapat berbuat apa-apa, kerana Muawiyah memerintah dengan kejam dan kuku besi.

Akibatnya, permusuhan antara kumpulan-kumpulan ini semakin menjadi-jadi. Pertumpahan darah sesama umat Islam berlaku dengan dahsyat. Husein terbunuh di Karbala. Kepalanya dipenggal dan dibawa ke hadapan Yazid sebagai persembahan. Walaupun pimpinan kalangan Bani Umayah silih berganti, permusuhan dengan kumpulan tidak pernah reda. Dendam kesumat begitu mendalam. Penghinaan terus berlaku dan berleluasa. Kalangan pemimpin Bani Umayah yang berhati mulia seperti Abdul Malik bin Marwan,yang berusaha untuk menyatukan semula umat Islam, tetap gagal kerana perpecahan seolah-olah tidak boleh dibaiki lagi.

Abdul Malik mengambil pendekatan meraikan semua kumpulan. Khalifah empat iaituAbu Bakar, Umar, Usman dan Ali dijadikan payung penyatuan umat supaya jangan hidup berpuak-puak. Sebelum ini kumpulan Umayah hanya mengakui Abu Bakar, Umar, Usman dan Muawiyah, mereka tidak mengakui Ali. Manakala Kelompok Khawarij hanya mengakui Abu Bakar dan Umar. Sementara, kumpulan Syiah hanya mengakui Ali sahaja dengan alasan masing-masing. Setiap kumpulan saling hina menghina antara satu sama lain.

Abdul Malik menyeru Umat Islam supaya tidak taksub kepada para sahabat atau khalifah empat tetapi hanya menjadikan Rasululullah SAW sebagai satu rujukan yang unggul. Pendekatan Abdul Malik mendapat sokongan dari masyarakat Islam. Di antara tokoh kelompok Moderat yang masih hidup dan menyokong Abdul Malik adalah Ibnu Umar. Umat Islam yang menyokong saranan ini dikenali seabgai Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah.

Istilah Ahlus Sunnah Wal Jamaah, sebenarnya lahir dari proses sejarah yang bertujuan untuk mempersatukan umat yang sudah berpecah belah. Oleh kerana itu, sering kita terjumpa bahawa kumpulanAhlus Sunnah Wal Jamaah sentiasa berusaha untuk mempertemukan aliran pemikiran berbagai kumpulan yang saling bertentangan.

Tetapi usaha untuk mempersatukan umat itu tidak mendatangkan hasil kerana persaingan antara kumpulan masih aktif. Kumpulan Syiah, tetap tidak mahu bergabung dalam kumpulan ini. Menurut Syiah, hak untuk memegang jawatan khalifah hanyalah untuk Ali dan keturunannya. Kumpulan Syiah menganggap bahawa Ahlus Sunnah Wal-Jamaah hanyalah penyokong dan merupakan tali barut dari kumpulan Umaiyah. Tidak semena-mena, kumpulan Ahlus-Sunnah Wal-Jamaah menjadi mangsa, sedangkan mereka amat tulus dan ikhlas.

Peristiwa yang dijelaskan ini sepatutnya menjadi contoh dan iktibar kepada umat Islam, supaya jangan mengulangi kelemahan dan keburukan yang sama. Malang sekali, sehingga hari ini perpecahan tersebut terus terbawa-bawa tanpa penyelesaian. Masalah politik telah menyebabkan umat Islam berpecah-belah dalam berbagai kumpulan dan puak-puak. Perpecahan politik juga turut terbawa-bawa dalam perbezaan pendapat budaya hidup sepertiakidah, syariah, penafsiran dan pemahaman hadis, tafsir, tasawuf dan sebagainya. Pendek kata, di mana ada umat Islam, jawapannya, pecah, pecah dan pecah, akhirnya kita akan diperintah.

Umat Islam di negara ini perlu menyedari bahawa perbezaan yang membawa kepada perselisihan dan pertengkaran sesama sendiri adalah sesuatu yang amat hina. Perbezaan organisasi politik dan keagamaan hendaklah tidak dijadikan untuk saling menghina dan memusuhi, tetapi dimanfaatkan sebagai saranan untuk berlumba-lumba bagi membuat kebajikan demi kemajuan umat dan negara (Q.S.2:148). Apa yang akan dilihat oleh Allah SWT bukanlah organisasi yang kita miliki, tetapi adalah aktiviti (amal) yang kita lakukan (Q.S.9:105). Rasulbersabda: Sebaik-baikmanusiaadalah orang yang memberimanfaatbagi orang lain. Cabarandantentangan yang akandihadapimendepaniglobalisasiamatlahmenakutkan (Fikri Mahmud, 20 Jun 2011).

Justeru,penyatuan dan kerjasama sudah sampai ke peringkat wajib, tidak boleh tidak.Penyatuan dan kerjasama yang wajib dilaksanakan, bukanlah membubarkan organisasi atau kumpulan yang sedia wujud, tetapi mesti ada permuafakatan bersama meskipun berlainan latar belakang. Setiap daripada kita bertanggungjawab memastikan kekuatan dan kesejahteraan umat terpelihara, tanpa diganggu-gugat.

Langkah pertama, perlu ada dialog atau musyawarah antara kumpulan-kumpulan ini mencari persamaan membicarakan agenda bersama melibatkan kepentingan umat Islam. Jika kumpulan atau organisasi sedia wujud tidak diyakini, maka kumpulan moderat atau neutral perlu mengambil inisiatif mengadakan dialog tersebut. Selaku Cina Muslim dari Persatuan Cina Muslim Malaysia yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan, kami bersedia untuk membuka jalan pertemuan ini.

Ini bagi memastikan tragedi pahit daripada terus berulang. Sepatutnya sejarah menjadi iktibar. Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempatan. Namun, keadaan sebaliknya berlaku seolah-olah yang baik ditinggalkan, yang buruk diamalkan. Petanda kepupusan semakin hampir, jangan sampai terperangkap.

Monday, June 20, 2011

Pentingnya budaya merujuk pakar

Sinar Harian 20 Jun 2011

Saya merasa pelik kenapa kerajaan masih mahu melayan tuntutan kumpulan yang terlalu minoriti seperti The Parent Action Group for Education Malaysia (PAGE) yang mahu kembali semula kepada Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Jika itu kemahuan mereka, biarlah mereka yang buat, kita lihat sejauh mana hebatnya mereka mahu mengubah sistem pelajaran, bukan memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris mengikut pandangan pakar.

Pertubuhan ini nampaknya begitu agresif bersama pertubuhan bukan Melayu yang lain, mahukan PPSMI dikembali semula. Pertubuhan ini tidaklah terlalu berpengaruh. Saya yakin ahli-ahlinya hanya ada sekelumit, tetapi mungkin kabel mereka agak besar. Mereka berhujah menggunakan pendapat segelintir ibu bapa dan bukan Melayu yang memang mahu melihat bahasa Melayu terkubur serta respon yang diperolehi melalui perbahasan dalam talian internet. Sudah tentu jawapannya tidak akan menyebelahi bahasa kebangsaan kerana kita tahu siapakah mereka?

Ingin juga saya bertanya pimpinan mereka ini mengkhusus dalam bidang apa? Jika berada di luar bidang kepakaran, lebih baik senyap dahulu. Belajar lagi untuk mengkhusus dalam bidang kepakaran. Dengar dulu nasihat pakar-pakar dalam bidang bahasa, yakni mereka yang mengkhusus dalam bidang bahasa Melayu atau bahasa Inggeris dan dapatan kajian-kajian yang telah dilakukan. Jangan ikut pandai sendiri sahaja, sedangkan kelulusan tidak seberapa. Jika sakit pergilah berjumpa doktor perubatan, jangan jumpa doktor falsafah atau jurutera. Begitulah pentingnya budaya merujuk pakar, supaya mendapat input yang betul.

Tidak ada seorang pun yang menolak akan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia. Bodohlah kita jika menolaknya. Persoalan pokok adalah, janganlah sampai merubah sistem. Jika bahasa itu yang lemah, maka perbaikilah bahasa tersebut seperti yang cuba dilakukan oleh Kementerian Pelajaran hari ini, bukan dengan mengorbankan identiti dan jati diri.

Bahasa jiwa bangsa. Rosak bahasa adalah permulaan kepada petanda punahnya atau pupusnya sesuatu bangsa. Itulah antara pesanan seorang ahli falsafah Cina zaman dahulu. Pada masa sama, buatlah kajian terhadap 198 negara bangsa yang sedia wujud di dunia ini. Tidak ada sebuah negara bangsapun yang sanggup korbankan bahasa kebangsaan hanya kerana atas alasan pembangunan, atau Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan sebagainya. Berilah apa jua alasan untuk kemajuan, tetapi jangan menjadikan bahasa Melayu sebagai galang gantinya. Berapa banyak negara di dunia ini masih tidak menggunakan bahasa Inggeris tetapi tetap maju. Tidak perlulah saya berikan bukti sebab sudah basi.

Kementerian Pelajaran sedang bertungkus lumus untuk memperhebatkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai aspek. Biarlah pakar-pakar yang menentukan dan menanganinya. Siapakah kita jika dibandingkan dengan pakar-pakar bahasa?

Hormatilah budaya merujuk pakar. Sama juga dengan isu novel Interlok. Majoriti pakar bahasa dan sasterawan mengatakan bahawa isi kandungan novel tersebut sebenarnya tiada masalah langsung. Kenapa kita seperti cacing kepanasan kalau bukan kerana ada udang di sebalik batu?

Namun, setelah dipindapun, masih ramai yang tidak berpuas hati. Kenapa? Jawapannya mudah, kumpulan ultra kiasu ini ada agenda lain. Komuniti besar kepala ini merasakan diri mereka telah kuat melalui keputusan pilihan raya umum 2008. Kerjanya tidak ada lain, ugut, desak dan tuntut. Dengan nada sombong dan bongkak mereka mahu kerajaan supaya mengharamkannya. Novel ini dikatakan akan merosak pemikiran pelajar kerana lebih mempamerkan ketuanan Melayu. Saya yakin puak-puak ini tidak akan berani mengangkat kepala sedikitpun jika umat Islam bersatu atau keputusan pilihan raya 2008 tidak ‘menyebelahi’ mereka.

Kalau tidak percaya, bacalah lama-laman-laman web ultra kiasu. Bacalah komen-komen negatif mereka. Saya syorkan Kementerian Dalam Negeri mengambil inisiatif menterjemahkan akhbar, majalah dan buku-buku karangan pengarang bukan Melayu terpilih, kita lihat berapa banyak pujian dilontarkan kepada bangsa Melayu, negara Malaysia dan 1Malaysia. Kita lihat siapakah yang paling banyak menabur racun. Sekurang-kurang novel Interlok berani berterus terang menceritakan realiti sebenar masyarakat berbilang kaum di negara ini, daripada lempar batu sembunyi tangan.

Kepada golongan yang hanya pandai mengkritik ini, pandai sangatkah mereka dalam sastera Melayu? Apakah mereka selalu dilihat menulis dan bercakap bahasa Melayu? Apakah latar belakangnya? Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang Cina yang mempunyai pengalaman luas bercampur dengan masyarakat majmuk di Malaysia. Ternyata beliau begitu memahami warna-warni masyarakat yang wujud, dengan bangsa Melayu sebagai bangsa teras. Maka tidak hairan jika beliau fasih dalam bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris. Interlok pada beliau adalah realiti masyarakat Malaysia sebenarnya.

Sebenarnya, kita amat memerlukan ramai rakyat Malaysia seperti ini. Bukannya, mereka yang akan mencari seribu satu alasan untuk mematahkan apa jua idea baik yang dikemukakan. Hari ini, mereka menggunakan gagasan 1Malaysia sebagai hujah utama jika tidak berpuas hati. Misalnya, terbaharu, pertubuhan Kristian terus mencabar Kementerian Dalam Negeri, berkaitan isu-isu sensitif seperti alkitab dalam bahasa Melayu, kalimah Allah dan sebagainya. Mereka mahu mengimport dan menterjemahkan alkitab Melayu sebanyak yang mungkin.

Kenapa perkara ini perlu diperbesarkan sedangkan populasi mereka hanya di sekitar di bawah 10 peratus? Jawapannya juga mudah, mereka agenda lain. Kita yang terlalu bersangka baik dan terlalu menjaga hati mereka untuk mendapatkan undi. Sedangkan belum tentu mereka mengundi kita. Tidak cukupkah lagi kebebasan beragama yang diamalkan di negara kita?

Gagasan 1Malaysia bukan bermakna memadamkan semua unsur-unsur Melayu dan Islam sehingga menjadikan ia sama rata dan sama rasa. Bayangkan jika tidak diperkenalkan gagasan1Malaysia, apakah kita yakin mereka tidak akan mencari apa jua hujah untuk mematahkan hujah-hujah kita. Kadangkala terfikir juga saya apakah gagasan ini satu kesilapan kerana ramai sangat orang yang memperalatkannya. Carilah tempat yang boleh memuaskan hati dan mengamalkan kebebasan sepenuhnya jika Malaysia bukan lagi tempat yang sesuai. Identiti Islam dan Melayu mesti dikekalkan sebagai tanda negara ini berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu.

Saya bukanlah menidakkan hak bangsa lain, tetapi setiap negara perlukan kepada identiti berasaskan kepada siapa yang membentuk kerajaan pada permulaan kewujudan sesebuah negara. Fenomena ini berlaku di kebanyakan negara di dunia. Ia bukanlah sesuatu yang baharu. Adalah sesuatu perkara biasa budaya bangsa awalan mendominasi atau menjadi identiti kepada sesebuah negara. Tidak perlu saya sebut nama-nama negara tersebut.

Justeru, kepada mereka yang faham sejarah, perkara ini tidak menjadi isu besar kerana mereka faham. Yang menimbulkan masalah hari ini adalah mereka tidak faham atau sengaja tidak mahu faham dan sengaja mengelirukan fakta. Saya tidak ada masalah langsung dengan hak-hak istimewa Melalyu/Bumiputera dan Dasar Ekonomi Baharu jika digunakan dengan betul dan dimanfaatkan kepada semua yang layak. Persoalan timbul, adalah ia benar-benar berlaku? Tidak dinafikan berlaku salah guna kuasa. Namun begitu, itu bukan bermakna, kita perlu bertindak mendesak menghapuskan dasar tersebut. Yang salah itu manusia, dasar-dasar tersebut tidak salah. Perlembagaan itu tidak salah, yang salah adalah manusia yang melaksanakan isi kandung perlembagaan.

Pada saya, pihak British yang merangka perlembagaan ini, cukup memahami situasi Tanah Melayu ketika itu. Maka, kita dapat lihat perlembagaan digubal dengan begitu adil dan saksama. Walaupun perlembagaan itu tidaklah sangat bersifat Islam, tetapi ia memihak kepada Islam. Terlalu banyak ruang untuk Islam bergerak, cuma kita sahaja yang tidak mahu memanfaatkannya.

Di satu pihak mahu menukar keseluruhan perlembagaan tersebut. Di pihak yang lain pula mahu mempertahankannya, tetapi perlaksanaan Islamnya agak perlahan. Dalam hal ini, sudah tentu pendekatan untuk menukar perlembagaan secara keseluruhan agak sukar untuk dilaksanakan, kerana umat Islam tidak mempunyai majoriti dua pertiga. Apatah lagi ada kalangan mereka yang ultra dan berkata ‘langkah mayat aku’.

Seperti yang selalu saya katakan, kenapa kita pakat-pakat berusaha dan bekerja dalam ruang lingkup perlembagaan yang membenarkan Islam berkembang dan dilaksanakan. Kenapa kita asyik mengkafirkan perlembagaan yang didakwa digubal dan ditinggalkan oleh penjajah. Adakah keseluruhan perlembagaan negara kita tidak Islam?

Saya berkesempatan berforum dengan Profesor Abd Aziz Bari bulan lalu. Ternyata pandangan beliau selaku pakar begitu jauh ke hadapan. Kepakaran beliau dalam undang-undang dan perlembagaan menjadikan ia tidak disenangi oleh sesetengah pihak. Antara pendapat beliau yang begitu kontroversi adalah, “untuk menggantikan atau menukar perlembagaan yang sedia ada sekarang adalah suatu angan-angan Mat Jenin yakni terlalu sukar untuk dilakukan”.

Kenyataan beliau mendapat respon yang spontan daripada khalayak. Saya yakin saudara pembaca mesti dapat mengenal pasti siapakah golongan dimaksudkan. Namun, pendapat beliau adalah berasaskan kepada bidang dan kepakarannya. Kita sahaja yang tidak sampai kepada peringkat pemikiran beliau dan bertindak begitu beremosi, sehingga akhirnya memakan diri. Bercakap tidak berasaskan kepada fakta dan realiti semasa. Sedangkan keadaan sudah jauh berubah.

Maka tidak hairanlah, jika hari ini kita sudah jarang orang memperkatakan undang-undang hudud. Jika tidak dahulu, hudud, hudud, hudud. Keadaan mula berubah daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.

Kadang-kadang saya naik muak setiap kali mendengar khutbah jumaat di beberapa masjid, terutama masjid Bandar Baru Ampang. Isi kandungannya tidak banyak berubah, sikit-sikit kembali kepada Quran dan Sunnah. Benar, saya tidak menolak kenyataan tersebut. Tetapi apakah modus operandinya? Tunjukkan bagaimana ianya boleh dilaksanakan dalam realiti masyarakat berbilang kaum hari ini. Jangan asyik-asyik bercakap perkara-perkara yang begitu simplistik. Pendekatan kita biarlah mendidik.

Saya teramat ingin juga mendengar khutbah jumaat yang mengajak masyarakat lebih berhemah di jalan raya. Misalnya, memakirkan kereta di tempat-tempat yang tidak menghalang lalulintas ketika ketika solat jumaat. Saya begitu lemas melihat setiap kali solat Jumaat, jemaah memakirkan kereta mereka sehingga jalan yang mempunyai banyak lorong, hanya menjadi hanya satu lorong, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan menyusahkan orang lain. Bayangkan jika ada hal-hal kecemasan, sudah tentu akan menimbulkan masalah. Tidak kurang juga kita menyusahkan orang bukan Islam yang menggunakan jalan tersebut. Sudah tentu pandangan mereka terhadap Islam menjadi serong. Bila umat Islam menunaikan solat jumaat, maka ia menyusahkan orang lain.

Tidakkah lebih baik, kita memakirkan kenderaan jauh sedikit daripada jalan utama dan membiarkan lorong jalan raya selesa untuk dilalui dan tidak menimbulkan kesesakan atau kesusahan kepada orang lain. Ini tidak, kita mahu memakir kenderaan, kalau boleh sehingga sampai ke tangga atau ke mimbar masjid. Kita tidak langsung mahu bersusah sedikit, untuk menyenangkan orang lain. Jika ini sikap kita, sampai bila-bilapun Islam sukar untuk berkembang. Khutbah seperti ini jarang kedengaran. Yang ada, hentam sana, hentam sini, kemudian kembali kepada Quran dan Sunnah. Caranya bagaimana? Mendidik.

Sudah sampai masanya khatib-khatib mengamalkan sikap merujuk kepada pakar. Perlu ada inovasi dan kelainan dalam berkhutbah. Jika tidak, orang akan lari dari masjid. Tidak semua mereka yang datang bersolat adalah kalangan orang yang sama. Kita sahaja yang syok sendiri, sehingga khutbah yang sepatutnya mendidik, menjadi bahan cacian dan umpatan selepas itu. Saya tidak kata khutbah yang sedia ada, sudah bagus. Apapun penambahbaikan dan inovasi perlu dilakukan dari masa ke semasa. Apa yang penting, jika tidak tahu, rujuklah kepada mereka yang pakar. Sudah tentu banyak perkara yang dapat diselesaikan, termasuk isu PPSMI.

Biarkanlah mereka dalam bidang, yang lebih banyak membicarakannya, daripada kita yang berada di luar bidang atau masih belajar. Saya tidak kata, yang bukan pakar tidak boleh memberikan komen atau pandangan, sebaik-baiknya rujuklah kepada pakar untuk memperdalamkan ilmu. Dengan sebab itu, dalam pengajian ada pengkhususannya sehingga kepada tahap yang lebih tinggi. Fakulti Pengajian Islam terlalu banyak pecahannya seperti Usuluddin, Syariah, Muamalah dan sebagainya. Begitu juga dalam bidang sains dan sains sosial.

Monday, June 13, 2011

Ambil pengajaran bangsa yang pupus

Sinar Harian 12 Jun 2011

Saya melihat generasi bangsa Melayu hari ini agak begitu complacent dengan kata-kata Hang Tuah, “Tak Melayu hilang di dunia”. Benarkah Melayu tidak akan hilang dengan melihat realiti hari ini? Perlu diingat bahawa tidak ada jaminan sesuatu bangsa dapat mengekalkan kuasa dan kedaulatannya hingga akhir zaman, hanya kerana mereka adalah peribumi yang mewarisi tanah pusaka nenek moyang. Jika kita mudah lupa, tidak bersedia, tidak bertegas dan engkar kepada perintah Allah, maka tunggulah harinya.

Realiti yang sedang berlaku di depan mata kepada umat Islam di Palestin dan orang Melayu Singapura amat menghibakan. Peribumi merempat di bumi sendiri dan tidak tahu ke mana nasibnya selepas itu. Apakah kita tidak mengambil pengajaran? Walaupun belum pupus, tetapi tanda-tanda kepupusan sudah semakin nyata akibat perpecahan yang tidak berkesudahan.

Tidak perlulah dinukilkan apa yang telah terjadi kepada kaum Lut, kaum ‘Add, penduduk Madyan, kaum Tsamud, Firaun, Qarun dan Haman yang telah dibinasakan oleh Allah. Jika sampai terjadi, generasi hari ini bakal dikutuk dan disumpah oleh generasi akan datang atas keegoan dan keangkuhannya.

Ingatlah, sudah banyak umat yang terusir dari tanah air, malah tidak sedikit yang telah hilang di dunia. Mereka yang berhak mewarisi bumi pusaka tidak semestinya bumiputera, tetapi sesiapa sahaja Allah akan gantikan jika sesuatu bangsa itu tidak bersyukur dan beriman. Mereka yang kekal di bumi sendiri adalah mereka yang beramal soleh dan tidak mengkhianati Allah. Begitulah ketetapan Ilahi sejak dahulu, kini, dan selama-lamanya;

"Dan sesungguhnya telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis di dalam) Lauh Al-Mahfuz, bahawasanya bumi ini dipusakai hamba-hambaKu yang soleh" (Al-Anbiya: 105).

Sejarah telah membuktikan bahawa sesuatu bangsa hancur disebabkan oleh mereka mudah lupa, rosak akhlaknya dan perpecahan yang tidak berkesudahan. Lebih malang jika Islam telah tercabut dalam dirinya. Allah yang berkuasa menjadikan, Allah juga berkuasa untuk menghapuskan.

“Maka tiap-tiap (mereka itu) Kami binasakan disebabkan dosanya, maka di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya angin ribut, hujan batu kerikil dan di antara mereka ada yang dibinasakan dengan letusan yang menggempakan bumi, dan di antara mereka ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan di antara mereka yang Kami tenggelamkan di laut, dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiayai mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” (Al-Ankabut: 40)

Berdasarkan ayat ini, Allah telah menurunkan empat jenis azab yang telah ditimpakan ke atas umat terdahulu yang sebelum ini hebat dan gagah perkasa. Namun tiba-tiba, dengan sekelip mata hilang di dunia. Kepupusan yang berlaku bukan disebabkan Allah mahu menganiaya mereka, tetapi akibat dosa-dosa dan kezaliman mereka sendiri.

Justeru, sudah sampai masanya kita membuat muhasabah diri sendiri, apakah selama ini kita semakin tunduk dan sujud kepada Yang Maha Esa atau sebaliknya banyak melakukan kemungkaran sebagaimana yang telah dilakukan oleh umat terdahulu? Firman Allah SWT lagi:

“Apakah mereka tidak memperhatikan berapa banyaknya generasi yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (generasi itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, iaitu keteguhan yang belum pernah Kami berikan kepadamu, dan Kami curahkan hujan yang lebat atas mereka dan Kami jadikan sungai-sungai yang mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka kerana dosa mereka sendiri dan Kami ciptakan sesudah mereka generasi yang lain.” (Al-An'am: 6)

Kekuatan dan kehebatan, kekuasaan dan kestabilan sama sekali bukan jaminan untuk terus kekal dan unggul. Sekelip mata boleh menjadi padang jarak padang terkukur jika Allah mengkehendakinya. Hancurnya kaum ‘Add dan kaum Tsamud, tenggelamnya Firaun dan Haman, serta punahnya Qarun ditelan bumi, tidak pernah ditangisi sebagai suatu tragedi. Satu bangsa boleh ada dan boleh tiada, satu generasi boleh datang dan pergi. Dunia tidak pernah rugi. Setiap yang pergi, pasti ada pengganti yang lebih baik.

Namun, manusia selalu leka apabila mendapat kuasa. Mereka lupa bahawa kuasa adalah milik Allah. Manusia hanyalah pemegang amanah. Justeru, manusia mesti tunduk dan sujud kepadaNya. Manusia tidak boleh bermarajalela dan bertindak sewenang-wenangnya, seolah-olah dunia ini ‘ana yang punya’. Rakyat adalah hamba dan abdinya. Penguasa seperti ini biasanya tidak akan kekal lama. Apa yang berlaku di Mesir dan negara-negara Arab yang lain, sudah jelas menunjukkan bahawa seisi alam ini adalah milik Allah dan manusia hanya meminjam buat sementara. Amanah ini hendaklah dipikul dengan ikhlas dan diserahkan kepada Pencipta.

Manusia yang terpedaya dengan kuasa itulah yang dibinasakan Allah dengan cara-cara yang dikendakiNya. Ada yang dihancurkan melalui bencana yang menimpa secara tiba-tiba seperti Tsunami. Tidak kurang yang dibinasakan dengan perpecahan sesama mereka. Ada yang musnah melalui proses yang memakan masa seperti serangan wabak penyakit, krisis ekonomi, krisis alam sekitar dan sebagainya lagi.

Kesimpulannya, nasib suatu bangsa sangat bergantung kepada kualiti diri yang dicirikan oleh khidmat dan manfaat. Suatu bangsa layak untuk terus hadir di dunia selama kehadirannya bermanfaat kepada kemanusiaan sejagat. Hakikat inilah yang tersirat di sebalik ungkapan simbolik oleh Allah SWT yang bermaksud:

"...Adapun buih itu, akan hilang sebagai (bahan) yang tidak ada harganya, adapun yang memberi manfaat kepada manusia, maka ia tetap di bumi. Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan. (ar-Ra'd: 17).

Rasulullah SAW turut mengingatkan perkara yang sama, akan tiba satu zaman yang mana umat Islam akan dikerumuni oleh semua bangsa di seluruh dunia, seperti mereka ingin memakan hidangan makanan. Sahabat bertanya “adakah umat islam sedikit pada waktu itu”. Rasulullah menjawab” Tidak,bahkan kamu banyak seperti buih di waktu banjir. Tetapi Allah telah mencabut rasa gerun dihati musuh-musuh kamu terhadap kamu dan Allah mencampakkan penyakit wahan ke dalam hati kamu”. Sahabat bertanya “Apakah wahan itu ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab “cintakan dunia dan takutkan mati”.”

Kiasan buih di sini adalah lambang kualiti sesuatu bangsa. Kosong tanpa isi walaupun membukit tingginya. Mudah pecah dan hilang. Persoalannya, adakah kita akan menjadi seperti buih? Mampukah kata-kata “Tak Melayu hilang di dunia dipertahankan, jika langkah-langkah sewajarnya tidak diambil untuk menyelamatkan Melayu? Justeru, untuk terus kekal relevan di nusantara ini, Melayu mesti bersatu atas asas Islam, bersedia menyumbang, mempunyai visi dan misi, idealisme dan iltizam.

Umat Islam tidak boleh duduk berdiam diri sahaja, dengan melihat sahaja apa yang berlaku. Lupakanlah perbezaan latar belakang, bangsa, ideologi dan parti politik buat selama-lamanya. Kita semua perlu menjadi penyumbang. Masa bermain-main sudah tamat. Sekarang adalah masa bekerja dan memikirkan masa depan umat Islam secara keseluruhan.

Ingatlah! Orang orang kafir sentiasa merancang untuk memusnahkan Islam. Tanpa putusa asa, mereka sentiasa mengkaji setiap kelemahan umat Islam. Strategi ini tidak pernah berhenti kerana ia adalah senjata yang paling berkesan. Menunggu masa sahaja untuk menggunakan senjata itu sepenuhnya. Hari ini senjata tersebut telahpun digunakan. Mungkin kita buat-buat tidak berapa perasan. Situasi yang dihadapi oleh umat Islam hari ini dimanipulasikan sepenuhnya.

Bertambah menyedihkan apabila umat Islam sendiri mengecam sesama sendiri, seolah-olah sudah tidak wujud persaudaraan lagi. Sedangkan Allah SWT sentiasa mengingatkan bahawa semua orang Mukmin itu bersaudara, tidak kira apa jua bangsa dan warna kulitnya.

Sejarah telah membuktikan, telah menjadi sunnatullah, generasi bangsa yang sudah tidak dapat diharapkan akan dibinasakan Allah. Mereka segera digantikan oleh generasi lain yang lebih baik, yang watak dan kualiti begitu jauh berbeza dengan sebelumnya.

Dan (penduduk) negeri itu telah Kami binasakan ketika mereka berbuat zalim dan telah Kami tetapkan waktu tertentu bagi kebinasaan mereka(Surah al-Kahfi: 59).

Dalam surah at-Taubah ayat 38-39, Allah SWT memberikan ancaman kepada mereka yang sudah tidak mahu berjuang, mereka yang lalai dengan kesenangan hidup, terpedaya dengan habuan keduniaan yang bersifat sementara dan tidak seberapa. Sedangkan semua tahu bahawa kebahagiaan akhirat yang kekal abadi. Jangan sampai Allah SWT gantikan kita dengan orang lain disebabkan oleh kelalaian dan kecuaian sendiri.

Sedarlah wahai umatku, kesenangan dan kemewahan duniawi dapat membunuh idealisme dan melumpuhkan daya juang, jika tidak diseimbangkan dengan kepentingan ukhrawi. Bangsa yang telah hanyut dan terlalu obses dengan kebendaan hanya akan melunturkan dan mematikan perjuangan, adalah bangsa yang segera akan hilang di dunia. Saya tidak bertujuan untuk menakut-nakutkan kita sebagai umat Islam, kerana saya bukan penulis upahan yang mendapat jutaan ringgit seperti yang didakwa. Saya hanya seorang ahli akademik yang imbuhan gajinya tidak seberapa. Tetapi saya sentiasa beringat dengan ancaman Allan SWT yang bermaksud:

"Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyiksa kamu dengan siksa yang pedih dan ditukarnya (kamu) dengan kaum yang lain,..."(Surah at-Taubah: 39).

Yakinlah umatku, tanda-tanda bangsa pupus sudah semakin jelas dan menghampiri. Jika benar-benar berlaku pertembungan sesama umat Islam seperti yang dirancangkan pada 9 Julai ini sehingga berlaku tumpah darah, maka itulah adalah satu malapetaka yang dirancang. Memang, seolah-olah nampak ada orang bukan Islam bersama.

Persoalannya, adakah mereka akan meneruskan rancangan ini jika umat Islam tidak bersama mereka? Kita jangan terperangkap. Jangan nanti yang bertempur adalah kalangan yang berkulit sawo matang. Yang lain akan lari bertempiaran.

Saya berpendirian, menyokong tidak, menentangpun tidak, kerana negara kita mengamalkan sistem demokrasi. Rakyat ada hak untuk bersuara melalui pelbagai saluran yang telah dibenarkan dan disediakan. Bukan hanya dengan berhimpunan melalui pelbagai nama.

Apa yang penting jangan sampai berlaku pertempuran, jika ditakdirkan perhimpunan tersebut masih mahu diteruskan. Ada yang beranggapan bahawa itu adalah perhimpunan aman, tetapi adakah sesiapa boleh pastikan ia akan terus aman. Kita tidak tahu provokasi yang akan dilakukan oleh pihak-pihak tertentu sehingga boleh menyebabkan berlaku sesuatu di luar kawalan. Namun, saya tidak nampak rakyat Malaysia akan bertindak seperti apa yang berlaku di seperti di Mesir, Tunisia dan Syria kerana gaya dan cara hidup kita berbeza.

Kenyataannya, apa jua yang cuba dilakukan oleh Pas dan Umno terus berlaku pertembungan. Titik pertemuan semakin jauh. Titik perbezaan semakin meluas. Apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang terus dibangkang, apa yang dilakukan kerajaan juga dibangkang. Kenapa tidak, jika baik, disokong, jika mungkar ditentang. Yang hak tetap hak, yang batil tetap batil. Ambillah pengajaran bangsa-bangsa yang telah pupus.

Monday, June 06, 2011

Semangat Melayu dan ultra kiasu

Sinar Harian, 5 Jun 2011

Ultra kiasu begitu bernafsu untuk menguasai Putrajaya. Berbagai cara dilakukan walaupun terpaksa mengorbankan prinsipnya. Mereka sanggup lakukan apa juga cara, termasuk strategi terbaharu memikat anak muda Melayu untuk menyertai mereka. Mereka tahu generasi lama, terutama yang lahir sebelum dan awal 13 Mei 1969, tidak akan menyertai mereka. Apatah lagi jika mereka faham perjuangan ‘Malaysian Malaysia’. Maka peluang digunakan untuk memikat generasi muda hari ini yang dikatakan tidak ada lagi perasaan 13 Mei di hati mereka.

Dalam usaha untuk memenuhi nafsu serakahnya, parti ultra kiasu mahu menonjolkan imej sebagai parti untuk semua. Parti ini telah melancarkan portal berita bahasa Melayu - Roketkini. Portal yang memfokuskan kepada berita dan analisis itu khusus untuk menarik sokongan pengundi Melayu, yang selama ini dianggap anti-ultra kiasu.

Roketkini akan menjadi wadah untuk menyampaikan dan membetulkan isu-isu yang dieksploitasi oleh pembangkang untuk memburukkan imej ultra kiasu. Ultra kiasu menuduh Barisan Nasional (BN) yang telah berjaya memanipulasi persepsi palsu bahawa ultra kiasu adalah anti-Melayu. Menurut Setiausaha Agong parti ultra kiasu itu, perjuangan mereka adalah untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum. Benarkah?

Bagi membuktikannya, parti ultra kiasu telah melantik bekas wartawan akhbar, berbangsa Melayu sebagai sebagai editornya. Tahniah kepada editor tersebut. Saya amat mengharapkan editor tersebut, yang saya kenali dapat mempergunakan pengalamannya, bagi menyedarkan umat Islam akan bahayanya ultra kiasu ini.

Jangan duduk di situ, seterusnya bersekongkol untuk menjatuhkan Melayu dan Islam. Benar, saya bersetuju, generasi muda mahu perubahan. Sayapun mahu perubahan. Tidak ada sesiapapun yang rasional suka kepada rasuah, korupsi, penyelewengan dan banyak lagi perkara mungkar. Tetapi jangan lupakan sejarah. Jadikan sejarah sebagai iktibar untuk dijadikan panduan melayari masa hadapan. Masih banyak lagi parti altenatif yang boleh dipilih jika kita tidak suka kepada parti yang memerintah hari ini. Tetapi bukan dengan memilih parti ultra kiasu.

Parti ini terlalu bahaya kepada kita sebagai umat Islam. Ambillah iktibar dengan apa yang berlaku di Singapura. Apabila mereka berkuasa, apa yang terjadi kepada nasib Melayu di bumi Melayu. Melayu terus terpinggir dan tidak dipercayai. Jika ada Melayu yang menentang, akan dibuang jauh-jauh seperti yang berlaku kepada Melayu Singapura, Dr. Lily Zubaidah. Melayu tidak lagi dilantik menjadi presiden. Ultra kiasu lebih mempercayai bangsa lain.

Namun, jika adapun Melayu yang dipercayai, mereka akan mengambil Melayu yang sudah tidak ada darah Melayu, tidak ada semangat Melayu dan apatah lagi semangat Islam. Inilah yang sedang berlaku di sana. Apabila perkara ini berlaku, mudahlah untuk mereka memperkudakan Melayu. Akhirnya, Melayu merempat di buminya sendiri.

Perkara ini telahpun kita nampak di Pulau Pinang, walaupun tidak secara jelas. Mereka tidak boleh lakukan secara terang-terang, kerana dari segi strategi tentunya akan menghilang sokongan. Maka dibuat secara perlahan-lahan dan terancang. Menghimpit dan dihimpit. Akhirnya, Melayu berasa tidak ada lagi ketenangan berada di pulau, maka berhijrahlah mereka ke Tanah Besar. Inilah strategi Yahudi di Singapura. Begitulah cara yang digunakan oleh Yahudi untuk menghalau umat Islam di Palestin.

Umat Islam tidak boleh duduk diam melihat keadaan ini. Jika begitulah keadaannya, saya amat mengharapkan supaya Umno segera berubah kerana orang lain dan bangsa lain sudah jauh berubah. Jangan terlalu memperjuangkan bangsa. Umno perlu menukar perjuangannya daripada kebangsaan Melayu kepada Melayu Muslim. Elok juga ditukar nama Melayu kepada Melayu Muslim. Tetapi masih mengekalkan nama Umno, menjadi United Malay Muslim National Organization (Umno), cuma ditambah perkataan Muslim. Mungkin agak sukar, tetapi tidak mustahil. Melayu itu Islam, Islam itu Melayu. Melayu dan Islam sudah sinonim. Lebih cantik dan molek perkataan Melayu Muslim digandingkan kerana ia lebih Islamik dan dapat mengetuk lebih ramai bangsa yang mahukan Islam.

Perlembagaan Umno yang menjunjung bangsa hendaklah diletakkan di tempat kedua. Fasal 3 asas dan tujuan Umno hendaklah diubah kepada Umno adalah sebuah parti politik yang berjuang memartabatkan Islam dan cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara. Jika Umno melakukan sedemikian, saya yakin ramai orang yang akan menyertai Umno, terutama mereka yang berada di atas pagar.

Ingat, parti ultra kiasu kini bercadang untuk bertanding di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan dan Terengganu bagi menguji penerimaan orang Melayu terhadap parti mereka. Sebagai permulaan, mereka berhasrat untuk bertanding di kawasan bandar yang majoritinya adalah orang Cina dahulu, tetapi di negeri majoriti Melayu. Jika berhasil, tidak mustahil selepas ini mereka akan bertanding di kawasan majoriti Melayu di negeri-negeri yang pecahan kaumnya tidak menampakkan majoriti-minoriti, seperti Melaka, Negeri Sembilan dan sebagainya.

Suka saya bertanya kepada sekutunya PAS dan PKR, jika ultra kiasu ingin bertanding di kawasan majoriti Melayu, kerusi siapa yang hendak diambil, PKR atau PAS? Saya tidak pasti sama ada PKR atau PAS sanggup menyerahkan kerusi mereka. Jika diserahkan, terbuktilah bahawa mereka semakin tunduk kepada parti ultra kiasu ini.

Inilah strategi licik parti ultra kiasu ini. Sebenarnya mereka tidak ada pilihan. Parti ultra kiasu ini mesti membuktikan bahawa mereka dapat diterima oleh semua kaum. Pada saya, mereka tidak layak untuk bertanding di kawasan Melayu. Jika mereka benar-benar ikhlas, serahkan kerusi-kerusi parlimen Kuala Lumpur yang majoritinya orang Cina kepada calon Melayu untuk bertanding. Benarkan calon ultra kiasu Melayu bertanding di Bukit Bintang, Kepong, dan sebagainya. Barulah tidak nampak ultra kiasu. Jika tidak, ultra kiasu, tetap ultra kiasu dan tidak boleh dipercayai sampai bila-bila. Sedarlah orang anak muda Melayu.

Diharapkan PAS tidak terperangkap demi masa depan Islam. Berhati-hati jika berkawan dan melayan kawan. Takut tergadai badan. Saya amat mengharapkan supaya kempen kesedaran dilakukan bagi menjauhi umat Islam menyertai parti ultra kiasu yang selalu berkata “langkah mayat aku” (over my dead body) jika mahu menegakkan negara Islam. Apakah kita masih terus bersangka baik?

Ramai yang beranggapan bahawa parti ultra kiasu telah berubah. Mereka bukan seperti dahulu, kuat menentang Islam. Sejak berkawan dengan Pas, mereka sudah berubah. Mula mendekati, memahami dan menerima Islam. Banyak buku dan kitab mengenai Islam telah dibeli dan dibaca oleh pemimpin-pemimpin mereka.

Golongan muda ultra kiasu juga dikatakan jauh berbeza dengan golongan tua yang dikatakan sudah tidak relevan lagi. Atas alasan inilah agak-agaknya mereka mahu mengambil pendekatan pemerintahan Umar Abdul Aziz sebagai panduan mentadbir. Saya pernah juga diberitahu bahawa pemimpin ultra kiasu Pulau Pinang telah mengatakan hasratnya memeluk Islam.

Dalam hati saya berkata: “Alhamdulillah, kerana Pas berjaya mentarbiyyah dan memberikan kefahaman Islam terhadap mereka walaupun hanya berkawan dalam jangka masa singkat”. Persoalannya, adakah semua ini benar? Saya masih tertunggu-tunggu.

Bandingkan pula dengan Umno selama berkawan dengan parti-parti komponennya dalam BN, sekurang-kurangnya saya lihat beberapa menteri kanan bukan Islam memeluk Islam seperti Tun Omar Ong Yoke Lin dan Datuk Leo Michael Toyad. Tahniah, saya tumpang gembira dan bersyukur.

Tertanya-tanya pula saya, mengapa mereka yang tidakpun menyebut atau menjaja nama Umar Abdul Aziz, tiba-tiba boleh pula memeluk Islam. Manakala mereka yang terlalu obsess dengan gaya Umar Abdul Aziz, tidak juga nampak tanda-tanda untuk memeluk Islam. Inilah selalu saya bangkitkan, mesti ada udang di sebalik batu. Slogan Umar Abdul Aziz hanya mahu ‘mencairkan’ hati kita. Wal hal sebenarnya mereka ada agenda lain seperti musang berbulu ayam.

Malangnya, kita tidak pernah mengambil pengajaran. Sekurang-kurangnya belajarlah daripada mentor mereka di Singapura. Sehingga ke hari ini, pemimpin tua ultra kiasu yang tidak lagi menjadi Perdana Menteri, masih lagi berkuasa menentukan hala tuju dan masa depan Singapura. Ultra kiasu Singapura tidak pernah bersangka baik dengan orang Melayu, apatah lagi Melayu di negara kita. Hatta, sehingga ke akhir hayat isteri mentor tersebut masih sempat berpesan supaya jangan percaya kepada Melayu, kerana mereka kuat berpegang kepada Islam

Sebenarnya, ultra kiasu tidak pernah berubah. Perjuangan mereka tetap sama, tidak kira golongan tua atau muda. Malah lebih ultra lagi berbanding dahulu. Apa juga berkaitan dengan Islam akan ditentang habis-habisan walaupun nilai-nilai Islam juga akan kaitan dengan agama mereka. Jika mereka sudah berlembut dengan Melayu, sudah tentu mereka akan cuba menambat hati Melayu dengan memakai pakaitan tradisi Melayu ketika pembukaan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Ini tidak, mereka langsung tidak mahu dikaitkan dengan Melayu.

Kerajaan Kelantan cuba mengharamkan nombor ekor atau loteri. Adakah mereka bersetuju? Fahamkah mereka kepada Islam setelah berkawan dengan parti Islam? Jika tidak percaya, cuba kerajaan Kelantan haramkan arak, judi dan sebagainya adakah mereka akan bersetuju? Jawapannya ini sudah cukup memberikan gambaran sebenar akan ‘belang’ mereka. Tetapi kita tidak pernah serik.

Cuba tanya parti ultra kiasu antara PKR dan Pas, yang mana satukah pilihan mereka? Saya teramat yakin, mereka lebih selesa bekerjasama dengan PKR berbanding Pas. Buat sementara ini, mereka terpaksa menerima Pas kerana pengaruh dan kekuatan Pas masih mencengkam kalangan orang Melayu. Ditakdirkan kekuatan Pas semakin merosot, tunggulah masanya untuk ditendang keluar.

Dalam Islam, memang kita sepatutnya bersangka baik daripada berprasangka, apatah lagi melabelkan mereka. Tetapi tindak-tanduk mereka yang sudah jelas menyatakan penentangan mereka terhadap Islam membuatkan saya ragu-ragu. Mungkin Pas akan bertanya bagaimana pula dengan MCA, Gerakan dan MIC? Tidakkah mereka juga turut tidak bersetuju dengan negara Islam dan dasar-dasar Islam? Jawapannya, mereka juga tidak banyak bezanya, kerana mereka tetap satu dalam tiga atau tiga dalam satu. Saya cuma mengajak kita membuka mata. Ambillah pengajaran setiap yang berlaku.

Apapun sebelum mempercayai orang lain, lebih baik menaruh harapan terhadap saudara seagama. Hassan Al-Banna pernah berpesan, pendirian kita terhadap kepelbagaian kumpulan Islam yang wujud hendaklah berasaskan kasih sayang, persaudaraan, saling bantu membantu dan memberikan janji setia. Agama Allah adalah mudah dan penuh hikmah. Seseorang yang bersikap keras dalam agama, dia akan dikalahkan.