Sunday, September 27, 2009

Bahaya musang berbulu ayam

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
(Mingguan Malaysia, 27 September 2009)

PEPATAH Melayu ada berkata, siapa makan cili dialah yang terasa pedasnya. Seperti yang telah dijangka, sememangnya sudah ada orang yang terasa pedasnya. Golongan yang tidak bertamadun ini terus menyerang peribadi. Fakta yang saya kemukakan tidak dibahas. Saya dituduh sebagai munafik.

Tulisan saya dituduh seperti racun, sehingga merosakkan kemuliaan sambutan Aidilfitri. Apakah mereka yang menuduh saya itu tidak munafik? Tidakkah menjadi musang berbulu ayam itu lebih munafik daripada munafik? Jika saya dituduh munafik, setidak-tidaknya saya berterus-terang. Berbanding mereka yang pepat di luar, rencong di dalam, ibarat gunting dalam lipatan.

Pepatah Cina ada berkata, kalau berani makan ikan masin, maka beranilah menahan dahaganya. Sebagai seorang ahli akademik dan penulis, saya bertanggungjawab terhadap apa jua yang ditulis. Hanya si pengecut sahaja yang menyerang peribadi. Kepada orang Melayu yang menyertai parti ultra kiasu ini, saya menyeru keluarlah sebelum terlambat. Musang berbulu ayam ini amat licik. Mereka akan mempergunakan kita bagi menghalalkan matlamat yang ingin dicapai.

Perlu diingatkan, golongan ini bijak membaca psikologi dan memainkan sentimen orang Melayu. Sekarang ini mereka sibuk berkempen untuk mendapatkan dan menambah keahlian orang Melayu. Tujuannya tidak lain, untuk memenangi hati orang Melayu, selain memenuhi agenda tersembunyi. Kumpulan ultra kiasu ini mendakwa bahawa mereka ini adalah parti untuk semua kaum, sedangkan semua sedia maklum bahawa parti ini adalah dominasi satu kaum. Bukan Melayu adalah sekadar hiasan sahaja. Amat malang jika ada golongan yang bergelar ‘ustaz’ turut menyertai mereka suatu hari nanti.

Kemunculan beberapa tokoh Melayu sejak akhir-akhir ini dalam parti mereka ditonjolkan secara berlebihan, bagi membuktikan bahawa mereka bukanlah parti cauvinis seperti yang dituduh selama ini.

Ternyata, lakonan mereka cukup hebat. Bantuan mereka kepada sekolah-sekolah agama dan kehadiran mereka dalam majlis berbuka puasa dan bantuan moreh semasa bulan Ramadan baru-baru ini, sengaja diperbesar-besarkan agar orang Melayu ‘cair’ dengan sandiwara ini.

Wal hal perkara yang ditonjolkan adalah kerja rutin seorang wakil rakyat. Bukannya suatu yang luar biasa. Memang tugas wakil rakyat menjaga kebajikan rakyat. Apa guna istilah ‘wakil rakyat’ jika tidak berkhidmat untuk rakyat. Rakyat yang memilih mereka. Justeru, adalah wajar mereka menjaga kebajikan rakyat. Cuma mereka ini agak licik. Pandai mengaburi mata rakyat. Tampil membantu ketika rakyat ditimpa musibah. Menawarkan khidmat ketika seseorang dalam kesempitan. Adakah mereka sebenarnya ikhlas?

Bantuan mereka ini menyebabkan orang Melayu mudah terhutang budi. Kedudukan sebegini menjadikan Melayu menjadi serba salah, ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak. Peluang ini digunakan oleh parti kiasu ini untuk menangguh di air yang keruh.

Perpecahan

Apatah lagi perpecahan politik di kalangan Melayu Islam hari ini telah digunakan kesempatan sepenuhnya oleh kumpulan ultra kiasu ini. Mereka cuba mendapatkan semaksima mileage politik dan mengecam peribadi seseorang yang dianggap mengancam kedudukan mereka.

Kali ini, golongan ultra kiasu ini menyerang peribadi saya dengan mengecam kerjaya saya dan mempertikaikan gaji yang saya terima hasil wang rakyat. Gaji yang saya terima dikatakan hanya membazirkan wang rakyat yang diperolehi daripada pembayar-pembayar cukai.

Untuk makluman, gaji saya tidaklah seberapa jika dibandingkan dengan gaji wakil rakyat yang mana turut diambil daripada sumber yang sama? Gaji mereka berlipat kali ganda gaji saya. Apakah wakil rakyat itu merasakan bahawa kerja-kerja dan lakonan yang ditunjukkan itu berbaloi dengan gaji yang dibayar? Cerminlah muka sedikit. Jika mereka benar-benar mahu mencontohi peribadi Umar Abdul Aziz, saya akan bersetuju. Tetapi adakah ia berlaku? Janganlah menjadi paku dulang paku serpih, mengata orang, sendiri yang lebih.

Apakah kerja wakil rakyat hanya cukup sekadar membantu dan menghadiri majlis berbuka puasa, memberikan bantuan moreh, merasmikan seminar itu dan ini, projek ini dan projek itu? Kerja wakil rakyat sudah semestinya lebih daripada itu atau lebih daripada orang lain. Bukannya berlagak tak tentu pasal.

Kerja-kerja asasi saya sebagai ahli akademik tidak pernah tergendala di samping memberikan sedikit buah fikiran untuk menyedarkan umat Islam. Kenapa marahnya wakil rakyat itu begitu membuak-buak? Hanya disebabkan oleh akhbar yang menyiarkan artikel ini tidak sehaluan dengan mereka. Saya tidak fikir, saya akan dikecam jika ditakdirkan saya seorang Melayu. Hanya kerana saya sebangsa dengan mereka, dan tidak sehaluan, watak saya cuba dimatikan.

Jika ditakdirkan artikel saya ini disiarkan dalam akhbar mereka dan lantang mengkritik kerajaan, maka sayalah idola mereka. Inilah pemikiran yang ultra kiasu.

Saya ingin sarankan kepada wakil rakyat kiasu ini, jika mahu mengikut pemerintahan Umar Abdul Aziz, kajilah sifat-sifat mulia yang dibawanya. Umar seorang pemimpin yang amat low profile atau tawaduk dan bersikap terbuka, termasuk menerima kritikan rakyat. Rakyat adalah segala- galanya kepada Umar, kerana ia adalah amanah Allah SWT. Kata-kata ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’, adalah antara prinsip Umar Abdul Aziz. Persoalannya, kenapa golongan kiasu ini begitu hebat mengkritik gagasan ini?

Umar membantu mereka yang miskin tanpa mengharapkan nama dan publisiti. Umar mengambil pendekatan tangan kanan memberi, sorokkan tangan kiri. Sebahagian harta Umar hampir habis digunakan untuk rakyat. Kejujuran dan ketelusannya luar biasa. Bukannya dengan memaparkan gambar-gambar kosmetik untuk menunjukkan bahawa kita pemimpin untuk semua kaum seperti yang dilakukan oleh wakil rakyat kiasu berkenaan.

Mencanangkan kerja-kerja baik ke seluruh pelosok dan ceruk rantau untuk memenangi hati orang Melayu bukanlah kerja Umar Abdul Aziz. Umat Islam perlu ingat, wakil rakyat tersebut pernah menuduh orang Islam sebagai pelampau atau ekstremis dan mahu menghalalkan arak serta lain-lain yang diharamkan Islam. Pernahkah beliau meminta maaf, walaupun telah didesak melakukannya? Jawapannya, tidak, kerana mereka sama sekali tidak akan bersetuju dengan Islam, malah cuba sedaya upaya untuk mencabut identiti ini dari orang Melayu.

Mencari publisiti murahan adalah budaya pandir atau minda orang kelas ketiga. Golongan ini pandai menggunakan kesempatan di kala orang lain sedang lemah. Sebenarnya mereka tidak membuat apa-apa perubahan pun. Tetapi mereka pandai meniru resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung. Malangnya, segelintir orang Melayu mudah percaya dengan mendakwa parti ultra kiasu ini yang dapat menyelamatkan mereka.

Bersekongkol

Tidak ketinggalan, golongan yang bersekongkol dengan mereka turut mengecam saya, dengan mengatakan bahawa tulisan saya telah menjauhkan orang bukan Islam daripada Islam. Persoalan saya, apakah selama ini orang bukan Islam semakin dekat dengan Islam sebelum tulisan saya disiarkan? Cuba kita renungi sebentar apakah Islam semakin didekati atau dijauhi selepas peristiwa 11 September? Apa yang saya tahu semakin kuat barat menentang Islam, semakin Islam mendapat sambutan. Justeru, apakah makna dakwah yang sebenar? Saya fikir rakan sekutu parti ultra kiasu yang boleh memberikan jawapan.

Dakwah hendaklah dilihat dalam perspektif yang luas, bukan bertujuan untuk mematikan watak seseorang yang dilihat sebagai ancaman. Bidang kajian saya ialah pengajian strategi, politik dan kerajaan. Saya menulis berasaskan bidang saya dan juga kerjaya saya selaku ahli akademik.

Berdakwah itu bermakna, berkata benar walaupun ia pahit. Bukan setakat berceramah. Jika berdakwah itu sekadar berceramah, saya tidak fikir Umar Abdul Aziz akan menerima jawatan sebagai seorang pentadbir negara atau negarawan. Kenapa Umar Abdul Aziz menerima jawatan politik sebagai negarawan? Sebab, politik itu adalah alat untuk berdakwah. Kuasa digunakan untuk kepentingan rakyat bukan untuk kepentingan peribadi.

Malang sungguh golongan ultra kiasu ini. Mahu mengikut Umar Abdul Aziz, tetapi hanya mengambil secebis cara pemerintahan Umar Abdul Aziz untuk mengaburi mata rakyat.

Saya dinasihati supaya tidak campur tangan dalam urusan mereka, sebab ia bukan urusan saya. Apakah selama ini mereka tidak pernah mencampuri urusan kita? Saya terpaksa campur tangan sebab saya orang Islam. Kerja orang Islam ialah membetulkan kekusutan, bertindak atas dasar amar makruf nahi mungkar bagi menyelamatkan umat Islam.

Jika saya tidak berhak mencampuri urusan mereka, mereka juga tidak berhak mencampuri urusan orang Islam. Persoalannya, cuba kita hitung betapa banyak perkara berkaitan orang Islam yang telah dicampuri oleh golongan ultra kiasu ini. Berapa banyak hati orang Islam yang terguris akibat perbuatan mereka? Pernahkah mereka meminta maaf? Contoh isu-isu berkaitan murtad, mualaf, perebutan jenazah mualaf, isu negara Islam, isu Mahkamah Syariah dan banyak isu lain yang tidak perlu saya sebut lagi. Adakah golongan ultra kiasu ini tidak campur tangan?

Salam hormat saya

Sunday, September 20, 2009

Orang Melayu mudah 'cair' bila dipuji

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah,
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
(Mingguan Malaysia, 20 September 2009)

KADANGKALA saya musykil kenapa orang Melayu mudah menjadi ‘cair’ apabila mendengar orang bukan Islam bercakap pasal Islam atau memuji Islam atau memetik satu dua ayat Quran untuk dijadikan hujah sandaran. Misalnya, ucapan beberapa pemimpin pembangkang bukan Islam yang memetik beberapa ayat suci al-Quran dan mahu mengambil pendekatan urus tadbir negeri mengikut cara pemerintahan Umar Abdul Aziz.

Benar, dari satu segi nampak orang bukan Islam cenderung kepada Islam. Tetapi kita perlu ingat adakah mereka ini benar-benar mahu beriman atau percaya kepada al-Quran atau sekadar lakonan semata-mata untuk mengaburi mata orang Melayu Islam? Saya cukup yakin bahawa golongan ini sudah dapat membaca dan memahami psikologi orang Melayu. Mungkin orang Melayu boleh memberikan jawapan apakah mereka sebenarnya sudah memahami psikologi mereka?

Orang Melayu mudah ‘cair’. Mereka biasanya mudah berasa terpesona dan terpegun bila ada orang lain yang memuji bangsa dan agama mereka. Justeru, mereka akan bermati-matian mempertahankannya tanpa menoleh ke belakang. Mereka akan mendabik berkata ‘tengok orang bukan Islam pun nakkan Islam, sedangkan orang Islam sendiri menolak Islam’.

Lanjutan itu, mereka akan menjaja ke mana sahaja kata-kata ini, bahkan sanggup menolak rakan seagama yang sanggup menghulurkan tangan untuk berbaik-baik. Huluran tangan rakan seagama ini bukan sahaja ditolak mentah-mentah, tetapi dijawab dengan andaian-andaian negatif dan prejudis. Mereka rela bekerjasama dengan orang bukan Islam daripada orang Islam sendiri.

Kita tidak pernah belajar atau mahu belajar dari sejarah, bila berhadapan dengan golongan seperti musang berbulu ayam ini. Pengalaman telah banyak mengajar kita. Mereka ini tidak pernah bersetuju dengan Islam apatah lagi agenda untuk menegakkan negara Islam dan hukum Islam. Penolakan mereka selama ini amat jelas. Tidakkah kita pernah mendengar kata-kata “Langkah mayat aku dulu jika mahu menegakkan negara Islam”, " Malaysia mesti kekal menjadi negara sekular”, “Negara Malaysia bukan kepunyaan orang Melayu”, “Melayu adalah juga pendatang” dan berbagai-bagai kenyataan yang menyakitkan.

Tidakkah orang Melayu sedar akan agenda mereka? Apakah kita tidak takut dengan ancaman golongan ini terhadap agama kita? Tidakkah kita terfikir bahawa parti ini amat baik dengan parti yang memerintah negara Singapura yang merupakan pecahannya? Bagaimana suatu hari nanti, mereka berpakat-pakat untuk melemahkan kita?

Tidakkah kita mengambil pengajaran daripada tindak-tanduk Singapura hari ini yang amat mencurigakan. Cukuplah dengan kita telah kehilangan Pulau Batu Putih dan ruang udara kita sentiasa dicerobohi. Itu belum termasuk kolam takungan air di Johor yang dikawal rapi oleh tentera Singapura sehingga kita sendiripun tidak boleh masuk. Tidak ketinggalan, tanah-tanah negara kita yang telah tergadai ke tangan mereka. Pendek kata, Singapura tidak mahu sama sekali berkongsi dengan kita. Mereka amat ultra kiasu. Sesuatu yang menggugat kepentingan mereka akan ditentang habis-habisan seperti isu perjanjian air, merobohkan Tambak Johor dan menggantikannya dengan jambatan bengkok.

Berbalik kepada isu parti pecahan yang memerintah Singapura hari ini, apakah benar-benar mereka ingin atau akan melaksanakan pemerintahan Umar Abdul Aziz apabila mereka berkuasa nanti? Adakah pemerintahan Umar Abdul Aziz benar-benar akan dilaksanakan? Bagaimana dengan nilai-nilai kehidupan beragama yang dilaksanakan oleh Umar Abdul Aziz? Pernahkah golongan ini mempamerkan nilai-nilai agama tersebut?

Saya diserang dan dikecam habis-habisan oleh golongan ini, semata-mata kerana saya mempertahankan larangan berzina dan arak. Bagi mereka itu adalah hak asasi manusia. Bagi mereka hak asasi manusia mesti dipertahankan berbanding dengan hak Tuhan Yang Maha Esa. Adakah ini corak pemerintahan Umar Abdul Aziz?

Kita jangan tertipu dengan golongan ini. Jika mereka benar-benar mahu laksanakan corak pemerintahan Umar Abdul Aziz, sudah lama parti ini akan melantik rakan sekutunya, yang dikatakan memperjuangkan Islam di salah sebuah negeri yang diperintahnya sebagai exco. Ini kerana, rakan sekutunya memang sudah terkenal dengan imej ‘bersihnya’ seperti kelihatan seolah-olah ‘Umar Abdul Aziz’! Tetapi di manakah kedudukan rakan sekutunya itu di negeri tersebut? Pada saya, mereka tidak pernah suka pada dasar Islam yang dibawa rakannya itu. Mereka amat prejudis sesama sendiri walaupun berada dalam satu pakatan. Bermakna, mereka juga prejudis terhadap Islam. Itu amat jelas sekali. Saya tidak perlu mengajar rakan sekutunya itu kerana sudah terang lagi bersuluh. Sikap biadab mereka berkaitan isu arak dan tuduhan mereka terhadap Jamaah Islah Malaysia sebagai pelampau agama sudah menunjukkan belang mereka yang sebenar. Banyak lagi contoh lain tentang kebiadabannya terhadap Islam.

Terhakis

Umar Abdul Aziz sentiasa memperkasakan identiti Islam di dalam pemerintahannya. Apakah identiti Islam dipelihara di negeri yang diperintah oleh golongan kiasu ini? Apa yang saya tahu identiti Melayu dan Islam semakin terhakis di negeri yang diperintahnya. Contoh kecil, nama-nama papan tanda, medan selera atau nama bangunan sudah langsung tidak mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Saya tidak menyatakan kerajaan dahulu lebih baik? Tetapi jika kita benar-benar mahu mengikuti Umar Abdul Aziz, sudah tentu kita perlu tunjukkan yang kita lebih baik berbanding sebelumnya. Sebab Umar Abdul Aziz hebat integritinya, tetapi Umar tidak pernah mengenepikan identiti bangsa Arab Islam selaku penduduk asal. Bahasa al-Quran diperkasakan di mana-mana sahaja. Bagaimana pula dengan Malaysia sebagai sebagai sebuah negara yang berasal daripada Tanah Melayu? Adakah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terpelihara?.

Perlu dingatkan bahawa Umar Abdul Aziz tidak mementingkan kekayaan dan kemegahan dan memilih untuk hidup dalam kesederhanaan. Walaupun mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi rakyat, beliau menggalakkan rakyat supaya memilih khalifah yang baru sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan pemerintahannya. Umar juga membahagikan tanah jajahan Umayah kepada rakyat dan amat jarang menerima hadiah kerana takut dirasuah. Beliau juga mendesak kaum keluarganya supaya mendermakan barang kemas kepada perbendaharaan awam.

Umar menolak sikap pemerintah yang selalu melantik pegawainya untuk mengawasi rakyat. Tetapi Umar melantik rakyat untuk mengawasi diri dan kelakuannya. Jika rakyat mendapati beliau melakukan kesalahan, Umar Abdul Aziz meminta dibimbing atau dihalang daripada melakukan kesalahan tersebut.

Saya harap umat Islam tidak merasa ditipu dengan penonjolan pemerintahan Umar Abdul Aziz oleh golongan kiasu ini. Apakah kita masih belum mengenali isi hati dan hati budi mereka setelah 52 tahun merdeka? Adakah kita boleh bekerjasama dengan orang sebegini, bila mana mereka digalakkan memakai songkok ketika pembukaan Parlimen di hadapan sultan, golongan ini menolak mentah-mentah? Apatah lagi untuk memakai baju Melayu?

Tidakkah kita sedar bahawa selama ini, golongan inilah yang paling kuat menentang Islam atau negara Islam. Lihatlah sejarah penentangan mereka terhadap hukum Islam dan perisytiharan negara Islam oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed suatu ketika dahulu. Perisytiharan negara Islam ketika itu hanya pada nama sahaja, bukan pelaksanaan hukum yang sebenar. Jika benar-benar hukum Islam dilaksanakan, bagaimanakah gelagat mereka agaknya? Persoalannya, adakah corak pemerintahan Umar Abdul Aziz tidak berasaskan Islam? Soalan-soalan ini hanya boleh dijawab oleh golongan kiasu ini?

Rakan sekutu mereka dalam pakatan selalu berhujah, itu pandangan generasi lama atau generasi tua. Generasi baru tidak sebegitu pemikirannya. Setelah mengkaji parti kiasu ini sekian lama, saya tidak nampak ada perbezaan antara generasi baru dan lama. Sama sahaja. Jika perjuangannya adalah Malaysian Malaysia seperti mana yang diperjuangkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), sampai bila-bila saya tidak akan percaya.

Justeru, jangan perjudikan masa depan negara demi mencapai kepentingan masa kini. Apa berlaku pertembungan antara kepentingan masa depan dengan masa kini, maka kepentingan masa depan mesti diutamakan. Begitu juga dengan kepentingan masa depan dan kepentingan parti atau etnik, maka masa depan negara mesti diutamakan. Sama juga halnya apabila kepentingan agama bertembung dengan kepentingan bangsa, maka agama perlu didahulukan.

Biarkan

Jangan biarkan diri kita dipermainkan atau diperkotak-katikkan. Jangan jadi hamba di bumi sendiri. Tetapi bangunlah, bangunlah mempertahankan yang hak tanpa menafikan hak orang lain. Jika tidak, satu hari nanti kita akan menyesal. Ketika itu saya bimbang sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Sebelum ia berlaku, marilah kita merapatkan saf dan merenungkan kembali masa depan kita dan Islam.

Janganlah gunakan nama Umar Abdul Aziz sekadar untuk memenangi hati orang Melayu yang mudah ‘cair’. Orang Melayu hari ini bukannya bodoh. Mereka sudah celik dengan taktik kotor ini. Kembalilah kepada fitrah. Sesungguhnya, hari kemenangan ini menjanjikan kepada kita, yang hak itu tetap hak dan batil itu tetap batil. Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, kembalilah kita menghayati manusia fitrah yang bersih dari dosa dan noda dengan mengkaji kesucian agama Islam sendiri, sebelum ‘terlebih’ mempercayai orang lain. Saya bimbang kita akan tertipu dengan permainan silap mata ini. Akhirnya kita sendiri yang rugi. Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin, sepanjang membaca tulisan saya di akhbar ini.

- Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Sunday, September 13, 2009

Memperkasa agenda negara berbanding agenda bangsa

(Mingguan Malaysia, 13 September 2009)

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Seperti yang selalu saya sebut sebelum ini, setiap negara yang dijadikan Allah SWT adalah mengikut bangsa-bangsa tertentu. Nama sesuatu bangsa itu akan menerbitkan nama negara. Ringkasnya, nama negara berasal daripada nama bangsa. Misalnya, bangsa Melayu-Tanah Melayu, bangsa Siam-negara Siam, bangsa Cina-negara China, bangsa India-negara India dan lain-lain. Tidak ada negara yang terbentuk secara semulajadinya berbilang kaum atau bermasyarakat majmuk. Masyarakat majmuk hanya muncul apabila berlaku penghijrahan seperti yang berlaku dalam banyak negara, termasuk Tanah Melayu (Malaysia).

Fakta ini cuba dipertikaikan oleh segolongan tertentu, termasuk pengunjung yang memberikan komen dalam laman blog saya, mengenai asul-usul Melayu di bumi Melayu atau Alam Melayu. Mereka mengatakan orang Melayu bukanlah pribumi atau penduduk asal negara ini. Melayu juga kata mereka seperti kaum lain berhijrah dari tempat lain ke Alam Melayu. Persoalannya, dari manakah datangnya perkataan kepulauan Melayu dan Tanah Melayu jika tidak didiami oleh orang Melayu? Betul, orang asli adalah penduduk asli. Mana ada negara yang tidak bermula dengan orang asli? Buktikan.

Seperti yang kita sedia maklum, sistem kenegaraan Melayu bermula dengan perkataan “Melayu” atau “Tanah Melayu” itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini. Nama-nama ini terkenal di kalangan negeri-negeri China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis) (Suntharalingam dan Abd Rahman Ismail, 1985).

Ringkasnya, istilah-istilah Tanah Melayu, Melayu dan Malaysia dan Malaya adalah jelas merujuk kepada negeri-negeri Melayu atau Tanah Melayu atau Land of the Malays. Fakta ini telah diperakui oleh pengkaji-pengkaji timur dan barat yang membuat kajian mengenai Alam Melayu. Tanah Melayu dan kepulauan Melayu adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu. Jika mahu tahu lebih lanjut, buatlah penyelidikan, jangan tulis tanpa fakta.

Kedatangan penjajah sebenarnya telah mengubah peta politik kepulauan Melayu. Kalau dahulu, hubungan antara China/India/Arab dengan Alam Melayu hanya melibatkan perdagangan dua hala sahaja, tanpa penghijrahan besar-besaran. Namun, setelah penjajahan berlaku, maka bermulalah episod kemajmukan masyarakat di negara-negara kepulauan Melayu. Jelas di sini bahawa Allah SWT menjadikan sesuatu bangsa di tempat-tempat yang berkaitan dengan bangsa tersebut. Allah SWT juga mengurniakan setiap bangsa dengan identitinya yang tersendiri seperti bahasa, budaya dan cara hidup. Maka adalah sesuatu yang normal bila mana identiti atau bangsa majoriti, menguasai atau mendominasi bangsa minoriti, kerana ia berlaku di mana-mana.

Hujah ini untuk meyakinkan kita bahawa memartabatkan bangsa dan identiti tidak salah. Jika tidak, apa ertinya Allah SWT menciptakan sesuatu bangsa dengan perwatakan dan warna kulit yang berbeza-beza di kawasan masing-masing. Tentu ada hikmahnya. Bila berlaku pernghijrahan, mereka boleh saling mengenali dan bercampur antara satu sama lain seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat 13.

Pada hemat saya, berdasarkan ayat ini, sayangkan bangsa itu adalah sesuatu yang normal jika tidak keterlaluan. Ibnu Khaldun mengemukakan konsep asabiyah (ikatan sosial atau kesetiakawanan) yang bersifat positif. Ikatan ini memainkan peranan besar dalam menyatupadukan pelbagai kaum dan bangsa seterusnya membentuk kekuatan bagi membina peradaban. Dalam karangannya Al-Mukadimah, sayangkan bangsa atau asabiyah adalah dibenarkan. Mempertahankan hak sesuatu bangsa di tanahair sendiri adalah suatu perkara biasa, sebagaimana berlaku di negara-negara lain yang juga berasal dari satu bangsa pada mulanya.

Masyarakat yang mempunyai ikatan asabiyyah yang kuat sudah tentu berupaya membina kekuatan dan jati diri berbanding mereka yang lemah. Asabiyyah di sini bukanlah membawa makna chauvinisme atau rasisme atau etnosentrisme seperti orang jahiliah sebelum kedatangan Islam. Asabiyyah ketika itu, lebih kepada melakukan kezaliman atau membantu kaumnya melakukan kezaliman. Asabiyah yang Ibnu Khaldun maksudkan adalah soal ikatan persaudaraan, semangat setia kawan dan saling membantu dalam melakukan kebaikan. Maka dalam hal ini, bila sebut orang Melayu, sudah tentu ia tidak dapat lari daripada Islam.

Kita perlu ingat, orang Melayu beruntung kerana Islam telah menjadi anutan mereka sejak 600 tahun dahulu. Sebelum itu, ribuan tahun orang Melayu menganut agama Hindu-Buddha. Melayu dimuliakan oleh Allah SWT dengan Islam. Islam yang mengangkat martabat Melayu hari ini. Tanpa Islam, siapalah orang Melayu di bumi Melayu ini.

Justeru, orang Melayu perlu mengambil iktibar setelah mereka diIslamkan. Bermula dengan seorang raja Melaka memeluk Islam, maka boleh dikatakan hampir seluruh orang Melayu mengikuti jejak rajanya. Islam terus berkembang dan berkembang. Namun, kerajaan Melaka tidak dapat bertahan lama. Apabila perpecahan berlaku, ia telah membuka ruang kepada pihak penjajah untuk masuk. Akhirnya Alam Melayu telah terjajah dan dijajah.

Kemudian, orang Melayu bangkit kembali. Semangat nasionalisme Melayu Islam telah menyatukan mereka. Seterusnya orang Melayu kembali menjadi kuat. Penjajah berjaya dihalau keluar walaupun ramai juga yang terkorban. Gabungan Melayu Islam memberikan suntikan semangat dalam menjana kekuatan. Itulah yang saya selalu sebut Melayu dan Islam, ibarat darah daging, berasaskan sejarah, malangnya masih ramai yang tidak faham akan maksud saya. Mereka menuduh saya terlebih Melayu, seolah-olah sudah tidak sayangkan bangsa Cina atau Cina lupa diri.

Sebagai orang Cina, adalah wajar saya sayangkan bangsa saya sendiri. Ini dibenarkan dalam Islam. Orang Cina dia akan tetap jadi Cina, sampai bila-bilapun saya tetap Cina kerana saya adalah Cina ciptaan Allah SWT. Saya tidak boleh ubah diri menjadi Melayu. Menghina bangsa sendiri bermakna menghina kejadian Allah SWT. Namun, bila saya memberikan sedikit pandangan berbeza atau mengkritik orang Cina, itu bukan bermakna saya tidak sayangkan Cina. Fahamilah bahawa Islam mengajar saya erti berkata benar, walaupun saya sendiri payah untuk menerima. Sayangnya, masih ramai yang tidak dapat melihatnya dalam perspektif yang luas. Saya dikecam kerana dikatakan tidak menyebelahi bangsa sendiri sebalik menyebelahi bangsa lain. Adakah saya perlu menyembunyikan sesuatu keburukan kerana hendak menjaga nama bangsa?

Saya tidak hanya dikecam oleh bangsa saya sendiri yang tidak Islam, tetapi juga dari kalangan rakan seagama Cina Muslim sendiri. Tindakan saya dikatakan semakin menjauhkan orang Cina daripada mendekati Islam. Mereka menuduh saya opportunis. Saya dikatakan lebih Melayu daripada Melayu. Persoalan saya, apakah salah dan berdosa jika saya menyentuh isu Melayu Islam, jika perkara itu adalah yang benar? Apakah kita tidak berdosa mempertahankan kebatilan?

Seorang Cina Muslim yang menggelar dirinya ummataunwasoto di dalam blog saya memberikan komen bahawa adalah tidak salah orang Cina mendaulatkan bahasa ibundanya, untuk dirinya dan dalam lingkungan kaumnya, kerana ingin mengekalkan nilai budaya nenek moyang dan identiti keturunan. Persoalannya, bila saya kata salah? Baca artikel saya betul-betul setiap kali disiarkan dalam Mingguan Malaysia. Amat malang sekali jika Cina Muslimpun tidak dapat memahami bahasa Melayu mudah ini. Yang mana lebih perlu diutamakan; agenda negara atau agenda bangsa? Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah agenda negara, matlamatnya besar. Manakala, agenda bahasa ibunda adalah untuk agenda bangsa. Bila berlaku pertembungan, maka sudah tentu agenda negara perlu diberikan keutamaan tanpa menjejaskan agenda bangsa.

Saudara ummataunwasoto juga gagal memahami isu kerajaan China menekan etnik Cina Uigur di Xinjiang. Isu sebenar bukanlah isu identiti atau isu bahasa etnik Uigur, kerana mereka tetap orang Cina. Tetapi, ada isu lain yang saudara ummataunwasoto masih belum dapat jawapannya, terutama berkaitan dengan agama Islam yang dianuti Uigur. Mereka yang beragama Islam dituduh sebagai pengganas. Inilah nasib umat Islam hari ini hasil propaganda pihak-pihak tertentu. Saya harap saudara ummataunwasoto tidak termasuk dalam golongan menerima propaganda ini. Buatlah kajian.

Di mana-mana dunia sekalipun kita lihat apabila Islam menjadi minoriti dalam negara bukan Islam, mereka akan ditindas, dianiaya dan lebih menyedihkan dibunuh. Berbanding dengan orang bukan Islam yang tinggal dalam negara majoriti Islam. Mereka bukan sahaja boleh hidup mewah dan senang-lenang, malahan kekayaan mereka mengatasi kekayaan pribumi itu sendiri. Inilah saya selalu ulangi nasib Melayu di bumi Melayu.

Lanjutan itu juga, bila saya menyokong idea menyeragamkan sistem pendidikan di negara ini, bukan bermakna kita hendak menghapuskan pendidikan kaum lain. Tulisan saya sebelum ini amat jelas, tetapi masih ramai yang buat-buat tidak faham. Berulang kali saya sebut, kanak-kanak sejak kecil mesti ditempatkan di bawah satu bumbung dengan tidak menafikan hak pendidikan bahasa ibunda. Mereka tidak boleh dipisah-pisahkan seperti yang berlaku sebelum ini sehingga kini. Ini yang menyukarkan proses integrasi nasional. Saya yakin orang yang berkokok ini tidak pernah mengkaji atau menyelidiki perkara ini. Mereka juga tidak bercampur dengan masyarakat atau hidup dalam kepompongnya sahaja. Sertailah NGO-NGO dan PIBG. Anda sudah tentu dapat jawapannya. Jika tidak menyertai mana-mana persatuanpun, kita boleh lihat sendiri penguasaan bahasa Melayu dan tahap integrasi kaum di kalangan mereka.

Banyak kajian yang dibuat menunjukkan bahawa tahap integrasi masyarakat berbilang kaum di negara ini berada pada tahap yang rapuh. Tidakkah kita merasa malu apabila ada kalangan pemimpin kita atau tokoh-tokoh korporat kita yang ditemubual di kaca televisyen, tahap penguasaan bahasa Melayu mereka amat rendah berbanding mereka bercakap dalam bahasa Inggeris atau bahasa ibunda? Di manakah kedudukan bahasa kebangsaan sebenarnya sebagai agenda utama negara berbanding agenda bangsa? Fikir-fikirkanlah.

Salam hormat saya

Sunday, September 06, 2009

Isu timbul kerana kejahilan beragama

(Mingguan Malaysia, 6 September 2009)

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

KOLUMNIS laman web Centre for Policy Initiatives (CPI), Helen Ang mengkritik dengan hebat beberapa siri artikel yang saya tulis dalam Mingguan Malaysia.

Artikel beliau bertajuk Ridhuan Tee‘s reverse take on racism, telah diposkan kepada beberapa laman web pembangkang dan membuka peluang kepada para pembaca laman web tersebut menyerang, mengecam dan menghentam peribadi saya sekali lagi, tanpa fakta ilmiah untuk berhujah sebagaimana artikel yang ditulis beliau.

Saya sepatutnya tidak mahu melayan mereka yang menulis tanpa membuat kajian dan penyelidikan terperinci seperti mana yang saya lakukan. Ternyata beliau tidak faham apa yang saya tulis. Mungkin disebabkan oleh tahap penguasaan bahasa Melayunya yang agak rendah setelah sekian lama tinggal di negara ini. Sebahagian kecil petikan artikel saya dimanipulasikan seperti yang dilakukan oleh akhbar Cina.

Petikan yang saya ambil daripada kata-kata Almarhum Tunku Abdul Rahman mengenai perlunya bandar raya Shah Alam bebas daripada arak dan kelab malam telah disalah tafsirkan. Helen Ang mengatakan bahawa ia adalah tulisan saya. Saya sungguh kasihan cara beliau berusaha untuk memahami artikel saya dalam bahasa Melayu mudah. Mujurlah saya tidak gunakan bahasa yang bombastik, jika tidak saya tidak tahu apa yang Helen Ang akan tulis.

Beliau juga menuduh saya ‘masuk Melayu’ dan bukan ‘masuk Islam’ agar diterima oleh orang Melayu, dan seterusnya menjadikan saya lebih berjaya. Bagaimanakah saya boleh ‘masuk Melayu’ sedangkan saya seorang Cina. Saya memeluk agama Islam, bukan ‘masuk Melayu’. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya memeluk Islam kerana kemuliaan dan kesucian Islam. Saya tidak pernah mengharap sebarang bantuan setelah memeluk Islam, kerana agama Islam mengajar saya prinsip berdikari. Bangsa seseorang tidak boleh ditukar walaupun ia telah memeluk Islam kerana bangsa itu adalah kejadian Allah SWT. Manakala agama, kita boleh pilih untuk dijadikan pegangan hidup seperti yang saya lakukan.

Dalam membahaskan fakta yang saya kemukakan, Helen Ang membandingkan antara Cina Thailand dengan Cina Malaysia. Helen Ang memujikan rakyat Thai kerana dapat menerima Perdana Menteri Thailand kini, Abhisit Vejjajiva berketurunan Cina. Begitu dengan Perdana Menteri sebelum itu seperti Chuan Leekpai dan Thaksin Shinawatra. Helen mempertikaikan kenapa orang Cina tidak boleh menjadi Menteri Besar Perak (DAP). Jawapannya mudah, kerana orang Cina di Thailand sudah tidak serupa Cina. Mereka boleh dikatakan lebih Siam daripada Siam. Persoalannya, adakah itu berlaku di Malaysia?

Ternyata dalam banyak perkara yang diulas, beliau tidak dapat memahami sejarah Tanah Melayu dan sejarah pembentukan Malaysia. Lebih malang lagi beliau tidak dapat memahami roh bagaimana Perlembagaan Persekutuan digubal hasil persetujuan semua kaum, melalui pakatan murni atau lebih dikenali dengan kontrak sosial. Begitu juga Perlembagaan setiap negeri, ada sejarahnya tersendiri. Saya harap kejahilan ini tidak berlaku kepada orang lain agar tidak buta sejarah.

Helen Ang juga perlu mengkaji 7 wasiat Raja-raja Melayu seperti yang disebut oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, yang telah membentuk Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Helen Ang perlu memahami makna yang tersurat dan tersirat dalam Perlembagaan Persekutuan tersebut. Jangan asyik mempertahankan dan membaca akhbar-akhbar Cina.

Kenapa beliau mempertikaikan kedudukan Menteri Besar Perak yang tidak dilantik dari kalangan DAP? Cuba Helen Ang bandingkan, kenapa Ketua Menteri Pulau Pinang mesti diserahkan kepada Cina? Tidakkah kerusi UMNO lebih banyak daripada kerusi parti-parti politik lain dalam pilihan raya 2004 dan sebelum itu? Kenapa kita tidak menghargai tolak ansur dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh orang Melayu? Sesuatu yang menguntungkan disenyapkan, yang tidak menguntungkan digembar-gemburkan untuk menagih simpati.

Helen Ang juga mempertikaikan fakta yang saya tulis akan bilangan rumah ibadat bukan Islam seperti kuil Hindu, tokong Cina dan gereja Kristian melebihi bilangan surau dan masjid. Di sini saya pamerkan statistik tersebut untuk pengetahuan beliau akan nasib Melayu di bumi Melayu.

Contohnya di Selangor mempunyai penduduk berjumlah 4.8 juta. Daripada jumlah itu orang Melayu mewakili 2.5 juta dengan kapasiti 259 masjid dan 939 surau. orang Cina Buddha berjumlah 1.3 juta mempunyai 1,015 tokong, orang India berjumlah 647,000 dengan 810 kuil berdaftar (bilangan ini belum dicampurkan dengan tokong dan kuil yang tidak berdaftar). Manakala, bilangan gereja Kristian biarlah Helen Ang yang cari untuk menampung jumlah 50,000 penganut Kristian.

Statistik

Berdasarkan kepada statistik ini, jelas kepada kita, setelah dicampur semua rumah ibadat bukan Islam, kedudukan masjid surau sebenarnya jauh ketinggalan. Ini baru perbandingan satu negeri, bayangkan negeri- negeri lain. Adakah nisbah antara bilangan penduduk dengan bilangan rumah ibadat itu adil? Begitu besar bezanya. Sila rujuk Wikipedia, walaupun ia bukanlah sumber yang outentik dalam akademik. Tetapi saya yakin statistik ini tidak jauh bezanya.

Jangan kita bercakap kosong tanpa melakukan penyelidikan. Helen Ang mungkin terkejut bila saya paparkan statistik seluruh negara. Kenapa dalam sebuah negara majoriti Melayu boleh berlaku demikian? Inilah tolak ansur orang Melayu. Hormatilah tolak ansur ini. Jangan terlalu kiasu.

Pada hemat saya, semua perkara ini berlaku disebabkan oleh kejahilan hidup beragama. Apakah isu sebenarnya timbul apabila kita mahu mempertahankan hubungan yang dilarang oleh semua agama, seperti amalan berzina sehingga melahirkan anak luar nikah? Beritahu saya ajaran agama mana yang membenarkan hubungan haram ini?

Bayangkan jika yang perempuan yang dizinai adalah ibu, isteri, adik-beradik perempuan kita sehingga melahirkan anak luar nikah. Apakah kita boleh menerima semua ini sebagai isu moral yang boleh dipertahankan? Kena pada orang lain, tak apa. Bila kena pada diri sendiri baru tahu langit ini tinggi atau rendah?

Justeru, saya amat bersimpati dan amat menghormati tindakan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan badan disiplin MCA yang telah mengambil tindakan yang tepat untuk menggugurkan timbalannya disebabkan salah laku moralnya.

Saya amat yakin keputusan yang diambil, bukanlah suatu perkara yang mudah untuk beliau melakukan tindakan sedemikian. Keputusan yang diambil adalah demi menyelamatkan maruah parti biarpun beliau akan menjadi tidak popular.

Tindakan MCA itu dikira tepat jika ditinjau dari segi undang-undang moral dan ajaran agama. Saya selaku orang Cina menyokong sepenuhnya tindakan tersebut. Inilah nilai-nilai moral yang perlu ada pada setiap pemimpin dan juga rakyat yang dipimpin. Jika pemimpin tidak menunjukkan teladan, siapa lagi? Adakah kita mahu menunggu rakyat menunjukkan teladan? Tidakkah kepimpinan itu melalui teladan?

Seperti yang selalu saya sebut, tidak ada satupun agama atau ajaran di dunia yang menghalalkan perlakuan tidak bermoral seperti berzina atau hubungan seks luar nikah. Apatah lagi sehingga mengandungkan anak luar nikah. Semua perbuatan terkutuk adalah berdosa besar.

Masyarakat kita tidak kira apa juga bangsa dan agamanya, perlu dididik dengan nilai moral tinggi. Agama hendaklah dijadikan panduan hidup. Baru dunia akan aman. Kerana semua agama menyerukan kepada kebaikan. Yang baik tetap baik, yang salah tetap salah. Kita tidak boleh menghalalkan yang haram untuk mencapai matlamat.

Buddha begitu keras sekali mengharamkan zina seperti yang tersebut dalam lima larangannya iaitu jangan membunuh, jangan berzina, jangan berbohong, jangan mencuri dan minum arak. Sila rujuk Sutta Nipata 815, Dhammapada 309-10, Sutta Nipata 123.

Begitu juga larangan dalam agama Kristian, Hindu dan Sikh. Apa tujuan nasihat agama ini? Semuanya mahu memastikan kita menjadi manusia yang mempunyai moral yang tinggi, bermaruah dan sebagainya. Jika Helen Ang beragama Kristian, sila buka Bible, 1 Corinthians 6:18-20 & 1 Corinthians 7:1-2. Adakah Kristian menghalalkan zina? Sudah tentu tidak.

Kalau Helen Ang melihat adat tradisi masyarakat Cina zaman dahulu, hukuman ke atas mereka yang berzina ini amat berat. Penzina-penzina ini akan dimasukkan ke dalam bekas atau raga babi dan dicampakkan ke dalam sungai.

Begitu juga saya ingin menyarankan Helen Ang supaya meluangkan masa meneliti ajaran agama lain seperti agama Hindu dan Sikh mengenai penzinaan. Baca kitab Hindu, Bhagavad Gita1.40-42, zina diharamkan dalam agama Hindu. Perlakuan berzina dianggap sebagai penghinaan kepada undang-undang agama Hindu (Laws of Manu, 9.95, 101). Untuk keterangan lanjut baca New World Encyclopedia. Dalam ajaran Sikh, salah satu daripada lima dosa besar adalah berzina. Sila baca Adi Granth, Dhanasari. Justeru, atas landasan apa kita mahu menghalalkan zina?

Lihat juga pandangan ajaran Konfucianisme, Taoisme, Jainisme, Zoroastrianisme, Shintoisme, Judaisme dan Bahai dalam artikel bertajuk A Comparison of Morality from the religions from Around the World, http://usminc.org/other.html. Larangan berzina amat keras sekali.

Sebenarnya isu-isu moral ini dibahaskan dengan panjang lebar oleh semua agama, apatah lagi agama Islam. Saya tidak perlu sebutkan pandangan agama Islam, sebab sudah terang lagi bersuluh kemuliaan Islam dalam menjaga umatnya. Justeru, jika berlaku juga kepada umat Islam, itu salah orang yang melakukan perbuatan terkutuk itu, bukan agama Islam yang suci murni.

Justeru, dalam menilai antara yang benar dan yang batil, agama perlu dijadikan panduan dan sejarah sebagai pedoman. Percubaan untuk memadamkan fakta agama dan sejarah hanya akan mengundang kerosakan di muka bumi. Saya yakin fakta yang saya kemukakan sengaja diselewengkan disebabkan oleh sikap kiasu.

Salam hormat saya.