Sunday, October 25, 2009
Perpecahan Islam yang disengajakan
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Saya dituduh sebagai tali barut UMNO dan dibayar berjuta-juta untuk menulis artikel. Oh! Senang sekali untuk jadi kaya. Tulis artikel mengutuk pembangkang atau berbau perkauman, UMNO akan bayar. Mungkin selepas ini, pembaca boleh menyertai saya untuk jadi kaya. Senang sahaja caranya, kutuk pembangkang dan puji UMNO, maka kita akan dibayar berjuta-juta. Begitulah banyak sekali duit UMNO! Inilah pemikiran ultra kiasu. Mereka tidak boleh diusik langsung. Orang lain semua salah, mereka sahaja yang betul.
Saya dicabar kenapa tidak menegur UMNO yang dikatakan mengamalkan rasuah? Untuk makluman semua, sila baca artikel saya dalam Utusan Malaysia (22 Disember 2008). Saya ada menulis bahawa makan rasuah lebih hina daripada makan babi atau lebih baik makan babi daripada makan rasuah. Begitulah hinanya mengambil dan makan rasuah. Kenapa pembangkang tidak menyokong saya ketika itu? Inilah mentaliti kelas ketiga masyarakat kita, bila kena pada orang lain kita suka, bila kena pada diri sendiri, ibarat meludah ke langit. Bersih sangatkah kita? Ingatlah, kita hanya manusia biasa, tidak lari dari salah silap. Saya tidak nafikan bahawa kewujudan pakatan pembangkang penting dalam sistem demokrasi sebagai check and balance.
Cuma satu perkara yang saya pohon, yang baik kata baik dan sokonglah. Manakala, yang tidak baik, boleh ditegur dengan cara berhikmah. Jangan tolak semua disebabkan tidak sehaluan. Lebih hina lagi, suka menyerang peribadi. Adakah peribadi kita semuanya baik? Ingat saudara, kadangkala kita juga menyimpan pekung di dada. Kita juga buat silap, tetapi kita tidak berani untuk mendedahkannnya, dibimbangi terpalit ke muka sendiri. Tepuk dada tanya iman.
Saya mengatakan yang benar, jika hasrat PAS untuk menubuhkan negara Islam dan menjalankan hukumnya, parti ultra kiasu dan sekutunya, bukanlah pakatan yang sesuai. Sebab mereka tidak pernah bersetuju dengan Islam. Parti ultra kiasu itu amat kuat menentang Islam. Takkan tidak nampak lagi. Sementara sekutunya pula sehingga hari ini tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong idea PAS untuk menubuhkan negara Islam. Cubalah PAS bertanya walaupun sekali kepada kepimpinan tertinggi mereka. Jawapannya, mereka memang tidak mahu Islam. Agenda peribadi mereka jelas, mahu membalas dendam. Marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Siapa yang rugi? Orang Islam juga. Adakah orang bukan Islam rugi? Tidak. Mereka tetap untung sama ada dalam BN atau Pakatan Rakyat, walaupun berhadapan krisis dalaman parti sendiri.
Justeru, bila saya mencadangkan PAS bekerjasama dan mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO, itu bukan retorik kosong. PAS dan UMNO adalah parti dominan umat Islam di negara ini. Arah tuju Melayu Islam bergantung kepada dua parti ini. Bukan parti ultra kiasu dan sekutunya yang baru setahun jagung. Perjuangan mereka ada agenda tersembunyi. Saya minta saudara semua, bacalah bahan-bahan yang terlampau banyak dalam internet. Jangan lupa baca juga bersama perjuangan freemason. Saudara tentu akan mendapat gambaran sebenarnya.
Manfaat PAS berkawan dengan UMNO lebih banyak hasil Islamnya berbanding dengan parti ultra kiasu yang terang-terang menolak Islam, termasuk sekutunya. Contoh di negeri Selangor amat jelas, adakah sinar Islam benar-benar tertonjol walaupun ketuanya orang Islam. Fikirkan sendiri. Jangan berkonflik dalam diri, seksa hidup kita. Biarlah kita berkawan dengan musuh, sekurang-kurangnya kita telah kenal hati budinya, daripada berkawan dengan musuh dalam selimut dan musang berbulu ayam, yang menjadi gunting dalam lipatan atau duri dalam daging.
Saya bukan ahli UMNO, saya tidak mendapat satu senpun dari UMNO. Tetapi saya melihat politik umat Islam amat merugikan. Jika berkawan dengan UMNO, tidak dapat menegakkan Islam, apakah berkawan dengan musuh UMNO, Islam dapat ditegakkan? Tidak juga. Jadi, timbangkanlah mana lebih baik antara keduanya. Itu sahaja. Habis cerita.
Politik kita lebih kepada untuk membalas dendam. Inilah kelemahan politik Melayu yang amat ketara. Kita sanggup pecah kepala dan pecah segala-galanya semata-mata kerana berbeza pendapat seperti pilihan raya Bagan Pinang baru-baru ini. Orang lain bergaduh juga, tetapi pergaduhan mereka macam adik-beradik. Hari ini nampak bergaduh, esok mereka berbaik-baik. Tak pernah dengarpun sampai pecah kepala. Kenapa kita tidak boleh menjadi sedemikian? Kenapa perlu berpatah arang berkerat rotan. Masalah inilah yang menghantui umat Islam hari ini sehingga kita diperkotak-katikkan. Umat Islam merempat di bumi sendiri. Apakah kita yakin kita boleh bangun selepas ini?
Bandingkan dengan negara China, mereka hanya ada satu Cina. Tidak timbul Taiwan itu keluar daripada Cina. Pada kerajaan China, Taiwan itu adalah Cina. Cina tetap Cina. Taiwan tidak boleh bersekongkol dengan Amerika untuk menghancurkan Cina. Sebab apa? Jawapannya, sebab kerajaan China, kenal musuh yang sebenar dan musuh dalam selimut. Sebarang percubaan menghancurkan China, tidak ada kompromi.
Dengan sebab itu, kerajaan China amat tegas dengan Taiwan. Sebarang percubaan untuk ‘mengAmerikakan’ Taiwan akan ditentang habis-habisan. China mengambil pendekatan satu Cina dan maruah bangsa lebih penting daripada segala-galanya. Berpegang kepada prinsip yang SATU ini, akhirnya China menjadi hebat. Musuh ketatnya Amerika pun rasa takut, apatah lagi musuh yang cuba menjadi musuh dalam selimut. Tamadun mereka adalah warisan nenek moyang yang tidak boleh dijual beli dan tidak ada kompromi. Jika Taiwan dirosakkan, maka hancurlah konsep kesatuan SATU China. Saya harap pembaca faham sedikit perbandingan ini dengan negara kita dan kaitannya dengan artikel saya minggu lepas. Begitulah hebatnya pegangan ajaran nenek moyang dan tamadun bangsanya.
Islam tidak pentingkan nenek moyang, sebab kita ada Allah Yang Maha Esa. Sepatutnya kita yang ada Allah lebih hebat daripada mereka yang percaya kepada nenek moyang. Allah yang menjadikan nenek moyang. Kenapa hari ini manusia yang menyembah Allah, lebih hina daripada mereka yang menyembah nenek moyang. Janganlah pula menyalahkan Allah, kerana kita tidak bersatu atas nama Allah walaupun Allah memberi amaran, berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah, jangan kamu berpecah belah.
Manusia yang yakin dengan Allah telah terbukti akan kehebatan. Lihatlah tamadun yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Tidak ada sedikitpun kekurangan. Persoalannya, kenapa umat Nabi SAW begitu naif? Sukarnya sangatkah kita hendak bersatu atas dasar Islam? Apakah penyatuan Islam itu perlu tunggu wujudnya negara Islam atau perlaksanaan hukum Islam?
Kenapa kita tidak dapat membaca realpolitik Islam di negara kita? Bolehkah diwujudkan negara Islam yang melaksanakan hukum Islam jika penduduk negara ini tidak solid atau hampir seratus peratus Islam. Bagaimanakah kita mahu paksa bukan Islam yang hampir 50 peratus menerima hukum Islam? Tidak kah kita terfikir bahawa orang bukan Islam tidak akan selamanya bersetuju dengan Islam?
Jika begitulah keadaannya, bolehkah PAS menubuh negara Islam jika berkawan dengan mereka yang terang-terang menolak Islam. Tidak boleh juga. Jika begitulah keadaannya, kenapa tidak hari ini kita bersyukur dengan kepimpinan Islam yang sedia ada dan cuba memperkuatkan lagi agar nilai-nilai Islam terpancar walaupun hakikat sebenar hukum Islam tidak dapat dilaksanakan?
Saya fikir hari ini, kita perlu duduk semeja untuk fikirkan bagaimana nilai-nilai Islam boleh dilaksanakan di negara kita daripada bercakap soal hukum hudud yang amat sukar dilaksanakan kerana majoriti-minoriti negara kita tidak besar. Mungkin Brunei, Pakistan dan negara Arab yang lain tidak sukar untuk melaksanakan hukum Islam. Tetapi di Malaysia tidak sedemikian geografi penduduknya.
Adalah lebih baik nilai-nilai Islam dilaksanakan kerana saya yakin nilai-nilai Islam turut dikongsi oleh semua agama. Mana ada satu nilai-nilai baik Islam ditolak oleh agama lain. Apa yang diharamkan oleh Islam turut diharamkan oleh agama lain seperti berzina, berjudi, minum arak, mengumpat dan lain-lain. Nilai-nilai baik lain tidak perlu disebutkan, kerana saya yakin semua akan bersetuju, kecuali bagi mereka yang terlampau ghairah dengan cara hidup barat.
Jika ada agama yang mengatakan apa yang dilarang oleh Islam itu dibolehkan, dan nilai-nilai baik itu ditolak, saya berani mengatakan bahawa hina sungguh agama mereka. Tetapi tidak sedemikian. Apa yang saya belajar semasa menganut agama Buddha dan Kristian satu masa dahulu, sebenarnya terlalu banyak persamaan. Persamaan itulah yang perlu kita cari dan selesaikan untuk dilaksanakan, bukannya membuang masa membincangkan sesuatu yang jauh dari realpolitik dan amat sukar dilaksanakan. Akhirnya, wang ringgit dibazirkan, kerana membincangkan perkara yang tidak boleh dilaksanakan kerana tidak memahami realpolitik dan berpecah belah tidak tentu pasal. Siapakah yang rugi sebenarnya?
Saya bukan menolak negara Islam dan hukum Islam, tetapi selaku pengkaji politik, saya membaca realpolitik Malaysia. Saya sedih dan amat khuatir melihat umat Islam berpecah. Perpecahan yang disengajakan. Kita sudah terlepas Singapura, adakah kita mahu lihat Singapura kedua dan selepas itu, Singapura ketiga?
Sunday, October 18, 2009
Untungnya bersatu dalam senyap
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Pergolakan yang berlaku dalam sebuah parti politik MCA baru-baru ini, jangan dipandang terlalu serius oleh kita semua. Itu adalah perkara yang biasa berlaku dalam politik. Persoalan lebih penting adalah apa yang boleh kita belajar? Saya tidak terlalu bimbang dengan MCA dan Gerakan, kerana sebenarnya kedua parti ini tidaklah sekuat mana di kalangan orang Cina berbanding dengan sebuah lagi parti Cina yang ultra kiasu itu. Dengan sebab itu, saya tidak berapa ambil kisah atas nasib yang menimpa kedua-dua parti komponen BN ini.
Saya akan menjadi lebih teruja jika dapat melihat parti ultra kiasu itu bergolak. Tetapi sehingga ke hari ini parti tersebut jarang benar bergolak. Tetapi parti ini terus menjadi matang dan telah melalui banyak pengalaman berguna. Lebih penting lagi mereka telah dapat membaca dengan rapi akan psikologi orang Melayu. Ia semakin mendapat perhatian dan kepercayaan, sehingga ramai yang terpedaya. Apatah lagi parti ini amat jarang sekali kalah di kawasan majoriti Cina dalam mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU) dan pilihan raya kecil. Silap-silap mereka akan menang di kawasan majoriti Melayu suatu hari nanti. Itu adalah tidak mustahil, jika orang Melayu bertindak marahkan nyamuk kelambu dibakar, berbanding mengamalkan carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua.
Jika kita membuat sedikit analisa pilihan raya, kebanyakan kerusi yang dimenangi oleh MCA dan Gerakan adalah kerusi yang dipertandingkan di kawasan majoriti Melayu. Jika MCA dan Gerakan bertanding di kawasan majoriti Cina menentang parti ultra kiasu itu, saya yakin, kedua-dua parti ini akan kalah teruk. Contoh, di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan majoriti kawasan bandar. Itulah trend pengundian yang saya harap pembaca dapat faham makna tersurat dan tersirat.
Mungkin ada yang akan bertanya kenapa selama ini parti Gerakan dapat bertahan di Pulau Pinang? Jawapannya, lihat sejarah Gerakan dan punca-punca berlaku peristiwa 13 Mei 1969, yakni sebelum menyertai Barisan Nasional. Gerakan menjadi pilihan kerana Gerakan ketika itu begitu lantang dan vokal memperjuangkan nasib bangsa. Tetapi apabila Gerakan dilihat semakin bertolak ansur dengan BN, akhirnya ia ditolak, maka menanglah parti ultra kiasu itu dalam PRU 12. Ringkasnya, semakin ultra kiasu sesebuah parti politik itu, semakin ia mendapat sokongan dan perhatian. Bermakna, parti yang ultra kiasu akan mendapat sokongan padu daripada mereka yang ultra kiasu. Saya tidak menuduh semua orang Cina ultra kiasu. Yang pasti, ultra kiasu ini tetap menang besar di kawasan majoriti yang diwakilinya.
Saya yakin, selepas ini mungkin parti ultra kiasu tersebut akan meletakkan satu dua orang calon Melayu di kawasan majoriti Cina, bagi membuktikan bahawa mereka adalah parti berbilang kaum. Saya turut yakin calon-calon itu akan menang besar. Namun, itu bukanlah suatu yang menghairankan atau memeranjatkan. Hanya yang kiasu sahaja yang dapat membaca politik kiasu. Jika calon Melayu itu menangpun, calon Melayu tersebut tidak akan boleh berbuat apa-apa, sebab ia tetap dikuasai oleh mereka yang ultra kiasu. Kewujudan orang Melayu dalam parti tersebut adalah satu permainan wayang kulit yang cuba dipertontonkan untuk mengaburi mata kita.
Kita jangan tertipu dengan permainan silap mata mereka. Kemunculan beberapa tokoh Melayu dan juga India yang dilantik dalam kepepimpinan parti mereka hanyalah sandiwara untuk membuktikan bahawa mereka tidak chauvinis. Dengan sebab itu, bila ada orang Melayu yang agak berpengaruh menyertai mereka, maka cepat-cepat dilantik sebagai Naib Pengerusi. Mungkin selepas ini, sebagai timbalan pengerusi. Saya masih menunggu apakah orang Melayu akan dilantik sebagai pengerusi parti ultra kiasu suatu hari nanti? Tunggu dan lihat! Apapun, inilah strategi licik mereka yang kita masih terlepas pandang. Justeru, janganlah risau sangat pasal masalah dalaman MCA dan Gerakan. Apa yang penting yang perlu kita lakukan ialah mendedahkan tembelang parti ultra kiasu supaya orang Melayu dan orang Cina lain yang cintakan tanahair ini agar tidak tertipu.
Jika para pembaca tidak percaya apa yang saya katakan, cuba bangkitkan isu Ketua Menteri Pulau Pinang untuk digilirkan di kalangan pelbagai kaum dalam pakatan mereka atau dalam Barisan Nasional? Saya yakin, bukan sahaja parti ultra kiasu ini akan terkinja-kinja, malahan mereka yang tidak berkaitan dengan parti ultra kiasu ini juga akan bersatu bersama parti ultra kiasu ini menentang keputusan tersebut.
Pokoknya, Ketua Menteri Pulau Pinang tidak boleh terlepas kepada kaum lain. Pada hemat saya, siapapun yang memerintah Pulau Pinang antara ketiga parti ini adalah tidak penting. Yang penting orang Melayu tidak boleh menjadi Ketua Menteri di sana. Sebarang percubaan dan usaha akan ditentang habis-habisan.
Justeru, saya tidak hairan dengan apa jua krisis yang melanda dalam parti-parti politik bangsa saya. Benar, mereka nampak seolah-olah berpecah. Mereka bertikam lidah sehingga gamat. Tetapi sebenarnya, mereka bersatu dalam senyap. Parti ultra kiasu ini akan lantang mendesak, mengkritik dan menghentam. Tetapi itu bukan hentaman kosong. Siapakah yang bekerjasama secara senyap? Dua parti komponen ini akan senyap-senyap menyampaikan kepada BN bahawa tuntutan dan desakan ini perlu dipenuhi. Jika tidak, undi akan lari, orang Cina akan marah dan beralih arah. Itulah sebenarnya mesej dalam PRU 12. Inilah yang saya katakan bersatu secara senyap walaupun di luar nampak berpecah.
Begitulah juga beruntungnya MCA dan Gerakan yang dilihat lunak dengan kerajaan. Orang Melayu pula akan memberi sokongan kepada mereka tanpa berbelah bahagi kerana itulah sikap Melayu di bumi Melayu. Akur kepada arahan pimpinan. Sanggup ketepikan calon sebangsa seagama kerana mereka diajar supaya taat kepada pemimpin. Perkara ini telah berlaku sejak zaman feudal lagi, pantang Melayu menderhaka. Konotasi ini ada baik dan buruknya, terpulang kepada kita untuk menilai.
Parti politik Cina amat beruntung kerana di luar, ada yang lantang mengkritik, mendesak dan menuntut, pada masa sama di dalam ada yang bekerja dan memujuk. Tidak kira di mana negeripun mereka berada, sama di dalam pakatan atau dalam kerajaan. Mereka tetap untung.
Tidak seperti parti politik Melayu, di luar begitu lantang mengkritik, di dalam tidak ada seorang yang memujuk. Sebab parti politik Melayu (UMNO) hanya ada satu dalam kerajaan. UMNO keseorangan dalam kerajaan berhadapan dengan mereka yang lain, yang tidak habis-habis mendesak. Saya amat faham benar, kenapa kadang kala UMNO ini terpaksa mengalah, kerana UMNO tersepit, ibarat di luah mati bapak, ditelan mati emak. UMNO tidak ada pilihan sebab rakan sebangsa dan seagama tidak bersama mereka. Rakan sebangsa dan seagama yang lain berada di luar. Kerjanya, mencari salah orang, menghentam dan mengkritik, tetapi kurang pandai memujuk. Akhirnya siapa yang rugi? Inilah nasib Melayu di bumi Melayu.
Saya tidak yakin selepas ini BN akan berjaya untuk merampas kembali Pulau Pinang dan mungkin negeri lain yang telah terlepas, kerana parti ultra kiasu ini telah berjaya menyusun strategi yang mantap dan berjaya ‘mencairkan’ orang Melayu dengan gaya urus tadbir Umar Abdul Aziz dan slogan amar makruf nahi mungkar. Jika Melayu telah ‘cair’ maka tidak susahlah untuk mendapatkan kemenangan, sebab undi yang diperolehi telah solid.
Amat malang sekali parti-parti Melayu Islam hari ini, usahkan bersatu dalam senyap, perpecahan mereka ibarat berpatah arang berkerat rotan. Jalan damai teramat jauh. Mereka ibarat bercerai talak tiga. Tidak ada lagi rundingan. Rela mencari pasangan baru walaupun tidak sehaluan. Jika mahu rujuk semula sekalipun, terpaksa melakukan kahwin secara Cina buta. Rugi sungguh orang Melayu, mereka yang bercerai dan berpecah, Cina juga dapat nama dan sahamnya.
Jadi apa yang perlu kita buat sekarang? Memenuhi segala tuntutan dan desakan mereka untuk mendapatkan semula kepercayaan dan undi? Jawapannya memang sukar untuk diberikan, tetapi tidak mustahil. Umat Islam mesti bersatu supaya menjadi kuat. Bila kita kuat, maka susah juga orang lain pijak kepala kita. Masalahnya hari ini kita lemah, dengan sebab itu kaduk naik junjung.
Pilihan raya kecil Bagan Pinang, bukanlah satu ukuran untuk kita mengatakan bahawa BN telah berjaya memenangi hati Cina dan India. Banyak faktor lain yang perlu kita kaji. Jangan terlalu syok sendiri sebab nanti kita juga yang rugi. Apa yang penting sekarang ini ialah mencari jalan bagaimana kerajaan perpaduan boleh diwujudkan. Bagaimana hendak menyatukan antara UMNO dan PAS, kerana tonggak kekuatan Melayu Islam bergantung kepada dua parti politik ini.
Lupakanlah PKR buat sementara waktu. Sebenarnya parti ini tidak sekuat mana jika PAS tidak bersama mereka. Walaupun ia diterajui oleh orang Melayu, tetapi Melayu tetap rugi kerana di situ ada kumpulan ultra kiasu. Lihatlah apa yang berlaku di Selangor. Beruntungkah Islam dan PAS berada dalam pakatan itu? Saya yakin, jika PAS beralih arah, pakatan akan tersungkur dan akan kalah di mana-mana sahaja tempat yang ditandingi.
Saya masih boleh meramalkan orang Melayu PKR akan kembali kepada UMNO suatu hari nanti seperti yang kita lihat lompatan demi lompatan yang berlaku. Hari ini mereka gah kerana dendam telah terbalas, ultra kiasu bersama mereka. Persoalannya, terbelakah Islam dan Melayu, jika Melayu memerintah sekalipun? Jawapannya, Melayu tetap rugi di Selangor. Pendek kata, di manapun Melayu memerintah, mereka tetap rugi sebab mereka bercerai talak tiga dan tidak bersatu dalam senyap.
Saya jarang sekali melihat insiden-insiden buruk berlaku apabila berlaku pertembungan antara calon-calon Cina dengan parti ultra kiasu dalam pilihan raya kecil atau pilihan raya umum. Berbanding dengan apabila berlaku pertembungan antara parti-parti politik Melayu. Kita selalu dengar, ada yang pecah kepala, dibaling batu/botol dan berbagai-bagai lagi. Rupa-rupanya kita berpecah luar dan dalam, sanggup putus saudara. Masih jauh untuk bersatu dalam senyap.
Sunday, October 11, 2009
Mengenali musuh dalam selimut
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Biar saya dan seluruh keturunan dan nenek moyang saya dikutuk tidak mengapa. Saya sudah lali. Hatta kadang kala adik beradik dan saudara mara saya yang tidak ada kena mengena dengan tulisan saya ini turut terasa tempias. Mereka 'diserang' oleh golongan ultra kiasu dengan berbagai-bagai tohmahan. Keturunan nenek moyang saya dikatakan tidak pandai mendidik saya menjadi orang Cina, tidak tahu menjaga keturunan, lebih Melayu daripada Melayu, pengkhianat bangsa dan berbagai tohmahan lagi yang amat pahit untuk diterima.
Saya tidak ada masalah untuk menghadapi dengan golongan ultra kiasu ini kerana saya faham benar perangai mereka sebab kami dari jenis yang sama. Saya berpegang kepada prinsip berani kerana benar, takut kerana salah. Biarpun terpaksa berhadapan dengan orang dalam keluarga sendiri. Tidak mengapa, sebab mereka tidak faham. Apatah lagi untuk memahami Islam sebagai satu cara hidup. Hidup ini bukan semudah yang disangka. Perjuangan mempertahankan kebenaran kadang kala amat pahit. Namun, kepahitan itu akan terubat apabila kita sentiasa yakin bahawa Allah SWT sentiasa bersama-sama orang yang benar. Justeru, sentiasalah meletakkan kepentingan Allah di hadapan berbanding yang lain.
Setelah memeluk Islam, saya belajar dan diajar, apabila berlaku pertembungan antara kepentingan Islam dengan lain-lain kepentingan termasuk kepentingan bangsa, nenek moyang dan sebagainya, maka kepentingan Islam itu mesti diutamakan. Tidak boleh tidak. Sama juga pertembungan antara kepentingan ummah dengan kepentingan diri, maka ummah perlu diutamakan. Sebab kepentingan ummah itu memberi implikasi yang besar terhadap Islam. Ia adalah hak Allah SWT yang kekal abadi. Sedangkan kepentingan lain hanyalah bersifat sementara kerana kita hanya menumpang sahaja di muka bumi ini.
Dengan sebab itu, saya tidak dapat bersetuju dengan pepatah bangsa saya yang mengatakan harta benda boleh bergolok bergadai, tetapi bahasa, keturunan, identiti dan pusaka nenek moyang mesti dipertahankan, jangan digolok-gadaikan. Mesti dipelihara bermati-matian, tidak ada tolak ansur jika tergugat. Benarkah begitu? Apa yang saya faham, kepentingan diri, keturunan, parti politik, nenek moyang dan lain-lain kepentingan hendaklah diketepikan apabila bertembung dengan kepentingan Allah SWT. Begitu juga hak asasi manusia hendaklah diketepikan apabila bertembung dengan kepentingan Allah SWT.
Pendek kata, apa juga kepentingan, bila mana bertembung dengan kepentingan Allah, maka sepatutnya kita lupakanlah yang lain-lain kerana ia tidak kekal, bersifat sementara. Itu bukan bermakna kita terus berpeluk tubuh melihat sahaja apa yang berlaku. Apa guna mulia di dunia, di sisi manusia, tetapi hina di sisi Allah SWT. Perkara ini perlu kita fahami, termasuk golongan ultra kiasu itu.
Paling baik biar kita mulia di dunia, mulia di sisi Allah. Tetapi jika tidak ada pilihan, biarlah tidak seberapa mulia di dunia tetapi mulia di sisi Allah. Ini pegangan saya sebagai insan kerdil yang baru menerima Islam. Saya tidak tahu orang lain bagaimana penerimaannya?
Penulisan saya hanya mahu orang Islam sedar bahawa orang lain telah lama terkehadapan dan kuat, sehingga sukar untuk kita kejar. Adakah kita mahu terus ketinggalan? Lihatlah bagaimana orang lain menjaga kepentingan mereka. Mereka telah menggapai awan, sedangkan kita asyik bercakaran dalam semua perkara. Sudahlah kita tidak habis-habis berpecah dalam politik, sekurang-kurangnya kita bersatu dalam perkara lain. Ini tidak, dalam perkara lain pun kita masih dan terus berpecah.
Isu terbaru, berkaitan dengan kes hukuman sebat ke atas saudari Kartika Dewi Shukarno. Saya amat kagum dan menghormati beliau dan keluarganya sendiri, yang telah reda atas hukuman yang dijatuhkan dan memohon hukuman sebat itu dilaksanakan. Persoalan sama ada hukuman itu wajar atau tidak, adalah isu lain. Pokoknya, institusi tertinggi undang-undang telah memutuskan. Hormatilah. Kenapa dan mengapa pula orang Islam sendiri yang tidak kena hukuman atau tidak kena-mengena yang terkinja-kinja? Tidakkah kita sedar, orang lain sedang bersorak gembira kerana mereka tidak perlu bercakap lagi. Kita sudah mewakili mereka.
Kiasu
Mereka yang ultra kiasu ini tidak lagi perlu campur tangan atau mempertikaikan keputusan mahkamah syariah kerana kita sendiri sudah ada orang dalam yang bertindak seperti musuh dalam selimut? Kita sesama sendiri tidak ada kesepakatan dalam isu asas berkaitan agama dan hal ehwal sendiri yang menjadi darah daging, bayangkan bagaimana dengan isu yang lain?
Saya tidak pernah dengar orang bukan Islam menentang keputusan sami-sami Buddha, Hindu atau paderi mereka walaupun tindakan keagamaannya kadangkala agak ekstrim. Misalnya, isu menutup aurat. Bagi mereka yang tidak mahu menutup aurat, eloklah senyap sahaja. Tidak perlu mempertikaikan mereka yang ingin menutup atau, berubah menjadi baik (bergantung kepada niat). Jangan sindir atau menentang mereka.
Saya tidak pernah dengar ada kaum sebangsa saya mempertikaikan pakaian sami Buddha, Hindu atau paderi Kristian yang tidak kurang tutupnya berbanding Islam. Ada sami yang sanggup membotak kepala (sama ada lelaki atau wanita), berjalan kaki tanpa selipar dan lain-lain lagi mengikut ajaran mereka demi menyampaikan mesej agama. Saya lihat orang ini amat dimuliakan apabila berada di khalayak atau datang dari rumah ke rumah. Mereka disambut mesra, sedekah atau bantuan (wang) dihulurkan dengan sebanyak mungkin. Kedatangan mereka dikiaskan membawa rezeki dan tuah kepada tuan rumah. Pendek kata, orang bukan Islam amat memuliakan ketua agama mereka, walaupun kelihatan esktrim.
Kenapa kita tidak seperti 'tindakan' mereka? Bersatu mempertahankan ajaran nenek moyang. Bersatu dalam senyap walaupun di luar seolah-olah berpecah. Kita hari ini, usahkan bersatu dalam senyap, asyik berpecah luar dan dalam. Sengaja membuka pekung di dada. Berpegang kepada hak asasi manusia atau human rights lebih daripada Hak Allah. Lebih malang lagi, yang baik ditentang, yang mungkar disenyapkan? Mereka yang dikenakan hukuman minum arak ditentang, mereka yang minum arak tidak ditentang. Mereka yang tidak menutup aurat sehingga menampakkan yang tersurat dan tersirat (amat seksi), tidak disuruh tutup, mereka yang sudah tutup, disindir dengan kata-kata 'buat apa tutup-tutup'! Lebih hina lagi, apabila terbit kata-kata 'apa guna tutup-tutup kalau hati busuk, perangai yang tutup lebih teruk daripada yang tidak tutup, jadi lebih baik jangan tutup'.
Ingatlah, kita hanya manusia biasa. Tidak semestinya mereka yang cuba beramal dengan suruhan agama, akhlak mereka lebih baik daripada yang tidak beramal, walaupun itulah yang sepatutnya berlaku. Perlu dibezakan antara hak manusia dengan hak Allah. Ada manusia cuba mengikuti ajaran agama, namun di pertengahan jalan mereka diuji, akhirnya terbabas. Ada manusia yang tidak ada keinginan sedikitpun mengikuti ajaran agama atau ajaran Allah, tetapi mereka nampak baik sahaja, seolah-olah yang tidak beramalkan dengan ajaran agama lebih baik daripada yang beramal.
Persoalan saya, apakah ini bermaksud mereka yang tidak beramal itu lebih baik daripada mereka yang cuba beramal? Apakah dek kerana seorang imam atau sami atau paderi, terlibat dalam kes rogol kita boleh mengatakan tidak ada gunanya beramal dengan ajaran Tuhan? Kenapa kita perlu menyalahkan ajaran Tuhan dalam hal ini berbanding diri kita sendiri yang merosakkan ajaran tersebut? Inilah sikap ultra kiasu yang boleh merosak akidah manusia. Mementingkan hak manusia lebih daripada hak Pencipta. Berhujah menegakkan benang yang basah. Memperlihatkan seolah-olah manusia tidak perlu lagi kepada agama kerana menyekat hak asasi manusia.
Jika begitulah keadaannya, tidak perlulah bersusah payah atau beriya-iya hendak membina begitu banyak rumah ibadat di sana sini sehingga dibina di tempat yang tidak sepatutnya. Jika kehadiran Tuhan itu tidak perlu, maka tidak perlulah kita semua beramal. Lebih baik kita ikut kata nafsu diri berasaskan hak asasi. Buatlah apa sahaja yang disukai walaupun dilarang oleh semua ajaran bertuhan seperti, minum arak, berjudi, berkasino, berpeleseran, berzina dan sebagainya. Apakah mungkin mereka yang menentang hukuman ke atas Kartika akan bersetuju dengan kemungkaran ini? Apakah kewujudan agama itu sendiri dilihat sebagai ancaman kebebasan atau menyekat hak asasi manusia?
Salam hormat saya.
Sunday, October 04, 2009
Utamakan Tuhan berbanding nenek moyang
Mingguan Malaysia, 4 Oktober 2009
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Saya amat bersimpati ke atas nasib yang menimpa seorang pemimpin atau ketua sebuah parti Islam di negeri Selangor yang juga merangkap exco kerajaan negeri Selangor. Lebih malang lagi, exco tersebut terpaksa berhadapan dengan orang dalam parti sendiri, yang meminta beliau meletakkan jawatan exco kerajaan negeri. Jika parti ultra kiasu ini mahu mengikuti stail pemerintahan Umar Abdul Abdul Aziz, tindakan exco itu boleh dikira betul. Exco tersebut hanya memberikan kritikan dan mengeluarkan kenyataan mempertikaikan tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) mengendalikan kes melibatkan pentadbir awam.
Ternyata parti ultra kiasu ini begitu tertutup kepada pandangan dan kritikan yang mana bercanggah dengan cara urus tadbir khalifah Umar. Dahulu merekalah yang begitu lantang mengkritik. Orang lain semua salah. Sekarang, bila kena batang hidung sendiri, sendiri yang betul, orang lain salah. Jelas sekali, parti ultra kiasu ini tetap tidak mahu mengalah atau mengaku salah, malah mereka masih lagi boleh bersorak gembira kerana ada orang Melayu yang bersekongkol dan mempertahankan mereka. Saya tidak faham di manakah sebenarnya kedudukan kepemimpinan Umar Abdul Aziz yang ingin dicontohi? Inilah muslihat musang berbulu ayam mencairkan rakan sekutunya.
Untuk makluman pembaca, Umar Abdul Aziz amat mengalu-alukan perbezaan pendapat. Khalifah bersikap terbuka kepada sesiapapun yang mahu mengkritik kepimpinannya. Dalam isu ini, exco berkenaan hanya mahukan supaya pegawai kerajaan yang disiasat tidak dimalukan di khalayak. Sebenarnya inilah gaya kepimpinan Khalifah Umar. Menjatuhkan maruah orang lain di khalayak tidak dibenarkan dalam Islam. Justifikasi exco tersebut memang ada kebenarannya.
Sebagai contoh, ketika pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, telah berlaku satu peristiwa seorang yang dituduh menyebarkan berita yang dirasakan boleh membawa kepada fitnah. Lalu orang itu telah dibawa ke hadapan khalifah. Bagi memastikan berita tersebut, khalifah lalu berkata dengan memetik ayat Quran yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepada kamu seorang yang fasik membawa suatu berita maka hendaklah kamu menyelidiknya terlebih dahulu, supaya kamu tidak (terburu-buru) membuat satu tindakan ke atas satu-satu kaum di dalam keadaan jahil, maka kamu menjadi menyesal kerana tindakan yang telah kamu lakukan (Al-Hujurat: 6). Dalam ayat ini merujuk kepada orang fasik, bayangkan dia orang itu munafik atau sekutu dengannya.
Mendengar sahaja kata-kata khalifah Umar, lelaki tersebut memilih untuk menerima maaf daripada khalifah dan tidak meneruskan niatnya untuk menyebarkan berita yang dibawanya itu. Apa yang ingin saya tonjolkan di sini ialah bagaimana rakyat di bawah pemerintahan khalifah beramal dengan Islam. Ajaran Islam bukan sekadar iman di dalam hati, tetapi diamalkan dalam segala aspek kehidupan. Ini menyebabkan mereka berhati-hati di dalam percakapan, pemberitaan dan tindakan, kerana bimbang sekiranya perkara yang dibawa itu boleh membawa kepada fitnah, walaupun mungkin berita itu benar.
Tujuan khalifah amat murni, agar perkara tersebut tidak membawa kemudaratan di dalam masyarakat dan menimbulkan salah faham. Bayangkan jika yang membuat tindakan itu kalangan musang berbulu ayam yang hanya memperalatkan gaya kepimpinan khalifah Umar untuk membalas dendam ke atas mereka yang tidak disenanginya.
Ternyata dalam isu ini, khalifah Umar benar-benar membuat pertimbangan walaupun mungkin khabar berita itu benar, apatah lagi sekiranya berita atau tuduhan itu memang salah atau bohong semata-mata. Adakah sifat ini masih ada pada kumpulan ultra kiasu itu? Bayangkanlah jika pada zaman ini, maklumat dan khabar berita menjadi bahan yang boleh dijual beli kerana mengejar harta, pangkat dan kemewahan, tanpa mengira sama ada maklumat yang dibawa itu betul atau salah. Yang penting dendam terbalas.
Hari ini, kita amat sedih, kerana hanya mengejar pangkat dan kemewahan, menyebabkan umat Islam lupa untuk menjaga hubungan persaudaraan Islam dan hubungan sesama manusia. Rasulullah SAW telah menyebut betapa eratnya hubungan sesama mukmin. Saling cinta mencintai dan berkasih sayang laksana salah satu anggota badan sakit maka seluruh anggotanya yang lain akan terasa kesakitan itu. Adakah perasaan seperti ini masih wujud di kalangan umat Islam? Jika tidak, bayangkan bagaimana kita boleh mempercayai pihak musang berbulu ayam ini?
Kita mesti ingat, pertembungan dan pertarungan sesama orang-orang Islam hanya akan melemahkan kita. Walaupun masih ramai orang yang menamakan diri masing-masing dengan nama Islam dan sangat marah apabila dikatakan kepadanya sebagai lemah iman dan kurang Islamik, tetapi dalam masa yang sama mereka mempermainkan ajaran Islam dan membelakangkan ajaran yang diperjuangkan. Bukan sahaja mereka membawa fitnah yang membawa dosa kepada diri mereka tetapi juga memalukan Islam dan umat Islam. Mereka lebih suka melihat umat Islam jahanam disebabkan sikap ingin membalas dendam sesama sendiri, lantas mempercayai orang lain lebih daripada orang sendiri.
Islam membenarkan kita memberikan pandangan dan kritikan sekiranya perkara tersebut menyentuh dan menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran atau amar makruf nahi mungkar. Slogan inilah juga yang dicanangkan di negeri parti ultra kiasu ini. Saya masih musykil adalah mereka faham atau tidak slogan ini? Atau sekadar bahan mainan mencairkan kita? Apa yang kita lihat hari ini mereka mahu melepaskan geram dan membalas dendan dengan menonjolkan diri serta menjatuhkan seorang yang lain. Pada saya, mereka yang ingin mencontohi khalifah mesti berlaku adil bukannya fasik atau munafik. Mereka seolah-olah boleh dibeli untuk melakukan tuduhan-tuduhan sesama manusia yang boleh membawa bencana kepada umat dan negara.
Umat Islam perlu sedar, kita perlu menjadi contoh kepada umat manusia. Apatah lagi jika mahu mengikuti stail khalifah Umar. Hendaklah kita malu kepada diri sendiri dan malu kepada Allah SWT sekiranya diri kita sendiri bernama Islam, tetapi tidak beramal dengan ajaran Islam. Ingatlah kata-kata Umar bin Al-Khattab bahawa kita adalah suatu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Jika kita mencari kemuliaan dengan selain daripada cara yang dimuliakan, nescaya Allah SWT akan menghina kita. Allah SWT mengingatkan kita, “kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh perkara baik dan mencegah kemungkaran, dan kamu beriman kepada Allah”.(Ali-Imran: 110)
Ikhtibar corak pemerintahan Umar Abdul Aziz patut menjadi teladan kepada golongan ultra kiasu ini. Sebenarnya mereka tidak pernah percaya kepada Islam, apatah lagi mereka yang memperjuangkan Islam. Saya cukup yakin, bukan mudah untuk exco tersebut untuk menjalankan aktiviti seharian kerana sentiasa akan diawasi oleh golongan ultra kiasu ini. Saya turut yakin pergerakan exco ini diawasi saban hari kerana golongan ini amat takut dengan mereka yang memperjuangkan Islam kerana mereka memang anti-Islam. Logiknya mudah, jika mereka tidak percaya kepada Islam, bagaimana mereka boleh percaya kepada orang Melayu. Inilah nasib yang telah menimpa orang Melayu di bumi Melayu di Singapura. Adakah kita masih lagi buta melihat nasib umat Melayu Islam di sana? Apa bezanya antara parti yang memerintah Singapura dengan golongan musang berbulu ayam ini?
Lihat contoh terbaru, seorang pemimpin muda pakatan sekutu parti ultra kiasu ini, telah melontarkan satu pandangan agar Ketua Menteri negeri ultra kiasu ini digilirkan. Sebenarnya, perkara ini bukanlah isu baru, sebab ia telah lama yang telah dibangkitkan oleh parti Melayu sebelum itu. Spontan, beberapa jam sahaja selepas isu ini dibangkitkan, sayap pemuda dan pengerusi parti ultra kiasu ini terkinja-kinja ibarat cacing kepanasan. Kiasu sungguh.
Apa kata sayap musang berbulu ayam ini? Mereka menyalahkan rakan sekutunya sebagai gila kuasa. Pada mereka, belum sampai masa dan tidak perlu jawatan Ketua Menteri itu digilirkan. Persoalannya, sampai bila? tunggu kiamat? Tidakkah kita masih ingat, sebelum itu beberapa kali sebuah parti Melayu Islam membangkitkan isu yang sama dengan alasan mereka mempunyai kerusi majoriti? Adakah permintaan atau pandangan itu dilayan oleh parti sekutu mereka? Jawapannya, tidak. Ini sifat Belanda dapat tanah seperti Yahudi di Singapura. Apa yang boleh kita belajar? Maknanya, mereka ini tidak ada dua atau tiga, tetapi mereka hanya ada SATU. SATU inilah yang menjadi mereka kuat. Sebab SATU ini tetap bersatu mempertahankan hak kebanggaan nenek moyang mereka. Ibarat Islam, Islam hanya ada SATU, kita tetap satu mempertahankan yang SATU. Bezanya SATU dalam Islam adalah untuk semua bangsa kerana SATU ini tidak bersifat perkauman tetapi bersifat sejagat. Saya harap kita semua faham apa yang saya maksudkan.
Bila saya berkata sedemikian, saya yakin saya akan dituduh sekali lagi, tidak dapat memahami golongan ini secara mendalam walaupun saya sebangsa dengan mereka. Saya juga akan dituduh bersalah kepada nenek moyang. Persoalan saya, apa guna nasib keturunan nenek moyang terpelihara, jika maruah agama dipersenda atau tergadai? Mana lebih utama nenek moyang atau Allah Yang Maha Agong? Pada mereka mungkin nenek moyang, tetapi pada saya Allah SWT segala-galanya. Oleh kerana nenek moyang dijadikan Allah SWT, maka saya mesti sujud kepada Allah SWT berbanding nenek moyang. Nenek moyang tidak perlu saya sujud, ia tetap terpahat di hati untuk diingati. Keturunan bagi saya sudah tidak penting apabila berlaku pertembungan dengan kepentingan Tuhan yang telah membuka hati ini untuk menerima Islam. Allahhuakbar!
Kepada mereka yang merasakan keturunan lebih penting berbanding Tuhan, maka jagalah keturunan itu baik-baik. Muliakan mereka. Jangan berzina. Jauhi hubungan terlarang. Sahkan hubungan suami isteri. Buat yang disuruh, jauhi yang dilarang. Kotakan kata-kata amar makruf nahi mungkar. Barulah keturunan nenek moyang menjadi mulia dan aman di alam kubur. Jika tidak, nenek moyang akan berantakan kerana kita sebenarnya telah khianat kepada mereka. Janganlah kita berlagak pandai bercakap pasal keturunan dan nenek moyang, jika kita sendiri yang khianat atau menjadi munafik.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia


